DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Saturday, 29 October 2022

Pengantin Ekspres - Bab 7


DATO’ Halimi melirik ke arah Qaisar sebaik sahaja mendengar kata-kata daripada Dato’ Murad. Kalau dia berada di tempat Qaisar, dia tak akan menarik balik apa yang dibuatnya. Ini melibatkan nama baik dan maruah Qaisar dan keluarganya.

“Apa pendapat Qai? Masih nak teruskan dengan prosedur tu? Takkan tak ada cara lain untuk kita selesaikan? Lagipun, kita kan dah lama kenal. Dah macam keluarga,” tutur Dato’ Murad cuba memujuk.

“Memang kita sudah lama kenal, uncle. Tapi ini soal lain. Soal maruah dan nama baik keluarga kami,” ujar Qaisar dengan nada tegas.

Dalam hal ini, dia tidak akan bertolak ansur. Ini menjadi pengajaran buat keluarga Dato’ Murad. Tambahan pula dia memang tahu tujuan asal Dato’ Murad  menjalinkan hubungan dengan keluarganya. Sebab itu, dia tidak teragak-agak mengikut saranan papanya.

“Tapi masalahnya, uncle tak mampu nak bayar saman tu,” tekan Dato’ Murad. Dia meluahkan rasa terkilan dan tak puas hati.

“Kalau dah tahu tak mampu nak bayar, kenapa uncle biarkan Emily buat sesuka hati? Sikit pun tak fikirkan perasaan kami?” marah Qaisar. Wajahnya cukup tegang. Dia tak boleh berlembut dalam hal ini.

“Qai, uncle pun tak sangka Emily akan menghilangkan diri sebelum majlis tu,” ujar Dato’ Murad.

Qaisar gelak sinis. Tajam matanya memandang wajah lelaki yang berusia lewat 50-an itu. Hampir sebaya dengan papanya iaitu Dato’ Halimi.

“Sekurang-kurangnya uncle hubungi kami. Bukannya diam macam tu aje. Dalam hal ni, bukan Emily sahaja yang salah, uncle juga salah. Yang jadi mangsa adalah kami. Jadi, wajarlah tindakan yang kami ambil sekarang,” ujar Qaisar lagi.

Dato’ Halimi melepas keluhan panjang.

“Lim, takkanlah kau nak biarkan anak kau teruskan niat dia nak saman aku sekeluarga? Kau cubalah pujuk Qai supaya dia batalkan niat dia tu.” Kali ini tumpuan Dato’ Murad beralih kepada Dato’ Halimi.

“Ini soal maruah, Murad. Keluarga kami dikenali ramai. Dan selama ni, memang kami sentiasa menjaga nama baik kami, nama keluarga dan nama hotel. Dalam hal ni, aku memang serahkan 100 peratus kepada Qaisar untuk buat apa-apa keputusan dan tindakan. Aku hanya sokong di belakang,” tutur Dato’ Halimi dengan nada tenang.

Lagi sekali Dato’ Murad melepas keluhan berat. Kepalanya digeleng perlahan. Wajahnya juga nampak keruh.

“Takkanlah tak ada cara lain, Qai? Uncle memang tak mampu nak bayar saman sebanyak tu. Qai sendiri tahu keadaan kewangan uncle sekarang, sudah nyawa-nyawa ikan.”

Dato’ Murad tetap berusaha memujuk. Baginya, saman malu sebanyak dua juta yang  dikenakan ke atasnya sangat berat. Mana dia nak cekau duit sebanyak itu untuk membayarnya? Hutang yang ada pun belum diselesaikan. Pada anggapannya, tujuan utama dia menyatukan Qaisar dengan Emily adalah dengan harapan keluarga Qaisar akan dapat membantunya membayarkan hutang yang ditanggungnya. Bila dah jadi macam ni, hutangnya akan lebih bertambah.

Qaisar dan Dato’ Halimi saling berpandangan.

“Macam nilah. Saya tahu uncle tak mungkin dapat membayar saman tersebut kerana uncle memang dah banyak berhutang, kan? Saya juga tahu apa niat sebenar uncle supaya saya menikahi Emily,” ujar Qaisar.

Dato’ Murad tengadah. Tak sangka bahawa Qaisar tahu hakikat itu. Sangkanya, Qaisar tak pedulikannya.

