PUNGGUNG dihempas di atas kerusi seiring
dengan mulut yang menghela nafas lega. Lega kerana
tugasnya hampir selesai. Selepas dia kembali di pejabat
tadi, dia menghadap franking machine sampai lenguh bahu
dibuatnya. Mengantuk usah dikata, kalau letak bantal sudah
pasti dia lena.
Lepas itu dia keluar menghantar surat yang berbaki
hari ini. Dia berhenti seketika untuk menunaikan solat
Jumaat. Kini tinggal lagi beberapa keping surat saja yang
perlu dihantar. Apa yang lebih menggembirakan, semua
lokasi itu sudah dekat dengan kedudukannya sekarang.
Apa-apa pun, perut yang berbunyi perlu diisi. Selagi
tak isi, kerja apa pun takkan jalan. Mood pun boleh jadi
tunggang terbalik. Ayat ‘kalau lapar, akan cepat marah’ itu
memang relevan.
Setelah pelayan mengambil pesanan, dia
mengeluarkan gadget dari poket. Sementara menunggu
makanan sampai, lebih baik dia menjenguk media sosial.
Entah apalah yang menarik hari ini. Selalunya tiap-tiap hari
mesti ada benda tular dan kes-kes luar biasa yang menjadi
topik.
Belum sempat dia menyalakan telefon bimbit,
dia terpandang kelibat seseorang yang sedang berada
di belakangnya daripada pantulan skrin. Hati Razin
mula merasakan ada sesuatu walaupun dia belum pasti
kesahihannya. Mungkin dia terlalu paranoid.
Razin nyalakan telefon dan terus mendail nombor
Khalil sekadar mahu mengaburi pandangan manusia di
belakang. Niatnya untuk menjenguk media sosial ditolak tepi.
Wajah selamba dikekalkan seolah-olah dia tidak menyedari
kehadiran lelaki itu.
“Kau kat mana, Lil?”
“Dalam hati kau ler...”
Jawapan Khalil membuatkan Razin terlupa terus
tentang sebab utama dia menelefon lelaki itu.
“Kau jangan macam-macam. Jangan kunyit sangat
boleh tak? Aku...”
“Aku nak ada kat mana lagi, setan? Sekarang ni
pukul 2.30, mestilah aku dah masuk ofis. Berlambak kerja
aku ni. Hah, kau nak apa? Cakap cepat.”
“Dahlah, nanti ajelah aku cakap kat rumah. Kau
buatlah kerja kau dulu.”
“Kau ni memang nak mampus dengan aku. Kau...”
“Blah dulu!” pangkas Razin dan dia segera matikan
talian. Telefon kembali dimasukkan ke dalam poket.
Mood nak melantak terus ke laut. Ketika pelayan
menghantar minuman, dia batalkan pesanan makanan.
Dalam masa beberapa saat saja dia menyedut air sirap limau
itu sehingga habis, lantas dia bangun. Perlahan-lahan dia
berjalan melintasi kedai-kedai di sepanjang bangunan itu.
“Walau jauh akan... kugegas berlari. Walau tinggi bisa
kuterbang di langit. Walau sedalam mana akan kuselami...”
Dia menyanyi dengan penuh perasaan namun matanya galak
bekerja.
Ternyata telahannya tepat, lelaki itu memang
mengekorinya. Ah, menyusahkan betullah!
Tanpa berfikir panjang, Razin berpaling dan terus
menghadap lelaki itu. Tindakan Razin menyebabkan lelaki itu
terkejut. Belum sempat dia melarikan diri, Razin bersuara.
“Suara aku sedap sangat ke sampai kau nak ikut ni,
hah? Kau nak apa?”
Wajah lelaki itu berkerut dan masih kekal
mendiamkan diri. Dia memandang Razin dari atas sampai ke
bawah. Jelas kelihatan riak wajahnya terkejut.
“Kau ikut aku lagi, aku report polis... sebab kau dah
mengganggu privasi aku. Faham? Hesy... nak menyanyi pun
tak senang!”
