DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 20 September 2018

TQ Kapten! - Bab 1






MIKAYLA menurunkan cermin tingkap kereta
miliknya. Sudah lama dia memandu dari Kuantan. Lebuh raya
kelihatannya sesak dan dia sudah tersekat dalam perjalanan
ini hampir dua jam. Perutnya sudah lapar dan berbunyi
dari tadi. Kepala dia turut pening dan badannya dah mula
menggigil. Mikayla bergerak keluar dari rumahnya seawal
jam 8 pagi dan dia hanya sempat menyumbat sebungkus roti
krim Gardenia perasa jagung sebagai alas perut.
Sebaik sahaja tiba di Kuantan tengah hari tadi, dia
berlari terus ke lokasi kejadian. Walhal janji temunya dengan
Puan Salmah untuk sesi temu ramah mengenai kehebatan
skuad wanita di dalam pasukan bomba adalah pada jam 3
petang.
Namun, usai subuh tadi Mikayla mendapat panggilan
daripada rakan sekerjanya yang meminta bantuannya untuk
mengambil alih tugas untuk ke Maran bagi mendapatkan
berita mengenai kes sekumpulan remaja yang hilang sejak
seminggu lalu masih belum ditemui. Alang-alang sejalan
Mikayla membantu rakan sekerjanya itu.
Matanya dibuka dengan seluas-luasnya. Cuba untuk
fokus pada pemanduan. Letih sungguh seharian berkejaran
ke sana dan ke mari demi menyiapkan tugasan. Malam tadi
pun, dia hanya mampu melelapkan matanya tidak sampai dua
jam dek baru pulang dari Acheh, Indonesia.
Mikayla ke sana kerana menyertai projek
kemanusiaan yang dianjurkan oleh bekas teman sekuliahnya
sewaktu di universiti dahulu. Tidak sampai hati menolak
pelawaan mereka dan memandangkan itu adalah projek
re-visit mereka iaitu kembali melawat rumah anak yatim
yang pernah mereka lakukan tujuh tahun dahulu. Bolehlah
juga dianggap seperti reunion kecil-kecilan kerana mereka
semua terlibat hadir di sana. Bukan reunion biasa-biasa
seperti makan-makan dan borak kosong. Mereka pergi ke
sana kerana mahu melihat perkembangan rumah anak yatim
dan penghuni-penghuni di sana sekali. Rindu berprogram
sewaktu di universiti menggamit mereka semula untuk
kembali ke sana.
Waktu kerja dia yang sememangnya tidak menentu
masanya membuatkan Mikayla tidak betah untuk tinggal
bersama dengan kedua orang tuanya. Kadangkala baru sahaja
dia hendak menikmati minum petang bersama ibu dan ayah,
dia dipanggil untuk bertugas waktu itu juga. Adakalanya dia
dihantar jauh entah ke mana dan masa untuk dia pulang ke
rumah juga tidak menentu.
Maka, setiap kali itulah dia akan dibebel dan diberi
‘ceramah’ utama oleh ibu yang risau melihat anak daranya
yang tidak mahu melekat di rumah. Sibuk sentiasa dan
soal keselamatannya sentiasa menjadi topik utama. Oleh
sebab itu, tinggal di rumah sewa menjadi pilihannya kerana
memudahkan segala pergerakannya.
Itu belum termasuk lagi topik umurnya yang
semakin keemasan dan mencemaskan mana-mana ibu
bapa yang mempunyai anak dara yang tidak menunjukkan
tanda-tanda mahu mendirikan rumah tangga dalam usia
‘begini’. Come on, belum cecah 30 lagilah. Betul tak?
Mikayla juga aktif dengan projek-projek luar bersama
rakan-rakan lama ataupun NGO yang memerlukan masanya
dibahagi-bahagi dengan sebaiknya. Nak buat macam mana,
karakter dirinya sendiri yang memang tak tahu nak duduk
diam sememangnya telah sebati sejak kecil lagi.
Kerjaya sebagai wartawan ini datang dengan minat
yang mendalam sejak di bangku sekolah lagi. Kerjaya yang
telah membawanya sehingga merata ceruk di dalam dan di
luar negara. Dan kini dia merupakan antara wartawan muda
di salah sebuah Agensi Televisyen Swasta Dominan (ATSD)
dan wajahnya kerap menghiasi kaca televisyen sama ada di
saluran berita utama mahupun iklan selingan.
Mikayla tahu bahawa perjalanan kehidupan ini
masih jauh dan masih banyak yang mahu dipelajari dalam
selok-belok dunia kewartawanan di Malaysia. Namun, dek
perangainya yang tidak mudah berputus asa dan komited
dengan tugasnya, selayaknya dia menjadi kesayangan semua
pekerja di ATSD. Kerjanya tip top dan dia akan berusaha
sebaik mungkin melaksanakan setiap tugasan yang diberikan.
Mikayla sudah tersenyum melihat skrin telefon
miliknya. Panggilan dijawab tanpa melengahkan masa.
“Ibu...” Mikayla menjawab manja panggilan Puan
Maria. Terus membayangkan wajah jelita dan awet muda
Puan Maria. Sehingga kini, lesung pipit ibunya masih mampu
menawan sesiapa sahaja yang melihatnya.
Serentak itu juga, kedengaran suara Puan Maria
memetir di hujung talian membuatkan Mikayla menjauhkan
sedikit telefonnya dari telinga. Bingitnya ya ampun! Lebih
bingit dari bunyi hon kereta mahupun jeritan suara bayi.
Anehnya, lesung pipit milik ibunya itu tidak pernah pula
tenggelam atau tercabut setiap kali ibunya memetir
kepadanya. Hehehe...
“Hah! Hidup lagi kamu, Kay? Kay, bila nak balik
rumah ni? Tak reti-reti nak jenguk ayah dengan ibu kat
rumah lagi ke? Rumah Kay tu, bukannya jauh dari rumah
ibu. Bukannya kena drive 9 sampai 10 jam nak ke rumah
ibu. Hidup kalau berTuhankan kerja memang begitu. Sampai
lupakan ayah dan ibu kat rumah. Apa nak jadi dengan kamu
ni, Kay?”
