NAUFAL dan Naura merebahkan tubuh mereka
di atas katil Mikayla. Sudah terlalu lama tidak bertemu
dengan kakaknya yang terlalu sibuk bekerja. Rindu untuk
berbual dan bercerita tentang berbagai perkara dengan kakak
seperti selalunya.
Mikayla tersenyum melihat kedua-dua adik
kembarnya. Naufal di sebelah kanan dan Naura di sebelah
kirinya. Naura yang mulut laser dan Naufal yang penyibuk.
Namun, kedua-duanya dia sayang. Buah hati kesayangannya.
Siapa tak sayang adik oii.
“Kak long, Abang Dihya’ dah lulus pemerhatian
Naufal dan Naura untuk jadi abang ipar kita orang. Kami dah
bermusyawarah dan mengambil kata sepakat bahawa Abang
Dihya’ sememang berpotensi besar untuk menjadi abang ipar
kami. Dia memang calon yang terbaik buat masa ini. Tiada
calon lain yang lebih layak melainkan beliau.”
Mikayla ketawa. Geli hatinya dengan kata-kata
Naufal. Lulus pemerhatian? Apa ni dah macam ujian
memandu. Mula-mula kena lepas ujian dengan pegawai dari
sekolah memandu. Tahap seterusnya pula kena melepasi
ujian daripada pegawai JPJ iaitu ibu dan ayah? Amboi-amboi
budak berdua ni. Kalau bab macam ni memang tak payah
baca buku, tak payah diajar. Tiba-tiba pandai sendiri.
“Jangan nak memandai-mandai suai padan kak long
dengan dia. Sibuk aje korang berdua ni! Tak ada kerja lain?”
“Kak long, Naura tak sabar nak tengok kak long
bersanding di bawah deretan pedang. Dengan Abang Dihya’
yang kacak, macho dan handsome tu. Janganlah jual mahal
sangat kak long, nanti melepas. Naura jugak yang rugi nak
dapat abang ipar sekacak Abang Dihya’ tu. Dahlah baik,
berbudi bahasa pulak tu. Memang husband material tau!”
bebel Naura pula.
Mikayla mendengar sahaja angan-angan mat jenin
adik perempuannya. Terbayang wajah Dihya’ di ruangan
mata. Dalam hatinya tidak menafikan apa yang diperkatakan
oleh Naura. Kacak dan manis itu memang ada. Budi bahasa?
Suka cakap lepas tu adalah. Husband material? Yang ni tak
berapa nak faham. Entah apa agaknya yang diperhatikan oleh
adik kembarnya dengan Dihya’ tu.
“Mana korang tahu dia tu baik? Baru kenal sekejap
dah puji melambung-lambung. Eeee, bahaya tau kalau cepat
sangat percayakan orang yang kita baru kenal. Lagi-lagi dia tu
orang luar,” dalih Mikayla.
Naufal dan Naura tersengih-sengih sesama sendiri.
Inilah yang paling Mikayla geram. Kalau dah
namanya pun kembar, segala-galanya sama. Pemikiran yang
sama, instinct yang sama. Ada saja perancangan-perancangan
tersembunyi adik-adiknya itu. Kalau dah gelak sesama sendiri
macam ni, memang kalahlah Mikayla kalau nak berdebat
dengan mereka. Dua lawan satu.
“Akak, zaman dah berubah. Kak long sendiri cuba
fikir dan renungkan. Kak long baru kenal dia tak sampai
sehari, tapi Abang Dihya’ dah pun berjumpa dengan ibu dan
ayah. Siap tidur kat sini. Sampai ibu sendiri bagi green light
untuk kak long pergi dating sampai kat Sungai Palas. Pergi
dating berdua pulak tu. Oh my God! Advance sangat, okey!
Tunggu Abang Dihya’ tu masuk meminang aje sekarang ni.”
Naufal mula membentangkan hujahnya. Susah kalau
pendebat dan pemidato terkemuka sekolah ni mula bercakap.
Lagi pula, cita-cita Naufal sememangnya mahu menjadi
seorang pendakwa raya. Ha, sesuai sangatlah tu.
“Tak rugilah kalau kak long terima Abang Dihya’
tu. Dia memang pegawai tentera yang cukup pakej. Berani,
gagah dan menghormati orang tua. Kak long tak tengok
cerita Korea Descendants of The Sun ke? Abang Dihya’ tu
ala-ala Kapten Yoo Si Jin dalam cerita tulah.” Naura pula
dengan nasi tambahnya.
