DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 3 February 2022

Nina - Bab 3

 

“SUAMI Tengku Irdina, Dimas Andrian adalah anak yatim piatu. Devan Rafandra tiada saudara-mara lain selain Tengku Soleha. Tambahan juga dia adalah warganegara Malaysia. Dia dilahirkan di Sarawak.”

Mata Tengku Soleha memerhatikan anak kepada adiknya yang menghilang sejak 16 tahun dahulu. Tengku Irdina jatuh cinta dengan musuh ketat perniagaan arwah papa. Keluarga mereka menentang perhubungan Tengku Irdina dan Dimas. Kerana terlalu kecewa, adiknya menghilangkan diri.

Setelah bertahun-tahun, muncul berita kematian arwah adiknya dalam kemalangan jalan raya. Kereta yang dipandu suami adiknya terbabas ke dalam gaung. Rupanya Tengku Irdina membawa diri ke Indonesia dan berkahwin dengan orang sana.

“Dimas Andrian dan Tengku Irdina menikah di Sarawak atas permintaan Tengku Irdina. Dia tidak mahu menikah di Kalimantan sebagaimana rancangan asal mereka. Tengku Razali sendiri mewalikan Tengku Irdina.”

Tengku Soleha terkejut. Ini bermakna arwah papanya tahu tentang pernikahan adiknya. Tapi kenapa papanya sampai hati merahsiakan semua ini daripada arwah mama? Hingga akhir hayat, arwah mamanya merindukan Tengku Irdina. Sampai hati arwah papa!

“Tengku, kalau...”

“Saya akan jaga dia macam anak saya sendiri.” Tengku Soleha memberi kesanggupan. Dia tidak ditakdirkan untuk punya zuriat sendiri. Biarlah dia menumpang kasih dengan anak arwah adiknya.

“Baiklah kalau macam tu. Pihak kami akan uruskan perpindahan Devan Rafandra ke sini. Tengku juga bertanggungjawab untuk menjadi pemegang amanah segala harta-harta milik Almarhum Dimas dan Tengku Irdina sampailah Devan berumur 21 tahun.”

Muhaimin berasa lega. Persetujuan Tengku Soleha memudahkan kerjanya. Dia sendiri berasa pelik bila 3 bulan yang lalu dihubungi oleh Tengku Irdina. Segala harta-harta milik Tengku Irdina dan suaminya di Jakarta dijual. Kecuali rumah yang mereka duduki.

Pasangan itu membeli hartanah di sekitar Kuala Lumpur kerana mereka merancang untuk menetap di sini. Namun sudah suratan ajal mereka berdua tidak sempat berpindah ke Malaysia. Dia hanya perlu uruskan pertukaran sekolah anak pasangan itu.

“Baiklah Tengku, apa-apa hal saya akan beritahu kemudian. Devan Rafandra saya tinggalkan di sini dahulu memandangkan musim cuti sekolah di Indonesia.”

Tengku Soleha mengangguk. Dia mengarahkan orang gajinya untuk mengiringi peguam itu keluar. Matanya masih lagi memerhatikan remaja yang duduk setentang dengannya. Mata redup itu sama seperti mata adiknya.

“Dekat Jakarta orang panggil nama apa?” Tengku Soleha memulakan perbualan. Sejak tadi anak muda itu hanya mengunci mulut. Kelihatan resah dan agak takut.

“Devan.”

Tengku Soleha sungguh tidak suka nama anak buahnya. Tiada rupa Melayu langsung.

“Kalau bonda panggil Rafa boleh ke? Rasa macam pelik pulak panggil Devan.”

Rafa mengangguk.

“Rafa panggil bonda tau. Lepas ni bonda akan jadi mama Rafa.”

Sekali lagi Rafa angguk. Agak lama untuk dia menangkap tiap patah perkataan yang disebutkan oleh kakak mamanya. Dia tidak punya sesiapa sekarang. Malaysia sangat asing baginya.

