DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 22 July 2018

Chinta Airis - Bab 2

SAMPAI sahaja di KLIA, Dani dan Airis terus
ke balai ketibaan. Pandangan mereka sesekali terpaku pada
skrin yang memaparkan perjalanan pada hari ini. Nampaknya
penerbangan dari London baru saja tiba.
“Kau ni mengantuk lagi ke?” Tergeleng-geleng
kepala Dani melihat Airis yang masih menguap.
Airis sengih.
“Jom duduk dulu. Risau aku tengok kau ni.” Dani
menunjuk pada deretan kerusi.
Airis cuma angguk.
“Balik kerja pukul berapa semalam?”
“Dekat pukul 10 malam. Tapi aku sambung kerja kat
rumah sampai pukul 3 pagi.”
“Lambatnya kau balik. Bahaya tau balik lewat macam
tu.”
“Jangan risaulah, pak guard ada,” jawab Airis.
“Dia ada pun aku tetap risau juga, sebab kau tu
perempuan. Macam-macam boleh berlaku.”
“Kau ni macam minta pula perkara buruk berlaku
kat aku,” ujar Airis dengan muka kelat.
“Bukan minta, tapi cakap... supaya kau tu berhati-hati
sikit,” balas Dani sambil menunjal perlahan kepala Airis.
Airis tersengih saja.
“Mana mereka ni?” Dani melihat jam dan bangun.
Kepala menjenguk di celah-celah orang ramai.
Rimas Airis melihat Dani yang berjalan ke hulur ke
hilir di depannya begitu.
“Apa kata kau duduk dulu. Bawa bersabar
banyak-banyak. Kejap lagi keluarlah tu,” ujar Airis. Dia
menarik tangan Dani agar duduk.
Dani mengalah akhirnya.
“Ini saudara kau yang mana?” tanya Airis. Sekadar
mahu menghilangkan kebosanan.
“Keluarga Aunty Nasha. Takkan kau tak ingat?” ujar
Dani.
“Tak ingatlah.” Airis geleng kepala.
“Kau kan pernah jumpa dia masa kecil-kecil dulu.
Alah... yang suka bagi kau cup cake tu. Anak dia selalu juga
main dengan kita. Tak ingat ke?” soal Dani lagi.
“Entah. Dah lupa. Aku bukannya ingat semua
saudara-mara kau tu,” balas Airis.
“Kau tu semua benda boleh lupa,” cebik Dani.
Airis jongket bahu.
“Dani, aku nak pergi toilet kejap. Nak basuh muka,
lepas tu nak cari kopi. Kau nak air?” Airis sudah berdiri.
Dani pandang Airis dan geleng.
“Okey. Aku pergi kejap.” Airis terus melangkah ke
tandas.
Selepas Airis berlalu pergi, Dani kembali meliarkan
mata ke sekeliling.
“Dani!”
Suara laungan menyebabkan kepala Dani pantas
terkalih ke tepi. Dari jauh dia sudah nampak kelibat Nasha
dan juga Aleeya yang sedang melambai ke arahnya. Dani
tersenyum dan pantas menghampiri mereka.
“Apa khabar aunty?” Dani bersalam dengan Nasha.
“Hai, budak kecik.” Kepala Aleeya digosok.
Pantas Aleeya melarikan kepalanya. Rambut yang
kusut dibetulkan semula.
“Orang bukan budak kecil lagilah. Dan jangan
sentuh rambut Aleeya lagi.”
Wah, nampak marah anak dara sorang ni. Dani dan
Nasha hanya tersenyum.
“Amboi, makin handsome Abang Dani sekarang ni,
ya,” usik Aleeya.
Dani tersengih. Perasan sekejap!
“Eh, dua orang aje ke? Kata... uncle sorang aje yang
tak jadi balik,” tanya Dani.
“Memang papa tak balik pun, dia datang dua tiga
hari lagi. Abang Fareez pergi toilet kejap,” ujar Aleeya.
“Sebenarnya kenapa uncle tak jadi balik sekali?” soal
Dani.
“Ada masalah sikit kat sana. Urgent. Itu yang terpaksa
tangguh dulu,” ujar Nasha.
“Oh...” Dani mengangguk faham.
