DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 20 September 2018

Mencari Jalan Pulang - Bab 4

Kenapa dalam dunia ni ada kesusahan?
Kalau Tuhan sayangkan manusia, Dia
takkan biarkan kita ditimpa musibah,
kan?


Suzie, kenapa kita kena jawab exam
pada setiap akhir semester?


To test the level of our knowledge in a
particular subject?


Exactly. Macam tu juga dengan hidup.
Allah turunkan musibah tu sebagai satu
bentuk ujian, untuk test siapa antara kita
ni yang paling setia bergantung kepada
Dia apabila ditimpa kesusahan.


Awak tak rasa kejam ke Tuhan buat
macam tu? Dia buat kita rasa susah
semata-mata untuk uji kesetiaan kita.


Tak kejam pun Suzie. Lumrah manusia,
bila dalam kesusahan, baru kita akan
nampak manusia punya true colours.


SKRIN telefon kutatap lama, memikirkan analogi
Uzai yang telah memberikan kefahaman baharu kepadaku.
Telefon bimbitku itu kuletakkan ke tepi. Aku termenung
memandang siling.
Sejak bertemu dengan Uzai di Max Brenner 2 minggu
yang lepas, hampir setiap hari aku menghubunginya melalui
WhatsApp, bertanyakan soalan-soalan yang bermain dalam
benak fikiranku. Dan seperti yang dijangkakan, Uzai sentiasa
ada jawapan bagi setiap soalan-soalan yang aku ajukan dan
semuanya memuaskan hati.
Aku pernah tanyakan soalan yang sama pada seorang
rakan di kolej, namun aku ditempelak pula kerana cuba
mempertikaikan kehendak Tuhan. Salahkah untuk bertanya
perkara-perkara yang aku tidak tahu?
Kedengaran tombol pintu dipulas.
“Assalamualaikum.” Suara Mia perlahan memberi
salam.
Aku hanya diam tidak menjawab. Sejak akhir-akhir
ini, aku perasan Mia sudah agak berbeza berbanding dulu.
Masuk rumah dah pandai bagi salam. Dia juga semakin kerap
meluangkan masa bersama Mariam, gadis bertudung labuh
berwajah lembut. Selepas kelas, dia tidak terus pulang ke
rumah. Entah apa yang dibuatnya dengan Mariam, aku pun
tidak tahu. Hampir maghrib baru dia akan pulang ke rumah.
Kadangkala dia tidak ke mana-mana, tapi Mariam
pula yang berkunjung ke sini. Setiap kali Mariam datang, aku
tidak pernah keluar dari bilik. Sejujurnya aku berasa tidak
selesa. Pernah sekali sahaja aku bersua muka dengannya,
itu pun kerana aku terpaksa membuka pintu rumah yang
diketuk ketika Mia berada di dalam tandas. Dia menghulurkan
tangan untuk bersalam bersama senyuman manis di
wajah. Teragak-agak aku menyambutnya sebelum kembali
meloloskan diri ke dalam bilik.
Pintu diketuk sebelum daun pintu terkuak.
“Zie, aku ada bawa makanan sikit ni. Jom makan?”
Mia menjengulkan kepala dari balik pintu.
Aku mengangguk lalu bingkas bangun, mengatur
langkah menuju ke dapur. Peti sejuk aku buka, mengeluarkan
satu tin Tooheys New dari karton. Penutup tin kubuka
sambil berjalan menuju ke meja makan. Mia yang sedang
menyediakan makanan di stove menoleh ke arahku. Riak
wajahnya tampak tidak senang.
Sambil meneguk bir, aku menjeling sekilas ke
arahnya.
“Kau dah kenapa pandang aku macam tu?” tegurku.
Mia tersentak dan cepat-cepat menggelengkan
kepala. Periuk di stove diangkat menuju ke meja makan. Bau
kari ayam menusuk ke hidung. Enak.
“Jom makan,” Mia menjemput.
