“AIRIS, tunggu!!!” laung Dani dari belakang.
Dia tercungap-cungap berlari mengejar Airis yang sudah jauh
ke depan.
Airis tidak hiraukan panggilan Dani. Habis lencun
wajahnya dengan air mata. Kasut di tangannya dipegang erat.
Kaki sudah berdenyut sakit. Tapi sakit di kaki tidak sama
dengan sakit di hatinya. Akhirnya lariannya berakhir di taman
permainan; antara tempat lepak yang paling disukainya dan
juga Dani.
Airis duduk di atas buaian. Lampu yang terpasang
menerangi kawasan itu. Buaian itu ditolak perlahan-lahan
dengan kakinya. Makin lama semakin tinggi dan dia semakin
terbuai laju. Rambutnya juga terbuai sama, mengikut alunan
angin. Hatinya sedikit terpujuk apabila angin malam menyapa
wajah.
Dani yang masih tercungap-cungap mengambil
tempat di buaian sebelah. Dia hanya diam dan melihat Airis
yang sudah terbuai tinggi. Perlahan-lahan dia menujah tanah
dan buaiannya juga bergerak laju.
“Jom, kita lawan siapa lompat lebih jauh.” Cabar
Dani.
Airis memandang Dani yang sedang berayun laju di
sebelahnya.
“Okey, jom!” sahut Airis. Air mata segera dilap
dengan belakang tangannya.
Dani tersenyum dan dia semakin menujah tanah agar
buaiannya naik lebih tinggi dan laju. Airis juga mengayun
laju.
“Okey, sedia?” Dani memandang Airis yang sedang
terbuai laju itu.
“Sedia!” ujar Airis kuat.
“Okey, satu, dua, tigaaa!”
Serentak dengan itu pegangan di tali buaian
dilepaskan dan tubuh Airis dan Dani sama-sama melayang
jauh. Masing-masing cuba melonjak diri ke depan. Mahu
melihat siapa yang lebih jauh.
Pap! Cantik sekali pendaratan mereka.
Masing-masing sudah melihat siapa yang paling jauh ke
depan.
“Yeay! Aku menang!” Airis melonjak kegembiraan
apabila lompatannya tadi berjaya mengalahkan Dani.
Dani tersengih. Senang hati melihat Airis ketawa
besar.
“Congrats, sweetie!” ucap Dani.
Airis yang sedang bersorak sakan pantas menoleh.
“Kau jangan nak poyo sangat. Kau sengaja bagi aku
menang, kan?” Jari telunjuk Airis lurus ke wajah Dani.
“Eh, mana ada. Memang kau yang menang tadi,
kan?” ujar Dani. Jari telunjuk Airis pantas ditepis dan dia
berjalan semula ke arah buaian dan duduk semula. Airis
mengikut dari belakang dan duduk kembali.
“Aku tahulah. Kau sengaja bagi aku menang.
Bukan aku tak tahu kau tu, selalu menang dalam permainan
budak-budak ni,” cebik Airis. Dia mengerakkan buaian
perlahan-lahan.
“Eleh, cakap mainan budak-budak. Bukan ke kau
dulu yang ajak aku main benda ni. Tapi memang betullah, aku
memang kasi chance kau menang pun tadi.” Dani tersengih.
Airis mencebik.
“Tahu. Kau sengaja bagi chance kat aku tadi.”
Pandangan Airis mula jatuh ke arah Dani.
“Tahu tak apa.” Dani tergelak lagi.
Airis yang pada mulanya mahu memasamkan muka
turut tergelak sama. Tidak tahan mendengar tawa Dani.
“Kau okey ke?” tanya Dani apabila melihat mood
Airis sudah kembali pulih.
“Tak payah cakap benda itulah. Buat spoil mood
aku aje,” ujar Airis. Matanya dibulatkan dan dia memandang
tajam ke arah Dani.
“Yalah, yalah. Nasib baik muka lawa. Kalau tak, dah
termuntah aku tadi,” kutuk Dani.
Airis merengus geram. Laju tangannya menampar
kuat lengan Dani. Menyeringai Dani menahan sakit.
“Muka aku memang lawa pun. Inikan ikut gen
mummy aku. Kalau mummy aku pun dah lawa, anaknya pun
mestilah lawa, kan?” ujar Airis sambil menaikkan keningnya.
Namun begitu, tawa di bibirnya perlahan-lahan menghilang.
