DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 22 July 2018

Mencintaimu Selamanya - Bab 3

AIRA menongkat dagu di meja kaunter bayaran
sambil melihat Zulaikha memeriksa stok bunga baharu yang
baru sampai. Hari ini merupakan hari kedua dia menjadi
pekerja di Ainon Florist.
Selama dua hari Aira bekerja, dia sudah belajar
beberapa jenis nama bunga-bungaan. Tak sangka susah juga
nak dapatkan stok bunga-bunga segar. Patutlah kos untuk
sejambak bunga segar begitu mahal. Sejambak bunga boleh
mencecah puluhan ringgit malah ratusan ringgit. Semua itu
bergantung kepada berapa kuntuman bunga yang diminta
oleh pelanggan. Dan bunga segar hanya kekal seminggu lebih
sahaja. Lepas tu layu dan dibuang. Memang membazir. Kalau
duit itu digunakan untuk beli makanan, kenyang untuk
beberapa hari malah sebulan mungkin. Tapi sekali fikir, kalau
tak ada benda macam ni, macam mana perniagaan kedai
bunga nak maju dan berkembang?
Bila ditanya kepada Zulaikha, kenapa pelanggan
sanggup berhabis duit hanya untuk beli bunga yang bertahan
hanya seminggu... Ini jawapan Zulaikha.
“Sentimental value. Mahal pun tak apa asalkan
orang yang menerima jambangan itu menerima dengan
hati senang. Mampu melihat si dia tersenyum, itu sudah
membahagiakan si pemberi!”
Aira diam sambil berfikir.
Ting!
“Selamat datang ke Ainon Florist. Apa yang boleh
saya bantu?” Aira menyambut kedatangan seorang lelaki yang
menuju ke arahnya.
“Cik, saya nak beli jambangan bunga untuk
dihadiahkan kepada kawan saya. Cik rasa bunga apa yang
sesuai?” Lelaki itu meminta pendapat.
Tercengang Aira dibuatnya.
“Err... encik tunggu sekejap.” Aira segera beredar.
Dia mendapatkan Zulaikha yang baru saja selesai mengira
stok bunga.
“Kak Ika, ada customer.” Aira terus memanggil
Zulaikha.
“Dah tu, layan ajelah.” Zulaikha masih ralit
membetulkan susun atur bunga yang baru diletak di dalam
bekas.
“Aira tak tahu nak bagi penerangan macam mana.
Kak Ika datanglah sini.” Aira sudah menggaru kepala
sambil menayang sengih pada pelanggan tadi yang sedang
memandang wajahnya.
“Okey, sekarang Aira ikut aje cara akak. Lepas ni
Aira kena belajar macam mana nak handle pelanggan. Sebab
setiap pelanggan yang datang mempunyai pelbagai karakter.
Dan cara gubahan bunga jugak ada pelbagai bentuk. Kena
pandai sesuaikan mengikut keadaan.”
Aira diam dan terpegun memerhati cara Zulaikha
melayan dan memberi penjelasan kepada pelanggan. Cukup
teliti dan jelas. Lelaki itu keluar selepas membuat tempahan.
“Nanti akak nak Aira gubah untuk pelanggan tadi.
Kejap lagi akak pilih bunga. Setengah jam nanti dia akan
datang untuk ambil.”
“Macam mana kalau tak cantik atau dia tak
berkenan?” Aira mula risau.
“Akak kan ada. Akak akan tolong. Biasalah Aira,
benda ni semua baru untuk Aira. Lama-lama nanti, Aira pun
mahir macam akak.” Zulaikha pamer senyum.
Ketika Zulaikha memilih bunga, Aira hanya
memerhati. Dia mula teringatkan ibu angkatnya di kampung.
“Macam manalah keadaan ibu sekarang? Rindunya
aku pada ibu.”
Baru pagi tadi dia menghubungi Halimah
berceritakan semua hal tentang keadaan dia di sini. Semalam
dia tak sempat bercakap banyak kerana Lajis ada di rumah.