“Sedapnya. Mana kau dapat kari ni?” Aku memuji
sambil menyuap nasi ke mulut buat kali kedua.
“Tadi lepas habis kelas, aku singgah rumah Mariam.
Diaorang tengah masak untuk dinner. So, diaorang bagilah
sikit kat kita. Rezeki kitalah hari ni.”
Aku hanya diam tidak membalas. Suasana sunyi
seketika.
“Esok kita orang nak pergi talks kat Newtown. Kau
nak ikut sekali?” Mia bersuara memecah keheningan.
Kita orang? Sudah tentu dia dengan Mariam. Lantas
aku menggeleng. Entah kenapa aku rasa sedikit canggung
apabila duduk berdua dengan Mia sejak akhir-akhir ini. Kami
seperti berada di atas jalan dua hala yang berbeza. Mia sudah
tidak sekepoh dulu, kata-katanya juga kedengaran semakin
lembut. Rasa tidak kena dengan perwatakan aku yang begini.
Nasi pantas kuhabiskan lantas aku mengangkat
punggung menuju ke singki. Selesai mencuci pinggan, aku
terus meluru ke bilik sambil menoleh sekilas ke arah Mia.
Sedikit rasa bersalah meninggalkan dia makan berseorangan.
Rokok kunyalakan sambil duduk di atas meja studi
bersebelahan dengan tingkap bilik yang terbuka. Cantik awan
pada petang ini. Kalau dapat tengok matahari terbenam di
pantai best juga.
Habis sebatang rokok, aku keluar dari bilik. Tengok
dapur yang tiada orang, terus aku menuju ke bilik Mia. Ingin
mengajaknya melihat matahari terbenam di La Perouse.
Pintu biliknya yang sedikit terbuka kutolak perlahan-lahan.
Aku terpempan apabila melihat sekujur tubuh
Mia yang bertelekung sedang bersujud di atas lantai
membelakangkanku. Kaku sebentar pergerakan aku.
Mia sembahyang?
Mia sembahyang?
Serius, Mia sembahyang?
Masih sukar untuk aku percaya. Aku hanya
memerhatikan setiap pergerakan Mia yang aku hanya pernah
nampak di TV1 pada hari Jumaat kerana tersalah tekan
remote TV.
Perlahan-lahan pintu kututup kembali. Aku
melangkah masuk ke bilik sendiri. Masih bingung.
Mia, apa dah jadi dengan kau? Semakin jauh terasa
jurang antara aku dengan Mia. Niat untuk mengajaknya ke
La Perouse kubatalkan. Segera aku menggamit telefon bimbit
dan menghantar pesanan WhatsApp kepada Uzai.
Nak tengok sunset kat La Perouse?
Boleh juga
Okey. Jumpa di sana!
Dengan hati yang kembali ceria, aku menyarung
jaket dan snowcap. Gitar di tepi meja studi aku masukkan
ke dalam beg dan aku sandang di bahu. Selepas menyarung
kasut Converse, aku mula menapak menuju ke bus stop
berhampiran.
Bas telah pun sampai. Jam putih di tangan aku
kerling. 4 petang. Matahari terbenam pukul 5.30 petang.
Sempat lagi.
Sepanjang perjalanan, aku teringatkan kejadian
sebentar tadi. Hatiku digamit rasa sayu apabila memikirkan
Mia yang seperti sudah semakin jauh daripadaku. Ibarat
serumah dengan orang yang tidak dikenali. Entah apa yang
membuatkan Mia berubah sebegitu, aku tak pasti. Yang aku
tahu, Mariam mungkin menjadi salah seorang penyumbang
kepada perubahan tersebut.
Bas berhenti betul-betul di hadapan padang rumput
La Perouse. Kehijauan pemandangan yang indah terbentang
luas di depan mata. Lantas aku mengukir senyum. Ini
merupakan tempat kegemaranku sejak aku menjejakkan kaki
di bumi Australia.
Aku melabuhkan punggung di atas rumput di
