“ENCIK nak bawa saya pergi mana ni? Encik
nak culik saya ke?” Aira masih lagi bingung dengan tindakan
Amar yang menarik tangannya tiba-tiba.
Ketika ini Amar nampak tenang memandu tanpa
sedikit pun menoleh ke arah Aira. Sengaja membiarkan gadis
itu dalam teka-teki.
“Encik, encik dengar tak apa yang saya tanya ni?”
Aira tak senang duduk di dalam kereta itu. Rasa nak terjun
ikut tingkap saja kalau tidak fikirkan keselamatan diri.
“Hesy, kau boleh diam tak?” Amar terus membentak
sambil menoleh sekilas ke arah Aira.
Aira mendengus geram.
“Takkanlah saya nak diam aje. Saya kena tahu kat
mana encik nak bawa saya. Takkanlah encik nak culik saya!”
“Tak ada maknanya aku nak culik kau. Kau bukannya
kaya pun! Mak bapak pun entah ke mana.” Amar memberi
jawapan sinis.
Aira diam. Kata-kata Amar tadi benar-benar
membuatkan dia tersentak dan sedih.
“Sorry. Aku minta maaf. Opss, sorry again, saya
minta maaf. Aku tak ada niat nak buat kau sedih.” Amar yang
menyedari kesilapannya segera memohon maaf.
Aira hanya diam.
“Aira, aku tak selesalah ber'saya-awak'. Boleh tak
aku kekalkan panggilan ni? Entah kenapa aku rasa selesa bila
bahasakan aku dan kau. Aku rasa dekat aje dengan kau.”
Aira mula mengeluh perlahan.
“Terpulanglah, asalkan encik bahagia. Saya dah
malas nak serabutkan kepala fikirkan benda yang simple
walaupun ia sebenarnya memberi impak yang besar dalam
sesuatu hubungan.” Aira mengalah. Memang susah mahu
berurusan dengan orang keras kepala dan selalu nak menang.
“Thanks!” Tanpa sedar bibir Amar mengorak senyum.
Aira menarik nafas seketika. Pandangannya
dilemparkan ke luar kereta.
“Sebenarnya aku nak bawa kau pergi satu tempat.
Kita kena buat persediaan. Majlis perkahwinan hanya tinggal
tiga hari saja lagi. Jadi, segala urusan perlu dilakukan dengan
segera. Tapi, kau jangan bimbang, semuanya aku akan
uruskan.”
Aira tetap diam. Wajahnya hanya tunduk.
“Aira... Aira!” Amar sudah mula risau apabila Aira
terus berdiam diri. Sebelum ni bukan main becok lagi
mulutnya bercakap.
“Thanks again!”
Kepala Aira terus memandang wajah Amar.
“Terima kasih sekali lagi? Untuk apa?” Aira rasa pelik
wajah Amar.
“Aku belum ucapkan terima kasih pada kau sebab
kau sudi nak jadi isteri aku.” Amar mengukir senyum.
“Sebenarnya saya risau encik.” Aira bersuara
perlahan. Kedua-dua tangannya digenggam bersama.
“Risau? Apa yang kau nak risaukan?” Amar
memandang sekilas ke wajah Aira sebelum kembali
menumpukan perhatian pada pemanduannya. Silap tumpuan,
boleh membawa padah!
Aira menarik nafas seketika. Dia tunduk memandang
jari-jemarinya.
“Saya risau saya tak mampu berikan yang terbaik
untuk encik. Dan boleh ke keluarga encik menerima saya
bila mereka tahu siapa diri saya? Atau mungkin sebenarnya
orang tua encik sudah ada pilihan lain untuk dijodohkan
dengan encik? Macam mana saya nak berhadapan dengan
saudara-mara dan kawan-kawan encik?” Aira meluahkan apa
yang dia rasa sebenarnya.
Jeda.
“Aduh!” Aira tiba-tiba mengaduh sambil
menggosokkan kepalanya.
“Apa ni? Encik ni, suka sangat ketuk kepala saya ni
kenapa? Dah jadi hobi ke atau dah jadi tabiat?” Aira tiba-tiba
bengang. Tajam matanya menjeling ke arah Amar.
“Kau rasa?” Amar melirik nakal sambil menahan
senyum.
“Saya rasa? Mestilah rasa sakit.” Aira menahan
geram.
Amar ketawa kecil.
“Apasal encik gelak? Lucu sangat ke dapat ketuk
kepala saya? Kalau benjol dan bengkak kepala saya, siapa yang
nak bertanggungjawab?” Aira mendecit.
