DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Saturday 29 October 2022

Pengantin Ekspres - Bab 5


AMIERA menyambung langkah masuk ke ruangan makan yang memang nampak eksklusif. Rudy terus berlalu pergi setelah menunjukkan meja Qaisar. Sempat juga Amiera melilau melihat dekorasi ruang makan ini. Mewah. Ala-ala restoran yang menyediakan hidangan bufet. Pengunjung masa ini tak ramai. Mungkin kebanyakan orang sudah menikmati makan malam.

Langkah Amiera berdiri betul-betul di depan meja yang berada di sudut hujung, menghadap pemandangan luar. Dan satu-satunya penghuni sudut ini adalah lelaki yang sedang dia hadap sekarang. Sedang khusyuk melayan MacBooknya.

“Ehem...” Amiera berdeham, mencuri ruang dan perhatian lelaki kacak di hadapannya. Ya, memang kacak. Pakai apa pun tetap nampak kacak. Kali ini, lelaki itu mengenakan kemeja berwarna krim dan bertali leher corak abstrak. Lengan baju sudah disingsing sampai ke siku menampakkan lengannya yang berotot dan sedikit berbulu.  Nampak seksi dan macho.

Mendengar suara dehaman Amiera, lelaki itu segera mengangkat muka. Dia seperti terkejut memandang wajah Amiera. Dan automatik dia bangun berdiri.

Sorry, nampak gaya macam encik terkejut tengok muka saya. Teruk sangat ke muka saya macam  encik ternampak hantu?” Amiera meluah kata melihat reaksi Qaisar tadi.

Qaisar mengukir senyum. Kemudian dia tergelak mendengar ayat Amiera.

“Maaf, I tak sedar you dah sampai. Sekali lagi I minta maaf, I bukan terkejut sebab nampak muka you macam hantu,” ujar Qaisar. Dia tayang sengih.

“Oh? Jadi encik terkejut dengan penampilan saya? Kalau encik terkejut, saya lagi terkejut sebab dengan penampilan saya yang simple ni, terpaksa mencemar duli masuk ke hotel hebat macam ni. Kalau ikutkan, saya nak balik aje tadi,” ujar Amiera.

Dia sedar yang penampilannya cukup ringkas walaupun tidak serabai, hanya berseluar jean biru dan blaus. Rambut yang diikat satu pun dah sedikit terkeluar. Memang tak kena betul kalau nak dibandingkan dengan penampilan lelaki di hadapannya. Yalah, nak masuk hotel yang hebat, mesti penampilan pun hebat. Bukan selekeh macam dia.

“Kalau you balik tadi, harus I suruh Rudy jemput you semula dekat rumah you! Tak kisahlah kalau masa tu you pakai baju tidur sekali pun. Tetap kena datang ke sini juga untuk dinner dengan I malam ni!” tutur Qaisar sambil merenung lama wajah Amiera.

Mulut Amiera dah ternganga bulat. Siap bayangkan yang dia sedang pakai baju tidur Doraemonnya sedang duduk semeja dengan lelaki kacak ini.

Fuh! Nasib baik itu cuma bayangan. Bukan betul-betul. Amiera gelengkan kepala, cuba menghilangkan bayangan tadi.

Please, have a seat!” Tiba-tiba satu suara menyapa cuping telinganya.

Amiera segera menoleh. Nasib baik hidungnya tak tercium pipi Qaisar yang sudahpun menarik kerusi untuknya. Eh, bila masa pula dia tolong tarikkan kerusi untuk aku ni?Masa aku mengelamun tadi ke?

Hurm... nasib baik tak accident,” ujar Qaisar sambil berjalan dan kembali duduk di kerusinya semula.

Accident?” soal Amiera terkejut.

“Ya...” balas Qaisar. Siap buat demo letak jari telunjuknya ke pipi sendiri.

Masa itu muka Amiera mula terasa hangat. Faham  apa yang cuba disampaikan Qaisar.

“Okey, you nak makan apa?” Qaisar menyoal sambil meneliti menu di tangan.

Amiera tarik nafas sambil otak berfikir apa yang dia nak makan malam ini. Malas nak tengok menu.

“Alang-alang ada orang nak belanja, saya nak makan nasi. Dan pasal lauk, terpulang pada encik. Kalau saya oder macam-macam, pengsan encik nanti.” Amiera tayang sengih.

Kelihatan kening Qaisar terangkat.

“Pengsan?” soal Qaisar.