Mikayla menggaru-garu kepalanya. Cuba
mengerah minda mengatur ayat untuk menyejukkan hati
ibu kesayangannya. Padu sekali ayat pembuka Puan Maria.
Ingatkan ibu call sebab nak cakap rindu kat anak dara
kesayangan dia ni. Rupanya nak kena sembur. Alahai.
“Ibu tak nak tanya ke Kay kat mana?” Suara dia
berubah serius. Malah, sengaja diperlahankan suaranya.
Sengaja buat-buat sedih.
Puan Maria tidak sedap hati. Tiba-tiba rasa bersalah
bermukim di hatinya. Semuanya kerana terlalu marah dengan
anak perempuannya itu. Hati ibu manalah yang mampu
menanggung rindu kepada anak-anaknya sebegini lama
setelah berhari-hari tidak melihat wajah anaknya, Mikayla.
Malah, nak dapat panggilan telefon daripada anak
gadisnya itu memang makan hati dibuatnya. Hilang macam
itu sahaja. Ingatkan jika dibiarkan, akan terdetiklah di hati
anaknya itu untuk bertanya khabar. Memang ke laut sahaja
angan dan impiannya itu. Selagi dibiarkan, selama itulah
Mikayla hanyut tanpa khabar berita. Entah sihat atau jatuh
sakit tiada siapa pun yang tahu.
“Kay kat mana ni?” soal Puan Maria. Prihatin.
Marah-marah juga. Risau tetap ada. Bukannya dia tak tahu
kerja anaknya itu bagaimana. Entah-entah kena culik ke? Isy,
minta simpang! Bukannya dia tak tahu skop kerja anaknya
itu bagaimana. Sekejap ada di pejabat. Silap-silap bila call
keesokan harinya, Mikayla sudah berada di Sarawak.
“Kay kat hati ibulah! Cia! Cia! Cia!”
Jeritan suara Mikayla di hujung talian kedengaran
gembira sekali. Suara ketawa anaknya itu mengubat rindu
di hati tuanya. Puan Maria hanya menggeleng-gelengkan
kepalanya mendengar ketawa Mikayla yang masih bersisa.
Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman dan amarahnya
hilang begitu saja. Lupa terus yang dia ingin mengamuk
dengan gadis bernama Mikayla. Anak bertuah ni, memang nak
kenalah. Waktu-waktu macam ni boleh pula dia mengenakan
ibunya sendiri. Budak berani ni!
“Kay...” Lembut suara Puan Maria memanggil nama
panggilan Mikayla.
Mikayla mematikan senyum nakalnya yang terukir
sebentar tadi. Panggilan itu bermakna yang Puan Maria
sedang serius. Dia tahu dia harus mendengar dengan
sebaik-baiknya.
“Jaga diri walau di mana Kay berada. Jangan lupa
jugak jaga maruah kami sebagai ayah dan ibu. Ingat pesan
ibu ni. Ayah dan ibu sayangkan Kay lebih daripada nyawa
kami sendiri. Kay jangan lupa tu.” Puan Maria berpesan
kepada Mikayla. Itulah pesanan yang sering diulang-ulang.
Tidak mahu Mikayla, Naufal ataupun Naura lupa diri dan asal
usul keluarga mereka walau di mana sahaja mereka berada.
Keluarga kecilnya kini sudah cukup bahagia
dengan adanya Mikayla dan anak kembar mereka menghiasi
perkahwinan keduanya dengan Nahlan. Mikayla merupakan
anaknya hasil daripada perkahwinan pertama dia dengan
Mirza. Dia berpisah dengan Mirza sewaktu umur Mikayla
berumur 9 tahun. Kemudian, dia berkahwin dengan Nahlan
setahun kemudian dan dikurniakan sepasang kembar iaitu
Naufal dan Naura.
Tiba-tiba telefon bertukar tangan, suara garau Ayah
Nahlan di hujung talian.
“Kay, anak ayah yang cantik, yang comel, yang manis
dan yang terbaik di dunia!”
Ceria suara Ayah Nahlan. Kedengaran suara ibu
membebel pada Ayah Nahlan. Namun, itulah sifat Ayah
Nahlan yang selalu ceria dan membuatkan Mikayla ketawa.
“Ayahku kacak bergaya, yang sado, dan yang paling
kacak hingga membuatkan Puan Maria tertawan. Kay
rindukan ayah!” Mikayla menyahut seolah-olah lelaki tua
itu betul-betul berada di hadapannya. Keakrabannya dengan
Ayah Nahlan yang gila-gila itu kadangkala membuatkan Puan
Maria naik rimas. Dia sahaja yang rajin melayan perangai
gila-gila ayah tirinya yang selalu terlebih ceria itu.
“Baliklah sini cepat. Kerja tu sampai tak ingat rumah.
Ayah dah bosan layan ibu kamu yang boring ni. Tiap kali ibu
kamu ni teringat dan rindu kat kamu, mesti dia membebel
macam-macam kat ayah. Penat tau. Belum lagi mendapat
cubit-cubitan berbisa ibu kamu tu.”
Kedengaran suara kecil Puan Maria membebel dan
ayah yang mengaduh kesakitan. Mikayla dapat membayangkan
ibu mencubit Ayah Nahlan dengan cubitan berbisa itu. Mereka
akhirnya bertengkar sesama mereka di hujung talian. Ah,
rindunya nak balik rumah dan menyaksikan ayah menaikkan
darah ibu dengan begitu bersahaja. Telefon bertukar tangan
sekali lagi.
“Ingat apa yang ibu pesan tadi?”
“Kay ingat tu, ibu. Kay sentiasa ingat dan doakan
ibu walau di mana saja Kay berada. Kay tahu yang Kay
bukannya anak yang baik. Selalu buat ibu risaukan Kay
walaupun umur Kay dah nak cecah angka tiga. Kay sayang
ibu sangat-sangat-sangat. Nanti Kay balik rumah bila dah
selesai kerja Kay.”
“No way! Kucing bertanduk pun belum tentu
kerja Kay tu selesai. Ibu nak tengok muka Kay kat rumah
malam esok! Balik sini dan ibu masak sedap-sedap untuk Kay
esok. Sebarang emergency leave, medical leave dan yang
sewaktu dengannya adalah dilarang sama sekali!” Puan Maria
mengeluarkan arahan. Mandatori!
