PAGI itu, Amiera dikejutkan dengan kedatangan seseorang. Seseorang yang muncul di rumah orang tuanya, khusus untuk berjumpa dengannya.
“Abang Ijal, buat apa datang sini?” Amiera menyoal lelaki yang bersama Saiful di ruang tamu ketika itu.
“Abang Ijal datang nak jumpa Miera. Epol beritahu dia balik kampung dengan Miera,” balas Rizal. Sempat dia melirik ke arah Saiful.
Amiera mendengus perlahan, masih tegak berdiri.
Saiful yang ada di situ hanya melirik ke arah mereka berdua. Masih belum mencelah. Saja, nak bagi peluang untuk mereka.
“Kawan baik Abang Ijal tu yang paksa Miera balik kampung, bukan Miera yang nak balik.” Amiera menjeling Saiful.
Rizal melempar pandang ke arah Saiful. Kemudian memandang Amiera.
“Abang Ijal tahu tak sebab apa Miera balik?” sambung Amiera lagi.
“Sebab apa?” soal Rizal terkejut bila dia disoal.
“Takkan Abang Ijal tak tahu?” Amiera mencerlung mata ke arah Rizal.
“Betul. Abang Ijal tak tahu,” ujar Rizal.
Amiera mencebik bibir.
“Apa Abang Ijal dah cerita dekat keluarga Miera sampaikan Miera kena paksa balik kampung?” tempelak Amiera sambil memberi renungan tajam kepada Rizal.
Rizal memandang wajah Saiful, tapi Saiful hanyapamerkan senyuman.
Amiera melabuh punggung dengan kasar di sofa berhadapan dengan Rizal. Wajah mencuka masih belum hilang.
“Apa maksud Miera? Abang Ijal tak faham,” tutur Rizal.
Amiera menggumam. Wajah dua lelaki di hadapan dipandang dengan perasaan berbuku di dada.
“Amboi, buat-buat tak faham pula dia. Menyampah!” tempelak Amiera bersama senyum sinis. Sedikit pun dia tak jaga budi bicara. Buat apa nak jaga atau kontrol? Dia sudah lama mengenali Rizal. Sejak dia kecil lagi. Rizal sendiri pun tahu macam mana perangai dia, tak payah nak buat-buat macam gadis ayu. Hipokrit namanya tu.
Saiful angkat kening ke arah Rizal. Akhirnya Rizal melepas gelak.
“Okey. Abang Ijal faham sekarang. Miera marahkan Abang Ijal pasal beritahu gambar Miera yang viral dekat media sosial, kan?” ujar Rizal bersama sengihan.
“Haa... mengaku pun!” Amiera terus bersuara. Kaki diangkat dan disila di atas sofa. Rambut yang melepasi bahu diselak kasar ke belakang. Nasib baiklah dia sudah mandi pagi ini. Kalau tak, mahunya dia kena sakat dengan Saiful sebab lambat mandi. Selalu umpamakannya kambing sebab lambat mandi pagi.
“Apa yang Abang Ijal beritahu pada ibu dan ayah Miera tu, benda yang betul. Abang Ijal cuma tunjuk gambar aje. Itu pun terpandang secara tak sengaja kat FB. Takkanlah Abang Ijal nak buat tak tahu aje, mestilah kena tanyakan orang tua Miera, betul ke tidak benda tu. Tak ada angin tak ada ribut, tup-tup nampak gambar Miera kahwin dengan lelaki segak dekat FB. Dahlah jadi viral. Salah ke?” jelas Rizal.
Amiera mendengus kasar. Apa pasallah si Rizal ni suka menyibuk hal dia? Dia tak pernah peduli pun pasal Rizal. Malah memang tak nak peduli langsung. Buang masa saja.
“Betul apa yang Ijal dah buat tu. Angah pun terkejut masa tengok gambar kahwin Miera tu. Antara percaya dengan tidak, betul ke adik angah dah kahwin? Kalau kahwin, kenapa angah tak tahu, ibu dan ayah pun tak tahu. Tapi gambar tu dah tersebar merata-rata,” komen Saiful pula. Sekali gus menyokong tindakan Rizal, merangkap kawan baiknya itu.
