DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 February 2019

Cinta Untuk Mr. Hero - Bab 6

NAZIF sibuk menyemak itinerari untuk pakej
pelancongan ke Warsaw. Lokasi itu merupakan antara pakej
baru yang bakal ditawarkan oleh agensinya. Jadi, dia perlu
beri sepenuh tumpuan tanpa sebarang gangguan.
Lokasi lawatan yang akan dimasukkan dalam pakej
tersebut diteliti satu demi satu. Semua tempat begitu ikonik
dan wajib dikunjungi. Antaranya Lazienki Park, Lazienki
Palace, Sigismund’s Column, Castle Square dan Muzium
Fryderyk Chopin. Dia perlu pastikan perjalanan ke setiap
destinasi itu tersusun demi keselesaan para pelancong.
“Mana pula perginya senarai hotel tadi?” Nazif garu
kening. Diselak lembaran dokumen yang tersusun di atas
meja. Senarai hotel di Poland akhirnya ditemui di balik
gambar Wilanow Palace.
Selesai susun atur cara, Nazif menyusun semuanya
ke dalam satu fail. Rimas sekiranya meja dia bersepah-sepah.
Selesai mengemas, matanya mendarat pada telefon bimbit di
atas meja.
Seminggu berlalu sekelip mata. Sepanjang waktu itu
jugalah, dia asyik kerling telefon bimbitnya. Memang banyak
panggilan dan mesej yang masuk. Namun hanya satu nama
sahaja yang dia tunggu.
Wajah gadis bernama Anna Zalya terpapar di ingatan.
Takkan gadis itu tidak jadi ambil pakej dengan agensinya?
Hesy, tak mungkinlah!
Perlukah dia menelefon dan bertanya saja kepada
Zalya? Tapi tak nampak macam memaksa pula ke nanti?
Aduh, serabut ni...
Ketukan di pintu membuat Nazif pantas mengangkat
muka.
“Encik Nazif, saya ni.” Damien tersenyum-senyum.
“Ada apa, Damien?”
“Saya cuma nak beritahu Encik Nazif, saya dah
locked satu trip ke Europe untuk 16 orang. Mereka dah buat
payment dan tunggu hari berlepas saja.”
“Tahniah. Nampaknya awak akan jadi top agent
sekali lagi untuk bulan ni.”
“Yes, I am!” Damien tersengih. Memang itu yang
menjadi sasarannya. Dapat klien yang ramai, bermaksud dia
akan jadi nombor satu. Dapat nombor satu bermakna dia
akan dapat komisen yang maksyuk!
“Tapi semua ni sebab Cik Anna Zalya. Kalau bukan
kerana dia, saya pun takkan dapat klien seramai itu.”
Nama yang meniti di bibir Damien itu buat Nazif
terkedu. “Nama siapa yang awak sebut tadi?”
“Cik Anna Zalya. Tak silap saya, Encik Nazif yang
ambil alih appointment saya dengan dia pada hari tu. Encik
Nazif ingat lagi, kan?”
Nazif terdiam. Mana mungkin dia lupa? Memang
dia yang minta Damien lakukan kerja lain pada petang itu.
Semuanya gara-gara dia mahu bertemu gadis berskarf merah
itu sekali lagi.
Jangan tanya dia kenapa. Dia sendiri tidak faham
mengapa hatinya meronta-ronta mahu melihat gadis itu.
Seperti ada magnet yang menarik dirinya untuk bertemu
dengan Zalya. Padahal dengan klien lain tak ada pula rasa
begitu.
Tapi apa yang Nazif tidak faham, kenapa Zalya buat
janji temu dengan Damien. Kenapa Zalya tidak menghubungi
dia sahaja? Bukankah dia sudah beri kad namanya kepada
gadis itu? Atau adakah kad nama itu sudah hilang? Sebab
itukah Zalya telefon pejabat dan selesaikan segalanya dengan
Damien?
“Saya baru jumpa Cik Zalya semalam. Kecil molek
orangnya. Comel pula tu. Macam anak patung pun ada.”
“Awak dah lupa yang awak dah bertunang dengan
Grace?” Nazif mengingatkan Damien tentang Grace, eksekutif
sumber manusia di agensinya. Takkan baru bertunang,
Damien mahu buat hal?
