DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 22 July 2018

Chinta Airis - Bab 4

AIRIS tidak senang duduk. Dari tadi lagi dia sibuk
mendail nombor telefon Dani tetapi tidak berangkat. Dia
semakin geram apabila suara operator yang menyapa telinga.
“Bismillahirahmanirahim...” Sekali lagi nombor
Dani didail.
“Helo.”
Dengar saja suara Dani, Airis terus menghamburkan
rasa marahnya.
“Kalau rasa nak pakai lagi telefon tu, baik kau angkat.
Kalau tak nak, baik kau campak aje!”
“Woo... apasal ni Airis?”
“Pergi mana, orang call tak angkat?” keras suara
Airis bertanya.
“Sorry. Telefon tertinggal dalam bilik tadi. Apasal
suara macam petir ni?”
“Ada masalah.” Suara Airis mula mengendur.
Kemudian dia mengeluh perlahan.
“Masalah apa? Pasal papa kau lagi ke?” tembak Dani.
Bukan dia tidak tahu kalau Airis menyebut masalah. Kalau
masalah lain yang timbul, tidak adalah gadis itu meroyan
seperti ini.
“Aku rimaslah dengan papa aku tu. Asyik nak jadi
Cupid aje.” Airis mengadu.
“Kali ni dengan siapa pula?”
“Dengan anak datuk mana pun aku tak tahu.
Rimaslah asyik kena kenen aje. Nak bernafas pun rasa tak
cukup udara. Fed up betul!” dengus Airis.
Dani tersenyum sumbing. Bukan dia tidak simpati,
tetapi dia tiada kuasa untuk menyekat Uncle Khalil daripada
buat semua itu.
“Habis tu nak guna khidmat aku ke?” soal Dani.
“Ikutnya macam itulah, sebab tu dah lebam jari aku
dail nombor kau sejak tadi.”
“Bila?”
“Malam ni.”
“What? Malam ni? Tapi aku ada hal,” ujar Dani
terkejut.
“Hal apanya? Takkan hal kau lebih penting daripada
masalah negara aku ni?”
“Pentinglah ngek, sebab aku nak tengok bola malam
ni,” ujar Dani.
“Bola? Jadi bola lebih penting daripada masalah aku
ke?” Suara Airis tiba-tiba meninggi. Menyirap darahnya. Dia
tengah ada masalah, boleh lagi Dani nak pergi tengok bola.
“Final tu sayang... Rugi kalau tak tengok.”
“Alaa... Dani, please?” Nada suara Airis mula berubah.
Dani tahan ketawa. Faham sangat kalau dah sampai
Airis merayu begitu; Airis tengah tersepit sangat-sangat. Tapi
Dani sengaja mahu mengusik.
“Alah Airis... betul, aku tak dapat nak tolong. Kalau
malam esok okey, tapi kalau malam ni...” Dani jeda seketika.
Airis mendengus geram.
“Tak apalah. Bye!” Tanpa pamitan Airis terus
mematikan talian.
Terkedu Dani. Telefon di tangan direnung seketika.
Marah betul Airis. Tidak mahu rajuk gadis itu berpanjangan,
pantas nombor Airis didail. Bunyi deringan masuk, namun
tiba-tiba terus senyap.
“Ini dah jadi kes berat ni, sampai telefon pun off.
Masak kau Dani...” omel Dani sambil menggaru kepala. Kena
cari alasan logik nak pujuk Airis semula. Pening...pening...

LANGKAH KAKI Airis semakin perlahan apabila menghampiri
restoran PappaRich. Kalau ikutkan hati, memang dia malas
nak masuk. Tetapi kerana mengenangkan pujuk rayu
papanya, terus Airis bersetuju. Kali ini entah siapa calon yang
mahu Khalil perkenalkan kepadanya. Mata Airis memerhati
satu per satu pengunjung yang ada. Lagipun bukan dia kenal
pun wajah lelaki itu. Tapi, kalau nak lari macam sempat aje
kut. Nanti pandai-pandailah dia buat karangan kepada Khalil.
‘Airis, dah sampai kat sini banyak pula alasan kau,
kan? Tapi depan papa, satu apa pun perkataan kau tak keluar.’
Airis tergelak kecil dengan kata hatinya.
Baru saja Airis berkira-kira hendak pusing semula,
tiba-tiba ada suara menegurnya dari belakang. Terus dia diam
tidak berkutik.
“Chinta Airis Binti Khalil?”
