AIRIS baru saja memarkirkan keretanya di
lot parkir kondominiumnya. Belum sempat enjin kereta
dimatikan, telefonnya berbunyi nyaring. Telefon diambil dan
bibirnya menguntum senyum.
“Airis, kau ada kat mana? Rindulah dengan kau.”
Suara Dani pantas menerjah telinga.
“Assalamualaikum,” ucap Airis. Terdengar Dani
ketawa kecil di hujung sana. Terkenalah tu!
“Waalaikumussalam,” Dani membalas.
Mengekek Airis ketawa.
“Kau ni sengaja kan nak kenakan aku. Kau ada kat
mana sekarang ni?” tanya Dani.
“Aku baru sampai rumah. Kenapa?” soal Airis
semula. Dia menyangkut beg tangan dan memegang briefcase
sebelum membuka pintu kereta dan keluar. Keretanya pantas
dikunci dengan alat kawalan jauh.
“Umi suruh kau datang rumah. Nak buat
makan-makan sikit,” ujar Dani.
“Makan-makan? Untuk apa?”
“Saja. Alah... kau datanglah.”
“Bila?” Butang lif segera ditekan.
“Malam ni. Datanglah...” pujuk Dani lagi.
“Kau datang jemput akulah macam tu. Malaslah nak
drive.”
“Okey. Malam ni pukul 8 malam aku datang jemput
kau kat kondo kau,” ujar Dani.
“Orait. Kau jangan tak datang ambil pula, nanti aku
cakap kat umi.” Airis tergelak kecil.
“Okey. Bye.”
“Bye.” Airis menyimpan kembali telefon ke dalam
beg tangannya. Dia meneruskan langkah ke pintu lif.
MALAM ITU tepat jam 8 malam Dani sudah sampai.
Terkocoh-kocoh Airis turun. Dari jauh sudah kelihatan kereta
Dani terparkir. Airis tersenyum dan dia makin melajukan
langkah.
“Opss!” Airis tersenyum malu apabila dia membuka
pintu di sebelah pemandu, Fareez sudah berada di situ.
Fareez tersenyum.
“Biar saya duduk belakang,” ujar Fareez. Berkira-kira
mahu keluar.
“Eh, tak apa Fareez. Biar saya yang duduk belakang.
Sorry, ingat tak ada orang,” ujar Airis. Pintu penumpang
belakang segera dibuka dan dia mengambil tempat di situ.
Dani yang berada di tempat duduk pemandu pantas
berpaling ke belakang.
“Fareez nak ikut. Itu yang aku bawa dia sekali,” ujar
Dani.
“Oh...” Airis mengangguk perlahan.
“Cantik ya kawasan kondo ni. Nampak mewah,”
ujar Fareez sambil matanya memerhati kawasan sekeliling
sebelum matanya memandang sayup ketinggian bangunan di
depannya.
“Bukan nampak mewah, tapi memang mewah pun,”
ujar Dani. Enjin kereta dihidupkan dan dia memasukkan gear
sebelum perlahan-lahan keretanya meninggalkan pekarangan
kondominium Palma Height itu.
“Kenapa tinggal sini? Saya ingat Airis duduk dengan
parents Airis,” soal Fareez. Badannya disendengkan sedikit
bagi memudahkan dia bercakap dengan Airis yang berada di
belakang.
“Senang sikit. Dekat dengan tempat kerja,” ujar Airis
pendek.
“Airis ni memang, bukannya nak tinggal sekali
dengan papa dia tu,” sampuk Dani.
“Apasal pula?” Fareez memandang Dani.
“Pasal tak ngam dengan seseorang...”
“Ehem!” Airis berdeham kuat. Tajam matanya
memanah mata Dani yang ketika itu sedang memandangnya
melalui cermin pandang belakang. Terus Dani terdiam.
“Pasal apa Dani?” soal Fareez lagi. Tidak puas hati
kerana Dani tidak menghabiskan kata-katanya tadi. Kemudian
dia berpaling semula ke belakang.
Airis tersenyum dan pantas menggeleng laju.
“Tak ada apa-apalah. Eh! Dah sampai pun kita.
