DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 3 February 2022

Nina - Bab 6


“KENAPA Rafa tinggalkan Mastura seorang diri kat restoran? Rafa tak risau ke kalau jadi apa-apa kat tunang Rafa tu?”

Rafa yang sedang tekun membuat kerja terkejut dengan kehadiran bondanya secara tiba-tiba. Dia menolak ke tepi timbunan fail yang perlu disemak. Dia sudah jangka bonda akan mengamuk tapi bukanlah secepat ini. Mungkin di rumah nanti baru mengamuk.

“Tak boleh ke bonda tunggu Rafa balik rumah? Kalau nenda Tengku Ishak tahu bonda datang sini, habis kita kena marah.” Rafa bangun daripada duduknya dan mendapatkan Tengku Soleha yang sudah pun duduk di sofa. Dia memberi arahan agar pembantunya yang

mengekori Tengku Soleha itu keluar.

“Tentang nenda, Rafa tak perlu risau. Bonda tak suka tau kalau Rafa jadi lelaki tak bertanggungjawab. Tinggalkan perempuan sorang-sorang entah kat mana. Bonda tak ajar Rafa jadi lelaki macam ni,” marah sungguh Tengku Soleha mendengar aduan daripada Mastura. Rasa malu bila sahabat baiknya Puan Sri Kamilia turut sama menempelak Rafa.

“Apa yang Mastura cerita pada bonda?” Rafa tak puas hati. Apa sahaja yang melibatkan Mastura dia pasti kalah. Mastura sentiasa betul.

“Mastura beritahu bonda yang Rafa tinggalkan dia ikut kereta perempuan mana entah.”

“Sebab tu je bonda sanggup datang sini marah Rafa?”

“Bonda tak ajar tau anak bonda jadi orang tak bertanggungjawab. Kalau jadi apa-apa macam mana? Apa bonda nak jawab dekat keluarga Mastura?” Suara Tengku Soleha mula meninggi. Kurang senang bila Rafa mempersoalkan tindakan dia.

“Anak kawan baik bonda tu kena ajar jugak.” Rafa bersuara perlahan.

“Apa Rafa cakap? Rafa memang sengaja tinggalkan dia? Rafa tahu tak dia tu siapa? Anak siapa?”

Apabila keluar topik siapa Mastura, memang jelas Rafa perlu berdiam. Keluarga Mastura bukan calang-calang. Bapa gadis itu antara tokoh politik yang disegani di Malaysia. Pernah memegang jawatan dalam kabinet tapi sudah bersara.

“Bonda... siapa pun dia, siapa pun keluarga dia. Dia sepatutnya merendah diri. Pantang tak berkenan mulalah buat hal. Dia tak cerita agaknya apa yang terjadi tadi. Kalau pelayan tu saman Mastura, nama keluarga dia juga busuk.” Rafa beranikan diri berterus terang. Dia tidak mampu bersabar lagi dengan perangai tak matang tunangnya.

Andai diberi peluang, dia mahu mencari seorang perempuan yang sederhana menjadi pendamping. Dia tak kisah perempuan itu siapa asalkan mampu membuat dia gembira dan tersenyum setiap hari.

“Itu salah pelayan tu juga. Kenapa nak menggatal kat tunang orang? Kalau bonda pun pasti buat yang sama.”

Rafa tercengang. Tak percaya dengan jawapan bondanya. Serta-merta ingatannya melayang kepada gadis yang menegurnya di luar restoran tadi. Dakwaan gadis itu sedikit pun dia tidak percaya. Namun setelah mendengar sendiri apa yang mampu bonda lakukan dia jadi tertanya-tanya. Dia pasti akan siasat siapa gadis itu sebenarnya. Kata-kata si gadis penuh dengan keyakinan serta ancaman dan yang pasti itu bukan bohong. Nina Khalid adalah nama perempuan tadi.

Rafa lepaskan keluhan kasar. Dia harap cadangannya akan dipersetujui bonda.

“Rafa rasa lebih baik kami tak berjumpa sampailah hari pernikahan nanti.” Rafa membuat satu keputusan sukar.

What? Rafa bergurau kan?” Tengku Soleha separuh menengking.

“Bonda... lebih kurang 5 minggu lagi kami akan menikah. Tak lama dah bonda. Lagipun Rafa ada banyak kerja nak diselesaikan. Bagi Rafa selesaikan semua kerja Rafa.”

Tok! Tok! Tok!

Pintu terus terbuka. Susuk tubuh seorang lelaki terus masuk dan duduk di sofa.

“Ayahanda dah pesan banyak kali, jangan ganggu Rafa di pejabat. Kenapa Soleha tak faham  lagi ni?” Ibarat kilat, Tengku Ishak muncul dan terus  memarahi Tengku Soleha.

“Ayahanda... Soleha...” terkelu Tengku Soleha.

“Kalau Soleha datang sesuka hati macam ni, bila kerja Rafa nak siap? Tengah hari tadi Soleha call sendiri Tengku Iskandar minta batalkan miting semata-mata Mastura merajuk. Soleha sedar tak apa yang Soleha buat? Ayahanda tak suka Soleha masuk campur dalam hal kerja. Nak marah Rafa tunggu dia balik rumah.”