“Uwek! Nak muntah aku dengar.” Dani tidak perasan
perubahan wajah Airis.
Airis tersenyum hambar. Perlahan-lahan dia bangun
dan duduk di atas rumput. Dani yang baru sedar Airis yang
tiada di sebelahnya pantas mencari. Apabila ternampak Airis
sudah duduk sambil menangkupkan kepalanya di lutut, dia
segera menghampiri.
“Hei...” Dani mencuit lengan Airis.
“Aku rindu sangat dengan mummy aku. Rindu
sangat-sangat.” Suara Airis menggumam perlahan.
Perlahan-lahan dia mengangkat wajahnya memandang Dani.
Air matanya mengalir. Dadanya ditekan kuat. Sakit menahan
rindu bertahun-tahun.
“Airis...” Dani memanggil Airis lembut.
“10 tahun aku tak jumpa dia, Dani. 10 tahun! Aku
tak tahu dia kat mana. Hidup atau ma...” Bicara Airis terhenti.
Tidak sanggup dia mahu menyebut perkataan seterusnya.
“Kadang-kadang aku macam terlupa wajah dia macam mana.
Kenapa dia sanggup tinggalkan aku kat sini? Dia dah tak
sayangkan aku lagi ke?” lirih suara Airis bertanya.
“Airis, dahlah tu.” Dani cuba memujuk. Emosi
Airis nampaknya semakin tidak stabil. Tadi dia sudah cuba
untuk mengelakkan Airis daripada terus berfikir dan mahu
menenangkan hati Airis.
“Biar aku cakap hari ni. Aku nak luahkan apa yang
aku pendam kat dalam ni selama ni.” Airis memandang Dani
dengan wajah yang sudah lencun dengan air mata. Wajahnya
yang putih sudah bertukar merah.
Dani mengangguk. Biarlah Airis lepaskan apa yang
terbuku dalam hatinya selama ini.
“Aku rindukan mummy, rindukan Abang Erry.
Kenapa mummy aku tak bawa aku sama? Kenapa dia
tinggalkan aku kat sini? Mereka dah tak sayangkan aku ke?”
Semakin kuat Airis menangis.
Dani menarik Airis ke dalam pelukannya. Hatinya
turut berlagu pilu.
“Aku tak suka bila perempuan tu ada. Dia tak layak
untuk gantikan tempat mummy aku. Kenapa papa mesti
kahwin juga dengan dia? Dari dulu lagi aku memang tak suka
bila papa ambil keputusan nak kahwin lain. Aku tak boleh
terima. Sampai bila-bila pun aku takkan terima dia dalam
hidup aku. Never!” marah Airis.
Dani menggosok perlahan lengan Airis,
menenangkan sahabatnya itu.
“Syhh... jangan sedih-sedih. Aku ada. Aku akan selalu
ada untuk kau.” Dani berbisik lembut. Tangannya mengusap
lembut bahu Airis.
Airis mendongakkan kepala.
“Promise?” Airis menunjukkan jari kelengkengnya.
Dani tersenyum dan membalas. Jari kelengkeng
bertaut, tapak tangan bersentuh dan ibu jari melekap. Itulah
tanda janji buat mereka. Promise, copy dan stamp!
“Yes. It's a promise, sayang. Kan kau girlfriend aku,”
ujar Dani sambil tersenyum. Air mata yang mengalir di pipi
Airis dikesat lembut dengan jarinya.
Airis tersenyum kecil. Bahagia punya sahabat yang
cukup memahami dirinya.
“Thanks Dani. Kau selalu ada untuk aku.” Airis
tersenyum kecil.
Dani angguk. Kepala Airis diusap perlahan. Airis
memejamkan mata. Senang dengan perlakuan lembut itu.
“Jom, balik. Aku dah lapar ni. Umi masak spesial
untuk kita malam ni.” Dani bangun. Dia menghulurkan
tangannya kepada Airis.
Teragak-agak Airis mahu menyambutnya tetapi
apabila Dani masih lagi memandangnya dengan penuh
harapan, terpaksalah juga dia menyambut.
“Tapi...” Baru saja mereka mahu melangkah, Airis
tiba-tiba berhenti.
Dani menoleh semula ke arah Airis. Tergerak-gerak
mulut Airis mahu bercakap tetapi tiada satu pun perkataan
terkeluar.
