DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 22 July 2018

Mencintaimu Selamanya - Prolog







AIRA meletakkan beg pakaian dan beg sandangnya
di ruang tamu. Nasibnya baik hari ini kerana ayahnya telah
keluar pergi melepak di warung. Sebelum keluar tadi, sempat
juga ayah dia menegur ibunya yang sedang menyapu di ruang
tamu.
“Limah, kau tak berniaga ke hari ni?” soal Lajis
kehairanan kerana isterinya tidak keluar berniaga nasi lemak
seperti hari-hari biasa.
“Limah rasa macam tak berapa nak sihat sikit hari
ni. Ingat nak berehat aje kat rumah. Tengah hari sikit, Limah
nak siapkan tempahan baju.” Halimah memberi alasan.
Sedikit pun wajah Lajis tidak dipandangnya.
“Hmm... aku nak keluar ni. Malam karang baru
aku balik,” ujar Lajis sambil mencapai kunci motor yang
tersangkut pada dinding dan kembali menoleh ke arah
Halimah.
Kebetulan ketika itu Aira baru saja keluar dari
bilik untuk ke dapur. Dia buat-buat tidak nampak dengan
renungan ayahnya itu. Hatinya berdebar-debar kerana takut
akan renungan mata itu. Dalam diam dia amat bersyukur
kerana terselamat daripada menjadi mangsa rogol lelaki itu
minggu lepas. Nasib baik Halimah terjaga dari tidur semasa
dia menjerit meminta pertolongan.
Itu adalah sebab utama mengapa Halimah
menyarankan Aira agar keluar dari rumah ini. Semuanya
demi menjaga maruah dan keselamatan diri Aira. Selain itu,
keinginannya untuk mencari dan berjumpa dengan keluarga
kandungnya.
“Ibu.” Aira duduk bertimpuh di depan ibunya.
“Aira dah siap ya?” Halimah pamer riak tenang
walaupun pada hakikatnya hati dia sudah menangis
tersedu-sedu. Dia perlu kuatkan hati agar Aira pergi tanpa
rasa bersalah.
“Ya ibu. Tak banyak barang pun yang Aira bawa.
Hanya beberapa helai pakaian dan sijil-sijil untuk Aira minta
kerja nanti. Mana tahu kalau ada peluang pekerjaan kat Kuala
Lumpur tu nanti sambil-sambil Aira cuba cari keluarga
kandung Aira.”
Halimah mengukir senyum. Wajah anak angkatnya
dipandang dengan penuh kasih.
“Insya-Allah. Ibu doakan semoga urusan Aira di
sana nanti berjalan lancar dan Aira dapat jumpa ibu bapa
kandung Aira.” Bibir Halimah tetap mengukir senyum sambil
memandang wajah Aira.
“Ibu, ibu yakin ke yang keluarga Aira ada kat Kuala
Lumpur?” Aira membalas renungan Halimah.
“Kemungkinan besar mereka masih ada di sana, tapi
ibu tak pasti alamat mereka sekarang sebab ibu lupa.”
Aira mengeluh perlahan.
“Aira, ibu minta maaf. Kalau ibu fikir panjang masa
tu, Aira tak alami semua ni. Aira takkan berpisah dengan
keluarga kandung Aira dan Aira pasti sedang bahagia bersama
mereka sekarang.” Halimah mengetap bibir menahan rasa
sebak yang mula bertandang di dada.
“Sudahlah ibu. Aira tak salahkan ibu. Mungkin
semuanya dah tersurat sebagai takdir. Pasti ada hikmahnya,”
pujuk Aira agar perasaan bersalah Halimah itu hilang.
“Tapi, ibu tetap akan rasa bersalah selagi Aira
tak jumpa mereka. Semua yang berlaku pada Aira adalah
disebabkan kesilapan dan sikap tamak suami ibu. Ibu pun
bodoh, ikut aje kehendak dia.” Halimah mengesat hidung
yang mula berair.
“Apa pun yang berlaku pada Aira dari dulu sampai
sekarang, Aira tetap sayangkan ibu. Ibu adalah seorang