“Ijal, dah lama sampai?” tiba-tiba Puan Safura muncul.
“Tak adalah lama sangat. Baru aje bersembang dengan anak dara mak cik ni.” Rizal menayang sengih.
“Oh...” Puan Safura mengangguk kepala.
“Achik, pergi dapur buatkan air untuk Ijal ni.” Puan Safura memberi arahan sambil menepuk bahu Amiera.
“Alah... nak kena buat air ke?” Amiera mendengus.
“Yalah, tetamu datang. Kenalah buat air, takkanlah nak bagi dia telan air liur aje,” jawab Puan Safura.
“Abang Ijal ni tetamu merangkap kawan angah, bukannya kawan achik. Apa pasal achik yang kena buat air? Suruhlah angah.” Amiera menjawab.
“Budak ni kalau menjawab... Anak dara apa ni? Pemalas.” Makin kuat Puan Safura menepuk bahu Amiera.
“Alah... kalau nak minum, pergi ajelah kedai kopi Pak Abu kat simpang sana tu. Cakap aje nak minum air apa, oder aje. Senang citer,” balas Amiera dengan gaya selamba.
Saiful dan Rizal saling berpandangan.
“Tak payah banyak songeh. Pergi buat air sekarang. Jangan nak jadi anak dara pemalas. Achik sengaja nak malukan ibu ke apa ni?” Puan Safura bertegas sambil menolak tubuh Amiera.
“Yalah. Achik buatkan.” Amiera mengalah.
“Maaflah. Anak dara Mak Fura yang sorang tu memang pemalas. Kesian dekat bakal suaminya nanti dapat isteri macam tu.” Puan Safura mengeluh.
Saiful dah mula gelak melihat wajah Rizal terkulat-kulat.
“Siapa lagi bakal suami achik tu kalau bukan lelaki yang ada depan mata ibu ni. Tak gitu, Ijal. Bukankah kau dah lama booking adik aku tu untuk jadi isteri kau?” Saiful peluk bahu Rizal.
Rizal tersenyum malu. Tersipu-sipu lagaknya menahan rasa segan.
“Mak Fura risau betul dengan Miera tu.” Puan Safura menarik nafas. Dia harap Rizal tak terasa dengan kelakuan dan kata-kata anak daranya itu.
“Ibu nak risau apa, Ijal ni kan pandai serba serbi. Pandai masak, pandai bercucuk tanam. Boleh aje dia bimbing si achik tu. Itu pun kalau dia betul-betul nekad nak jadikan achik isteri dia,” usik Saiful. Sempat dia mengerling ke arah Rizal yang sedang mengukir senyum.
“Sanggup ke kamu nak jaga anak Mak Fura tu, Ijal?” Kali ini, sengaja Puan Safura nak menyakat Rizal. Nak tahu sejauh mana perasaan Rizal terhadap Amiera.
“Kenapa pula tak sanggup, Mak Fura. Dari dulu lagi, Ijal memang tunggu Miera. Sekarang ni, tunggu masa aje nak masuk meminang. Harap-harap hasrat Ijal ni diterima Mak Fura sekeluarga.” Tanpa segan, Rizal mengakui perasaannya.
“Tak payah nak tunggu Miera. Baik Abang Ijal cari aje anak dara lain yang lebih sesuai dengan Abang Ijal. Ha... si Rosa tu, dah lama tunggu Abang Ijal masuk meminang dia. Jadi, tak payahlah nak susah-susah meminang Miera.” Amiera mencelah tiba-tiba sambil membawa dulang berisi air Milo dan juga sepinggan biskut. Diletak atas meja di depan tetamu.
“Tapi, hati Abang Ijal hanya untuk Miera seorang je. Dari dulu sampailah sekarang, tak pernah berubah,” balas Rizal beria-ia tanpa rasa segan.
Amiera mencebik lagi. Kemudian dia melabuh punggung di sofa tadi.
“Jemput minum, Ijal,” pelawa Puan Safura. Air dihidang di depan Rizal dan juga Saiful. Amiera buat-buat tak nampak. Dah kira baik dia buatkan air, pandai-pandailah ambil dalam dulang.
“Hmm... sedap air yang Miera buat. Cukup rasa,” puji Rizal selepas meneguk Milo panas yang dibuat oleh Amiera.
