DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 20 September 2018

TQ Kapten! - Bab 3

“MANA kawan awak yang lagi sorang tu?”
soal Mikayla. Pelik bercampur hairan apabila melihat hanya
Dihya’ seorang yang menunggu di dalam kereta Toyota Hilux
berwarna merah garang. Dia sudah siap-siap duduk di tempat
duduk belakang. Yalah, takkanlah nak duduk depan kan?
“Dia tak ikut. Dia pergi jumpa bakal tunang dia.
Salah satu sebab kami nak datang sini pun sebab dia nak
singgah jumpa bakal tunang dialah.”
“Ooo... macam tu pulak. So, saya kena duduk kat
depanlah nampaknya, kan?” Soalan bijak pandai Mikayla
diajukan dengan mudahnya.
“Nampaknya macam itulah. Nak saya tolong bukakan
pintu untuk awak ke?”
Mikayla menelan air liurnya. Sabar sajalah. Deep
pula rasanya mendengar kata-kata lelaki itu. Macamlah dia
nak sangat duduk kat belakang jadi mem. Cakaplah awal-awal
yang Amsyar tak dapat ikut. Kan senang! Eeee! Lagi satu,
kalau nak bukakan pintu kereta untuk wanita memang kena
minta tolong ke? Tak gentleman langsung! Tak tengok ke
cerita mat salih? Lelaki akan bukakan pintu kereta atau apa
jenis pintu pun untuk wanita. Ah, dah memang paten lelaki
solja ni macam ni kut.
Kenapa solja? Ehemm. Soldier itu adalah askar dalam
bahasa Inggeris. Ambil suku kata pertama dari perkataan
soldier. S-O-L-J-A. J untuk jodoh. A untuk aku. Soldier Jodoh
Aku. Hahahaha... berangan!
“Eh, tak payah nak baik sangat dengan saya. Saya ni
perempuan abad ke-21 yang berdikari dan mampu buka pintu
kereta sendiri. Tunggu sekejap ya.”
Mikayla membuka pintu kereta dengan perlahan dan
menutupnya kembali. Dengan penuh tertib dia membuka
pintu kereta di bahagian sebelah pemandu dan masuk ke dalam
kereta. Pintu kereta ditutup semula dan dia melemparkan
senyum yang paling manis untuk Dihya’. Dilihatnya lelaki
itu hanya tersenyum kecil sambil menggeleng-gelengkan
kepalanya.
Perjalanan dimulakan dengan membawa Dihya’ ke
Sungai Palas. Antara ladang teh yang terbesar di Cameron
Highlands. Sambil-sambil menikmati panorama yang indah di
ladang teh yang luas menghijau itu, bolehlah minum-minum
teh sambil makan kek strawberi keju. Dari tempat letak
kereta, mereka perlu berjalan kaki untuk naik ke atas.
Ramai pengunjung yang datang ke sini pada hari ini.
Maklumlah hari Sabtu. Ramai yang mengambil kesempatan
untuk meluangkan masa bersama dengan yang tersayang. Ada
yang datang bersama dengan anak-anak kecil. Tidak kurang
juga pasangan muda seperti mereka. Malah, ada pasangan
suami isteri yang berusia lingkungan 50-an yang berjalan
sambil berpimpinan tangan. Seronok melihat pasangan
lanjut usia yang masih mesra seperti pasangan kekasih.
Dari sini sudah dapat melihat panorama indah ladang
teh yang menghijau. Dengan cuaca yang nyaman membuatkan
suasana antara dia dan Dihya’ lebih relaks. Dihya’s steady saja
berjalan sambil sebelah tangannya menyeluk poket seluar.
Hari ini, penampilan lelaki solja itu kelihatan lebih kasual;
dengan t-shirt lengan panjang berwarna kelabu dan seluar
berwarna coklat gelap. Tetap kelihatan kemas dan rapi.
“Awak datang ke sini semata-mata nak temankan
Amsyar yang nak pergi dating dengan bakal tunang dia?”
Mikayla memulakan bicara. Kekok juga dibuatnya. Sudahnya
dia berdua sahaja dengan Dihya’. Kalau bertiga tadi dengan
Amsyar tak adalah pelik sangat. Bila berdua begini seperti
pasangan bercinta pula. Nak bercakap apa pun tak tahu. Malu
tak payah cakaplah.
Si Amsyar pula nampak saja pendiam. Boleh
tahan juga pergi dating dengan bakal tunang sampai kat
Cameron Highlands. Tadi sempat Dihya’ bercerita mengenai
bakal tunang Amsyar. Mereka bakal bertunang pada bulan
hadapan dan akan melangsungkan perkahwinan tidak lama
lagi. Bakal tunang Amsyar merupakan seorang jururawat.
