DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Saturday 29 October 2022

Pengantin Ekspres - Bab 2


MAJLIS berjalan dengan baik walaupun timbul juga desas-desus bila ada yang perasan pengantin perempuan telah bertukar. Dan sepanjang majlis itu, Amiera berlakon seolah-olah dialah pengantin perempuan merangkap isteri kepada Umair Qaisar bin Dato’ Halimi. Hakikatnya dia sekadar menyamar. Tapi memikirkan bayaran yang akan diterimanya agak lumayan, terpaksa dia pejamkan mata. Bukan senang nak dapat rezeki terpijak. Selama tiga tahun dia bekerja di butik, dia belum dapat menyimpan duit sebanyak itu. Ini, dalam sekelip mata dia akan dapat RM20 ribu. Bukankah itu dinamakan tuah? Siapa yang sanggup menolak? Betul tak?

Amiera melirik ke arah Qaisar yang nyata begitu kacak mengenakan tuksedo sedang bercakap dengan orang tuanya.

“Mama, papa... Kenalkan, ini Amiera,” tutur Qaisar yang baru berpeluang memperkenalkan ‘isteri’ kepada orang tuanya sendiri. Hati Amiera berdebar-debar. Orang tua Qaisar yang ternyata pasti bukan calang-calang orangnya. Tengok saja pada tetamu yang berkunjung. Bukan main bergaya lagi.

“Cantik. Tak sangka Qai dapat cari pengganti Emily dengan begitu cepat. Dekat mana Qai jumpa Amiera?” tanya Datin Jamilah setelah meneliti perempuan yang berdiri di sebelah anak lelakinya itu. Tadi dia memang tak berkesempatan nak berkenalan dan bertanya lebih lanjut disebabkan kesibukan melayan tetamu yang berkunjung datang ke majlis perkahwinan Qaisar.

Amiera memandang wajah Qaisar. Menunggu jawapan daripada lelaki itu. Ketika ini mereka berada di dalam sebuah bilik hotel yang cukup mewah. Qaisar yang mengajak dia mengikut lelaki itu masuk ke sini seusai majlis selesai. Kalau ikutkan, dia mahu balik segera. Tetapi macam tak sopan saja terus berlalu tanpa memaklumkan kepada tuan empunya majlis.

“Mama, sekarang kita tak payah cakap pasal benda ni. Kita cakap nanti dekat rumah. Yang penting, Amiera dah selamatkan majlis tadi dan semuanya berjalan dengan lancar.” Itu yang keluar dari mulut Qaisar.

“Habis tu, macam mana dengan Emily? Dia masih tak hubungi Qai untuk maklumkan apa-apa? Takkanlah dia terus menghilang macam tu aje?” soal Datin Jamilah. Ada riak tak puas hati di wajahnya.

“Tak ada,” jawab Qaisar bersama keluhan panjang.

“Teruk betul perangai. Mama tak sangka Emily sanggup buat kita macam ni. Sanggup malukan kita. Kalau mama tahu nak jadi macam ni, mama tak akan setuju untuk jodohkan dia dengan Qai. Maafkan mama ya.”

Datin Jamilah mengeluh kesal. Selama ini, dia yang beria-ia mahu menyatukan Qaisar dengan Emily yang konon-kononnya sangat sesuai. Malah, dia merasakan bahawa Emily paling layak menjadi menantunya. Ditambah pula adanya sokongan dan gesaan daripada Dato’ Murad iaitu papa Emily sendiri. Tak sangka pula Emily sanggup memalukannya dengan tidak muncul dalam majlis tadi. Nasib baiklah Qaisar dapat menyelesaikan masalah itu dengan meminta Amiera menggantikan tempat Emily sebagai pengantin perempuan.

“Lepas ni, papa nak Qai selesaikan hal ni. Takkanlah Qai nak biarkan Emily terus tinggalkan Qai macam tu je. Kalau Qai rasa nak saman pun, papa tak ada masalah. Papa tak peduli walaupun mereka kenalan papa. Emily dah malukan kita.”

“Malah, keluarganya pun sampai sekarang tak muncul untuk beri penjelasan. Memang teruk betul perangai mereka,” ujar Dato’ Halimi. Dia menggeleng kepala dengan perasaan kesal kerana percayakan kawannya itu.

Amiera sekadar menjadi pendengar. Dia sebenarnya sudah penat menjadi pelakon bisu yang hanya menurut sahaja apa yang dirancang oleh Qaisar. Kalau difikirkan semula, elok juga dia tak kena banyak bersuara, hanya perlu tayang senyum sahaja seolah-olah dia sangat bahagia dengan perkahwinan ini. Kalau tak, jenuh dia nak kena karang ayat untuk menampakkan semuanya dalam keadaan sempurna.

