DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 20 September 2018

Mencari Jalan Pulang - Bab 9

BUNYI klik yang muncul daripada tetikus
memenuhi ruang bilik. Lagu yang bermain di gegendang
telinga yang keluar dari earphones yang disumbat tidak
mengganggu perhatianku dari kaca skrin laptop. Rokok
di tangan sebelah hanya terbiar berasap. Sesekali abu yang
hampir gugur aku ketuk ke dalam bekas abu rokok, sebelum
kembali kubiarkan di celah jari.
Round kali ini aku tidak boleh kalah. Sudah banyak
chips aku habis dalam percaturan pusingan-pusingan
sebelum ini. Nafsu sudah semakin menggila. Three aces
and two kings. Full house. Tapi chips bernilai $500 000 di
tengah meja tidak pergi kepadaku. Kesemuanya diterima oleh
pemain nombor 4.
Royal flush. Tak guna!
Terus rokok di jari aku tonyoh ke dalam bekas abu
rokok. Aplikasi poker aku pangkah dan lid laptop kututup kasar
sebelum badan kurebahkan ke atas katil. Bosan. Cuti musim
sejuk sudah pun bermula, dan aku baru sahaja menjawab
kertas terakhir peperiksaan semalam. Waktu-waktu selepas
itu aku isi dengan bermain game kegemaran aku di Internet,
iaitu poker.
Dahulu, aku sering bermain game ini dengan Izzat
berdua. Kalau tidak di Internet, kami akan bermain secara
berhadapan di rumahnya. Kadangkala, Izzat akan membawa
aku bertemu rakan-rakannya, dan kami akan bermain semeja
sehingga habis wang pertaruhan.
Aku bukanlah kaki judi, dan aku juga jarang
mengeluarkan wang sebenar untuk permainan ini. Hanya
bermain sekadar suka-suka. Tidak terlalu terjebak sehingga
ketagih.
Izzat... apalah yang sedang dilakukannya sekarang?
Sudah berkahwinkah dia dengan perempuan itu? Atau
mungkin dia sedang sibuk berulang-alik ke klinik, menemani
Julianna membuat pemeriksaan kandungannya. Mungkin.
Sebelum hati diasak dengan emosi-emosi yang tidak
diingini, cepat-cepat aku bangkit daripada perbaringan. Rasa
serabut dengan keadaan katil yang tidak terurus. Bantal yang
bertaburan kususun satu per satu. Comforter yang bergulung
aku tarik dari atas katil untuk dilipat kemas. Dan tiba-tiba,
sesuatu jatuh dari celah comforter tersebut ke atas lantai.
Buku kuning. Lantas aku teringat kembali akan
pemberian Uzai 2 minggu lalu. Entah macam mana buku itu
boleh ada di dalam comforter. Nampak sangat yang aku ni
dah lama tak kemas katil.
Aku merenung kulit buku itu. Perlahan-lahan aku
duduk semula di atas katil. Kulit buku itu aku selak, lantas
muka surat pertama terpapar di hadapan mata. Satu per satu
bait ayat kubaca.
This book is dedicated, in its entirety, to
the One who raised me even before I
was in my mother's womb.

Huh?
Aku selak lagi muka surat seterusnya.
This world cannot break you - unless you
give it permission. And it cannot own you
unless you hand it the keys - unless you
give it your heart.
Terdiam sejenak, memikirkan maksud ayat itu.
Hati... sebagai kunci?
And so, if you have handed those keys to
dunya for a while - take them back. This
isn't the end. You don't have to die here.
Reclaim your heart and place it with its
rightful owner: God.
Rasa tertarik dengan permulaan isi buku tersebut,
helaian demi helaian kuselak lagi.
WHY DO PEOPLE HAVE TO LEAVE
EACH OTHER?
Mataku berlari pantas membaca setiap patah
perkataan yang tertulis di bawah tajuk besar itu. Dan
tanpa sedar, semakin lama aku semakin hanyut dengan
pembacaanku.