Mereka berkenalan sewaktu Amsyar mengalami kecederaan
akibat perlawanan bola sepak. Dalam sakit-sakit pun sempat
dia mengurat jururawat di hospital. Kalau dah jodoh tak ke
mana, bukan?
Kedengaran tawa halus Dihya’. Sedikit sahaja.
Namun seperti yang dikatakan, senyum dia ni mahal. Sekali
dia senyum atau ketawa, memang rasa nak dengar dan tengok
berkali-kali. Manis. Comel. Handsome. Ah, yang penting nak
beritahu juga lelaki solja itu memang handsome.
Dihya’ menganggukkan wajahnya.
“Dah biasa sangat. Lagipun saya tak kisah. Kalau tak
ikut dia datang sini, macam mana nak jumpa dengan awak,
kan?”
Waktu itu, Mikayla pula rasa macam nak melompat
dan guling-guling turun ke bawah sampai ke tempat letak
kereta. Amboi. Boleh tahan juga Dhiya’ ni. Boleh tahan manis
dia susun ayat. Ingatkan lelaki solja ni tak pandai susun ayat
manis macam gula. Straight saja kononnya. Sweet talker
boleh tahan...
“Kalau tak jumpa saya, tak adalah kita jalan-jalan
kat sini macam ni, kan? Sebagai tanda terima kasih, saya nak
belanja awak minum kat atas sana.”
Dihya’ membalas senyumannya. Sekali lagi.
“Okey. Tapi jangan marah-marah macam kat depan
kedai yong tau foo hari tu pulak tau.”
“Amboi! Awak mengungkit eh?” Mikayla menoleh
sambil membuat muka.
Dihya’ ketawa. Kali ini, ketawanya besar. Mungkin
sudah dapat menjangka reaksi Mikayla yang comel begitu.
“Saya ingatkan aje. Mana tahu nanti awak marah
staf kat cafe tu sebab terbagi order orang lain dulu.” Dihya’
mengusik gadis itu. Dia dapat melihat wajah gadis itu merah
padam menahan malu. Ah, entah mengapa lain macam pula
perasaannya kali ini. Mikayla terlalu comel. Garang-garang
pun boleh tahan comelnya.
“Boleh tahan jugak awak ni mengusik eh. Come on,
lupakan hal tu, okey? Bukan selalu saya macam tu. Saya lapar
sangat masa tu.”
“Selalu kalau orang yang suka marah-marah ni tak
ada boyfriend, kan?” Selamba sahaja Dihya’ mengajukan
soalan itu kepada Mikayla. Saja nak cucuk jarum. Mungkin
juga cubaannya untuk mendapatkan info penting mengenai
gadis itu. Sebelum nak mengurat, kenalah ambil tahu status
seorang gadis itu terlebih dahulu. Tak mahulah mencaras hak
milik orang. Berdosa!
Mikayla tersenyum ‘tenang’ mendengar soalan
Dihya’. Pergh, padu sekali soalan tu. Namun, jika dilihat
pada kualiti soalan, ia lebih kepada dua dalam satu. Bertanya
dengan niat untuk mengusik atau bertanya dengan niat
untuk mengorek rahsia. Hmm, bijak, bijak! Sempat dijeling
manja ke arah Dihya’.
“Bukan senang nak jumpa orang cantik yang tak ada
boyfriend tau!”
Tu... dia! Terimalah jawapan perah santan dan
perasan tapi benar daripada Mikayla. Masuk bakul angkat
sendiri. Nasiblah. Takkan nak kena buat pengumuman yang
dia masih single trang tang tang sejak zaman sekolah, kan?
Bukan boleh percaya dengan cintan cintun monyet ni. Buang
masa saja. Sebab tu dia masih gigih single pada usia 28 tahun
begini di saat rakan-rakan yang lain sedang sibuk menambah
bilangan ahli keluarga. Alah, dia enjoy kut dengan life dia
sekarang ni. Hidup tanpa ikatan yang serius. Mungkin juga
belum sampai masanya. Atau belum ada yang berkenan di
hati?
Dihya’ merenung gadis di sebelahnya. Ya, Mikayla
memang cantik. Siapalah yang mampu menafikan keindahan
ciptaan Tuhan yang begitu sempurna dan indah ini? Tapi
cuma berlagak sikit. Kepala angin pun boleh tahan juga gadis
itu.
