DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 February 2019

Cinta Untuk Mr. Hero - Bab 8

DETAP kasut tumit tinggi bergema laju di ruang
parkir. Dalam kepala, Zalya hanya fikir hendak sampai ke
rumah. Tak ingin dia berada di sini walau untuk sesaat pun!
Lagi lama dia di sini, lagi sesak dadanya. Sakit sangat-sangat
hatinya!
‘Apa yang aku fikir ni? Tak! Apa yang kau fikir, Zalya?
Kau ingat lelaki macam dia takde teman istimewa? Takde
girlfriend? Huh!’
Zalya tak tahu sama ada dia hendak ketawa atau
menangis. Kisah hidupnya memang kelakar! Kalau buat
drama, mesti dapat tontonan 10 juta macam drama stesen
TV swasta.
“Cik Zalya, tunggu dulu!”
Zalya buat tak dengar. Langkahnya dipercepatkan.
Kereta miliknya hanya terletak sepuluh tapak di hadapan.
Lepas tu dia akan masuk ke dalam kereta, dia akan cepat-cepat
kunci pintu dan berambus dari sini.
“Awak, tunggu!”
Awak? Bukan cik? Makin lajulah Zalya menapak.
Langkahan kaki terhenti saat tangannya dilelar. Serentak
Zalya berpaling.
“Lepaslah!” Zalya tarik tangannya semula. Wajah
Nazif ditikam-tikam dengan renungan tajam.
“I’m sorry,” ucap Nazif, perlahan.
“Senang betul hidup awak, kan? Lepas buat salah
terus minta maaf. Awak ingat, kalau awak minta maaf
semuanya boleh selesai?” Zalya bersuara sinis.
Garis di dahi Nazif makin dalam. Tidak mengerti apa
yang menyebabkan gadis di hadapannya ini naik darah. Sebab
dia terpegang tangan tadikah?
“Saya faham awak tengah marah. Salah saya sebab
terpegang tangan awak tadi. Saya tak sengaja. Saya minta
maaf.”
“Tak, Nazif. Awak tak perlu minta maaf. Saya yang
patut berterima kasih sebab sekarang semuanya dah jelas.
Betapa bodohnya saya sebab tutup pintu hati saya kepada
orang lain semata-mata untuk lelaki macam awak! Saya rasa
menyesal sangat-sangat sebab bazirkan perasaan saya untuk
orang macam awak! Menyesal, awak tahu tak???”
“Awak... sukakan saya?” Bulat mata Nazif.
“Kalau saya suka ke, tak suka ke, awak peduli apa,
kan? Sekali awak petik jari, sepuluh perempuan akan berbaris
di depan awak. Betul tak?”
“Betul awak sukakan saya?”
Lelaki ini dah kenapa? Duk ulang soalan yang sama
banyak kali? Seronok sangat ke apabila dapat tahu dirinya jadi
pujaan hati?
“Telinga awak ada masalah ke? Berapa kali awak nak
tanya soalan yang sama?”
“Awak dah salah faham ni. Sebenarnya...”
“Tak payah nak jelaskan apa-apa. Saya bukannya
buta! Saya dah nampak semuanya tadi. Pandai awak berlakon
depan saya, kan? Terus terang ajelah dengan saya, berapa
ramai girlfriends yang awak ada? No, let me correct myself.
Perempuan tadi tu girlfriend awak yang nombor berapa?”
“Perempuan tadi? Perempuan yang mana pula?”
“Budak perempuan yang asyik berkepit dengan awak
dalam dewan tadi tulah! Dia girlfriend awak yang ke berapa?”
Ikutkan hati, mahu saja Zalya debik lelaki di
depannya ini. Sepatutnya awal-awal lagi dia sudah agak, tiada
lelaki yang sempurna. Semuanya sama sahaja.
Tidak semena-mena, Nazif ketawa.
“Awak ni dah kenapa gelak tiba-tiba? Mental?” Zalya
tarik muka pelik.
Nazif goyangkan tangannya, menidakkan. Tawanya
masih bersisa di hujung bibirnya.
“Sebenarnya, orang yang awak nampak tadi girlfriend
saya yang nombor dua.”
Nombor dua? Betapa mudahnya lelaki itu membuat
pengakuan. Ini mesti sebab dia sudah melihat segalanya.
Nasib baik dia belum jatuh cinta tahap golek-golek jatuh
tangga dengan Nazif. Kalau tak, mesti dia meraung sampai
ke sudah.
