DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 20 September 2018

TQ Kapten! - Bab 9

KEESOKAN harinya, Mikayla sudah bangun
seawal jam 4 pagi. Intro sedikit depan kamera dengan Waliy
di hadapan padang kawad dan meneliti beberapa skrip yang
perlu dihafal. Shoot sebanyak yang mungkin, jadi bahagian
yang terbaik akan dipilih semasa peringkat suntingan nanti.
Physical Training (PT) dimulakan selepas sahaja solat
subuh berjemaah. Di mana mereka dikehendaki berlari dan
berkawad di dalam kawasan kem sejauh 5 km. Waktu begini
namanya sahaja yang asyik disebut-sebut. Maklumlah asyik
tersalah langkah saja. Bukan dia tak perasan wajah Waliy dan
Elda yang asyik tersenyum-senyum dan mentertawakannya.
Lari 5km dengan rentak yang sama. Bayangkanlah! Tak
tahulah macam mana rupa dia dalam dokumentari itu nanti.
Harap-harapnya Waliy tak banyak fokus gambar wajahnya
yang tercungap-cungap kepenatan. Penat weh!
Selepas berlari sejauh 5 km, mereka dikehendaki
menggalas beg seberat 25 kg. Bahagian inilah yang paling
kelakar. Sebaik saja beg itu digalas oleh Mikayla, tubuh
Mikayla terus melayang jatuh ke belakang. Berat dia, Tuhan
saja yang tahu.
Berbanggalah wahai rakyat Malaysia. Lelaki-lelaki
solja ini berlatih menggalas beban seberat ini hampir setiap
hari demi menguatkan stamina dan membina ketahanan
diri yang mantap seiring dengan disiplin diri yang perlu
diperkuatkan sebagai seorang tentera. Tidak mereka duduk
sahaja di kem dan tidak berbuat apa-apa menunggu perang
baru hendak dikerah kudrat dan keringat mereka. Banyak yang
mereka korbankan demi memastikan penduduk menghirup
udara keamanan dan kebebasan di tanah air sendiri.
Pada sebelah petangnya, Mikayla menyertai latihan
rempuh halangan. Cuba teka apa yang paling mencabar bagi
seorang wanita tika dan waktu seperti ini? Pastinya terik
mentari yang betul-betul di atas kepala. Sesiapa sahaja pasti
dapat merasakan kulit seperti udang kena bakar. Berminyak
tak payah cakaplah. Alangkah indahnya waktu-waktu seperti
ini jika dia dapat duduk dengan tenang di pejabat dengan
penghawa dingin yang sememangnya menyejukkan sehingga
menggigil tulang kaki.
Mikayla perlu melalui beberapa halangan seperti
memanjat tembok setinggi 6 kaki dan 12 kaki, monkey bar,
piramid, tangga kambing dan merangkak di bawah dawai
kawad di dalam lumpur. Seperti selalunya, nama Mikayla
sememangnya menjadi laungan semangat buat lelaki-lelaki
solja di dalam pasukannya. Terasa seperti ingin menangis
tatkala merangkak di dalam lumpur dan bajunya hampir
tersangkut pada dawai.
Dihya’? Ah, lelaki kejam itu tenang sahaja
memerhatikan dia di sebalik cermin mata hitamnya.
Sikit-sikit hanya namanya sahaja yang naik.
‘Kay! Lain yang dibuat dari yang diajar.’
‘Kay! Pantas sikit. Macam mak nenek kau berjalan.’
‘Kay! Kay, Kay, Kay!’
Sakitnya hati dia. Nak saja dia menggenggam lumpur
itu dan melumur ke muka Dihya’. Bajet handsome sangat!
