DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Saturday 29 October 2022

Pengantin Ekspres - Bab 6


AMIERA mengambil bekas plastik berisi nasi ayam yang dibeli Gina sebentar tadi. Malas dia nak keluar makan. Rasa tak ada mood. Sebaik sahaja bekas plastik itu dibuka, bau aroma nasi ayam mula membangkit seleranya. Sudah lama dia nak makan nasi ayam. Hari ini baru dapat merasa.

Hmm... wanginya!” Terjongket hidungnya mencium aroma nasi ayam di hadapan matanya sambil tersenyum. Sudu dan garpu dicapai. Setelah membaca Bismillah dan doa, dia mula menganga mulut untuk menyuap nasi.

“Hai!”

Belum pun sempat nasi ayam masuk ke dalam mulut, tiba-tiba ada suara menyapa menyebabkan dia menoleh ke muka pintu pantri. Melihat wajah empunya badan yang berdiri di situ, mulutnya semakin ternganga luas.

“Tutup mulut you tu. Nanti lalat masuk, bukan ayam yang masuk!” Suara  perlian keluar dari mulut empunya badan yang masih berdiri di muka pintu. Sedang menahan gelak melihat wajah Amiera.

Serta-merta Amiera tutup mulutnya. Nafas kasar dilepaskan. Dalam masa yang sama, pandangan juga segera dialihkan. Mata menatap nasi ayam. Terus terbantut seleranya tiba-tiba.

“Makan seorang aje? Tak nak ajak I sekali?” Suara itu semakin mendekat ke telinga Amiera.

Amiera yang terkejut segera menoleh dan pandangannya bertembung dengan empunya sepasang mata yang sedang merenungnya. Segera Amiera berdeham. Dan sekali gus cuba menjarakkan kedudukan. Kalau dia tak berganjak, mahu tubuhnya bersentuhan dengan pemilik sepasang mata yang masih ralit merenung wajahnya.

“Buat apa encik datang sini?” Tanpa salam, Amiera menyoal dengan perasaan geram. Memang terbantut seleranya nak makan. Dahlah ketika ini hanya dia seorang yang berada di pantri. Yang lain mungkin sudah keluar menikmati makan tengah hari di kafé-kafe berdekatan dengan butik.

“Encik, saya tanya ni?” Geram betul hati Amiera dibuatnya bila soalannya tidak berjawab. Sebaliknya muka dia asyik ditilik oleh lelaki itu. Buatkan dia rasa segan dan malu sahaja.

“You tanya apa?” Soalan diajukan kepada Amiera pula.

“Encik Qaisar ni, saja kan nak sakitkan hati saya!” Amiera mendengus kasar.

Kening Qaisar terjongket ke atas. Kemudian matanya menghala ke satu tempat. Lama bertamu di situ.

“Encik? Jangan pandang tempat yang bukan-bukan ya!” sergah Amiera bila melihat anak mata Qaisar tertumpu pada dadanya.

“I cuba scan dada you, nak tahu betul ke tidak hati you sakit. Kalau sakit, I dengan rela hati akan bawa you pergi ke klinik untuk buat pemeriksaan.” Selamba sahaja jawapan itu keluar dari mulut Qaisar.

Anak mata Amiera mengecil. Sama kecilnya dia nampak tubuh sasa di hadapannya, makin mengecil.

“Encik dengar sini ya. Encik bukan lelaki halal untuk saya. Haram pandang tempat yang bukan-bukan tau!”

Dalam masa yang sama, dia melekapkan tangannya ke dada selepas meletak sudu dan garpu di dalam bekas plastik semula. Geram betul bila mata Qaisar masih belum beralih dari menatap bahagian dadanya. Nasib baik juga dia pakai blaus longgar, tak adalah nampak bentuk dan lekukan yang menonjol.

Qaisar tergelak melihat kelakuan gadis di hadapannya.

“Satu hari nanti, I akan halalkan. Selepas tu, I boleh tengok semua yang ada di tubuh you! Bukan hanya setakat tengok, tapi I juga boleh sentuh dan boleh memilikinya. Percayalah cakap I!” Qaisar bersuara santai. Siap kenyitkan mata bersama sengihan nakal.

