MIKAYLA berlari menuju ke arah Toyota Hilux
milik Dihya’ yang sedia menunggu di hadapan rumah
sewanya. Kelihatan lelaki itu menunggu di tepi kenderaannya.
“Dah siap? Sempat mandi tak tadi?”
Mikayla menjeling Dihya’. Suka sangat mengusik
dia. Memang dia lewat sedikit pulang tadi. Biasalah ada
kerja-kerja yang diminta secara tiba-tiba untuk disiapkan.
Mujurlah sebelum jam 7 malam dia berjaya menghabiskan
kerja-kerja yang diberikan. Kelam-kabut jugalah meredah
kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur. Menjadikan dia lewat
selama 15 minit dari janji temu mereka buat kali ‘kedua’.
“Sibuklah! Jom kita gerak. Awak nak bawa saya pergi
mana?” Saja buat-buat manja sikit. Sikitlah!
Dihya’ mengusap dagunya.
“Nak makan atau tengok wayang?”
“Makan!” Pantas sahaja Mikayla menjawab.
“Dah agak dah,” ucap Dihya’. Dia membukakan pintu
kereta buat Mikayla.
“Dah tahu tanya lagi.”
“Saja nak test suara orang lapar.” Dihya’ mengusik
lagi.
Mikayla hanya buat-buat tak dengar saja. Malas
hendak melayan.
Dihya’ membawa Mikayla menikmati makan malam
di sebuah restoran di Kuala Lumpur. Malam yang dihabiskan
dengan berbual-bual di meja makan. Itu mungkin lebih baik
daripada menonton wayang. Waktu berlalu begitu sahaja
tanpa perbualan antara mereka.
“Saya nak tanya awak sikit, boleh?” Dihya’
memulakan bicara.
“Dah agak dah.” Mikayla membalas dengan muka
berkerut.
“Macamlah awak tahu apa yang saya nak tanya.”
“Tengok muka awak pun dah tahu yang awak
memang tak sabar-sabar nak bahan saya pasal kejadian siang
tadi, kan?”
Dihya’ merenung Mikayla.
“Awak tengok muka saya? Mesti awak tenung muka
saya yang handsome ni dari tadi, kan?”
Mikayla memandang lelaki solja di hadapannya.
Cemas! Macam mana pula dia boleh tahu? Kalau ya pun, tak
payahlah tegur.
“Dah kita berdua aje kat meja ni. Memanglah saya
tengok muka awak, awak tengok muka saya. Takkanlah saya
nak tengok bumbung restoran atau ikan kat dalam akuarium
tu kut?”
Dihya’ masih merenung ke arah Mikayla.
‘Haih, lelaki ni...’ Speed jantung Mikayla semakin
meningkat.
“Cuba explain pasal Encik Ziyad tu tadi. Apa masalah
awak dengan dia?” Dihya’ mengubah topik. Sebelum Mikayla
tarik muka empat belas akibat usikannya, lebih baik dia
bertanya soalan lain.
“Saya tak ada masalah dengan dia. Sejujurnya yang
saya boleh cakap, saya tak selesa dengan Encik Ziyad. Cara
dia bercakap dengan saya bukan sebagai seorang bos. Cara
dia bercakap, cara dia layan dan pandangan dia membuatkan
saya tak selesa. Tapi, saya memang suka bekerja kat sana. Saya
tak nak ada apa-apa masalah dengan dia. Dan pada masa yang
sama saya nak enjoy dengan pekerjaan saya. Sebab tu, saya
buat macam tu tadi. Awak janganlah fikir yang bukan-bukan
pasal saya tau,” ujar Mikayla. Dia melihat Dihya’ yang tenang
mendengar penjelasannya.
“Betul ke awak tak ada apa-apa perasaan kat Encik
Ziyad tu? Okey jugak dia tu. Good looking, tinggi dan ada
style. Korean look some more!”
“Minta simpanglah. Tolonglah jangan kaitkan
saya dengan dia. Saya memang alergi dengan dia, tahu
tak?” Mikayla merayu. Tidak sanggup membayangkan
kehidupannya dengan Encik Ziyad. Ya ampun, lelaki maskulin
konon. Perangai jemah sangat; sikit-sikit Mikayla, sikit-sikit
ATSD tu bapa dia punya, sikit-sikit, my dear. Yucks!
“Tak pasal-pasal orang handsome macam saya kena
jadi bakal tunang awak. Kesian dengan bakal tunang saya
nanti.”
Terus berubah air muka Mikayla mendengar
kata-kata yang lahir daripada bibir Dihya’.
‘Bakal tunang dia? Dia dah nak bertunang ke?