Usai memberi amaran, Razin kembali melangkah
sambil membebel perlahan. Namun dia masih rasa tidak
yakin. Jadi dia sengaja melalui lorong belakang bangunan
yang berada di kawasan itu. Lorong yang sunyi dan hanya
dipenuhi dengan timbunan kotak. Semakin lama langkahnya
semakin laju.
Dengan sekelip mata, dia menyembunyikan diri di
belakang timbunan kotak. Tak lama selepas itu, lelaki itu
muncul dengan telefon bimbit melekat di telinga. Wajah
lelaki itu juga sudah mula cuak. Razin sudah mula genggam
penumbuk.
“Hesy, masa ada hal pentinglah kau tak reti nak
angkat!” bentak lelaki itu sambil memandang skrin telefon
bimbit. Berselang beberapa saat, telefon kembali diletakkan
di telinga.
“Aku nak jumpa dia. Penting ni.”
Diam.
“Tak, kali ni aku ada hal yang sangat penting.”
Lelaki itu diam lagi. Dengan sedaya upaya Razin
memasang telinga. Dia ingin mengetahui setiap butir
perbualan lelaki itu.
“Hesy!” Talian dimatikan begitu saja. Lelaki itu mula
melangkah untuk beredar dari situ.
Razin termenung sendiri. Anak mata kembali
memandang ke arah lelaki itu sayup dari kejauhan. Renungan
mula bertukar tajam.
“SAKIT BETUL hati aku ni...” rungut Thalea Aleesya sebaik
saja dia masuk ke dalam restoran yang menghidangkan menu
makanan barat itu. Kerusi ditarik kasar lantas dia duduk.
Wajah sahabatnya, Atilia direnung sekilas sebelum
dia menyembam wajah ke dalam tapak tangan. Kusut.
Mungkin hari ini nasibnya memang kurang baik. Segalanya
serba tidak kena saja.
“Apa pasal ni? Kau okey tak?”
Thalea menggeleng namun dia masih dalam
kedudukan seperti tadi.
“Cuba kau cerita dengan aku, apa yang jadi ni?”
Berkerut dahi Atilia memandang sahabatnya. Jarang sekali
melihat gadis ini merungut. Hanya satu perkara saja yang
boleh buat Thalea menjadi seperti ini; pasti keinginannya
yang tidak dipenuhi. Bukan dia tidak kenal gadis ini. Sejak
mereka berkenalan, Thalea sering kali dilambakkan dengan
kemewahan.
Thalea panggung kepala, meraup wajah, melurut
rambut dengan jari sebelum bersuara.
“Papa akulah. Ada ke patut dia potong elaun aku!
Lepas tu dia batalkan kad kredit aku. Dia siap cakap dah tiba
masa untuk aku berjimat dan suruh aku kerja. Helo, aku baru
habis belajar dan muda lagi. Baru 25 tahun!”
Segaris senyuman nipis ditarik. Seperti yang
dijangka Atilia, pasti ini sebabnya.
“Mungkin papa kau tengah marahkan kau pasal
something. Chill. Kau kena bagi papa kau tenang dulu. Esok,
kau pujuklah balik. Seorang ayah pasti akan kalah dengan
pujuk rayu seorang anak. Tambah-tambah kau sorang aje kan
anak perempuan dia?”
“Pagi-pagi buta tadi aku dah ke ofis papa... nak pujuk
punya pasal. Tapi sikit dia tak nak jumpa aku. Bengang betul.
Sia-sia saja aku bangun awal.”
“Abang kau kan ada? Minta ajelah duit dengan abang
kau.”
Pantas Thalea menjeling tajam.
“Isy, aku tak nak kacau dialah! Dia busy. Lagipun...”
Thalea diam. Dia kehilangan kata-kata.
“Tapi kenapa papa kau marah sangat ni, babe? Mesti
ada punca utama, kan?”
“Sebab Farislah. Dia tak izinkan aku rapat dengan
Faris.” Kerana inilah dia tidak mahu libatkan abangnya.
Tapi mesti papa akan libatkan abangnya juga jika dia masih
berkeras dengan keputusannya dan masa itu pasti abangnya
akan membantah sekeras-kerasnya. Kusutnya!
