DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Saturday 29 October 2022

Pengantin Ekspres - Bab 3


AMIERA muncul di tempat kerja seperti biasa. Dan benda pertama yang ada dalam mindanya sekarang adalah mencari di mana dia letak telefon miliknya.

“Miera, you cari apa?”

Tiba-tiba Gina muncul ketika Amiera kalut membelek majalah yang berselerak di atas meja.

Phone I. You ada nampak tak? I lupa dekat mana I letak.” Amiera menggaru kepala. Resah betul bila telefon kesayangannya hilang entah ke mana. Telefon itu dah macam nyawanya. Semua benda dia letak dan catat di situ.

“Ini ha...” Gina menuju ke rak dan menghulurkan telefon kepada Amiera.

Thanks, Gina.” Amiera menyambutnya dengan perasaan lega. Kemudian telefonnya dikucup bersama senyuman lebar.

Gina yang melihat menggeleng kepala dengan gelagat Amiera.

“Miera, malam tadi you hantar baju pengantin dekat Hotel Diamond, kan?” usul Gina.

“Ya. Kenapa? Ada masalah ke?” soal Amiera bila Gina merenung wajahnya.

“Ada sesuatu yang berlaku dekat sana?” soal Gina. Masih merenung lama wajah Amiera yang mula diulit resah.

“Maksud you?” Dada Amiera sudah mula berdebar-debar.

“You tak nak cerita?” ujar Gina. Keningnya mula terangkat sebelah, ala-ala tiru gaya penyanyi Ziana Zain.

“Cerita? Cerita pasal apa?” Amiera buat-buat sibuk menyusun majalah.

“Miera, you jangan nak buat-buat tak faham ya!” Riak wajah Gina mula serius. Tangan kanannya mencekak pinggang. Gaya dia mula geram.

“Memang I tak faham.” Amiera tayang sengih lagi sekali. Ketika itu juga, tangan mula menggaru kepala.

“Okey. I nak tunjuk something dekat you!” Wajah Gina tambah serius sampaikan Amiera  makin menggelabah.

Gina menarik tangan Amiera supaya duduk di sofa. Kemudian telefon miliknya digodek-godek dengan muka serius yang tak habis-habis.

“Cuba cerita dekat I, apa semua ni?” Gina tayangkan telefonnya ke muka Amiera.

Terbeliak mata Amiera melihat gambar yang tertera di skrin telefon Gina. Air liur mula ditelan berkali-kali. Sampaikan terasa kering tekaknya.

‘Kau nak jawab apa ni, Miera?’ desisnya  mula semput nafas.

Amiera capai telefon milik Gina. Dipandang gambar yang tertera di skrin itu.

So, you ada nak komen apa-apa?” Suara Gina membuat hati Amiera tersentak. Dia tenung gambar itu lama-lama. Ada pelbagai rasa yang bersarang di dada tapi sengaja dia buat lagak biasa. Hakikatnya, hati tetap terdetik juga.

‘Tak sangka, aku nampak cantik sangat dalam gambar tu. Dahlah di sebelah aku ni lelaki kacak. Macam betul-betul saja aku yang kahwin malam tadi.’

“Miera!!! I nak dengar komen dari you. Bukannya I nak tengok you terus diam macam patung!” Gina tepuk bahu Amiera bila dilihatnya Amiera seperti mengelamun jauh.

“Nak komen apa?” Itu yang keluar dari mulut Amiera, kemudian wajah Gina dipandang tanpa rasa.

“Pengantin perempuan dalam gambar tu, you kan?” ujar Gina mula geram.

“You pasti ke gambar pengantin perempuan dalam fon you ni, gambar I?” soal Amiera menayangkan gambar di telefon Gina.

I`m pretty sure. Memang perempuan dalam gambar tu, adalah you. Kan  gaun pengantin dalam gambar tu dari butik ni. Dan pengantin lelaki yang kacak tu, namanya Umair Qaisar bin Dato’ Halimi, cucu pemilik Hotel Diamond,  iaitu Tan Sri Mansor.” Gina merenung wajah Amiera. Masih geram bila Amiera tetap tak nak mengaku.

