DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 22 July 2018

Chinta Airis - Bab 7

KETIKA ini heboh di media massa dan media
sosial tentang keadaan banjir di Pantai Timur. Keadaan di
sana sangat kritikal. Hal mengenai kekurangan bantuan
atau bantuan lewat sampai ke pusat-pusat pemindahan
amat memilukan hati Airis. Tekadnya, dia akan membantu
semampu yang mungkin, bukan sekadar wang ringgit
tapi dengan kudrat yang dia ada juga. Sebab itu dia tidak
sabar-sabar mahu pergi ke sana.
Airis memeriksa e-melnya. Tadi Dani ada
menghantar tentatif program bantuan amal ke Pantai Timur.
Dia membaca segala program yang dirancang sepanjang 3
hari di sana. Barang-barang keperluan sudah siap dikemas.
Hanya menanti hari untuk bertolak sahaja.
Bunyi notifikasi WhatsApp mengganggu tumpuan
Airis. Dia segera mencapai telefon di atas katil. Pesanan
daripada Dani.
Dah siap kemas?
Dah. Kau?
Sikit lagi. Esok pukul 6.30 pagi aku
datang ambil kau.
Okey.
Jumpa esok. Selamat malam.
Selamat malam.
Airis meletakkan semula telefon apabila tamat
perbualannya dengan Dani. Dia merebahkan badan di atas
katil. Dia mula menguap besar. Mata yang mula layu tertutup
dengan sendirinya.

KRINGGGGGGGGG!
Bingit bunyi jam loceng menerpa cuping telinga.
Airis terpisat-pisat bangun dan tangan segera menutup
penggera jam.
“Yosh!” Airis tegak berdiri. Bibirnya tersenyum lebar
apabila teringat apa yang akan berlaku pada hari ini. Dia
segera bangun dan terus ke bilik air untuk bersiap.
Usai mandi, dia terus bersarapan. Jam di dinding
dijeling. Sudah pukul 6.20 pagi. Lagi 5 minit Dani akan
sampai. Dia cepat-cepat menghabiskan sarapannya sebelum
keluar. Dia mahu menunggu Dani di lobi kondominiumnya.
Sampai di lobi, kawasan sekitar masih lagi lenggang.
Tidak ramai penghuni yang keluar memandangkan hari ini
hari minggu. Airis merapatkan jaket ke tubuhnya. Sejuk.
Pin! Pin!
Meliar mata Airis apabila terdengar hon kenderaan.
Dia menarik senyum apabila terlihat Dani tiba dengan
motosikalnya. Kakinya diayun segera mendekati lelaki itu.
“Kenapa tunggu kat bawah sorang-sorang ni?” tegur
Dani.
“Saja. Aku excited nak pergi ni,” jawab Airis.
“Dah. Jom!” Dani menghulurkan helmet kepada
Airis.
“Wow, black pearl! Dah lama aku tak tengok kau naik
motor ni.” Airis menghampiri motor jenis Yamaha R6 warna
hitam milik Dani.
“Aku sibuk dengan kerja. Ini aku tengah free sikit.
Sebab tu aku ajak kau join program ni.” Dani sudah bersedia
di atas motor. Airis memakai helmet dan terus naik di
belakangnya. Dani menderum pergi meninggalkan kawasan
Palma Heights itu.
Perjalanan mereka pagi itu berjalan lancar. Tiada
kesesakan yang teruk dan mereka sampai awal di tempat
berkumpul.
Para sukarelawan berkumpul di Ibu Pejabat Yayasan
Salam Malaysia seawal 7.30 pagi. Daripada info yang Airis
dapat, seramai 56 orang sukarelawan terlibat. Mereka terdiri
daripada Sky Fast Bikers iaitu kelab motosikal Dani dan juga
Kumpulan Mitsubishi Pajero (KMP).
Para sukarelawan dibahagikan kepada 4 kumpulan
dan setiap kumpulan terdiri daripada 14 orang. Pihak
penganjur memberi pilihan untuk memilih sendiri ahli
kumpulan. Jadi awal-awal lagi Airis berkepit dengan Dani.
Taklimat misi diberikan oleh Chief De Mission iaitu Encik
Fairuz Razali dan ketua misi 2, Encik Hilman Mohd Noor.
Objektif bantuan misi ini adalah untuk membantu
membuat pengagihan barangan yang telah diamanahkan
oleh orang awam kepada mangsa-mangsa di sana di samping
bantuan dari segi tenaga.
“Airis, ini kenalkan Kak Farah Zulaikha dengan
Abang Izz Aidan. Mereka ni senior dalam kelab Sky Fast tau.
Pasangan husband and wife yang paling daebak sekali dalam
group kami,” ujar Dani sambil tergelak kecil.
“Isy... Dani ni.” Farah tersipu malu.
“Hai, saya Airis,” ujar Airis memperkenalkan diri.
“Panggil Kak Farah aje,” ujar Farah pendek sambil
tersenyum.
“Hai, Airis. Abang Izz.” Izz Aidan menepuk dadanya
sendiri seraya mengangkat tangan kepada gadis manis di
depannya. “Girlfriend Dani ke ni?” Dia menjongket kening
kepada Dani. Mengusik lelaki itu.
“Tak adalah abang. Ini bff Dani.” Dani tergelak. Airis
juga turut tergelak sama. Mudah sangat orang membuat
spekulasi apabila melihat kemesraan mereka.
“Best friend forever ke boyfriend forever ni?” Izz
Aidan mengusik sambil mengangkat kening. Farah Zulaikha
sudah ketawa mendengar usikan suaminya.
“Isy... Abang Izz ni, best friendlah,” ujar Airis. Dani di
sebelah hanya tersengih.
“Ruginya. Dani dengan Airis nampak sepadan bila
bersama,” ujar Farah.
Izz Aidan mengangguk mengiakan.
Dani dan Airis berpandangan seketika sebelum bunyi
ketawa kecil meletus keluar daripada mulut masing-masing.
“Nak terbalik dunia kalau dia ni jadi girlfriend saya,
Kak Farah.” Dani menjeling Airis.
“Hei!!!” marah Airis. Namun tidak lama kemudian
mereka ketawa semula.
“Perhatian kepada semua, masa untuk bertolak,”
laung Encik Hilman sambil menunjuk jam di tangannya.
Semua spontan memandang jarum jam
masing-masing.
“Okey, jom gerak.” Izz Aidan menarik tangan
isterinya.
Airis dan Dani mengangguk dan mereka juga
melangkah ke motosikal masing-masing.