Mata Amiera pula yang membulat. Usikan itu bikin buatkan organ dalamannya mula berdentum bagaikan guruh yang berbunyi bersama turunnya hujan lebat.

“Huh... Boleh tak encik keluar dari pantri ni? Saya nak makan sekarang. Lepas ni, saya kena sambung kerja.” Amiera bersuara.

Dia tak senang dengan topik yang baru keluar dari mulut lelaki kacak di hadapannya ini. Serius, buatkan hatinya jadi tak tenang saja. Bukan dia tak faham apa yang cuba disampaikan lelaki itu tapi dia tak akan percaya kerana itu tak akan jadi kenyataan. Lelaki yang berada di hadapannya sudah ada pemiliknya. Dan dia tak akan mengacau milik perempuan lain. Tak akan! Dia tak nak dituduh dan dicemuh dengan pelbagai tohmahan. Dia masih ada keluarga yang kena jaga maruah mereka.

“Sampai hati you halau I. I sanggup tinggalkan kerja I semata-mata untuk datang jumpa you dekat sini,” ujar Qaisar dengan nada lirih.

Anak mata Amiera terus terpaku pada wajah kacak di hadapannya. Cuba mencari kebenaran di sebalik kata-katanya.

“Maaf, saya tak suruh pun encik datang sini. Apatah lagi memaksa,” balas Amiera.

“Memang you tak suruh, you tak paksa. I sendiri yang nak datang. Macam ada tarikan yang buatkan I nak datang sini, untuk jumpa you!” ujar Qaisar dengan nada serius. Mata ralit memandang wajah resah Amiera.

Dan dalam masa yang sama, bibir Amiera mencebik.

‘Kenapalah aku boleh terjerumus mengenali lelaki ni? Malang sungguh nasib aku. Sekarang ni, huru-hara hidup aku dibuatnya.’ Amiera mengeluh berat.

Nampaknya, persepsi dia terhadap Qaisar telah berubah. Ingatkan jenis yang sombong, ego, berlagak dan jenis tak pedulikan perasaan orang. Rupa-rupanya, lelaki ini jenis yang sengal, tak tahu malu, tak mudah berputus asa dan mahukan orang lain mengikut kehendaknya.

I`m serious, okay! I datang sini, sebenarnya nak ajak you keluar lunch dengan I,” ujar Qaisar. Matanya kembali menatap wajah Amiera.

Amiera menggaru dahi. Memang sukar dia nak percaya tapi kalau tuan empunya badan dah cakap macam tu, memang dia kena percaya juga memandangkan sekarang ini memang waktu makan tengah hari.

“Untuk apa? Lagipun, baru malam tadi kita dinner bersama. Takkan hari ni pun nak makan bersama lagi? Dah macam tak ada kerja lain. Kalau encik muncul, asyik nak ajak makan aje!” tempelak Amiera. Meluah rasa geramnya.

Kening Qaisar terangkat.

“Kalau macam tu, apa kata kita keluar dating atau shopping? Yang penting, I nak luangkan masa I bersama you! Boleh, kan?” usik Qaisar. Saja nak tahu reaksi Amiera.

“Encik Qaisar!!!”

Qaisar gelak lepas.

“Betul. I datang sini sebab I rindukan Mrs. Qaisar I. I memang serius nak ajak you temankan I keluar makan. Tapi memandangkan you sudah membeli lunch you... Tak dapatlah kita keluar makan dekat luar hari ni,” ujar Qaisar.

Amiera tarik nafas lega. Nampak gayanya, sekejap lagi lelaki ini akan beredar dan dia dapat makan dengan tenang.

“Tapi, kita boleh makan bersama dekat sini,” sambung Qaisar lagi. Menanti reaksi Amiera.

Nafas Amiera kembali jadi semput.

“Maksud encik?” soal Amiera. Dia berharap sangat, Qaisar akan beredar sebentar lagi.

Mata Qaisar memandang nasi ayam di hadapan Amiera. Kemudian bibirnya mengorak senyum.

“Kita boleh kongsi makan. Boleh, kan?” ujar Qaisar.

“Hah!!!” Mulut Amiera ternganga.

“I tengah lapar sekarang ni,” ujar Qaisar. Siap buat demo gosokkan perutnya.

