ZALYA pandang keliling. Staf di agensi itu nampak
sibuk melakukan kerja masing-masing. Macam tak terkesan
langsung duduk di dalam ofis yang sejuk beku macam kutub
utara begini.
Kepala Zalya tergeleng laju. Dibetulkan skarf yang
melingkar di leher. Mujur ada skarf. Tidaklah dia menggigil
kesejukan.
Damien akhirnya membuat kemunculan. Berkerut
sekejap dahi Zalya apabila lelaki berkulit sawo matang itu
memperkenalkan diri sebagai Damien Cheung. Kacukan
Cina-India agaknya, fikir Zalya.
“Encik Nazif takde ke?”
“Kenapa Cik Zalya nak cari bos saya, ya?” Damien
menatap wajah klien berskarf biru itu. Klien di hadapannya
ini memang cantik! Sebab inikah Nazif mahu menggantikan
tempatnya tempoh hari?
“Oh, bukan apa. Saya saja nak tahu sebab hari tu saya
berurusan dengan dia. Dia tak masuk pejabat ke hari ini?”
Zalya cuba korek cerita.
“Hari ini Encik Nazif takde. Dia ada appointment
di luar. Tapi biasanya dia takkan turun ke bilik meeting ini.
Saya sendiri tak faham kenapa dia beria-ia nak gantikan saya
hari tu,” tutur Damien, berkias. Sengaja mahu menghantar
maksud tersirat.
Nanti dulu! Maksud Damien, Nazif sendiri yang
mahu menemuinya? Jadi pertemuan mereka tempoh hari
bukan satu kebetulanlah? Zalya bingung.
“Bila dia akan masuk semula ke pejabat?”
“Mungkin petang nanti. Waktu kerja bos saya
memang tak menentu sikit, Cik Zalya.”
Zalya hampa. Punyalah dia teruja datang ke Wisma
Seri pada hari ini. Ingatkan dapatlah dia tengok bayang lelaki
itu walau untuk sepintas lalu. Namun sia-sia sahaja. Habis,
takkan dia nak jadi penunggu di pejabat itu sampai petang?
Dia pun ada banyak kerja lain yang perlu dibuat.
“Tapi kalau cik nak bercakap dengan bos saya,
saya boleh telefon dia.” Damien sudah keluarkan telefon
bimbitnya.
“Eh, tak payah. Tak payah.” Zalya cepat-cepat
menghalang. Dia bukannya tiada nombor telefon lelaki itu.
Bila-bila masa saja Zalya boleh hubungi Nazif. Persoalannya,
hendak atau tidak sahaja.
“Betul Cik Zalya tak nak saya telefon dia?”
“Ya, awak tak perlulah ganggu dia. Mesti bos awak
tengah sibuk sekarang, kan?”
Damien angkat bahu sebelum menyimpan semula
telefonnya.
“Memandangkan cik dah setuju dengan pakej ini,
saya akan sediakan sebut harga. Lepas pihak cik buat bayaran,
kami akan terus buat segala persiapan untuk tempahan hotel,
tiket penerbangan dan lain-lain.”
“Okey. Sebut harga tu bila saya boleh dapat?”
“Sekejap lagi saya akan berikan kepada cik. Cik ada
apa-apa soalan lain sebelum saya keluar?”
Zalya menggeleng. Sementara menunggu,
disandarkan tubuhnya pada kerusi. Selepas Hanim buat
bayaran nanti, tiada alasan lagi dia untuk datang ke sini. Itu
bermakna, peluangnya untuk menemui Nazif semakin tipis.
Macam mana dia nak jumpa lelaki itu sekali lagi?
Puas Zalya perah otak. Tetapi tiada satu pun idea yang muncul.
Otaknya seakan membeku dek suhu penyaman udara yang
terlampau sejuk.
CHOCO LATTE direnung kosong. Minuman kegemarannya
nampak begitu tawar di matanya. Sama tawar seperti
perasaannya ketika ini. Kecewa. Patah hati. Frust menonggeng.