Airis meneguk liur. Walawei! Siapa tu siap sebut
nama penuh dia lagi? Lambat-lambat Airis berpaling dan
tersenyum sumbing apabila matanya tertancap pada batang
tubuh tinggi lampai yang berdiri di depannya. Kacak?
Bolehlah...
Airis berdeham dan membetulkan posisi dia berdiri.
“Chinta ke?” soal lelaki itu lagi dengan senyuman
yang masih tersungging di bibir. Manis senyumannya.
“Err... I lebih suka kalau you panggil I, Airis,” ujar
Airis. Tidak suka orang luar memanggilnya Chinta.
“Kenapa? I pula lebih suka kalau panggil you Chinta.”
Lelaki itu tersenyum.
Airis bagai terpukau melihat senyuman di bibir itu.
“No. Just Airis.” Airis tetap dengan pendiriannya.
Biarlah lelaki itu mempamerkan senyuman sejuta watt
sekalipun.
“Tak apalah, I Reeza. Shah Reeza bin Datuk Fakri.”
Salam dihulur buat gadis itu. Dia mahu pertemuan pertama
berjalan lancar.
Airis menilik sebentar tangan itu sebelum dia
menyambut huluran itu. Tangan mereka bertaut.
“Boleh kita duduk? Baru selesa sikit nak berborak
panjang. Shall we?”
Reeza menepi dan menunjukkan meja kosong yang
berada di tepi dinding. Airis mengangguk dan dia berjalan
ke meja yang ditunjukkan. Baru sahaja dia mahu menarik
kerusi, sudah ada tangan yang mendahuluinya.
“Thanks,” ucap Airis apabila Reeza berlagak
gentleman.
Reeza hanya membalas dengan anggukan dan dia
mengambil tempat di hadapan Airis.
“Kita order dulu ya?” Pantas Reeza mengangkat
tangan dan menggamit pelayan datang. “Airis nak makan
apa?” soal Reeza.
“Bagi saya jus epal. Makan tak nak,” ujar Airis kepada
pelayan.
“Betul tak nak makan?” tanya Reeza semula. Apabila
dia melihat Airis menggeleng, terus dia memesan jus mangga.
“Rasanya pasti you dah tahu sebab apa perjumpaan
kita hari ni, kan?” Reeza terus ke persoalan pokok. Tidak
perlulah dia berkias-kias dengan Airis.
Airis tersenyum dan mengangguk.
“So, apa pendapat you tentang I? Maksud I...
pandangan pertama you kat I.”
Airis tergamam seketika sebelum dia tersenyum
kecil. Lelaki ini memang lain daripada yang lain. Berbeza
dengan lelaki yang dia jumpa sebelum ini. Reeza seorang
yang suka berterus terang. Hmm... dia suka!
“Hmm... okey.” Pendek jawapan yang diberikan.
Dahi Reeza berkerut. Okey? Takkan itu saja yang
keluar daripada mulut Airis? Tadi bukan main lama gadis itu
meniliknya.
“Takkan okey aje? Yang lain tak ada ke?”
“You nak I cakap apa? I tak pandai nak describe
orang. Rasanya terlalu awal untuk I cakap apa-apa pasal you,”
ujar Airis jujur.
Reeza senyum dan mengangguk kecil.
“You nak tahu apa yang I rasa bila tengok you? I
mean masa mula-mula mama I tunjukkan gambar you,” soal
Reeza.
“Gambar apa ni?”
“Gambar youlah. Gambar apa lagi.”
“Tahulah gambar I, tapi macam mana boleh ada
dekat mama you pula?” Airis mengetap gigi. Geram apabila
tahu gambar miliknya tersebar pada orang yang tidak dia
kenal.
“Mama I cakap, papa you yang bagi.”
“Oh, God. Papa!” Terletus rasa marah terhadap
Khalil.
“Janganlah marah pada papa you.”
“Mana boleh tak marah, suka hati dia saja nak bagi
gambar I. Kenapa tak bagi gambar dia sekali!” Airis masih
lagi geram.
Terkekek-kekek Reeza ketawa melihat tingkah Airis.
“Eh, yang you ketawa ni kenapa?” Airis pelik melihat
Reeza.
“Tak ada apa-apa. Comel aje tengok muka you duk
membebel pasal papa you tu.” Reeza mengesat air mata.
Banyak sangat ketawa.
Bicara mereka terhenti seketika apabila pelayan
datang membawa minuman.