“Saya betul-betul tak sangka awak sama aje macam
lelaki lain! Playboy! Buaya darat! Kaki perempuan!” Zalya
pukul-pukul tubuh lelaki itu dengan beg tangannya.
“Aduh, sakitlah! Boleh tak awak dengar dulu
penjelasan saya?”
“Awak nak jelaskan apa lagi?”
“Untuk pengetahuan awak, girlfriend pertama saya
namanya Ruhani. Dia ibu saya. Girlfriend nombor dua,
orang yang awak nampak tadi. Airin namanya. Dia tu adik
perempuan saya.”
Kata-kata Nazif diulang-ulang dalam kepala.
Pertama, ibu. Kedua, adik?
“Maksud awak, tadi tu...”
“Ya, adik saya.”
Nahi!!! Zalya tak tahu mana hendak letak muka.
Malu jangan cakaplah. Rasa hendak terjun lombong saat itu
juga!
“Tak sangka awak boleh cemburu dengan adik saya,
kan?” Terdengar tawa dari rengkung jejaka itu.
“Siapa cakap saya cemburu? Lagipun mana saya tahu
dia adik perempuan awak? Awak pergilah tanya siapa-siapa
pun dalam dewan tadi. Saya confirm, mesti mereka akan fikir
sama macam saya!”
Nazif ketawa lagi. Makin hangat muka Zalya
dibuatnya. Padan muka dia. Siapa suruh gadis itu bertindak
melulu lagi?
“Betul awak suka pada saya?”
Soalan itu Zalya biarkan tanpa balasan. Sebaliknya
dia tunduk, tak tahu macam mana hendak tayang muka. Rasa
ingin tampar-tampar mulut sendiri. Kenapalah selalu sangat
terlajak kata?
“Kenapa awak diam? Tak nak jawab soalan saya?”
Nazif tunduk, cuba mencari matanya.
“Ya, memang saya sukakan awak. Saya sukakan awak
dari hari pertama lagi saya nampak awak. Puas hati?” Zalya
sudah tidak peduli. Biar lelaki itu tahu isi hatinya. Biar lelaki
itu tahu apa yang dia rasa.
Nazif nampak tergamam selepas dengar
pengakuannya. Hah, kenapa terkejut beruk? Tadi nak tahu
sangat, kan!
“Kenapa awak senyap pula? Jangan kata saya kena
minta izin awak terlebih dahulu sebelum sukakan awak pula.
Ini hati saya, bukan hati awak. Jadi saya akan buat ikut suka
hati saya. Faham?”
Nazif tergeleng. Inilah kali pertama dia berdepan
gadis seperti Zalya. Jika orang lain, mungkin dia sudah beri
kata dua supaya jangan terus berharap. Tapi dengan Zalya, dia
tak mahu ucapkan semua itu. Kenapakah?
“Awak nak terus balik ke rumah ke?”
Zalya mengangguk.
“Lepas saya nampak lelaki yang saya suka berkepit
dengan perempuan lain, mood saya terus hancur. Takde hati
nak duduk lama-lama di sini.”
Nazif garu kepala. Aduhai, jujur sungguh gadis ini
meluahkan rasa. Sampai dia pula yang naik segan. Apa yang
perlu dia buat supaya Zalya tidak pergi?
“Awak nak kenal dengan adik saya tak?” Soalan itu
meluncur dari mulut Nazif, membuat Zalya terkebil-kebil
memandangnya.

AIRIN LEKA mengunyah kuih ros atau nama lainnya, kuih
goyang. Hampir sebalang dia habiskan. Kini dia sedang
merenung sebalang lagi kuih yang letaknya tidak jauh di
hadapannya.
“Airin, makan perlahan-lahan ya?” tegur Ruhani.
Tergeleng dia melihat anak gadisnya asyik makan dari tadi.
Peliknya, badan Airin tidak pula naik-naik. Tetap kurus
melidi. Mungkin ikut baka suami dia agaknya.
“Baik, umi...” Airin patuh tanpa banyak cerita. Dia
kunyah kuih itu perlahan-lahan. Namun masih tidak tunjuk
sebarang tanda akan berhenti.
Habis satu balang, tangannya panjang mencapai
balang kedua. Betapa gembiranya Airin melihat kuih ros
yang bakal masuk ke dalam perutnya sekejap lagi. Sedang
dia seronok melahap, matanya terlihat kelibat abangnya.
Tadi abangnya terburu-buru pergi meninggalkan sendirian.
Baru sekarang hendak tunjukkan muka? Dahinya timbul
garis-garis halus saat terlihat ada seorang gadis di samping
abangnya.