MATAKU TERKEBIL-KEBIL memandang siling, sambil buku
kubiarkan tertekup di dada. Fikiran menerawang, mencerna
segala isi daripada pembacaan tadi.
Entah kenapa, soalan aku pada segala permasalahan
hati selama ini seperti sudah terjawab. Dijawab oleh penulis
buku tersebut.
Aku menghela nafas berat. Rasa apakah ini? Rasa
seperti mendapat satu kefahaman yang sangat mendalam.
Rasa seperti tabir yang menutup mata selama ini telah
tersingkap. Tabir yang melindungi diri daripada realiti;
daripada kebenaran.
Ringkas sahaja isi buku tersebut. Buku yang
memberi penjelasan tentang dunia yang hanya senda gurau.
Reclaim your heart. Tuntut semula hati. Tuntut
semula daripada dunia. Arahkannya kepada pemiliknya yang
Haq.
Terasa seperti banyak persamaan antara aku dengan
si penulis buku. Sama-sama hidup dalam abandonment
issue. Attachment. Ditinggalkan orang sekeliling.
Tiba-tiba roda kehidupan laluku berputar kembali
dalam ingatan...

“MA, HANA dapat anugerah lagi tahun ni.” Aku mendekati
mama yang sibuk menghadap laptop.
Mama tidak menoleh. Bersuara langsung tidak.
Matanya sibuk tertancap pada skrin laptop. Tangannya laju
berlari di atas papan kekunci.
Lantas, trofi Annual Best Student di tangan
kuletakkan ke atas riba mama.
“Ma, tengoklah ni. Cantik kan trofi ni?”
Mama berhenti menaip. Trofi di riba diambil dan
diletakkan ke tepi.
“Jangan kacau mama. Mama ada kerja ni.”
Aku diam. Terasa hati. Lantas trofi itu aku bawa
pergi kepada papa yang sedang terbaring meniarap di sofa.
“Papa, tengok Hana punya trofi ni. Hana dapat
straight A's lagi.” Bersungguh-sungguh aku sua trofi itu di
bahu papa.
Papa hanya diam. Sesekali kedengaran nafasnya
berat. Pipinya merah. Bau yang keluar daripada mulut papa
kuat dan meloyakan.
“Papa,” panggilku perlahan. Masih lagi tiada respons
daripada papa.
Kecewa. Lantas trofi itu kubawa masuk ke dalam
bilik bersama hati yang sugul. Selalu sangat perkara sebegini
terjadi. Kewujudan aku ini seperti tidak diendahkan. Aku
sendiri tidak tahu kenapa.
Aku cuba juga belajar bersungguh-sungguh.
Trofi-trofi anugerah sekolah sudah banyak tersusun di
rak bilik. Semuanya untuk menarik perhatian mama dan
papa terhadapku. Tapi hari ini, aku masih lagi gagal. Gagal
mendapat secebis kasih sayang mereka.
Aku berdiri di balkoni bilik sambil termenung jauh
melihat bintang di langit. Cantik.
“Hana.”
Kedengaran namaku dipanggil. Pantas aku
menjenguk ke bawah.
“Awak okey?” Kelihatan Aiman di laman bawah,
berdiri di sebelah pintu pagar kayu yang menghubungkan
belakang rumah aku dan dia.
Aku menggeleng.
Bukannya Aiman tidak tahu tentang hubungan
aku dengan mama dan papa. Berjiran sejak lahir, teman
sepermainan, dan juga rakan sekelas di sekolah. Sekolah
antarabangsa tidak jauh dari kawasan perumahan kami.
Aiman hanya memandang wajahku. Faham.
“Saya bawa delivery,” ujar Aiman. Lantas tangannya
mengunjukkan kotak piza ke arahku.
Aku tergelak. Dia ni, tahu saja cara untuk
menceriakan aku. Lantas aku terus keluar dari bilik, turun
tangga dan membuka pintu dapur.
Aku keluar mendapatkan Aiman yang sedang
menunggu. Pagar kayu kubuka, dan Aiman melangkah masuk