Ayat itu menyebabkan Atilia garu kepala. Tak
mungkin Thalea akan meninggalkan Faris walaupun mereka
baru saja menjalinkan hubungan seminggu. Sudah lama
Thalea menyimpan perasaan terhadap Faris dan apabila lelaki
itu mula memberi respons, memang Thalea melompat sakan.
Yalah, crush menyukai kita kembali, bukankah itu indah dan
menjadi idaman setiap manusia?
“Lepas tu boleh pula aku jumpa sorang mamat ni.
Makin menambah rasa geram aku tu adalah!”
“Mamat mana pula?” Ayat terakhir Thalea lebih
menarik minatnya daripada si Faris tadi.
“Dia langgar kereta aku babe, lepas tu dia suruh
aku minta maaf. Hello!” beritahu Thalea tanpa menceritakan
punca sebenarnya. Dia mahu Atilia menyokongnya.
“Rupa dia macam mana?” Bukan menyokong
sebaliknya soalan lain pula yang dilontarkan. Ternyata
perwatakan lelaki itu mampu mencuri tumpuannya. Belum
pernah lagi lelaki melakukan sedemikian rupa kepada Thalea.
Selalunya lelaki akan cuba memikat gadis itu.
Memuncung mulut Thalea apabila Atilia menyoal
begitu.
“Kau ni bukan nak back-up aku, boleh pula tanya
rupa dia macam mana?”
“Eh, mestilah... Kau macam tak biasa. Kalau hal
lelaki masuk dalam topik perbincangan, itulah perkara
pertama yang kita akan tanya, kan?”
Thalea tidak mampu menyangkal kata-kata itu. Ya,
dalam apa jua keadaan, dia dan Atilia amat mementingkan
rupa. Jika rupa gred A, barulah seronok sikit mahu bergosip
tentangnya. Semangat bercerita pula akan jadi lain macam.
“Boleh tahanlah...”
Saat itu Atilia memetik jari berkali-kali bersama
senyuman lebar di bibir.
“Kalau kau cakap boleh tahan, maknanya memang
dia kacak. Berani juga eh dia layan kau macam tu? So, kerja
apa?”
“Dari gaya motor yang dia bawa... baju yang dia
pakai, surat dalam raga diikat dengan getah... aku yakin dia
despatch. Berani betul despatch macam tu buat onar dengan
aku. Dasar tak sama taraf, ada hati nak cari pasal!” Tangan
digenggam kuat dan Thalea menumbuk meja perlahan.
Harap-harap itulah kali terakhir dia berjumpa dengan lelaki
itu.
“Eh... malam ni lepak club jom? Dah lama
tak menari... minum-minum...” Atilia berkata sambil
menggoyangkan badannya mengikut rentak lagu Attention
nyanyian Charlie Puth yang bergema di ruang restoran.
Ajakan itu mengembalikan senyuman Thalea.
Ya, perkara merunsingkan yang berlaku kepadanya perlu
ditenangkan dengan ke tempat itu. Baginya, muzik yang
rancak mampu menghilangkan rasa jiwa yang gundah.
“Aku ajak Faris dan kawan-kawan dia, eh?”
“Ajaklah. Ramai-ramai baru best sikit. Aku pun nak
ajak Dylanlah. Mana boleh kau sorang saja ada pendamping.
Tak gitu?”
Mereka berdua ketawa galak sebalik saja ayat Atilia
menemui noktah.
MENONTON PERLAWANAN bola di kedai mamak adalah
satu perkara yang sangat membahagiakan. Apatah lagi,
esoknya hari Sabtu dan Razin sesekali takkan sia-siakan
peluang ini. Boleh dikatakan ramai juga yang menonton
di sini, siap dengan memakai T-shirtnya sekali. Skrin besar
memang mampu menarik minat pelanggan.
Tambahan pula, pagi ni pasukan kegemarannya
berpesta gol. Setiap kali gol, pasti bergegar ruang restoran
itu. Orang lain yang dia tak pernah kenal pun boleh jadi
kamceng. Penangan bola.