Nanti jenuh pula ibu kena bersoal jawab.
“Amboi, jauhnya termenung! Dah sampai mana ni?”
Zulaikha menyergah sambil mengacah-acah bunga mawar ke
hidung mancung Aira.
“Sorry, termenung sekejap. Tak sengaja. Jangan
potong gaji tau!” Aira tergelak kecil.
Zulaikha turut gelak sama.
“Nak potong gaji apanya. Akak pun makan gaji jugak.
Lainlah kalau akak jadi bos kedai ni, harus akak potong gaji.”
Tangan Zulaikha lincah menggubah bunga.
“Eh, tadi akak suruh Aira yang gubah.”
“Tak apalah, Aira tengok aje. Lagipun akak free
sekarang ni.”

KETIKA INI hanya tinggal Aira seorang saja di kedai kerana
Zulaikha keluar. Katanya mahu ke bank untuk masukkan duit
kepada orang tuanya.
“Huh, boringnya!” Aira mengeluh sambil mencapai
majalah. Dibelek-beleknya tanpa membaca.
“Hello, anyone here?”
Mata Aira memandang ke arah jari yang sedang
mengetuk meja kaunter sebelum mendongak untuk melihat
gerangan pelanggan yang datang.
“Encik, bila encik masuk?” Mata Aira tepat
memandang ke wajah empunya suara.
“Hai, pelanggan masuk pun tak sedar. Ini kalau
perompak datang, mesti semua benda diangkutnya,
termasuklah dengan kau-kau sekali.” Serius saja bunyinya.
Aira tengadah sebaik telinganya diterjah dengan
ayat yang berbaur sindiran sinis. Tajam matanya memandang
wajah lelaki yang berada di hadapannya.
“Sekurang-kurangnya bagilah salam dulu. Bukan
main terjah aje. Nasib baik jantung saya ni masih berfungsi
dengan baik dan sihat. Kalau jantung saya tak sihat, jadi
arwah saya dah tau!” Aira menolak majalah ke tepi.
“Padanlah dengan muka kau!” Dengan selamba
Amar bersuara. Sikit pun tak peduli.
“Huh, dasar orang tak ada perasaan!” Aira terus
mengutuk dengan rasa geram.
Amar memandang wajah Aira. Tajam betul
renungannya membuatkan Aira benar-benar gelisah.
“Apa tujuan encik datang sini? Encik nak beli bunga
ke?”
Aira meneliti penampilan Amar. Nampak segak
dan kemas dengan mengenakan kemeja kuning cair dan
dipadankan dengan seluar hitam. Tali leher dilipat dan
diselitkan pada poket baju.
“Memang pada awalnya aku nak beli, tapi bila
terpandang muka kau, tak jadilah.” Amar bersuara sambil
membelek telefonnya.
“Kalau dah tak jadi nak beli, bolehlah encik keluar
sekarang. Dalam kedai ni hanya ada saya sorang. Kak Ika dah
keluar. Nanti tak pasal-pasal kita kena cekup dengan pencegah
maksiat. Tak naklah saya kahwin free dengan encik!”
Amar memandang wajah Aira.
“Kau rasa ada ke pencegah maksiat nak datang kat
kedai bunga untuk buat serbuan siang-siang hari macam ni?
Itulah kau, bodoh tak bertempat!” Amar menyindir sambil
tersenyum senget.
Aira menjeling. Dia tahulah yang pencegah maksiat
takkan nak datang ke sini. Lagipun, ini kedai orang berniaga
bukannya tempat maksiat. Dia cakap macam tu sebab
dia mahu Amar segera beredar. Tak selesa untuk terus
berdua-duaan dengan lelaki itu. Dahlah mulutnya macam
longkang! Sesuka hati saja nak kutuk orang. Teruk betullah
mamat ni!
Majalah yang dibaca tadi kembali dicapai.
“Kau tahu tak yang kau ni masih ada hutang dengan
aku.” Tiba-tiba Amar bersuara sambil memandang wajah Aira
yang sudah ternganga mulut.