Sebab satu-satunya peluang yang di ada, dibazirkan begitu
saja. Hilang sudah peluang untuk dia ucapkan terima kasih.
Apatah lagi untuk membalas budi. Keluhan Zalya terhela
panjang.
“Kenapa you tak minum? Tak sedap ke?” Kevin tarik
kerusi lalu duduk bertentangan dengannya.
“Taklah. Saya tengah stres ni...”
“You stres pasal apa pula? Cuba cerita pada I.”
“Takde apa-apalah, Kevin. Saya tak nak susahkan
awak.”
Kevin tak mahu memaksa. Lalu dia menukar topik
perbualan.
“You tak nak makan? Cef I buat Pavlova cupcake hari
ni. Dijamin tak menyesal. Tak nak cuba?” usul Kevin.
“Percuma ke?”
“Kalau you nak makan percuma, you kena jadi isteri
tauke dulu.”
Isteri tauke? Maksudnya, jadi isteri Kevin? Huh! Tak
ingin dia!
“Banyak cantik muka awak?”
“Bukan banyak cantik, tapi banyak handsome. Shuài
ge (Lelaki kacak).” Kevin angkat-angkat kening.
Bahagian handsome itu, Zalya setuju. Jejaka
bernama Kevin ini memang ada rupa. Mujur seleranya bukan
tahap interracial.
“Awak memang takde kerja nak dibuat ke, Kevin?
Boleh pula awak berborak dengan customer macam saya?”
soal Zalya, enggan melayan usikan Kevin.
“I borak dengan you sebab you pelanggan setia kafe
I. Lagi satu...” Kevin bongkok ke depan, seolah-olah mahu
membisikkan sesuatu.
“You nampak tak budak perempuan yang tengah
duduk kat belakang I ni?”
Zalya angkat pandangan, melihat gerangan yang
dimaksudkan. Seorang gadis duduk tidak jauh di belakang
meja mereka. Wajah gadis itu tersorok dek topi yang dipakai
begitu rendah. Zalya hanya boleh nampak hidung dan
mulutnya sahaja.
“Kenapa dengan dia?”
“I rasa dia stalk I lah,” bisik Kevin.
“Awak jangan nak perasanlah! Entah-entah dia suka
minum di kafe awak aje.”
“Tak, Zalya. Ini semua bukan perasaan I semata-mata.
Dia hanya akan minum di kafe bila I ada. Staf I cakap kalau I
takde, dia takkan masuk ke sini pun. Lagi satu, I selalu dapat
mesej dari nombor yang I tak kenal. Hampir setiap hari pula
tu! Sebab tu I duduk dengan you. I nak tengok apa reaksi dia.”
“Kalau betul dia stalker, awak sedar tak awak baru
saja mengancam keselamatan diri saya? Macam mana kalau
stalker awak salah faham dan serang saya pula nanti?” Zalya
menjegilkan mata. Inilah natijahnya kalau terlampau banyak
menonton drama. Otak asyik fikir yang bukan-bukan.
“Please... tolong I, Zalya. Pura-pura jadi kekasih I
depan stalker I ni. Nanti I belanja you minum Choco Latte
free sebulan.”
“Hesy, tak naklah! Tak ingin saya jadi fake girlfriend
awak. Awak ingat ini cerita apa? Teman wanita upahan? I hate
you, Miss Stalker?” Zalya sekadar menyebut tajuk drama
rekaan sendiri.
Kevin tarik muka masam. Kecewa apabila Zalya
enggan menolong.
“Kenapa awak tak cakap terus terang aje dengan
stalker awak tu? Suruh dia jangan ikut awak lagi,” sambung
Zalya.
“I takut...” rengek Kevin.
Eee... Mengada-ada betul!
“You tolong I, ya?” pujuk Kevin lagi.
“Saya boleh tolong awak, tapi bukan dengan jadi
girlfriend awak.” Zalya angkat-angkat kening. Senyumannya
membuat Kevin risau.
Tiba-tiba Zalya bangun dari kerusi.
“Zalya, you nak ke mana tu?” Kevin diserang panik.