“Kalau macam tu, tunggu kat sana dululah.” Dani
menunjukkan kerusi yang tidak jauh daripada mereka. Dia
menarik troli berisi bagasi sementara menunggu kedatangan
Fareez dan Airis.

AIRIS MENEGUK perlahan kopi Americano yang dibelinya
tadi. Terus hilang rasa mengantuknya. Dia mencecap lagi
sambil berjalan. Ah, nikmatnya! Tiba-tiba tubuhnya terasa
sengal apabila dihentam kuat.
Buk!!!
“Ouch!”
“Woo... hey lady, be careful!” Keras suara garau itu
menegurnya.
Dahi Airis berkerut. Kopi panas yang dipegangnya
itu tumpah dan terkena tangannya. Tompok merah sudah
mula kelihatan. Pedih.
“Sorry,” ujar Airis. Malas mahu memanjangkan
sengketa. Lagipun dia sedar yang dia juga turut bersalah
kerana berjalan tanpa memandang kiri dan kanan sebentar
tadi.
“Are you hurt?” suara itu bertanya lagi.
“No... I'm okay,” geleng Airis. Dia kemudiannya
memandang lelaki itu. Terkejut. Terdapat juga tompokan
kecil kesan kopi pada baju lelaki itu. “I’m sorry for that.” Dia
menunjuk pada kesan itu.
Lelaki itu menunduk melihat.
“Nevermind, it’s okay.” Lelaki itu menggeleng sambil
tersenyum. Sehelai sapu tangan dihulurkan kepada Airis.
Airis angkat kening tanda bertanya. Lelaki itu
menunjuk tangan Airis yang terkena kopi tadi.
“Thanks,” ucap Airis. “Sorry, got to go.” Airis
cepat-cepat meminta diri. Sedar yang dia sudah lama berada
di situ. Risau jika Dani menunggunya.
Lelaki itu hanya mampu melihat gadis itu pergi. Dia
tersenyum. Kalut... tapi comel. Entah anak mat salih mana
yang melanggarnya tadi.

AIRIS MEMBUANG cawan kopi Americano yang sudah
tinggal separuh itu ke dalam tong sampah. Dia mengelap
kembali tangannya dengan sapu tangan berwarna biru itu.
‘Sapu tangan?’ Pantas Airis berpaling semula ke
belakang; mencari tuan punya sapu tangan itu, tapi sudah
tiada.
‘Tak apalah. Nanti kalau jumpa, aku pulangkan balik.
Kalau tak jumpa... tak apalah.’ Airis melajukan langkah dan
kembali ke tempat tadi. Pasti Dani sudah lama menunggu.
“Oh, Airis!” Dani pantas berdiri dan menggamit Airis
yang sedang menghampiri mereka.
Airis menguntum senyum.
“Aunty kenal tak siapa ni?” Dani menarik Airis agar
berdiri di tengah-tengah antara dia dengan Nasha. Bahu Airis
dipegang dari belakang.
Nasha merenung wajah Airis lama. Airis pun turut
memandang Nasha sebelum memandang Dani semula.
“Entah, lupa pula aunty. Tapi... rasanya macam
pernah jumpa. Tak ingatlah Dani.” Nasha garu kepala.
Dani tersenyum kecil.
“Takkan aunty tak kenal dengan budak comot ni.
Dulu suka sangat minta cupcake kalau aunty datang rumah
Dani.” Dani bagi hint.
Lama Nasha berfikir sebelum dia tersenyum dan
memetik jarinya. Dani tersenyum lebar. Sah! Nasha sudah
ingat.
“Chinta Airis?” Nasha memandang Airis.
Airis angguk walaupun dia masih tidak mengingati
Nasha.
“Masya-Allah. Tak sangka dapat jumpa lagi.” Nasha
menarik tubuh Airis ke dalam pelukan. Pipi Airis dicium.
“Errr....” Airis termangu. Dia masih lagi keliru.
“Airis, takkan kau tak ingat Aunty Nasha kut? Masa
kita kecik-kecik dulu, kau suka minta cup cake kat aunty
setiap kali kau jumpa aunty,” ujar Dani.
Airis diam seketika sebelum tersenyum lebar.
“Aunty Shasha ke?” Airis tunjuk Nasha.
Nasha angguk dan tersenyum. Dulu Airis memang
panggil dia Shasha kerana pelat.
