DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 22 July 2018

Chinta Airis - Bab 3

PINTU rumah dibuka perlahan. Airis tidak
mahu menyedarkan isi rumahnya lewat malam itu.
Terjengket-jengket dia berjalan. Namun baru sahaja dia
melewati sofa mewah buatan Itali, tiba-tiba ada suara
menegurnya. Keras kejung dia berdiri.
“Lewat balik?” Satu suara menegur. Pantas rumah
yang gelap-gelita tadi menjadi terang benderang.
Airis berpaling dan tersengih. Perlahan-lahan dia
menghampiri tubuh yang sedang bersandar di sofa itu.
“I’m so sorry, pa. Chinta lupa nak WhatsApp papa
yang Chinta ke rumah ayah tadi. Sorry, pa.” Airis duduk
bersimpuh di hujung kaki papanya. Tangannya dirapatkan
tanda memohon maaf.
“Lain kali telefon. Papa risau bila Chinta balik lewat
macam ni,” ujar Khalil sambil mengelus lembut rambut
anaknya. Bukan dia marah jika Airis ke rumah temannya itu,
tetapi Airis keluar tanpa memaklumkan kepadanya.
“Sorry pa. Chinta janji, lepas ni Chinta tak buat lagi.
Tadi Dani tiba-tiba call suruh temankan dia pergi airport
jemput keluarga aunty dia, sebab tu Chinta terkejar-kejar
sampai tak sempat nak inform papa,” jelas Airis.
“Tak apalah kalau macam tu. Dah, pergilah rehat.
Dah malam ni.” Khalil menepuk perlahan bahu Airis. Airis
tersengih dan berdiri.
“Okey pa. Good night.” Airis menunduk sedikit dan
pipi papanya dicium.
“Good night sayang,” balas Khalil. Dia mencium
ubun-ubun Airis sebelum Airis naik ke biliknya.
Airis berbaring dengan mata memandang siling.
Badannya cukup penat tetapi matanya langsung tak nak
terlelap. Akhirnya dia hanya terkebil-kebil dalam suram gelap.
Keadaan yang sunyi tanpa sengaja menggamit memorinya
pada kisah di meja makan tadi.
“Ini anak Khalil dengan Melissa, kan?” Mata Nasha
tertancap kepada Airis sebelum berkalih ke arah Hashimah
dan Razif.
Suapan Airis terus menjadi perlahan. Dia tersenyum
kecil apabila Hashimah memandangnya.
“Betullah tu.” Hashimah mengangguk perlahan. Dia
menjeling Airis sekali lagi. Jelas wajah itu berubah walaupun
masih tersenyum.
“Apa khabar papa dengan mummy Airis?” tanya
Nasha lagi.
Airis panggung kepala dan matanya tertancap pada
satu per satu wajah yang sedang memandangnya ketika itu.
Dia tersenyum kelat.
“Nah, aku bagi kepak ayam kat kau.” Dani meletakkan
kepak ayam ke pinggan Airis.
Airis pandang Dani yang duduk di sebelahnya. Dia
tahu apa yang Dani cuba buat. Perlahan bibirnya mengucap
terima kasih tanpa suara. Dani tersenyum dan membalasnya.
Lamunan Airis mati. Rantai yang bergantung di
leher diangkat separas matanya. Matanya mula berkaca.
Diusap rantai itu sebelum dicium.
“Mummy...” Esakan kecil mula bergema. Rindu
kepada Melissa.