Tapi, tetap ada masa yang menyeronokkan di sebalik
semua ini. Semangat berpasukan dan setia kawan. Mikayla
menjadi seperti lelaki bongsu di dalam kumpulannya. Dia
dapat merasakan semua ahli kumpulannya begitu menjaga
dan membantu setiap pergerakannya. Layanan yang begitu
istimewa. Setiap kali dijerkah oleh kapten kejam itu ada
sahaja ahli kumpulannya yang akan membantu dan cuba
menceriakan setiap langkahnya. Terutama sekali Jamal dan
Joe. Dua teman baik ini yang setia sentiasa bersama dengan
Mikayla sejak latihan ini bermula. Bukan, sejak PT pagi tadi
sebenarnya.
Jamal yang kelakar dan Joe yang dua kali lima
sengalnya. Kata-kata semangat yang tidak putus-putus
diberikan saat dia terasa seperti sudah putus nyawa. Hahaha...
Ada masanya sewaktu Dihya’ sedang fokus memerhatikan
yang lain, ahli kumpulannya akan menyuruhnya untuk skip
salah satu halangan yang agak sukar untuk dilakukannya.
Keyword yang akan disebut, ‘halal’. ‘Halal’ yang membawa
maksud menyuruhnya untuk maju ke halangan yang
seterusnya. Segarang-garang Dihya’, nakal lagi anak-anak
buahnya.
Sewaktu latihan rempuh halangan berakhir, semua
kembali berkumpul sebelum bersurai. Namun, belum
sempat Dihya’ memulakan ucapannya, Jamal sudah menjerit
namanya.
“Kak Kay! Darah!” jerit Jamal.
Mikayla terpinga-pinga. Mana datangnya darah?
Tangannya? Tak ada pula. Okey saja. Seluruh tubuhnya juga
okey saja.
Dihya’ yang mendengar jeritan Jamal segera
mendekati Mikayla rapat tanpa sebarang amaran. Ditarik
lengan gadis itu dan membawa Mikayla duduk di bawah
pokok. Kemudian disuruh Mikayla duduk untuk membuat
rawatan. Tapi gadis degil seperti Mikayla memang susah mahu
mendengar arahan dan sentiasa cuba ingkar arahannya.
“Buat apa nak suruh saya duduk kat sini? Awak nak
buat apa?” soal Mikayla. Cemas.
“Sebelum saya sendiri angkat awak pergi bilik
kecemasan, baik awak duduk dan tundukkan kepala awak,
pandang ke bawah. Jangan nak fikir macam-macam pulak.
Saya nak hentikan pendarahan kat hidung awak tu,” ujar
Dihya’.
Baru kini Mikayla dapat melihat anak mata lelaki
solja itu yang baru membuka specs mata hitamnya dan
diselitkan di poket bajunya. Wajahnya tidak segarang tadi.
Ada riak risau di sebalik wajah itu.
Mikayla duduk perlahan-lahan dan membongkok
dengan tenang seperti yang diarah oleh Dihya’. Ya, baru
ketika itu dia dapat merasakan cecair panas di wajahnya.
Rasa macam selesema saja. Cuba dikesat dengan tangannya.
Memang betullah. Tangannya ada kesan darah pekat. Banyak
juga darah yang mengalir. Macam mana dia boleh tak perasan?
Pasti hodoh sudah wajahnya ketika itu. Malunya! Baru sahaja
buat latihan rempuh halangan, takkan dah tumbang sebegini
rupa? Tengok orang lain, okey saja.
Elda di sisi meminta Mikayla agar merendahkan
bahagian kepalanya untuk menghentikan pengaliran darah di
hidung. Jamal dan Joe pula datang dengan membawa ais dan
tuala. Entah bila kala mereka berdua pergi mengambil semua
itu. Terharu melihat semua yang ada di sisinya ketika ini.
Elda mengelap tangan Mikayla yang mempunyai
kesan darah. Manakala Dihya’ menekap tuala berisi ais di
pangkal hidung Mikayla. Tuala satu lagi dibasahkan air dan
dia membersihkan wajah Mikayla dari kesan darah. Dia
melakukannya dengan teliti tanpa memandang sedikit pun
Mikayla.