Namun pada malam ini dia hanya berseorangan
memandangkan Khalil tidak dapat turut serta disebabkan
esoknya lelaki itu terpaksa ke pejabat sebentar untuk
selesaikan sesuatu yang penting.
Gelas teh tarik bersilih ganti dengan kopi di atas meja
makin lama makin berganda sekadar mahu menyegarkan
mata.
Tak lama selepas itu, perlawanan berakhir. Razin
mula mengangkat kaki. Mata mula rasa mengantuk. Motor
dipandu perlahan. Cepat atau lambat, dia tetap akan sampai
di rumah. Sesekali anak mata menjeling ke arah cermin sisi
untuk melihat kalau-kalau ada yang mengekorinya lagi.
Segaris senyuman terbit di bibir. Tiada!
Namun, tatkala memandang hadapan, matanya
dikecilkan, keningnya bertaut.
“LEPASLAH FARIS. Apa ni...” Thalea mula tidak selesa
dengan perlakuan Faris yang cuba memeluknya dari tadi.
Sudahlah mulut dan tubuh lelaki itu berbau busuk dek
minuman haram itu.
“Sayang... sikit aje pun. You sayang I, kan?” bisik
Faris perlahan. Tangannya menjalar buat kesekian kalinya di
belakang leher Thalea.
“Let me go!” Sekali lagi tangan Faris ditepis kasar.
“Pian, kenapa kau drive melelong ni? Slow pula tu.
Kawan kau dah teruk sangat, hantar aku balik cepat sikit...”
Kalau dia tahu begini, baik dia pulang bersama Atilia dan
Dylan saja tadi.
Mengenangkan Atilia yang berkeras mahu dia pulang
bersama Faris buat hatinya disapa dengan satu perasaan aneh.
Sepatutnya dia memang sudah sedia maklum, Faris memang
tak boleh berfikir dengan waras apabila sedang mabuk.
Apatah lagi sekarang ini sudah terlalu lewat. Pasti papanya
akan mengamuk.
Thalea memejamkan mata. Dia merasakan dirinya
begitu bodoh. Sengaja mahu menaikkan kemarahan papanya.
Pian atau nama penuhnya Sufian hanya mendiamkan
diri. Begitu juga dengan Harris di sebelahnya. Mereka
hanya berpandangan sesama sendiri, lantas masing-masing
mengukir senyuman. ‘Makanan’ sudah ada di depan mata,
mana boleh disia-siakan begitu saja!
“Hei!”
Kereta diberhentikan secara mengejut.
“Jom kita keluar. Lepas Faris, aku dulu. Lepas tu baru
kau...” kata Harris tanpa mempedulikan tengkingan Thalea.
“Peluang depan mata, gila nak tolak...” Pian ketawa.
Degupan jantung Thalea sudah menggila. Apa
maksud mereka? Matanya sudah mula panas. Laju saja
dia mengeluarkan telefon bimbit. Dalam keadaan begini,
fikirannya bercelaru. Dia seolah-olah tidak mampu berfikir
siapakah yang perlu dihubungi. Dia tertekan aplikasi lain dek
tangan yang menggeletar.
Namun belum sempat dia menekan ikon ‘contact’,
telefon bimbitnya direntap.
“Kau nak call siapa? Atilia? Kau dah tak ada duit,
kau rasa dia nak kawan dengan kau lagi ke? Eh, perempuan
macam tu, tak elok tau dianggap kawan. Kalau tak, kau mesti
tak jadi macam ni...” ucap Pian.
“Bodohnya kau ni...” Harris mencelah.
Mereka berdua ketawa sebelum keluar dari perut
kereta. Sanggup mereka buat begini. Tak guna!
Dia juga mahu keluar namun dihalang Faris.
Tindakan Faris menjadi lebih agresif. Bajunya di bahagian
lengan mula dikoyakkan.
“Faris! Stop it!”
Saat ini Thalea sudah mula menangis dan meraung.
Dengan sekuat hati dia meronta-ronta dengan mata yang
terpejam rapat. Namun tenaga Faris langsung tidak setanding
dengannya. Pesanan papanya kini terngiang-ngiang. Hendak
menyesal sudah tiada guna. Apa yang perlu dia lakukan?
