DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Saturday, 29 October 2022

Pengantin Ekspres - Bab 4


SEUSAI mengemas meja kerjanya, Miera mencapai beg sandangnya. Dia sudah bersedia untuk balik. Tinggal Gina, Laili dan Joe yang masih meneruskan kerja mereka. Sekejap lagi mereka pun akan bersiap balik. Selalunya Gina yang paling lewat balik sebab dia yang pegang kunci butik. Puan Salina amanahkan kepada Gina untuk memegang kunci. Gina pekerja yang paling lama berkhidmat di butik itu dan merupakan orang kepercayaan Puan Salina.

Sepanjang Amiera bekerja di butik ini, dia tidak pernah menghadapi masalah sebab semua pekerja bersikap ramah dan saling membantu. Kalau tak, mana mungkin dia dapat bertahan selama tiga tahun di butik ini walaupun dia pernah mendapat tawaran yang agak lumayan dari butik lain. Tapi bila dia diberi kepercayaan oleh Puan Salina untuk mereka cipta baju pengantin, dia rasa seronok dan terharu. Sebenarnya dia pun bukannya mahir sangat mereka baju pengantin, banyak yang dia kena belajar tapi Joe atau nama sebenarnya Johari merangkap senior designer tidak lokek memberi ilmu dan bekerjasama dengannya.

Sampai di kereta, dia melirik jam tangannya. Sudah jam 9.00 malam. Tangannya mencari anak kunci kereta dalam beg sandangnya.

“Isy... Mana pula kau sembunyi ni.” Amiera mendecit geram bila susah pula nak berjumpa kunci kereta.

“Cik Amiera?”

Opocot, mak kau!” Amiera melatah dan kunci kereta yang baru dipegangnya terpelanting jatuh.

“Maafkan saya kerana mengejutkan Cik Amiera.”

Suara sama yang menegur tadi membuatkan Amiera segera menoleh ke belakang.

“Awak ni siapa?” soal Amiera melihat lelaki muda yang berkot hitam. Segak juga orangnya.

“Saya PA Encik Qaisar dari Hotel Diamond,” beritahu lelaki muda itu sambil menunduk sedikit wajahnya tanda hormat.

Hurm... betul ke awak ni PA dia? Jangan-jangan awak menyamar aje sebab nak culik saya. Tapi saya nak ingatkan awak  ya, saya ni bukan orang kaya kalau awak berniat nak culik saya untuk dapatkan wang tebusan.” Suara Amiera sambil memandang wajah lelaki itu. Kedua-dua tangannya dah dikepal bersedia untuk melayangkan penumbuk kalau lelaki itu bertindak yang bukan-bukan.

Lelaki itu mengukir senyum.

“Betul. Saya memang PA Encik Qaisar. Nama saya Rudy. Saya diarahkan oleh Encik Qaisar untuk menjemput Cik Amiera ke Hotel Diamond. Dia nak makan malam bersama cik,” beritahu Rudy sambil mengukir senyum.

Amiera tetap diam. Masih memikirkan untuk percaya atau tidak.

“Kalau ya pun dia nak ajak saya makan malam, kenapa awak yang datang?” soal Amiera.

“Dia ada hal. Tak dapat nak jemput cik,” beritahu Rudy.

Amiera tarik nafas. Masih sukar nak percaya.Maklumlah sekarang ini, ramai yang menjadi penyamun dan penyangak, tak kiralah rupa segak ataupun tidak. Dan lagi satu, kalau betul Qaisar  sibuk, kenapa masih nak makan malam dengannya? Boleh percaya ke?

“Eh, awak nak buat apa tu?” kalut Amiera bertanya bila Rudy menyeluk tangannya di dalam poket.

“Ni, saya nak keluarkan telefon. Nak hubungi Encik Qaisar agar cik boleh bercakap sendiri dengan dia,” ujar Rudy sambil tersenyum.

Amiera menarik muka masam. Mata masih belum berkalih melihat lagak Rudy yang mula menghubungi seseorang.

“Encik Qai, saya ni... Rudy. Ya. Saya dah jumpa Cik Amiera, tapi dia tak percaya yang saya  diarahkan oleh encik untuk menjemputnya,” ujar Rudy. Gaya macam dia nak mengadu pula.

Rudy diam. Mungkin mendengar bicara dari orang di hujung talian.

“Encik Qaisar nak bercakap dengan cik.” Telefon milik Rudy berada di depan muka Amiera. Teragak-agak Amiera nak menyambutnya.