“Saya ni tubuh aje kecil tapi makan banyak. Lebih-lebih lagi, kalau dapat makan free. Tolak batu dengan kayu aje,” balas Amiera. Sengaja tayang muka tak malu dengan harapan selepas ini, lelaki itu tak akan paksa dia lagi. Bukan apa, dia sedar status hubungan mereka. Dia tak nak timbul sebarang gosip tentang dirinya gara-gara ada kaitan dengan lelaki ini.

Lama anak mata Qaisar memandang wajah Amiera. Seperti tak percaya dengan kata-kata gadis itu.

“Kalau betul I oder penuh satu meja ni untuk you, you kena habiskan. Selagi tak habis, you tak boleh balik,” ujar Qaisar. Sepertinya mengugut Amiera.

“Hah! Mana boleh macam tu?” Mulut Amiera ternganga. Takkan Qaisar serius nak oder penuh satu meja. Jenuh dia nak kena habiskan. Amiera dah mula resah dan takut. Melihat wajah resah itu, Qaisar tergelak kecil.

“Tahu pun takut. Tadi bukan main lagi cakap besar,” tempelak Qaisar.

“Macam nilah, encik oder aje apa yang encik nak makan. Saya ikut.” Akhirnya Amiera mengalah.

“Betul ni?”

“Betul.”

“Okey. Yang penting you nak makan nasi, kan?” ujar Qaisar.

Amiera mengangguk. “Saya ni orang kampung. Tak dapat tidak, kena makan nasi. Kalau tak, perut rasa tak kenyang.”

Qaisar pamer senyum mendengar kenyataan Amiera. Tanpa berlengah, Qaisar membuat pesanan.

“Encik, saya nak tanya satu soalan, boleh?”

Setelah beberapa minit membisu, Amiera kembali bersuara. Tadi dia membiarkan Qaisar melayan telefon bimbitnya. Malas nak mengganggu tapi bila dia melihat Qaisar meletakkan telefonnya di atas meja, dia tahu urusan lelaki itu telah selesai.

I`m listening,” ujar Qaisar. Anak mata tepat memandang wajah Amiera.

Amiera mula berdeham. Semacam habis berterabur ayat yang disusun sebentar tadi gara-gara ditenung lelaki kacak itu. Dia memang macam ni, mudah gelabah dan tak senang duduk bila kena tenung.

“Apa tujuan sebenar Encik Qaisar nak jumpa saya?” soal Amiera setelah berjaya menenangkan hati yang asyik berdondang sayang akibat kena tenung.

Qaisar mengukir senyum mendengar pertanyaan itu.

Alahai... Makin parah pula hati Amiera dibuatnya. Hati yang sudah dapat bertenang, kembali berkocak. Teruk betul penangan senyuman seorang lelaki kacak. Parah hati dibuatnya.

“Encik... kalau asyik senyum aje, macam mana saya nak tahu jawapannya?” Amiera menyoal. Tak tahan asyik menatap senyuman yang menggetar jiwanya. Mahu cair dan meleleh dibuatnya. Dan dia kena sentiasa ingat yang lelaki kacak itu adalah suami orang. Kalau bukan suami orang, dia tak kisah kalau hatinya cair sampai meleleh ke bawah meja sekali pun.

Hmm... you ni, muda-muda dah nyanyuk ya?” Itu yang keluar dari mulut Qaisar.

“Mana ada nyanyuk?” Amiera tarik muka masam.

“Dalam telefon tadi kan dah cakap, I nak dinner dengan you. Sebab itu, I ajak you temankan I. Nak ajak lunch tadi, you tak ada,” ujar Qaisar sambil mengangkat keningnya.

Amiera garu keningnya. Dia belum lupa apa yang diungkap Qaisar tadi tapi jawapan itu belum cukup untuk puaskan hatinya.

Qaisar senyum lagi. Nak tergelak melihat gelagat gadis di hadapannya.

“Sebenarnya I nak ucapkan terima kasih pada you sebab you dah selamatkan I malam tadi dengan menjadi pengantin I. Kalau you tak muncul malam tadi, I tak tahu apa yang akan jadi dengan majlis perkahwinan I tu. Mungkin pelbagai isu yang akan keluar nanti. Dan yang pasti, semua yang berlaku akan membuatkan keluarga I malu,” ujar Qaisar dengan wajah serius kali ini.

Amiera diam.  Masih menunggu kata-kata Qaisar seterusnya.

