DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 22 July 2018

Mencintaimu Selamanya - Bab 10

“WAH... Aira, cantiknya adik Kak Ika ni.
Macam bidadari.” Zulaikha terus memuji sebaik saja melihat
wajah Aira yang selesai disolek dan lengkap berbaju pengantin.
Aira tersimpul malu. Segan sebenarnya melihat
dirinya dalam keadaan sekarang. Seakan tidak percaya
bahawa inilah rupa Humairah a.k.a. Aira setelah disolek dan
didandan. Memang cukup berbeza. Apatah lagi bila dirinya
dalam keadaan berpakaian pengantin.
Dalam diam, dia memuji pakaian ini. Cantik! Dan
pakaian ini yang paling dia suka semasa sesi fitting baju
tempoh hari. Semasa dia cuba baju ini, mata Amar tidak
berkelip memandang wajahnya. Tak sangka pakaian ini yang
menjadi pilihan Amar.
Alhamdulillah, majlis perkahwinan berjalan dengan
jaya walaupun agak kecoh sedikit pada awalnya kerana
hanya Zulaikha sahaja yang menjadi wakil pihak pengantin
perempuan. Biasalah mulut manusia ni, suka sangat
bercakap-cakap kosong yang tidak memberikan sebarang
faedah.
“Maaf, Aira ni anak yatim piatu. Jadi saya harap
dalam majlis ni tak akan ada lagi bunyi-bunyi yang kurang
menyenangkan. Saya nak ingatkan pada kalian semua yang
ada di sini, ini adalah perkahwinan saya. Saya yang buat
keputusan untuk menerima Aira sebagai isteri, tak ada kaitan
pun dengan kalian. Kalian dijemput datang sini kerana saya
masih menganggap kalian ni saudara-mara saya, tapi kalau
kalian kurang senang dengan apa yang berlaku sekarang,
kalian boleh beredar sekarang.”
Tajam mata Amar memandang wajah-wajah tetamu
yang ada ketika sesi akad nikah. Masing-masing sudah tutup
mulut. Bukan mereka tak kenal siapa Amar. Amar seorang
lelaki yang bersuara lantang, bersikap ego dan sanggup
menerima cabaran. Setegas-tegas dan segarang-garang Datin
Noraidah pun tak berani nak bangkang apa yang Amar mahu
dan apa yang Amar buat.
“Saya setuju kata-kata Amar tu. Biarlah majlis
ni berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang rungutan.
Perkahwinan adalah sebuah ikatan yang murni. Janganlah
kita kotorinya dengan kata-kata dan desas-desus yang boleh
menghalang majlis ini.”
Datuk Sharifuddin menyokong kata-kata anaknya
membuatkan Amar menarik nafas lega. Dia pun tak sangka
yang papa akan menyokong tindakannya itu.
Datin Noraidah hanya tunduk. Namun dalam diam
hatinya mendongkol tak puas hati.
“Aira, sekarang ni upacara batal air sembahyang.”
Satu suara menerjah telinga Aira membuatkan dia
mendongak dan saat itu juga matanya beradu dengan mata
Amar yang sedang duduk berhadapan dengannya.
“You are so beautiful!” Amar mengenyit mata nakal
membuatkan Aira terpaku sesaat.
“Aira, hulurkan tangan tu. Encik Amar nak
sarungkan cincin.” Zulaikha berbisik perlahan di telinga Aira
dan sekali gus membuatkan Aira tersentak.
Perlahan-lahan Aira menghulurkan tangannya.
Tanpa berlengah, tangannya digenggam oleh Amar
