Suatu masa dahulu...
“Deb, budak BBBS tu lagi,” bisik Desiree kepada kakaknya saat memandang sekumpulan budak lelaki duduk tidak jauh daripada mereka. Nak main boling juga.
Deborah turut menoleh ke sebelah. Matanya melekat kepada seorang remaja lelaki yang mungkin sebaya dengannya. Namun dia nampak temannya Maisarah sedang berdiri di tepi tempat duduk sekumpulan remaja lelaki itu. Ketika Maisarah mendekati mereka, salah seorang remaja itu jalan terlenggang-lenggok nakal sambil mengekori Maisarah.
“Hai, ladies...” sapa remaja itu.
“Kenalkan, Ahmad Iqbal. Hari tu waktu event kat sekolah kita, dia ada datang bagi support,” ucap Maisarah.
“Helo...” Iqbal dengan cukup ramah mendekati seorang demi seorang remaja perempuan di situ.
“Deborah Raymond...”
“You adik-beradik ke?” tanya Iqbal saat memandang dua gadis itu.
Deborah tersenyum saat memandang adiknya. “Ya.”
“You berdua ke yang ramai kawan I kata Jews tu ya?” ucap Iqbal lagi.
“Ya. Tapi kami Islam sejak lahir lagi. My dad is Jew Shepardi and my mom Serbian. Harap you tak kisah,” ucap Deborah kelat.
“I tak kisah pun. Boleh I join? Duduk dengan ladies lagi best daripada duduk sana,” ucap Iqbal nakal. Cukup pandai menayang diri di hadapan perempuan.
“You twins ya?” tanya Deborah lantas menuding ke arah seorang lagi remaja yang duduk di sebelah sana sambil berpeluk tubuh.
“Abang I... Iqmal. Yes, we’re twin brothers, cuma I lagi handsome.”
Deborah ketawa kelat. Dia memandang lagi abang si Iqbal itu. Lelaki bernama Iqmal itu hanya memegun memandang temannya yang lain mula bermain boling. Dia rasa abang si Iqbal itu lagi handsome. Cuma lelaki itu seperti tidak suka bergaul dengan mereka. Hanya duduk sahaja, pandang pun tidak.
“Mulalah weh...” ucap Maisarah.
“I taklah. Sakit tangan I,” ucap Deborah. Terlalu kerap bermain boling, sampai sakit jarinya.
“Okey. I ganti,” ucap Iqbal.
Iqbal bukan main lagi melayan semua gadis-gadis itu. Dah lupa kepada geng-gengnya. Semua perempuan diuratnya. Namun karakternya yang ceria membuatkan ramai perempuan senang berkawan dengannya termasuklah Deborah. Dua tiga kali Deborah menoleh ke sebelah, mencari pandangan kembar lelaki itu. Langsung tidak ada sekali pun Iqmal memandangnya.
Ketika orang rancak bermain boling, Deborah membelikan minuman buat kawan-kawannya. Kebetulan ketika itu Iqmal sedang duduk di kaunter bar sambil menikmati air Cokenya.
Lelaki itu menoleh setelah Deborah berdiri di sebelahnya. Pelayan di sebalik kaunter segera mendekat untuk bertanyakan apa yang hendak dipesan oleh Deborah.
Selesai membuat pesanan, Deborah memandang lelaki itu. Iqmal sedang merenung gelas air Cokenya.
“Am I insvisible here?” tanya Deborah.
“Nope.” Lelaki itu menjawab tanpa memandang.
“Deborah Raymond...”
“I know who you are. All the boys in my school are talking about you,” ucap Iqmal lantas mencapai cawan air Cokenya dan turun dari kerusinya. Dan dia pergi begitu sahaja.
Deborah terkebil-kebil dengan reaksi Iqmal. Hairan. Sedikit sebanyak hatinya merasa tergores dengan reaksi dingin lelaki itu.
“Tu Deborah Raymond, kan?” bisik salah seorang temannya kepada Iqmal saat mereka duduk bersebelahan.
“Ya,” jawab Iqmal sebelum dia menoleh ke arah sana. Gadis itu sedang tergelak saat melihat adiknya melempar bola boling. Deborah Raymond... nama yang kerap kedengaran dalam kalangan pelajar lelaki di sekolah kerana kecantikannya.
Iqmal segera mengalihkan pandangan saat Deborah menoleh ke arah Iqbal. Secara tidak sengaja, dia turut terpandangkan Iqmal merenungnya tadi. Senyum Deborah memudar. Dia rasa Iqmal agak sombong.
Selesai bermain boling, kumpulan remaja lelaki itu mendekati, bak kumbang mencari bunga. Semua orang ditegur Iqmal kecuali seorang sahaja... iaitu Deborah.
Gadis itu menjadi muram apabila menyedari Iqmal seperti tidak mahu bercakap dengannya. Remaja itu menarik di mata perempuannya. Sayangnya, Iqmal seperti tidak suka kepadanya. Tidak tahu apa sebabnya. Sehingga pulang ke rumah pun Deborah masih memikirkan tindak-tanduk Iqmal itu.
DIA MALU dengan reaksi lelaki yang diminati dalam diam. Sangat sedikit lelaki itu mahu bercakap dengannya. Setiap kali mereka bertemu di bangunan Jaya SS 14 itu, Iqmal dan Iqbal mesti ada. Iqbal sangat mesra dengan mereka. Namun Iqmal seperti suka menyendiri.
Sehabis waktu sekolah, mereka pergi ke Jaya. Di sana mereka lepak bersama untuk mengulang kaji pelajaran. Tidak lama kemudian, lebih ramai pelajar Bukit Bintang datang ke situ dan menyertai mereka sementelah masing-masing akan menduduki SPM tidak lama lagi.