“Kay yang menurut perintah. Roger and out!”
Mikayla mengakhiri perbualan telefon dengan ibunya. Sempat
Puan Maria membebel di hujung talian agar memandu
dengan bertamadun dan jangan sekali-kali melebihi had laju
yang ditetapkan. Macam-macamlah ibu ni. Tahu-tahu sahaja
anaknya ini bukanlah seorang pemandu yang berhemah.
Tidak lama dia memandu, Mikayla sudah
membelokkan keretanya untuk singgah sebentar ke kawasan
RnR. Lapar sangat dah ni. Dapat makan masakan panas
yang ringkas pun dah puas hati. Boleh tahan ramai juga
orang di RnR ni. Tempat letak kereta pun penuh semuanya.
Terpaksalah menapak jauh sikit. Sekali-sekala dia exercise
dan bergerak aktif sebelum isi perut apa salahnya, kan?
Setelah puas berjalan-jalan usyar makanan yang
terdapat di RnR tersebut, Mikayla memutuskan untuk
menikmati hidangan yong tau foo di gerai bernombor 23.
Walaupun tak banyak pilihan yang ada, tapi disebabkan
yong tau foo adalah sejenis makanan yang boleh dinikmati
panas-panas membuatkan dia semakin berselera. Gendang di
perut semakin aktif. Sempat Mikayla mengusap perutnya.
“Sabar ya sayang. Sekejap aje lagi kita boleh dapat
makanan dan makan puas-puas. Sedapnya!” Mikayla bersuara
dengan girang. Lantaklah kalau orang tengok dia ni miring
sebab usap perut sendiri. Nak cakap macam perempuan
mengandung nak usap-usap perut bagai. Dah memang itu
tabiat dia kalau lapar. Kawan-kawan di ATSD pun dah faham
sangat dengan perangainya bila kelaparan.
Mikayla menoleh di sekelilingnya. Cuba melihat
tempat duduk yang masih kosong untuk dia duduk sebentar
nanti. Sedang dia menoleh, baru perasan ada seorang lelaki
tinggi lampai berdiri di sebelahnya. Mungkin lelaki itu juga
sedang menunggu makanan yang dipesan. Hmm, kacak!
Potongan rambut lelaki itu kemas sekali. Dengan t-shirt
berwarna kelabu dan jaket kulit berwarna coklat. Sebelah
tangannya dimasukkan ke dalam poket seluarnya.
‘Hailah, mana datang makhluk muka suci macam
Ariz Forteen ni? Mikayla, kau memang perempuan hidung
belang. Pantang nampak muka hadek-hadek macam ni,
mulalah bergoncang kewanitaan kau. Seriuslah, mamat
ni memang cool gila. Kawan dia yang kat sebelah tu
biasa-biasa saja. Tapi, pakaian diaorang pun macam lebih
kurang. Dua-dua kelihatan kemas dan serius sekali. Hmm,
mencurigakan!’
Tiba-tiba budak perempuan yang bertugas di gerai 23
itu menghulurkan mangkuk yang berisi yong tau foo kepada
kawan lelaki yang berada di sebelah Mikayla.
‘Eh, apasal dia pulak yang dapat dulu? Tadi masa aku
order tak ada pulak sesiapa kat sini. So, sepatutnya akulah
yang dapat dulu. Eh, budak ni. Aku dahlah lapar ni!’
“Adik, akak yang order dulu tadi. Kenapa dia yang
dapat dulu? Ikut turnlah.”
Selamba sahaja Mikayla sound budak perempuan
yang terpinga-pinga itu. Mentang-mentanglah mamat ni
kacak bergaya, dia layan dulu pula. Ini namanya diskriminasi
gender. Inilah masalah perempuan zaman sekarang. Mudah
sangat nak melayan lelaki tak tentu hala.
Entah-entah lelaki berdua ni penjenayah atau lelaki
sembarangan yang buat kerja menyeludup perempuan dan
kanak-kanak ke seberang. Sebab paten lelaki yang macam
inilah banyak anak-anak gadis yang terjerat dek janji manis
dan janji palsu. Mudah terpedaya dan terpengaruh dengan
paras rupa dan pujuk rayu seorang lelaki.
“Kak, abang ni yang order dulu. Sebab tu saya bagi dia
dulu.” Budak perempuan itu mempertahankan tindakannya.
Sesuci wajahnya. Langsung tidak berasa bersalah. Eh, eh.
Melawan pula dia.
“Akak yang sampai sini dulu tadi. Diaorang ni baru
aje sampai. Lepas tu awak bagi dia dulu. Eh, tak patut macam
ni tau, dik.”
“Dik, kakak ni mengandung. Buat dia punya dulu.
Lepas tu, baru buat abang punya, okey?”
Lelaki kacak itu mencelah sebelum sempat Mikayla
berkata-kata. Dan, kata-kata lelaki itu membuatkan dia tak
tahu nak letak muka di mana.
‘Dia cakap aku mengandung? What??? Omaigad,
omaigad!’
Terus Mikayla memandang perutnya. Buncitkah?
Kemudian dia memandang wajah lelaki itu.
“Minta maaf ya, bang. Kita ikut turn. Saya bagi
abang dulu. Kebetulan memang dah siap abang punya. Akak
ni punya pun dah nak siap. Sikit aje lagi. Minta maaf ya abang
dan kakak. Hari ni ramai orang. Tak henti-henti dari tengah
hari tadi. Sorang staf kat sini pulak cuti sakit. Ada dua orang
aje kat kedai hari ni.” Budak perempuan itu bersuara membela
dirinya. Mukanya kelihatan penat dan tidak bermaya.
Mikayla terdiam mendengar penjelasan budak
perempuan tersebut. Satu halnya lagi, dia dah malu dengan
lelaki di sebelahnya yang tiba-tiba mahu beralah kerana dia
yang dikatakan ‘mengandung’.
‘Ah, ni semua salah perut kau, Mikayla. Lapar sangat,
kan! Ikut sangat emosi bila lapar. Kan sendiri dah malu.’