Apa salahnya kalau dia mencuba? Malah, dia sendiri
mula terpikat sejak dilihatnya gadis itu menunggu yong tau
foo dengan wajah bosan. Namun, apabila dia melihat Mikayla
mengusap perutnya, disangkanya gadis itu sudah berkahwin
dan sedang mengandung. Sekejap sahaja dia dikecewakan
oleh kelakuan miring Mikayla. Siapa tahu yang dia mengusap
perut kerana terlalu lapar? Sehingga ke hari ini dia masih
mampu tersenyum sendiri mengenangkan peristiwa tersebut.
“Cantik, tapi ada miring sikit. Cakap sorang-sorang
kat depan kedai makan sebab lapar. Ingatkan dia mengandung.
Rupa-rupanya mengandungi lemak,” usik Dihya’ lagi.
Mikayla tergelak besar apabila teringatkan peristiwa
di hadapan kedai yong tau foo. Sumpah, lepas ni dia takkan
buat macam tu lagi. Malu pula apabila diusik oleh Dihya’
sebegitu rupa.
Sampai sahaja di kafe, mereka terus memesan
makanan dan menikmati kedinginan Cameron Highlands
yang begitu indah di hujung restoran. Angin sejuk yang
sedikit kencang.
Sambil-sambil menikmati kehangatan teh Boh di
Sungai Palas, ada juga yang tiba-tiba datang mendekati dan
mahu bergambar dengan Mikayla. Reaksi Dihya’? Dia cuma
tersenyum. Malah, dia yang membantu untuk mengambilkan
gambar tersebut. Mikayla dan Dihya’ hanya mampu tersenyum
antara satu sama lain apabila dipuji bahawa mereka begitu
sepadan bersama. Malah, ditanya jika lelaki solja ini adalah
teman istimewa Mikayla, Dihya’ pula yang pandai-pandai
menjawab, ‘doakan kami’.
Mikayla? Tidak mengiakan. Namun tidak menafikan.
Layankan sajalah.
“Saya keluar dengan selebriti terkenal ATSD
rupa-rupanya,” usik Dihya’.
“Tak payah nak selebriti sangat. Kalau diaorang tahu
yang saya ada bela hantu raya macam yang ibu saya cakap
pagi tadi, berterabur semua tinggalkan saya.”
Dihya’ menghirup teh panas di hadapannya. Begitu
menyegarkan.
“Ibu awak tu baik sangat-sangat. Saya dengar ibu
awak bising yang awak jarang balik sini. Kenapa? Selain dari
tempat ni yang begitu cantik, awak ada seorang ibu yang
mengambil berat tentang anak-anaknya,” soal Dihya’. Dia
merenung Mikayla menanti jawapan.
Renungan Dihya’ membuatkan Mikayla serba salah.
Dia tahu yang dia perlu menjawab soalan itu.
“Sebab kerja. Saya seorang wartawan. Pekerjaan saya
selalu berkejar ke sana dan ke mari. Kerja pun kadang-kadang
tak tentu masa. Biasalah, ibu mana yang tak risau bila
berjauhan dengan anak-anak. Terutama sekali dengan anak
perempuan dia. Saya bukan sengaja dan suka-suka nak
tinggalkan keluarga.”
Dihya’ menganggukkan wajahnya. Dia menerima
penjelasan gadis itu.
“Carilah masa yang lebih banyak untuk orang tua
kita. Ada saja masa lapang, jangan lupa tanya khabar mereka.
Bersyukurlah masih ada ibu untuk mendoakan kesejahteraan
kita anak-anaknya.”
Mikayla tidak menafikan kata-kata Dihya’. Memang
benar. Doa seorang ibu untuk anak-anaknya tak pernah jauh.
Malah doa ibulah yang paling dekat di sisi Tuhan.
“Macam mana dengan ibu dan ayah awak? Awak dah
pergi jenguk mereka sebelum mula bertugas nanti?”
Dihya’ tersenyum mendengar kata-kata Mikayla.
Dia mengeluarkan dompetnya. Terdapat dua keping gambar
dikeluarkan dari dompet itu. Kedua-duanya ditunjukkan
kepada Mikayla.
“Yang ni, ibu saya. Gambar terakhir arwah ibu saya
yang awak lihat sekarang. Yang satu lagi, gambar keluarga
saya. Saya, ayah dan arwah ibu. Kami tak banyak gambar
keluarga. Ayah saya pun seorang tentera. Jadi, ayah jarang
ada dengan kami masa tu. Dan, sebab tu saya lebih rapat
dengan arwah ibu. Keluarga saya kecik aje. Tak macam
keluarga awak, besar dan meriah. Saya rasa seronok sangat
bila berada di sini. Awak beruntung sangat tau,” ujar Dihya’
sambil menunjukkan satu per satu gambar yang dikeluarkan
olehnya dari dalam dompet.