“Tapi... nasi ni cuma satu je.” Amiera memandang nasi ayamnya.

“Kan tadi dah cakap, kita boleh kongsi. Takkanlah ‘suami’ tak boleh nak kongsi makan dengan ‘isteri.’ Mula-mula kongsi makan, lepas ni, kongsi kasih,” ujar Qaisar selamba. Kemudian dia mempamerkan senyum nakal.

“Boleh tak jangan asyik ulang benda tu? Rimas tahu tak? Saya ni masih single lagi. Kekasih pun belum ada, apatah lagi suami!” Geram betul Amiera dibuatnya.

Qaisar ketawa. “You ni... Cepat sangat nak melenting. Tak elok untuk kesihatan tau. Nanti cepat dapat penyakit darah tinggi dan sakit jantung! I juga yang susah hati dan risau nanti kalau jadi apa-apa dekat you,” usik Qaisar. Wajahnya nampak ceria selepas selesai gelak.

“Dah encik sengaja nak sakitkan hati saya. Kalau saya betul dapat penyakit tu, saya saman encik tau!” balas Amiera.

Qaisar tetap ketawa. Tak peduli pun rasa geram yang bersarang di dada Amiera.

“Nasi ayam tu nampak sedap aje. I pun dah lama tak rasa nasi ayam,” ujar Qaisar. Matanya memandang ke bekas plastik yang ada di hadapan Amiera.

Amiera ketap bibir.

“You tolong suapkan nasi ayam tu untuk I, boleh? I memang teringin nak makan. Apatah lagi makan bersuap,” pinta Qaisar. Siap tayang muka comel supaya Amiera tunaikan permintaannya.

“Hah? Suap?” Serius, memang Amiera tak percaya. Terasa macam nak korek sahaja telinganya, kut-kut dia tersalah dengar.

Please. Tolong suapkan untuk I.” Qaisar pamerkan senyum. Tapi anak mata memberi isyarat agar Amiera menyuapkannya. Memang mengada-ada betullah!

“You tak payah risau. Tak ada orang pandang pun. Hanya kita berdua aje dekat sini,” ujar Qaisar lagi bila melihat riak serba salah Amiera dengan permintaannya.

“Lepas you suap, I akan pergi. Selagi you tak suap, I akan terus ada depan you sampai petang nanti. You nak?” Qaisar bersuara. Sekali gus mengugut Amiera mengikut permintaannya.

Amiera tarik nafas. Pening kepalanya menangani lelaki ini. Apalagi bila dia diminta buat perkara yang tak terjangkau dek akalnya.

“Cepatlah...” gesa Qaisar bila Amiera terus berdiam diri.

Nak tak nak Amiera akur. Nasi ayam disuap kepada Qaisar. Bukan main lebar lagi senyuman lelaki itu bila Amiera akur dengan permintaannya.

“Sedapnya!” Qaisar memejamkan mata sambil menikmati nasi ayam yang disuap Amiera tadi.

“Nak lagi, boleh?” ujarnya.

Amiera serba salah. Tapi kalau dia tak akur, mahunya lelaki ini akan ada di hadapannya sampai petang. Tak buat kerja dia nanti.

Hmm... makin sedap!” puji Qaisar. Semakin lebar senyuman di wajahnya.

“You pun makanlah. Kan kita kongsi makan!” gesa Qaisar.

Amiera diam. Teragak-agak dia nak makan mengenangkan sudu itu digunakan untuk menyuap Qaisar. Tak pernah-pernah dia kongsi makan dengan mana-mana lelaki. Qaisar dah buat cerita hari ini dalam sejarah.

“Okey. Nganga mulut you. I suapkan!” Suara Qaisar mematikan lamunan Amiera.

“Hah!” Tak sedar pun bekas plastik sudah berada di depan Qaisar dan lelaki itu sedang menyua sudu ke mulutnya.

“Tak sudi nganga mulut?  I dah penat ni, pegang!” ujar Qaisar.

Anak mata Amiera memandang sudu yang dipegang Qaisar, betul-betul dekat mulutnya.

“Cepatlah nganga mulut tu, arrr...” ujar Qaisar. Siap buat demo dengan menganga mulut sendiri. Nak tergelak Amiera melihatnya.