“Gina sayang, tak semestinya gambar perempuan dalam ni, gambar I tau. I kan belum kahwin lagi. Lagipun, I nak kahwin macam mana, kalau kekasih pun I tak ada,” ujar Amiera, sengaja nak melengahkan jawapan.

“Miera, you tak payah nak tipu I. Memang perempuan dalam gambar tu, you kan?” Suara Gina makin keras. Tetap mempertahankan hujahnya kerana dia yakin bahawa perempuan dalam gambar itu adalah Amiera. Dia yakin sangat-sangat.

Bahu Amiera jatuh.

“Kenapa you yakin sangat perempuan dalam gambar itu adalah I? I tak kenal pun siapa lelaki dalam gambar ni,” tutur Amiera.

Gina mendengus kasar.

“Bukankah malam tadi you yang hantar gaun pengantin perempuan dekat Hotel Diamond? Gaun tu untuk pengantin perempuan iaitu Emily. Dan pengantin lelakinya adalah Qaisar,” ujar Gina. Nampak gayanya, dia tak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Amiera tadi.

“Ya. Memang I yang hantarkan. Dan sepatutnya itu tugas you kan?” ujar Amiera pula.

“Tapi I memang yakin sangat-sangat, pengantin perempuan dalam gambar ini adalah you,” tekan Gina. Tetap dengan firasatnya.

“Mungkin ada iras sikitlah kut,” ujar Amiera.

“Helo, ini bukan seiras. Tapi betul-betul gambar you,” tekan Gina.

“Isy... Bukan main yakin lagi you. Bukankah selama ni, you yang berurusan dengan pasangan pengantin tu? Tak ada kena-mengena dengan I pun, kan?” jelas Amiera.

“Ya, memang I yang berurusan dengan pasangan pengantin itu, tapi pengantin perempuan dalam gambar ini you, bukan Emily Hana! I yakin sangat, perempuan dalam gambar bersama Qaisar ini adalah you, Miera.” Gina tetap menuduh Amiera adalah orang dalam gambar itu. Dia tak puas hati selagi Amiera tidak mengaku.

“Dari mana you dapat gambar ni?” soal Amiera.

“Kawan I yang hantar. Dia ada pergi majlis tu. Dia pun terkejut kerana pengantin perempuan bukan Emily, model terkenal tu, tapi perempuan lain. Sebab itu, dia hantar gambar ni dekat I. Dan bila I tengok, I terkejut sebab gambar perempuan dalam gambar ini adalah you,” cerita Gina.

Amiera tarik nafas. Baru dia tahu dari mana Gina dapat gambar itu.

“I nak minum sekejap. Dahagalah pula,” ujar Amiera, sengaja nak melarikan diri dari terus bersoal jawab dengan Gina. Itu baru Gina, kalau Puan Salina yang tanya, apa yang dia nak jawab? Amiera dah mula pening kepala. Makin risau kalau hal ini makin berpanjangan hingga ke pengetahuan keluarganya di kampung.

“Miera, I belum habis cakap lagi ni,” laung Gina bila selamba Amiera bangkit meninggalkannya.

“Dahlah, Gina. Lupakan aje pasal gambar tu. Yang pasti, I tak terlibat okey.” Amiera membalas dari bilik pantri yang tidak jauh dari ruang rehat butik itu.

 

AMIERA BERNASIB baik kerana Puan Salina merangkap tuan punya butik ini tidak datang hari ini kerana ada urusan di luar. Jadi, semua pekerja menjalankan tugas masing-masing. Amiera pun sudah boleh menarik nafas lega kerana isu malam tadi senyap begitu sahaja. Dan dia berharap sangat, isu malam tadi tidak akan berbangkit lagi.

Di butik ini, tugas Amiera adalah sebagai pereka fesyen pakaian pengantin. Malam tadi, dia memang menggantikan tempat Gina kerana Gina ada hal. Alih-alih berlaku pula perkara lain.