“Aku gelak sebab kau tak jawab dengan betul.” Amar
ketawa beria-ia.
“Encik soal apa?” Aira mula bingung. Berhadapan
dengan lelaki ini membuatkan hatinya sentiasa rasa panas
dan bengang. Ada saja benda yang boleh menyakitkan hatinya.
“Sebenarnya aku tak kisah apa tanggapan kau pasal
apa yang aku buat tadi. Masa aku dengan Tasya... sorry.
Maksud aku, my ex-fiance, aku tak ada habit macam ni. Tapi
bila dengan kau ia timbul secara natural. Dan bila dengan
kau jugak aku rasa ceria dan terhibur. Aku rasa siapa diri
aku yang sebenar. Aku tak perlu berpura-pura. I’m free to
do anything and seriously, I’m happy to be with you!” Amar
memandang ke arah Aira. Senyuman manis dihadiahkan buat
bakal isterinya.
Aira tergamam seketika melihat senyuman Amar.
Nampak keikhlasan pada wajah lelaki itu.
“Memang aku mengaku yang kita baru aje kenal,
tapi entah kenapa aku rasa dekat dengan kau. Kau tahu tak
macam mana aku nak habiskan tempoh dua hari yang kau
peruntukkan pada aku untuk buat keputusan? Fuh! Hidup
aku tak tenteram, selalu saja teringatkan kau. Aku risau
sangat kalau-kalau kau tolak lamaran aku.”
Aira melirik sekilas ke arah Amar.
“Aku pun tak faham kenapa aku selalu terbayangkan
muka kau. Nak buat kerja pun tak senang, nak tidur pun tak
lena... nak makan pun tak kenyang. Entah-entah kau dah
bomohkan aku tak?” Amar tergelak kecil.
“Isy, encik ni! Apa ke jadahnya saya nak bomohkan
encik pulak!” Aira ketap bibir. Geram betul mendengar
tuduhan Amar. Cukup tak berasas!
“Ya ke? Betul ni kau tak ada bomohkan aku?” Amar
memandang wajah Aira.
“Mana ada saya bomohkan encik. Menyampahkan
encik lagi adalah!” Aira meluah kata dengan rasa panas hati.
“Ha, betullah tu. Kan Allah akan balikkan apa yang
kita sebut. Sebabkan kau menyampahkan aku, tu yang
buatkan aku selalu teringatkan kau.”
“Ya ke?”
‘Betul ke macam tu?’ Aira mula keliru.
“Kau kena ingatkan aku dan rindukan aku selalu.
Barulah aku tak ingatkan kau.”
Sekali lagi Aira menjeling ke arah lelaki itu. Nampak
sangatlah Amar memang sengaja nak kenakan dia.
“Dahlah. Malas saya nak layan encik cakap merapu
ni.” Aira mengalah. Tak pasal-pasal dia yang malu nanti.
“Aira.” Amar kembali bersuara selepas beberapa
ketika mereka mendiamkan diri seolah-olah tiada topik
untuk dibicarakan.
“Aku cuma nak kau rasa selesa bila berada dengan
aku. Aku sebenarnya tak pasti yang perkahwinan kita akan
bertahan berapa lama seperti yang kau cakapkan tadi. Ikhlas
aku cakap yang aku mengharapkan perkahwinan ini adalah
perkahwinan aku yang pertama dan yang terakhir. Tapi,
semua itu perancangan Allah. Siapalah kita nak melawan
takdir dan aku pasti perkahwinan kita nanti akan mendapat
tentangan daripada orang tua aku terutama mama aku. Jadi,
aku harap kau dapat bersabar dengan kerenah mereka.”
Kata-kata Amar tentang penerimaan orang tuanya
terhadap perkahwinan mereka membuatkan hati Aira mula
resah dan gelisah. Tak dapat nak dibayangkan kehidupannya
nanti tanpa restu daripada orang tua Amar. Pasti hidupnya
akan merana dan sengsara. Mampukah dia melaluinya
dengan tabah? Kuatkah dia? Belum apa-apa, dia sudah mula
gusar dan takut.
“Okey, jom turun,” ajakan Amar itu segera
mematikan lamunan Aira.
Lambat-lambat Aira berjalan di belakang Amar
mengikut langkah panjang lelaki itu. Melilau juga matanya
melihat sekitar pusat membeli-belah yang begitu hebat.