PADA JAM 2 petang, rombongan mereka tiba di Kuantan.
Terlewat sejam daripada jadual perjalanan kerana ada satu
kemalangan kecil yang melibatkan kenderaan lain. Di sana
mereka berkumpul di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku
Panglima Perang Tengku Muhammad yang merupakan
pusat pemindahan banjir dan membuka tapak operasi serta
penempatan para sukarelawan di sekolah ini.
Airis menggeliat kecil. Badannya terasa sengal
kerana menempuh perjalanan jauh tadi.
“Penat ke?” tanya Dani. Dia menghulurkan sebotol
air mineral kepada Airis. Airis mengangguk kecil.
“Sikitlah.” Airis menarik senyum.
“Tak apa. Lepas ni boleh rehat kejap,” ujar Dani.
Wajah Dani yang meneguk air dipandang sekilas.
Kemudian pandangan Airis jatuh pada kawasan sekeliling.
Sayu hatinya melihat keadaan ini. Kesan-kesan banjir masih
lagi jelas kelihatan.
“Jom, tolong sama.” Dani menggamit Airis agar
menolong memunggah barang-barang yang dibawa ke pusat
operasi sementara. Apabila semua bekerjasama, yang berat
menjadi ringan.
“Penat nampak, Airis?” tegur Farah Zulaikha. Dia
mengambil tempat di sebelah Airis. Kerja-kerja pemunggahan
sudah selesai dan sekarang ini mereka sedang berehat.
“Penat sikit, Kak Farah. Dah lama tak buat kerja
berat macam ni.” Airis sengih. Dia menumbuk-numbuk
lengan yang mula terasa sengal.
“Kak Farah nampak steady aje. Tak penat ke?”
“Kak Farah dah biasa. Hari-hari main kejar-kejar
dengan twins akak, lepas tu buat kerja rumah lagi.” Farah
Zulaikha tergelak kecil. Teringat permata hati yang
ditinggalkan di rumah ibu bapanya, membuatkan rasa rindu
mula bertandang.
“Kak Farah dah ada anak ke?”
Farah Zulaikha tersenyum lebar dan mengangguk.
“Dah. Twins, perempuan dan lelaki,” ujar Farah
Zulaikha bangga.
“Wow, twins! Saya ingat Kak Farah baru aje kahwin.”
“Kenapa Airis cakap macam tu?” Farah Zulaikha
kerut dahi.
“Yalah, tengok body Kak Farah slim macam ni. Tak
sangka pula ibu kepada twins. Apa nama twins Kak Farah tu?
Ada gambar tak? Mesti comel, kan?”
Farah Zulaikha tergelak besar.
“Ada. Kejap, Kak Farah tunjuk.” Farah Zulaikha
mengeluarkan telefon dan gambar anak-anaknya ditunjukkan
kepada Airis.
“Ini Rania Antasya dan ini Ryan Zaim.”
“Comelnya...” Airis membelek satu per satu gambar
di dalam koleksi Farah Zulaikha itu. Macam-macam ragam
budak berdua itu buat. Alahai... comelnya! Airis pegang pipi
sambil tersenyum.
“Berapa umur diaorang ni Kak Farah?”
“Bulan depan dah masuk setahun,” jawab Farah.
“Alahai, comelnya! Rasa nak gigit-gigit aje pipi twins
Kak Farah ni.” Airis tersengih seraya mengembalikan semula
telefon kepada Farah.
Farah ketawa sambil menyambut huluran Airis itu.
“Nanti kalau Airis ada anak sendiri pun pasti lagi
comel daripada anak Kak Farah ni. Nak-nak kalau dapat gen
mata biru Airis tu.”
“Hesy, mana adalah kak.” Airis tersenyum malu
apabila diusik.
“Betul apa Kak Farah cakap. Dah Airis cantik, pasti
anak-anak Airis pun cantik juga nanti. Betul tak?” seloroh
Farah.
Wajah Airis makin merah.
“Isy, Kak Farah ni.”
Farah Zulaikha makin kuat tergelak. Beberapa orang
sukarelawan yang berada berdekatan bersama-sama dengan
mereka memandang. Farah Zulaikha tersenyum menyapa
mereka dari jauh.
“Nanti jemputlah datang rumah kalau Airis nak
tengok twins akak ni. Ajak Dani. Dia tahu mana rumah akak.
Nanti kita boleh borak panjang-panjang,” pelawa Farah.
“Betul ke kak? Nanti kalau ada masa, Airis ajak Dani
pergi rumah akak. Tak sabarnya nak jumpa dengan anak-anak
akak tu.” Airis tersenyum lebar.
“Hah, tu diaorang dah panggil. Jom, pergi makan
dulu.” Farah mencuit lengan Airis dan menunjuk ke arah Izz
Aidan dan Dani yang sedang memanggil mereka.