BUNYI KETUKAN bertalu-talu di muka pintu biliknya
menyebabkan lena Airis terganggu. Dia menarik bantal dan
menekup telinganya. Malas mahu membuka pintu. Dia masih
lagi mengantuk.
“Cik Chinta!” Suara Tante Ina melaung dari luar.
“Apa tante?” laung Airis. Geram kerana tidurnya
diganggu. Hari ini dia mahu tidur sahaja. Ganti semula hari
semalam yang dihabiskan di rumah umi.
“Encik Dani datang, dia tunggu di bawah.”
Airis mendengus. Dia menggagau telefon di bawah
bantal. Dia mengecilkan matanya apabila cahaya dari
telefonnya menyala.
“Baru pukul 10 pagi.” Airis mengomel sendirian.
Matanya kembali tertutup.
“Cik Chinta.” Suara itu kembali berbunyi berserta
ketukan di muka pintu.
Airis mendengus marah. Selimut diselak kasar.
“Tante, suruh dia balik. Nanti petang-petang sikit
saya jumpa dia.” Airis melaung. Dia sudah berjalan turun
dari katil. Rambutnya yang berserabai diurai perlahan agar
nampak lebih kemas. Mood tidurnya sudah tiada kerana
diganggu seebentar tadi.
Baru kakinya mahu melangkah ke bilik air, pintu
biliknya kembali diketuk. Perasaan yang dipendam tadi
akhirnya meletus jua. Dia berjalan ke pintu dan terus
membukanya. Terkejut Tante Ina melihatkan wajah Airis
yang sedang menyinga itu.
“Apa lagi tante?”
“Err... Encik Dani cakap... dia suruh kejutkan juga
Cik Chinta sampai bangun. Kalau tak...” Tergagap-gagap
Tante Ina bercakap. Pagi-pagi dah kena marah.
“Kalau tak apa???” tanya Airis garang.
“Kalau tak, dia naik dan kejutkan Cik Chinta sendiri.”
“Tak guna punya Dani!” Airis pantas keluar dan
berjalan turun ke bawah. “Dani ni tak agak-agak nak spoilkan
cuti aku. Kan aku dah cakap semalam yang hari ni aku nak
rehat puas-puas kat rumah,” Airis membebel sambil kaki laju
melangkah turun ke bawah.
“Dani!!!” Airis bertempik kuat ke arah Dani yang
sedang rancak berbual dengan papanya. Wah, siap gelak-gelak
lagi!
Dani pantas mengangkat wajahnya. Dia menelan liur
apabila melihat Airis sudah bercekak pinggang di depannya.
‘Alamak, ratu singa dah marah!’
“Kan aku dah cakap jangan ganggu aku hari ni. Kau
ni degillah!” Airis menghamburkan rasa marahnya. Dia terus
menghampiri Dani dan papanya, namun langkahnya tiba-tiba
menjadi perlahan dan akhirnya terus berhenti apabila
menyedari ada orang lain di situ.
‘Erk! Alamak...’
Aleeya dan Fareez sudah tersengih-sengih. Mereka
pasti sudah mendengar suara petirnya tadi. Dani yang tadi
terkejut disergah mula menahan tawa melihatkan wajah Airis
yang nampak merah membahang. Malulah tu!
“Isy... kau ni kan, bengong!” tempik Airis sebelum dia
berkejar naik ke biliknya. Telinganya sempat lagi mendengar
suara ketawa mereka.
‘Gelak... gelaklah sampai puas.’ Hati Airis
mendongkol geram.
Apabila pintu sudah tertutup rapat, dia terus
menghempaskan dirinya di atas katil. Bantal ditumbuk
geram.
‘Ya Allah, malunya!’ Airis meraup kasar wajahnya.
Sedang melayan perasaan malu dan sebal tadi,
tiba-tiba telefon Airis berbunyi. Tanda ada pesanan WhatsApp
diterima.
Dah-dahlah tu. Turunlah cepat. Jom
temankan aku bawa Fareez dengan
Leeya ni pergi jalan-jalan.
Tak naklah aku. Apasal aku kena
ikut pula?
Alah, jomlah sayang. Tak bestlah
kalau kau tak ada.
Malaslah aku
Airis mencebik. Dani saja nak beli jiwa dialah tu.
Alah sayang, pleaseee... kau tak
kesian dekat aku ke?
“Alahai... buat muka sedihlah pula.” Airis tergelak
kecil. Jari kembali menaip.
Okey, kalau aku ikut, apa yang kau
nak bagi pada aku?
Hati aku.
Uweek... Cit, poodahh!
Hahaha... Okeylah, aku sudi jadi kuli
batak kau untuk sehari.
Sehari je? Buat apa? Dua harilah.
Yalah-yalah... dua hari.
Airis tersenyum dan pantas dia menarik tuala dan
berlari ke bilik air. Dia mahu bersiap-siap untuk keluar.
Nampaknya tak menjadilah cuti berehatnya hari ini.
“NAK PERGI mana ni?” Airis berbisik perlahan di telinga Dani
yang sedang memandu. Dia tersengih malu apabila terlihat
Fareez sedang memandang pelik ke arahnya dan Dani.
“Nak bawa mereka pusing-pusing KL ni. Lagipun
mereka berdua ni dah lama tak balik sini,” ujar Dani sambil
memandang sekilas Airis yang duduk di belakang bersama
Aleeya.
Airis mengangguk.
“Kau ada nak pergi mana-mana ke, bro?” tanya Dani
sekilas kepada Fareez di sebelahnya.
Fareez berpaling dan pantas menggeleng.
“Tak ada. Ikut kaulah nak pergi mana pun. Aku tak
kisah,” ujar Fareez.
“Leeya tak ada plan nak ke mana-mana ke?” Dani
bertanya pula kepada Aleeya.
“Entah. Hari ni Leeya serahkan pada Abang Dani dan
Airis untuk bawa kami,” jawab Aleeya.
“Okey. Serahkan pada kami. Kami akan pastikan
yang hari ini korang berdua akan seronok. Here we go!”
Pantas Dani melajukan kereta. Airis yang menyendeng dekat
dengan Dani tadi terus tertolak semula ke belakang.
“Dani!!!” tempik Airis kuat. Mereka yang lain sudah
terbahak-bahak ketawa. Airis mengetap bibir menahan geram.