“Hutang? Hutang apa pulak ni? Saya ni kenal encik
pun tidak, apa yang saya hutang?” Hati Aira mula hangat.
Memang dia benar-benar marah apabila dituduh demikian.
“Hutang untuk kos cermin mata aku yang kau
rosakkan dua hari lepas. Kau lupa?” Selamba Amar memberi
alasan.
“Eh, bukan ke kes hari tu dah settle? Encik tahu
kan yang saya tak sengaja terlanggar encik. Saya ulang sekali
lagi. Tak-se-nga-ja! Encik faham tak maksud perkataan tu?”
Aira menahan sabar. Wajah Amar dipandang dengan perasaan
berbahang. Tak sangka lelaki ini ungkit balik hal tempoh hari.
“Aku cuma cakap yang aku maafkan kau sebab kau
langgar aku. Bukannya sebab kau rosakkan cermin mata
aku. Kau faham tak maksud aku hari tu?” Amar merenung
wajah Aira yang sudah mencuka. Memang dia sengaja mahu
kenakan gadis itu.
“Saya tengok gaya encik ni macam orang kaya.
Jadi apalah sangat dengan sedikit kerosakan pada cermin
mata tu. Beli sajalah yang baru. Apa susah!” tempelak Aira
membuatkan Amar mendengus kasar.
“Kau tahu tak yang cermin mata aku tu limited
edition. Bukan murah dan bukan senang nak dapat. Kau
ingat benda tu boleh dapat kat pasar malam ke?” tembak
Amar geram.
Aira mencebik sambil mengangkat bahu. Dalam erti
kata lain, ada aku kisah!
“Memang dasar berlagak. Benda macam tu pun nak
berkira!” Aira merengus.
“Isy, kau ni! Boleh tahan melawan jugak, kan.” Amar
mengawal perasaan. Dia tak akan biarkan Aira menang.
“Dah tu, encik ingat saya ada duit nak bayar? Saya ni
baru datang dari kampung. Baru aje dua hari kerja kat sini.
Gaji pun belum dapat lagi. Macam mana saya nak bayar?”
bentak Aira menahan geram. Sakit hatinya melayan kerenah
mamat berlagak hebat ni. Rasa nak cekik-cekik saja batang
lehernya. Biar terkehel macam ayam kena sembelih. Baru
padan dengan muka!
Amar tersenyum sinis. Otaknya sudah mula ligat
memikirkan sesuatu.
“Apa kata kau tak payah bayar.” Amar merenung
wajah Aira sambil mengukir senyum manis.
“Hai, tiba-tiba baik hati pulak. Dah tersampuk jin
tanah ke?” Aira mula rasa pelik. Dia tergelak kecil sehingga
menampakkan lesung pipit pada kedua-dua belah pipinya.
“Ya, memang tak payah bayar, tapi kau kena terima
syarat aku!”
Gelak Aira terus terhenti tiba-tiba. Tajam matanya
memandang wajah Amar.
‘Makin lama aku pandang muka dia, makin nampak
handsome. Tak pasal-pasal aku boleh terpikat dengan dia atau
jatuh hati! Parah... parah...’
“Apa kata aku bagi tawaran yang paling istimewa
untuk kau.” Amar memandang wajah Aira dengan serius.
“Tawaran yang paling istimewa? Apa maksud encik?”
Hati Aira mula tidak keruan. Takut pun ada mendengar
tawaran itu.
“Kau kena jadi isteri aku minggu depan! Secara
automatiknya, hutang kau kira settle. Amacam, setuju?”
Amar memberikan satu syarat merangkap tawaran
tak masuk akal yang membuatkan rahang Aira terus jatuh.
Nasib baik dia masih lagi waras. Nanti kalau tiba-tiba dia
pengsan, siapa yang nak angkat dia bawa ke hospital? Tak
sanggup dia nak biarkan lelaki itu mengangkatnya.
“Sebenarnya encik ni kerja apa? Jadi pelawak ya?”
Aira memandang wajah Amar, cuba menahan tawa.