“Umi, along tengah cakap dengan siapa tu?”
bisik Airin. Bukan main seronok abangnya berbual sambil
tersenyum lebar. Luar biasa!
“Mana along, Rin? Umi tak nampak pun.” Ruhani
kecilkan mata. Kelibat anak lelakinya itu segera dicari.
“Kat situ, umi. Along tengah bercakap dengan kakak
yang pakai kebaya biru tu. Cantiknya dia, umi!” puji Airin. Ibu
jarinya menunjuk ke arah Nazif.
Ruhani mengalih pandangannya mengikut telunjuk
Airin. Barulah dia dapat melihat Nazif. Namun matanya
tertumpu ke arah gadis yang sedang berbual dengan anaknya
itu. Siapakah pula tu? Buah hati Nazifkah?
“Jom, kita pergi tegur along dan kawan dia tu.”
“Umi, janganlah! Nanti apa along kata?” Airin cuba
melarang.
“Along nak kata apa pula? Kita bukannya nak buat
apa-apa yang tak elok. Jomlah!” Ruhani tarik tangan Airin.
Airin garu kepala, buntu. Tahu-tahu saja mereka
sudah berdiri di hadapan Nazif dan temannya itu.
“Ehem!” Ruhani sengaja berdeham kuat.
Nazif dan Zalya serentak berpaling. Nazif terkedu
saat melihat uminya dan Airin. Pandangannya beralih kepada
Zalya yang nampak tertanya-tanya.
“Along, siapa ni? Tak nak kenalkan kawan along
dengan kami ke?” Ruhani tidak lepas mengamati gadis
berkebaya biru itu.
Mata Zalya terkebil-kebil. Siapa pula wanita yang
nampak anggun bertudung ini? Gadis yang dilihat di sisi
Nazif tadi pula berdiri di sebelah wanita itu. Jangan-jangan...
“Umi, ini Zalya. Zalya, inilah girlfriend nombor satu
saya.” Nazif terus perkenalkan Zalya kepada wanita pertama
dalam hidupnya.
Zalya tersentak. Ibu Nazif? Rasa menyesal yang
teramat kerana mengikut lelaki itu kembali ke dewan semula.
Sepatutnya dia balik saja tadi. Sebab mentalnya belum
bersedia untuk bertemu ibu lelaki itu.
“Assalamualaikum, aunty. Saya Zalya.” Walaupun
kekok, Zalya segera tunduk menyalami tangan wanita itu.
“Waalaikumussalam. Zalya panggil umi, ya? Bukan
aunty.”
Panggil umi? Belum sempat otak dia mencerna,
Ruhani terus memeluk tubuhnya. Hangat pelukan seorang
ibu buat Zalya rasa rindu. Perasaan halus itu berlegaran
walaupun setelah pelukan terlerai.
“U... umi?” ulang Zalya.
“Ya. Lya panggil umi aje. Sama macam along dengan
Airin.” Mata Ruhani terpaku kepada Zalya. Suka apabila
panggilan itu meniti di bibir anak gadis itu.
“Airin, tunggu apa lagi? Salam tangan Kak Lya tu,”
arah Ruhani.
Airin segera tunduk salam. Kemudian dia pantas
mendakap tubuh Zalya.
Terkebil-kebil Zalya apabila dipeluk sekali lagi.
Mereka sekeluarga ini memang spesies suka peluk orang
agaknya? Mudah mesra.
Usai dakapan terungkai, Zalya mengambil
kesempatan menatap wajah Airin. Gadis itu tiada iras Ruhani
mahupun Nazif. Mungkin iras ayah lelaki itu. Sebab itu
langsung tidak terlintas dalam kepala bahawa gadis itu adalah
adik Nazif.
“Lya datang seorang aje ke?”
Zalya pasrah apabila dipanggil Lya. Biarlah... nama
itu namanya juga.
“Sepatutnya saya datang dengan kawan serumah
saya, tapi dia ada majlis lain pula. Jadi saya terpaksa datang
seorang.”
“Tak ada buah hati?” Ruhani menatap Zalya penuh
minat. Nampak sepadan sangat ketika berdiri di samping
anak lelakinya. Baju sama warna pula tu!
“Belum lagi, aunty. Eh, umi.” Kelam-kabut Zalya
membetulkan sebutan. Terasa cukup janggal.
Tergelak Ruhani mendengar jawapan Zalya. “Ya?
Eloklah tu. Along pun belum ada kawan lagi.”
Nazif tersenyum sebelum tergeleng kecil. Nampak
sangat apa motif uminya saat ini.