membuatkan dada Aira berdegup tiba-tiba. Terpegun dia
melihat cincin yang tersarung di jari manisnya.
“Mak aih, cantiknya cincin.” Dalam diam Aira
memuji cincin yang sudah tersarung di jari manisnya.
“Suka cincin ni?” Amar memandang wajah Aira.
Menunggu reaksi daripada isteri yang baru dinikahinya
sebentar tadi.
Aira hanya membalas dengan anggukan perlahan.
Dengan penuh debaran, tangan suaminya dikucup lembut.
Dan sebagai balasan, dahi Aira pula dikucup Amar.
“Ini first time aku bayar zakat untuk dahi kau.
Nanti aku akan bayar lagi.” Sempat Amar berbisik di telinga
Aira. Tindakannya mendapat pelbagai reaksi daripada orang
sekeliling. Suara usikan mula kedengaran.
Aira tunduk lagi. Cukup segan apabila mereka
menjadi perhatian dan bahan usikan daripada tetamu yang
hadir.
“Dah, lepas ni kita bergambar ramai-ramai. Kalau
pengantin nak lebih romantik, nanti buat kat bilik!” celah
jurugambar sekali gus membuat membuatkan semua orang
yang berada di situ mula melepas tawa. Suasana jadi meriah
seketika.
Wajah Amar dan Aira sama-sama sudah bertukar
merah.
Sepanjang majlis perkahwinan berlangsung, Datin
Noraidah hanya pamer wajah cemberut sahaja. Nampak
sangat yang dia tidak sukakan majlis ni atau lebih jelas tidak
sukakan Aira sebagai menantu. Rasa tak senang hatinya
hanya dipamerkan pada Aira. Dari awal kemunculan gadis
itu ke banglonya, tak habis-habis dia menjeling ke arah Aira.
Lama-lama boleh juling matanya. Silap hari bulan Datuk
Sharifuddin cari calon madu untuknya. Padan muka!
Aira berdiri di tepi tingkap, merenung suasana luar
banglo mewah itu. Amar pula entah ke mana menghilang.
Tinggallah dia terkontang-kanting seorang diri. Kekok
rasanya nak berbual mesra dengan sanak saudara Amar yang
rata-ratanya nampak tak senang dengan dirinya. Macamlah
dia ada penyakit. Apa salahnya kalau mereka datang
menghampiri sekadar nak bertegur sapa.
Dalam diam, Aira merintih sayu. Ketika ini, hatinya
sarat sekali merindui Halimah di kampung. Kalaulah ibu
angkatnya ada bersama, tak adalah dia rasa kesepian seperti
sekarang. Ini pun nasib baik ada Zulaikha. Nanti, lepas ni
apakah yang patut dia buat kalau Zulaikha pulang?
“Aira, Aira okey ke ni?” Zulaikha muncul dan
menyapa Aira.
Cepat-cepat Aira menyeka air mata sebelum menoleh
ke belakang. Sedaya upaya dia cuba pamerkan senyum.
“Aira...” Zulaikha mencapai tangan Aira, digenggam
erat tangan itu. Hatinya sayu mengenangkan nasib gadis itu.
Kasihan Aira. Perlahan-lahan tangan kanannya menyeka air
mata pada wajah Aira.
“Jangan menangis ya. Kak Ika sentiasa ada di sisi
Aira.” Zulaikha terus memujuk.
“Kak Ika!” Tubuh Zulaikha segera dipeluk erat.
“Dahlah, tak payah nak nangis. Inikan hari bahagia
Aira. Sepatutnya Aira senyum, bukan menangis macam
ni. Nanti mata Aira bengkak dah tak cantik lagi.” Zulaikha
memegang wajah Aira.
Aira mengukir senyum sambil tangannya menyapu
sisa air mata.