ke laman rumahku. Kemudian kami sama-sama melabuhkan
duduk di gazebo, lalu menikmati piza yang dibeli oleh Aiman
bersama-sama.
“Ayah awak tak ada kat rumah?” tanyaku sambil
mengunyah piza.
“Dia tak balik lagi,” Aiman membalas pendek.
“Semalam saya dengar suara dia marah-marah.” Aku
pandang tepat wajah Aiman, minta pengesahan.
Aiman tertunduk. Kunyahannya terhenti. Lantas,
aku bangkit menuju ke belakang Aiman. T-shirt birunya
aku selak ke atas. Jelas terlukis garis-garis merah panjang
melintasi badannya. Tercalar sedikit luka tersebut dengan
darah yang sudah kering.
Aku melepaskan keluhan.
“Kenapa awak tak beritahu saya?”
Senyap tiada jawapan.
“Awak tunggu kejap,” kataku sebelum menyusun
langkah masuk ke dalam rumah.
Tidak lama kemudian, aku keluar lagi dengan
membawa peti pertolongan cemas di tangan. Aku mengambil
tempat di belakangnya kembali.
“Buka baju awak,” arahku.
Dia menurut lalu melucutkan baju dari badannya.
Terus aku mencuci luka itu. Sesekali dia mengaduh sakit, tapi
aku hanya membiarkan.
Sudah kerap kali kami berkeadaan begini. Keadaan
di mana aku duduk di belakangnya, merawat luka hasil
libasan tali pinggang ayahnya. Kadangkala lukanya lebih
dalam; bermakna alat yang digunakan lebih keras, seperti
rotan, getah paip, ataupun batang penyapu.
“Hana...” Aiman bersuara.
“Hmm?”
“Kan bagus kalau kita tak lahir kat dunia ni, kan?”
Pergerakan tanganku terhenti.
“Kenapa awak cakap macam tu?”
“Kan lebih elok kalau kita mati.”
“Aiman...”
“Saya dah tak tahan, Hana. Saya dah tak tahan hidup
macam ni.”
Aku tidak membalas. Aiman juga diam.
“Saya rindu ibu saya,” suara Aiman lirih.
Bahu Aiman kuusap perlahan. Turut terasa sebaknya,
seperti memahami perasaan Aiman yang sudah kematian
ibunya 3 tahun yang lepas. Dan sejak itu, penderaan ayahnya
terhadapnya pun bermula.
Seminggu kemudian...
AKU CEPAT-CEPAT keluar dari kereta. Tanpa menutup
pintu kereta, langkah kaki kuatur menuju ke halaman rumah
sebelah yang penuh dengan ramai orang.
Ada kereta polis diparkirkan bersebelahan pintu
pagar rumah itu. Aku cuba mencelah di antara khalayak
ramai tersebut, namun tidak berjaya.
Tanpa sabar, aku masuk ke dalam laman rumah
sendiri, dan aku buka pagar kayu di laman belakang. Terus
aku masuk ke kawasan rumah sebelah dan melangkah
menuju ke laman hadapan rumah mereka.
Di sana, kelihatan seorang lelaki sedang bercakap
dengan polis. Dan kemudian, aku nampak beberapa orang
sedang menyorong stretcher keluar dari pintu rumah
tersebut.
Jantungku berdegup laju. Dengan pantas aku
melangkah mengikuti stretcher itu. Kain yang menyelubungi
figura di atas strecher itu pantas kuselak. Terbaring sesusuk
tubuh yang cukup aku kenali.
Aiman!
Badannya keras kaku. Matanya separuh terbuka. Dan
lehernya... terlihat jelas kesan jerutan di lehernya yang lebam.
Stretcher tersebut diangkat masuk ke dalam
ambulans. Dan selepas itu ambulans berlalu pergi,
meninggalkan aku terkulat-kulat berdiri di tengah laman
dengan hati yang penuh kehibaan.
Pipi yang basah aku lap dengan tangan. Entah
kenapa memori pahit itu datang bertandang ketika ini.
Aiman... my very first abandonment.

No comments:

Post a Comment