“Lya orang mana? Pantai timur?” siasat Ruhani lagi.
“Famili saya asal dari Johor. Tapi menetap di sini.”
“Orang selatan rupanya. Orang tua Lya pula kerja
apa?”
Hah? Zalya mulai kalut apabila perihal keluarganya
ditanya. Berapa banyak soalan Ruhani yang perlu dia jawab?
Dia pandang muka Nazif, mengharapkan pertolongan lelaki
itu.
“Umi, lain kali ajelah umi tanya Zalya semua soalan
tu ya? Lagipun, inikan majlis anak saudara umi.” Nazif segera
tamatkan sesi soal jawab.
Anak saudara? Adakah Nazif sepupu yang sibuk
dicanang oleh Irham tadi? Aduhai... terasa kecilnya dunia.
“Kalau macam tu, apa kata hujung minggu ni Lya
datang ke rumah umi? Kebetulan hari tu hari jadi umi. Umi
ada buat makan-makan sikit,” pelawa Ruhani.
“Hari jadi umi bukan dua minggu lepas ke?” Nazif
naik hairan. Seingatnya majlis ulang tahun kelahiran umi
baru disambut dua minggu lalu.
“Haahlah, umi. Kita semua kan dah sambut majlis
hari lahir umi di Putrajaya. Umi tak ingat?” sahut Airin pula.
“Minggu depan hari lahir umi ikut kalendar Hijrah.
Along dengan Airin tahu apa?” balas Ruhani. Meledak tawa
tiga beranak dengan jawapan luar alam itu.
Zalya hanya senyum tanpa kata. Betapa mesra dan
akrabnya keluarga Nazif. Timbul rasa cemburu di sudut hati.
Alangkah baiknya kalau dia juga punya keluarga seperti ini.
Zalya tunduk, cuba menutup sayu yang mula
menjalar di sudut hati.
Mek, aku ada emergency di
kampung. Aku kena balik.

PESANAN WHATSAPP daripada Fida membuat Zalya
risau. Dia berharap tiada perkara buruk menimpa keluarga
rakannya itu. Jari-jemarinya mulai menaip untuk membalas.
Okey. Take care ya? Saya harap
semuanya baik-baik aje.
Pesanan balas dihantar kepada Fida.
Thanks. Kau pun.
Zalya sembamkan muka ke bantal.
Ping! Telefonnya berbunyi lagi, tanda ada pesanan
baru masuk.
Dah sampai rumah?
Dah.
Zalya taip sepatah jawapan.
Penat?
Grr... ini yang buat Zalya makin malas nak melayan.
Fida pun satu! Tadi kata ada emergency. Ini sempat pula
nak bermain WhatsApp dengannya. Lantas Zalya mencapai
telefon. Suara dirakam sebagai jawapan.
“Mestilah penat, Cik Fida oi...” Sengaja dia
panjangkan hujung bicara. Sebab dia rasa menyampah.
Orang tengah penat, lagi mahu tanya?
Ping! Zalya tengok skrin. Rakaman suaranya dibalas
dengan rakaman suara juga. Zalya tekan skrin untuk dengar.
“Sejak bila saya tukar nama jadi Fida?”
Suara garau itu buat mata Zalya terbeliak. Nazif?
Suara Nazif ke itu? Mesej sebelumnya dibelek.
Ya Tuhan... rupa-rupanya beberapa mesej tadi
datangnya daripada Nazif! Salah dia kerana menyangka
semua itu mesej Fida.
Sesaat kemudian, telefonnya berdering. Tertera
nama Nazif di skrin. Alamak! Dia nak buat apa sekarang?
Jawab atau buat tak tahu saja? Zalya terus buat senaman tarik
hembus nafas untuk bertenang.
‘Relaks Zalya! Relaks!’ Selepas semuanya okey,
barulah butang hijau di skrin dia tekan.
“Hai!”
“Assalamualaikum dan hai juga.”
“Err... waalaikumussalam.” Zalya garu kepala.
Percuma saja dia kena perli secara halus oleh Nazif.
“Sorry, pasal tadi. Saya ingat awak Fida.”
“Oh, patutlah. Tapi, siapa Fida?”
“Dia rakan serumah, rakan tempat kerja dan rakan
baik saya. Saya kenal dia sejak belajar di universiti. Hari ni dia
tiba-tiba kena balik kampung sebab ada emergency.” Panjang
lebar Zalya terangkan sedangkan soalan Nazif pendek saja.
Gema tawa lelaki itu halus menyapa telinga.
“Siapa lagi yang ada di rumah awak sekarang ini?”