“Ya, sayang. Ini Aunty Shasha.”
“Rindunya kat aunty.” Tangan Nasha dipegang.
Sudah lama rasanya dia tak jumpa dengan Nasha.
“Mummy.” Suara Aleeya mencelah mematikan
perbualan mereka. Nasha berpaling dan menarik tangan
Aleeya.
“Anak aunty... Aleeya.” Nasha memperkenalkan
Aleeya kepada Airis.
Airis senyum dan membalas huluran tangan Aleeya.
“Hai Aleeya.” Airis menyapa dengan senang hati.
“Hai, Airis,” balas Aleeya.
“Mummy, cantiknya. Girlfriend Abang Dani ke?”
bisik Aleeya kepada Nasha. Tetapi bisikan itu menyapa juga
pendengaran Airis dan Dani. Tersengih panjang mereka
berdua.
“Memang girlfriend Abang Dani pun. Amacam,
sepadan tak dengan Abang Dani?” Dani menarik Airis rapat
kepadanya. Airis mengutil lengan Dani dan menjauhi lelaki
itu.
“Betul ke? Memang padan dengan Abang Dani.”
Aleeya menaikkan ibu jari. Terpegun dia melihat mata Airis
yang biru itu.
“Jangan dengar cakap dia ni. Mengarut aje tu,”
sangkal Airis. Matanya dijegilkan ke arah Dani.
“Bro!” Satu suara mencelah. Airis, Dani, Nasha dan
Aleeya terus berpaling. Dani mara ke depan apabila melihat
si pemanggil.
“Sayang!” Dani mendepakan tangannya kepada
lelaki itu.
Jatuh rahang Airis. ‘Sayang? OMG!!! Aku kawan
dengan gay ke selama ni?’
“Woo... woo...” Lelaki itu terus menjauh. Berubah
terus wajahnya apabila Dani memanggilnya begitu.
“Sayang, I rindu dengan you sangat-sangat ni.” Dani
masih mara walaupun jelas lelaki itu makin mengelak untuk
mendekatinya. Makin cuak lelaki itu.
“Kau ni apasal? Gila!” Lelaki itu menepis tangan
Dani apabila Dani cuba memeluknya.
“Sampai hati you panggil I gila.” Dani menurunkan
tangan. Jelas yang dia cukup terasa dengan perkataan itu.
“Mummy, apasal dengan dia ni?” Lelaki itu terus
berdiri di belakang Nasha. Seram dengan perangai luar alam
sepupunya itu.
Airis hanya senyap. Tiba-tiba tak terkeluar suara
melihatkan perangai Dani yang sudah macam gay tu.
“You tak rindu I ke, sayang? You nak tahu tak,
dah lama I tunggu you balik sini.” Lirih suara Dani. Mata
dikelip-kelipkan beberapa kali.
Airis menggosok lengan. Tiba-tiba meremang bulu
romanya mendengarkan suara gedik Dani. Dia memerhatikan
kedua-duanya. Tiba-tiba dahinya berkerut saat terpandang
dengan jelas wajah lelaki itu.
“Kau ni apasal Dani? Serius, kau ni sihat tak?”
Suara itu memecahkan lamunan Airis. Pantas dia
kembali memandang Dani.
“I sihatlah. Makin sihat bila I jumpa dengan you.”
Riak wajah Dani berubah ceria kembali. Dia mengatur
langkah ke arah lelaki itu.
“Stop. Jangan dekat!!!” Lelaki itu mula menjauh.
Suaranya kuat terjerit. Makin seram dia dengan Dani.
Langkah Dani terhenti dan dia menunduk.
Terhinggut-hinggut tubuhnya seketika. Airis, Nasha dan
Aleeya saling berpandangan. Masing-masing terpinga-pinga
dengan situasi yang baru berlaku.
“Hahaha...” Tiba-tiba suara Dani kuat memenuhi
ruang itu. Airis, Aleeya dan Nasha makin terpinga-pinga,
malah lelaki itu juga sudah berkerut dahi.
“Lawak siot muka kau tadi, kau patut tengok muka
kau dalam cermin,” ujar Dani sebelum dia menyambung
tawanya semula.
“Kau!” Lelaki itu mengetap kuat giginya sebelum
menumbuk dada Dani.