“Terima kasih. Ni kali terakhir Mira buat untuk Abang Ijal. Lain kali, kalau nak minum apa-apa aje air, pergi aje oder dekat kedai kopi Pak Abu,” jawab Amiera dengan muka selamba.
“Achik...” Puan Safura segera mengutil paha Amiera.
Amiera mengaduh sakit sambil menggosok pahanya.
“Abang Ijal minta maaf kalau Abang Ijal menyusahkan Miera. Lain kali, tak payahlah buat air untuk Abang Ijal ya,” ujar Rizal dengan rasa serba salah.
Amiera diam. Rasa bersalah pula mendengar ayat Rizal tadi. Nampak sangat yang dia gadis yang tidak tahu nak menghargai tetamu.
“Dengar tu, tak pasal-pasal Ijal terasa hati,” komen Puan Safura dengan rasa segan.
“Tak apa, Mak Fura. Betul pun cakap Miera tu.” Rizal mencelah.
Puan Safura melepas keluhan perlahan. Saiful pula diam membisu.
“Miera, ibu nak tanya pasal gambar Miera yang tersebar dekat Internet tu.” Puan Safura bersuara.
Memang ini tujuan dia dan Encik Hamzah meminta Saiful membawa Amiera pulang. Untuk mendapatkan penjelasan tentang gambar Amiera dalam pakaian pengantin bersama lelaki di dalam majlis di sebuah hotel setelah diberitahu oleh Rizal yang tanpa sengaja ternampak orang siarkan di FB.
“Ibu, achik minta maaf sebab achik tak beritahu ibu, ayah dan angah pasal perkara tu. Lagipun, perkara tu bukannya betul-betul pun. Sekadar lakonan sahaja,” ujar Amiera.
“Lakonan? Ibu tak faham,” ujar Puan Safura. Berkerut dahi Puan Safura mendengar ayat Amiera tadi. Takkanlah Amiera sudah memasuki bidang lakonan? Dia memang tak suka anak-anaknya terlibat dalam bidang itu. Nanti pelbagai cerita yang tak elok akan timbul nanti daripada orang kampung pasal anak daranya.
Amiera menelan liur sebelum menjelaskan hal sebenar kepada Puan Safura, Saiful dan juga Rizal yang berada di situ. Hanya Encik Hamzah yang tidak ada kerana dia ke masjid. Mungkin selepas ini, ibunya akan menjelaskan hal ini kepada ayahnya. Dan memang patut pun dia menjelaskan perkara itu agar tidak berlaku salah faham antara dia dengan keluarganya.
“Dan macam itulah cerita yang sebenar,” ujar Amiera selepas menyudahi cerita.
“Jadi, lelaki tu minta achik gantikan tempat isteri dia yang hilang malam tu?” soal Puan Safura seakan masih sukar nak percaya.
“Ya. Lelaki dalam gambar tu cucu pemilik Hotel Diamond tu, iaitu Tan Sri Mansor. Dia minta achik gantikan sebab tak nak maruah keluarganya jatuh kalau tetamu tahu yang pengantin sebenar dah menghilangkan diri. Jadinya... achik ni kira jadi penyelamat. Dalam kata lain, jadi pengantin ekspres. Itu aje,” beritahu Amiera.
“Achik tahu kenapa pengantin perempuan tu menghilangkan diri?” soal Puan Safura lagi.
“Achik tak tahu. Lagipun, itu tak ada kaitan dengan achik,” beritahu Amiera.
“Macam mana dengan lelaki tu?” soal Saiful pula.
“Maksud angah?” Dahi Amiera terangkat.
“Dia ada hubungi achik lepas kejadian malam tu?” soal Saiful.
Amiera telan liur. Tak tahu nak berikan jawapan. Bimbang disalah ertikan pula. Lagipun, jelas-jelas Qaisar seperti sukakan dia. Kalau tak suka, kenapa lelaki itu beria-ia datang berjumpa dia? Malah, mengaku tak kisah pun pasal kehilangan isterinya.
“Ibu, achik nak pergi dapur. Nak minum air. Dahagalah pula.” Amiera segera bangkit dan beredar.
“Macam mana ni, angah?” Puan Safura bersuara.