“Encik Qaisar, saya rasa tugas saya sudah selesai sekarang. Boleh saya minta izin untuk balik sekarang?” ujar Amiera. Dia perlukan rehat yang cukup supaya dia dapat bekerja dengan tenang dan bersemangat esok. Kalau dia penat, macam mana dia nak buat kerja dan mencari idea untuk mendatangkan hasil yang baik?

Qaisar memandang wajah Amiera yang kelihatan agak penat. Tapi wajah gadis itu masih kelihatan cantik hasil sentuhan Jay. Dia pun terkejut melihat wajah Amiera dalam busana pengantin. Tidak dinafikan bahawa, wajah Amiera lebih cantik dan ayu daripada wajah Emily yang sentiasa dimekap dengan pelbagai warna di wajahnya.

“Dah lewat malam ni. Apa kata you tidur saja di hotel ni,” saran Qaisar. Tak sampai hati pula dia nak membiarkan gadis ini pulang lewat malam seorang diri. Risau kalau apa-apa yang tidak elok berlaku kepada gadis ini. Dia pula yang rasa bertanggungjawab.

“Saya minta maaf. Saya lebih selesa tidur di rumah saya sendiri,” jawab Amiera. Menolak pelawaan itu.

Qaisar memandang orang tuanya.

“Okey. I faham. I temankan you ke bilik tadi untuk you tukar pakaian. Takkanlah you nak balik macam ni,” ujar Qaisar meneliti penampilan Amiera.

“Ya.” Amiera bersetuju. Takkan dia nak balik dengan memakai pakaian pengantin macam ni. Pasti terkejut rakan rumah sewanya.

“Mama, papa... Qai temankan Amiera sekejap,” ujar Qaisar.

“Dato’, Datin... saya pergi dulu.” Amiera sekadar tunduk. Tak berani nak bersalaman. Bimbang salamnya tidak bersambut.

Amiera mengikut Qaisar hingga ke bilik tadi.

“Terima kasih. Boleh encik tunggu dekat luar sementara saya tukar pakaian?” ujar Amiera yang melihat Qaisar nak melangkah masuk ke bilik itu.

“Oh... sorry, I lupa.” Qaisar tersengih kerana dia terlupa tentang hubungan mereka. Mereka cuma berlakon sebagai suami isteri sahaja. Bukannya betul-betul.

Amiera segera menutup pintu. Dia mahu cepat menukar pakaian dan segera beredar. Malah segala mekap dibersihkan terlebih dahulu.

“I hantar you balik,” ujar Qaisar sebaik sahaja Amiera keluar.

“Tak apa. Saya datang dengan kereta sendiri. Encik tak perlu risau,” ujar Amiera.

“Kalau macam tu, I temankan you sampai bawah,” ujar Qaisar lagi.

Amiera memandang wajah lelaki itu. Seakan tidak percaya yang lelaki itu bersikap baik hati. Tak macam kali pertama dia jumpa tadi. Cakap pun dah mula berlembut. Tak ada berlagak dan tegas.

Mereka berdua masuk ke dalam lif. Masing-masing diam. Sementara menunggu pekerja membawa kereta Amiera, mereka berdua saling memandang antara satu sama lain.

Oops, lupa.”

Qaisar menyeluk poket bajunya dan mengeluarkan sekeping kertas.

“Cek. Bayaran untuk you sebab jadi pengantin perempuan untuk I malam ni. Terima kasih kerana selamatkan I dari menanggung malu. I sangat terhutang budi dengan you. Terima kasih sekali lagi.” Qaisar menghulurkan kertas itu. Ada segaris senyuman di wajah kacaknya walaupun jelas yang dia juga rasa penat dan letih.

Teragak-agak Amiera nak menyambutnya.

“Kenapa? Masih tak cukup? Atau you nak I tambah lagi?” provoke Qaisar.

“Eh... Tak! Ini pun dah lebih dari cukup. Terima kasih, encik,” ucap Amiera bersama senyuman.

“Sama-sama,” balas Qaisar.

“Cik, ini kuncinya.” Pekerja hotel memberi kunci kereta.

“Terima kasih,” ucap Amiera.

Pekerja hotel segera membalas ucapan itu dan beredar.

“Saya balik dulu. Selamat malam, encik.” Tanpa menunggu kata, Amiera terus masuk ke dalam keretanya. Ada satu rasa yang sukar dia nak tafsirkan saat dia mahu beredar dari situ.

Qaisar hanya memandang kereta Myvi berwarna hitam itu beredar pergi.