“Saya bukannya bodoh nak terima permainan uncle dari awal lagi,” ujar Qaisar.

“Jadi, Qai nak buat apa sekarang?” soal Dato’ Murad.

Qaisar tarik nafas.

“Qai nak uncle serahkan syer uncle sebanyak 5% dalam Hotel Diamond ni kepada papa Qai. Itu sebagai ganti saman yang kami kenakan pada uncle,” ujar Qaisar dengan tegas.

Dato’ Murad memberi reaksi terkejut.

“Mana boleh! Hanya itu harta yang bernilai untuk uncle sekarang. Kalau uncle serahkan syer tu pada keluarga Qai, apa yang uncle ada sekarang? I’m left with nothing.” Dato’ Murad mula meninggikan suaranya.

Qaisar senyum sinis.

“Kami hanya beri tawaran tu untuk mudahkan uncle buat bayaran saman tersebut. Kalau uncle tak nak serahkan syer tu, kami tak kisah tapi kami nak uncle bayar saman sebanyak dua juta itu dalam tempoh seminggu. Boleh uncle uruskan? Kami pun dah siap sedia lantik peguam untuk uruskan hal ni pada bila-bila masa.” Qaisar bersuara tegas.

Dato’ Murad sudah mula berpeluh. Nafasnya juga tidak seimbang.

“Bagi uncle masa untuk fikirkan.” Itu yang mampu Dato’ Murad luahkan.

“Okey, kami bagi tempoh seminggu. Kalau tak, kami akan dengan proceed saman tersebut,” ujar Qaisar.

Selama ini, Dato’ Murad banyak bergantung kepada syernya di Hotel Diamond. Itu pun atas belas ihsan keluarga Qaisar sejak 15 tahun yang lalu mengenangkan Dato’ Murad adalah salah seorang pekerja yang paling lama dan jatuh bangun bersama keluarga Qaisar. Selepas itu, dia membuka syarikat sendiri. Tetapi disebabkan dia tiada pengalaman dan perangai tamaknya, syarikat yang dibina menghadapi masalah dan banyak menanggung hutang. Itu sebabnya dia mula berbaik dengan Dato’ Halimi. Malah dia juga yang menggesa Dato’ Halimi dan Datin Jamilah untuk terima Emily sebagai menantu.

Sementelah masa itu, Qaisar memang tiada halangan dan kerana memikirkan persahabatan keluarga, Qaisar turutkan sahaja. Tapi tak sangka pula, Emily tiba-tiba buat hal. Mana Qaisar tak mengamuk?

“Baiklah. Uncle akan fikirkan.” Dato’ Murad terpaksa akur.

“Bagus,” ujar Qaisar.

 Dato’ Murad terpaksa mengalah kerana dia memang tidak ada pilihan. Kalau ikutkan hati, dia akan minta Emily memujuk Qaisar untuk menarik balik tuntutan saman. Tapi masalahnya, dia tidak tahu di mana Emily berada sekarang. Timbul pula rasa marah dan sakit hatinya pada anak tunggalnya itu kerana menyebabkan dia menghadapi masalah ini.

Sebaik sahaja tubuh Dato’ Murad menghilang, Dato’ Halimi mendekati Qaisar.

“Apa pandangan Qai?” soal Dato’ Halimi.

“Qai tahu Dato’ Murad memang tak ada pilihan. Dia pasti akan serahkan syernya pada kita sebab dia tak akan mampu bayar saman kita,” komen Qaisar penuh yakin.

“Papa minta maaf sebab dah gesa Qai terima Emily walaupun papa tahu, Qai tak pernah cintakan Emily. Sekarang, Emily dah malukan kita.” Dato’ Halimi melepas keluhan. Terbit rasa kesal atas tindakannya menggesa Qaisar sebelum ini.

It`s okay, papa. Qai faham. Qai tahu, papa hanya mahukan yang terbaik untuk Qai. Papa nak tengok Qai hidup macam orang lain. Memang Qai tak membantah hasrat papa untuk jodohkan Qai dengan Emily sebab Qai nak jadi anak yang baik untuk mama dan papa,” ujar Qaisar.

Dato’ Halimi menepuk bahu Qaisar.

“Tak sangka pula, hasrat papa tu memalukan kita semua.” Dato’ Halimi memang rasa bersalah.