“Ibu tak payah risaulah. Benda ni sekejap aje jadi bahan viral. Lama-lama, senyaplah tu. Lagipun, benda tu bukannya betul. Sekadar lakonan kerana achik dengan lelaki tu bukannya kahwin betul-betul. Kalau betul-betul, memang angah akan jumpa lelaki tu dan buat perhitungan dengannya,” komen Saiful. Yalah, soal nikah kahwin ni bukannya boleh diambil mudah. Ini melibatkan soal hukum hakam. Banyak perkara yang kena ambil kira.
“Ibu risau sebab orang kampung dah mula bercakap pasal ni. Timbul fitnah nanti,” ujar Puan Safura, melahirkan kerisauan. Memang ada bunyi suara sumbang pasal gambar Amiera yang tersebar itu. Maklumlah, sekarang ini semua benda boleh tersebar dengan mudah. Tak kira di mana berada, semua perkara boleh sampai dalam sekelip mata. Orang kampung pun makin canggih, bukan macam zaman dulu lagi.
“Satu saja cara untuk tutup cerita ni dari terus menjadi buah mulut orang kampung.” Rizal tiba-tiba bersuara.
“Apa dia?” Saiful tak sabar nak tahu.
Rizal mula mempamer senyum.
“AMBOI... TAK sangka. Diam-diam, kau kahwin dengan orang kaya ya!”
Amiera yang sedang membelek tin susu di kedai runcit menoleh ke belakang bila ada suara memerlinya. Melihat empunya suara yang menegur, terus kening Amiera terjongket tinggi.
“Takkanlah dah jadi isteri orang kaya, pun masih nak beli barang kat kedai runcit. Tak sesuai sangat!” tempelak suara itu lagi sambil mencebik bibir melihat barang dalam bakul di tangan Amiera.
Amiera buat tak peduli. Terus memilih barang-barang dapur yang dipesan oleh Puan Safura.
“Oi, Miera. Aku nak tanya ni, seronok tak kahwin dengan anak orang kaya? Bukan setakat kaya, tapi juga handsome. Mestilah seronok, kan?” Bahu Amiera disenggol kasar. Akibatnya, bakul di tangannya terlepas dan barang jatuh berteraburan. Amiera mula naik angin.
“Woi! Kalau ya pun, tak boleh ke tanya elok-elok sikit? Habis barang aku jatuh, sebab kau punya pasal,” marah Amiera sambil tunduk memungut barang-barangnya.
“Eleh... Sombong! Bukan setakat sombong, tapi berlagak,” tempelak gadis yang mengenakan baju singkat separas punggung dan berskirt labuh. Rambutnya yang diwarna perang dikibas-kibas, sengaja biarkan terkena muka Amiera.
“Eee... Aku memang pantang kalau orang datang kacau aku tanpa bagi salam. Nak aje aku ganyang cukup-cukup!” Amiera terus menarik rambut perang itu setelah dia meletakkan barang-barang di atas rak.
“Adoi! Sakitlah bongok!” marah gadis berambut perang itu.
“Kau dengar sini, Rosalinda binti Samion. Untuk pengetahuan kau, aku tak pernah kacau hidup kau, jadi tak payahlah kau nak kacau hidup aku,” bentak Amiera sebelum melepaskan rambut perang itu.
Rosalinda mengusap kepalanya yang terasa sengal akibat kena tarik tadi.
“Bukan main berlagak lagi kau sekarang. Mentang-mentanglah gambar kau dah viral kat media sosial. Dah heboh orang kampung ni duk cerita pasal kau kahwin tanpa restu orang tua sebab nak kejar orang kaya!” ujar Rosalinda sambil mencebik bibir.
“Suka hati akulah nak kahwin dengan siapa pun. Tak ada kena-mengena dengan kau pun. Yang kau dengki sangat dengan aku ni, apa hal? Ada aku susahkan hidup kau? Tak ada kan?” Amiera bersuara. Nak saja dia cilikan mulut si Rosalinda, biar mulut tak ada insuransnya itu terus diam.