“Takde siapa. Saya sorang-sorang aje.”
Lelaki itu membisu. Entah apa yang lelaki itu tengah
fikir, Zalya tak tahu. Takkan risaukan dia kut?
“Hati-hati. Jangan lupa kunci pintu dan tingkap.”
“Kenapa? Takut hantu kacau saya?” duga Zalya,
masih ingin bercanda.
“Saya lebih risaukan manusia daripada hantu.”
Oh, pasal itu Zalya setuju 100%. Hantu hanya boleh
takutkan manusia. Tapi manusia lebih bahaya sebab boleh
mendatangkan kecederaan. Silap hari bulan, nyawa pun
boleh melayang.
“Dari mana awak dapat nombor saya, ya?” Setahu
Zalya, dia tak pernah berikan nombornya secara terus kepada
Nazif.
“Dari ofis.”
“Tak jadi satu kesalahan ke kalau awak ambil
maklumat peribadi klien untuk kepentingan sendiri?” Zalya
sangka, Nazif seorang yang ikut buku; skema. Rupa-rupanya,
pandai cari peluang juga.
“Saya tak nampak di mana salahnya sebab awak
bukan klien saya. Kawan awak yang ambil pakej tu. Betul
tak?”
“Hesy, tak aci!” Terdengar lelaki itu ketawa lagi dari
hujung sana.
“Saya telefon sebab nak minta maaf pasal tadi.”
Zalya tak faham.
“Awak nak minta maaf untuk apa ya?” Setahu dia,
lelaki itu tak pernah sekalipun buat salah dengannya. Lainlah
dia. Asyik lepas laku saja.
“Pasal famili saya. Mereka memang agak ramah sikit.
Maaf kalau mereka buat awak rasa tak selesa tadi.”
Zalya mengiakan. Agak ramah? Dia rasa macam dah
terlampau-lampau ramahnya. Namun Zalya sedikit pun tidak
kisah. Malah dia selesa dengan ibu dan adik Nazif itu.
“Awak jangan risaulah, Nazif. Saya sikit pun tak
kisah. Lagipun saya seronok sangat bila berbual dengan umi
dan Airin.”
Keluarga lelaki itu begitu banyak bercakap dan
bertanya tentang itu ini. Jauh bezanya jika nak dibandingkan
dengan Nazif. Macam simpan emas dalam mulut!
“Zalya?”
Rasa nak koyak bibir Zalya dengan senyuman saat
lelaki itu menyeru namanya.
“Ya, saya.” Zalya tidak sengaja membuat suaranya
bertukar lunak manja. Terdengar lelaki itu berdeham di
hujung talian. Aik, sakit tekak ke?
“Saya nak jemput awak datang ke rumah saya,
boleh?”
“Excuse me?” Soalan Nazif betul-betul di luar
jangka! Jemput dia ke rumah? Buat apa?
“Awak jangan salah faham. Sebenarnya umi asyik
bertanya tentang awak. Dia betul-betul nak awak datang ke
rumah kami.”
Datang ke rumah? Memang umi Nazif itu ada
menjemputnya. Tapi waktu itu, dia sangka wanita anggun itu
cuma bergurau saja.
“Kalau saya cakap tak nak?” Zalya sengaja mahu
menguji reaksi Nazif.
“Saya akan anggap awak maksudkan sebaliknya.
Hujung minggu ini awak jumpa umi dan walid, ya?”
“Hah? Biar betul?” Tubuh Zalya tegak terus.
“Yalah. Takkanlah saya nak main-main pula. Airin
pun teringin sangat nak jumpa awak sekali lagi.”
Airin? Dia sendiri pun rasa tak puas bertemu dengan
gadis comel itu tempoh hari. Suka dengan keramahan Airin.
Nak pergi ke tak nak?
Pergi?
Tak nak?
“Okey.” Saat itu juga Zalya rasa menyesal tak sudah.
Aduhai, kenapa itu pula yang keluar dari mulutnya?
“Nanti awak send alamat rumah awak. Hujung
minggu nanti saya datang jemput awak, ya? Selamat malam,”
ucap Nazif, mahu tamatkan panggilan.
“Good night to you too.”
Skrin telefon jadi gelap. Namun Zalya terasa macam
ada bintang-bintang yang berkerlapan di dalam biliknya.
Menerangi hidupnya dengan terang.
“O-M-G!!!” Zalya berteriak. Tidak dia peduli walau
suaranya bergema di ruang itu. Tak sabar rasanya mahu
ceritakan perkara itu kepada Fida.

No comments:

Post a Comment