“Sakitlah, Fareez!” Tubuh Dani terundur sedikit.
Fareez menarik sengih.
“Tahu pun kau.” Dia memeluk tubuh. Puas hatinya.
Itu baru sikit. Kalau boleh, dia memang nak smack down si
Dani itu.
“Gilalah kau ni Dani.” Kali ini Airis pula angkat
tangan; menyekeh kepala Dani. Tak pasal-pasal dengan dia
sekali cuak.
“Sorrylah. Aku saja nak usik Fareez ni.” Dani sengih.
Sekarang sudah berganda-ganda sakit di tubuhnya.
“Abang Dani ni, nyaris-nyaris buat Aleeya takut,”
sampuk Aleeya.
Dani ketawa kecil. Dia perasan dengan wajah terkejut
Aleeya dan Nasha tadi. Sekali lagi dia meminta maaf.
“Dah, jomlah balik.” Nasha menolak troli bagasinya.
Malas melayan kerenah anak-anak muda.
Fareez yang baru perasan figura asing di antara
mereka terus memandang ke arah Airis.
“Kenapa Fareez?” tanya Nasha. Pelik dengan tingkah
anaknya itu.
“Ini siapa?” Fareez tunjuk Airis. Macam minah salih
tadi.
Nasha tersenyum melihat wajah Fareez yang
berkerut itu.
“Tak kenal ke?”
Fareez geleng kepala.
“Ini Airis. Fareez dan Dani selalu main dengan dia
masa kecil-kecil dulu setiap kali Fareez pergi rumah Mak
Ngah Im,” jelas Nasha.
Fareez mengamati wajah Airis dalam-dalam sebelum
dia tersenyum kecil. Memori lama mula terngiang-ngiang
dalam kepala.
“Ooo... budak tu. Ingat.” Kepala Fareez terangguk
beberapa kali. Dia merenung wajah Airis yang berdiri di
sebelah Dani.
Dalam diam Iris mengetap bibir. ‘Dia panggil aku
budak? Eh, helo... aku dah besar okey. Bukan budak-budak
lagi,’ gumam Airis geram.
“Kenal pun sayang. Ingatkan dah lupa.” Dani
menepuk bahu Fareez.
“Kau jangan nak bersayang-sayang dengan aku.
Nanti aku tendang sampai parking lot, nak?” Fareez menjeling
Dani.
Dani tergelak dan ketawa kuat sambil berjalan
seiring dengan Nasha dan Aleeya. Airis menyaingi mereka.
Tanpa sesiapa sedari, pandangan Fareez pada Airis masih lagi
tidak putus, kemudian perlahan-lahan terbit satu senyuman
lebar di bibir itu.

KERETA DIPARKIRKAN di hadapan rumah banglo dua
tingkat. Dani keluar dari kereta sebelum diikuti yang lain.
Hashimah bergegas keluar untuk menyambut kepulangan
tetamu jauhnya. Meleret senyumannya melihat kelibat
Nasha, Fareez dan Aleeya.
“Alhamdulillah. Sampai juga orang jauh.” Hashimah
memeluk erat tubuh Nasha. Pipi adiknya itu dicium sayang.
Rindu membuak-buak. Sudah lama mereka tidak bersua
muka. Air mata menitis tanpa sedar.
“Apa khabar kak ngah?” Mata Nasha turut bergenang.
“Baik. Macam mana perjalanan? Semua okey?” tanya
Hashimah.
Nasha angguk.
“Baik. Alhamdulillah.”
“Aloloo... anak saudara kesayangan mak ngah ni.”
Hashimah menggamit pula Aleeya dan Fareez yang sejak
tadi melihat drama mama dan mak ngah mereka. Aleeya
tersenyum dan bersalam dengan Hashimah. Hashimah
memeluk erat tubuh Aleeya. Kemudian giliran Fareez pula
dipeluk cium.
“Berapa banyak air mata yang umi ada?” bisik Airis
kepada Dani. Sejak tadi mereka menjadi penonton.
Dani pandang Airis. Matanya disepetkan.
“Isy... kau ni,” balas Dani. Airis tersengih saja.
“Makin lawa Aleeya ni. Fareez pun apa kurangnya,
makin segak,” puji Hashimah. Aleeya dan Fareez tersipu
malu. Segan dipuji.