Amar menelan liur. Geram betul dituduh begitu.
Muka macam ni punya kacak, dia samakan dengan muka
pelawak? Ingat dia ni badut sarkas ke? Telinganya sudah mula
panas. Bukan hanya telinga saja yang panas, tapi hatinya
lebih-lebih lagi. Rasa yang cukup membahang.
“Cuba kau tengok dan tilik muka aku ni betul-betul.
Kau rasa muka aku ni macam muka pelawak atau kau ingat
aku sedang buat lawak?” Rahang Amar bergerak-gerak.
Mukanya sudah merah menahan marah.
Aira hanya mengangkat bahu. Pura-pura tak ambil
kisah.
Tangan Amar terus menepuk kuat di atas meja
membuatkan Aira tersentak dek terkejut.
“Hei, kau dengar sini. Aku memang serius nak ajak
kau kahwin dengan aku. Jadi isteri aku yang sah minggu
depan. Kau faham tak???” Amar terus membentak dengan
suara yang kuat.
Kus semangat! Aira mengurut dada perlahan.
Dadanya mula rasa semput. Nafasnya rasa tersekat.
“Macam ni, senang citer encik cari ajelah orang lain.
Saya tak berminat nak jadi isteri segera encik. Saya rasa saya
memang tak sesuai untuk bergandingan dengan encik yang
segak bergaya ni.”
Aira cuba menahan sabar membuatkan muka Amar
makin merah. Makin nampak tegang.
“Degil betul kau ni ya! Aku bagi tawaran yang cukup
lumayan pun kau tolak. Kau tahu tak, kalau aku bagi tawaran
ni kat orang lain, berduyun-duyun perempuan yang akan
datang tau!” Amar mempamer wajah penuh riak.
“Habis tu, bagilah tawaran yang cukup lumayan
ni kat mereka. Kenapa nak bagi kat saya?” Aira hadiahkan
senyuman sinis. Dia tak hairan sangat dengan tawaran itu.
“Sebab... hanya kau aje yang layak.” Suara Amar
bertukar perlahan. Wajahnya ditundukkan ke bawah. Dia
agak segan nak menghadap muka gadis itu ketika ini.
Aira tergelak lagi. Entah kenapa dia rasa lucu
mendengar kata-kata itu. Tadi bukan main berlagak, sekarang
ni dah macam singa patah taring. Aira kembali membelek
majalah sambil tersenyum. Lucu pula mengenangkan
permintaan dan tawaran Amar yang tak masuk akal itu.
“Aku suka tengok senyuman kau. Tambah-tambah
lagi lesung pipit kat pipi kau. Cantik... sangat! Tak pernah
aku tengok senyuman yang cantik dan menarik macam kau
sebelum ni.” Tiba-tiba ayat itu terkeluar dari mulut Amar
tanpa sengaja.
Buat sementara waktu Amar dan Aira sama-sama
tergamam saat mata mereka berpandangan.
“Ehem, sorry!” Amar kembali mengawal suara.
Secara tak langsung menyembunyikan rasa segan atas
pujiannya tadi. Memang dia suka tengok senyuman Aira.
Senyuman itu mampu membuatkan hatinya tenang.
“Macam inilah, kalau encik tak ada apa-apa urusan
lagi, eloklah encik keluar.” Entah kenapa berdebar-debar pula
hati Aira mendengar pujian daripada Amar.
“Eh, kau halau aku ke? Nanti aku report kat Puan
Ainon. Biar dia pecat kau!” Amar mula mengugut. Bukan
serius pun. Entah kenapa dia rasa berat hati mahu melangkah
keluar saat ini. Masih lagi tidak puas berbicara dan menatap
wajah gadis di hadapannya ini.
“Alah, saya tak hairan pun. Bumi ni luas dan rezeki
ada di mana-mana. Yang penting kita ikhlaskan hati kita.
Insya-Allah, Allah akan tolong.” Aira cuba bersikap tenang
dan positif walaupun pada hakikatnya dia berdebar-debar
mendengar ugutan itu. Kalau dia betul-betul kena buang
kerja, di manakah dia mahu tinggal dan bekerja nanti?