Melihat Amiera tak buka mulut, Qaisar suap untuk dirinya. Kemudian dia kembali menyua sudu ke mulut Amiera semula.

“Okey, cepat nganga mulut you. Arrrr... kalau tak nak nganga mulut, I cium nanti mulut tu. Nak?” Qaisar buat tawaran.

Amiera telan liur. Otak dah mula ligat membayangkan ayat terakhir Qaisar. Pengsan dia nanti kalau betul-betul Qaisar cium mulut dia. Dan perlahan-lahan dia membuka mulut. Qaisar segera menyuap ke mulutnya.

Hmm... Good girl. You perempuan pertama yang I suap tau! Tapi lagi best kalau suap pakai tangan. Lagi romantik, kan?” Qaisar angkat kening bersama senyuman manis. Menampakkan wajahnya semakin kacak. Terserlah lesung pipit di kedua belah pipinya.

Amiera rasa tak tertelan nasi ayam yang dikunyahnya mendengar kata-kata itu.

Qaisar terus bangkit.

“Nanti kita jumpa lagi ya!” ujar Qaisar. Siap kenyit mata sebelum berlalu pergi begitu sahaja.

Amiera pegun. Qaisar memang sengaja nak buat hatinya tak senang duduk. Asyik berubah rentak irama saja. Melihat tubuh segak dan sasa itu menghilang, Amiera tepuk ke dua-dua pipinya. Cuba menganggap apa yang berlaku tadi hanyalah sekadar mimpi. Tapi melihat bekas plastik nasi ayam yang sudah luak dan bukan berada di hadapannya, benar-benar membuktikan yang dia bukan bermimpi.

“Aku dan dia... makan bersuap? Argh! Apa dah jadi ni?” Amiera tekup muka ke meja.

 

GINA TERUS meluru ke arah Amiera sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam butik. Muka nampak cemas sahaja. Terus punggungnya dilabuh di kerusi berhadapan tempat Amiera sedang melakar baju pengantin rekaannya.

“Miera!” seru Gina sambil memandang wajah Amiera.

“Apa dia? Kalut semacam aje muka you. Apa hal?” soal Amiera pelik.

“Encik Qaisar datang sini jumpa you tadi ek?” soal Gina macam orang tak cukup nafas.

“You tahu dari mana?” soal Amiera acuh tak acuh. Masih berusaha memberi tumpuan pada lakaran di hadapannya.

“Laili dan Shiha beritahu I. Mereka pun tak keluar makan tengah hari tadi. Jadi, mereka nampaklah Encik Qaisar datang jumpa you dekat pantri,” beritahu Gina dengan riak serius.

“Oh.”

Amiera kawal rasa terkejut. Cepat betul mereka maklumkan hal ini. Amiera ingatkan hanya dia yang tak keluar makan. Patutlah senang sahaja Qaisar muncul di pantri tadi. Kalau Laili atau Shiha tak beritahu, lelaki itu pasti tak akan tahu keberadaannya tadi. Tapi kenapa Qaisar cakap tadi, hanya mereka berdua yang ada di butik? Adakah lelaki itu sengaja nak mengenakannya?

“Betul ke?” soal Gina mematikan lamunan Amiera.

“Apa yang betul?” soal Amiera terpinga-pinga.

“Encik Qaisar datang jumpa youlah. Ee... Geramnya I.” Gina ketap bibir. Tangannya menepuk lengan Amiera.

“Kalau betul, kenapa? Ada masalah ke?” Amiera naikkan kening.

“Tak ada masalah, cuma I nak confirm je sama ada dia ada urusan dengan butik ni atau dia datang sini semata-mata untuk jumpa you?” soal Gina lagi.

Amiera tarik nafas. Otak ligat mencari alasan. Takkan dia nak berterus terang beritahu tujuan Qaisar datang ke sini. Mahu kecoh satu butik.

“Sebenarnya, dia datang nak hantar gaun pengantin tapi dia terlupa pula nak bawa,” beritahu Amiera. Tak sangka idea dan alasan itu muncul di kepala.

“Betul ke ni? Atau you sengaja nak tipu I?” ujar Gina seakan tak percaya dengan kata-kata Amiera.