Hari ini, Amiera berharap dia dapat menyiapkan lakaran baju pengantin sebagaimana yang dirancangkan. Puan Salina pun dah menggesa dia supaya menyiapkannya secepat mungkin kerana butik ini akan mengadakan pameran dua bulan lagi untuk koleksi terbaru gaun pengantin.

Bunyi loceng menandakan ada tetamu yang berkunjung di butik. Gina yang kebetulan berada di ruang tempat susunan baju segera membuka pintu. Ternganga mulutnya melihat pengunjung itu.

“Encik... Encik Qaisar?” Bagai tersampuk hantu lagak Gina melihat empunya badan di depan mata. Sudah beberapa kali dia bersua muka dengan lelaki di hadapannya. Setiap kali, dia memang teruja menatap wajah kacak ini. Sementelah pasangannya bukan calang-calang orangnya. Model terkenal yang sentiasa memperagakan koleksi di dalam dan di luar negara iaitu Emily Hana. Malah Emily pernah sekali memperagakan gaun pengantin milik butik ini dua tahun yang lepas. Mungkin sebab itu juga butik ini menjadi pilihan Emily.

“Boleh I masuk?” Suara Qaisar memandang wajah terkejut Gina yang berdiri di muka pintu seakan menghalang dia untuk masuk.

Oops, sorry!”

Gina menayang sengih sambil memberi ruang untuk pelanggan masuk kerana baru tersedar yang dia telah menghalang laluan. Badannya yang sedikit gempal segera mengikut langkah Qaisar yang nampak begitu bergaya melangkah masuk, meninjau ninjau sekitar butik seperti seorang mandur melawat kawasan.

“Boleh saya bantu Encik Qaisar?” aju Gina sambil berhadapan dengan lelaki segak bergaya. Memang segak bergaya lelaki di hadapannya ini dengan mengenakan kemeja dan kot berwarna hitam.

“I datang nak jumpa seseorang.”  Qaisar bersuara tanpa memandang wajah Gina. Tapi anak matanya masih melilau melihat sekitar butik seperti mencari wajah seseorang.

“Nak jumpa seseorang? Maksud Encik Qaisar?” Tanpa berlengah, Gina mengajukan soalan.

Kelihatan bibir Qaisar mengukir senyum segaris ke arah Gina.

“I nak jumpa dengan Amiera.” Terus Qaisar memberi jawapan.

“Amiera? Kenapa Encik Qaisar nak jumpa dia?” Mulut Gina dah kembali melopong. Terkejut bila nama Amiera meniti di bibir lelaki kacak ini.

“Dia ada?” soal Qaisar tanpa menjawab soalan Gina.

Erm...” Gina menggaru kepala.

I need to see her,” jelas Qaisar mula bengang bila dia asyik ditanya.

Tiba-tiba ada bunyi notifikasi di handphone Gina. Bergegas Gina mendapatkan telefonnya.

 

Gina, cakap aje dekat lelaki tu yang

I tak ada. I dah keluar.

Macam mana kalau dia terus desak

nak jumpa you?

You bagi ajelah apa-apa alasan. I

tak nak jumpa dia sekarang.

Kalau dia terus desak juga, macam

mana?

Ginaaaa...

 

Gina tersengih membaca mesej Amiera.

Where is she?” soalan Qaisar mematikan sengihan lebar Gina.

Oh my God!” Gina menekap telapak tangan ke dada. Terkejut dengan pertanyaan Qaisar yang tegas dan begitu hampir dengannya.

She? Who is she?” Gina blur sekejap.

“Amiera.” Makin bengang Qaisar dibuatnya.

“Oh, Miera maksud Encik Qaisar. Maaf, Miera tak ada. Dia baru aje keluar,” balas Gina. Terpaksa dia berbohong atas permintaan Amiera.

“Dia baru aje keluar? Are you sure?” Qaisar merenung wajah Gina.

Gina menelan liur sambil mengangguk kepala perlahan.

“Tapi I tengok kereta dia ada dekat depan. Dia keluar pergi mana?” soal Qaisar seperti tidak percaya jawapan yang diberikan oleh Gina.