Pertama kali dia melihat tempat mewah seperti ini.
“Hei, apasal kau jalan terhegeh-hegeh kat belakang?
Kau nak jadi bodyguard aku ke?” Amar menghentikan
langkah dan berpaling ke belakang sambil bercekak pinggang.
Mungkin dia marah kerana berjalan sendirian sedangkan dia
datang berteman.
“Seganlah saya nak jalan dengan encik. Nanti saya
malukan encik.” Aira merenung wajah Amar seketika.
“Dah, dah... tak payah cakap banyak.” Amar terus
menyambar tangan Aira membuatkan Aira tersentak. Dia
berusaha menarik tangannya tapi makin ditarik, makin kuat
pegangan tangan lelaki itu.
“Aku tak nak kau jalan jauh dari aku. Tempat ni
ramai orang. Kalau kau hilang, susah aku nak cari.” Amar
memberi alasan.
“Saya bukannya budak-budak. Tak payahlah nak
pegang-pegang!” Aira cukup segan dengan tindakan Amar.
Dia mana pernah berpegangan tangan, apatah lagi dengan
lelaki yang bukan mahram.
“Kalau kau banyak bunyi, aku cium kau dekat sini.
Biar orang tengok. Kau nak ke aku cium kau?” Amar mula
memberi ugutan dengan muka serius.
Laju Aira geleng kepala sambil menundukkan wajah.
Takut mahu memandang ke arah lelaki yang bakal menjadi
suaminya.
“Jadi, kau tak payah nak fikir banyak. Tiga hari lagi
kita akan jadi suami isteri. Bukan setakat tangan kau aje aku
boleh pegang, yang lain-lain pun aku boleh pegang dan boleh
tengok!” Amar mengukir senyum sinis membuatkan wajah
Aira merona merah.
“Susahlah cakap dengan encik ni. Selalu aje nak
menang!” Aira merungut perlahan.
“That’s me. I’m always the winner.” Amar mendabik
dada.
“Encik yakin ke?” Aira menaikkan keningnya.
“Sekali lagi kau cabar aku, aku memang akan
cium kau kat sini!” ugut Amar. Geram betul apabila Aira
mencabarnya.
Aira mendengus perlahan.
Amar menarik tangan Aira laju dan akhirnya mereka
singgah di sebuah kedai barangan kemas. Melilau matanya
melihat pelbagai jenis dan bentuk cincin yang ada di situ.
Tak sangka bukan main cerewet lagi Amar ketika
mahu memilih sebentuk cincin untuknya. Lepas satu, satu
dibelek dan diteliti sampaikan Aira naik pening. Nasib baiklah
pelayan kedai tu layan dengan baik. Apa tidaknya, cincin
yang dipilih oleh lelaki itu bukan main mahal harganya. Aira
tengok dan dengar harga saja pun dah semput. Mana dia
mampu nak beli, tengok benda mahal pun pertama kali.
“Aira, kau rasa yang ini okey tak?” Amar menayangkan
cincin yang baru diambilnya.
“Terpulang enciklah. Saya ni memang tak mahir
bab-bab macam ni.” Aira takut nak beri pendapat.
“Hesy, mana boleh. Kalau aku pilih, nanti kau tak
berkenan pulak.” Amar membelek beberapa bentuk cincin
yang lain pula.
“Encik, sebenarnya encik nak beli cincin untuk
siapa?” Aira agak tergamam mendengar kata-kata Amar
tadi. Kalau tak silap pendengarannya, lelaki itu ada sebut
perkataan ‘kau’. Bukankah kau tu bermaksud untuk dia?
Betul ke atau dia hanya bermimpi? Perlahan-lahan Aira
mencubit lengannya.
“Untuk siapa lagi, untuk kaulah. Takkanlah untuk
orang lain pulak. Aku kan nak kahwin dengan kau, jadi aku
nak pilih cincin kahwin untuk kaulah!” Amar mendengus
kasar.
“Encik nak beli cincin untuk saya ke?” Aira rasa
macam mimpi.
Amar memilih cincin kahwin untuk dia? Wow!
Perasaan Aira macam nak melayang. Rasa seronok sangat
tiba-tiba.
“Yalah. Apasal kau ni lembab sangat.”
Serentak itu dahi Aira menjadi mangsa ketukan
tangan Amar. Dia menarik muka masam. Geram sangat
kerana dia selalu jadi mangsa buli lelaki itu.
“Ingat, jangan kau nak tarik balik keputusan kau.