“Kedatangan you bagaikan satu rahmat untuk I. Dan... gaun pengantin yang you pakai malam tadi sangat sesuai dengan you, seolah-olah ia direka khas untuk you pakai. Dan hati kecil I pernah terfikir, kenapa tidak you aje yang jadi isteri I? Kenapa mesti Emily yang sanggup malukan kami sekeluarga dengan menghilangkan diri di malam majlis tu.”

“Kalaulah dia beritahu awal-awal, I boleh buat perancangan lain. Atau lebih baik lagi, batalkan sahaja perkahwinan kami. Tapi dia memilih untuk memalukan I dan keluarga I. Itu yang I tak boleh terima,” ujar Qaisar. Sekali gus meluahkan rasa hati atas tindakan salah Emily.

Amiera diam. Timbul pula rasa simpati dengan apa yang berlaku pada lelaki ini. Betapa bodohnya Emily kerana meninggalkan lelaki kacak ini. Kalaulah dia berada di tempat Emily, dia tak akan buat begitu. Itu tolak tuah namanya. Emily betul-betul bodoh.

Qaisar kembali merenung lama wajah Amiera.

“Kenapa encik tenung muka saya macam tu?” soal Amiera resah.

“I masih tak dapat melupakan wajah you dalam pakaian pengantin. Saat ini pun, I masih  bayangkan you pakai gaun pengantin itu,” ujar Qaisar bersama senyuman.

‘Walaweh! Dia cuba goda aku ke apa ni?’ Amiera tak senang duduk. Memang berbeza sungguh reaksi dan sikap lelaki ini saat pertama mereka berjumpa malam tadi. Kalau malam tadi, mukanya serius memanjang, kali ini mukanya senyum semacam. Kedua-dua situasi itu membuatkan Amiera rasa seram.

“Kalau encik nak tahu, gaun pengantin yang saya pakai malam tadi adalah hasil rekaan pertama saya setelah tiga tahun saya kerja di Salina Bridal Gallery. Selama ni, saya hanya sekadar membantu tapi akhirnya Puan Salina beri kepercayaan kepada saya untuk mereka gaun pengantin. Saya bayangkan gaun pengantin itu untuk saya pakai kalau saya berkahwin nanti. Tapi tak sangka pula Cik Emily suka dengan rekaan itu,” beritahu Amiera.

“Oh. Patutlah gaun tu sangat sesuai dengan you!” ujar Qaisar dengan nada terkejut.

Amiera tersenyum. Bangga mendengar komen itu.

“Encik, dah lewat ni. Saya kena balik sekarang,” ujar Amiera.

“Dah nak balik ke? I belum puas lagi nak berbual dengan you!” Qaisar melahirkan rasa terkilan.

“Saya risaukan boyfriend saya dekat rumah tu. Dia dah selamat sampai ke belum?” ujar Amiera.

“You dah ada boyfriend? Dan you tinggal bersama boyfriend you?” Wajah Qaisar dah tercengang.

“Saya? Tinggal bersama boyfriend?” Amiera turut tercengang.

“Tadi you cakap... You tinggal bersama boyfriend  you,” tutur Qaisar. Jelas yang dia sangat terkejut dan tak percaya.

“Ya. Memang saya tinggal bersama boyfriend saya tapi dia tidur dekat luar. Saya tidur  dalam bilik saya. Memang saya tak izinkan dia masuk dalam rumah. Bahaya!” Amiera menyimpul senyum.

Qaisar diam. Terpancar riak kecewa di wajahnya.

Hmm... kalau macam tu, I hantar you balik sekarang. Nanti boyfriend you fikir apa pula.” Laju Qaisar bangkit dan melangkah. Mukanya kembali serius seperti kali pertama Amiera jumpa malam tadi.

“Nanti saya kenalkan encik dengan boyfriend saya tu ya.” Amiera mengukir senyum melihat wajah serius dan tegang Qaisar. Sempat dia melihat Qaisar melirik tajam ke arahnya. Macam bengang aje. Cemburulah kut!

Melihat wajah makin mencuka lelaki kacak ini, Amiera rasa nak gelak guling-guling dekat situ juga.

 

KERETA BMW 3 siri yang dipandu Qaisar berhenti di depan rumah sewa Amiera. Pada awalnya Rudy yang hendak memandu tetapi Qaisar menolak. Dia sendiri yang hendak

menghantar Amiera.

“Terima kasih sebab hantar saya balik dengan selamat,” ucap Amiera.

“You dah jadi tanggungjawab I bila you keluar dengan I. Lagipun, itu sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih I pada you,” ucap Qaisar.

Amiera menoleh. Memandang seketika wajah Qaisar.