Patutlah garang semacam saja bila keluar dari lif di ATSD
tadi. Dah berpunya rupanya. Tapi, masih berpelesiran dengan
kita. Oh, Mikayla. What you have done?’
“Maafkan saya. Saya tak tahu yang awak dah nak
bertunang. Kalau saya tahu, saya tak buat macam tu tadi.”
“Itulah, saya pun tak tahu bakal tunang saya tu siapa.
Nanti kalau saya dah jumpa bakal tunang saya, saya akan
explain kat dia. Tapi, kalau benda macam ni jadi kat bakal
tunang saya, saya memang marah sangatlah. Saya akan terus
kahwin dengan dia. Tak payah bertunang bagai. Lepas tu,
memang Encik Ziyad tu makan penumbuk sayalah.”
Mikayla cuba memahami ayat yang dituturkan oleh
Dihya’. Macam putar belit sikit.
“Awak tak tahu bakal tunang awak tu siapa?”
“Sebab saya handsome sangat kut, perempuan pun
takut nak dekat.”
Mikayla ketawa besar. Perasan juga Dihya’ ni.
‘Oh, dia belum berpunya rupanya. Sajalah tu nak up
status dia yang single tu, kan? Hmm, ada peluang lagi ni.’
Mikayla menahan tawa dalam hati.
“Awak cakap macam orang gila, tahu tak? Gaya cakap
macam ada tunang. Tapi tak tahu siapa.”
“Nak buat macam mana, dah saya ni handsome
sangat. Betul tak?”
Mikayla tidak menjawab. Jawab dalam hati saja.
‘Memang awak handsome pun. Tapi, kalau saya
cakap nanti awak hilang akal.’
“So, tangan awak macam mana? Dah okey?” Dihya’
bertanya kepada Mikayla. Kelihatannya Mikayla tidak lagi
membalut tangannya.
“Tangan saya ni dah boleh tumbuk orang dah.
Tapi saya belum pernah lagi tumbuk orang tau. Jangan
sampai muka awak yang handsome tu jadi mangsa.” Mikayla
menunjukkan penumbuknya kepada Dihya’.
Dihya’ melihat sahaja Mikayla yang menunjukkan
penumbuknya yang kecil itu. Gerak-geri gadis itu mencuit
hatinya. Pasti dia akan merindui hari ini; bergurau senda dan
mengusik Mikayla.
Bagaimana nanti jika dia dipanggil untuk menyertai
pasukan pengaman ke Lubnan untuk menyambung misi
United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) suatu
hari yang entah bila dia sendiri pun tidak tahu. Dia juga akan
berjauhan dengan gadis itu untuk tempoh yang agak lama.
Entahlah bila lagi dia akan bertemu dengan ‘bakal tunang’
atau ‘bakal isteri’ bernama Mikayla binti Mirza. Sukarnya
untuk meninggalkan gadis yang baru sahaja dikenalinya.
Baru beberapa kali sahaja mereka berjumpa.
Sebagai tentera, dia harus sentiasa bersedia dan
bersiap siaga menerima arahan. Apa atau di mana sahaja
mereka sedang lakukan, apabila ‘semboyan perjuangan
bergema’, segala-galanya harus dilupakan. Sebagai insan
biasa, sentiasa ada perasaan rindu pada yang ditinggalkan.
Malah ada sahaja cerita-cerita pilu daripada anak-anak
buahnya yang menyatakan betapa sebahagian besar daripada
mereka tidak sempat menerima ucapan selamat tinggal atau
kucupan akhir dari sang isteri dan anak-anak yang dikasihi.
Sesuatu yang tidak pernah dirasainya sebelum ini.
Apalah ada dengan kehidupan lelaki solja bernama
Kapten Dihya’? Bapanya sendiri merupakan seorang anggota
tentera dan ibunya pun sudah tiada. Maka, segalanya tampak
mudah bagi dirinya setiap kali dia dihantar ke mana-mana
pelosok dunia sekalipun.
Pernah juga kedengaran cerita sedih bagaimana
mereka meninggalkan isteri yang sedang sarat mengandung
demi memenuhi tanggungjawab pada negara.
Kata mereka, keyakinan kepada Tuhan itu melebihi
segala-galanya. Rindu dan rasa cinta pada yang ditinggalkan
itu tidak pernah sia-sia kerana ia sentiasa segar mekar
mewangi di dalam doa-doa yang dititipkan di setiap ruang
waktu ketika menghadap Tuhan Yang Satu. Bahasa Tuhan
dengan kalimah agung-Nya memberikan kekuatan luar
biasa buat mereka semua. Hanya Tuhan sahaja yang mampu
menundukkan jiwa-jiwa yang gelisah dan berduka kerana
rindu yang sekali-sekala datang mencabar.