Mikayla dapat melihat kegembiraan di wajah
Dihya’. Dia kehilangan kata-kata. Sedih pula mendengar
kata-kata Dihya’. Pasti lelaki solja itu merindui arwah ibunya
apabila berada bersama dengan keluarganya tadi. Dia tahu
keluarganya agak huru-hara; dengan dia yang asyik bergaduh
dengan ibu, dengan telatah Naura dan Naufal yang nakal
menceriakan lagi hari-hari mereka dan ayah pula terlebih
periang orangnya. Tidak pernah kering gusi jika bersama
dengan ayah. Ada sahaja yang hendak dikenakan. Semua ini
membuatkan dia benar-benar bersyukur dengan segala yang
dimiliki olehnya.
“Saya minta maaf sebab tanya macam tu kat awak.
Saya tak ada niat nak buat awak sedih.”
“Janganlah macam tu. Saya okey aje. Saya dah
biasakan diri saya dengan semua ni. Tak perlu nak rasa
bersalah. Bukan soalan yang sukar untuk dijawab pun, kan?”
Mikayla menganggukkan wajahnya. Tenang sahaja
lelaki itu berkata-kata. Dia pula yang malu.
“So, kalau saya nak jumpa awak lagi selepas ni boleh?
Mungkin kita keluar macam ni. Tengok wayang ke?” Dihya’
bertanya kepada Mikayla. Soalan yang begitu berterus terang
dan tanpa berselindung.
Mikayla tersentak. Kalau ditanya melalui khidmat
pesanan ringkas atau WhatsApp, boleh juga diambil masa
untuk menyusun ayat dengan sebaiknya untuk menjawab.
Ini, betul-betul di hadapan mukanya. Dan, dia tahu Dihya’
sedang menunggu jawapan daripadanya. Biar betik! Lelaki
solja itu sedang mengajak dia untuk keluar bersama lagi?
Janji temu buat kali kedua?
“Boleh ke tak?” Dihya’ menyoal Mikayla sekali lagi.
Eh, kali ini Dihya’ pula yang kelihatannya tidak
sabar-sabar, membuatkan Mikayla berdebar-debar pula.
“Boleh. Apa salahnya.”
Dihya’ tersenyum lagi. Senang hatinya mendengar
jawapan daripada gadis di hadapannya. Kiranya, Cameron
Highlands bukanlah pertemuan mereka yang terakhir
kalinya. Tidak sabar nak menunggu janji temu mereka yang
seterusnya. Cuti panjangnya kali ini dirasakan begitu seronok
sekali.
Pertemuannya dengan Mikayla tidaklah sia-sia.
Siapa tahu apa yang menanti di hadapan mereka? Yang pasti,
dia yakin dia mahukan Mikayla. Perlahan-lahan, hati gadis itu
akan cuba untuk dimiliki. Hari yang indah itu tidak berakhir
begitu sahaja. Dia dibawa berjalan lagi ke beberapa tempat.
Dan diakui Mikayla sememangnya membela hantu raya
seperti yang diperkatakan oleh Puan Maria. Makan sahaja
kerjanya. Jika terdapat gerai yang menjual makanan pasti
akan ada saja makanan yang dibeli dan dicuba tanpa halangan
kekenyangan.
Dihya’ dibawa Mikayla berjalan ke Big Red Strawberry
Farm untuk menikmati ais krim strawberi yang segar dari
ladang. Kemudian mereka ke Kea Farm di Brinchang untuk
menikmati manisan strawberi bercelup coklat. Dihya’ dapat
melihat sisi Mikayla yang begitu menikmati hidupnya dengan
makanan. Dua set strawberi bercelup coklat hanya untuk
gadis itu sahaja. Malah coklat celup yang dipesan dilarang
untuk berkongsi.
Dihya’ begitu menikmati keseronokan Mikayla
yang teruja dengan makanan kegemarannya iaitu strawberi
bercelup coklat. Gadis itu kelihatan lebih comel saat
menikmati manisan itu yang masih panas. Terlihat jelas
perangainya yang tak sabar kalau bab makanan. No wonder
Mikayla mampu mengamuk sakan jika sedang kelaparan
seperti yang terjadi di hadapan gerai yong tau foo semalam.
Malah, ketika menahan sakit pun masih mampu
bergaduh dengan peragut muda yang ditangkapnya semalam.