“Okey, aku akan beritahu Puan Ainon pasal kau.
Sebelum tu, aku nak tahu nama kau. Senang aku nak buat
report nanti!” Amar merenung wajah Aira yang sudah
mencuka. Namun dalam diam, dia benar-benar ingin
mengetahui nama gadis itu. Dia ingat-ingat lupa nama yang
disebut oleh Zulaikha tempoh hari.
“Aira. Nama saya Aira.” Aira bersikap acuh tak acuh.
“Nama aku Amar Safuan. Panggil aku Amar.” Amar
memperkenalkan dirinya.
Kening Aira terangkat.
‘Amboi, cakap ajelah kau nak tahu nama aku, nak
berkenalan dengan aku. Ini guna taktik kotor. Nak buat
report pasal aku konon. Lawak betullah dia ni!’
Aira menahan senyum membuatkan perasaan
Amar benar-benar resah. Dalam masa yang sama, dia cukup
risau kalau dia terpaksa menahan malu sekiranya majlis
perkahwinannya terpaksa dibatalkan. Di manakah dia mahu
meletakkan mukanya?
“Look Aira. Aku betul-betul serius ni nak ajak kau
kahwin dengan aku minggu depan. Anggap aje aku melamar
kau untuk jadi isteri aku. Aku harap kau tak akan menolak.”
Amar mengulang kata dengan muka serius. Kerisauan
semakin bertambah sekiranya Aira menolak permintaannya.
Di manakah dia mahu mencari pengganti Tasya dalam masa
yang terdekat ini? Dan entah kenapa hatinya tertarik untuk
menjadikan gadis ini sebagai pengganti bekas tunangnya.
“Atas sebab apa encik nak lamar saya? Kita baru aje
kenal beberapa minit, encik dah lamar saya untuk dijadikan
isteri. Orang yang bercinta bertahun-tahun pun belum tentu
dilamar menjadi isteri.” Aira mula resah dan tak sedap hati.
Pasti ada sesuatu yang tak kena dengan lelaki ini atau ada
sesuatu yang terselindung di sebaliknya.
“Itu orang lain, ini aku. Kau dengar sini ya. Kalau
aku tak serius, buat apa aku nak ajak kau kahwin. Baik aku
buat kau ni jadi perempuan simpanan aku aje.” Amar tetap
tak mahu mengaku kalah. Bimbang egonya jatuh di hadapan
gadis itu.
‘Amboi... ada hati nak jadikan aku perempuan
simpanan konon!’
“Apa kata encik ajak atau pelawa atau lamar aje Kak
Ika. Lagipun encik lebih lama kenal dia daripada saya. Kalau
encik lamar Kak Ika, saya pasti dia tak akan menolak lelaki
yang kacak bergaya macam encik ini.” Aira memberi saranan.
Amar mendengus kasar. Bibirnya diketap rapat.
“Kak Ika tu lebih tua dari aku. Tak sesuai untuk aku
jadikan isteri. Dan kau tahu tak yang Kak Ika tu berstatus
janda?”
Aira tersentak.
“Mana encik tahu?” Wajah lelaki itu ditenung.
“Aku tahulah.” Amar tayang senyum berlagak.
Aira mencebik bibir. Kalau dah terdesak sangat nak
kahwin, janganlah terlalu memilih.
“Kalau boleh aku tak nak cari isteri yang berstatus
janda sebab aku ni masih lagi bujang teruna. Oleh sebab
aku ni masih lagi bujang teruna, jadi aku nak cari isteri
yang berstatus anak dara.” Amar mengenyit mata nakal
membuatkan Aira menjeling tajam.
“Mana encik tahu yang saya ni berstatus anak dara?
Entah-entah saya ni isteri orang ke, janda ke atau gadis yang
dah err... dot dot tu ke.” Aira memberanikan diri menatap
wajah Amar.
Bibir Amar mengorak senyum.
“Aku tahulah yang kau ni masih lagi anak dara suci.