“Pernah jadi macam ni tak?” soal Dihya’ kepada
Mikayla.
“Pernah masa kecik-kecik dulu. Dah besar tonjeng
macam ni tak pernah pulak.”
“Cuaca panas sangat ni. Kejap lagi awak okeylah. Tak
ada apa-apa ni. Nanti saya minta pasukan paramedik datang
tengok awak. Lepas ni, awak rehat dulu. Tak payah masuk
untuk aktiviti petang ni.”
Acah-acah ambil berat pula lelaki solja ni. Ingat
Mikayla akan cair?
“Eh, mana boleh macam tu. Saya kena habiskan
kerja saya dalam tempoh 6 hari ni.”
Dihya’ menggeleng sahaja mendengar jawapan
Mikayla. Dah sakit begini pun masih nak fikir pasal kerja lagi.
“Saya tahu awak kena habiskan tugas awak secepat
mungkin. Saya takkan biarkan awak duduk lama-lama kat
sini. Baru sehari awak kat sini...”
“Apa pulak sehari, dah dua harilah.” Mikayla
menyampuk.
Elda menampar bahu Mikayla. Dia juga tak
tahan dengan mulut mak nenek kawannya itu. Rasa nak
dicili-cilikan saja.
“Cuba jangan menjawab. Aku cubit mulut kau tu
nanti!” marah Elda. Geram dengan mulut Mikayla. Kecil tapi
kuat menjawab. Entah kenapa asyik nak cari pasal saja dengan
Kapten Dihya’. Kawan baiknya tu tak takut ke dengan mamat
yang serius memanjang ni? Karang dibuatnya mengamuk,
tak pasal-pasal Mikayla, dia dan Waliy kena halau keluar dari
kem ni. Dokumentari ke mana, kerja pun melayang. Hesy,
Mikayla ni!
“Awak berehat aje untuk petang ni. Latihan
kita cukup sampai di sini untuk hari ini. Dapatkan rehat
secukupnya. Dan kalau awak dah okey esok, kita akan
sambung untuk latihan lain yang lebih mencabar. Kalau awak
tak okey semasa hari esok, jangan mimpi saya nak bagi awak
ikut latihan ini. Awak boleh sambung untuk berada di sini
untuk tempoh berminggu-minggu lagi selama mana yang
awak mahu untuk habiskan kerja awak. Tapi, kalau awak tak
betul-betul fit untuk ikut rutin kami, sampai bila-bila pun
saya takkan benarkan awak ikut kami menjalani latihan lagi.”
Dihya’ memberi amaran.
Mikayla dapat melihat Dihya’ yang merenungnya
dalam-dalam. Kali ini, tidak berkelip matanya memandang
Dihya’.
“Kakak cantik, dengarlah cakap bos kacak. Rehat
dulu. Esok kita sambung lagi, okey?” pujuk Jamal.
Nasib baik ada Jamal yang baik hati. Cubalah Dihya’
cakap lembut-lembut macam Jamal. Susah sangat ke?
“Kalau degil jugak tak nak dengar cakap, sekarang
jugak awak boleh packing barang dan balik. Suka hati
awaklah, Cik Kepala Batu.” Dihya’ menyerahkan tuala yang
berisi ketulan ais kepada Elda. Dia terus meninggalkan
Mikayla di situ dan kembali menghadap anak-anak buahnya.
Beberapa arahan dikeluarkan dan semua orang mulai beredar.
Tinggal Mikayla berdua dengan Elda. Waliy
pun dah bersiap-siap nak berkemas untuk menyimpan
barang-barangnya. Akur dengan kata-kata Dihya’ sebentar
tadi. Isyarat tangan Elda juga memberinya arahan untuk
pulang dahulu.
“Kau nak bangun tak? Kita berehat dalam bilik
eh?” pujuk Elda. Dia kasihan dengan kawannya, Cik Kepala
Batu ni. Dahlah sakit begini, kena marah pula lagi. Tak patut
betullah Kapten Dihya’ tu.