“Saya cuma puji aje. Bukan ada apa-apa maksud
pun. Tapi kalau Cik Zalya sudi terima diri saya, saya sanggup
lepaskan Grace,” tutur Damien, tak malu.
“Okey, saya call Grace sekarang.” Nazif terus angkat
gagang untuk menghubungi Grace.
“Jangan, Encik Nazif! Saya bergurau aje. Tak perlulah
sampai nak call tunang saya pula. Mengamuk dia nanti.”
Nazif letakkan gagang semula. Tahu pun takut!
“Saya pergi sambung kerja semula ya, Encik Nazif?”
Damien cepat-cepat undur diri. Pintu ditutup rapat.
Lama Nazif tenung pintu. Emosinya bercampur
baur. Dia sangka Zalya tak jadi ambil pakej dengan agensinya.
Rupa-rupanya gadis itu sudah selesaikan urusan dengan
pekerjanya, Damien.
Kata-kata Damien tadi buat Nazif sedikit terganggu.
Jika Damien yang sudah bertunang dengan Grace yang cantik
jelita itu pun boleh terpikat dengan Zalya, bagaimana pula
dengan lelaki-lelaki lain di luar sana?
Ah, kenapa dia perlu rasa risau pula? Peduli apa jika
ada orang sukakan Zalya atau tidak? Itu bukan urusan dia.
Tumpuannya teralih pada telefon bimbit yang bergetar. Ada
pesanan tertera di skrin.
Bila awak nak sambut?
Terpinga-pinga Nazif membaca mesej itu. Sudahlah
mesej itu datang dari private number. Tanya soalan tergantung
pula. Lantas dia taip pesanan balas.
Sambut apa?
Tidak lama selepas itu, mesejnya dibalas.
Sambut salam cinta kasih sayang
daripada saya. Cia cia cia...
Nazif tepuk dahi. Siapa pula yang sedang bergurau
dengan dia ini?

SPEK HITAM? Ada. Skarf? Checked! Apa lagi? Oh, ya! Dia
perlukan sesuatu untuk menutup muka. Melilau mata Zalya
mencari sebarang objek yang boleh dia guna. Majalah e-Hawa
yang terdampar di atas meja terus digapainya.
“Kau nak pergi ke mana ni? Siap berbaju hitam
bagai! Buang tabiat ke apa?” sampuk Fida.
“Takkan sekali sekala nak buang tabiat pun tak
boleh?”
“Kau jangan macam-macam, mek. Jangan buat aku
risau. Karang aku tak bagi kau keluar rumah, baru tahu!”
“Saya nak pergi jadi spy. Awak nak ikut?” ajak Zalya.
“Tak naklah! Daripada ikut kau buat kerja yang tak
berfaedah, lebih baik aku pergi keluar dating dengan Rayyan.
Lagi bagus!”
Terlepas gelak Zalya. Dia sudah agak jawapan itu
akan keluar dari mulut Fida. Tanpa mengendahkan rakannya
itu, Zalya menarik telefon bimbit keluar. Ibu jarinya laju
menekan-nekan aksara di skrin.
Bila awak nak jatuh?
Butang hantar ditekan. Senyuman Zalya terulas
nakal. Hampir setiap hari dia takkan lupa untuk mengirim
mesej sebegitu. Sengaja mahu mengusik Nazif.
Biasanya lelaki itu akan menyoal dia balik. Namun
setelah lima minit berlalu, masih tiada jawapan. Nazif tengah
sibuk sangat ke sekarang ini? Muka Zalya berubah suram.
Ping! Mesej balas muncul saat tidak dijangka. Pantas
Zalya membaca ayat yang tertera.
Jatuh apa pula?
Jatuh cinta dengan saya. Hahaha...
Zalya tergelak sendiri. Tak dapat dia bayangkan
bagaimana reaksi orang di hujung sana. Marah? Bengang?
Atau tertanya-tanya?
“Kau tengah mesej siapa tu? Sampai tersengih-sengih
macam kerang busuk aku tengok!” tegur Fida.
Semenjak beberapa hari ini, dia perasan Zalya
langsung tak berenggang dengan telefon bimbit keduanya
itu. Sekejap-sekejap, hantar mesej. Entah hantar kepada
siapa, dia sendiri tak tahu.