Terkulat-kulat Tengku Soleha bila dimarahi bekas bapa mentuanya. Hubungan mereka masih akrab kerana Tengku Soleha adalah anak angkat kepada Tengku Jamilah. Sedar akan salahnya Tengku Soleha hanya menunduk. Hendak berlawan kata dia lebih muda. Lagipun kedudukan Rafa dalam syarikat masih dalam pemerhatian.

“Bagi Rafa peluang jadi lelaki sejati. Biar dia dengan Mastura tentukan jalan rumah tangga mereka sendiri. Jangan masuk campur!”

Rafa tunduk dan sembunyikan senyum. Nak tergelak pun ada melihat muka bonda yang sudah masam mencuka. Jangan main-main dengan Tengku Ishak. Terselit juga rasa kasihan melihat bondanya, tapi apakan daya, dia tidak mampu menolong.

“Ini kali terakhir ayahanda bagi muka. Kalau lepas ni Soleha ganggu Rafa, ayahanda akan hantar dia handle projek kita kat Mekah sana.”

Kecut perut Tengku Soleha mendengar ugutan Tengku Ishak. Dia tidak sanggup berpisah dengan Rafa. Walaupun hanya anak saudara, Rafa sudah dianggap sebagai anak sendiri.

“Pergi balik sekarang. Jangan jejak kaki ke pejabat ni kalau ayahanda tak panggil.” Tengku Ishak bersuara tegas. Soal kerja tak boleh dicampuradukkan dengan hal peribadi. Dia perlukan Rafa untuk memberi tumpuan sepenuhnya pada urusan kerja bila di pejabat.

“Baik ayahanda. Soleha balik dulu.” Tengku Soleha terus bangun. Tanpa bersalaman dengan Tengku Ishak dan Rafa, dia keluar dari situ.

“Tak habis-habis dengan perangai suka mengongkong dia. Patutlah si Khalid tu suka mengadu.” Tergeleng kepala Tengku Ishak melihat gelagat bekas menantunya. Perangai yang sama ketika arwah anaknya masih hidup. Sekarang Rafa pula jadi mangsa. Mujur Rafa juga punya kesabaran yang tinggi. Sama seperti arwah Tengku Khalid.

“Khalid tu suami bonda kan?” soal Rafa.

Tengku Ishak angguk. Sudah 15 tahun anak tunggalnya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Dah 15 tahun juga dia mencurahkan kasih kepada cucu angkatnya Rafa.

“Suami bonda ada kahwin lain ke nenda?” Rafa berhati-hati dengan soalan yang diajukannya. Tidak mahu nenda menghidu sesuatu. Perihal Nina biarlahdia rahsiakan dulu.

“Rafa dapat tahu dari mana?” tanya Tengku Ishak. Soalan Rafa tadi tidak berjawab.

“Ada dengar gosip-gosip dari pekerja,” bohong Rafa. Perihal status perkahwinan arwah Tengku Khalid, dia tahu lama dahulu. Semasa mula-mula menjejakkan kaki ke Vila Anggerik.

“Itu semua sejarah lama. Rafa tak perlu tahu. Tan Sri Iskandar dah setuju untuk miting petang ni. Rafa akan handle projek baharu kita kat Johor nanti.” Selesai sahaja berkata-kata Tengku Ishak terus bangun dan meninggalkan bilik Rafa.

“Pokok takkan bergoyang dengan sendirinya, lebih baik aku cari tahu siapa Nina Khalid.” Rafa bangun dari sofa dan menuju ke meja kerjanya. Wajah Nina Khalid seakan biasa dia lihat di mana-mana. Laptop yang sedia menyala ditarik perlahan. Tetikus digerakkan mencari ikon Google. Nama Nina Khalid ditaip di enjin carian. Serta-merta muncul wajah wanita yang ditemuinya semalam.

“Siap ada Wikipedia lagi. Nina Khalid age 25. Malaysian fashion model. She was signed to IMG

Models in 2013. Same time as Gigi Hadid. Early life... takde.”

Selepas membaca kandungan Wikipedia, Rafa beralih ke carian yang lain. Dia mahu mencari zaman kanak-kanak Nina Khalid. Kalau dapat dia mahukan bukti gambar perempuan bersama Tengku Khalid. Namun tiada langsung cerita zaman muda gadis itu. Nina Khalid muncul pertama kali di Paris pada usia 18 tahun.

“Apa kata aku cari gambar Tengku Khalid dan bandingkan.” Rafa menaip nama Tengku Khalid. Gambar-gambar seorang lelaki berumur dalam lingkungan 40 tahun muncul. Dalam diam, dia memuji betapa kacaknya arwah suami bonda.

Rafa membandingkan gambar Tengku Khalid dan Nina. Dia terpukau. Nina ibarat imej Tengku Khalid dalam versi perempuan. Mempunyai mata dan senyuman yang sama. Nina mungkin sedikit gelap berbanding Tengku Khalid yang berkulit cerah. Tidak syak lagi. Memang Nina ada pertalian dengan Tengku Khalid.

“Kalaulah Mastura tahu siapa dia, mesti perang dunia ketiga. Awak ketawa comel sangat.” Mata Rafa ralit menonton video YouTube Nina Khalid On Tour. Senyuman dan gelak ketawa gadis itu nampak ikhlas. Lahir dari hati.

“Tapi sayang muka awak plastik. Agak-agak awak cantik tak kalau tak pakai mekap?” Rafa perasan dia langsung tak nampak wajah natural Nina Khalid.

No comments:

Post a Comment