“Encik, dah banyak kali encik ucapkan terima kasih pada saya. Sebaliknya saya yang patut ucapkan terima kasih pada encik. Dan saya rasa...” Amiera diam. Sukar untuk dia ungkapkan ayat ini tapi dia harus ungkapkannya juga.

“Apa yang you rasa?” soal Qaisar seperti tidak sabar untuk tahu apa yang cuba nak disampaikan Amiera.

“Saya rasa kita tak perlu jumpa lagi lepas ni,” ungkap Amiera sambil mengetap bibir.

“Kenapa? You takut boyfriend you marah dan tak benarkan kita jumpa?” soal Qaisar.

“Bukan sebab tu, tapi sebab encik suami orang. Saya tak nak dituduh macam-macam nanti,” ujar Amiera.

Qaisar menarik hela panjang.

“Tak salah kalau kita nak berkawan. Lagipun, I suka keluar dengan you, borak dengan you. I rasa selesa. Tak macam I rasa semasa keluar dan jumpa dengan perempuan lain,” ungkap Qaisar.

“Saya pun seronok jumpa dengan encik,  tapi kita memang tak boleh teruskan hubungan kita,” tegas Amiera.

“Kenapa?” Qaisar melahirkan rasa terkilan.

“Sebab saya sedar siapa diri saya.” Amiera memberi jawapan senafas.

“Amiera...”

“Saya keluar dulu. Terima kasih sekali lagi sebab belanja saya makan dan juga hantar saya balik,” ujar Amiera yang sudah membuka pintu kereta.

“You tak nak kenalkan I dengan boyfriend you? Tadi, you juga cakap nak kenalkan I dengan dia.” Soalan Qaisar menghentikan niat Amiera untuk keluar dari kereta mewah itu.

“Encik serius ke nak kenal dengan boyfriend saya?” Amiera berpaling. Menatap seketika wajah Qaisar. Perlahan-lahan Qaisar anggukkan kepala.

“Itu, yang tersadai dekat depan tu. Yang warna hitam. Itulah boyfriend saya. Memang dia tak boleh masuk rumah. Sebab tu kena tidur dekat luar,” beritahu Amiera bersama gelak kecil.

What? That car? Perodua Myvi tu, you kata boyfriend you?” Hampir nak terkeluar biji mata Qaisar saat melihat ke arah kereta yang berada di depan rumah.

“Ya. Itulah boyfriend saya. Satu-satunya kesayangan saya,” balas Amiera.

Whoa... I ingatkan...” Qaisar melepas tawa kuat.

“Yalah, boyfriend saya tu murah aje, buatan Malaysia. Tapi saya tetap bangga kerana dia selalu temankan saya ke mana saya pergi,” ujar Amiera.

Hmm... I ingatkan betul-betul orang tadi. Rupanya kereta. Lega I.” Qaisar melurut dada bersama senyuman di wajahnya.

“Saya keluar dulu. Selamat malam,” ucap Amiera.

“Amiera?”

“Ya, encik?”

“Boleh I jumpa you lagi?” soal Qaisar.

“Encik ni... Kan tadi dah cakap hal ni. Encik masih tak faham lagi ke?” Amiera tarik nafas.

“Tapi I tetap nak jumpa you.  Kalau you lupa, I ingatkan yang you tu... pengantin ekspres I. Bermakna you dah jadi ‘wife’ I tau!” ujar Qaisar.

Wife sementara aje. Hanya untuk satu malam. Bukan betul-betul pun. Pengantin olok-olok je,” balas Amiera. Sekali gus mengingatkan Qaisar tentang hubungan mereka.

“Macam mana kalau I jadikan ia betul-betul. You nak?” ujar Qaisar.

“Nak apa?” Dahi Amiera berkerut.

“Kahwin dengan I? Jadi isteri I yang betul-betul. Bukan olok-olok. You nak, tak?” Qaisar angkat keningnya.

“Saya rasa elok encik balik berehat dekat rumah. Tenangkan fikiran. Tak payah nak cakap yang bukan-bukan. Selamat malam.” Tanpa menjawab soalan, Amiera terus melangkah masuk ke dalam rumah sewanya. Sengaja dia tak menjawab pertanyaan itu sedangkan hati dan organ dalamannya dah rasa nak terkeluar dari badan. Itu lamaran ke apa?

“Amiera...”

Sekali lagi, nama itu terluah dari mulut Qaisar sebelum bibirnya mengukir senyum lebar.

No comments:

Post a Comment