“Ya. Betullah. Mungkin dia akan datang semula kut. Nanti you uruskanlah ya. I dah tak ada kena-mengena lagi dengan dia. Atau, lagi baik kalau you hubungi dia nanti. Buat janji temu dengan dia untuk ambil baju pengantin tu.” Amiera pamer senyum.

Hmm. I pun dah hampir terlupa pasal gaun tu. Maklumlah malam itu kan, you yang hantar,” tutur Gina.

“Okeylah. Nanti, I akan hubungi Encik Qaisar untuk tanyakan pasal gaun pengantin tu. Sekarang,  I nak pergi kerja I.” Gina angkat punggungnya.

Amiera sudah mampu menarik nafas lega. Harapnya selepas ini Qaisar tidak akan datang lagi. Jenuh dia nak mengelak. Tak nak dia terlibat dengan sebarang gosip. Lagi-lagi bila dikaitkan dengan lelaki itu.

Gina nampak leka melayan pelanggan yang merupakan pasangan yang bakal berkahwin. Biasanya Gina atau Shiha yang akan menguruskan kerana mereka mahir memberi penerangan dalam soal pemilihan pakaian pengantin. Kerja dia hanyalah mereka pakaian sahaja. Itu pun masih banyak yang kena belajar.

Tiba-tiba Amiera teringatkan kemunculan Qaisar tadi. Macam mana kalau lelaki itu muncul lagi? Lagi sadis kalau datang untuk berjumpa dengannya atau paling tidak, ajak dia keluar makan. Takkanlah dia asyik nak keluar dengan lelaki itu? Lelaki itu kan sudah menjadi suami orang. Tapi dalam ramai-ramai perempuan, kenapa dia yang dijadikan sasaran? Musykil ni. Kena buat edisi soal siasat.

Telapak tangan menongkat dagu. Perbualannya dengan Nasuha malam tadi turut muncul dalam fikirannya.

“Kau pergi mana sebenarnya? Dan siapa lelaki yang hantar kau balik dengan kereta mewah dekat luar tu?” Soalan terus menerpa sebaik sahaja Amiera melangkah masuk ke dalam rumah.

Amiera tarik nafas mendengar soalan bertubi-tubi keluar dari mulut Nasuha.

“Kau bagi aku duduk dulu, boleh tak?” Amiera memandang wajah resah Nasuha.

“Hmm...”  Nasuha melempar jelingan.

Amiera melabuh punggung di sofa.

“Okey. Sekarang, kau bagi tahu aku apa cerita sebenarnya. Kau pergi mana? Kau buat apa dan siapa yang hantar kau balik tadi?” Soalan kembali keluar dari mulut Nasuha.

“Baik. Aku akan cerita tapi sebelum itu, aku nak kau tahu yang aku tak sangka benda ni boleh berlaku dan aku memang tak nak ia berlaku pun,” ujar Amiera. Bimbang kalau sahabatnya itu salah faham.

Nasuha mengangguk kepala perlahan.

Akhirnya Amiera menceritakan apa yang berlaku dari awal dia keluar butik sehinggalah dia pulang ke rumah dan dihantar oleh Qaisar.

“Jadi, kau masih berhubungan dengan lelaki tu?” soal Nasuha terkejut.

“Dia cuma ajak aku makan. Sebagai tanda terima kasih. Itu aje,” jelas Amiera.

“Miera, kau kena ingat yang lelaki tu suami orang. Dan kau kenal siapa lelaki tu sebenarnya. Dah viral pun gambar majlis sanding kau dengan dia dekat media sosial. Kau kena ingat, apa yang orang tua kau akan buat dan fikir kalau mereka tahu hal kau dengan lelaki itu. Macam mana kalau hal ini sampai ke pengetahuan angah kau? Mahu kau kena ganyang dengan dia nanti,” ujar Nasuha.

Amiera tarik nafas lagi panjang. Bukan dia tak fikir semua itu, tapi benda sudah berlaku. Nak diapakan lagi? Masa dah tak boleh nak diundurkan semula.

“Aku harap mereka tak akan tahu hal ni.” Itu yang ada dalam fikiran Amiera.

“Itu harapan kau. Kalau akhirnya mereka tahu juga, macam mana? Kau nak buat apa? Nak buat pura-pura tak tahu? Itu memang perkara yang mustahil,” tutur Nasuha.