Aku saman kau nanti!” ugut Amar sambil matanya merenung
tajam ke wajah Aira.
Aira tunduk. Segan dia apabila jurujual itu mula
tersenyum-senyum ke arahnya.
“Cuba encik pakaikan cincin ni kat jari tunang encik,
tengok sesuai atau tidak,” jurujual itu memberi saranan.
“Oh ya. Kenapa awak tak cakap awal-awal?”
“Bak sini tangan kau.”
Melihat Aira yang teragak-agak menghulur
tangannya, Amar terus mencapai tangan gadis itu. Digenggam
tangan itu seketika sebelum menyarungkan sebentuk cincin
ke jari manis Aira.
“Macam mana, okey tak?” Amar membelek-belek
cincin yang tersarung di jari Aira.
Aira menggeleng kepala kerana dia tidak sukakan
reka bentuk cincin itu.
Amar menukar dengan yang lain dan dia turut
bertanyakan pendapat Aira. Aira tetap memberikan reaksi
yang sama.
“Isy, kau ni! Dari tadi asyik menggeleng kepala aje.
Dah tak ada mulut nak cakap?” Amar mula melenting. Jenuh
dia memilih cincin. Bukannya murah!
“Encik jugak yang tak nak saya cakap banyak. Kalau
saya cakap banyak, nanti encik...” Aira pamer muka selamba
membuatkan darah Amar kembali mendidih.
“Kau ni, memang sengaja nak kena cium dengan
akulah!” marah Amar kasar membuatkan Aira tersentak.
Bukan Aira saja yang terkejut, jurujual tadi turut terhinggut
bahunya. Macam dia pula yang kena marah.
“Macam inilah, encik pilih aje mana yang encik
berkenan, saya tak kisah. Lagipun bukan saya yang bayar.
Kalau saya pilih yang mahal nanti, encik jugak yang susah
hati.” Aira meluah pendapat membuatkan Amar menjeling
tajam ke arahnya. Memang jelas yang dia tidak puas hati.
“Susah-susah sangat tak payahlah beli, yang penting
akad nikah aje, kan? Lagipun, aku rasa cincin mahal ni tak
sesuai dengan status kau.” Amar memberi komen dengan riak
kerek dan terus menarik tangan Aira keluar dari kedai itu.
Aira hanya mampu mengikut langkah laju Amar
dengan rasa sebal. Menyesal pula tak pilih cincin tadi. Kan
diri sendiri yang rugi bila lelaki itu merajuk.
DESTINASI YANG seterusnya ialah butik pengantin. Macam
tadi, tangan Aira terus digenggam Amar sebaik saja dia keluar
dari kereta. Aira tidak mampu nak kata apa, bimbang lelaki
itu mengamuk. Karang haru jadinya.
Kemunculan Amar di butik itu disambut oleh
seorang gadis. Mereka bercakap seketika sambil diperhati oleh
Aira yang tidak jauh dari mereka. Tak berani dia mendekat.
Mereka kelihatan mesra. Selepas itu muncul wanita anggun
dan mereka bertiga kembali rancak berbual. Sesekali wajah
Aira menjadi santapan mata mereka.
“Okey. Cik Aira, kan?” Gadis yang bercakap bersama
Amar tadi datang menghampiri Aira. Senyuman manis
terukir di wajahnya.
“Ya, saya Aira.” Aira cuba ukir senyum.
“Nama I Jessica. Tapi semua orang panggil I Jessi.”
Gadis itu meneliti penampilan Aira dari atas ke bawah.
Aira gelisah seperti dirinya discan oleh Jessi.
‘Mesti dia nak kutuk penampilan aku ni!’ desis Aira
sambil mengetap bibir.
“Macam mana?” Tiba-tiba Amar ada di sebelah Aira.
Nasib baik Aira tak melatah. Kalau tidak, turun sahamnya.
“Nice and perfect. Encik Amar jangan bimbang.
Semuanya boleh diatur.” Jessi ukir senyum manis.
“I bergantung pada you, Jessi.”
“Hai Aira. Nama aunty, Datin Nureen.” Wanita
anggun tadi memperkenalkan diri sambil mengukir
senyuman mesra.
“Aira.” Aira menghulur tangan untuk bersalaman.
“Don’t worry, dear. Jessi is one of the best designers
in Malaysia. Aunty yakin semua orang pasti akan terpegun
melihat penampilan Aira nanti dan aunty rasa Amar lebih
sesuai dengan Aira kalau nak dibandingkan dengan Tasya.”