“Encik Qaisar sedang menunggu di talian!” ujar Rudy dengan nada tegas. Nak tak nak Amiera menyambut telefon itu dan ditekap di telinganya.

Amiera, it`s me. Qaisar.” Terdengar suara lelaki itu di hujung talian.

“Ya, Encik Qaisar,” tutur Amiera dengan perasaan debar. Pertama kali mendengar suara lelaki itu di talian. Memang kedengaran macho habis.

“I nak ajak you dinner malam ni. Boleh you ikut Rudy sekarang?” tegas suara Qaisar.

“Saya dah nak balik ni.” Amiera cuba menolak. Takkanlah senang-senang dia nak akur.

“Amiera, please... I need to see you!” Nada suara masih tegas seperti tadi walaupun berupa nak minta tolong.

“Okey. Tapi, saya boleh pergi sendiri. Tak payah nak jemput bagai.” Amiera melirik ke arah Rudy yang sedang mendengar bicaranya.

“Tinggalkan kereta you dekat situ. Nanti orang I akan hantarkannya ke rumah you. You cuma perlu ikut Rudy sekarang. Demi keselamatan you juga,” ujar Qaisar. Sekali gus memberi arahan.

Amiera mengeluh berat.

“I cuma nak dinner dengan you. Tanda ucapan terima kasih. I ada datang tadi untuk ajak you lunch tapi you tak ada, jadi I nak ajak you dinner,” tutur Qaisar.

“Tapi encik...”

Please, Amiera. I benar-benar terhutang budi dengan you sebab tolong I. Kalau nak ikutkan, belanja dinner pun belum cukup untuk I ucapkan terima kasih pada you,” ujar Qaisar.

“Bukankah encik sudah bayar saya. Semuanya dah selesai. Kita tak perlu berhubung lagi. Kenapa nak jumpa lagi?” ujar Amiera.

Please... I  nak jumpa you sekarang. I tunggu you dekat hotel,” ujar Qaisar.

“Kenapa encik beria-ia nak jumpa saya? Jangan-jangan encik dah mula rindukan pengantin ekspres encik ni!” Tanpa sedar timbul idea untuk mengusik.

“Kalau betul I rindukan pengantin ekspres I, you nak cakap apa? You percaya?”

Soalan dibalas soalan dan soalan ini mampu membuat bibir Amiera terkunci tapi hati mula berdebar-debar. Dan tak tipu kalau dia katakan, debaran itu terasa cukup kuat.

“Dan you pun mesti rindukan suami ekspres you juga kan? Lagipun, bukan senang tau nak jadi isteri ekspres kepada lelaki yang bernama Umair Qaisar. You orang yang paling bertuah dekat dunia ni.” Kali ini, nada suara Qaisar berubah sama sekali. Bunyi sangat nakal.

Erk!!!” Usikan daripada Qaisar membuatkan Amiera rasa tekaknya seperti tertelan tulang ikan sampaikan dia terbatuk-batuk. Bukan suami isteri betul pun. Hanya olok-olok saja sebab pengantin sebenar sudah lari. Kemudian terdengar suara gelak di hujung talian.

Pass the phone to Rudy!” Arahan Qaisar diikuti.

Rudy menyambut dan dia mengangguk perlahan, mungkin mendengar arahan daripada bosnya.

“Cik Amiera, boleh kita pergi sekarang? Kereta Cik Amiera ni akan dihantar ke rumah sewa Cik Amiera nanti. Encik Qaisar sudah lama menunggu. Nanti kita juga yang kena marah kalau terlewat,” ujar Rudy memberi laluan kepada Amiera sambil menunjukkan kereta BMW yang terparkir di belakang kereta Myvi milik Amiera.

 

KERETA BMW yang dipandu Rudy berhenti di depan lobi Hotel Diamond. Seorang pemuda meluru dan membukakan pintu untuk Amiera. Dan ketika itu juga Rudy keluar dari kereta dan menyerahkan kunci kepada pemuda tadi.

“Cik Amiera, tak nak keluar ke? Ke seronok naik kereta BMW milik Encik Qaisar?” Rudy berdiri di depan pintu yang sedang terbuka.

Amiera sudah mengetap bibir. Geram kena perli. Dia bukan suka-suka nak duduk lama dalam kereta mewah ni. Kalau nak kata seronok, dia lagi seronok naik kereta sendiri walaupun keretanya kecil dan buatan tempatan sahaja. Dia akui yang dia tak mampu nak miliki kereta mewah ini. Harapkan dapat jemputan saja dia berpeluang naik kereta mewah ni. Duduk belakang, gaya macam mem besar tapi itu pun sebab terpaksa.