Mesti lelaki tu dah nampak dia usap perut sendiri
masa tengah tunggu makanan tadi, kan?
‘Aiyak! Jatuh saham kau dah Mikayla. Baru nak bajet
ayu dengan dia. Argh, tidak!!! Kau memang selalu macam ni
Mikayla. Sengal betul kau ni!’
Lelaki tersebut sempat melemparkan senyumannya
kepada Mikayla sebelum berlalu pergi. Tak lama lepas tu,
makanannya siap. Sempat dia minta maaf dengan budak
perempuan gerai 23 tu.
Yang paling epik sekali, budak perempuan tu
tambahkan sayur dan kuetiau dalam yong tau foo tu. Katanya,
sedekah daripada dia untuk perempuan mengandung. Pap!
Pap! Pap! Mikayla berilusi melempang pipinya berkali-kali.
Waktu itu, memang dia dah tak tahu nak letak muka di mana.
Malu yang tak terhingga.
‘Ada rupa macam perempuan mengandung ke akak
ni dik oii? Akak belum kahwin lagi kut. Bujang trang tang
tang lagi. Anak dara pingitan Puan Maria lagi!’
Apa yang mampu dia buat hanyalah minta maaf
dengan budak perempuan tersebut. Nak jelaskan kepada
budak perempuan itu yang dia tidak mengandung? Tak
payahlah. Lagi nak panjang cerita. Perut pun dah lapar.
Hmm, apa-apa sajalah.


USAI MENIKMATI keenakan yong tau foo, Mikayla bangkit
dari kerusi di tempat makan. Jam di tangannya sudah
menunjukkan jam 9.30 malam. Perjalanannya harus
diteruskan. Sewaktu dia berjalan menyusuri ruang pejalan
kaki, begnya direntap kuat secara tiba-tiba. Mujurlah dia
sempat menarik tali beg tangannya dan adegan tarik-menarik
antara dia dengan lelaki di hadapannya mula berlaku.
Mikayla menarik beg tangannya dengan sekuat hati.
Dia tahu dia tidak boleh melepaskan begnya begitu sahaja.
Ada banyak benda berharga di dalam beg itu. Takkan dia nak
lepaskan macam itu saja kepada penyangak di hadapannya?
Banyak cantik muka dia. Senang betul nak buat duit ya.
Sempat dia curi melihat penyangak di hadapannya. Namun,
keadaan yang agak gelap menyukarkan pandangannya untuk
mengecam wajah si penyangak.
Akhirnya penyangak itu melepaskan beg di tangannya
dan Mikayla yang tidak dapat seimbangkan tubuhnya jatuh
terduduk. Adoi. Sakit punggungnya yang terhentak di atas
jalan. Beg tangan dipeluk erat. Sakit nombor dua, yang
penting beg tangannya.
Penyangak tersebut mengeluarkan sebilah pisau
dan mula mendekati Mikayla yang terduduk kesakitan itu.
Sememangnya dia tidak akan melepaskan gadis itu begitu
sahaja.
“Kau bagi beg kau, aku lepaskan kau. Kau nampak
pisau ni, kan?” Penyangak itu mengacukan pisau itu
betul-betul di hadapan wajah Mikayla.
Mikayla mengengsotkan tubuhnya ke belakang.
Gerun melihat pisau di tangan lelaki itu. Namun, itu tidak
bererti dia mahu menurut kehendak penyangak itu.
“Kau ni memang degillah!” Penyangak itu mendekati
Mikayla dan cuba merampas beg tangan itu.
Mikayla yang masih gigih mahu mempertahankan
beg tangannya mengundang amarah penyangak itu. Maka,
pisau di tangan lelaki itu laju sahaja menepis tangan Mikayla.
Tidak sampai beberapa saat, beg tangan tersebut berjaya
dirampas dan penyangak itu dengan segera melarikan diri.
Mikayla tidak berputus asa. Dengan susah payah,
dia bangun dan cuba untuk mengejar lelaki tersebut tanpa
menghiraukan tangannya yang luka berdarah.
Pause.
Sebelum adegan lagak yang kononnya ngeri ini
disambung, jom kenali sedikit sebanyak tentang Mikayla binti
Mirza.
Nak kenal dengan lebih dekat Mikayla binti Mirza?
Okey. Nama glamor dia, Mikayla Mirza atau lebih
dikenali dengan Double M. Seorang wartawan wanita yang
umurnya hampir mencecah 30-an. Sangat komited dengan
kerja yang dipilih dan kini dirinya sedang dipertimbangkan
untuk dipromosikan ke jawatan yang lebih tinggi dek
pencapaiannya yang cemerlang dalam usahanya untuk
menaikkan rating syarikat melalui salah satu siaran
rancangan di ASTD.
Slot Mikayla di dalam rancangan itu hanya berdurasi
selama 15 minit. Slot yang berkisarkan mengenai jenayah
pemerdagangan kanak-kanak yang berjaya dibongkar
dengan kerjasama pihak polis. Bagaimana dia menyatukan
salah seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah
pemerdagangan manusia itu dengan ahli keluarganya
semula. Bahan berita yang dibawa telah mengembangkan
populariti Mikayla sehingga tular di media sosial. Puan Maria?
Mengamuk sakanlah. Risau benar sekiranya populariti yang
dikecap akan membahayakan nyawa anak gadisnya, Mikayla.
Selain itu, orangnya bolehlah tahan cantik dan dia
sering menjadi perhatian; oh, yang ni orang yang cakap dia
ni cantik. Bukanlah maksud dia nak sangat up diri sendiri
cantik. Malah dah ada yang pandai-pandai mengaku dan cup
yang Mikayla itu dia yang punya. Siapa dia? Tak lain dan
tak bukan, Encik Somebody di bahagian Pengurusan ATSD
merangkap bos Mikayla.
Encik Somebody itu adalah Encik Ziyad, seorang
lelaki yang boleh dikategorikan sebagai lelaki berlagak macho
di ATSD. Dek sikapnya yang yang berlagak macho dan suka
sangat puji diri sendiri, Mikayla alergi dengan lelaki itu.