“Adalah...” Zalya kenyitkan mata.
“Amboi! Dah pandai kau nak berahsia dengan aku
sekarang?”
“Saya bukannya nak berahsia. Tapi sooner or later
awak akan tahu juga.”
“Sudahlah!” Fida mencebik.
“Fida, saya kena gerak dulu. Kalau ada apa-apa, roger
saya tahu!” Tangan dilambai sebelum menghilang.

PAPARAZI. PERKATAAN itu memang kena sangat-sangat
dengan Zalya tika ini. Bak kata sinetron, cocok sekali! Saat ini
terasa dia macam tengah berlakon dalam filem James Bond!
Tak pun Mission Impossible.
Tapi kenapa watak utama dalam semua filem itu
adalah lelaki? Kenapa tiada spy perempuan? Ah, pedulikan!
Kaca mata hitam ditolak rapat ke muka. Skarf yang dililit
menutupi hampir separuh wajahnya dikemaskan.
Dekat setengah jam Zalya terhendap-hendap di balik
majalah. Naik lenguh tangannya. Tapi disebabkan rasa ingin
tahu yang membuak-buak, misi perlu diteruskan. Gerak-geri
Nazif diperhatikan tanpa bosan.
Sepanjang lima hari menjadi pengintip tak
bertauliah, Zalya perasan beberapa perkara tentang Nazif:
1) Semua kemeja Nazif berlengan panjang.
2) Semuanya berwarna lembut.
3) Semuanya nampak muat-muat di tubuh
kurus Nazif.
Apa lagi? Oh, ya!
4) Nazif tak pernah singsing lengan bajunya.
Mungkin sebab lelaki itu mahu tampak kemas
agaknya.
Hari ini Nazif begitu segak dengan kemeja biru
langit. Dia memilih untuk duduk di meja berdekatan tingkap.
Sesekali Nazif pandang ke arah pintu seolah-olah menanti
kehadiran seseorang.
Nazif tengah tunggu siapa agaknya? Girlfriend dia ke?
Tak pun isteri? Oh, tidak! Jangan kata lelaki itu benar-benar
sudah berkahwin dan beranak tiga pula! Menangis tepi bucu
katil dia nanti. Uwaaa...
Tidak lama kemudian, muncul satu pasangan di
restoran itu. Betapa leganya Zalya saat pasangan itu duduk
di meja yang sama dengan Nazif. Bukan teman wanita atau
isteri seperti yang dia sangkakan.
Zalya cuba pasang telinga. Tapi satu apa pun dia tak
dengar. Hendak duduk dekat-dekat, takut lelaki itu perasan
kehadirannya pula. Dari brosur di tangan Nazif, Zalya agak
mereka sedang berbincang pasal pakej bulan madu.
Takkan hari Sabtu pun kerja juga? Rajin sungguh!
Ralit Zalya perhatikan Nazif. Entah kenapa wajah itu serius
saja. Lantas telefon bimbit dikeluarkan. Laju jari-jemarinya
menaip.
“Macam mana? Dah tahu nak pergi ke mana?” Nazif
bertanya. Demi rakan baik, dia sanggup turun untuk bertemu
mereka walaupun di luar waktu pejabat.
“Aku tak kisah. Ikutkan hati, aku nak pergi ke Bali
aje. Tapi orang rumah aku nak sangat pergi ke Lombok. Tak
tahulah kenapa.” Saiful Azlan mengeluh lemah.
Lyana tarik muka. “Mestilah! Kita kan dah pergi ke
Bali tahun lepas?”
“Salah ke kalau kita pergi Bali sekali lagi?”
“Tapi tak salah kalau kita pergi tempat lain pula,
kan?”
Tercengang-cengang Nazif menyaksikan pasangan
itu bercakaran di hadapannya.
“Bali atau Lombok, kedua-duanya ada keistimewaan
sendiri. Kalau dah pergi ke Bali, apa salahnya pergi ke Lombok
pula, kan?” celah Nazif. Dah serupa pakar kaunseling rumah
tangga pula dia. Tak pasal-pasal jadi orang tengah.
Pasangan suami isteri itu terangguk-angguk.