Tak sedar pula ya.” Airis pantas menukar topik. Bahu Dani
ditepuk perlahan.
Dani tersengih. Tahu yang dia hampir terlajak kata.
Mereka bertiga keluar dari kereta dan berjalan
masuk. Apabila melihat Fareez sudah jauh ke depan, pantas
Airis mencekak kolar baju Dani dan ditariknya sedikit ke
belakang.
“Kau jangan sesekali terlepas cakap pasal benda tadi
pada orang lain ya. Kalau kau terlepas cakap, aku sunatkan
kau buat kali kedua!” Airis memberi amaran keras.
Dani mengangguk laju.
“Sorry sayang. Aku janji yang aku takkan buat lagi.
Sakit woo kalau kena sunat lagi,” ujar Dani.
Airis mencebik.
“Tahu pun! Kalau kau buat juga, aku tak teragak-agak,
terus potong!” ugut Airis sambil membuat aksi memotong
dengan jari telunjuknya dan dia segera berjalan masuk.
Dani menelan liur. Seriau juga dengan Airis. Jangan
dibuat bergurau dengan minah seorang ini.
Langkah Airis terhenti. Tajam matanya memandang
Marina. Tidak suka bertembung begini. Airis meneruskan
langkah tanpa mempedulikan Marina.
“Chinta...” panggil Marina apabila dia berselisih
dengan Airis. Kaki Airis terhenti semula. Dia langsung tidak
memandang wanita itu.
“Chinta apa khabar? Dah lama Chinta tak balik
rumah.” Marina menegur Airis.
Airis tergelak sinis.
“Rumah siapa? Rumah papa aku ke?” Airis menjeling.
Terkedu Marina seketika. Dia menundukkan
wajahnya.
“Kau tak payahlah nak sibuk-sibuk. Jangan nak
masuk campur urusan aku.” Keras nada Airis.
Sekali lagi Marina tertunduk. Matanya mula
bergenang tetapi dia cepat-cepat tahan.
“Airis...” Dani muncul dan memandang wajah
Marina dan Airis silih berganti. Dia perasan perubahan di
wajah wanita itu.
“Aunty masuk dulu ya, Dani.” Marina cepat-cepat
masuk. Dia sudah lupa untuk mengambil telefon yang
tertinggal di dalam kereta tadi.
“Kenapa kau tak cakap yang perempuan tu datang
juga? Kalau aku tahu, aku pasti...”
Bicara Airis dicantas laju oleh Dani.
“Pasti apa? Pasti tak nak datang? Aku dah tahu kalau
aku cakap, kau mesti tak nak datang juga, kan?” ujar Dani.
Airis memandang Dani dengan marah.
“Kau tahu kan aku tak suka? Tapi kau berahsia juga
dengan aku,” marah Airis. Dia berpaling dan mahu keluar
dari situ, namun Dani pantas menangkap lengan Airis.
Langkah Airis tersekat.
“Ya, aku tahu. Tapi sampai bila kau nak berdendam?
Perkara tu dah lama. Takkan kau tak boleh nak lupakan
perkara tu? Come on Airis.” Dani berusaha memujuk lagi.
Bahu Airis dipegang erat dengan kedua-dua belah tangannya.
“Kau nak aku lupakan perkara tu? Kau cakap
memanglah senang, sebab bukan kau yang kena. Tapi aku,
tahu tak? Aku!” tempik Airis kuat. Tangan Dani yang berada
di bahunya ditepis kasar. Merah matanya memandang ke arah
Dani. Dia benar-benar marah dan dalam masa yang sama
turut sedih mengenangkan nasibnya.
Terkedu Dani melihat keadaan Airis. Jarang sekali
dia melihat Airis seperti itu. Kali ini terus mati kata-katanya.
“Dani, Airis... kenapa ni?” Hashimah sudah berkejar
ke arah mereka berdua apabila mendengar suara nyaring
Airis tadi.
Dani dan Airis pantas menoleh. Mata kedua-duanya
bersabung dengan berpasang-pasang mata yang sedang
memandang hairan ke arah.