Erm... Dia temankan Puan Salina keluar. Ada hal. I tak tahu bila dia balik. Encik nak pesan apa-apa ke? Boleh I sampaikan,” tutur Gina memandang wajah Qaisar.

“Betul dia tak ada?” Qaisar merenung wajah Gina dengan riak serius.

“Be... be... betul. Memang dia tak ada. Dah keluar.” Tergagap Gina bersuara disebabkan tak tahan dengan renungan mata Qaisar.

Hmm... Nanti you beritahu dia, I nak jumpa,” ujar Qaisar. Kali ini, suaranya mula kembali ke ton normal.

“Ya, baik. Nanti I sampaikan,” balas Gina sambil mengukir senyum.

“I pergi dulu.” Qaisar terus berlalu pergi.

Gina menarik nafas lega sebaik sahaja tubuh Qaisar menghilang.

Amiera keluar dari pantri setelah yakin Qaisar sudah keluar dari butik itu.

Hmm... You nak explain apa kali ni?” Gina berpeluk tubuh sambil memandang tajam wajah Amiera yang sudah keresahan.

Explain what?” Amiera buat-buat tanya.

“Miera!!!” Gina ketap bibir.

Melihat lagak Gina, Amiera melepas tawa.

“Okey. I explain sekarang. Tapi selepas I beritahu you, I tak nak you kecoh-kecoh lagi. Janji?” tutur Amiera. Tak ada gunanya dia terus simpan hal ini kerana dia pasti ia akan terbongkar juga nanti.

“Okey. I janji.” Gina mengangkat tangan kanan separas bahu tanda yang dia betul-betul janji.

Amiera terus menceritakan  apa yang berlaku malam tadi. Dan reaksi Gina sama dengan Nasuha.

Wow... Seronoklah you, dapat bersanding dengan lelaki kacak macam Encik Qaisar tu kan.” Gina dah angkat-angkat kening. Sengihan lebar mula terbias di wajah gebunya.

“Gila tak seronok. Rasa macam I betul-betul kahwin dengan dia!” Saja Amiera buat lagak gedik.

“Eee... Gatalnya!” Gina menyinggul bahu Amiera. Buat gaya menyampah.

“Alah... mengaku ajelah you jealous dengan I sebab I jadi pengantin lelaki kacak tu kan? Itulah you. Siapa suruh I gantikan tempat you malam tadi? Kalau tak, you yang kena bersanding dengan dia!” Kali ini sempat pula Amiera menyakat Gina. Wajah Gina tiba-tiba merona merah.

“Haaa... Muka you dah blushing. You suka dekat lelaki yang datang tadi kan?” usik Amiera.

Gina tersenyum-senyum.

“Siapa tak suka lelaki kacak macam Encik Qaisar tu. Dia memiliki semua yang diidamkan oleh perempuan tau. Cik Emily bertuah dapat jadi pasangan dia,” ujar Gina.

“I yang bertuah sebenarnya sebab I jadi pasangan dia malam tadi, walaupun sekadar pengantin olok-olok.” Saja Amiera angkat diri. Kemudian dia tersenyum-senyum. Saja nak buat Gina cemburu.

Gina terus mencebik.

“Alah... I gurau ajelah. Saja nak hiburkan hati.” Akhirnya Amiera bernada serius.

“Tapi apa tujuan sebenar dia datang cari you? Takkanlah dia nak you betul-betul jadi isteri dia? Tapi... kalau betullah dia nak you jadi isteri dia, macam mana? You nak terima?” tutur Gina tiba-tiba bila teringatkan kunjungan Qaisar tadi.

Amiera termenung memikirkan kata-kata Gina.

“Ya tak ya. Betul jugak. Apa tujuan dia datang untuk jumpa I tadi?” Kening Amiera hampir bertaut.

“Salah you juga, menyorok tadi apa hal? Tak nak jumpa dia konon. Kan tak pasal-pasal otak you kena berfikir untuk cari jawapannya. Padan muka!” sindir Gina.

Amiera tersengih mendengar sindiran Gina.

No comments:

Post a Comment