“So, berbalik semula pada topik kita tadi, you nak
tahu tak apa yang I rasa bila I tengok gambar you?”
“Apa dia?” tanya Airis. Jus epal dicecap perlahan.
“I rasa yang I dah jatuh cinta pandang pertama kat
you.” Tenang Reeza menjawab sambil merenung Airis di
depannya.
“Hukhuk...” Airis tersedak. Dia cepat-cepat mencapai
napkin di atas meja. Kalut seketika Reeza dibuatnya. “You
cakap apa?” Airis berdeham. Tekak masih perit.
Reeza tersenyum manis. Matanya menatap anak
mata biru Airis. Naik segan Airis apabila Reeza merenungnya
begitu. Pantas dia mengalihkan pandangan.
“I jatuh cinta saat pertama kali I tengok gambar
you. Entah, I pun tak tahu nak cakap macam mana, tapi
itulah yang I rasa. Jantung I rasa macam tak stabil tiba-tiba.
Berdegup kuat sangat masa tu. Dan sekarang ni pun dada I
macam nak meletup bila berhadapan dengan you macam ni.”
Reeza memegang dadanya.
“You cakap apa ni? I tak faham.” Airis mula
menggelabah. Jari naik mengutis hujung straw.
Senyuman Reeza makin panjang.
“I rasa you faham dengan apa yang I cakapkan ni. I
jenis yang berterus terang. Kalau suka, I cakap suka. Kalau
tak suka, I cakap tak suka. Full stop. Senang, kan?” ujar Reeza
bersahaja.
“You bergurau aje, kan?” soal Airis. Air di depan
kembali diteguk. Menenangkan rasa gemuruhnya. Gila! Apa
yang lelaki ini merepek? Takkan baru beberapa minit kenal
dah cakap suka? Seram!
“Betul! I tak tipu.” Reeza angkat tangan tanda
bersumpah. “Airis...” panggil Reeza lembut.
Airis menarik nafas dan bertentang mata dengan
Reeza semula.
“Reeza, mungkin you suka sebab rupa I. I tak terkejut
kalau you cakap macam tu, sebab dah ramai lelaki yang I
jumpa hanya jatuh cinta pada wajah I aje,” ujar Airis. Bukan
bermaksud dia membangga diri dengan wajah pan-Asianya,
tapi itulah hakikat sejak dulu lagi.
“You silap bila you cakap macam tu. Well... mungkin
itu yang mula-mula I rasa masa tengok gambar you dulu, tapi
I yakin yang I bukan hanya sukakan you disebabkan wajah
you saja. I tahu apa yang I rasa dekat sini.” Sekali lagi Reeza
meletakkan tangan di dadanya.
Airis kematian kata. Apa lagi yang dia mahu cakapkan.
Dia tidak pandai berbicara apabila ia mula melibatkan soal
hati. Dia mula resah. Suhu di dalam restoran mula terasa
membahang. Ketika ini dia benar-benar memerlukan Dani
di sisi. Menyesal pula jual mahal dengan lelaki itu tadi. Airis
menggaru dahi.
“Airis...” panggil Reeza lagi apabila melihat Airis
senyap.
Airis mengangkat muka dan tergelak kecil. Itu reaksi
spontan apabila dia sedang resah.
“Sayang!” seru satu suara di tepi telinganya. Airis
terus berpaling. Mulutnya hampir melopong besar melihat
gerangan yang berdiri rapat di sebelahnya.
“Dani,” desis Airis perlahan. Masih terkejut dengan
kemunculan Dani. Macam tahu-tahu saja dia memerlukan
pertolongan.
“Sayang buat apa kat sini? Ini siapa?” soal Dani
sebelum beralih pandang ke arah Reeza. Dengan sengaja
dia melabuhkan tangannya di bahu Airis. Dia nampak wajah
terkejut Reeza.
“Oh, ini Reeza. Reeza, Dani.” Airis memperkenalkan
Reeza kepada Dani.
Dani tersenyum dan menghulurkan tangan kepada
Reeza.
“I’m Reeza,” balas Reeza tetapi wajahnya mula
berubah apabila melihat kemesraan Airis dan Dani. Dalam
kepala mula tertanya-tanya siapakah gerangan Dani yang
sebenarnya.
“Abang you ke?” soal Reeza. Hatinya tidak betah
melihat kemesraan mereka. Sakit mata dan yang pastinya dia
cemburu.