“Jom, masuk. Kita borak kat dalam. Pak ngah kejap
lagi baliklah tu.” Hashimah menggamit semua agar masuk ke
dalam rumah.
“Okey, jom tolong aku.” Dani menarik Airis. Bagasi
yang memenuhi ruang bonet dikeluarkan satu per satu.
Berkerut dahi Airis cuba mengangkat beg yang berat itu.
“Tak payahlah bawa yang tu.” Dani menarik beg di
tangan Airis dan menyua sebuah beg yang lebih kecil untuk
Airis bawa. Airis menarik senyum.
“Sayang juga kau kat aku ya?”
“Gila aku tak sayang kau. Girlfriend aku kan.” Dani
menaikkan kening sambil tersenyum nakal. Airis angguk
sambil tergelak kecil.
Dani masuk terlebih dahulu dan Airis mengikut
dari belakang. Baru kaki mahu mencecah pintu rumah, dia
bertembung dengan Fareez yang muncul di situ. Spontan
langkah Airis terhenti. Matanya dan Fareez saling bertatapan
buat seketika.
“Airis!”
Suara laungan Dani berjaya mengembalikan mereka
berdua. Hangat wajah Airis. Fareez pula memalingkan
wajahnya ke tepi, tetapi bibirnya sempat menarik sekuntum
senyuman.
“Beg tu...” Fareez menunjuk beg yang berada di
pegangan Airis.
“Hah?” Airis terpinga-pinga sambil pandang ke
bawah. Belum sempat dia mengangkat kembali wajahnya,
tangan Fareez sudah memegang hujung tali beg. Tanpa
sengaja jemari mereka bersentuhan. Cepat-cepat Airis
melepaskan pegangannya.
Zapp! Bagai ada satu renjatan. Dup dap dup dap
jantung Airis berdetak kuat. Fareez turut berdeham. Dadanya
turut bergetar laju. Walaupun sentuhan itu hanya sekejap,
tetapi memberi impak yang besar pada jantungnya.
“Sayang oi, tak dengar ke aku panggil ni. Dah nak
tercabut biji halkum aku ni.” Dani muncul di depan Airis dan
Fareez.
Airis terus berjalan ke arah Dani. Fareez di sebelah
langsung tidak dipandang. Segannya masih lagi menebal.
“Aku dengarlah. Jomlah, masuk.” Airis menolak
belakang Dani agar masuk. Dani terdorong ke depan dengan
tolakan itu. Dia berpaling ke belakang dan menggamit Fareez
untuk mengikuti mereka.
Fareez tersenyum dan mengangguk. Masih jelas di
pandangan saat matanya bersabung dengan anak mata biru
itu. Cantik!
“Sayang, mari minum dulu.” Hashimah tersenyum
apabila ternampak kelibat Airis dan Dani.
Hashimah menghulurkan cawan teh kepada Airis
dan Dani apabila kedua-duanya telah melabuhkan duduk di
sofa. Beberapa saat kemudian Fareez pula muncul.
“Kenapa tercegat lagi tu Fareez? Duduklah, kita
minum sambil borak-borak. Nanti pak ngah balik, baru kita
makan sama-sama,” tegur Hashimah.
Fareez garu kepala. Bukan dia tak nak duduk, tapi
semua tempat sudah dipenuhi kecuali di kerusi yang diduduki
oleh Dani dan Airis saja yang masih ada kosong.
Airis menelan liur, dia tahu pandangan Fareez jatuh
pada tempat di sebelahnya. Dia memandang Dani, tetapi Dani
sedang rancak bersembang dengan Aleeya.
Nak tak nak, Fareez mengambil tempat di sebelah
Airis; menjadikan Airis diapit kiri dan kanan oleh Dani dan
Fareez. Dada Airis kembali berdetak laju. Walaupun tubuh
mereka tidak bersentuhan, tetapi Airis tetap rasa tubuhnya
berbahang ketika ini.
Fareez cuba mengawal debaran, haruman yang terbit
dari tubuh Airis begitu mengkhayalkan. Dia melirik Airis di
sisi, gadis itu nampak gelisah, spontan terbit satu senyuman
kecil di bibirnya.

No comments:

Post a Comment