“Aku tahu apa yang kau nak cakap. Jangan risau. Kau
buat tak tahu aje. Jangan sebab mama kau, sampaikan umi
dengan ayah berkecil hati. Buat macam biasa. Kau kan terror
buat muka stone,” ujar Dani.
Airis mengeluh berat. Akhirnya dia mengangguk
juga melihatkan kesungguhan Dani. Mereka berdua terus
bergerak untuk pulang.
Setelah Airis dan Dani meninggalkan kawasan itu,
barulah Khalil keluar dari balik sebatang pokok. Dari tadi
lagi dia mendengar perbualan antara Airis dengan Dani.
Ternyata anaknya itu masih lagi mengingati bekas isterinya.
Dia ingatkan kebencian Airis terhadap Marina sudah
berkurangan, tapi telahannya selama ini silap. Airis masih
lagi menyalahkan Marina.
Khalil tahu, perkahwinan antara dia dengan Marina
selama ini langsung tidak dipersetujui Airis. Bagi Airis,
Marinalah punca dia dan Melissa bercerai. Tapi sungguh,
bukan Marina puncanya. Dia tidak sanggup untuk melukakan
hati anaknya dengan memberitahu perkara sebenar. Khalil
mengeluh perlahan.
TERAGAK-AGAK AIRIS mahu masuk ke dalam rumah itu.
Berat kakinya melangkah. Tanpa membuang masa, Dani
cepat-cepat menarik lengan Airis. Airis hanya mengikut
langkah Dani yang sudah bergerak.
“Dani... Airis?” tegur Hashimah apabila melihat Dani
dan Airis masuk.
Dani tersengih, sementara Airis sekadar berdiam diri
di belakang Dani.
“Maaf. Tadi ada hal kejap. Jom, kita makan. Dah lapar
ni.” Dani menggosok perut.
“Kalau macam tu, jom kita makan dulu. Lil, jomlah.”
Razif bangun dan menggamit Khalil yang berdiri di muka
pintu rumah.
Pantas Airis berkalih ke belakang. Matanya
bertembung dengan mata Khalil. Segera dia menunduk.
“Jom sayang, kita makan dulu. Tak baik buat
perangai kat rumah orang,” ujar Khalil perlahan apabila dia
melintasi Airis.
Airis menggigit bibir. Tidak jadi mahu membantah
apabila melihat tanda amaran di mata papanya. Dia
mengangguk lemah.
“Jom.” Dani pula menarik tangan Airis ke ruang
makan.
Sepanjang berada di ruang makan, Airis, Khalil
dan Marina hanya senyap. Mereka hanya bercakap apabila
diajukan soalan. Nampak canggung sekali.
“Makan sikit. Jaga hati umi,” bisik Dani. Seketul
ayam masak kurma diletakkan ke dalam pinggan Airis.
Airis angkat kepala dan pandangan matanya bertemu
dengan anak mata Hashimah yang redup memandangnya.
“Makan sikit,” pujuk Hashimah tanpa suara.
Airis menahan sebak. Dia angguk dan nasi disuap
ke mulut. Tersenyum Hashimah apabila melihat Airis mula
makan. Dia tidak menjangka perkara ini yang berlaku.
Sangkanya Airis, Marina dan Khalil baik-baik saja.
Usai makan malam, Hashimah menjamu para tetamu
dengan hidangan pencuci mulut. Puding roti dan puding
karamel memenuhi meja kecil di ruang tamu. Khalil, Farid
dan Razif sibuk berceloteh mengenai perniagaan, manakala
Hashimah, Nasha, Marina dan Aleeya galak bersembang
pelbagai cerita. Fareez dan Dani pula hanya melayan bola di
TV.
Airis bangun perlahan-lahan dan berjalan ke luar
rumah. Dia duduk di pinggir kolam ikan. Udara malam
disedut. Nyaman.
“Air.” Segelas mug dihulurkan di depan Airis. Fareez
duduk di sebelah.
“Thanks,” ucap Airis.
Fareez mengangguk perlahan.
“Awak okey?”
“Okey.” Airis tersenyum hambar dan mengangguk
perlahan.
“Awak ada masalah dengan papa dan mama awak
ke?” Teragak-agak Fareez bertanya. Takut sebenarnya mahu
sibuk hal Airis dan keluarganya itu.
Airis kalih memandang Fareez seketika sebelum
matanya dilarikan ke hadapan. Beberapa minit kemudian, dia
memandang Fareez semula dan dia menggeleng lemah.