“No, bukan abang... tapi boyfriend dia.” Bersahaja
Dani menjawab.
Airis tergelak kecil tapi cepat-cepat dia mengulum
senyum apabila pandangan Reeza terarah kepadanya pula.
“Boyfriend?” Reeza masih lagi tidak puas hati dengan
jawapan itu. Wajah Airis dan Dani dipandang silih berganti.
Airis angguk. Layankan saja permainan Dani.
“You kerja apa? Anak datuk mana?” tanya Reeza.
Pandangannya menikam Dani.
“Oh, lupa nak perkenalkan diri betul-betul kat you
tadi.” Dani tergelak sinis. Dia berdeham dan memandang
Airis seketika sebelum memandang Reeza semula.
“I’m Danish Ryzal. I kerja biasa-biasa aje. Anak datuk
mana? Hmmm... yang sebenarnya I bukan anak datuk, tapi
cucu datuk.” Panjang lebar Dani memperkenalkan dirinya.
Wajah Airis sudah merah menahan tawa.
“Cucu datuk?” soal Reeza. Tidak faham dengan
kata-kata Dani tadi. Berkerut-kerut dahinya.
“Yup. Datuk I nama Haji Abdul Rahman bin Ishak.
You kenal?” tanya Dani.
Reeza geleng. Airis pantas berpaling ke sebelah.
Tawanya hampir meletus keluar. Apabila Reeza mengerling ke
arahnya, dia buat-buat batuk. Dani yang melihat Airis turut
menahan tawa sama.
“Siapa tu? Rasanya I tak kenal nama yang you
sebutkan tu,” ujar Reeza. Pengalaman yang luas dalam bidang
perniagaan membolehkan dia mengenali semua ahli korporat
di Malaysia. Tetapi sumpah, dia tidak kenal dengan nama yang
Dani sebutkan tadi.
“I dah agak, you memang tak kenal. You nak tahu
nama nenek I pula ke? Kot-kot you kenal?” Dani menaikkan
keningnya.
Wajah Reeza terus berubah. Baru tersedar yang Dani
sedang mempermainkannya.
Kali ini Airis sudah tidak mampu menahan tawa.
Terhambur kuat tawanya. Geli hati dengan perangai Dani.
Dani turut menarik senyum. Padan muka, kerek sangat!
Dijelingnya Reeza.
“You!” Jari telunjuk Reeza naik tinggi ke wajah Dani.
Dia mengertap gigi. Geram.
“Jangan berani-berani nak naikkan jari you kat muka
I. Nanti patah I kerjakan.” Dani tersenyum sinis dan menolak
tangan Reeza menjauhi wajahnya.
Reeza makin berapi. Dia bergerak untuk mendekati
Dani.
“Reeza, I harap pertemuan kita sampai setakat ini
saja.” Airis cepat-cepat meredakan suasana. Dia menarik
lengan Dani agar menjauhi Reeza.
Pandangan Reeza yang tajam mula berubah lembut
saat memandang Airis. Tanpa berlengah, Airis terus bangun
dan berdiri di sebelah Dani. Mungkin ini adalah pertemuan
pertama dan terakhir buat mereka.
“No. I harap ini bukan pertemuan terakhir kita dan I
benar-benar ingin kenal lebih rapat dengan you,” ujar Reeza
dengan berani tanpa menghiraukan Dani.
Dani pantas berpaling ke arah Airis. Matanya
mengisyaratkan sesuatu kepada gadis itu.
“Sorry. I rasa hanya setakat ini. Lagipun I dah ada
boyfriend. I tak nak boyfriend I cemburu kalau I rapat dengan
lelaki lain.” Airis menjeling Dani yang berdiri di sebelahnya.
Dani senyum dan menaikkan ibu jari tanpa disedari
oleh Reeza.
“Hai, takkan nak berkawan pun tak boleh?” Reeza
memandang sinis ke arah Dani.
Dani mengetap gigi kuat. Tahu yang Reeza sedang
memerlinya. Pantas Airis memegang lengan Dani dan dia
tersenyum ke arah Reeza.
“Maaf, bukan I tak nak berkawan dengan you, tapi
kalau nak jadi kawan I tu susah sikit,” ujar Airis. Dia cuba
mengawal keadaan.
“Tak apa. I suka bersusah dahulu sebab mungkin di
akhir nanti I akan mendapat kesenangan. Well, the best man
wins,” jawab Reeza.

No comments:

Post a Comment