Kadang-kadang dia pun pelik. Kenapalah kapten tu
asyik nak cari pasal saja dengan Mikayla yang cantik jelita tu.
Lelaki-lelaki lain confirm akan melayan Mikayla baik punya.
Yalah, bukan nak membawa maksud orang cantik-cantik ni
harus dilayan seperti VIP atau puteri raja, cuma janganlah
berkasar sangat.
Mikayla pun bukan jenis perempuan gedik atau
mengada-ada yang mahukan perhatian lelaki. Dia kenal
Mikayla itu gadis yang macam mana. Kalau dia nak hidup
senang atas duit semata-mata memang mudah. Berbekalkan
wajahnya yang cantik sahaja dia sudah mampu memikat
mana-mana jutawan di luar sana dan hidup senang-lenang
tanpa perlu bersusah payah begini.
Dek perangai Mikayla yang begitu
bersungguh-sungguh yang membuatkannya jadi melekat
untuk bersahabat dengan gadis itu. Gila bekerja dan tidak
menjadikan kecantikannya sebagai bonus untuk mendapatkan
apa yang dia mahu.
“Sekejap lagilah, El. Aku nak duduk sekejap macam
ni. Kau tengok tu, bukan senang nak dapat pemandangan
macam ni. Lepak-lepak bawah pokok sambil baring atas
riba kau. Dengan angin sepoi-sepoi bahasa lagi. Hmm,
bahagianya!”
Elda tersenyum mendengar kata-kata Mikayla.
Sakit- sakit macam ni pun ada mood nak berangan. Layankan
sajalah.
“Kau betul-betul pulun nak siapkan dokumentari ni,
kan?” soal Elda.
“Mestilah kena pulun. Untung-untung dah dapat
buat dokumentari dalam negara, lepas ni aku nak mohon
untuk buat dokumentari di luar negara pulak. Yang lebih
mencabar dan boleh memberi inspirasi kepada penonton. Dan
boleh memberi kesan pada semua jiwa yang tengok apa yang
sedang kita buat ni. Aku nak penonton kita dapat satu mesej
yang mereka perlu jadi manusia yang luar biasa walaupun di
mana mereka berada. Tak kira berapa kecik pun pekerjaan
diaorang. Semuanya dikira dalam satu jumlah yang cukup
besar di sisi Tuhan.”
“Semua ini bagi aku satu rasa puas yang tak terhingga
bila aku dapat sampaikan apa yang aku alami dan usahakan
kepada semua dengan jelas dan indah. Sesuatu yang akan
dikenang sampai bila-bila. Macam aku selalu cakap kat kau.
Momen yang kita ambil dan jadikan ia dalam bentuk gambar
apatah lagi video akan jadi satu saat yang paling bermakna.
Aku memang suka sangat benda-benda macam ni. Aku enjoy
dan hargai setiap dari momen tu,” jelas Mikayla panjang.
“Kerja kita ni, bukan setakat nak impress bos dan
orang luar. Kepuasan terasa apabila ada yang tersenyum
melihat hasil kerja kita dan bila ada yang menangis kerana
kita berjaya membangkitkan elemen nostalgia dari waktu
yang berlalu. Dan, lebih hebat lagi kalau ada yang berubah
kerana apa yang telah kita sampaikan. Itu yang paling aku
rasa susahlah nak buat setakat ni,” tambah Mikayla lagi.
“Tak ada hal langsung untuk kau buat semua tu.
Kepala otak kau tu bergeliga. Memang kau akan buat sampai
dapat. Macamlah aku tak tahu. Tapi, aku peliklah. Kenapa
kau asyik kena aje dengan Kapten Dihya’ tu? Dah tu, garang
sangat dengan kau. Tak boleh ke lembut-lembut sikit?