“Kau kan ada. Kau back uplah aku.” Amiera tagih simpati.

“Banyaklah kau punya back up.” Nasuha melempar jelingan lagi.

“Alah... kau kan sahabat terbaik aku. Mesti kau akan tolong aku, kan? Kan?” Amiera pamer senyum.

“Amboi, jauhnya termenung. Ingatkan siapa ni?” sergah Joe a.k.a. Johari sambil menepuk meja.

“Tak ada ingatkan sesiapa pun. Ingatkan Abang Joe aje,” balas Amiera. Kemudian dia pamer sengih. Saja, nak tutup rasa malu ditangkap ketika sedang mengelamun.

“Ya ke? Bukannya teringatkan si Qaisar tu?” tempelak Joe bersama kening yang terjongket.

“Entahlah. Miera pun tak tahu nak fikir. Kalau Miera tak hantar gaun pengantin malam tu, mesti Miera tak terlibat dengan lelaki tu, kan?” ujar Amiera. Anak mata memandang wajah Joe yang mula mengukir senyum.

“Semua itu sudah takdir. Sudah tertulis yang Miera akan jumpa dengan Qaisar malam tu,” komen Joe dengan gaya santai.

Amiera mengeluh perlahan. Memang dia akui bahawa semua yang berlaku adalah takdir. Tapi yang dia waswas sekarang adalah takdir itu untuk kebaikan atau keburukan. Dia masih belum dapat terima yang dia terlibat dengan Umair Qaisar. Cucu pemilik Hotel Diamond yang terkenal itu.

“Miera harap sangat, lepas ni Encik Qaisar tak akan muncul lagi kat sini,” ujar Amiera.

“Miera yakin ke yang dia tak akan muncul lagi?” Itu yang disoal Joe.

Amiera tarik nafas.

“Dia tak sepatutnya cari Miera dekat sini. Lepas malam tu, Miera memang tak ada kena-mengena dengan dia pun,” jelas Amiera.

“Itu kata Miera. Kata dia?” Itu pula yang keluar dari mulut Joe.

“Dia sepatutnya cari isteri dia yang menghilangkan diri tu. Bukannya asyik muncul dekat sini cari Miera. Miera bukan isteri dia, bukan tunang dia, bukan kekasih dia, kawan pun bukan. Dah terang-terang yang Miera memang tak ada kaitan langsung dengan dia, tapi kenapa Miera juga yang dia cari?” jelas Amiera dengan harapan Joe akan faham apa yang cuba dia sampaikan.

“Sebab Miera yang dia suka. Mestilah Miera yang dicarinya.” Joe gelak kecil.

Amiera melempar jelingan ke arah Joe. Namun lelaki itu tetap dengan gelaknya. Tak terkesan pun dengan jelingan daripada Amiera.

“Kalau dia nak cari isteri dia, dia tak perlu muncul dekat sini. Masalahnya sekarang, dia datang sini sebab dia cari buah hati dia, iaitu Cik Amiera binti Hamzah. Ada faham?” ujar Joe.

“Kenapa Miera pulak kena jadi buah hati dia? Tak naklah.” Amiera mendecit.

“Eleh... Tak naklah konon. Tapi dalam hati, macam nak melompat sampai ke bintang,” usik Joe.

“Tak ada maknanya. Ada-ada aje Abang Joe ni.” Amiera tetap pertahankan diri.

“Tapi kalau si Qaisar tu tetap nakkan Miera, Miera nak buat apa? Kalau Abang Joe di tempat Miera, Abang Joe terima aje. Lelaki handsome tu. Kaya lagi. Mana ada perempuan nak menolak. Betul tak? Lagipun, dah viral gambar Miera bersanding dengan dia kat media sosial. Bukannya gambar dia bersanding dengan Emily,” komen Joe lagi.

Amiera garu kepala. Dah pening kepalanya memikirkan hal ini. Sampai bila nak selesai?

“Kalau dia muncul lagi, maknanya dia memang betul-betul sukakan Miera. Bukannya si Emily tu,” komen Joe sebelum beredar dari meja Amiera.

Sekali lagi Amiera garu kepala.

‘Isy. Apa aku nak buat ni? Masalah betul.’ Amiera mendecit.

No comments:

Post a Comment