DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 22 July 2018

Chinta Airis - Bab 8

AIRIS menarik senyuman lebar. Dari jauh dia
melihat kelibat Hani yang khusyuk menyemak fail di mejanya.
Dia berhenti seketika di meja Hani.
“Assalamualaikum Hani. Good morning,” sapa Airis.
“Waalaikumussalam and good morning to you too,”
balas Hani. Dia segera berdiri. “Ceria betul Cik Airis pagi ni.
Suka saya tengok kalau Cik Airis senyum,” ujar Hani.
Airis tergelak cuma.
“Dah breakfast?”
“Dah.” Hani menganggukkan kepalanya.
“Good. Saya masuk dulu ya,” pamit Airis. Dia terus
masuk ke dalam pejabatnya. Beg disimpan ke dalam laci
sebelum dia melabuhkan punggung di kerusi.
Airis membelek seketika fail yang ada di hujung meja
kerjanya. Banyak pula yang perlu disemak hari ini.
Tok! Tok!
Bunyi ketukan di muka pintu menyebabkan kerja
Airis terhenti seketika.
“Masuk,” ujar Airis. Dia tersenyum apabila Hani
masuk dengan beberapa buah fail di tangan.
“Ada apa Hani?” tanya Airis. Matanya memandang
Hani yang sudah menghulurkan sekeping fail nipis kepadanya.
Disambut dan terus membaca isi di dalamnya.
“Encik Izad dah approve?” soal Airis lagi walaupun
dia sudah nampak tandatangan Encik Izad pada dokumen itu.
Bibirnya mula menarik senyum apabila Hani mengangguk.
“Alhamdulillah,” ucap Airis. “Okey, nanti awak buat
apa yang patut ya. Thanks, Hani.”
“Sama-sama. Ini pun usaha Cik Airis juga. Kami ni
tolong sikit-sikit aje,” ujar Hani. Dia gembira kerana usul
tentang projek di Seri Iskandar itu diterima oleh pihak atasan.
“Lunch ni saya belanja. Awak cakap dekat Kimi,
Nadia, Alan dan Stella. Nanti inform saya korang semua nak
makan kat mana.”
“Wah, betul ke ni Cik Airis?” Hani teruja.
Airis angguk.
“Betul. Itu tanda terima kasih sebab bertungkus
lumus tolong saya sediakan kertas kerja tu.”
“Okey. Nanti saya beritahu mereka. Saya keluar
dululah Cik Airis.” Hani bangun.
Airis angguk bila Hani sudah mahu keluar.
Apabila pintu kembali ditutup, Airis kembali
menyambung kerja yang tergendala. Beberapa minit
kemudian, bunyi interkom di atas mejanya.
“Yes Hani?”
“Cik Airis... sorry, lupa nak cakap, semalam ada
orang hantar hadiah untuk Cik Airis. Saya letak dalam laci
belakang meja Cik Airis tu.”
“Hadiah?” Airis kerut dahi, kerusi dipusingkan ke
belakang. Laci ditarik dan hadiah yang dimaksudkan oleh
Hani dibawa keluar. Dia membelek kotak yang berbalut
cantik itu. Tiada sebarang kad pada hadiah itu.
“Siapa yang bagi ni?” tanya Airis.
“Entahlah Cik Airis. Budak reception yang bagi kat
saya,” jelas Hani.
“Tak apalah Hani. Terima kasih ya,” ucap Airis.
“Sama-sama. Oh ya Cik Airis... kami dah sepakat
nak lunch di Restoran Seri Melayu kat depan pejabat kita ni.
Boleh ke?”
“Saya okey aje. Nanti waktu lunch, suruh semua
tunggu kat lobi ya?”
“Beres Cik Airis. Terima kasih,” ucap Hani.
Mata Airis kembali pada hadiah di tangan. Pembalut
hadiah dibuka dan matanya tertancap pada deretan coklat
kecil yang tertulis namanya, ‘Chinta Airis’. Sekeping kad
berwarna merah jambu yang terselit di antara coklat itu
ditariknya.