“Itu bukan salah papa. Itu salah Emily,” ujar Qaisar.

“Sekarang, kita nak buat apa?” komen Dato’ Halimi.

“Kita tunggu dan lihat aje dalam seminggu ini. Qai yakin, Emily akan balik dalam masa terdekat ni. Dia takkan menghilangkan diri begitu lama sebab dia takkan dapat bertahan tanpa bantuan sumber kewangan dari Dato’ Murad. Melainkan ada orang yang sokong dia untuk buat begitu!” Qaisar mengukir senyum sinis.

“Maksud Qai?” Dahi Dato’ Halimi berkerut.

Qaisar mengukir senyum.

Don`t worry, papa. Qai boleh uruskan hal tu. Qai akan pastikan Emily menyesali tindakannya memalukan kita sekeluarga,” ujar Qaisar penuh nekad. Wajahnya kembali serius seolah-olah dia sudah merencanakan sesuatu.

 

FIRASH MEMANDANG lelaki itu yang khusyuk menatap komputer riba di hadapannya. Sikit pun tak pedulikan kemunculannya di bilik itu sejak 5 minit yang lalu. Macamlah dia tak wujud.

“Qai, kau sibuk sangat ke sampai tak boleh nak mengangkat kepala langsung?” komen Firash menahan geram.

Kata-kata Firash tetap tidak mendapat perhatiandaripada Qaisar. Dia meneruskan kerjanya di komputer ribanya.

“Qai!” Kali ini suara Firash semakin tinggi. Siap ketuk meja untuk mendapat perhatian Qaisar.

Kali ini barulah Qaisar mengangkat kepalanya. Menarik nafas panjang. Wajah Firash dipandang dengan riak tegang.

“Kau dah tak ada kerja nak buat ke sampai boleh melepak santai kat bilik aku ni?” tembak Qaisar melepas geram.

Firash tayang sengih. Sedar yang dia kena perli.

“Aku pun ada kerja juga,” balas Firash cuba kawal perasaan malu.

“Habis tu? Pergilah buat kerja kau. Kalau kau melepak kat bilik aku ni, bukannya boleh siapkan kerja kau!” Sekali lagi Qaisar tembak dengan kata-kata pedas. Tak kisah pun kalau Firash terasa. Memang dia mahu Firash terasa pun. Tak suka dengan kunjungan Firash ke biliknya. Dia rasa terganggu. Macam biasalah, kalau Firash melepak santai di biliknya seperti ini, mesti ada cerita yang nak dibawa. Malas betul Qaisar nak layan.

“Kau ni...” Firash buat muka berjauh hati.

“Okeylah. Kau nak cakap pasal apa ni? Lepas kau luahkan apa yang kau nak cakap, aku nak kau keluar dari bilik ni. Aku bagi masa lima minit.” Qaisar terpaksa mengalah. Dia melirik jam tangannya seolah-olah memberi peringatan yang dia betul-betul akan kotakan apa yang dikata.

Firash dah mula tayang sengih lebar. Dia tahu Qaisar tidak akan menolak kewujudannya. Dia dah lama kenal dengan Qaisar, malah mereka boleh dikatakan membesar bersama.

“Dah seminggu Emily hilangkan diri.” Firash memulakan intro.

Kening Qaisar terjongket. Siku ditongkat ke meja. Tangan menyentuh dagunya. Masih menunggu apa sebenarnya yang ingin Firash sampaikan.

“Jadi? Apa masalahnya?” soal Qaisar bersahaja.

“Kau tak nak cari Emily? Tak nak tahu di mana dia ada sekarang? Takkanlah kau tak nak ambil tahu pasal dia langsung? Dia kan dah jadi isteri kau,” soal Firash lagi.

Qaisar tetap merenung wajah Firash tanpa sebarang kata.

“Qai, kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” soal Firash bila soalannya dipandang sepi oleh Qaisar. Resah pula bila dia asyik ditenung oleh Qaisar macam dia ada buat salah.

“Dengar,” balas Qaisar acuh tak acuh.

“Habis tu? Kau memang nak biarkan Emily pergi macam tu aje? Kau tak nak cari dia?” soal Firash lagi.

Kali ini Qaisar melepas keluhan kasar.

