DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 22 July 2018

Mencintaimu Selamanya - Bab 1

“DIK, boleh akak tumpang duduk kat sini?”
Aira mendongak. Seorang wanita sedang mengukir
senyum sambil memegang sepinggan nasi dan juga segelas
minuman.
“Duduklah kak. Tempat ni memang tak ada orang
pun.” Aira turut mengukir senyum.
“Terima kasih, dik.” Wanita itu segera melabuhkan
punggungnya di hadapan Aira.
“Nama akak, Zulaikha. Panggil Kak Ika. Nama
adik ni...” Zulaikha memperkenalkan dirinya sambil
menghulurkan tangan.
Aira meletakkan sudu seketika dan menyambut
salam Zulaikha.
“Saya Humairah. Panggil aje Aira.”
“Aira baru datang dari kampung?” Zulaikha
merenung wajah Aira yang ketika itu hanya mengenakan
sepasang baju kurung kapas dan bertudung bawal.
“Ya, Kak Ika. Aira baru datang dari kampung.”
Zulaikha mengangguk perlahan.
“Datang sini sebab dapat tawaran kerja ke?”
“Belum dapat apa-apa kerja lagi Kak Ika. Aira datang
sini untuk mencuba nasib.” Aira tunduk memandang nasi
dalam pinggan. Wajahnya tiba-tiba jadi sayu. Dia baru saja
sampai ke Kuala Lumpur dan tak tahu di mana tempat yang
harus dituju. Takkanlah dia mahu menyusahkan Abang Hadi
pula. Kalau ya pun, macam mana dia nak hubungi lelaki itu
kerana nombor telefon pun dia tak tahu.
“Oh... ya ke. Kalau Aira berminat, kebetulan tempat
kerja akak nak pakai orang.”
Riak wajah Aira nampak teruja mendengar jawapan
Zulaikha.
“Nak pakai orang? Tapi kerja apa tu Kak Ika? Jangan
pulak akak nak ajak Aira buat kerja tak senonoh. Aira tak
nak.”
Tiba-tiba Aira rasa gusar. Maklum sajalah, di Kuala
Lumpur ini memang menawarkan banyak peluang pekerjaan,
tapi jika silap percaturan akan memakan diri. Apa yang
penting pilihlah pekerjaan yang halal.
Zulaikha tergelak kecil.
“Jangan risau. Kerja yang akak tawarkan ni bukannya
kerja tak senonoh tapi kerja ni tak glamorlah. Kerja sebagai
pembantu kat kedai bunga aje. Kalau Aira berminat, nanti
akak beritahu bos akak. Kebetulan ada seorang pekerja dah
berhenti sebab dapat tawaran kerja kat tempat lain.” Zulaikha
memandang wajah Aira.
“Sebenarnya Aira tak kisah kerja sebagai pembantu
kedai bunga pun. Janji kerja tu halal.” Aira menarik nafas
lega.
Zulaikha sudah mengukir senyum mendengar
jawapan Aira.
“Hmm... baiklah. Lepas makan ni, Aira ikut akak.”
Aira mengangguk perlahan.
“Terima kasih, Kak Ika. Kalau Aira tak jumpa dengan
akak, tak tahulah apa nasib Aira kat sini.” Aira mula sebak.
“Tak apalah Aira. Dah rezeki Aira. Akak pun datang
dari kampung jugak. So, akak tahu susah payah nak dapat
kerja dan nak bina hidup kat bandar ni. Silap percaturan,
akan memakan diri.”
“Dan lagi satu...”
“Apa dia Kak Ika?” soal Aira mula kembali resah.
“Macam mana dengan tempat tinggal Aira? Dah
ada?”
Aira tunduk. Lagi sekali dia menggeleng kepala.
“Okey, tak ada masalah. Aira boleh tinggal di rumah
sewa akak. Tapi maaflah kalau Aira tak selesa. Rumah sewa tu
sempit sikit. Akak menyewa dengan tiga orang kawan.”
“Segan pulak Aira. Aira dah banyak susahkan Kak
Ika. Tak tahulah macam mana Aira nak balas budi akak
nanti.” Aira kembali rasa sebak.
“Tak ada hal. Insya-Allah, apa yang boleh akak
tolong, akak tolong. Akak ikhlas, dik.” Zulaikha mula suka
dengan sikap rendah diri Aira. Sikap dan perwatakan gadis ini
mengingatkan dia pada arwah adiknya yang meninggal dunia
2 tahun yang lalu akibat kemalangan.
“Terima kasih sekali lagi Kak Ika.” Aira benar-benar
bersyukur kerana dipertemukan dengan Zulaikha.
“Dahlah, makan cepat. Nanti akak bawa Aira jumpa
bos akak. Insya-Allah, Aira akan dapat kerja. Akak pun dapat
kawan baru! Sejak Wanie tu berhenti kerja, akak tak ada
kawan. Nanti bila Aira dah ada, akak tak bosan lagi.”
Aira tergelak kecil hingga menampakkan lesung
pipit pada kedua-dua belah pipinya.
“Manis senyuman Aira. Akak suka.” Zulaikha terus
memuji membuatkan Aira tunduk malu.
“Jom.” Zulaikha bangkit dari kerusi. Diikuti oleh
Aira sambil menjinjing beg pakaiannya. Beg sandangnya
disangkutkan ke belakang.
Mereka terus mengatur langkah keluar dari kedai
makan itu. Menurut Zulaikha, kedai makan dengan tempat
kerjanya tak jauh. Hanya jalan kaki sahaja. Tanpa Aira sedar,
langkahnya diikuti oleh seseorang.
Tiba-tiba Aira bertempik. Beg pakaiannya diragut.