Gigih mahu mendapatkan beg tangannya. Mungkin itulah
kemuncak gadis itu pengsan di sisinya semalam akibat paras
gula yang terlalu rendah.
Selesai menikmati strawberi bercelup coklat itu,
Mikayla membawanya ke kebun lavendar. Sebaik sahaja
mereka memasuki kawasan kebun bunga berkenaan, Dihya’
sudah dapat merasai keharuman bunga lavendar yang
mewangi dan begitu mendamaikan jiwa. Mikayla? Sudah
dikatakan bahawa gadis itu terlalu comel dan mungkin juga
sentiasa comel. Ah, kalau dah suka, apa saja yang dilakukan
gadis itu pasti comel di pandangan matanya.
Di kebun lavender itu, terdapat sebuah kereta
Volkswagen bercorak polka dot yang disediakan untuk
pengunjung mengambil gambar. Namun, lagak Mikayla
tu macamlah baru pertama kali sampai di sini. Beria gadis
itu mengajaknya untuk mengambil gambar dengan kereta
tersebut. Puas ditolak, namun akhirnya Dihya’ terpaksa
mengalah dengan keinginan gila Mikayla yang sudah siap
berposing di sisi Volkswagen berkenaan. Tersenyum-senyum
pekerja taman yang sedang menunggu untuk mengambil
gambar mereka berdua. Gambar yang sudah siap dicuci dan
berbingkai itu, dibayar oleh Mikayla.
“Ambillah gambar ni. Nak saya sign sekali tak?”
Mikayla sudah pandai bercanda dengan lelaki solja di
hadapannya.
Dihya’ mencebik.
“Tak naklah sign awak tu. Dapat gambar dengan
awak pun dah syukur alhamdulillah,” ujar Dihya’. Lelaki itu
tersenyum sambil menatap gambar berkenaan.
“Bukan senang tau dapat ambil gambar dengan
Double M.” Mikayla pula teruja melihat gambarnya sendiri.
Cantik pula dirasakan gambar dia dengan Dihya’.
“Double M?”
“Mikayla Mirza. Itulah, orang nak bagi sign tak nak.
Kalau tak, boleh saya sign Double M kat frame tu.”
“Tak payah. Dahlah mahal frame dengan gambar ni.
Ambil pakai handphone pun boleh kut tadi.” Dihya’ menegur
Mikayla.
“Eh, kedekutlah awak ni. Gambar ni semua momen,
tahu tak? Lagi berharga dari gambar yang ada kat dalam
handphone awak tu. Gambar ni kalau hilang, menangis air
mata darah pun awak takkan dapat balik gambar yang macam
ni.”
“Ya ke? Awak kuat berangan sangat ni. Banyak sangat
tengok drama Korea kut.”
Merah padam muka Mikayla mendengar kata-kata
Dihya’.
“Mana ada! Bak sini balik gambar ni kalau tak nak!”
Mikayla sudah mahu menarik gambar yang berbingkai itu
dari tangan Dihya’.
Dihya’ pantas mengelak dan mengangkat gambar itu
tinggi-tinggi agar tidak dicapai oleh Mikayla.
Manakala Mikayla pula sedaya upaya
melompat-lompat untuk mengambil gambar itu dari tangan
Dihya’. Hampir tersungkur dia hadapan lelaki solja itu. Mujur
sempat tubuhnya disambut oleh Dihya’.
Mikayla menolak Dihya’ agar menjauhi dirinya.
Gugup dibuatnya.
“Kalau gambar ni hilang, jangan cakap dengan
saya. Kalau dah terkena kat batang hidung sendiri, baru
padan muka!” ejek Mikayla lalu meninggalkan Dihya’ di
belakangnya.
“Eh, nak pergi mana tu?” Dihya’ tersenyum melihat
langkah Mikayla yang berterabur.
Mikayla menoleh dengan muncung empat belas.
“Baliklah. Dah petang ni. Nanti ibu bising saya bawa
anak ‘dara’ angkat dia sampai lewat petang!”
Dihya’ ternganga mendengar jawapan Mikayla. Anak
‘dara’ angkat? Dia ketawa sendiri sambil matanya menghala
ke arah Mikayla yang semakin laju melangkah di hadapan.
Semakin lama dia dengan gadis ini, hatinya semakin terpaut.
Ah, Mikayla ini gadis yang lain sekali. Membuatkan hatinya
jadi tak keruan sahaja. Hari yang indah terasa sekejap sahaja
masa berlalu.

No comments:

Post a Comment