wanita yang terbaik pernah Aira kenal.” Aira memeluk tubuh
Halimah.
“Terima kasih, Aira. Ibu pun sayangkan Aira.”
Halimah mengeratkan pelukan mereka.
“Ibu, macam mana kalau orang tua Aira dah tak ada
atau mereka tak tinggal kat Kuala Lumpur lagi? Kat mana
Aira nak cari mereka?” Aira mula memikirkan kemungkinan
lain walaupun pada asalnya dia memang berharap sangat
dapat berjumpa keluarga kandungnya.
“Banyak-banyakkan berdoa. Percayalah, Allah
sentiasa ada untuk membantu hamba-Nya. Ingat, kat sana
nanti jangan tinggal solat, jangan buat benda yang tak elok.”
Halimah mengusap lembut bahu Aira.
“Ibu jangan bimbang. Insya-Allah, Aira akan sentiasa
ingat pesan ibu dan Aira jugak nak ibu tahu yang Aira akan
sentiasa ingatkan ibu. Tapi...”
“Tapi apa Aira?” soal Halimah gusar.
“Macam mana dengan ibu? Aira risau nanti ibu
tinggal sorang-sorang kat rumah. Ayah kan selalu keluar.”
Aira memandang wajah Halimah. Sebenarnya dia
lebih risaukan keselamatan ibunya berbanding ayahnya.
Lajis selalu memukul Halimah jika semua kehendaknya tidak
ditunaikan.
“Aira tak payah risau pasal ibu. Sebaliknya ibu yang
risaukan Aira kalau Aira terus berada di sini. Aira fahamkan
maksud ibu?”
Aira mengangguk kepala.
“Sebab tu ibu nak Aira keluar.” Halimah menyambung
lagi.
Aira terdiam.
“Kejap ya, Aira.” Halimah meninggalkan Aira
seketika. Dia menuju ke biliknya.
“Aira, ini ada sedikit duit buat belanja.” Halimah
mencapai tangan Aira dan meletakkan sekeping sampul surat
di tangan anak gadisnya.
“Ibu, tak payahlah ibu. Nanti ibu boleh guna duit ni
untuk perbelanjaan ibu.” Aira menolak pemberian itu.
“Duit ni memang ibu simpan untuk kegunaan Aira.
Mungkin tak banyak, tapi ibu harap duit ni dapat membantu
Aira kat sana nanti sebelum Aira dapat kerja.” Halimah tetap
meletakkan duit itu di tangan Aira.
“Tapi ibu...”
“Ambil. Ibu akan kecik hati kalau Aira menolak. Aira
jangan bimbang, ibu masih ada simpanan untuk kegunaan
ibu.” Halimah bertegas meletakkan sampul di tangan Aira.
“Terima kasih, ibu.” Aira akur dan menerima wang
itu. Sampul surat itu dimasukkan ke dalam beg sandangnya.
Sebenarnya dia segan mahu menerima pemberian itu
mengenangkan kesusahan yang dihadapi oleh Halimah
walaupun hakikatnya duit simpanannya hanya cukup-cukup
makan untuk beberapa hari sahaja.
“Ibu minta maaf ya sebab ibu tak dapat hantar Aira
hingga ke pekan sana.” Halimah melahirkan rasa terkilan.
“Tak apalah ibu, Aira faham. Aira boleh jalan kaki
hingga ke simpang depan tu. Aira boleh naik bas atau teksi
untuk ke pekan.”
Aira mengukir senyum, cuba melenyapkan keresahan
wanita tua itu.
“Aira pergi dulu ya ibu.” Aira mencium tangan
Halimah.
“Aira...” panggil Halimah.
“Ya, ibu.” Wajah Halimah ditenung Aira lama.
Halimah mengukir senyum seketika.
“Ibu nak tatap wajah anak ibu puas-puas. Mana tahu
ini adalah pertemuan terakhir kita.” Halimah kembali rasa
sebak.
Pipi Aira dipegang lembut. Halimah menatap wajah
anak gadisnya dengan penuh rasa kasih dan sayang. Matanya
sekali lagi berkaca. Entah kenapa begitu sukar untuk dia
melepaskan Aira pergi daripada hidupnya. Kedua-dua pipi
anak itu dikucup lembut dan akhirnya kucupan itu hinggap
di dahi Aira. Lama.

No comments:

Post a Comment