hujung padang, jauh sedikit daripada laluan orang ramai.
Gitar di dalam beg kukeluarkan.
Chords lagu Photograph aku mainkan di fret gitar.
Melarikan jari di celah-celah tali dengan penuh keterujaan.
Hobi yang semakin jarang kulakukan semenjak putus cinta.
Masuk sahaja rangkap pre-chorus yang kedua, aku
terdengar suara orang menyanyi di belakangku. Segera aku
menoleh.
“We keep this love in this photograph... We made
these memories for ourselves... Where our eyes are never
closing... Our hearts were never broken... Times forever
frozen still...” Uzai menyanyi sambil duduk bersila di sebelah.
Matanya diarahkan ke tengah laut di hadapan sana sambil
bibir mengukir senyum. Bait lirik dinyanyikan sehingga ke
akhirnya, dan aku turut menyambung.
“Wait for me to come home...”
“Nice,” ujar Uzai sepatah.
Lagu demi lagu kami mainkan; daripada lagu
Inggeris sehinggalah ke lagu Melayu. Irama gitar hasil petikan
jariku dan suara Uzai yang lunak dan merdu sudah cukup
untuk menarik perhatian beberapa orang di sekeliling kami.
Mereka turut sama bertepuk tangan setiap kali lagu habis
dinyanyikan. Ini membuatkan hatiku terasa sangat seronok.
Jam 5.20 petang, matahari mula tergelincir
perlahan-lahan di tengah-tengah lautan. Cantik... sangat
cantik.
“Last song?” Aku menawarkan sambil menghulur
gitar kepada Uzai.
Dia tersenyum nipis dan menyambut gitar tersebut.
Lantas, dia memainkan beberapa chords membentuk melodi
yang tidak pernah aku dengar sebelum ini. Lembut dan
perlahan, sesuai dengan pemandangan matahari terbenam
ketika ini.
“Sungguh cukuplah bagiku... Apa yang kau tahu...
Dari segala inginku...”
Aku menikmati alunan suara Uzai yang sedang
khusyuk menyanyi sambil memerhatikan matahari jingga di
hadapan.
“Kau memiliki diriku... Akulah hamba-Mu... Dan
itu kebanggaanku... Aku masih tetap ada di pintu-Mu... Tak
kujemu tak kulelah untuk menunggu... Kerna sebenarnya
aku sangat inginkan rahmat-Mu... Kuyakin Kau tahu dan
itu cukuplah bagiku...”
Syahdu. Hening suasana. Angin bertiup lembut,
seolah-olah turut mengiringi nyanyian merdu Uzai.
“Oh Tuhanku... Pintaku hanya pada-Mu... Bantulah
aku melangkah untuk mendekati-Mu... Selalu tanpa jemu
tanpa lelah kucinta-Mu... Kerna se...”
Nyanyian Uzai sedikit terhenti. Suaranya yang
bertukar sebak cukup membuatkan aku tersentak.
Perlahan-lahan aku menoleh ke arah Uzai. Dia
sedang menundukkan wajah dan memejamkan mata, sambil
mencuba meneruskan nyanyian, dengan suara yang sangat
perlahan.
“Kerna sebenarnya aku sangat ingin bersama-Mu...
Kuyakin Kau tahu... Dan itu cukuplah bagiku...”
Rintihan suara Uzai itu membangkitkan rasa sayu
dalam hati. Nyanyian yang penuh perasaan, dan punya makna
yang mendalam.
Jingga matahari sudah mula beransur hilang.
Suasana sunyi yang menyelubungi telah ditelan hingar
bingar kenderaan yang beransur pergi. Masing-masing mahu
pulang selepas matahari sudah habis terbenam.
Aku juga mula bangkit, bersiap sedia untuk
pulang. Uzai memasukkan gitarku ke dalam beg, zip, dan
menyerahkan kepadaku.
“Balik?” soalnya.
Aku mengangguk.
“Kejap lagi bas akan sampai.”
“Awak tunggu saya kejap, boleh? Dalam 15 minit.