Dalam ramai-ramai itu, Iqmal suka duduk berasingan meja daripada mereka. Si Iqbal pula kadangkala suka membuat bising dan mengganggu mereka melunaskan kerja sekolah. Sudahnya, Deborah bangun dan meminta duduk semeja dengan Iqmal. Lelaki itu hanya mengangguk sahaja dan kembali memandang bukunya.
Sedar yang lelaki itu tidak akan bercakap dengannya, Deborah melunaskan kerja sekolah. Namun kadangkala matanya tidak mampu lari daripada memandang anak muda yang duduk setentang dengannya itu; Iqmal menulis di buku amali sambil merujuk buku rujukannya.
Sudahnya, gadis itu meletakkan pen.
“Kenapa you ignore I? Kenapa selama ni you tak mahu bercakap dengan I?” tanya Deborah.
Iqmal mengangkat pandangan. Mereka berpandangan seketika. Renungan Deborah melekat erat pada raut lelaki itu.
“Tak ada apa-apa. I nak belajar. Itu aje,” ucap Iqmal lantas kembali menulis di bukunya.
Deborah diam sambil memandang apa yang ditulis lelaki itu. Entah kenapa, hatinya kecewa. Benar-benar berharap Iqmal akan mendekatinya. Deborah menoleh ke arah Iqbal yang bercerita entah apa-apa kepada teman-temannya. Karakter Iqbal dan Iqmal jauh berbeza.
“You tak suka I ada kat sini ke?” teka Deborah.
“I tak cakap pun,” balas Iqmal tanpa memandang gadis itu.
“You macam tak suka I. Cara you pandang I, macam tak senang dengan I. Apa salah yang I dah buat?” ujar Deborah pula.
Iqmal buat tidak tahu sahaja dengan bicara gadis itu.
Deborah menghela nafas panjang sebelum dia kembali meneruskan kerja sekolahnya. Namun kadangkala matanya memandang Iqmal yang tidak peduli kepadanya.
Remaja lelaki yang lain boleh datang dekat kepadanya begitu sahaja. Tetapi tidak Iqmal.
“You macam tak suka I ada dekat sini,” ucap Deborah perlahan.
Iqmal tidak menjawab bicara gadis itu. Seterusnya sepi antara mereka berdua sehingga Iqmal selesai kerja sekolahnya. Dia mengemas begnya. Deborah memandang lelaki itu tanpa dapat berkata apa-apa. Betapa hatinya bagaikan kaca terhempas ke batu melihat Iqmal terus berlalu begitu sahaja.
Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, Deborah diam memandang ke luar kereta. Dia asyik teringatkan Iqmal. Dalam ramai-ramai lelaki, dia tertarik kepada lelaki sombong itu pula.
Keesokan harinya, Deborah mengelak apabila Maisarah ajak melepak studi bersama. Dia memilih untuk pulang terus. Namun di rumah, dia jadi lugu di meja belajar sendirian. Rasa seperti hendak menulis surat cinta kepada Iqmal. Tapi buatnya ayahnya tahu, haruslah dia dikerat-kerat dan dibakar menjadi abu.
2 minggu kemudian, Deborah dan Desiree tidak hadir ke sekolah kerana datuknya meninggal dunia. Jenazah datuknya dikebumikan selepas zohor. Entah bagaimana, Deborah terpandangkan kelibat Iqbal dan Iqmal bersama seorang lelaki datang ke tanah perkuburan ketika waktu pengebumian.
Dia hanya memandang dari jauh. Iqmal memerhati setiap orang seperti mencari seseorang dan matanya berhenti kepada Deborah yang berada di sisi ibunya. Mata anak muda itu melekat lama kepada Deborah. Namun sedang dia memerhatikan Deborah, dia nampak adiknya sudah berjalan di celahan orang untuk mendekati gadis itu.
Anak muda itu menghembuskan nafas keras sebelum berpaling ke arah lain.
“Iqmal...” panggil sang ayah kepada anak sulungnya itu.
Iqmal mendekati ayahnya. Mereka melihat jenazah seorang lelaki yang dikatakan satu-satunya orang Yahudi asli dari kumpulan akhir kaum Yahudi Shepardi yang ada di Malaysia ini. Ayahnya pernah bercerita, suatu masa dahulu di Tanah Melayu terdapat beberapa generasi kaum Yahudi daripada pelbagai keturunan berhijrah ke Tanah Melayu sebelum sebahagian mereka dibunuh oleh askar Jepun. Selebihnya melarikan diri ke Singapura. Sebahagian besar yang menjadi pelarian itu berpindah ke Australia. Tetapi keluarga Eusfe memilih untuk kembali ke Tanah Melayu dan memeluk agama Islam.
Deborah sedaya upaya enggan memberi perhatian kepada lelaki itu. Namun, dia tidak berdaya. Saat berada di hadapan Iqbal, dia terjeling-jeling ke arah Iqmal. Salah satu kelebihan Iqbal yang memang dikagumi Deborah, temannya itu memang pandai mengambil hati Puan Sri Elisabeth.
Selesai upacara pengebumian, Deborah terlihat lelaki itu terus berlalu pergi begitu sahaja, membuatkan dia menangis. Puan Sri Elisabeth mengusap bahu Deborah, sempat menyangka anaknya menangis kerana pemergian datuknya yang selama ini amat rapat dengannya.
Deborah sedaya upaya cuba mengawal dirinya agar tidak ketara jelas isi hati yang tersimpan semenjak entah bila. Kerana reaksi Iqmal ternyata amat mengecewakannya.
No comments:
Post a Comment