Tangannya menggagau cuba menggapai Zalya. Namun
tangannya tak sempat menghalang Zalya yang sudah
menonong ke meja stalkernya.
“Excuse me, adik? Awak tengah buat apa ni? Jadi
stalker Kevin ke?” Zalya terpaksa bahasakan gadis itu sebagai
adik. Sebab nampak muda sangat. Macam budak lepasan
sekolah.
“Huh?” Gadis itu nampak terpinga-pinga. Macam tak
faham apa-apa.
“Akak tanya, awak tengah buat apa? Stalk Kevin ke?”
ulang Zalya. Muka gadis bertopi besbol itu ditatap. Boleh
tahan comel juga orangnya. Takkanlah Kevin takut dengan
budak macam ni?
“Tak, kak. Saya cuma datang minum kopi aje.”
“Kopi? Yang adik tengah minum tu bukan air teh
ke?” Zalya tergeleng. Budak ini pun satu. Agak-agaklah kalau
nak membohong sekalipun. Takkan kopi dengan teh pun tak
tahu nak beza?
“Err...” Mulalah budak perempuan itu nampak gabra
satu macam.
“Kenapa adik ikut Kevin?” Zalya mula sesi soal siasat.
Berlagak macam inspektor polis dalam drama Gerak Khas.
Sejak dia kecil sampai sekarang, rancangan itu masih gigih
disiarkan di TV. Seolah-olah tiada penghujungnya!
“Saya...”
“Adik tahu tak apa yang adik buat ni salah?”
“Salah ke? Saya cuma ikut dia sebab saya suka
tengok muka Abang Kevin. Muka dia macam artis Korea.
Handsome!”
Pulak dah? Dahsyat sungguh gelombang Hallyu.
Sampai Kevin pun terkena tempiasnya.
“Adik pernah terus terang dengan dia tak?” tanya
Zalya, tetap dengan gaya seperti seorang polis.
Laju gadis itu menggeleng.
“Nak akak tolong beritahu pada Kevin?”
“Jangan, kak. Saya cuma suka tengok dia dari jauh
aje. Kalau dia tak selesa, akak tolong beritahu dia, saya minta
maaf. Saya janji takkan buat lagi,” usai berkata begitu, gadis
itu terus bangkit dan berlalu.
Zalya pula yang tergamam. Tidak sangka gadis itu
akan mengalah semudah itu.
Kevin terus meluru mendapatkan Zalya yang duduk
di meja itu.
“Apa yang you dah cakap dengan dia? You halau dia
ke? Kenapa you halau dia? You tahu tak dia pun pelanggan
kafe I juga,” soal Kevin. Nadanya seakan sedikit kecewa
kerana pelanggan kafenya pergi begitu saja.
“Bukan saya yang halau tapi dia sendiri yang nak
pergi. Takkan saya nak halang? Lagipun bukan awak juga ke
yang minta saya tolong awak tadi?”
“Memanglah. Tapi...” Buat pertama kali Kevin
terdiam, gagal membalas kata-kata pelanggan setianya itu.
Mata Zalya tertala kepada gadis yang semakin
menjauh dari pandangan. Tak sangka, gadis itu begitu berani
mengekori Kevin. Semuanya semata-mata suka tengok raut
wajah tauke kafe itu.
Zalya tergeleng. Entah apa nak jadi dengan budak
zaman sekarang. Namun sesaat kemudian, bibirnya terus
menyimpul senyum.
“Kenapa you tiba-tiba tersenyum pula ni?” Kevin
tertanya-tanya. Pelik melihat senyuman Zalya yang tak
semena-mena itu.
“Disebabkan stalker awak, saya dapat idea yang
paling bernas sekali. Thank you, Kevin! Nanti saya belanja
awak minum kopi ya!”
Zalya pantas mencapai beg tangannya dan segera
keluar dari kafe itu bak lipas kudung.
Terkebil-kebil Kevin melihatnya.
“Belanja I minum kopi? I tauke kedai kopi kut!”
gumam Kevin perlahan sambil matanya masih tak lepas
memandang Zalya yang semakin menjauh.
No comments:
Post a Comment