Kedua-dua belah tangannya kini dikunci oleh Faris. Lelaki
itu sudah mula membenamkan wajah di lehernya.
“Dasar buat malu kaum!”
Mata Thalea terbuka luas. Dia melihat bayangan
seseorang sedang menarik Faris dari luar. Dengan kudrat
yang ada, dia turut menolak tubuh Faris lantas keluar dari
perut kereta melalui pintu bertentangan.
Mata terus terpandang kelibat Pian dan Harris
yang mengerang kesakitan di atas bahu jalan. Thalea terus
mengambil barang-barang peribadinya termasuk juga kasut.
Tanpa memakainya, dia mula berlari laju ke arah motosikal
yang berada tidak jauh dari belakang kereta dan duduk
berlindung di sebelah kenderaan itu dengan tubuh yang
menggigil.
Perlahan-lahan dia menoleh dan memandang Faris
dibelasah sebelum kembali memejamkan mata. Thalea
memeluk lutut. Tangan menutup telinga.
Faris cuba untuk menumbuk lelaki di hadapannya
namun mudah saja lelaki itu mengelak.
“Ini aje ke yang kau boleh buat? Macam pondan.”
Soalan itu menyebabkan Faris semakin berang,
seolah-olah ingin memperkecilkannya. Dia cuba menyerang
sekali lagi tetapi kali ini lelaki itu membalas dengan tumbukan
dan tendangan sehingga menyebabkan dia terbaring di atas
jalan. Pantas.
“Orang macam korang ni memang lembik. Sebab
tu kau nak tunjuk kuasa depan perempuan. Eh, aku gaduh
dengan budak-budak pun ada fight tau! Buat malu...”
“Kau siapa, hah?”
“Lebih baik kau tak tahu siapa aku. Kalau kau tahu,
mesti kau berdoa pagi petang siang malam agar tak pernah
jumpa aku.”
“Kau...” Faris menyerang lagi namun keadaan
langsung tidak berpihak kepadanya.
“Orang macam kau ni bukan setakat lembik. Bodoh
pula. Kalau kau dah tak tahan sangat, pergilah hotel. Ni dalam
kereta pun menjadi. Jadi betullah, bodoh memang tak payah
diajar... cerdik orang lain susah nak tumpang. Dah bengap tu
bengap juga...” Lancar saja Razin mengutuk.
“Tak guna kau!!!” Belum sempat Faris bangun, sekali
lagi wajahnya menjadi habuan. Darah mula mengalir galak.
Dia menggeleng kepala berkali-kali. Matanya juga sudah
mula berpinar-pinar. Dia mengakui tumbukan lelaki itu
tersangatlah padu. Baru beberapa kali tumbukan, dia sudah
jadi begini. Kalau berterusan, tidak mustahil dia akan rebah.
Suara Faris mengerang masih mampu sampai di
pendengaran Thalea. Lelaki itu sudah merangkak mahu
menghampiri kereta. Mata terarah pula kepada Pian dan
Harris. Mereka juga sudah bangun dan terbongkok-bongkok
berjalan menuju ke kereta.
“Faris! Masuk!”
Disebabkan pintu kereta tidak ditutup, jadi itu
memudahkan Faris untuk memboloskan diri masuk ke dalam
kereta. Lelaki yang membelasah Faris tadi hanya membiarkan
saja mereka pergi. Kereta segera meluncur laju membelah
jalan raya.
Nafas Thalea sudah tidak sekata. Dengan sedaya
upaya dia cuba menutup bahagian yang terdedah disebabkan
perlakuan Faris. Tercungap-cungap Thalea dibuatnya. Dia
belum pernah lagi mengalami situasi begini. Benar-benar
menakutkan. Walaupun dia agak nakal, tapi belum pernah
dia melakukan perkara sebegitu. Dia masih lagi menjaga
kehormatannya.