KEESOKAN HARINYA, mereka berpecah kepada kumpulan
masing-masing. Setiap kumpulan akan mengagihkan
bantuan ke tempat-tempat yang berlainan. Kali ini, Airis dan
kumpulannya bergerak dengan menaiki Pajero disebabkan
ada jalan raya yang rosak teruk dan sukar untuk dilalui
kenderaan biasa.
Sepanjang perjalanan, apa yang Airis perhatikan,
setiap kali kenderaan yang dinaiki mereka melalui kawasan
kampung, mereka akan dikerumuni oleh penduduk yang
mengharapkan bantuan. Ketika kenderaan mereka berhenti
untuk pengagihan, Airis hampir terkejut apabila diserbu oleh
penduduk walaupun ketika itu hujan renyai-renyai mula
turun. Setiap ahli kumpulan terpaksa mengawal keadaan
apabila ada penduduk yang bertindak agresif ketika bantuan
diagihkan. Semua itu menguatkan semangat Airis untuk
terus membantu mereka yang memerlukan.
Hari seterusnya, usaha-usaha pengagihan diteruskan
ke kampung-kampung yang lain. Para sukarelawan masih
lagi bersemangat untuk membantu. Kali ini pengagihan
dilakukan dari rumah ke rumah.
Misi seterusnya ialah membersihkan kawasan
sekolah yang terlibat dalam banjir. Bilik darjah, surau, tandas
dan kawasan sekitar dibersihkan secara bergotong-royong.
Penat. Tapi melihatkan kesungguhan para sukarelawan,
membuatkan rasa penat hampir tidak terasa.
“Ehem...” dehaman daripada seseorang berjaya
membawa lamunan Airis lari. Dia tersenyum apabila Dani
datang.
“Sayu pula nak tinggalkan tempat ni.” Airis
tersenyum kecil.
“Betul tu, aku rasa macam tak nak balik. Sayang
nak tinggalkan mereka kat sini. Kesian dengan nasib mereka
tapi mereka tetap beruntung sebab rakyat Malaysia sendiri
berlumba-lumba untuk membantu mereka,” balas Dani.
Airis angguk. Sejak mula-mula sampai tempoh
hari, mereka sudah disajikan dengan pemandangan yang
meruntun hati. Di kiri kanan jalan bersepah-sepah dengan
sampah. Bau lumpur dan bangkai haiwan sudah dapat dihidu
dari jauh lagi. Banyak rumah-rumah penduduk yang musnah.
Kehidupan masyarakat yang sebelum ini daif menjadi
semakin teruk kesan daripada banjir. Jalan raya juga banyak
yang rosak sehingga menyukarkan bantuan disampaikan
kepada penduduk.
“Aku nak ucapkan terima kasih kat kau sebab bawa
aku datang sini. Banyak pengalaman yang aku dapat.” Airis
tersenyum ikhlas.
“Baguslah. Kita buat sekadar yang termampu, yang
selebihnya kita berdoa banyak-banyak agar beban yang
mereka tanggung berkurangan,” ujar Dani.
“Kau nak tahu Dani... menolong orang adalah
perkara yang paling menggembirakan aku.” Airis tersenyum
lebar.
“Bukan kau saja. Aku pun suka bila tolong orang.”
Dani mengetuk kepala Airis perlahan sebelum dia bangun
dan lari dari situ.
“Wei, apa hal main kepala aku ni!” marah Airis. Dia
bangun mengejar Dani. Dani ketawa terbahak-bahak kerana
Airis tidak mampu mengejar langkahnya yang sudah semakin
menjauh.

No comments:

Post a Comment