Kalau boleh dengan semua orang dia nak beritahu yang dia
itu anak Dato’ Zainudin yang merupakan antara ahli lembaga
pengarah di ATSD. Dan lagi satu, lelaki itu suka sangat nak
menakut-nakutkan semua orang dengan kelebihan yang
dimiliki olehnya.
Setakat ini, Mikayla masih mampu untuk main ilmu
tolak dan tepis sebarang ajakan istimewa untuk berdua dengan
Encik Ziyad. Nasib baik ada saja stok member kerja yang amat
memahami. Setiap kali Encik Ziyad datang mencarinya, pasti
dia akan dimaklumkan terlebih dahulu dan itu memudahkan
dia untuk mengelak dari berjumpa dengan majikannya itu.
Visi hidup Mikayla mudah sekali. Dia mahu
mengacarakan rancangannya sendiri seperti pengacara yang
terkenal di seluruh dunia, Oprah Winfrey. Dia mahu jadi kaya
dan berpengaruh seperti wanita berkulit hitam itu. Wanita
hebat yang tidak menjadikan kemiskinan yang dihadapinya
sebagai penghalang untuk mengecapi apa yang dimilikinya
seperti hari ini sehingga menjadikan wanita bernama Oprah
Winfrey antara 100 orang paling berpengaruh di dunia.
Mikayla ingin sekali mempunyai rancangan bual bicara
seperti apa yang dilakukan oleh idola kesayangannya itu.
Oleh itu, kisah-kisah yang diburu bukanlah semata
kisah murahan selebriti terkenal. Tetapi, apa sahaja kisah
yang mampu mendidik masyarakat dan membuka mata
semua tentang isu-isu sosial yang membelenggu dunia pada
hari ini. Di dalam negara, apatah lagi di luar negara. Pasti
dia sanggup sahaja dibawa ke mana sudut dunia ini. Asalkan
cita-citanya tercapai. Kaya itu bonus. Siapa yang tak nak, kan?
Sampai sini sahaja kisah mengenai Mikayla.
Nampaknya, beratus muka surat lagi diperlukan bagi
mengenali Mikayla Mirza dan lelaki suci yang kacak itu.
Teruskan dengan scene yang tertangguh tadi ya!

MIKAYLA BANGUN dari jatuhnya dengan susah payah. Tidak
mungkin dia akan melepaskan penyangak itu begitu saja.
Tangannya yang luka akibat terkena pisau milik penyangak
itu seakan tidak terasa kerana dikaburi perasaan amarah
kepada penyangak tidak berguna tersebut. Baru beberapa
langkah, tubuhnya terlanggar seseorang. Lagaknya seperti
terlanggar Badang sahaja. Keras, tinggi dan besar. Gorilakah?
Apa yang aneh, tubuhnya seperti di awangan. Berdiri
tidak, jatuh ke lantai pun tidak. Di manakah aku? Yang dia
tahu, pandangan matanya seakan bertamu dengan keindahan
syurga dunia melalui renungan mengancam seseorang di
hadapannya. Namun, lamunan itu pantas dicantas apabila
tubuh Mikayla dibawa kembali ke kedudukan asal. Dia kini
dapat berdiri tegak dan stabil dengan bantuan lelaki di
hadapannya.
“Kenapa ni, cik?” soal lelaki tersebut.
Ah, dialah lelaki yang memanggil Mikayla dengan
gelaran ibu mengandung sebentar tadi. Sewaktu di hadapan
gerai yang menjual yong tau foo tadi. Rakannya juga ada di
sebelah. Mana nak letak muka ni, wei!
“Handbag saya. Saya kena ragut!” Mikayla menepuk
dahinya. Bagaimana dia boleh terleka hingga lupa yang beg
tangannya sudah dibawa lari oleh penyangak bedebah itu?
Pantas mahu membuka langkah untuk mengejar namun
lelaki itu lebih pantas menarik tangannya.
“Puan tunggu di sini dulu. Dan jangan pergi
mana-mana. Sekejap nanti kami datang semula,” ujar lelaki
tersebut.
Sempat Mikayla menangkap pandangan mata lelaki
itu yang menoleh sebentar. Menghantar mesej melalui
pandangan mata agar dia tidak ke mana-mana atau cuba
mengikut mereka yang mahu mengejar penyangak tersebut.
Sekejap sahaja mereka berdua sudah hilang dari pandangan
matanya. Hilang di sebalik kegelapan mengejar penyangak
yang telah mencuri beg tangannya.
Waktu begini, barulah terasa badannya sengal-sengal
akibat ditolak dan perit tangannya yang berdarah akibat luka
terkena pisau. Badan Mikayla mula menggigil dan terasa
seperti ingin pitam. Haih, ini mesti terperanjat atau terkejut
beruk dengan peristiwa yang berlaku sebentar tadi. Mungkin
juga kerana dia melawan penyangak itu.
Mikayla duduk di tepi tangga menunggu bantuan.
Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Cuba menenangkan
perasaannya. Tak mampu rasanya nak minta tolong dengan
orang yang lalu-lalang di situ. Jadi, dia mengambil keputusan
untuk menunggu dengan penuh pengharapan agar dua orang
lelaki yang ditemuinya sebentar tadi pulang dengan kejayaan.
Waktu-waktu begini barulah nak teringat kat
Puan Maria. Inilah padahnya bila tak dengar nasihat ibu.
Perkara-perkara beginilah yang menyebabkan ibunya naik
hantu dan suara soprano ibu bakal menghantuinya sekiranya
kejadian yang berlaku kepadanya diketahui oleh ibu. Nasib
baik tak jadi perkara yang lebih teruk kepadanya. Hanya
tangannya sahaja yang sedikit luka.
Tidak lama kemudian, lelaki yang membantu dia
sebentar tadi datang menghampiri. Ya, sekali dengan beg
tangannya di dalam pegangan lelaki itu. Beg yang berwarna
merah hati itu dikembalikan kepada Mikayla. Saat itu, emosi
Mikayla jadi bercampur-baur. Perasaan riang yang tiba-tiba.
Gila tak happy! Beg tangannya kembali semula.