Hangin semacam aje dengan kau. Kau pernah tolak cinta dia
ke? Atau kau ada buat salah dengan dia dalam kehidupan kau
yang lalu?”
Mikayla dan Elda sama-sama tergelak. Apalah punya
mengarut soalan Elda ni!
“Ingat lagi tak kat ‘bakal tunang’ aku yang tak jadi
tu?” soal Mikayla sambil bangun dari riba Elda. Rasa-rasanya
pendarahan hidungnya telah pun berhenti. Beku otaknya
ditekup dengan ais sejak tadi.
Elda menganggukkan wajahnya. Teruja.
“Itulah dia, mamat yang kau panggil kapten tu.”
“Gila kau!” Elda terkejut. Ternganga mulutnya
ketika itu. Patutlah, macam anjing dengan kucing saja dua
manusia berlainan jantina ini. Pantang berjumpa, mesti ada
saja nak bertikam lidah. Tak Dihya’ yang naik angin, Mikayla
yang tarik muka empat belas. Sama rentak dan tak mahu
mengalah.
Mikayla tergelak melihat reaksi Elda.
“Betullah... yang kau duk puji handsome sangat
tu; yang garang macam bapak singa dari hari pertama aku
jejakkan kaki kat kem ni.”
“Patutlah...”
“Patutlah apa?” soal Mikayla. Dia sudah bangun dan
menarik Elda untuk ikut bangun dan pulang ke kamar.
“Garang dia ada makna. Kau tahu tak, ada
masanya aku tengok dia garang. Kejap aku tengok dia
tersenyum-senyum bila tengok kau tergolek masa buat
aktiviti. Dia memang tengok kau sepanjang kau buat aktiviti,
tahu tak? Masa yang kau skip halangan tu, kau ingat dia tak
perasan? Dia buat cool aje tau. Tapi, aku memang perasan dia
memang tak lepas tengok kau satu hari ni. Tapi, bila marah,
memang kawkaw dia marah kau. Macam kau buat salah besar
aje.”
Mikayla tersengih mendengar analisis Elda.
“Biasalah tu, El. Orang cantik macam aku ni susah
orang nak lupa. Sampai tak boleh nak move on dibuatnya.
Kapten Dihya’ kesayangan kau tu semua pembawaan
sikap-sikap tak boleh move on yang buat dia asyik nak
berangin aje 24 jam tengok muka aku. Lepas tu, nak tackle
pulak susah. Dia ingat cukup aje main ayat sweet-sweet sawit
dia dengan aku? Tak ada maknanya!”
Elda buat muka. Menyampah mendengar kata-kata
masuk bakul angkat sendiri Mikayla.
“Ah, sudahlah kau. Aku doakan kau berjodoh dan
kahwin dengan Kapten Kepala Angin tu. Sesuai sangat dengan
kau, Cik Kepala Batu, Cik Kepala Angin. Berjodoh sangat!”
Mikayla memeluk Elda. Sengaja mahu menyakat
teman baiknya itu.
“Eeee, jangan peluk akulah. Kau tu dahlah kotor,
masuk lumpur. Lepas tu dengan darah kat baju kau. Eeee,
jauh sikitlah, budak busuk!” Elda menolak tubuh Mikayla.
Tidak mahu kawannya terus memeluk tubuhnya lagi. Nanti
melekat segala jenis bakteria dan kuman di tubuhnya.
“Busuk, busuk Mikayla inilah yang akan
menggegarkan ATSD dengan dokumentari paling hebat
dalam sejarah. Aku akan singkirkan Encik Ziyad yang poyo
dan rampas ATSD dari pemerintahan kuku besi. Chewah!”
“Dah, dah. Jom balik bilik. Mengarut aje dari tadi.
Muka pun dah tak serupa orang. Dah tak cantik dah Double M
yang menjadi pojaan pak cik dan mak cik di kampung. Jom,
balik mandi!” Elda menarik lengan Mikayla menuju pulang
ke kamar mereka.

No comments:

Post a Comment