Ini lagi seorang. Hantu drama Korea dan peminat
tegar Justin Bieber. Euw! Selain itu, Naura digelar kuat
berangan. Cita-cita adiknya itu pula nak jadi inspektor polis.
Alahai adik perempuan sayang seorang ini. Tak tahulah dia
yang kejar penjahat atau penjahat yang kejar dia nanti.
“Tak naklah, dik. Nanti kak long asyik kena tinggal
aje kalau kahwin dengan askar. Korang kena faham, kerja
askar tak tentu masa. Terpaksa tinggalkan keluarga demi
tugas. Tak kesian ke dengan kak long? Duduk rumah sorang
diri, makan sendiri. Kalau mengandung pulak kena pergi
check-up sorang-sorang.”
“Apalah beza dengan kak long sekarang? Sekarang ni
pun kak long kerja macam tak jejak tanah. Balik jumpa kita
orang pun sekali-sekala. Kak long ni kalau ditinggalkan hidup
dalam hutan yang ada batu dengan kayu aje pun boleh hidup.
Lagipun, Abang Dihya’ tu pergi berjuang mempertahankan
tanah air. Pahlawan negara tau. Pembela bangsa!” tempelak
Naura selamba.
Naufal ketawa besar. Tiba-tiba kembarnya nampak
bijak di situ.
“Betul sangat. Abang setuju dengan kau kali ini,
Naura.” Naufal mencelah.
Tiba-tiba saja adik-adik kembarnya menjadi rakan
sekutu yang baik. Walhal, sepanjang kehidupan ini asyik
bergaduh dan bertengkar saja kerja mereka. Tapi, bila bab
mengenakan Mikayla memang bersatu hati menggembleng
tenaga. Sabar sajalah dengan diaorang ni.
“Eh, budak kecik. Tak payah nak excited sangat
berangan tu. Korang kalau kak long tak ada kat rumah ni,
bukan main rindulah. Sikit-sikit missed call, WhatsApp, poke
kat Facebook. Sekarang kak long dah kat depan mata, bukan
main bersatu hati korang menyakat kak long eh. Amboi,
amboi, amboi...”
Mikayla bangun daripada perbaringan dan mencubit
pipi Naura dan Naufal. Sengaja ditarik sehingga kedua
beradik kembar itu bangun dari katil miliknya. Mengaduh
sakan Naura dan Naufal dengan tindakan Mikayla. Jeritan
dua beradik itu membuatkan Ayah Nahlan dan Puan Maria
muncul di muka pintu bilik Mikayla.
“Kenapa ni, Kay? Malam-malam macam ni bukan
main sakan menjerit-jerit macam ni. Tak elok, tahu tak?”
tegur Puan Maria.
Ayah Nahlan hanya tersenyum melihat gelagat
anak-anaknya. Senang hati melihat anak-anaknya bergurau
senda. Puan Maria dan Ayah Nahlan sudah melabuhkan
punggung di atas katil Mikayla. Semua sudah berkumpul
di dalam biliknya. Mujurlah katil dia cukup besar untuk
menampung semua ahli keluarganya.
“Abang cuma nak ingatkan kak long ni, suruh dia
cepat-cepat kahwin. Ayah dan ibu dah tak sabar-sabar nak
menimang cucu. Abang dengan Naura pun tak sabar nak dapat
anak buah. Kak long tu busy sangat. Al-maklumlah wartawan
paling hot dan berdedikasi kat Malaysialah katakan. Kalau ada
anak buah nanti, abang dengan Naura boleh tolong jagakan
anak kak long. Kami setia dan sedia untuk berkhidmat!” ujar
Naufal dengan panjang lebar sambil mengusap pipinya yang
masih berdenyut-denyut sakit akibat dicubit oleh Mikayla.
“Eeee, kau ni memang banyak mulut kan. Ayah,
ibu tengoklah dia ni!” Giliran Mikayla pula untuk mengadu.
Sempat tangannya menarik telinga Naufal. Geram!
Puan Maria menarik tangan Mikayla cuba meleraikan
anak-anaknya. Lantas tubuh anak sulungnya dipeluk
seeratnya.