Tiba-tiba riak Mikayla bertukar marah. Marah
yang tiba-tiba. Tali beg tangannya itu terputus. Alah... dah
dua tahun dia pakai beg tangan ni kut. Sayang, dah putus
dibuatnya. Ini mesti kerja penyangak tak guna itu.
“Penyangak tu macam mana? Dapat tangkap dia?
Mana kawan awak yang lagi seorang tu? Mana penyangak
tu?” soal Mikayla bertalu-talu. Amarahnya meluap-luap
dan gayanya mengemukakan soalan seolah-olah dia sedang
membuat liputan dan berusaha sedaya upaya mendapatkan
maklumat yang diingininya. Namun, soalan daripadanya
dibiarkan sepi.
Mikayla merenung lelaki di hadapannya. Lelaki itu
mengeluarkan sehelai sapu tangan bercorak celoreng tentera
dari poket seluarnya. Sapu tangan itu dilipat dua dalam
bentuk memanjang. Lipatan yang begitu kemas dan tertib.
Lantas ditarik tangan Mikayla perlahan dan dia membalut
luka pada tangan gadis itu dengan berhati-hati.
Gerak-geri lelaki tersebut membuatkan Mikayla
terdiam. Tingkah lelaki itu yang begitu tenang membuatkan
dia sendiri seakan terpukau dan tidak mampu untuk
menolaknya.
“Yang penting sekarang ni, awak selamat. Awak
dah pun dapat beg tangan awak semula. Kita balut luka kat
tangan awak ni dulu sebelum kita ke klinik, okey? Apa-apa
nanti kita cerita di perjalanan. Kita kena buat police report
dan bawa awak ke klinik,” ujar lelaki tersebut. Perlahan sahaja
suaranya ketika itu. Renungannya juga tenang. Setenang raut
wajahnya ketika itu dan ketenangannya itu dengan mudah
sahaja berjangkit.
Emosi Mikayla yang mencanak seperti dihasut
syaitanirrojim sebentar tadi seakan hilang begitu sahaja.
Macam kena mandrem pun ada.
Lelaki itu membantu Mikayla untuk bangun dengan
berhati-hati. Dan itulah pertama kalinya ada seseorang yang
begitu asing berjaya mematahkan ego Mikayla dalam tempoh
perkenalan yang tidak sampai 5 minit. Kegilaan apakah
yang sedang melanda Mikayla saat ini? Siapakah lelaki itu
sebenarnya?
Melihat sapu tangan bercorak askar yang dibalut
kemas di tangan membuatkan Mikayla terfikir. Dia ni tentera
ke? Gaya memang ada. Yalah, muka straight semacam sahaja.
Jambu dah jambu sangat. Cuma senyuman tu limited sangat.
Stail pun boleh tahan. Tak macam kawan dia yang lagi seorang
tu. Duk tersengih saja sejak tadi.
“Jangan lupa call suami awak untuk maklumkan
keadaan awak.”
Waktu macam ni, memanglah Mikayla terasa mahu
menangis. Dia baru saja scan lelaki tersebut atas bawah. Baru
nak up masuk list antara lelaki yang boleh dijadikan calon
suami. Bila lelaki tu cakap macam tu, terus rasa macam
tak ada harapan. Jatuh saham Mikayla binti Mirza seratus
peratus. Sudahlah lelaki tu ingat dia mengandung. Kemudian
buka pula cerita pasal suami. Mana datang pula suami ni?
‘Aduhai, Mikayla! Apa nak jadi dengan kau sekarang
ni?’
“Saya belum kahwin lagilah.” Mikayla merungut
perlahan.
“Okay. So, tu mengandung anak luar nikah ke?”
Hamboi. Soalan tak agak-agak. Tuduhan demi
tuduhan yang menyakitkan hati!
‘Eh, dia ni tak tengok TV ke? Sah-sah dia ni duduk
dalam hutan, tak tengok TV. Dah tentulah dia tak kenal siapa
Mikayla Mirza. Sabar Mikayla, sabar. Hei, dahlah cakap kita
mengandung. Tanya pulak pasal suami. Lepas tu cakap kita
mengandung anak luar nikah. Eh, sakit pulak hati kita ni.’
“Mengandung? Suami? Anak luar nikah? Tolonglah,
muka cantik macam saya ni nak buat benda macam yang
awak cakap tu ke?” Mikayla menyuakan wajahnya ke arah
lelaki di sebelahnya.
“Cikgu mana dalam dunia ni yang ajar awak manusia
muka cantik tak buat jahat?”
Kedengaran tawa halus daripada lelaki kacak itu.
Mikayla menoleh. Sentap mak, nak! Dia menatap wajah yang
mahal dengan senyuman itu. Ya, lelaki itu punya renungan
yang memukau sesiapa sahaja yang melihatnya. Sesiapa
sahaja pasti jatuh hati apabila terperangkap dalam renungan
tersebut. Menggoda dengan senyum mahalnya yang mula
merebak.
Oh, patutlah lelaki kacak itu sukar sekali nak
mengukir senyum. Senyuman dia macam ni punya dahsyat.
Macam kena panahan asmara yang melekat terus ke dalam
hati. Haih. Memang termimpi-mimpilah nanti.
Tiba-tiba kepala Mikayla berpusing. Kali ini lebih
lama sakit dari tadi. Senyuman lelaki itu juga makin pudar.
Ah, dah kenapa pula ni? Yang dia tahu, dia hanya sempat
berpaut pada tubuh sang pemilik sapu tangan yang berbalut
di tangan. Tak mampu nak menjawab kata-katanya sebentar
tadi. Manusia muka cantik tak buat jahat? Siapa yang cakap
macam tu?
Mikayla cuma nak cakap muka macam dia ni ada
gaya nak buat jahat ke? Uwaaaa. Jahatlah mamat ni. Jagalah,
nanti akan difikirkan ayat pembalas paling menyakitkan hati
untuk lelaki itu. Sekarang, dia cuma mahu lelap sebentar.
Atau tidur selena-lenanya.

DIHYA’ BERPUAS hati dengan penjelasan doktor yang panjang
lebar. Nasib baik tiada apa-apa yang buruk berlaku kepada
gadis yang diselamatkannya sebentar tadi. Mikayla namanya.