Memang dia dengan Rosalinda seteru sejak zaman sekolah lagi. Ada-ada saja benda yang menyebabkan mereka bergaduh dan berlawan mulut. Yang menjadi punca utamanya mestilah Rosalinda yang terang-terang dengkikan Amiera. Kali ini, biarlah si Rosalinda nak anggap yang dia dah kahwin walaupun hakikatnya dia tak kahwin. Lama-lama nanti, senyaplah berita itu. Lagipun, berita itu tak benar. Buang masa sahaja dia melayan gosip orang kampung.
“Dan lagi satu, selain dari hal kahwin kau yang viral tu, aku tak fahamlah apa yang Abang Ijal pandang dekat kau sampaikan dia tak pandang perempuan lain. Nak kata kau lawa mengalahkan ratu cantik, tak adalah lawa pun. Selekeh aje aku tengok. Aku lagi lawa. Tapi kenapa kau juga yang Abang Ijal suka dan cinta. Ini yang buatkan aku tak puas hati.” Rosalinda memandang penampilan Amiera dari atas ke bawah sambil bibir tercebik-cebik.
Dalam kampung ini, memang Rizal menjadi pujaan gadis-gadis. Rizal merupakan pelajar lepasan luar negara, pernah bekerja di sektor swasta sebagai seorang jurutera, tapi tiga tahun lepas, dia meletak jawatan dan balik kampung untuk mengusahakan tanaman sayur. Tanah yang diusaha milik ayahnya yang merupakan penghulu kampung telah membuka mata orang kampung bahawa menjadi petani dan bekerja sendiri boleh mendatangkan hasil yang lumayan. Kini, Rizal merupakan seorang usahawan yang berjaya dan menjadi contoh untuk anak-anak muda. Dan kerana Rizal lebih memberi perhatian kepada Amiera sejak dulu, telah membuatkan Rosalinda begitu mencemburui Amiera.
Amiera hanya tayang senyum sinis.
“Tak kisahlah aku ni selekeh ke tak, tapi kenyataannya dari dulu lagi Abang Ijal sukakan aku. Dia tak pernah pandang pun kau walaupun kau perasan yang kau tu lawa ala-ala diva. Setakat diva kampung, aku tak hairan pun kalau tak ada lelaki yang nak pandang kau. Eh... adalah! Yang pandang kau, Usop tiga suku aje. Itu pun kira okey sebab ada juga yang sudi nak pandang muka kau yang macam tapai basi tu,” tempelak Amiera. Seronok dia dapat membalas kata-kata Rosalinda.
“Eee... kau ni kan...” Rosalinda angkat tangan tapi sempat ditahan oleh Amiera.
“Kau jangan nak naik tangan ke muka aku sebab aku pun boleh buat benda yang sama dekat kau. Malah lebih teruk lagi. Kau ingat, aku tak berani buat?” balas Amiera mencerlung anak mata.
“Isy... kau...” Rosalinda mengetap bibir, tak mampu nak melampiaskan rasa marahnya.
“Rosa sayang...”
Tiba-tiba muka Rosalinda berubah bagaikan asam kecut melihat seorang lelaki selekeh masuk ke kedai runcit itu.
“Usop! Panjang pun umur kau. Memang Rosa cari kau tadi.” Amiera ramah bersuara.
“Ya ke?” Usop yang bergigi rongak senyum tersengih-sengih.
“Jangan nak perasanlah. Bila masa aku cari kau?” tempelak Rosalinda dengan perasaan geram. Menyampah betul dia tengok muka Usop yang comot itu.
“Usop. Nah, duit belanja. Nanti, kau gunalah duit ni untuk pergi dating dengan kekasih kau yang cantik lawa ni.” Amiera mengeluarkan duit RM10 dari poket bajunya dan diletak di dalam poket baju Usop. Sempat dia menjeling bersama senyum sinis ke arah Rosalinda.
“Yeay! Dapat duit!” Usop bersorak sambil bertepuk tangan.
“Aku pergi bayar dulu ya, Usop. Kau berbuallah dengan kekasih hati kau ni. Kesian dia, dari tadi lagi tunggu kau datang.” Amiera segera meninggalkan ruangan itu untuk membuat bayaran. Dia tak nak peduli apa yang berlaku selepas itu. Lantaklah apa yang dibualkan oleh mereka berdua nanti.
No comments:
Post a Comment