Datin Nureen terus memberi komen sambil mengukir
senyum.
“Ya ke?” Bibir Amar mula mengoyak senyum.
Sempat dia melirik ke arah Aira yang mula nampak tidak
selesa apabila digandingkan dengannya.
‘Alah, pura-pura malu dan segan konon. Padahal
seronok bila aunty cakap macam tu.’ Amar mengutuk
bersama senyuman senget di bibirnya.
Pada masa yang sama Jessi beredar untuk mengambil
baju untuk dipadankan dengan Aira. Datin Nureen meminta
diri kerana dia ada hal yang perlu diuruskan.
“Amacam, kau dah ready nak jadi isteri aku?” bisik
Amar di telinga Aira membuatkan gadis itu tersentak.
Aira memandang wajah Amar seketika.
“Kalau saya tak ready, saya boleh cancel ke?” Aira
menaikkan keningnya sambil mengukir senyum.
“Kau ni... suka sangat naikkan darah aku, cabar
aku. Ingat, kalau kau cancel wedding ni, aku akan saman
kau. I mean it! Kan aku dah cakap tadi, jangan buat hal. Aku
boleh buat apa saja dengan kau. Kau belum kenal siapa aku!”
Amar memberi ugutan keras membuatkan Aira menelan
liur. Terkulat-kulat dia memandang wajah Amar yang sudah
merah.
Entah kenapa perasaan teruja nak kahwin seperti
orang lain tiada. Sudahlah dia sorang-sorang di sini. Hari dia
kahwin pun, ibu tak akan hadir. Jadi, dengan siapa dia hendak
berkongsi hari bahagianya? Betulkah hari tu hari bahagianya?
Dalam diam hati Aira menjadi sebak tiba-tiba.
“Ingat, kau jangan nak mengada-ada buat hal. Bila
aku dah pilih kau, itu bermakna kau kena ikut apa yang aku
cakap. Tak boleh ada sebarang bantahan. Faham!”
Terjongket bahu Aira mendengar arahan lelaki itu.
“Ya, apa-apa ajelah.” Aira terpaksa akur. Dah malas
nak bertekak. Faham sangat dengan perangai Amar walaupun
mereka baru kenal. Apa tidaknya, selalu nak orang ikut cakap
dia dan selalu sangat nak menang.
‘Tak apa, kita tunggu dulu. Tapi kan... aku rasa,
lama-lama nanti kaki aku ni boleh naik ke muka dia!’ Aira
tersenyum sendiri.
“Apa ni senyum sorang-sorang? Mesti mengumpat
akulah tu!” Tiba-tiba suara Amar menerjah ke telinga Aira
membuatkan dia tercengang.
‘Eh, dia ni ada sixth sense ke? Boleh tahu yang aku
tengah mengumpat pasal dia?’
“Mana ada. Senyum pun tak boleh ke?” Aira
menghadiahkan jelingan ke arah Amar.
“Tak payah nak jeling-jeling. Nanti juling pulak mata
kau. Aku tak nak orang cakap isteri aku cacat.” Amar senyum
senget membuatkan Aira mengetap bibir.
“Aduh!” Amar mengaduh sambil menggosok
bahunya apabila gadis itu memukul bahunya dengan majalah.
“Alah, kena sikit pun dah mengaduh. Manja betul!”
Aira menyindir sambil mencebik bibir.
“Huh, ada-ada aje mulut kau tu nak balas cakap
aku!” Amar mendengus.
Aira tayang senyum. Siap angkat tangan buat gaya
peace.
Amar kemam bibir. Cuba kawal senyum apabila
melihat aksi comel bakal isterinya itu.
“Cik Aira, jom ikut I. You kena cuba baju. Nanti
Encik Amar akan pilih mana yang sesuai,” celah Jessi secara
tidak langsung memberhentikan perbualan Amar dan Aira.
“Maksud Cik Jessi, saya kena pakai baju pengantin
dan Encik Ammar ni bagi komen?” soal Aira seakan tidak
percaya.
“Ya, permintaan Encik Amar sendiri.” Jessi segera
memandang wajah Amar dan lelaki itu terus menaikkan
keningnya. Kemudian Amar menayang senyum dan
mengangkat tangan, buat gaya peace. Sengaja meniru gaya
Aira tadi.
“Teruklah kalau macam tu.” Bahu Aira mula jatuh.