Dia hampir rebah kalau tidak dibantu oleh Zulaikha.
“Hei, beg saya!” Aira menjerit sambil berlari
mengejar peragut itu. Hanya itu sahaja pakaian yang ada
untuk dia pakai.
“Tolong!!! Beg saya kena ragut!!!” Aira menjerit
lagi sambil mengejar peragut itu. Dalam kalut mengejar si
peragut, tanpa sengaja dia terlanggar seseorang.
“Woi!!!” jerit satu suara dan serentak itu juga lengan
Aira direntap kasar membuatkan langkah dia terhenti.
“Hei, kau nak lari mana lepas kau rosakkan cermin
mata aku?”
Terkulat-kulat Aira memandang wajah lelaki yang
sedang memarahinya.
“Ma... maaf. Sa... saya tak sengaja encik. Sebenarnya...
sebenarnya saya sedang mengejar peragut yang curi beg
saya.” Aira tergagap-gagap kerana ketakutan melihat wajah
garang lelaki itu.
“Ah, aku tak peduli! Itu cuma alasan kau aje! Aku
nak kau bayar ganti rugi harga cermin mata aku ni. Mahal
tahu tak, beribu ringgit! Baru semalam aku beli dan hari ni
kau dah rosakkan!” Lelaki itu terus memarahi Aira sambil
menunjukkan cermin mata hitamnya yang terjatuh akibat
perlanggaran tadi.
Aira memandang sekilas cermin mata lelaki itu. Tak
ada sebarang kerosakan pun. Kalau ada, mungkin tercalar
sikit sahaja. Melampau betul lelaki ini. Benda macam itu pun
nak berkira.
“Betul encik, saya tak sengaja. Saya betul-betul
minta maaf.” Aira meraih simpati. Air mata mula mengalir
di pipinya. Sudahlah beg pakaiannya diragut, sekarang ini dia
dimarahi pula. Garang betul muka lelaki ini merenungnya.
Macamlah dia buat kesalahan besar. Dasar orang kaya
berlagak!
“Aira.” Zulaikha muncul beberapa minit kemudian.
“Kak Ika, tolong jelaskan pada encik ni yang Aira
tak sengaja langgar dia sampaikan cermin mata dia terjatuh.
Akak pun tahu kan kenapa Aira berkejaran tadi.”
Aira terus memegang tangan Zulaikha meminta
sokongan. Matanya mula berkaca. Dia sedih sangat sebab kena
marah. Bukan itu saja, dia benar-benar malu kerana menjadi
perhatian beberapa orang yang ada di sekitar kawasan itu.
“Eh, Encik Amar!” Mata Zulaikha terus membulat
sebaik saja memandang wajah lelaki yang telah memarahi
Aira tadi.
“Kak Ika?” Mulut lelaki itu ternganga seketika.
“Ya, Encik Amar. Betul pun apa yang Aira ni cakap.
Memang Aira tengah kejar lelaki yang meragut beg pakaian
dia tadi. Kak Ika ada dengan dia masa beg dia diragut. Dia
baru datang dari kampung. Encik Amar lupakanlah hal ni
ya?” Zulaikha membuka mulut membuatkan Amar terdiam.
Kemudian tajam mata Amar merenung wajah Aira
yang tunduk memandang ke bawah. Mungkin amat takut
dengan renungan tajamnya.
“Hmm, baiklah. Saya maafkan. Tapi lain kali tolong
berhati-hati.” Amar terus berlalu pergi dengan lagak sombong
dan egonya.
Aira dan Zulaikha mengeluh lega.
“Siapa tu Kak Ika? Akak kenal dengan dia? Bukan
main sombong lagi dia tu.” Aira menarik nafas seketika
selepas memandang sekilas tubuh Amar dari belakang.
“Kenal sangat tu tak adalah. Dia merupakan salah
seorang regular customer kat kedai bunga tempat akak kerja.
Memang akak mengaku yang Encik Amar tu seorang yang
sombong.” Mata Zulaikha masih lagi memandang tubuh
Amar yang semakin menjauh.
Aira mendengus perlahan. Dalam diam dia berharap
tak akan berjumpa lagi dengan lelaki berlagak sombong itu.
“Kak Ika, macam mana dengan beg Aira? Sekarang
ni Aira tak ada apa pun nak pakai. Aira tinggal sehelai
sepinggang.” Aira mula rasa sebak.
“Err... dalam beg tu ada barang-barang berharga
tak?” Zulaikha merenung wajah sedih Aira.
“Tak ada. Hanya ada pakaian Aira aje. Duit dan sijil
ada dalam beg sandang Aira. Nasib baik Aira tergerak hati nak
letak sijil dalam beg sandang walaupun berat nak pikul.”
“Tak apalah. Nanti kita fikirkan macam mana nanti.
Akak rasa tak payahlah nak buat report polis sebab tak ada
barang berharga dalam tu. Buat rugi aje peragut tu ambil
sebab tak ada barang berharga.”
“Tapi Kak Ika...” Aira tetap rasa terkilan.
“Jom, kita pergi kat kedai akak kerja. Kat depan tu
aje.” Zulaikha terus menarik lengan Aira.
Aira akur. Wajahnya muram.
“Tak payahlah nak sedih-sedih. Nanti akak tolong
Aira selesaikan masalah. Kita boleh minta tolong dengan bos
akak. Dia baik orangnya.”
Zulaikha menggosok lembut bahu Aira agar Aira
tidak terlalu memikirkan masalahnya. Kasihan pula dia
melihat gadis ini. Baru saja sampai dari kampung, terus
ditimpa musibah.