Bergelar sebagai seorang anggota tentera, bukan
sahaja memerlukan kekuatan fizikal semata-mata. Malah
menuntut kekuatan mental bagi menghadapi sebarang
kemungkinan.
Sejak bertemu dengan bidadari bernama Mikayla
binti Mirza, Dihya’ belajar apa itu erti rindu. Keinginan untuk
memiliki itu begitu kuat sejak mengenali gadis itu. Gadis
itu bukan biasa-biasa. Berjaya menambat hatinya dengan
sikapnya yang terlebih berani, rapuh dan mudah dijangka.
Apa perempuan di dunia ini sememangnya dicipta untuk
menjinakkan jiwa-jiwa lelaki seperti dia? Yang dulunya kosong
dan aman tanpa insan bergelar wanita. Tidak memerlukan
perasaan yang menakutkan seperti ini. Dia mula sayang. Dia
mula rindu. Dia mahukan Mikayla binti Mirza.
Tiba-tiba Dihya’ mendapat satu pesanan ringkas
melalui telefonnya. Lamunannya terhenti. Panggilan
‘penting’ di saat dia sedang berdua dengan Mikayla. Usai
membaca pesanan ringkas itu, Dihya’ kembali memandang
Mikayla dengan pandangan teragak-agak.
“Saya ada urusan kerja. Saya kena gerak sekarang,”
ujar Dihya’ dengan berhati-hati. Tidak mahu melukai Mikayla.
Namun, dia terpaksa kerana ‘panggilan’ sebentar tadi.
“Sekarang? Tapi makanan kita belum sampai lagi.”
Dihya’ menganggukkan wajahnya. Ah, sukar sekali
untuk menghadapi situasi begini.
“Kita tapau makanan tu. Saya hantar awak balik
terus.”
“Awak nak pergi mana?”
Dihya’ hanya tersenyum. Tidak mampu untuk
menjawab soalan gadis itu.
Mikayla memandang wajah Dihya’ menanti jawapan.
Namun, hampa. Ah, dia lupa. Bukankah lelaki itu pernah
berkata tempoh hari; kerja nombor satu, awak nombor dua.
Tapi, kenapa sekarang? Dia baru saja tunjuk penumbuk kat
lelaki solja itu dengan niat untuk bergurau. Takkan tiba-tiba
terus kena tinggal? Haih. Memang secara teknikalnya kerana
urusan kerja Dihya’ yang tiba-tiba itu. Tapi, Mikayla masih
ada banyak lagi benda yang ingin ditanya dan diceritakan
dengan lelaki itu. Tak sangka second date mereka berakhir
begitu.
Akhirnya, Mikayla mengalah. Sengaja ditunjuk
rajuknya dengan tidak mahu membungkus makanan yang
telah dipesan. Sempat juga dia menyindir Dihya’.
“Awak kena gerak cepat, kan? So, jangan buang masa
nak tapau makanan tu!”
Berubah air muka Dihya’ ketika itu. Biar padan
muka dia.
Dihya’ cepat-cepat membayar harga makanan
dan mereka berdua beransur pulang. Sepanjang di dalam
kereta, masing-masing mendiamkan diri. Mikayla tunjuk
rajuk. Dihya’ buat muka bengang. Langsung tiada adegan
pujuk-memujuk antara mereka. Dan, yang paling best, Dihya’
sempat tapaukan makanan tadi dan makanan itu diberikan
kepada Mikayla. Tanda dia sempat memulangkan paku buah
keras kepada gadis itu.
“Membazir amalan syaitan!”
Eh, dah bagi cakap macam tu pula! Mikayla
menghantar pemergian Dihya’ dengan hati yang sakit.
Begitulah kisah second date mereka.
Mikayla menarik nafas panjang-panjang. Patutkah
dia makan makanan pemberian Dihya’ ini? Atau haruskah
dimasukkan ke dalam mulut tong sampah saja? Tong sampah
sudah ada depan mata saja ni.
Mikayla tidak sampai hati untuk membuang
makanan itu. Kuaja, kuaja, kuaja! Dia kena makan makanan
ni sampai habis. Agar terbukti bahawa dia tidak membazirkan
makanan. Dan, Mikayla bukan syaitan. Arghhh! Geramnya
dengan lelaki solja itu!!!
Cepat-cepat dia masuk ke dalam rumah. Ditukar
persalinannya kepada sepasang baju tidur dan kembali
semula ke ruang tamu untuk menikmati makanan tadi di
hadapan televisyen. Tiada rancangan yang menarik pun di
televisyen. Ditukar-tukar siaran beberapa kali dan akhirnya
dia melekat menonton rancangan Running Man. Okeylah
tu, buat penghibur hati yang berduka lara. Sedih tau second
date jadi begini. Rasa macam frust menonggeng. Walhal,
bukannya mereka bercinta pun.