“You know what, Encik Amar ni memang cerewet
orangnya. You kena hati-hati.” Jessi berbisik perlahan di
telinga Aira semasa mereka meninggalkan ruang santai di
butik itu.
Hati Aira mula resah dan berdebar-debar.
“Don’t worry, dia okey sebenarnya. Cuma kita kena
pandai ikut rentak dia.” Jessi tergelak kecil. Kasihan pula
apabila melihat wajah gadis di hadapannya mula berubah
menjadi pucat.
Hati Aira mula tenang kembali. Perlahan-lahan nafas
ditarik. Hari ini, dia menjadi model dengan menggayakan
beberapa helai baju pengantin sampai dia naik jemu.
“Yang ni, okey tak?” Aira berdiri di hadapan Amar.
“Tukar lain.”
Amar terus mengarah dengan muka serius
membuatkan Aira menjeling tajam. Masuk kali ini hampir
sepuluh helai baju dia mencuba. Tiada satu pun yang berjaya
menarik perhatian lelaki itu. Benarlah kata Jessi, Amar cukup
cerewet orangnya. Ada saja benda yang nak dikomennya
sehinggakan Jessi mula pening kepala.
“So, you nak yang mana?” Jessi minta komen
daripada Aira.
Amar memandang wajah Aira.
“Encik, saya dah tak nak cuba yang lain. Penat tahu
tak. Lagipun, saya tak selesalah nak tayang badan depan encik.
Encik pulak pandang saya semacam. Seram saya jadinya!”
rungut Aira yang sudah penat mengikut rentak Amar.
Akhirnya dia menundukkan kepalanya apabila sepasang mata
Amar begitu tajam merenungnya.
“Dah, tak payah nak cakap banyak. Kita keluar
sekarang, ada banyak benda yang kita kena uruskan.” Amar
pamer muka masam.
“Jessi!”
Jessi terus memandang wajah Amar.
“I will call you tomorrow.” Amar mengukir senyum,
sempat lagi dia mengenyitkan mata ke arah Jessi.
“No problem.” Jessi menghadiahkan senyuman.
Aira mengikut langkah Amar ke kereta.
“Hai, apasal tercegat lagi kat situ? Kau nak aku
tolong bukakan pintu ke?”
Sekali lagi Aira tersentak apabila Amar
menyergahnya.
‘Hailah... asyik kena sergah aje. Semput jantung aku
jadinya kalau terus hidup dengan lelaki ini!’
Aira membuka pintu dan masuk tanpa banyak cakap.
Amar pula menghidupkan enjin kereta.
“Kita nak pergi mana lagi ni? Saya dah penat dan tak
larat dah ni,” ujar Aira yang betul-betul rasa penat.
“Kita pergi makan. Aku lapar.”
Aira diam. Dia setuju dan mengakui bahawa perutnya
juga terasa lapar. Sepanjang perjalanan, masing-masing
hanya mendiamkan diri.
“Esok aku nak bawa kau jumpa parents aku. Aku
nak kenalkan kau dengan mereka. So, esok aku jemput kau.
Kau bagi aku alamat rumah sewa kau.” Amar menyatakan
perancangannya.
“Hai, diam aje?” soal Amar apabila tiada respons
daripada gadis itu. Serentak itu juga dia menoleh.
“Patutlah, tidur rupa-rupanya. Penat sangat kut!”
Amar tergelak kecil.
Sekali lagi Amar memandang seketika wajah Aira
yang sedang lena. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman
teringatkan peristiwa di butik tadi. Sengaja dia mendera gadis
itu untuk memperagakan beberapa pasang pakaian pengantin
untuk ditayangkan di hadapannya.
Dalam diam, Amar memuji kecantikan Aira.
Nampaknya tidak sia-sia dia memilih Aira sebagai isteri
segeranya. Apa saja yang dipakai oleh gadis itu, segalanya
terlihat cantik terletak sehingga membuatkan hatinya tidak
keruan. Malah dia terpaksa berlakon buat-buat tenang.
“Aira, kenapa bila kau bersama dengan aku, perasaan
aku jadi... Ah, sukar untuk aku nyatakan apa yang aku rasa.
Tapi yang paling aku pasti, aku rasa bahagia.”
Tiba-tiba bibir Amar mengukir senyum saat matanya
menoleh seketika ke wajah Aira yang sudah terlentok dengan
mata yang terpejam rapat. Comel! Hanya itu yang mampu
Amar simpulkan.
No comments:
Post a Comment