Nasib baik mereka mudah bertolak ansur. Tumpuan Nazif
teralih pada telefon yang bergetar di atas meja. Dia tunduk
memandang nombor yang tertera. Private number? Skrin
disentuh untuk membaca mesej tersebut.
Bila awak nak buat?
Dahi Nazif berkerut-kerut. Dia tidak faham kenapa
dia asyik terima mesej sebegini. Pengirimnya juga begitu
misteri kerana langsung tidak perkenalkan diri. Tapi paling
apa yang pelik, Nazif sedikit pun tidak rasa terganggu. Malah
ternanti-nanti mesej seterusnya.
Buat apa?
Buat hati saya berdebar-debar
dengan senyuman awak.
Senyuman Nazif terukir tanpa sempat ditahan.
“Tengah mesej siapa tu? Girlfriend?” tanya rakannya.
Nazif menggeleng.
“Kita kat mana tadi?”
“Tengah bincang pasal Lombok,” balas Lyana
sebelum mengerling muka suaminya. Saiful Azlan hanya
mengangguk.
Tersenyum Nazif melihat gelagat pasangan di
hadapannya. Selepas mengesahkan tempahan, pasangan
suami isteri itu beredar pergi. Kemudian dia keluarkan
sebuah buku tebal. Laju tangannya menulis di atasnya.
Dari jauh Zalya panjangkan leher. Teringin mahu
melihat apa yang sedang lelaki itu catatkan. Tapi mata dia
bukannya macam Supergirl. Mana boleh zoom jauh-jauh.
Jika ditakdirkan punya kuasa luar biasa, Zalya tak ingin pun
mata seperti itu. Dia mahu mata yang boleh X-ray. Sebab apa?
Hehehe...
“Mek, kau buat apa kat sini?!”
“Mak!!!” Majalah tercampak dari tangan Zalya.
Kelam-kabut dia tarik tangan Fida. Dipaksa rakannya tunduk
supaya tidak dilihat oleh Nazif.
“Kau buat apa ni?”
“Syhhh... saya tengah spy si Nazif tulah!” Zalya
bersuara perlahan.
“Yang kau betul-betul pergi spy dia kenapa?” Fida
ikut berbisik sama.
“Saya cuma nak tahu macam mana perangai dia. Itu
aje!”
“Kau tahu tak apa yang kau buat ni salah?” Menjegil
mata Fida.
Zalya tarik muka ‘ada aku kisah?’.
“Kalau betul kau nak tahu pasal dia, kau sepatutnya
terus pergi tanya dia. Bukan jadi spy takde lesen macam ni!”
Zalya tahan sengih. Kata-kata yang hampir serupa
dia ucapkan kepada stalker Kevin tempoh hari. Sekarang dia
terkena balik. Betullah kata Justin Timberlake; what goes
around comes around.
“Kenapa awak ikut saya, Fida? Bukan sepatutnya
awak keluar dengan Rayyan ke?”
“Memang aku keluar dengan Rayyan. Dia ada kat
kedai sebelah, tengah pilih kasut. Kebetulan aku ternampak
kau terhendap-hendap kat sini. Sebab risau, aku datanglah
ke mari.”
“Auw... so sweet!”
“Tak payah nak sweet sangatlah!”
Zalya pamer muka tak peduli. Dia pandang semula
ke arah Nazif yang berbaju kemeja lengan panjang pada hari
yang panas itu. Hairan sungguh Zalya. Nazif ingat cuaca kat
luar ini sama beku macam dalam pejabat dia ke?
“Zalya, kalau setakat stalk dia begini, apa yang kau
dapat? Buang masa dan buang tenaga aje. Bila-bila masa dia
boleh terjumpa dengan perempuan yang lagi cantik daripada
kau. Masa tu kau jangan menangis dan mengadu nasib depan
aku pula!” Suara Fida menerjah telinga.
“Habis, takkan awak nak saya pergi mengurat dia?
Jadi perigi yang cari timba?”
“Apa yang kau tengah buat sekarang ni, bukan dah
masuk stage pertama untuk jadi perigi ke? Selama ini kau tak
pernah pun buat kerja-kerja begini, tahu?”
Ya ke? Zalya garu kepala.