“Isy... bos dengan anak buah sama saja. Suka perli-perli aku. Karang aku balik baru tau!” Amiera mendecit.

“Cik Amiera cakap apa? Saya kurang jelas.” Rudy menyoal dengan dahi berkerut.

“Isy, awak ni... Harapkan muka aje handsome, tapi ada masalah kurang pendengaran,” bidas Amiera dan terus meluru masuk ke dalam lobi hotel sambil mengawal senyum. Bukan dia tak nampak perubahan wajah Rudy tadi. Cemberut macam asam kecut kena perli. Dahlah pemuda yang jadi joki tadi pun dah mula senyum-senyum mendengar perliannya tadi.

“Awak marah ya? Bengang dengan kata-kata saya tadi?” Rudy bersuara.

Tiba-tiba Amiera menghentikan langkah dan menoleh ke belakang. Menghadap wajah Rudy yang terkejut dengan tindakannya. Nasib baik tak berlanggar badan tadi. Kalau tak, mahunya dia menjawab dengan Encik Qaisar nanti.

Rudy pamer senyum.

“Itu juga yang saya rasa bila awak perli saya tadi. Ingat saya ni kempunan sangat ke nak naik kereta bos awak tu? Saya bengang tau tak bila kena paksa datang sini!” Amiera meluah rasa geram.

Terkulat-kulat Rudy memandang wajah Amiera.

“Maaf, Cik Amiera. Saya hanya menjalankan arahan dan tugasan daripada Encik Qaisar.” Rudy tunduk kepalanya sedikit.

“Ya, saya tahu. Mana bos awak?” soal Amiera. Malas nak panjangkan cerita. Buang masa sahaja.

“Sila ikut saya,” ujar Rudy.

“Encik Rudy...” Amera menoleh.

“Panggil saja Rudy. Tak payah nak berencik. Saya ni cuma pekerja sahaja, bukannya bos.” Rudy tayang sengih.

“Okey, Rudy. Macam mana dengan kereta saya tadi?” soal Amiera. Risau kalau apa-apa yang berlaku dengan kereta kesayangannya. Kereta itu umpama nyawanya  yang sangat berharga. Bukan senang dia nak dapat. Kena kumpul duit berbulan-bulan untuk bayar duit muka. Lepas tu, kena bayar bulan-bulan kepada bank selama sembilan tahun. Bukan senang. Sebab itu, dia sayang sangat keretanya itu.

“Kereta Cik Amiera akan dihantar ke rumah sewa Cik Amiera. Jangan risau. Kereta Cik Amiera selamat,” ujar Rudy.

“Awak pun tak payah nak bercik dengan saya sebab saya bukan bos awak,” ujar Amiera.

“Tak boleh. Saya kena panggil Cik Amiera. Nanti Encik Qai marahkan saya,” ujar Rudy.

“Terpulang pada awaklah,” balas Amiera.

Hurm... pasal kereta saya tadi. Kalau jadi apa-apa dengan boyfriend saya tu, saya saman awak tau!” Amiera memandang wajah Rudy dengan serius.

Boyfriend? Cik Amiera memang dah ada boyfriend ke? Kesian Encik Qai nanti.” Rudy tercengang.

“Kereta Myvi saya. Itu boyfriend  kesayangan saya. Jangan awak berani nak apa-apakan dia,” balas Amiera sambil melempar jelingan ke arah Rudy.

Kedengaran Rudy tergelak kecil.

“Habis, Encik Qai tu...” Rudy angkat kening bersama sengihan.

“Dia itu kan bos awak. Tak ada kena-mengena pun dengan saya!” tegas Amiera.

“Ya ke? Bukan ke dia sepatutnya yang menjadi boyfriend Cik Amiera?” Rudy angkat keningnya sekali lagi bersama sengihan yang semakin lebar.

“Weh... Dia tu suami orang tau. Jangan nak buat gosip yang bukan-bukan ya! Malu saya nanti.” Kali ini Amiera jegilkan mata.

Sorry, saya gurau ajelah.” Rudy senyum-senyum.

Amiera angkat keningnya.

 ‘Tahu pun yang dia tu suami orang. Saja gatal nak  ajak aku jumpa dia tu, apa hal? Karang aku juga yang susah nanti,’ desis Amiera sambil ketap bibir.

“Encik Qai sudah menunggu di sana,” ujar Rudy yang membawa Amiera ke dalam dewan makan. Sekali gus mematikan lamunan Amiera.

No comments:

Post a Comment