“TAHNIAH, BRO. Akhirnya kau dah sah bergelar seorang
suami!” Khairul menepuk perlahan bahu Amar semasa dia
sedang bercakap dengan beberapa orang teman terdekat yang
dijemput sama hadir meraikan majlis perkahwinannya.
“Thanks. Jom kita borak kat sana. Dari tadi aku tak
sempat nak borak dengan kau.” Amar memeluk bahu Khairul
dan mereka berdua melangkah ke satu sudut.
Amar dan Khairul sama-sama melabuhkan
punggung ke kerusi.
“Amboi, ceria dan berseri-seri muka kau.” Khairul
tergelak kecil sambil merenung wajah Amar.
“Ya ke? Serius?” Amar meraba-raba mukanya.
“Damn it! Wife kau memang superb. Cantik sangat!
Kawan-kawan kita tak habis-habis memuji. Berbaloi rasanya
kau tak jadi kahwin dengan Tasya dan pilih Aira sebagai isteri
kau walaupun dalam keadaan darurat!” Khairul nampak
begitu teruja memberi komen pasal Aira.
Amar hanya ukir senyum. Bangga apabila kecantikan
isterinya mendapat pujian daripada kawan-kawannya.
“Bro, kau betul-betul serius ke nak jadikan Aira isteri
kau?” Kening Amar mula terangkat.
“Kau gila ke apa ni? Kau tak dengar ke yang aku dah
akad nikah depan tok kadi tadi?” Amar mengetap bibir.
“Bukan macam tu. Maksud aku, kau betul-betul
serius ke nak jadikan dia isteri kau atau sekadar nak cover
malu majlis perkahwinan kau dengan Tasya yang tak jadi ni?”
Khairul merenung wajah Amar.
Amar diam.
“Amar, kau betul-betul dah lupakan Tasya ke?
Aku tak fikir begitu mudah kau lupakan dia sedangkan dia
perempuan pertama yang kau cinta.” Khairul terus-terusan
merenung wajah Amar.
“Entahlah. Nak kata aku dah lupakan dia 100 peratus,
memang bohonglah. Tapi bila mengingatkan yang dia dah
tipu dan curang dengan aku, aku tak boleh nak terima dia
semula walaupun dia ada datang merayu kat aku. Dahlah Rul,
aku tak nak ingatkan dia lagi. Sekarang ni, aku dah ada Aira.”
Sedaya upaya Amar pamer muka tenang.
Khairul ukir senyum
“Tapi aku tak nampak aura cinta kau pada dia
walaupun aura pengantin baru wujud kat muka kau. Tengok,
kau biarkan dia teraba-raba sorang diri sedangkan kau tahu
mama kau tak boleh nak terima dia, saudara-mara kau pun
buat tak endah aje.” Khairul memandang ke arah Aira yang
ada di satu sudut bersama Zulaikha.
“Sama ada aku cintakan dia atau tidak, itu hal
aku. Kau tak payah risau. Lagipun, aku dah minta Kak Ika
temankan dia tadi.”
“Hmm... kau sebenarnya tak serius dengan dia, kan?”
provoke Khairul.
Amar hanya diam.
“Berapa lama kau nak pakai dia? Seminggu? Sebulan
atau setahun?”
Tajam mata Amar merenung wajah Khairul.
“Apa maksud kau?” Rahang Amar sudah mula
bergerak-gerak.
“Kalau kau dah tak nak dekat dia, kau boleh serahkan
dia dekat aku.” Khairul terus gelak.
“Kalau tak mengenangkan yang kau ni bestfriend
aku, sekarang jugak aku tumbuk muka kau!” Amar
mencengkam kolar baju Khairul.
“So... sorry. Aku... aku cuma gurau aje. Janganlah
ambil serius.” Khairul mula kelam-kabut. Risau kalau-kalau
mukanya terkena tumbukan si Amar.
“Kau dengar sini. Mulai sekarang aku tak nak dengar
kau cakap benda mengarut macam ni lagi. Aira tu dah sah
jadi isteri aku. Aku tak pernah terfikir pun nak lepaskan
dia, apatah lagi pada lelaki kasanova macam kau!” Amar
mendengus kasar. Sakit rasa hati mengenangkan kata-kata
Khairul walaupun kawannya itu hanya sekadar bergurau.
“Okeylah, aku nak jumpa kawan kita kejap. Kau
pun, janganlah tinggalkan isteri kau tu sorang-sorang. Mana
tahu ada sesiapa yang datang usyar dia... melepaslah kau
nanti. Walaupun dia dah jadi isteri kau tapi dia belum jadi
milik kau!” Khairul menepuk perlahan bahu Amar sebelum
beredar.
Amar hanya memandang langkah Khairul dengan
helaan panjang.

