DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 22 July 2018

Chinta Airis - Bab 6

Nora pelik melihat Airis yang tersengih-sengih
memandangnya sejak tadi. Terencat niatnya hendak makan.
“Okey, sekarang ni kau cakap dengan aku apa yang
kau nak?” Sudu kembali diletakkan dan dia memberi sepenuh
perhatian kepada Airis.
Airis menarik senyum ke arah teman serumahnya
itu dan membetulkan duduk.
“Macam mana?” soal Airis.
“Macam mana apa?” Nora kerut dahi.
“Ecehceh... buat-buat tak faham pula kau ni. Maksud
aku, kau setuju tak nak ikut aku nanti?” tanya Airis lagi.
Geram dengan Nora yang lambat pick-up.
“Oh... yang kau cakap hari tu ya?” Nora garu kening.
Airis pantas mengangguk. Tangannya melekat rapat
sesama sendiri. Berharap yang Nora bersetuju.
“Boleh,” jawab Nora sambil tersenyum lebar.
“Yeay!” Airis bertepuk tangan. Gembira kerana Nora
mahu mengikutinya. Dah lama dia hendak mendaki Bukit
Broga.
“Kau ni, macam budak-budak.” Nora geleng kepala.
Airis tersengih lebar. Pinggan nasi ditarik dan dia
mula menjamah makanan.
“Ingat dah kenyang tadi,” perli Nora. Dia kembali
menyambung makan.
“Mana ada kenyang babe. Perut aku ni lapar gila,
tahu tak. Dari tadi duk tunggu kau,” ujar Airis.
“Wei, nak bercakap pun tunggulah makanan dalam
mulut tu habis. Tengok ni, bersembur-sembur kat muka aku,”
rungut Nora. Sebiji nasi yang melekat di dahinya dikutip.
“Opss... sorry.” Airis pantas menutup mulut.
Nora menarik muka masam.
“Dah. Makan senyap-senyap. Jangan duk melalut
benda lain pula,” ujar Nora.
Airis angguk sambil tersengih. Dia terus menikmati
makanannya.
“Eh... lupa nak cakap, hari Sabtu sampai Isnin ni
aku tak ada kat sini. Aku join sukarelawan mangsa banjir ke
Kuantan,” ujar Airis apabila mereka selesai makan.
Nora panggung kepala.
“Kenapa baru cakap?”
“Sorrylah, sibuk sikit. Kau nak join? Rasanya boleh
lagi kut,” pelawa Airis.
“Kau pergi dengan siapa?” tanya Nora.
“Dengan Dani and the gang dialah.”
“Tak apalah. Lagipun kau baru cakap. Aku dah ada
program hujung minggu ni,” balas Nora.
“Kau nak pergi mana?”
“Date dengan bakal mentualah.” Nora tersenyum
lebar.
“Amboi... nampaknya cepatlah aku makan nasi
minyak ni...” usik Airis. Ditatapnya wajah Nora yang nampak
berseri-seri dalam tersipu-sipu malu.

BUNYI KETUKAN di muka pintu menyebabkan lena Airis
terganggu. Terpisat-pisat dia bangun. Bunyi ketukan dan
suara Nora berselang-seli. Dibuka perlahan pintu biliknya.
“Ya Allah Airis oi... kau baru bangun ke? Aku ingat
dah siap!” tempik Nora kuat.
Airis yang masih mamai terus tersedar. Dia
menggelabah melihatkan Nora sudah siap untuk ke tempat
kerja.
“Wei, dah pukul berapa ni?” Kalut Airis menilik jam
di pergelangan tangan Nora. Membulat matanya melihat
angka di jam itu. Pukul 7.30 pagi. Terus dia berlari ke pintu
almari dan mengeluarkan bajunya. Hampeh! Tak pasal-pasal
dia terlepas subuh.
“Alah kau ni... mandilah dulu kalau ya pun,” tegur
Nora lagi. Menggeleng dia dengan perangai Airis.
Airis yang baru tersedar terus menepuk perlahan
kepalanya. Baju yang dipegang dicampakkan saja ke atas katil
dan laju kakinya masuk ke bilik mandi.
Usai mandi, tangannya laju menyarung pakaian dan
bersiap-siap. Kemudian terkocoh-kocoh dia menyarung kasut
tumit tingginya. Nasib baik tak tersembam jatuh.
Nora yang berada di sebelah hanya menggeleng
saja. Dengan sabar dia menanti Airis. Oleh kerana pejabatnya
hampir dengan pejabat Airis, selalulah juga dia menumpang
Airis untuk ke pejabatnya.
“Babe, kau boleh tak relaks sikit. Aku rimas tengok
kau kelam-kabut macam ni.”
“Tak boleh. Aku tak boleh nak control diri aku ni.
Aku takut tak sempat sampai. Dahlah pagi ni ada mesyuarat
penting,” ujar Airis perlahan sebelum mereka berjalan laju
ke arah lif.
Butang lif ditekan dan mereka menunggu seketika.
Selepas itu mereka berkejar pula ke tempat letak kereta.
Keretanya dipandu laju tapi masih lagi berhati-hati.
Istilah biar lambat asal selamat sudah tidak ada buat Airis hari
ini; yang ada biar pandu laju asalkan selamat. Dia menghantar
Nora ke pejabat dahulu kemudian barulah dia menghala ke
pejabatnya.
Selepas kereta diparkirkan, Airis berkejar pula ke
pintu utama A&S Holdings. Laju dia berjalan.
“Ada 15 minit lagi!” Cemas Airis dibuatnya. Dia
makin melajukan langkah sebelum bahunya terasa sengal
kerana melanggar sesuatu.
“Adoi!”
“Jaga-jaga sikit jalan tu,” suara garau memberi
amaran.
Airis menggosok bahunya yang sakit. Inilah
akibatnya kalau selalu kelam-kabut. Asyik terlanggar orang
saja kerjanya.
“Sorry.” Airis menunduk dan mengutip isi begnya
yang bertaburan di tengah ruang lobi. Kemudian, ada tangan
yang menghulur barangannya.
“Alamak, dah lambat!” Airis menunduk sedikit
memohon maaf sekali lagi sebelum berlari meninggalkan
gerangan yang dilanggarnya. Dia memboloskan diri ke dalam
perut lif apabila pintu lif terbuka.
Bagai ada yang memerhati; saat Airis memandang
ke luar lif, baru dia perasan orang yang dilanggarnya masih
lagi berdiri di situ. Wajah lelaki itu nampak samar-samar dari
jauh sebelum pintu lif mula tertutup perlahan-lahan.