“Sorry. Tak patut saya sibuk hal awak.” Fareez sengih
dan menggaru pelipis.
“Tak apa. Tak payahlah cakap pasal saya. Awak macam
mana sekarang ni? Boleh adapt ke dengan suasana kat sini?”
soal Airis. Mug kembali disuakan ke bibir.
“Bolehlah. Tapi masih jet lag. Belum dapat sesuaikan
diri lagi.” Fareez tergelak kecil.
“Tak apa. Lama-lama nanti okeylah tu.” Airis
tersenyum sama.
“Tak sangka dapat jumpa awak lagi.” Fareez pandang
Airis. Bibirnya menguntum senyuman lebar.
“Saya pun tak sangka. Lama juga kita tak jumpa,
kan?” ujar Airis.
“Memang lama,” jawab Fareez. Senyuman masih
melebar. Teringat tika kecil-kecil dahulu; dia, Airis dan Dani
memang rapat sebelum keluarganya berpindah ke London.
“Sayang!”
Panggilan itu mematikan perbualan Airis dan Fareez.
Khalil menggamit Airis agar datang kepadanya.
“Ada apa, pa?” Airis memaniskan wajah.
“Papa dan mama nak balik ni,” ujar Khalil. Marina di
sebelah hanya diam melihat.
“Okey,” jawab Airis pendek. Dia langsung tidak
memandang Marina.
Khalil merapati anaknya.
“Papa tunggu Chinta kat rumah. Papa ada hal nak
cakap dengan Chinta,” bisik Khalil.
Airis panggung kepala.
“Not tonight, pa.” Dia menggeleng kepala.
“Papa cakap balik!” Khalil berbisik dengan nada
tegas. Matanya tajam menikam mata Airis.
Lambat-lambat Airis mengangguk.
“Zif, Im... kami balik dululah. Terima kasih sebab
jemput.” Khalil bersalaman dengan Razif manakala Marina
bersalaman dengan Hashimah, Nasha dan Aleeya.
“Sama-sama. Lain kali datanglah lagi,” ujar Razif.
Khalil dan Marina angguk kepala. Selepas berpamitan
dengan semua, Khalil dan Marina terus masuk ke dalam
kereta. Sempat lagi Khalil memberi isyarat kepada Airis;
mengingatkan anaknya supaya tidak lupa akan pesanannya
sebentar tadi.
“Airis, jom.” Dani sudah bersedia dengan kunci
kereta di tangan. Yang lain sudah masuk ke dalam rumah
kembali.
“Aku balik sendirilah. Papa suruh aku balik rumah.”
Lemah suara Airis.
“Tak apalah, aku hantar kau balik rumah papa kau.
Jom.” Dani mendahului Airis masuk ke dalam kereta. Airis
mengikut dari belakang.
Di dalam kereta, mood Airis semakin merudum.
“Masam aje muka kau. Kenapa?” tanya Dani. Kereta
sudah bergerak laju di jalan raya.
“Kau agak kenapa papa aku suruh balik rumah hari
ni juga?” tanya Airis.
“Entah. Sebab dia rindukan kau kut. Kau pun dah
lama tak jenguk papa kau,” ujar Dani.
Airis mengeluh perlahan. Dia geleng kepala ketika
Dani memandangnya sekilas.
“Tak. Bukan sebab tu,” jawab Airis perlahan. Kepala
disandarkan pada tingkap kereta. Jaluran lampu jalan menjadi
tatapan matanya.
“Kenapa ni, Airis?” soal Dani.
Airis geleng kepala dan dia terus senyap sehinggalah
kereta Dani sampai di hadapan Vila Puteri.
“Terima kasih sebab hantar aku.” Airis tersenyum
kecil dan membuka pintu kereta.
Dani angguk.
“Kau okey ke?” tanya Dani. Risau pula melihat
keadaan Airis.
“Jangan risau. Aku okey.” Airis tersenyum hambar.
“Kalau ada apa-apa, kau call aku ya?” pesan Dani.
Airis angguk.
“Okey.” Dia melambai ke arah Dani dan terus
bergerak masuk.
Apabila melihat kelibat Airis selamat masuk ke
dalam rumah, barulah Dani meninggalkan kawasan banglo
mewah itu.
*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN JULAI 2018**
No comments:
Post a Comment