DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 3 February 2022

Nina - Bab 5


“KAU kenapa jeling-jeling muka tunang aku macam ni?” Laju tangan Mastura mencapai mangkuk berisi tomyam udang lalu dicurahkan ke atas kepala pelayan itu. Terjerit-jerit pelayan itu kerana kesakitan. Kuah tomyam yang masih berasap meleleh dari kepala.

“Mastura apa you buat ni!” tengking Rafa. Sungguh dia terkejut dengan kelakuan drastik Mastura. Lantas dia menarik tangan pelayan itu menjauhi tunangnya. Keadaan menjadi sedikit kecoh seketika.

Mastura cuba memukul pelayan yang sedang menjerit kesakitan. Rafa yang berada di tengah-tengah tanpa sedar menolak Mastura hingga terjatuh. Dia langsung tak pedulikan tunangnya sendiri. Sebaliknya Rafa cuba mencapai tisu sebanyak mungkin dan menolong pelayan tadi mengelap muka dan kepalanya. Beberapa pelayan lain datang membantu. Dan juga seorang lelaki yang mungkin ketua di situ. Rafa sempat menjeling tanda nama lelaki itu.

“Tolong bawa dia pergi klinik. Semua perbelanjaan saya tanggung.” Rafa tak mampu berbuat apa-apa. Mujur supervisor pelayan itu datang.

“Saya minta maaf bagi pihak tunang saya.” Rafa berkata kepada pelayan itu. Dia berharap gadis itu tidak mengalami cedera teruk. Nampak jelas muka gadis itu bertukar menjadi merah. 

“Rafa.”

Rafa berpusing bila mendengar namanya dipanggil.

Pangg!!!

Rafa meraba pipi sendiri. Tidak terduga langsung Mastura sanggup menamparnya. Rafa raba pipinya yang pijar. Matanya melihat sekeliling restoran. Ya... mereka berdua telah menjadi tumpuan di situ. Silap-silap besok tular video mereka.

“You pun sama gatal macam perempuan tu. Memang patut kena tampar!”

Ayat yang Mastura tuturkan buat Rafa bengang. Terasa ringan sahaja tangannya mahu membalas tamparan tunangnya tadi. Pelayan tadi hanya menuangkan minuman untuk dia dan sebagai tanda terima kasih dia hadiahkan senyuman. Salah ke dia berbudi bahasa?

“I tak ada selera nak makan. You balik sendiri.” Rafa mengeluarkan not 100 dari dompetnya lalu diselitkan di bawah pinggan.

“Rafa, you dah melampau. Rafa!!!”

Rafa langsung tidak menghiraukan jeritan Mastura. Saat ini dia lebih sanggup mendengar jeritan puntianak atau langsuir daripada jeritan gadis itu. Kalau dia tahu perkara ini bakal terjadi, memang dia tak akan ajak Mastura keluar makan tengah hari.

Sebaik sahaja keluar dari restoran, baru dia teringat yang mereka datang ke sini menaiki kereta Mastura. Hendak mencari teksi dia tidak tahu di mana perhentian bas. Mungkin dia boleh menempah Grab.

Dikeluarkan telefon untuk menempah Grab. Telefonnya habis bateri pula. Rafa bercekak pinggang sambil melihat kawasan sekeliling. Restoran Heaven Kitchen terletak di pinggir bukit dan agak terpisah dari bangunan lain. Mungkin dia harus berjalan turun untuk mencari teksi. Dan dia harus lari secepatnya daripada Mastura!

“Kesian betullah anak saudara Tengku Soleha ni. Jadi pak turut. Angguk-angguk, geleng-geleng ikut telunjuk. Bacul betul!”

Panas hati Rafa mendengar kata-kata sinis itu. Walaupun benar tapi tetap dia ada maruahnya sendiri. Tapi siapa pula orang ini? Bagaimana dia tahu? Rafa menoleh ke sebelah.

“Kau siapa?” Rafa memerhatikan dengan teliti perempuan yang berdiri di sebelahnya. Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba sahaja muncul. Rasanya dia tidak pernah melihat perempuan ini. Bibir merah menyala dengan rambut disanggul, perempuan ini nampak pelik.

“Semua ni balasan untuk orang yang makan harta anak yatim. Padan muka kau dapat bakal isteri menyakitkan jiwa macam tu. Padanlah kau dengan Mastura tu.”

“Kau siapa?” Rafa bertanya lagi namun kali ini nadanya agak keras. Bagaimana timbul tuduhan makan harta anak yatim? Dia tak kenal mana-mana anak yatim melainkan dirinya sendiri.

“Balik rumah, kau tanya Tengku Soleha dia makan harta siapa? Dan tu ha... tunang kesayangan kau dah keluar atau kau nak tumpang kereta aku? Jom!”

Melihat Mastura yang semakin hampir, Rafa tiada pilihan lain. Dia pantas meloloskan diri ke dalam kereta yang berhenti di hadapan mereka dan diikuti perempuan tadi. Entah apa yang merasuk dirinya saat ini. Dia tidak kenal pun perempuan itu.