AIRIS MEMAKSA kakinya untuk terus berjalan mengikut
langkah mereka bertiga yang sudah jauh ke depan. Seksa rasa
kaki kerana terkejar-kejar sejak tadi.
“Cepatlah sikit. Kau ni lambat betullah jalan.
Nenek kalau jalan dengan kau sure dia yang menang.” Dani
sudah berhenti berjalan dan menunggu Airis yang sudah
ketinggalan beberapa langkah di belakang mereka.
“Kau ni tak sayang mulut betullah. Bukan aku yang
jalan lambat, tapi korang ni yang jalan laju sangat. Ini bukan
dah jalan-jalan, tapi namanya lumba lari. Tahu tak ngok!”
Laju tangan Airis mahu meluku kepala Dani tetapi Dani
lebih tangkas. Dia menolak tangan Airis sehingga badan Airis
tertolak dan hampir-hampir dia terjatuh sebelum ada tangan
yang sempat menyambarnya.
Airis menarik nafas lega. Nyaris-nyaris tubuhnya
mencium lantai tadi. Sekarang baru dia tersedar yang dia
masih lagi berada dalam pelukan seseorang apabila hidungnya
terhidu bau perfume.
Dup! Bagai mahu luruh jantungnya saat ini.
Airis pantas meleraikan pegangan dan berdeham. Malu
sangat-sangat. Kemudian telinganya terdengar suara Dani
dan Aleeya yang sedang ketawa. Makin berganda-ganda
malunya!
“Kau ni kan, Dani!” Airis mengutil kuat lengan Dani.
Geram.
“Sakitlah!” berkerut dahi Dani.
“Padan muka. Nasib baik aku tak jatuh. Kalau tak,
sia-sia bersepai gigi aku kat situ,” marah Airis.
Dani cuma tergelak.
“Aku tak boleh bayangkan kalau gigi kau jadi rongak.
Mesti sebiji macam muka nenek-nenek. Hahaha...”
“Isy, kau ni!!!” Meter kemarahan Airis kembali naik.
Dani cepat-cepat lari apabila tangan Airis hampir
mengena tubuhnya sekali lagi.
“Dani, jaga kau!!!” tempik Airis sambil mengejar
Dani.
Aleeya dan Fareez tergelak kuat.
“Kelakarlah mereka berdua tu. Tapi nampak sweet
betul tengok Airis dengan Abang Dani tu. Lagipun Leeya baru
perasan yang Airis tu ada iras-iras Emma Roberts. Betul tak
abang?” Aleeya menjeling abangnya.
Fareez yang masih lagi sedang memandang ke depan
mengangguk sambil tersenyum manis. Namun tidak lama.
Dia berpaling ke sebelah semula. Kelihatan Aleeya sudah
tersengih-sengih memandangnya.
“Kenapa?” tanya Fareez pelik.
“Dah rasa something ke kat hati tu?” Aleeya masih
lagi mahu mengusik abangnya.
“Something? Apa?” Berkerut dahi Fareez. Tidak
faham maksud sebenar Aleeya.
“Yalah... rasa something... like... love?” ujar Aleeya
perlahan sebelum dia berjalan meninggalkan Fareez. Sempat
lagi dia mengenyit mata kepada abangnya.
Fareez terkedu.
“Aku dah jatuh cinta dengan budak tu ke? Oh, no...
impossible!” Fareez menggeleng, tapi kenapa hatinya cakap
lain? Ah, sudah... cinta? Ada apa dengan cinta?

No comments:

Post a Comment