Gadis itu tidak mengandung seperti yang disangkanya.
Benarlah kata-kata gadis itu bahawa dia tidak mengandung
dan belum berkahwin. Kasihan pula Dihya’ melihat gadis itu.
Sudahlah diragut dan dicederakan oleh peragut bersenjata,
kini gadis itu pengsan kerana mengalami hipoglisemia atau
paras gula dalam darah yang dikesan sebagai rendah. Mikayla
kurang rehat dan mungkin juga kelaparan. Patutlah, gadis
itu sanggup berebut giliran dengannya semata-mata kerana
yong tau foo.
Dan, dia pula sangkakan gadis itu mengandung
kerana dia ternampak Mikayla yang sebelum itu bercakap
seorang diri sambil mengusap perutnya. Oleh kerana itu,
dia tidak sampai hati hendak berebut makanan dengan
seorang perempuan yang sedang hamil. Rupa-rupanya gadis
itu memang benar-benar kelaparan. Sebab itu Mikayla naik
angin apabila makanannya lambat sampai dan order Amsyar
siap terlebih dahulu. Walhal, sememangnya mereka yang
memesan makanan terlebih dahulu daripada Mikayla. Selepas
memesan makanan, dia dan Amsyar pergi ke kedai lain untuk
memesan air.
Kini Mikayla masih lagi berada di dalam bilik doktor
dan sedang diberikan rawatan dengan suntikan glukosa yang
memerlukan sedikit masa untuk gadis itu kembali pulih.
Manakala Amsyar pula sedang menguruskan ‘hasil
tangkapan’ mereka di balai polis. Peragut yang telah meragut
dan mencederakan Mikayla. Tergendala seketika urusan
mereka berdua yang mahu bercuti ke Cameron Highlands.
Sementara cuti yang masih berbaki seminggu, rugi
rasanya jika tidak memanfaatkan masa yang terluang untuk
bersantai di tempat yang dingin dan sejuk itu. Ditambah
dengan cuaca yang panas dan berbahang sejak gerhana
matahari yang melanda beberapa hari yang lepas.
Tiba-tiba Dihya’ terdengar deringan telefon dari
dalam beg tangan milik Mikayla yang dipegangnya sejak
mula. Ragu-ragu kerana tidak tahu sama ada dia perlu
menjawab panggilan itu ataupun tidak. Bagaimanakah jika
ia merupakan panggilan penting? Beg tangan Mikayla yang
hampir mereput di bahagian hadapan dibuka. Kemudian dia
menyeluk beg tangan wanita itu dengan berhati-hati. Risau
jika terpegang khazanah lain milik gadis itu. Tahu-tahu
sajalah apa yang ada di dalam beg tangan seorang wanita.
Panggilan yang tertera menunjukkan satu patah
perkataan iaitu ‘Ibu’. Tidak sampai hati mahu membiarkan
panggilan itu tidak berjawab, Dihya’ menjawab panggilan
tersebut.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Hah! Siapa pulak yang jawab
telefon Kay ni? Mikayla mana? Kenapa lelaki yang jawab
telefon dia malam-malam buta macam ni? Kamu siapa,
hah?” serang Puan Maria bertubi-tubi. Terus sahaja angin
kus-kus naik satu badan. Jam sudah menunjukkan hampir 11
malam. Mahu tak rasa nak bertukar menjadi Hulk bila dengar
suara garau yang begitu asing dan tidak dikenali menjawab
panggilan telefon milik anak perempuannya.
Dihya’ tersenyum sendiri. Like mother, like
daughter. Sebiji! Kalau nak tanya soalan, bukan satu atau
dua. Macam peluru machine gun. Main tembak saja.
“Maafkan saya ya, puan. Saya Dihya’ Alauddin. Anak
puan sekarang ada di klinik, sedang mendapatkan rawatan
akibat kurang gula dalam darah. Dia pengsan di RnR tadi. Jadi,
saya yang bawa dia ke klinik. Dan...” Belum sempat Dihya’
menjelaskan lebih lagi, Puan Maria sudah menyampuk.
“Hah? Ya Allah, macam mana boleh jadi sampai
macam tu sekali? Kay ni memanglah suka buat susah hati
mak cik. Dear Aladin, kamu yang selamatkan anak mak cik
ya? Allahuakbar. Terima kasih sangat, nak. Tuhan aje yang
boleh balas jasa baik kamu tu. Macam mana dengan Mikayla?
Macam mana keadaan dia sekarang?”
Dear Aladin? Dihya’ tersenyum lagi. Dia sudah
menggeleng-gelengkan wajahnya. Geli hati dengan panggilan
itu.
“Puan, Cik Mikayla akan pulih sebentar nanti selepas
dapat rawatan daripada doktor. Puan jangan risau. Dia tak
apa-apa. Cuma...”
Sekali lagi Puan Maria menyampuk sebelum dia
sempat menghabiskan kata-kata.
“Aladin, kalau macam tu, kamu tolong hantar dia
balik rumah mak cik teruslah. Kalau kamu hantar budak
bertuah tu balik rumah sewa dia, nanti tak ada orang nak
tengokkan dia pulak. Kesian dia. Kamu tolong ya, Aladin.
Nanti mak cik bagi upah kat kamu.”
Dihya’ tersenyum sahaja mendengar kata-kata Puan
Maria. Dia faham situasi wanita itu. Ibu mana yang tidak
risaukan anak-anaknya. Tambah-tambah lagi si cantik seperti
Mikayla. Cantik? Takkanlah dia nak menafikan kejadian indah
ciptaan Tuhan itu.
Pertama kali dia bertemu dengan gadis itu, dia
sudah terpegun. Namun, melihat tingkah gila-gila gadis
itu mengusap perutnya, dia menyangka kecantikan Mikayla
hanyalah kerana seri ibu mengandung. Rupa-rupanya dia
memang cantik semula jadi. Bukanlah disebabkan oleh
seri ibu mengandung. Dia memang cantik! Terutama sekali
matanya yang bundar itu.
“Boleh, puan. Tak ada masalah. Rumah puan kat
mana ya?” Mudah sahaja Dihya’ memberikan kata putus.