Tatkala mendengar derapan tapak kaki menghampiri,
Thalea memeluk lutut dengan lebih erat. Badannya
menggigil. Dia menjadi paranoid. Risau kalau-kalau dia
terlepas dari mulut singa tapi termasuk dalam mulut buaya.
Mengenangkan tanggapan itu, kelopak matanya mula panas.
Mutiara jernih menunggu masa saja untuk mengalir. Dia
langsung tidak memandang lelaki yang sedang berdiri di
sebelahnya. Dalam erti kata lain, dia tidak ada kekuatan. Dia
cuma berharap, apa yang berlaku selepas ini tidak seteruk
tadi.
“Nah, pakai ni...”
Gamam. Sehelai jaket sudah tersangkut di atas
bahunya. Kini barulah Thalea berani untuk mengangkat
sedikit kepala. Ketakutan yang ada di dada kini bersilih ganti
dengan satu rasa yang dia juga tidak pasti apa.
Perlahan-lahan dia bangun, jaket diperkemaskan
namun pandangan mata Thalea masih terarah ke bawah.
“Ni...”
Tatkala melihat telefon bimbitnya, laju saja dia
menyambut huluran. Ditekan punat ‘home’ berkali-kali.
Keputusannya... hampa! Nampaknya telefon bimbitnya sudah
‘arwah’. Skrin pecah teruk.
“Diaorang campak telefon ni tadi.”
Thalea menghela berat nafasnya.
“Nak buat laporan polis tak?” Soalan itu membuatkan
Thalea berfikir. Kalau dia buat, pasti kes akan jadi lebih besar.
Melibatkan papanya dan paling penting, abangnya! Mereka
berdua pasti akan lebih marahkan dia.
Lagipun ayah Faris bukan calang-calang orang.
Asalkan dia selamat, itu pun sudah cukup. Dia tidak mahu
menanggung malu. Lagipun ini memang salahnya.
“Tak apa. Apa-apa pun, terima...” Ucapan Thalea
terhenti apabila memandang wajah lelaki di depannya.
Matanya membulat. Setapak demi setapak dia melangkah
ke belakang. Terkebil-kebil dia memandang wajah lelaki itu.
Walaupun hanya dibantu dengan cahaya lampu jalan, dia
masih mampu mengecam wajah itu.
“Kau rupanya...” Razin berbisik dan mencebik. Rasa
sia-sia pula dia menghabiskan masa dan tenaga berlawan
dengan 3 orang lelaki tadi disebabkan gadis angkuh ini. Baru
acah-acah nak jadi hero. Potong betullah! Dia mengusap buku
lima tangan kanan menggunakan tapak tangan kiri. Berasa
sengal. Sudah lama buku limanya tidak ‘makan’ wajah orang.
Malam ini terus ‘makan’ 3 orang, mahunya tak terkejut.
Ayat yang terpacul keluar daripada mulut lelaki itu
membuatkan Thalea tertunduk. Walaupun perlahan, namun
masih mampu menerjah halwa telinga. Baginya, kata-kata itu
sangat berbisa. Tajam menikam dada.
Tidak sangka lelaki itu yang menolongnya.
Mengenangkan kata-kata yang dilontarkan petang tadi buat
dia terpejam mata. Rapat. Dia berharap pagi tadi merupakan
kali terakhir dia berjumpa dengan lelaki itu dan kalaulah itu
kali terakhir... entah apalah nasibnya pada malam ini. Dia
tersangat terhutang budi dengan lelaki di hadapannya kini.
Jadi dia rasa, dalam keadaan begini, egonya perlu ditepis. Jasa
lelaki itu terlalu besar kepadanya.
“Terima kasih...” Sekali lagi dia cuba ucapkan
perkataan itu tanpa bertentang mata. Bukan tidak sudi,
bukan tidak ikhlas, namun perasaan malu menyebabkan dia
tidak mampu menatap mata lelaki itu.
Terkebil-kebil Razin memandang gadis di depannya.
Tidak menyangka kata-kata itu terluah daripada mulut itu.
Sangkanya gadis itu akan teguh dengan riaknya, kekal dengan
angkuhnya. Razin pejam mata dan geleng kepala berkali-kali.