Mikayla membalas pelukan Puan Maria. Sempat dia
menjelirkan lidah kepada adik-adiknya.
“Eeee, tengoklah tu. Kak long ni mengadakan, ayah.
Ayah paling sayang Naura dalam dunia, tahu tak?”
Giliran Naura pula memeluk Ayah Nahlan. Sengaja
dilentokkan kepala di bahu ayahnya. Cuba menyatakan
bahawa gelaran anak manja dalam keluarga ini hanyalah
miliknya! Cemburulah tu!
Puan Maria, Mikayla dan Naufal mentertawakan
Naura. Ayah Nahlan mengeratkan pelukan buat anak bongsu
kesayangannya.
“Ayah dengan ibu sayangkan semua. Tak ada beza
antara kak long, abang dan Naura. Cuma kalau Naura rajin
sikit tolong ayah kat kebun, ayah mesti sayang Naura lebih
sikit.”
Besar gelak semua mentertawakan Naura yang
diusik oleh Ayah Nahlan. Naura juga ikut ketawa.
“Okey, mulai esok Naura akan bangun lagi awal dari
ayah dan ibu. Naura akan ikut ayah pergi kebun kita setiap
hari.”
Naufal mencebik. Begitu juga Mikayla. Sembang saja
si Naura tu. Janji di‘capati’. Pasti!
“Yalah tu. Nak bangun paling awal konon. Solat
subuh pun selalu hujung waktu. Boleh percaya ke?” sindir
Naufal kepada adik kembarnya.
Terus Naura mengambil bantal kecil di sisinya dan
memukul abang kembarnya itu dengan bantal tersebut.
Bukan sekali, malah berkali-kali. Naufal hanya reda menerima
pukulan itu kerana dia tahu apa yang dikatakannya itu adalah
benar. 1-0.
“Ayah suka tengok anak-anak ayah berkumpul
dan bergurau senda begini. Bukan apa, ayah dengan ibu ni
makin lama makin tua. Kamu semua semakin dewasa. Kelak
akan ada kehidupan masing-masing. Jadi, jagalah hubungan
kamu semua ni sebaik-baiknya. Jangan lupa untuk saling
menjaga dan berkasih sayang walaupun usia kamu semakin
meningkat. Abang kena jaga kak long dan Naura. Walaupun
kak long tu lebih dewasa dari abang, tugas abang sebagai
anak lelaki dalam keluarga ini adalah untuk melindungi
adik-beradik perempuan kamu. Ingat pesan ayah!” Ayah
Nahlan akhirnya bersuara. Suka benar dia berpesan-pesan
dengan anak-anaknya.
Mikayla, Naufal dan Naura mengangguk mendengar
pesanan daripada ayah mereka.
“Dengar tu. Jaga dan lindungi kak long dan Naura!”
Sempat Naura memukul sekali lagi Naufal dengan
bantal di tangan. Masih tidak berpuas hati dengan kembarnya
itu. Naufal cuma angkat matanya ke atas. Juga tidak mahu
mengalah.
Mikayla, Puan Maria dan Ayah Nahlan ketawa
melihat gelagat si kembar berdua itu. Bahagia sungguh dapat
berada di sisi keluarga pada waktu-waktu begini. Di sinilah
syurganya, di sisi keluarga yang tercinta. Hilang rasa penat
dan rasa runsing bekerja. Ah, bukan selalu dapat berkumpul
dan bergelak ketawa begini. Meluangkan masa bersama
keluarga kecil mereka di tanah tinggi Cameron Highlands.
Terasa mahu berehat sebentar daripada kesibukan dunia.
Hiruk-pikuk pejabat yang sememangnya tak pernah sunyi.
Ah, sesungguhnya waktu sentiasa mencemburui!
Engkau bagaikan masa yang terhenti
Satu rasa yang indah memelukku
Cinta sebegini apa ertinya
Aku jadi panasaran
Ingin aku simpan senyum manismu
Moga nanti bangkit dari lena
Engkau yang pertama aku lihat
Jadikan hariku indah hingga akhirnya
Ingin aku jadikan suaramu
Lenakan malamku yang sepi
Bagai siulan bidadari
Bidadari itulah dirimu
Kini kusedari
Untuk kamu sepi ini dicipta
Untuk bidadari seperti dirimu
Mencintaimu
Hingga akhir nafas ini
No comments:
Post a Comment