“Kenapa kau sibuk nak tahu pasal hubungan aku dengan Emily? Emily tu isteri aku ke isteri kau?” tutur Qaisar dengan nada kasar. Dia cukup bosan bila berbicara soal Emily. Baginya, Emily wujud atau tidak, tak ada perbezaan untuknya. Malah, dia lagi suka kalau Emily terus hilang dari pandangannya sampai bila-bila.

“Isteri kaulah. Kan dia dah kahwin dengan kau? Mestilah dia jadi isteri kau,” balas Firash dengan rasa bengang.

“Tahu pun. Yang kau tiba-tiba nak jadi tukang sibuk ni, apa hal? Kau nak tolong cari dia dekat mana atau kau tanya ni sebab nak dapatkan info untuk wartawan akhbar atau majalah mana? Berapa mereka bayar kau untuk ambil tahu pasal hubungan aku dengan Emily?” tutur Qaisar. Masih dengan nada kasar. Dia cukup tak suka bila berbincang soal ini. Terutama sekali melibatkan soal perkahwinannya dengan Emily. Siapa Firash nak ambil tahu pasal kehidupan peribadi dia?

“Tak adalah. Aku ini kan sepupu kau, merangkap kawan kau. Kira aku ni prihatinlah,  ambil tahu hal keluarga.” Firash cuba membetulkan tanggapan Qaisar. Tak mahu Qaisar menyalahkan dia kerana ambil tahu pasal hubungan Qaisar dengan Emily.

“Untuk pengetahuan kau, Emily pergi bukan aku yang usir. Dia pergi atas kerelaan dia sendiri. Dia tak pernah berbincang dengan aku apa-apa masalah dia. Jadi buat apa aku nak ambil tahu hal dia? Lantak dialah nak buat apa. Selama ni pun, kami bawa haluan masing-masing. Berkahwin sebab aturan keluarga. Aku tak pernah ada sedikit perasaan pun terhadap dia. Dan dia juga tahu hal itu. Apa yang berlaku antara aku dengan Emily memang tak ada kena-mengena dengan kau. Kecuali...” luah Qaisar. Matanya dipicing tajam merenung wajah Firash.

“Kecuali apa?” soal Firash. Dia mula nampak resah.

“Tak ada apalah.” Qaisar malas nak meneruskan ayat. Dan dia buat-buat tak nampak perubahan pada wajah Firash.

“Kalau macam tu, kenapa kau teruskan juga perkahwinan kau dengan Emily? Dan paling aku tak sangka, kau teruskan juga majlis kau setelah kau tahu Emily menghilang malam tu. Itu yang aku pelik,” ujar Firash.

Qaisar gelak sinis.

“Aku terima Emily sebagai isteri sebab aku nak jadi anak yang baik untuk orang tua aku.  Itu yang aku ungkapkan pada mereka yang bertanya. Tapi Emily pula yang malukan keluarga dan orang tua aku. Dasar perempuan tak guna! Memang betul-betul menyusahkan hidup aku!” dengus Qaisar dengan muka bengang dan marah.

“Tapi kan... macam mana kau boleh jumpa perempuan yang jadi pasangan kau malam tu? Tiba-tiba dia ada dan gantikan tempat Emily,” usul Firash dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak.

“Itu hal aku. Kau tak perlu ambil tahu.” Malas Qaisar nak bercerita panjang lebar.

“Kau ni... dengan aku pun nak berahsia.” Firash mengeluh kesal.

“Masa dah tamat. Apa kata, kau bangun dari kerusi, kau jalan ke arah pintu, dan kau keluar dari bilik ni. Habis cerita.” Qaisar bersuara. Siap memberi isyarat menunjukkan tangannya ke arah pintu.

Firash menggeleng kepala.

Firash... I mean it. Aku memang nak kau keluar dari bilik ni sebab aku tak nak tengok muka kau,” tegas Qaisar bila dilihatnya Firash berat hati nak bangkit dari kerusi.

Okay, fine. Aku keluar.” Firash mengalah. Dia bangkit dan mengangkat kedua tangan separas bahu tanda mengalah.

Sekali lagi, Qaisar memberi isyarat meminta Firash segera beredar. Nak tak nak, memang Firash terpaksa akur. Dia keluar dengan perasaan tidak puas hati.

No comments:

Post a Comment