Tak payah nak kelentong aku dan tak payah nak cakap banyak.
Terima aje tawaran aku. Tawaran aku ni cukup lumayan dan
terhad. Kau takkan dapat kat mana-mana.” Amar mengangkat
kening beberapa kali. Siap pakej dengan senyuman manis
seperti menelan gula berkilo-kilo.
“Maaf, saya memang betul-betul tak berminat. Berapa
kali saya nak ulang benda yang sama?” Aira mendengus.
“Kau sebenarnya tak faham masalah yang aku hadapi
sekarang sebab kau bukan ada kat tempat aku.”
“Encik nak saya duduk tempat encik tapi encik
tak nak duduk tempat saya. Macam mana encik nak faham
keadaan saya? Saya sarankan encik tawarkan aje kat orang
lain, pasti ramai yang nak. Atau encik iklankan kat TV atau
surat khabar. Mesti ramai yang datang offer diri. Encik pilih
aje siapa yang encik nak. Kan senang!” Aira memberi komen.
“Kalau aku nak, aku dah buat. Kau faham tak?
Kenapalah susah sangat kau nak faham masalah aku. Apasal
kau ni bebal sangat!” Nada suara Amar sudah begitu tinggi.
Sekali lagi bahu Aira terangkat dek terkejut dengan
herdikan itu.
‘Apa kena dengan lelaki ni asyik nak herdik dan
bentak orang aje kerjanya! Lemah jantung aku. Nanti tak
pasal-pasal kena pergi hospital buat rawatan. Silap hari bulan
aku terkena heart attack! Aku cukup yakin yang lelaki ni
memang sah otak dia dah tak betul. Kena cepat-cepat bawa ke
hospital untuk repair!’ Aira merungut sambil menarik muka
masam.
“Kalau macam ni caranya encik nak saya jadi isteri
encik, memang saya tolak. Tak payah nak fikir panjang.
Tambahan pulak saya memang tak suka dipaksa-paksa.” Aira
mengeluh kesal.
“Hesy, kau ni!” Amar mendecit geram. Rahangnya
bergerak-gerak.
“Encik, kalau tengok dari segi luaran, encik ni tak
ada nampak cacat celanya, sempurna sangat. Tapi satu aje
yang kurang pada encik.”
Amar terus terpaku menatap wajahnya. Tak sabar
nak tahu apakah kekurangannya itu.
“Dan lagi satu, bukan saya yang terhegeh-hegeh
nakkan encik,” sambung Aira lagi.
Amar mengepal kemas tangannya. Rasa betul-betul
tercabar dengan kata-kata itu.
“Okey, cuba kau beritahu aku, apa kurangnya aku!”
Dengan perasaan angkuh, wajah Aira ditatapnya. Tak sabar
nak tahu jawapan yang akan diberikan oleh gadis itu.
“Encik tahu tak yang encik ni kurang budi bahasa
dan kurang beradab. Bukan begini caranya kita nakkan
pertolongan daripada seseorang. Tak salah kalau kita seorang
yang hebat merendahkan diri pada orang lain kerana setiap
manusia tu tak sempurna encik,” beritahu Aira.
“Macam encik. Kalau encik betul-betul hebat, tak
adanya encik nak paksa saya terima encik. Apa yang encik
pandang pada saya sampaikan encik nak saya jadi isteri segera
encik? Cuba beritahu saya,” sambung Aira lagi.
Sehingga saat ini Aira bingung dan kehairanan.
Bagaimanakah dia boleh menjadi pilihan lelaki ini. Kenal
pun tidak, cinta pun tidak. Tiba-tiba nak paksa dia jadi isteri.
Tak betul agaknya lelaki ini. Kalau sah memang tak betul,
hailah... sayangnya; rupa ada tapi akal pula tak ada.
Amar diam.