Bibik!” laung Tengku Soleha.

Seorang pembantu rumah berusia dalam lingkungan 50-an segera datang mendapatkan Tengku Soleha.

“Ya tengku.”

“Tolong kemaskan bilik dekat dapur tu. Dan ini Rafa anak arwah adik saya. Mulai hari ini, dia akan tinggal kat sini. Ingat ya bibik, dia pun tuan rumah juga ya. Bawa beg dia ni sekali.”

Cepat-cepat pembantu rumah itu mengangguk. Dan dengan pantas wanita itu menuju ke bilik yang majikannya maksudkan sambil mengheret beg yang sederhana besar.

 

“ADA TAN Sri nak jadikan aku isteri keempat dia. Dia nak beli aku dari madam. Aku dah setuju. Kau nak ikut aku tak?” Zulaikha memerhatikan Zahrah yang sedang makan dengan lahapnya. Kesian Zahrah, sehari suntuk berkurung di dalam bilik tanpa makanan. Dia ada tinggalkan duit tapi Zahrah tak berani keluar kerana Johan sentiasa memerhatikan kawasan rumah kedai ni.

“Tan Sri tu tak kisah ke kak... uhuk... uhuk.

“Makan tu janganlah gelojoh. Aku tahu kau lapar sangat.” Zulaikha menghulurkan sebotol air mineral.

“Tan Sri tu tak kisah. Katanya bagus jugak aku ada teman. Dia akan datang bila dia bosan je. Kiranya aku ni isteri simpanan dia. Aku cakap kau adik angkat aku. Anak terbiar. Aku tak beritahu kau siapa.”

Zahrah mengangguk tanda faham. Dia tak kisah pun sebenarnya. Apa yang penting, dia dapat lari daripada orang-orang yang membencinya. Biarlah dia hidup begini asalkan hatinya senang. Dia menghabiskan sisa-sisa nasi goreng di pinggannya.

“Tapi aku tak mampu nak sekolahkan kau. Aku pun orang tanggung.”

Zahrah terdiam. Impiannya mahu menggenggam segulung ijazah. Arwah ayahnya pun sudah merancang sesuatu untuk masa depannya. Arwah ayah mahu dia belajar di luar negara selepas habis SPM. Belajar di tempat arwah ayah menimba ilmu saat mudanya. Namun semua itu hanya tinggal kenangan.

“Ilmu boleh saya cari bila-bila masa saja kak, tapi... orang yang baik macam akak satu dalam sejuta. Suatu hari nanti pasti saya dapat capai cita-cita saya untuk menggenggam segulung ijazah. Pandailah saya usaha sendiri.”

Zulaikha kagum dengan Zahrah. Begitu cekal mengharungi segala-galanya. Anak yang lahir dalam limpahan kemewahan menjadi anak terbuang dalam sekelip mata. Salah Zahrah kecil sahaja. Dia lahir dari rahim seorang perampas suami orang atau erti kata lain isteri kedua yang dirahsiakan.

“Zahrah tak kisah ke?” soal Zulaikha lagi.

“Tak sekolah tak bermakna kita bodoh. Ilmu Allah meliputi langit dan bumi. Tinggal kita yang mahu mencarinya atau tidak.” Zahrah tersenyum. Selepas kematian mama dan adiknya, dia reda dengan jalan kehidupan yang bakal dia lalui. Dia insan terpilih yang diuji dengan ujian seberat ini.

“Mulai hari ini, aku nak kau tukar nama. Aku akan panggil kau Nina bukan Zahrah lagi. Kau kena lupakan Tengku Nina Az-Zahrah binti Tengku Khalid mulai saat ini. Kalau orang tanya nama kau... Nina Khalid.”

Nina mengangguk.

Nina Khalid... dia akan hidup sebagai Nina Khalid selepas ini. 

No comments:

Post a Comment