USAI MESYUARAT, Airis begitu tekun menyemak
dokumen-dokumen di atas meja sehingga timbunan yang
meninggi tadi mulai susut sedikit demi sedikit. Ketukan di
muka pintu menghentikan larian jari runcingnya seketika.
“Masuk,” laung Airis dari dalam.
“Cik Airis tak nak keluar lunch ke?” tanya Hani,
pembantunya.
Airis melirik jam di laptop. Sudah pukul 12.55
tengah hari.
“Kejap lagi. Apa kata kalau kita lunch sekali? Saya
belanja awak,” pelawa Airis.
Hani mengangguk dan tersenyum lebar. Bos nak
belanja, siapa yang tak nak, kan?
“Okey, saya tunggu Cik Airis kat luar.” Hani menutup
pintu bilik Airis dan terus beredar.
Airis menutup dokumen dan meletakkan laptopnya
dalam mod sleep. Selepas ini dia akan sambung semula. Perut
yang berkeroncong lapar perlu diisi dulu.
Airis dan Hani beriringan turun ke bawah. Sampai
di tempat parkir, Airis menyeluk beg tangannya untuk
mengeluarkan kunci kereta.
“Eh!” Mata Airis melihat isi beg.
“Kenapa Cik Airis?” tanya Hani.
“Kunci kereta saya tak ada,” ujar Airis sambil
meneruskan pencariannya. Tak jumpa juga. Dia mengeluarkan
segala isi beg di atas bonet belakang keretanya pula. Tak ada
juga. Airis garu kepala. Aduh! Gawat ni. Mana kunci dia
hilang?
“Cik Airis tertinggal kat atas tak?”
“Mungkin kut. Tapi rasanya, lepas sampai tadi saya
terus masukkan dalam beg. Tak ada keluarkan langsung.
Lepas tu sampailah sekarang.”
“Eh, wait!” Airis terjerit kecil.
“Kenapa?” Hani pelik.
“Pagi tadi saya ada terlanggar orang kat lobi. Beg
saya jatuh lepas tu. Mungkin tercicir kat situ. Kejap ya.” Airis
menonong melangkah ke kaunter depan.
“Maaf Afiezah, tumpang tanya...” tegur Airis lembut
kepada seorang gadis yang bertubuh kecil molek di kaunter
tersebut.
Gadis itu mengangkat wajah dan bangun berdiri.
“Cik Airis, kan?” gadis itu bersuara.
Lambat-lambat Airis mengangguk dan tersenyum
kecil.
“Ini...” Gadis itu menghulurkan sesuatu kepadanya.
Terkejut Airis apabila gadis itu menghulurkan kunci
keretanya. Pantas wajah gadis itu dipandang; masih tidak
percaya yang kunci keretanya ada di situ.
“Jumpa kat mana ni?” Airis sudah melonjak
keriangan. Tadi baru saja nak tanya jika mereka ada terjumpa
kunci keretanya. Tup-tup dah ada depan mata.
“Tadi ada seorang lelaki suruh bagi pada Cik Airis,”
jawabnya.
“Lelaki? Siapa?” tanya Airis. Lelaki tadi ke? Wajah
lelaki yang dilanggarnya pagi tadi cuba diingati.
“Encik Rayyan Haiqal.”
“Hah! Rayyan Haiqal? Siapa tu?”
“Encik Ray tu client syarikat ni. Itu aje yang saya
tahu sebab dia selalu datang untuk berurusan dengan Encik
Izad,” balas gadis itu.
“Oh...”
“Oh, ya... Encik Ray ada tinggalkan nota untuk Cik
Airis.” Gadis itu menghulurkan sehelai kertas kecil yang
berlipat dua dan sekeping kad berwarna emas kepada Airis.
Airis mengambilnya dan tersenyum.
“Thanks, Afiezah.” Airis terus pergi dan menuju
semula ke arah keretanya. Dari jauh dia sudah melambai
kunci kereta ke arah Hani.
Airis menilik kad dan nota di tangannya. Isi nota
itu pun sekadar mencoret ayat ringkas ‘see you soon’ sahaja.
Entah apa makna tersirat di sebalik ayat itu pun Airis tidak
pasti.
“Rayyan Haiqal Bin Dato’ Nizam... CEO Laksamana
Holdings.” Syarikat Laksamana Holdings ini memang
dia pernah dengar kerana Dato’ Nizam itu salah seorang
businessman yang berjaya, tapi nama Rayyan Haiqal baru
dia dengar. “Anak Dato’ Nizam yang mana pula ni?” Airis
mengetuk hujung bibir.

No comments:

Post a Comment