Ditambah pula dengan permintaan seorang ibu yang khuatir
dengan keadaan anaknya. Mana mungkin dia menolak.
“Cameron Highlands. Kampung Taman Sedia. Alah,
senang sangat nak cari. Dah sampai kampung tu nanti suruh
Kay tunjukkan jalan. Kamu cepukkan aje budak tu kalau dia
tak mahu balik sini. Jangan dengar cakap dia. Macam-macam
alasan P. Ramlee dia akan bagi kat kamu. Yang penting kamu
angkut dia balik rumah mak cik. Jangan bagi muka kat dia.
Bagi nombor telefon kamu kat mak cik. Kalau dia banyak
bunyi, kamu call aje mak cik. Pandailah mak cik nak diamkan
mak nenek tu,” ujar Puan Maria di hujung talian.
Cameron Highlands? Dihya’ tersenyum mendengar
butir bicara ibu kepada Mikayla.
“Sejalan dah dengan saya ni, mak cik. Pucuk dicita
ulam mendatang. Mak cik dah offer, kami memang nak
datang.”
Sebaik sahaja panggilan dimatikan, Mikayla keluar
dari bilik doktor. Lesu sahaja wajahnya. Namun, tidaklah
selembik tadi. Tambahan pula baru kena ceramah dengan
doktor kat dalam bilik doktor tadi. Bernanah telinga 10 minit.
Doktor lelaki dalam usia 50-an; rambutnya sudah putih habis
namun masih segak dan kemas penampilannya.
Dalam ‘nasihatnya’, Mikayla diingatkan tidak
mengabaikan kesihatannya lagi selepas ini. Malah,
ditakut-takutkan dengan mitos jika dia mengabaikan
kesihatannya lagi sedemikian rupa dan ditambah dengan
usianya yang hampir mencecah 30-an, tidak mustahil lebih
banyak penyakit yang akan datang berjangkit. Wajahnya juga
akan kelihatan lebih tua dari usia yang sebenar. Ah, bencilah
Doktor Suaidi itu tadi. Orang tengah sakit-sakit, main
ugut-ugut macam tu.
Tambah lagi satu nasihat percuma, yang perempuan
seperti dia tak sepatutnya merayau seorang diri begini. Ini
akan membahayakan dirinya sendiri dan juga memudahkan
dia menjadi target penjenayah-penjenayah di luar sana yang
menunggu masa untuk bertindak ke atas golongan wanita
yang lemah dan tak berdaya sepertinya.
Dapat pula datang dengan mamat yang membalut
tangannya dengan sapu tangan tentera tadi buat drama
swasta depan doktor. Ni satu lagi masalah. Patut ke dia cakap
kat doktor yang dia mengandung? Apalah masalah mamat
tu duk cakap dia mengandung dari mula-mula jumpa? Perut
dia ni leper saja. Badan pun cekeding macam cicak kubin.
Tak habis-habis lagilah kes Mikayla Mirza mengandung. Tak
pasal-pasal kena check-up benda lain dengan doktor. Jadi hal
nak kena explain panjang lebar kat Doktor Suaidi. Eh, sakit
hati tau dia!
“Lepas ambil ubat, saya akan hantar Cik Mikayla
pulang. Please, don’t refuse! I insist.”
Mikayla mencebik. Ceh, tibah nak speaking dah
kenapa? Namun jika difikirkan, jauh juga kalau nak patah
balik ambil kereta dia. Memang dia akan menyusahkan
dirinya sendiri dan lelaki di hadapannya. Badannya pun tak
larat lagi menanggung seksa. Penat dan mengantuk. Dah
orang offer nak hantar dia balik ke rumah, apa salahnya?
Lagipun, kalau lelaki itu jahat, dari awal lagi lelaki
kacak itu dah kenakan perempuan macam dia. Muka mamat
ni pun macam muka orang baik-baik saja. Lagi satu, dari tadi
elok saja dia menunggu sampailah habis rawatan dengan
Doktor Suaidi. Muka suci. Kulit dahlah putih. Flawless pula
tu. Kalah kulit muka dia sendiri.
“Jangan nak tunjuk baik sangat, boleh tak? Boleh
percaya ke ni?” soal Mikayla sambil menjeling lelaki itu
dengan ekor mata.
“Terpulanglah. Saya dah offer. Kalau awak tak nak
saya boleh pergi dari sini dan biarkan awak sorang-sorang kat
sini. Pandai-pandailah awak nak cari jalan balik rumah awak
sendiri jam 11 malam macam ni. Lepas ni, bukan beg tangan
awak aje yang hilang. Silap-silap dengan awak-awak sekali
lenyap dari muka bumi ni. Esok keluar newspaper; wanita
mati dibunuh atau dibakar hidup-hidup. Suka hati awaklah!”
ujar lelaki itu dalam satu nada tanpa henti.
Meremang bulu roma Mikayla. Isy, disebut-sebut
pula benda-benda choi macam tu! Rasa macam nak debik
saja mamat di sebelahnya itu. Ya, sememangnya dia perlu
extra berhati-hati terutama apabila bertemu dengan lelaki
yang baru dikenalinya itu. Namun, peristiwa diragut oleh
penyangak sebentar tadi sedikit sebanyak membuatkan dia
menggeletar kepala lutut.
Lelaki itu sudah bangun dari tempat duduknya dan
mahu meninggalkan Mikayla. Mencicit Mikayla mengejar
langkahnya dari belakang.
“Okey, okey, okey! Saya nak ikut awak. Awak hantar
saya sampai rumah, okey? Nanti pandai-pandailah saya
settelkan kereta saya tu nanti.” Mikayla menarik lengan baju
lelaki tersebut.
“Nama saya Dihya’ bin Alauddin. Nama saya bukan
awak. Jadi, panggil saya Dihya’.”
“Okey, Encik Dihya’. Shall we go? It’s already late!”
ucap Mikayla sambil tersenyum. Dia tidak mahu melengahkan
masa lagi. Penat melayan macam-macam drama hari ni.
Cukup-cukuplah tu! Lagipun, tak adalah Dihya’ ni garang
seperti masa mula-mula jumpa. Tahu juga dia senyum
rupanya.

No comments:

Post a Comment