Airis tiba-tiba melarikan diri apabila matanya
tertancap pada wajah yang paling dia tidak suka. Rasa
marahnya mula mencanak naik.
“Airis!!!” laung Dani kuat sebelum dia berkejar ke
arah Airis yang sudah berlari keluar.
“Kenapa dengan Airis?” Nasha pandang Hashimah.
Pelik melihat Airis yang meluru keluar dan Dani mengejar
dari belakang.
Hashimah memandang Khalil. Nampak sangat
yang lelaki itu turut terkejut dengan reaksi Airis tadi. Khalil
mengeluh perlahan sebelum dia ikut berlari keluar. Makin
pelik Nasha, Farid, Fareez dan Aleeya dengan situasi yang
berlaku di depan mereka.
“Tak ada apa-apalah. Jom semua, duduk semula.”
Razif menyampuk dan menjemput mereka duduk.
Masing-masing akur walaupun wajah masing-masing masih
lagi berkerut tidak faham.
“Jom duduk dulu, Marina. Biar Khalil dengan Dani
pujuk Airis.” Hashimah menarik tangan Marina ke arah sofa
semula.
“Tapi...” Marina ingin membantah, namun
melihatkan Hashimah memandangnya, dia terus akur dan
kembali duduk.
“Kak...” Nasha mencuit perlahan tangan Hashimah.
Hashimah berpaling. Adiknya memberi isyarat
supaya dia mengikut ke dapur. Dia tersenyum kepada
tetamunya sebelum mengikut Nasha dari belakang.
Nasha menarik lengan Hashimah dan matanya
memandang ke arah pintu dapur. Mahu memastikan tiada
orang lain di sekitar mereka.
“Apa hal kamu ni Nasha?”
“Kak, kenapa dengan Airis tu?”
“Kenapa apa?” tanya Hashimah semula. Dia tahu apa
yang mahu ditanyakan oleh adiknya itu sebenarnya.
“Akak ni buat-buat tak faham pula. Sejak bila Airis
ada mama tiri?” Nasha berbisik perlahan. Mata dihalakan ke
muka pintu. Takut ada yang memasang telinga.
“Isy... kamu ni apasal nak busybody sangat?”
“Bukannya nak busybody kak. Seingat saya mama
Airis bukan Melayu tulen, kan?” Terkejut juga dia tadi apabila
Khalil memperkenalkan Marina.
“Hesy, kamu ni.” Hashimah memandang Nasha yang
nampak bersungguh-sungguh mahu mengorek cerita. “Khalil
dengan Melissa dah lama bercerai. Lepas tu Khalil kahwin
dengan Marina,” ujar Hashimah seringkas yang mungkin.
Tidak elok sebenarnya bercerita kisah rumah tangga orang
lain.
“Ooo... macam tu ke? Tapi sebab apa Khalil dengan
Melissa bercerai?”
Tajam pandangan Hashimah ke arah Nasha.
“Tak payahlah nak sibuk hal orang. Kita kena hormat
privasi mereka,” tegur Hashimah.
“Sorry kak.” Nasha angguk. Sedar yang dia sudah
melebih-lebih.
“Hmmm...” balas Hashimah.
“Jadi, kenapa Airis nampak macam tak suka aje
tengok papa dengan mama dia kat sini? Airis bergaduh dengan
mereka berdua ke?” tanya Nasha lagi. Bukan dia seorang saja
perasan dengan riak wajah Airis, malah semua yang ada di
situ perasaan akan hal itu.
“Airis baik dengan Khalil, cuma dia tak suka dengan
Marina aje.”
“Kenapa tak suka pula?”
“Isy... kamu ni banyak tanyalah. Hal keluarga
diaorang, biarlah mereka uruskan. Kita ni orang luar, tak
baik masuk campur. Dah, akak nak keluar ni. Nanti apa pula
kata mereka semua tengok kita berdua lama-lama kat sini.”
“Eh, kak...” panggil Nasha.
Hashimah bangun dan meninggalkan Nasha seorang
diri. Nasha tidak sempat menghalang Hashimah apabila
tubuh kakaknya sudah menghilang di balik pintu. Nasha
duduk sambil menongkat dagu.
No comments:
Post a Comment