“Punyalah ramai lelaki sibuk nak kenal kau. Tapi
seorang pun kau tak layan. Alih-alih, jadi stalker Nazif pula.”
“Hesy, suka hati sayalah nak jadi stalker ke apa ke?
Kalau awak nak membebel, tunggu saya balik nanti. Jangan
kacau saya di sini!”
Fida tergeleng. Apabila Zalya menoleh untuk melihat
Nazif semula, lelaki itu sedang bercakap dengan seseorang
melalui telefon.
“Fida! Dia tengah bercakap dengan siapa tu?” Zalya
menepuk-nepuk tangan kawannya.
“Yang kau tanya aku tu kenapa? Manalah aku tahu?”
balas Fida.
“Entah-entah dia tengah bercakap dengan
girlfriend dia tak?” Zalya gelisah. Apatah lagi apabila Nazif
tersenyum-senyum semasa bercakap melalui telefon.
Sepanjang dia mengintip, inilah kali pertama dia melihat
Nazif tersenyum lebar sebegini.
“Girlfriend mana pula, mek?” soal Fida.
Tiba-tiba Nazif bangun dan mula angkat kaki. Zalya
serentak bangkit sama.
“Kau nak pergi mana pula tu?” Fida lekas menahan
Zalya.
“Saya nak ikut dialah.”
“Eh, bahayalah kau buat kerja-kerja begini!”
“Mana ada bahaya. Awak jangan risau, ya? Pergi
dulu... Bye!”
“Zalya!” Fida melaung suara ditahan-tahan. Puas
dia cuba gapai tangan kawan baiknya itu. Namun sia-sia saja.
Rakannya itu terus lesap dari pandangan mata.

DARI JAUH Zalya nampak kereta Nazif berada tidak jauh
di hadapan. Sudah setengah jam dia mengekori Nazif. Tapi
sehingga sekarang lelaki itu tidak menunjukkan sebarang
tanda akan berhenti. Nazif nak pergi ke mana ni? Jumpa
teman wanita diakah? Atau jumpa isteri dia?
Tidak! Zalya tak sanggup menerima hakikat itu.
Tak rela kalah tanpa bertanding. Sedang dia leka meladeni
perasaan, tanpa sedar pedal minyak ditekan kuat. Apabila
menyedari kereta Nazif begitu hampir di depan, cepat-cepat
brek dipijak.
Bum!
Dua buah kereta bertembung dan berdentum. Zalya
tersentak. Impak hentakan membuat tubuhnya tersentak
ke depan. Nasib baik tali pinggang keledar menyelamatkan
dirinya. Jantung Zalya berdebar kuat. Dia tiba-tiba panik.
‘Alamak! Aku langgar kuat sangat ke tadi?’ Wajah
Zalya pucat lesi. Andai ditoreh-toreh mungkin nampak isi
dan berdarah tiada.
Nazif segera keluar dari perut kereta. Berkerut-kerut
muka melihat keretanya ‘dicium’ kereta lain. Dia toleh pula ke
arah kereta yang telah menodai keretanya. Kereta Kelisa lama
berwarna biru itu nampak kecil saja di matanya. Pemandunya
juga masih belum keluar.
Lantas langkah diatur ke arah kereta Kelisa itu.
Cermin kereta itu diketuk. Perlahan-lahan cermin tingkap
diturunkan. Terjengul wajah gadis berskarf hitam.
“Sorry! Tak sangka kita boleh berjumpa lagi,” tutur
Zalya, tersenyum canggung.
“Boleh tak awak tolong keluar dulu?”
Zalya kaget. Nada lelaki itu sedingin ais di Antartika.
Teragak-agak dia turun dari kereta.
“Cuba tengok apa yang cik dah buat.”
Zalya panjangkan leher. Matanya tunak ke arah yang
ditunjukkan.
“Cik ingat murah ke nak baiki kesan calar macam
tu?”
“Saya minta maaf sangat-sangat pasal kereta awak.
Tapi saya memang... Saya tak perasan tadi.” Teragak-agak
Zalya membohong. Cuak apabila lelaki itu menyinga.
Garangnya!
“Tapi... awak tak kenal saya ke? Awak tak ingat saya
siapa?” Zalya tahu dirinya bukanlah secantik Miss Malaysia.