“Kalau benci sangat dengan dia, kenapa kau sanggup nak kahwin?”

Pertanyaan perempuan itu tidak dapat Rafa jawab. Dia hanya senyum tawar. Soalan yang selama ini dia selalu tanyakan kepada dirinya sendiri. Kenapa dia sanggup terima kalau tiada cinta?

Opss... aku lupa. Kau tu lelaki bacul.” Perempuan itu tergelak perlahan.

“Suka hati kaulah nak panggil aku apa. Yang penting aku ada sebab aku sendiri.” Rafa malas hendak bertekak lagi. Kalau dia nafikan, perempuan itu tetap juga dengan tuduhannya.

“Demi membalas budi tergadai semuanya. Jiwa, perasaan dan masa depan.”

Jauh di sudut hati, Rafa akui kebenaran kata-kata perempuan itu. Dia buat semua ini hanya kerana mahu membalas kebaikan bonda yang menjaganya sejak 15 tahun lalu. Rasa cinta buat Mastura langsung tiada.

“Hati... Cinta...”

Rafa menoleh tapi tidak membalas.

“Jangan hancurkan diri sendiri semata-mata kerana mahu membalas budi. Kau nampak sendiri perangai Mastura. Perempuan macam tu kau nak jadikan ibu kepada zuriat kau? Silap-silap nanti dia tumbuk anak-anak kau dengan lesung batu.”

Rafa senyap lagi.

“Pipi kau merah bekas kena tampar. Apa kau nak jawab kalau sesiapa tanya nanti?”

Rafa raba pipinya. Sampai sekarang terasa pijar.

“Dah sampai pejabat kau. Balik nanti sampaikan salam aku dekat Tengku Soleha. Beritahu dia yang anak yatim ni datang untuk tuntut kembali harta dia. Nina Khalid datang untuk ambil hak dia by hook or by crook.”

Kereta berhenti di pekarangan bangunan Mercu Holdings. Rafa membuka pintu kereta dan mahu keluar saat lengannya disentuh. Terus dia berpaling memandang perempuan tadi.

“Aku rasa kau patut keluar dari Mercu Holdings. Aku tak nak kau terlibat dalam ribut yang bakal timbul nanti.”

Rafa kerutkan keningnya. Tak faham dengan kata-kata itu. Senyuman sinis perempuan itu membuatkan dia risau. Ribut apa pula yang bakal muncul? Apa kaitan perempuan ini dengan bondanya?

Tanpa membalas, Rafa terus keluar dari kereta.

“Semoga kita berjumpa lagi Devan Rafandra.” Perempuan itu melambai ke arah Rafa dan pada masa yang sama pintu ditutup.

‘Siapa dia?’ desis hati Rafa. Wanita itu cukup cantik untuk membuatkan  hatinya tertarik namun begitu misteri. Kenapa wajah itu seperti biasa dia lihat?

 

“APA KITA nak buat lepas ni?”

“Masuk ke dalam keluarga Tengku Soleha. Lagi senang aku nak sakitkan hati dia.”

“Kau tak takut ke Nina?”

“Aku nak balas semua perbuatan Tengku Soleha terhadap arwah mama dengan adik aku. Aku nak dia sengsara sama macam mereka. Aku nak dia mereput dalam neraka!!!” Nina tinggikan suara. Dendam yang dia pendam selama 15 tahun ini tidak pernah surut.

Nina mencapai majalah IKON yang berada di sebelah tempat duduknya. Senyuman bahagia Tengku Soleha bersama Devan Rafandra membuat hatinya sakit. Bagaimana Tengku Soleha boleh tersenyum bahagia setelah bertanggungjawab mencabut dua nyawa? Apa yang sepatutnya menjadi haknya kini menjadi milik Rafa.

“Macam mana kau nak masuk ke dalam keluarga Tengku Soleha? Kau ingat perempuan tu akan izinkan?”

Senyuman jahat Nina ukirkan. Kata-kata Lutfi ada betulnya. Tapi dia punya strategi sendiri. Matanya tajam melihat wajah Rafa yang tertera di muka depan majalah IKON. Anak saudara Tengku Soleha tak kurang hebatnya. Rupa pun boleh tahan. Berbicara dengan Rafa tadi, dia yakin lelaki itu sanggup buat apa saja untuk lari dari Mastura.

“Aku akan jadi isteri anak buah dia.”

“Rafa akan menikah bulan depan. Dah terlambat.” Lutfi berkata-kata sambil matanya melihat ke depan. Sebuah banglo tersergam indah di depannya. Butang remote ditekan dan pintu pagar terbuka.

“Kalau Rafa ada isteri pun, pasti ada jalan untuk aku runtuhkan rumah tangga mereka. Inikan pula tunang. Kacang aje... Nina Khalid tak pernah gagal dalam misi dia.” Senyuman jahat tersungging di bibir Nina.

Nina Khalid, seorang model dan pereka barang kemas terkenal yang mula mencipta nama di Paris 2 tahun lalu. Kini dia kembali ke Malaysia dengan satu tekad. Dia mahu hancurkan senyuman Tengku Soleha.

No comments:

Post a Comment