Tak... tak, tak boleh! Tak boleh percaya seratus peratus!
Sebaik saja Razin membuka kelopak mata, dia
berdeham.
“Dahlah, aku hantar kau balik. Lagipun dah lewat
ni.” Razin tunduk untuk mengambil beg tangan gadis itu dan
dia menyusun elok kasut di hadapannya. Beg mula bertukar
tangan.
“Pakai kasut tu...”
Thalea pejam mata. Murah betul air matanya malam
ini. Kenapa lelaki ini terlalu baik?
Razin sudah berada di atas motor dan berkira-kira
untuk memakai topi keledar sebelum dia tersedar yang gadis
itu masih berdiri kaku dan langsung tidak bergerak. Dahi
Razin berkerut. Beberapa tika kemudian, barulah dia tersedar
sesuatu.
“Aku memang tak ada helmet extra, tapi takkan aku
nak tinggalkan kau kat sini? Jadi lebih baik kau naik sekarang,
dah lewat sangat ni. Aku bawa motor ni slow saja. Insya-Allah
tak ada apa-apa. Tapi jangan harapkan doa aku sorang, kau
pun berdoa jugalah supaya depan tu tak ada roadblock.”
Diam.
“Sebelum aku naik angin, lebih baik kau naik
sekarang! Menung apanya entah...” Kali ini sengaja Razin
mengeraskan suaranya. Kalau hendak dilayan sesi termenung
gadis ini, entah bila dia boleh bertemu katil.
Diam.
Razin sudah garu kepala. Susahlah dia kalau macam
ni. Taktik kasar pun tak berjaya. Kepala diketuk pula. Dia ni
pun, tak sensitif langsung. Dia patut sedar, gadis itu baru
sahaja melalui perkara yang menakutkan. Jadi dia kena
hadapi semua ini dengan bijak.
Kepala didekatkan sedikit.
“Tapi kalau kau tak nak naik motor aku, kau nak
jalan pun boleh. Nanti adalah nenek tua teman kau. Tak pun,
perempuan dukung anak teman kau berjalan kejap lagi. Sini
memang port diaorang melepak...” bisik Razin perlahan.
Ternyata kata-kata itu mampu mengembalikan
Thalea daripada lamunan. Mereka bertentang mata. Razin
tersengih. Bodoh betul dia rasa kerana bercanda seperti itu
pada waktu begini dan di tempat ini. ‘Dia’ datang baru tahu!
Kasut di depan mata disarungkan. Ikut hati, nak
marah sebenarnya. Mulut lelaki ini boleh tahan cabul. Ada
ke patut disebutnya tentang itu? Sudahlah pagi-pagi buta!
Sudahlah dia perempuan, ingat rasa takut boleh hilang
dengan sekelip mata ke? Sampai sekarang dia menggigil lagi.
Thalea mendengus perlahan. Dengan teragak-agak
dia pegang bahu lelaki itu dan naik ke atas motor.
Saat tangan itu menyentuh bahunya, Razin dapat
merasakan yang gadis itu menggigil. Dia menghela nafas
perlahan sebelum memandang topi keledar miliknya.
“Pakai ni.”
Sekali lagi Thalea pegun. Dia betul-betul terharu
kerana lelaki ini memikirkan keselamatannya. Kini dia
menyedari satu hal, lelaki ini adalah seorang yang lebih
mementingkan perbuatan daripada percakapan. Apabila
lelaki ini membuka mulut, ayatnya pedas-pedas belaka.
Namun dalam pada masa yang sama, dari segi perbuatan,
dia melindungi dan itu membuatkan Thalea rasa seolah-olah
dihargai. Dia rasa selamat. Perasaan itu sangat selesa
sebenarnya.
Walaupun petang tadi dia tidak mahu berjumpa
dengan lelaki ini, namun sekarang, dia bersyukur
dipertemukan dengan lelaki ini sekali lagi. Sedikit sebanyak,
perwatakan lelaki ini menarik minatnya. Meruntuhkan sedikit
demi sedikit tembok egonya yang selama ini dibina kukuh.
No comments:
Post a Comment