Jauh lagi Miss Universe. Tapi bukankah mereka baru bertemu
minggu lepas? Takkan lelaki ini sudah lupa siapa dirinya?
“Saya kena kenal cik ke?”
Dush!
Satu tembakan seolah-olah dilepaskan ke arahnya.
Terus menembusi jantung sehingga membuatkan Zalya
keluh tidak terkata. Kecewa!
Kenapa Nazif tanya soalan macam tu? Takkan secepat
itu dirinya dilupakan? Ke lelaki ini ada amnesia? Mungkin
kepalanya sudah terhantuk lalu hilang ingatan?
“Sekarang ni macam mana cik nak settle? Atau cik
nak saya pergi ke balai?”
Zalya panik. Rancangannya habis hancur lebur!
Malah kedinginan Nazif buat dia takut. Seolah-olah dia
sedang berdepan dengan dua lelaki yang berbeza.
“Takkan benda kecil begini pun nak bawa ke balai?”
Takut-takut Zalya bersuara.
“Ini bukan benda kecil. Apa-apa hal kemalangan
mesti dilaporkan kepada pihak berkuasa supaya tuntutan
insurans dapat dibuat.”
“Ya, apa yang awak cakap tu memang betul. Tapi tak
payahlah sampai perlu libatkan pihak polis.” Zalya dilanda
resah. Jika hal itu dipanjangkan, terang-terang dia kena bayar
saman.
“Saya tak peduli. Sekarang ni, cik nak bayar ke
tidak?” Nazif mendesak.
“Ya, ya... saya akan bayar. Berapa yang awak nak?”
Zalya kalut. Dalam hati dia berdoa agar lelaki itu tidak meminta
di luar kemampuannya. Gaji dia bukannya puluh-puluh ribu
pun. Setakat RM50, dia mampu lagi.
“Tiga ratus.”
“Ti... tiga ratus???” Hendak tercekik leher Zalya.
Dalam begnya hanya ada dua ratus lebih saja. Mana cukup!
“Saya mana ada duit sebanyak tu.”
“Kalau macam tu, cik bagi aje berapa banyak yang
cik ada.”
Zalya rasa hendak menangis. Terketar-ketar
tangannya keluarkan empat keping not lima puluh kepada
lelaki itu. Namun kepingan not itu tidak pula disambut.
“Betul Cik Zalya nak bagi duit pada saya macam tu
aje?”
Huh? Zalya salah dengar atau apa? Adakah lelaki itu
baru saja menyebut namanya? Bukan dia kata dia tak kenal
ke tadi?
Pantas Zalya mendongak. Wajah lelaki itu nampak
kelat. “Tadi awak kata awak tak kenal saya.”
“Saya belum nyanyuk lagi. Mustahil saya boleh lupa
Cik Zalya.”
“Habis tadi kenapa awak macam tak kenal dengan
saya? Lepas tu minta duit dengan saya macam samseng? Awak
tahu tak, sikit lagi saya nak menangis tadi!”
“Saya buat macam tu sebab cik ikut saya.”
“Ikut? Eh, takdelah! Mana ada saya ikut awak!
Kebetulan aje saya terjumpa awak di sini.” Zalya pantas
menyangkal.
“Bukan cik ke yang menyorok belakang menu, pakai
skarf, specs dan topi hitam di restoran tadi? Cik pun asyik
berkeliaran sekitar kawasan pejabat saya sejak beberapa hari
ni, kan?”
Alamak! Dia terkantoi lagi ke? Mulalah Zalya
menggelabah. Sekarang, sendiri fikirlah bagaimana hendak
menjawab soalan cepu cemas Nazif itu.
“Taklah! Awak dah salah orang ni.” Zalya masih cuba
untuk menidakkan.
“Ingatan saya kuat. Saya takkan salah orang. Kenapa
cik ikut saya?”
“Saya tak ikut awak.”
“Ya, cik ikut.”
“Tak ada.”
“Ada.”
“Mana adalah!”
“Ada...”
“Kalau betul, mana buktinya?”
Nazif terus tunjukkan telefon. Beberapa gambar
Zalya sedang bersembunyi di belakang menu sebentar tadi
terpapar di skrin.
Zalya ternganga. Bila masakah lelaki itu mengambil
semua gambar-gambar ini?