AIRA MENEGUK perlahan jus oren sambil duduk santai di
kerusi. Zulaikha baru saja meminta diri untuk pulang kerana
ada perkara yang perlu diuruskan. Dan Khairul berbesar
hati untuk menghantarnya pulang kerana kata Khairul, dia
bertanggungjawab menjaga keselamatan Zulaikha kerana
tadi mereka datang bersama.
“Hai, boleh saya join?”
Aira segera mendongak kepala apabila mendengar
suara lelaki menyapanya. Dahinya berkerut saat mata
bertembung dengan mata milik seorang pemuda yang sedang
mengukir senyum manis. Pakaiannya juga kemas dan segak.
Pemuda itu mengenakan sepasang baju Melayu berwarna
kuning lembut, siap bersamping dan bersongkok. Boleh
dikatakan tergolong dalam kategori kacak.
“Sorry, saya Aiman.” Pemuda itu memperkenalkan
diri serta menghulurkan tangan.
“Opss...” Aiman menarik kembali tangannya apabila
huluran tangannya tidak bersambut. Tanpa dipelawa, dia
terus melabuhkan punggungnya ke kerusi berhadapan
dengan Aira.
“Awak tak suka saya duduk sini ke?” Aiman merenung
wajah resah Aira sambil bibirnya mengorak senyum.
“Tak, bukan macam tu maksud saya. Saya cuma...”
Teragak-agak Aira nak melayan Aiman berbual. Bimbang
disalahertikan oleh orang sekeliling.
“Don’t worry. Awak tak payah risau. Saya datang
berbual dengan awak sebab saya nampak dari tadi awak asyik
keseorangan aje. Mana Abang Amar?” Melilau mata Aiman
mencari kelibat Amar.
“Abang Amar?” Mulut Aira mula ternganga.
“Ya, Abang Amar. Dia tu abang saya. Kami hanya dua
beradik aje.” Aiman memberitahu statusnya.
“Jadi, awak ni...” Aira sudah mampu menarik nafas
lega.
“Dah dia tu abang saya, mestilah saya ni adik dia.”
Aiman dah mula gelak.
“Oh... patutlah muka awak ni ada iras-iras dia.”
Aira tergelak kecil. Memang kalau diteliti wajah lelaki di
hadapannya ini, terdapat persamaan.
“Tapi Abang Amar lagi handsome, kan?” Aiman
menaikkan keningnya.
Aira tergelak kecil.
“Handsome tu memang handsome tapi...”
“Saya tahu apa yang awak nak cakap. Abang Amar tu
memang jenis yang ego, cepat panas baran, asyik nak menang
aje. Walaupun dia macam tu, tapi...”
“Tapi apa?” Tak sabar pula Aira nak tahu tentang
karakter lelaki yang sudah bergelar suaminya.
“Tapi dia baik sebenarnya. Cuma dia tu jenis yang
sukar nak tonjolkan sifat dia tu. Maklumlah orang yang ada
ego tinggi ni selalu saja nak kontrol macho. Tapi itulah Amar
Safuan yang sebenarnya.” Aiman tergelak lagi.
Kali ini Aira turut tergelak sama. Memang dia tak
nafikan hakikat itu.
“Saya pun sebenarnya tak sangka yang Abang
Amar pilih awak untuk dijadikan isteri selepas dia putuskan
pertunangannya dengan Tasya. Saya ingatkan dia tak jadi
kahwin. Awak tahu tak, tinggal seminggu saja lagi majlis akan
berlangsung dan segala persiapan dah dibuat, tiba-tiba kami
dikhabarkan yang pertunangan dia dengan Tasya putus.”
“Awak tahu kenapa pertunangan mereka putus?”
Memang Aira teringin sangat nak tahu kenapa Amar begitu
terdesak untuk meneruskan perkahwinannya sehingga dia
dijadikan mangsa.
“Dia ada beritahu awak tak sebab apa mereka tak jadi
kahwin?” Aiman hairan. Wajah Aira dipandang dengan dahi
berkerut.
“Dia tak beritahu saya secara details dan saya rasa
saya tak berhak untuk tanya dia.” Aira menarik nafas seketika
membuatkan mata Aiman terus melekat pada wajahnya
sehinggakan dia rasa tak selesa.
“Hesy, apalah Abang Amar ni. Tak patut dia rahsiakan
hal ni daripada awak.” Aiman menggeleng kepala beberapa
kali. Terbit rasa kesal dengan sikap abangnya.
“Tak apalah. Mungkin dia ada sebab tertentu. Saya
tak nak paksa dia.”
“Mungkin lepas ni dia akan beritahu awak.” Aiman
membuat andaian.
Aira hanya tayang senyum.
“Macam mana awak boleh kenal dengan abang saya?”
Aira mula rasa serba salah dengan pertanyaan itu.
Risau kalau dia beritahu nanti akan menimbulkan kemarahan
suaminya.
“Awak jangan risau. Saya tak ceritakan kepada orang
lain. Saya faham, tapi secara peribadinya saya nak tahu sangat
macam mana awak boleh kenal dia dan boleh terima dia. Awak
boleh percayakan saya kerana saya boleh jadi sahabat yang
baik untuk awak. Lagipun, okey apa kalau kita jadi kawan
sebab saya rasa usia kita pun tak jauh beza. Kekok pulak saya
nak panggil awak Kak Aira.”
Aira tergelak kecil. Seronok dapat berbual dengan
Aiman. Dia rasa selesa. Berbeza sekali sikapnya dengan Amar.
“Umur saya 20 tahun. Terpulanglah pada awak nak
panggil kakak ataupun tak.”
“Umur saya pulak 23 tahun. Saya masih lagi belajar
dan insya-Allah tahun ni kalau ada rezeki saya konvo. Lepas
tu saya ingat saya nak sambung belajar lagi. Saya rasa ilmu
yang saya ada sekarang belum cukup untuk masa depan saya.”
Aiman memberitahu tentang rancangannya membuatkan
Aira terdiam.
“Awak bertuah sebab ada peluang untuk belajar dan
sambung belajar, tapi saya... saya tak pasti peluang itu jadi
milik saya atau tidak.” Aira tunduk. Rasa sebak menjengah
hatinya.
“Aira, sabar ya. Insya-Allah peluang untuk awak
belajar akan sentiasa ada dan terbuka. Menjadi isteri bukan
penghalang untuk awak belajar dan teruskan cita-cita awak.
Saya percaya Abang Amar takkan menghalang hasrat awak,
malah dia pasti akan menyokong.” Aiman memberi sokongan
membuatkan Aira mengukir senyum sehingga menampakkan
lesung pipit di kedua-dua belah pipinya.
“Amboi, rancak berborak nampak. Tak nak kongsi ke
apa yang korang borak?” Tiba-tiba Amar muncul dan terus
mengambil tempat duduk di sebelah Aira membuatkan Aira
dan Aiman terus diam. Hanya mata mereka saja yang saling
berpandangan. Apa lagi apabila melihat betapa serius dan
masamnya wajah Amar ketika itu.

*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN JULAI 2018**   

No comments:

Post a Comment