“ALHAMDULILLAH. TERIMA kasih Puan Ainon.” Aira
mengukir senyum lega kerana dia telah diterima bekerja
sebaik saja diperkenalkan oleh Zulaikha.
“Sama-sama, Aira. Tak payahlah panggil puan.
Panggil aje Kak Ainon.” Puan Ainon mengukir senyum.
“Tadi Ika dah ceritakan pada Kak Ainon kejadian
yang menimpa Aira termasuk pertemuan Aira dengan Encik
Amar. Macam ni, buat sementara waktu Aira tinggallah
dengan Ika. Bila dah okey nanti, kalau Aira nak cari rumah
sewa, Aira carilah. Tapi kalau Aira dah selesa tinggal dengan
Ika, terpulang pada Aira.”
“Kak Ainon pun rasa lega sekarang sebab Ika dah ada
pembantu dan kawan. Kesian Ika tak cukup tangan nak layan
pelanggan dan terima tempahan,” tambah Puan Ainon.
Aira mendengar dengan penuh teliti.
“Kak Ainon ni tak boleh ada selalu kat sini. Kak
Ainon kena jaga kedai yang satu lagi. Kedai tu baru beroperasi
dan memerlukan perhatian yang lebih. Kat sini, Kak Ainon
boleh harapkan Ika, dia dah lama kerja kat kedai ni.” Puan
Ainon menarik nafas seketika sebelum menyambung kata.
“Kalau Aira ada apa-apa masalah, jangan segan
beritahu Kak Ainon dan Ika ya. Anggaplah kami berdua ni
macam saudara Aira.” Puan Ainon mengusap lembut bahu
Aira.
“Terima kasih sebab bagi Aira peluang untuk kerja
kat sini. Insya-Allah, Aira akan cuba yang terbaik.” Perasaan
Aira mula sebak.
Puan Ainon mengangguk perlahan. Bibirnya tetap
mengukir senyuman.
“Oh ya. Ini ada sedikit duit untuk Aira beli baju
nanti.” Puan Ainon menghulurkan duit RM200 kepada Aira.
“Kak Ainon, Aira belum pun start kerja, Kak Ainon
dah bagi duit.” Aira benar-benar terkejut.
Puan Ainon tergelak kecil.
“Ini bukan duit gaji. Anggap aje ini sebagai hadiah
dari Kak Ainon. Kak Ainon dah anggap Aira ni macam adik
Kak Ainon sendiri.” Puan Ainon meletakkan duit di tangan
Aira.
Aira mengetap bibir. Serta-merta matanya berkaca
dengan kebaikan yang diberikan oleh Puan Ainon. Terus
tubuh wanita itu dipeluk erat.
“Terima kasih sekali lagi Kak Ainon.” Aira menyapu
air matanya sambil diperhati oleh Zulaikha.
“Kedai ni beroperasi dari pukul 10 pagi sampai 6
petang.” Puan Ainon mula memberi penerangan.
Aira mengangguk perlahan.
“Ika, lepas tutup kedai, Ika tolong temankan Aira
pergi beli baju ya? Beli dulu mana yang patut. Kalau tak
cukup, cakap aje dengan Kak Ainon. Nanti Kak Ainon tambah
lagi.”
“Baik, Kak Ainon.” Zulaikha mengangguk kepala
sambil mengukir senyum.
“Hmm... akak kena keluar sekarang. Nanti kalau ada
apa-apa hal yang penting, Ika call aje akak.” Sekali lagi Puan
Ainon menitip pesanan.
“Baik Kak Ainon.”
“Dan Aira, nanti belajar-belajarlah dengan Ika ya cara
nak menggubah, nama-nama bunga dan cara menguruskan
kedai ni. Akak harapkan kamu berdua untuk jaga kedai akak
ni dengan baik.” Puan Ainon bersuara sambil mencapai beg
tangannya dan disangkut pada bahunya.
“Kak Ainon jangan risau, semuanya Ika akan
uruskan.” Zulaikha mengukir senyum.
“Akak pergi dulu.” Puan Ainon terus keluar dari
kedainya.

No comments:

Post a Comment