“Ini awak dan ini pula kawan awak, kan?”
Gambar itu diambil ketika dia sedang bersama Fida.
Ini mesti sebab dia bercakap dengan Fida tak ingat dunia.
Sebab tu dia langsung tidak perasan saat gambarnya diambil!
Mulalah Zalya jadi kelam-kabut. Sudah terang lagi
bersuluh dia sudah tertangkap. Siap ada bukti pula tu! Tak
mungkin dia dapat nafikan. Kalau bawa kes itu ke mahkamah,
memang sah dia akan kalah.
“Okay, fine! Saya mengaku. Memang itu gambar saya
dan kawan saya. Tapi sebelum awak fikir yang bukan-bukan,
saya takde sebarang niat buruk.”
“Takde niat buruk cik kata? Cik tahu tak apa yang cik
buat ni salah?”
“Saya minta maaf...” Zalya tertunduk.
“Cik tak perlu minta maaf dengan saya. Sepatutnya
cik kena fikirkan tentang keselamatan diri cik sendiri. Nasib
baik terlanggar sikit aje. Kalau ada apa-apa terjadi pada cik
tadi, macam mana?”
Zalya buka mulut, mahu membalas. Belum sempat
dia berkata-kata, lelaki itu pantas memintasnya.
“Kalau ya pun terlanggar, cik tak patut berikan duit
macam tu aje! Calar sikit aje, kan?”
“Okey, memang saya yang salah. Tapi perlukah awak
marah saya sampai sebegini sekali?”
“Saya tak marah tapi saya sakit hati. Boleh tak jangan
buat saya risau begini?”
“Saya? Buat awak risau? Kenapa pula awak nak
risaukan saya?”
Soalan Zalya membuat muka Nazif terus berubah.
Dia tersentak. Betul juga! Kenapa dia perlu risaukan gadis
itu?
“Hurm... Saya tahu kenapa awak risau sangat dengan
saya.” Mengecil mata Zalya. Dia terangguk-angguk, penuh
mengerti.
Dahi Nazif berkerut.
“Saya rasa awak dah jatuh ni.”
“Jatuh apa?” tanya Nazif tidak mengerti.
“Jatuh cinta dengan saya.”
“Saya? Jatuh cinta dengan awak?” Nazif tuding jari
ke dada sendiri. Sungguh dia tidak percaya dengan apa yang
dia baru dengar.
“Alah, mengaku ajelah yang awak dah jatuh hati
dengan saya, kan?” Zalya angkat-angkat kening. Saat itu dia
bukan serupa muka tembok. Tapi dah tak ada rupa muka lagi
dah. Namun dia peduli apa?
Nazif rasa hendak tergelak. Bukan main tinggi lagi
tahap keyakinan gadis yang seorang ini. Sempat pula hendak
mengurat di tengah-tengah jalan raya. Tengah-tengah panas
terik pula tu!
“Cik Zalya, saya bukan tak nak mengaku tapi...”
“Awak segan?”
“Tak! Awak dah silap ni.” Bersungguh-sungguh Nazif
menafikan. Siap tayangkan kedua-dua telapak tangan.
“Kalau dua-dua pun bukan, awak bencikan saya ke?”
Serangan soalan Zalya buat lelaki itu seakan hilang punca.
Nampak hilang arah untuk berkata-kata.
“Beginilah, Cik Zalya. Saya sebenarnya dah terlambat
untuk pergi ambil umi saya. Risau pula dia nanti. Kereta cik
okey, kan?”
Zalya angguk.
“Takkan awak nak pergi macam tu aje? Macam mana
dengan kereta awak?”
“Takpe. Calar sikit aje.” Nazif terburu-buru menapak
ke keretanya.
“Err... awak!” panggil Zalya.
Nazif berpaling memandang Zalya dengan kedua-dua
kening terangkat.
“Terima kasih.” Zalya ucapkan rasa yang selama ini
tertangguh.
Dahi Nazif berkerut, bagai tidak mengerti.
“Hati-hati bawa kereta.”
Pesanan yang diberikan oleh lelaki itu buat perasaan
Zalya melayang-layang. Tak sabarnya nak cerita dengan Fida!
Zalya melonjak keriangan.

No comments:

Post a Comment