I want you, no one else but you.
~Reeza~

“Gila betullah dia ni. Asyik hantar hadiah aje.” Kotak
coklat diletakkan ke atas meja. Dia duduk sambil merenung
isinya. Makin lama dia merenung coklat itu, makin
membuatkan liurnya meleleh.
“Macam tahu-tahu aje yang aku suka coklat,” omel
Airis. Akhirnya kotak itu ditutup. Risau, lagi lama dipandang
lagi terliur dia dibuatnya.

DARI TADI Airis hanya tersenyum melihat rakan-rakan
sekerjanya yang rancak bersembang. Sesekali dia tertawa
kecil apabila Alan membuat jenaka.
“Cik Airis, kenapa senyap aje ni?” tegur Stella kerana
Airis senyap saja sejak tadi.
Airis panggung kepala.
“Mana ada. Saya bagi chance kat awak semua
berborak.”
“Terima kasih Cik Airis sebab sudi belanja kami.”
Kimi pula menyampuk.
“Sama-sama. Saya pun nak ucapkan terima kasih
pada kamu semua sebab dah banyak tolong saya. Alah, hal
kecil aje. Kalau kamu nak saya belanja makan, cakap aje.”
Airis senyum lebar.
“Wah, betul ke Cik Airis?” Mata Alan terbuka luas.
Dia sudah tersenyum panjang. Teruja.
“Isy... kau ni!” Stella menampar lengan Alan.
Alan cepat-cepat gosok lengannya. Perit.
“Sakitlah Stella!” marah Alan.
“Padan muka. Buat lagi perangai tak senonoh tu,”
cebik Stella.
“Mana ada. Dah Cik Airis offer, kan?” Bulat mata Alan
menjeling Stella.
“Cup, cup. Dahlah tu. Malulah. Dah, makan ni Alan.”
Airis meletakkan udang besar ke dalam pinggan Alan. Cuba
meredakan perbalahan manja pekerja-pekerjanya.
“Nasib baik Cik Airis ada.” Alan kembali menyambung
makan.
Airis tergeleng melihat kerenah mereka.
“Awak tak makan Hani?” tegur Airis apabila Hani
sekadar melihat mereka makan.
“Eh, nak makanlah ni,” ujar Hani. Dia cepat-cepat
mengangkat semula sudunya. Kemudian perbualan mereka
kembali berlarutan sehinggalah selesai makan dan kembali
semula ke pejabat.
Apabila Stella, Nadia, Alan dan Kimi sudah kembali
ke meja masing-masing, Airis menggamit supaya Hani
mengikut masuk ke biliknya.
“Ada apa Cik Airis?” tanya Hani.
“Nah, saya bagi awak.” Airis menghulurkan kotak
coklat yang dihadiahkan untuknya kepada Hani.
Dahi Hani berkerut, tetapi dia tetap menyambut
huluran itu.
“Eh, kenapa bagi saya?” Hani pandang Airis. “Ini kan
Cik Airis punya.”
“Ambillah. Saya bagi awak. Saya tengah diet sekarang
ni. Nak buang takut membazir pula. Awak abaikan nama saya
tu.” Airis tunjuk barisan coklat yang tertulis namanya sambil
tersenyum.
“Tak apa ke Cik Airis?” Serba salah pula Hani
dibuatnya. Pasti itu hadiah untuk Airis, tapi kenapa
senang-senang saja Airis berikan kepada orang lain?
“Jangan risau. Awak ambil aje.”
Akhirnya Hani mengalah. Rezeki jangan ditolak.
“Terima kasih Cik Airis.” Hani senyum.
“Sama-sama.”
“Kalau macam tu saya keluar dululah Cik Airis,”
pamit Hani.
Airis angguk dan Hani keluar dengan membawa
bungkusan coklat itu.
Airis melabuhkan diri di atas kerusi. Dia mengeluh.
Serabut dengan Reeza yang semakin hari semakin
mengejarnya; cuba memancing hatinya.

No comments:

Post a Comment