“Amiera...”

Nama itu secara tak sedar terucap di bibirnya. Dan serentak itu juga satu keluhan terluah dari bibirnya.

 

AMIERA MELANGKAH masuk ke dalam rumah sewanya bersama keluhan. Penat dan mengantuk hanya Allah sahaja yang tahu.

“Amboi, lewat kau balik malam ni. Kau pergi mana? Takkanlah kau buat over time kat butik tu sampai balik lewat macam ni,” tegur Nasuha yang berada di depan TV sebaik sahaja Amiera muncul.

“Ya. Aku memang kerja over time malam ni. Sebab tu aku balik lambat. Sekarang ni, aku betul-betul penat dan letih.” Amiera terus melabuh punggung di atas sofa sambil membetulkan urat saraf.

“Banyak sangat ke kerja kat butik tu sampai kau balik lewat macam ni?” soal Nasuha lagi memandang wajah Amiera. Yalah, tak pernah-pernah Amiera balik selewat ini.

“Tak adalah banyak sangat. Kerja biasa aje,” balas Amiera sambil menguap.

“Kalau ya pun, takkan tak sempat nak angkat call aku. Dari tadi aku call kau tak dapat-dapat. Aku risaukan kau yang tak balik-balik,” komen Nasuha lagi.

“Eh, kau ada call aku ke? Maaflah aku tertinggal fon dekat butik,” balas Amiera lagi.

Aik, kau pergi mana sebenarnya? Betul ke kau buat over time kat butik? Ke... kau buat benda lain?” Nasuha mula tunjukkan riak pelik mendengar jawapan Amiera.

Amiera melempar sengih.

Erm... Macam mana nak cakap ya...” Amiera tetap pamer sengih.

“Apa kena dengan kau ni? Sengih semacam aje ni. Muka kau pun nampak lain macam aje ni. Sejak bila kau pakai mekap lebih-lebih ni? Kau buat apa sebenarnya? Kau jangan buat hal yang bukan-bukan, Miera.” Nasuha tepuk lutut Amiera.

Entah kenapa, dia mula risau mengenangkan Amiera. Apatah lagi melihat kesan warna-warna yang tercalit di wajah Amiera walaupun telah dibersihkan. Setahunya, Amiera jarang bermekap lebih-lebih. Jangan-jangan ada benda yang tak baik telah dilakukan oleh Amiera malam ini. Kalau tak, kenapa dia balik selewat ini.

Amiera menggaru kepala. Memang dia tak nafikan masih ada kesan mekap di mukanya. Yalah, ini silap si Jay tu. Mekap tebal sangat sampai susah nak tanggalkan. Dia pun dah pesan supaya jangan mekap tebal sangat sebab dia ni jenis yang tak suka bermekap. Kalau mekap pun ala kadar saja. Mestilah Nasuha perasan sebab dia pun bersihkan ala kadar juga tadi sebab Qaisar sedang menunggu di luar pintu.

“Tengok muka kau ni, aku dah tahu ada benda yang kau sembunyikan daripada aku. Aku kenal sangat dengan kau ni, Miera. Citer dekat aku cepat.” Nasuha mula menggesa. Dia tahu Amiera jenis yang tak pandai nak menipu dan dia  memang akan perasan kalau ada sesuatu yang tak kena dengan Amiera.

“Macam ni...”

Akhirnya Amiera menceritakan bagaimana dia  terpaksa menjadi pengantin ekspres gara-gara pergi menghantar gaun pengantin di hotel malam tadi.

What?” Hampir nak terkeluar anak mata Nasuha dari soket akibat terkejut mendengar cerita Amiera.

“Habis tu, sekarang ni kau dah dikira sebagai isteri lelaki tu ke?”

Nasuha mula kalut. Siap duduk bersila dan menghadap wajah Amiera dengan muka serius dan terkejut yang amat. Yalah, tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba Amiera menjadi pengantin ekspres. Mana dia tak terkejut. Nasib baiklah jantung dia masih sihat dan normal. Kalau jantung dia ada masalah, mahunya dia kena usung ke hospital sebentar tadi.

“Taklah. Kan aku ni cuma menyamar merangkap pengganti pengantin yang dah lari tu. Bukannya pengantin betul.  Kalau betul, mesti kena ada akad nikah, saksi dan wali. Tapi semua tu tak ada. Sebab lelaki tu bukannya kahwin dengan aku, tapi dia kahwin dengan perempuan lain. Cuma, perempuan tu aje yang tiba-tiba menghilang sebelum majlis sampaikan aku kena gantikan tempatnya. Tapi best apa, walaupun cuma menyamar, tapi dia bayar tau!” jelas Amiera.