Lepas tu nanti kita balik sama-sama naik kereta,” Uzai
menawarkan.
“Oh... boleh. Tapi awak nak buat apa?” tanyaku ingin
tahu.
“Saya nak pergi toilet kejap,” jawab Uzai.
“Okey,” balasku sambil kembali duduk.
Uzai bergegas menuju ke tandas awam yang terletak
lebih kurang 50 meter dari tempat kami duduk.
5 minit selepas itu, Uzai kembali dengan wajah dan
tangan yang basah. Kemudian dia membuka jaket di tubuh
dan menghamparkannya di atas rumput berdekatan dengan
aku.
Berkerut-kerut dahiku melihat perlakuan Uzai. Dia
nak buat apa?
Sebaik sahaja Uzai berdiri tegak dan mengangkat
tangan separas telinga, terus aku dapat menangkap apa yang
sedang dia lakukan. Sembahyang rupanya...
Satu per satu aku perhatikan gerak-geri Uzai. Sama
seperti apa yang Mia buat petang tadi. Hari ini saja sudah dua
kali aku melihat orang sembahyang.
Gerak-geri Uzai yang cermat dan kemas,
membangkitkan satu rasa kekaguman dalam hati ini.
Wajahnya yang kelihatan tenang menyuntik rasa damai dalam
jiwa. Belum pernah aku rasa sebegini sepanjang hidupku.
Inilah kali pertama. Semuanya kerana perlakuan Uzai.
Ah, lelaki ini terlalu banyak menyentuh perasaanku.
Selepas dia menoleh ke kanan dan ke kiri, dia
mengangkat tangan separas dada. Gayanya seperti peminta
sedekah menadah tangan meminta kepada orang yang
lalu-lalang. Cuma bezanya tiada orang lain di situ kecuali
kami berdua.
Uzai meraup wajahnya sebelum menoleh ke arahku
sambil menyarung jaket yang dibuat alas untuk sembahyang
tadi.
“Jom balik,” ujarnya lalu berdiri. Lantas aku juga
bangun dan mengikuti langkahnya menuju ke kereta.
“Awak memang suka tengok sunset ke?” soal Uzai
sambil memandu keluar dari La Perouse.
Aku menoleh ke arahnya sekilas.
“All time favourite.”
“Patutlah. First time saya nampak riak muka awak
ceria tadi.”
Aku tersenyum lebar. Memang aku gembira sangat
hari ini. Bukan hanya kerana dapat melihat matahari
terbenam, tapi juga kerana aku rasa aku punya teman
baharu saat ini. Tapi, adakah Uzai berfikir perkara yang sama
sepertiku?
‘Cik adik, kalau nak signature Uzai, kena
sedar diri jugak. Uzai tak layan perempuan
yang dress up macam ni.’
Terngiang-ngiang kata-kata kawan Uzai tempoh hari.
Uzai tak layan perempuan yang dress up macam aku.
Nak ke Uzai berkawan dengan orang macam aku ni? Selama
ini pun, apabila difikirkan kembali, hanya aku saja yang
banyak memulakan atau mengajak dia berjumpa. Dia pula
hanya menurut. Adakah dia rela dengan semua pertemuan
dan balasan pesanan antara kami?
Terus surut rasa gembira yang hadir seketika tadi.
Berubah terus riak wajahku.
“Zie... saya ada salah cakap ke?” Uzai bertanya selepas
menyedari perubahan wajahku.
Aku hanya menggeleng. Dan baki perjalanan selama
20 minit itu hanya ditemani dengan kesunyian antara kami.
Setibanya di hadapan apartmen, aku mengucapkan
terima kasih dan terus keluar dari kereta. Sugul dan rendah
diri merajai hati saat ini.
Sedang aku membuka kunci pintu bangunan
apartmenku, terdengar satu suara dari belakang.
“Cepat betul you cari pengganti I, kan? Patutlah dah
tak nak layan call I.”
Perlahan-lahan aku menoleh...
Izzat???

No comments:

Post a Comment