Bungkusan makanan dibuka perlahan. Makan yang
dipesan oleh Dihya’ ialah Nasi Goreng Tomyam dan dia pula
memesan Mi Kung Fu. Tiada selera nak makan. Simpan
dalam peti ais sajalah. Esok-esok boleh panaskan. Tapau bawa
pergi ofis pun boleh. Hai, end up duduklah sorang-sorang di
depan televisyen.
‘Apalah nasib kau, Mikayla. Hah, itulah menggedik
sangat nak keluar dengan lelaki solja. Terimalah nasib kau!’
Kemudian, telefon Mikayla berbunyi. Pesanan
WhatsApp masuk. Daripada Dihya’.
‘Eh, kata sibuk sangat. Ni sangat sempat pula
berWhatsApp bagai!’
Jangan simpan makanan tu sampai
esok. Makanlah sementara masih
panas.
Mikayla terkejut. Macam tahu-tahu saja dia memang
berhajat nak simpan makanan itu untuk dimakan pada esok
hari.
Makanan pemberian Dihya’ dipandang seketika.
Sedih pula rasa hati. Hah, tahu pun dia tengah merajuk.
Digelengkan kepala menghadap skrin telefon miliknya.
Sibuk memikirkan hendak balas apa. Entahlah. Dia kecewa.
Pertemuan mereka berakhir begini dan mereka bermasam
muka sebelum berpisah tadi.
Okey.
Maafkan saya.
Untuk apa?
Sebab tak sempat nak buat confession
tadi.
Mikayla mengeluh perlahan. Pengakuan apa? Sukar
untuk dipercayai. Dia kelu. Tidak tahu mahu membalas
dengan ayat yang bagaimana. Ingin saja dia bertanya dengan
lebih lanjut. Tapi apa yang akan terjadi selepas ini? Masihkah
mereka akan berhubungan sebegini rupa? Dia sendiri tidak
yakin dengan perasaannya sendiri.
Lagipun Dihya’ yang melayannya umpama puteri.
Walau ternyata dia memang senang berada dekat dengan
lelaki solja itu, namun dia takut untuk memiliki perasaan
yang begini. Ah, lelaki... boleh percaya dengan semudah
inikah?
Lupakan aje. Selagi kerja awak nombor
satu.
Butang hantar ditekan. Entahlah, sama ada
benar tindakannya itu ataukah itu hanya sekadar rajuknya
dengan lelaki itu? Bagaimana Dihya’ mampu menjaga dan
mencintainya jika dia bukanlah yang pertama dalam hidup
lelaki askar itu?
Pada mulanya, Mikayla tidak kisah. Namun selepas
apa yang berlaku pada malam ini, dia jadi keliru. Apakah
perasaannya yang sebenar? Cinta? Cinta yang mesti berada di
sisinya selalu? Ataukah cinta seperti lelaki solja? Sekejap ada,
sekejap hilang. Ah, malas mahu memikirkannya. Kalau dah
tidak berjodoh nak buat macam mana?
Bukan awak yang tentukan.
Saya tahu. Maafkan saya. Cuma saya
masih tak mahu jadi nombor dua.
Saya faham.
Jaga diri.
Terima kasih sudi keluar dengan saya
tadi.
Mungkin itu yang terakhir.
Okey.
Dihya’ meletakkan telefonnya di sisi. Sungguh dia
tidak menyangka pertemuan mereka akan berakhir begini.
Kecewa hatinya dengan kedegilan Mikayla. Ucapan ikhlasnya
tidak mendapat balasan langsung. Keras sungguh hati gadis
itu. Mikayla tidak seharusnya memintanya untuk memilih.
Bukan semua perkara boleh dicampuradukkan hanya kerana
emosi.
Keluhan dalam dilepaskan. Mungkin tiada jodoh
antara mereka. Cinta gadis itu terlalu mahal untuk lelaki
sepertinya. Bayangan Mikayla datang mengganggu. Mencalar
emosi dan ego lelakinya.
Bisa waktu ini kuhentikan?
Saat sedekat ini denganmu
Kau yang manis
Mencuri hatiku begitu saja
Rapuh aku menanggung rindu yang gila ini
Separuh mati menanti hari berlalu
Hanya untuk kamu
Nikmati tawa senyum manismu
Menggoda aku dengan renung semanja itu
Jangan pernah ragu
Aku cintakan kamu
Gadis seberani besi
Aku gilakan kamu...
No comments:
Post a Comment