“Dia bayar? Berapa dia bayar kau?” soal Nasuha makin teruja nak tahu.

Amiera naikkan dua batang jarinya ke depan muka Nasuha.

“Hah, 20 ringgit je?” Nasuha pamer muka terkejut, lepas tu mencebik bibir.

Amiera ketuk kepala Nasuha.

“Sakit weh.”Nasuha mengetap bibir geram.

Amiera buat tak kisah. Tangannya kalut menyelongkar beg sandangnya. Mencari cek yang diselit di celah beg sandangnya.

“Dia bagi cek ni sebagai upah aku menyamar jadi pengantin tadi.” Amiera tunjukkan cek yang diberi oleh Qaisar sebentar tadi.

Laju tangan Nasuha mengambilnya sebab nak tahu berapa jumlah yang tertera di cek itu. Melihat angka yang tertera, sekali lagi anak mata Nasuha seakan tercabut dari soket mata. Amiera menunggu reaksi Nasuha sambil mengangkat keningnya.

Wow... banyaknya! RM20 ribu ni beb. Bukan dua puluh ringgit. Serius! Dia bagi kau sebanyak ni?” tutur Nasuha. Masih sukar nak percaya melihat jumlah yang tertera pada cek yang dipegangnya.

“Seriuslah. Kau sendiri pun nampak jumlah yang tertera kat situ. Kalau kau, kau nak tolak ke?” Amiera sengih dengan lagak berlagak.

“Gilalah kalau tolak. Mana nak dapat peluang macam ni. Kalau aku... jadi pengantin betul-betul pun aku sanggup. Kalau menyamar dah dapat RM20 ribu, kalau betul... kau agak, berapa kau akan dapat?” Anak mata Nasuha dah nampak RM... RM... RM...

Amiera gelak.

“Kau teruslah bermimpi.” Amiera tonyoh dahi Nasuha.

“Miera... handsome tak suami ekspres kau tu?” soal Nasuha.

Amiera terdiam. Pertanyaan Nasuha membuatkan dia segera terbayangkan wajah kacak Qaisar. Memang kacak. Apa lagi bila dia mengenakan tuksedo hitam.

Ish... Kau ni, mengelamun pulak. Kacak ke tidak lelaki tu?” Nasuha tak sabar nak tahu.

“Tak kacak pun. Dahlah tua, pendek, gendut, hitam dan kepala botak.” Amiera berikan gambaran.

Eeee... Betul ke macam tu rupa lelaki tu?” Nasuha mencebik buat gaya jijik dan geli bila membayangkan wajah jelik lelaki yang dinyatakan Amiera tadi.

“Ya. Patutlah pengantin perempuan tu lari sebab pengantin lelaki tu tak handsome,” komen Amiera menahan gelak melihat respons Nasuha.

“Ya juga. Kalau aku jadi pengantin perempuan tu, aku pun akan lari. Tak nak aku dapat suami macam tu. Walaupun kaya tapi rupa buruk dan tak handsome, memang tak lalu aku nak pandang. Apa lagi nak bersama. Lagak macam Beauty and the Beast. Seram,” komen Nasuha.

“Jadi, lepas ni kau tak payah nak banyak tanya lagi. Tutup cerita,” ujar Amiera lega.

“Yalah. Aku zip mulut aku. Aku tak akan beritahu sesiapa.” Nasuha buat gaya zip mulutnya.

“Kesimpulannya kau jangan gatal-gatal cerita dekat ibu dan ayah aku atau angah aku ataupun Abang Ijal. Nanti mereka fikir yang bukan-bukan pula. Jenuh aku nak kena jelaskan nanti,” pesan Amiera sudah bangkit dari sofa. Dia mahu masuk bilik untuk tidur. Memang tak tahan sangat. Mengantuk yang amat.

“Miera...” Belum beberapa langkah Amiera meninggalkan ruang tamu, namanya diseru.

“Apa?” soal Amiera.

“Kau tak nak sedekah ke duit kau dapat tu seringgit dua dekat aku? Nak juga aku merasa duit terpijak kau tu.” Nasuha pamer sengih.

“Duit ni aku nak simpan. Buat pelaburan masa depan,” balas Amiera. Kemudian, dia tayang sengih.

“Eleh... kedekut,” cebik Nasuha.

“Duit aku, aku punya suka.” Amiera membalas dan terus meninggalkan Nasuha. Lantaklah Nasuha nak fikir apa pasal dia dan duit itu. Malas dia nak penat otak fikirkannya. Tidur lagi baik. Esok nak kena pergi kerja.

No comments:

Post a Comment