“Encik tak ada jawapan, kan? Jadi, ada baiknya encik
lupakan aje hasrat nak jadikan saya isteri encik. Lebih baik
encik cari sesiapa yang sudi. Lagipun, saya belum terfikir
untuk berkahwin dalam masa terdekat ni. Banyak benda yang
nak saya buat dan fikirkan.” Aira memandang tenang wajah
Amar yang sepertinya sedang memikirkan sesuatu.
“Naluri aku mengatakan hanya kau sahaja yang
layak jadi isteri aku. Sejak pertama kali aku jumpa kau dua
hari yang lepas.”
Ayat yang baru keluar dari mulut Amar membuatkan
Aira tergelak kecil. Lucu pula mendengar alasan yang tidak
diterima akal.
“Oh, jadi encik pilih saya sebab cinta pandang
pertama ya?” Aira tergelak lagi.
“Whatever!” Amar menjeling tajam. Geram pula
mendengar sindiran Aira. Sedangkan hakikatnya dia akui
perasaan itu dan dia cukup senang mendengar gelak tawa
gadis itu.
Aira kembali ukir senyum sambil berpura-pura sibuk
membelek majalah. Entah kali berapa majalah itu dibelek
tanpa dibaca.
“Jadi, kau tolak lamaran aku ni?” Amar terus-terusan
merenung wajah Aira. Terserlah lesung pipit pada wajah
gadis itu ketika ini. Manis sekali sehingga membuatkan Amar
terleka seketika.
“Ya, saya minta maaf. Dah banyak kali saya nyatakan
yang saya memang tak layak untuk hidup bersama encik.
Encik carilah orang yang setaraf dengan encik. Kalau saya
terima, mungkin saya akan menjadi bahan cemuhan keluarga
dan jugak kawan-kawan encik nanti. Saya mungkin akan
memalukan encik di hadapan saudara-mara encik.” Aira
memberi alasan yang boleh diterima akal bagi mengelak
daripada terus didesak secara berterusan.
“Kenapa kau akan malukan aku bila berdepan
dengan saudara-mara aku?” Amar memang rasa tak puas hati.
Rasa tercabar apabila kehendak dan permintaannya ditolak
mentah-mentah oleh gadis itu.
“Encik tahu tak apa tujuan saya datang sini?”
Amar mengangkat bahu.
“Saya datang sini sebab saya nak cari keluarga saya.
Selama 15 tahun saya hidup tanpa ibu bapa kandung. Entah
mereka hidup ataupun dah mati sekarang ni.” Aira mula
sebak.
“Sorry, aku tak tahu yang kau ni...” Amar pun tak
tahu nak cakap apa. Timbul rasa bersalah terhadap gadis yang
melanggarnya tempoh hari.
“Macam inilah, encik balik rumah cuba tenangkan
fikiran. Buat solat istikharah atau solat hajat ke, cuba minta
petunjuk daripada Allah sebab Dia lebih mengetahui. Jangan
kerana terlalu terdesak, encik buat keputusan yang salah.”
Aira cuba memberi nasihat.
“Tak. Aku tak akan pergi selagi tak dapat jawapan ya
daripada kau! Kalau sanggup tunggu kat sini sampai besok
pun aku sanggup tunggu, asalkan kau terima lamaran aku
untuk jadi isteri aku.” Amar tetap bertegas.
Aira mendengus kasar. Sakit hatinya dengan
kedegilan lelaki itu.
“Apasal encik ni degil sangat?” Aira mula melenting.
“Aku tak peduli. Kau nak cakap aku degil ke, aku
bebal ke... aku tak kisah.”
Aira mula bingung.
“Encik ni dah gila agaknya. Mana boleh main
paksa-paksa. Ingat saya ni anak patung? Tak ada perasaan?”
Aira mula membentak sambil beredar dari kaunter. Dia mula
bosan melayan dengan kerenah Amar. Kelompok bunga segar
dihampiri. Diambil beberapa kuntum bunga, sekadar untuk
berlatih menggubah.
Amar sedari tadi tak berkalih memandang ke arah
Aira membuatkan Aira benar-benar tak selesa.
Ting!
Aira mengeluh lega apabila Zulaikha muncul.

No comments:

Post a Comment