3 tahun kemudian...
“ISY... isy. Dahsyat!” Telefon bimbit didekatkan
ke wajah. Berkerut dahi Ahmad Khalil membaca setiap
perkataan yang tertulis di dada skrin gadget itu. Ibu jari ligat
meleret pada skrin.
“Apa yang dah...”
“Syhhh! Diam... biar aku baca dulu!” pangkasnya
menghalakan tapak tangan pada manusia di hadapannya.
“Boleh kenyang ke kau tenung benda alah tu?
Sampai tak jamah makanan depan kau. Naik kembang dah
roti canai tu, dahlah taruh kuah atas...”
“Syh!” Mata Khalil masih tidak berganjak dari skrin.
Razin menjulingkan mata ke atas. Malas mahu
melayan. Pagi-pagi lagi sudah obsess dengan gadget itu. Entah
apa yang dibaca sampai jadi begitu sekali. Entah-entah gosip
pasal artis terkini. Mungkin perihal pelakon kegemarannya.
Si Khalil ni boleh tahan ‘melodi’ juga. Sejak di kampung lagi
memang perangainya kepoh.
Ah, pedulikan lelaki itu. Razin harus penuhkan
perutnya terlebih dahulu. Pinggan roti canai yang sudah licin
ditolak ke tepi.
“Mamak! Roti canai lagi satu! Kuah taruh atas.”
Terhinggut bahu Khalil dek laungan Razin. Hilang
sebentar segala input yang dibaca tadi. Kini mata Khalil
beralih ke arah sahabat baiknya yang dianggap sebagai adiknya
sendiri dengan rahang yang jatuh dan kening bertaut.
“Kau ni biar betul? Dah dua keping kau bedal, kau
minta lagi satu? Kau baca bismillah ke tidak ni?”
“Aku lapar. Biarlah aku nak makan. Lagipun roti
canai ni bukan besar mana. Kau tu, gigitlah telefon tu sampai
kenyang. Tak payah makan.”
Khalil mencebik.
“Nanti kau jadi ular sawa, baru kau tahu. Tak boleh
kerja.”
“Oi, aku bukan kerja macam kau. Aku kerja naik
motor, hantar surat... makan angin, usyar awek...” Air disedut
sedikit sambil mengangkat kening berkali-kali.
“Kenapa kau pilih kerja tu? Aku suruh kau minta
posisi lain, tapi lain yang kau minta.”
“Biarlah... aku ni bukannya pandai macam kau, aku
ada SPM aje...”
“Kau jangan buat ayat Awie sangat, boleh?” Teringat
kata-kata yang sering diucap Awie dalam cerita Zombi
Kampung Pisang.
Meledak tawa Razin.
“Eh, dalam cerita tu, Abang Husin tu bukan tak ada
SPM ke? Jadi mana sama... aku ada SPM...”
“Apa-apa ajelah!”
“Tapi betullah aku cakap, dah dapat jadi despatch
pun dah syukur. Dapat tumpang dekat rumah sewa kau lagi.
Kalau ikut hati aku ni, aku nak aje jadi nelayan, tapi itulah...
kena bebel...”
“Haaa, sudah... sudah! Mengada-ada buat ayat sedih.
Eh, diaorang membebel sebab nak yang terbaik untuk kau.
Takkan kau nak jadi nelayan sampai bila-bila? Fikir...”
Razin membalas dengan tawa halus.
“Apa yang kau baca tadi tu?” soalnya sekadar mahu
menukar topik.
“Ada orang dibunuh 2 hari lepas. Aku follow cerita
tu sejak semalam lagi.” Bersemangat Khalil bercerita. Cuba
untuk memancing minat Razin namun berbeza beberapa
saat, wajahnya bertukar pucat.
“So? Macamlah kau tak biasa dengar orang kena
bunuh kat Malaysia ni.” Razin cebik dan ketika itu barulah
dia tersedar sesuatu. Perubahan riak wajah Khalil.
“Siapa yang kena bunuh tu? Baik kau cakap, aku
pantang betul orang cerita separuh jalan ni.” Razin bersuara
apabila Khalil hanya mendiamkan diri.
Khalil menggaru kepala. Dia teragak-agak
sebenarnya.
“Kau ni nak kena dengan aku ke, hah? Baik kau
cerita...”
“Yalah!” Khalil kembali beriak seperti biasa. Terlajak
perahu boleh diundur, terlajak kata, memang buruk padahnya.
Nak tak nak dia kena ceritakan juga memandangkan Razin
sudah bertanya. Jika berterusan beriak seperti ini, pasti Razin
akan sedar yang dia teringatkan hal itu.
“Kali ni, orang yang kena bunuh tu public figure.
Pelakon famous! Dah lama tak ada kes high profile macam
ni, kau tahu tak? Bukan sorang yang mati, tapi lima orang
termasuk pelakon tu.”
“Boleh percaya ke apa yang kau baca tu? Tak semua
benda boleh percaya sekarang ni. Apatah lagi datangnya dari
media sosial. Banyak yang ditokok tambah.”
“Kali ni memang betul. Banyak page dah up pasal
ni. Kau jangan main-main dengan kuasa viral ni. Pihak polis
siap jumpa dadah. Lepas tu, geng budak U yang jumpa mayat
ni cakap, sebenarnya ada sekeping kertas berdekatan dengan
mayat.”
“Kertas apa?”
“Katanya tu kertas kosong aje, tapi hujung kertas tu
ada satu huruf. H. Itu yang buat semua orang tertanya-tanya
dan benda inilah yang menarik perhatian netizen. H tu apa?
Banyak spekulasi yang orang buat. Antaranya, H tu ada kaitan
dengan si mangsa... dan mungkin juga H tu stand for nama
orang... dan...”
“Polis ada, kan?” pangkas Razin.
“Haaa, memanglah polis ada. Aku...”
“Biar ajelah polis buat kerja. Buat apa nak pening
kepala dengan benda yang langsung tak ada kaitan dengan
kau?” pangkas Razin.
“Kau ni memang manusia yang sangat membosankan
dan tak boleh nak bertukar-tukar pendapat. Spesies tak
sporting sungguh!”
Perbualan mereka terhenti apabila roti canai yang
dipesan tiba. Sebaik saja pelayan beredar, Razin bersuara
kembali.
“Tangan kau kenapa? Semalam aku tak perasan
pun...”
“Nak perasan apa, benda ni sikit aje. Kalau tak perhati
betul-betul memang tak nampak. Kau tu masa aku balik dah
terbongkang tidur. Kalau aku tak kejutkan, alamatnya tak
maghrib dan isyaklah!”
“Hesy, sudah-sudahlah ambil tugas orang
perempuan. Biar diaorang aje yang membebel sudahlah.”
Khalil ketawa seraya merenung tangannya.
“Aku terjatuh masa on the way ke kereta. Setan
mana entah bajet nak jadi Dominic... drive macam pelesit.
Aku punyalah berjalan dengan penuh sopan dan tawaduk.
Dah tu, buat salah terus ghaib,” jawab Khalil. Telefon bimbit
akhirnya diletakkan di tepi, makanan yang terbiar sejak tadi
mula dijamah. Ternyata memang roti canai sudah kembang.
Razin mengangguk perlahan. Manusia sekarang
memang kebanyakannya memandu ikut sedap hati saja tanpa
fikirkan keselamatan orang lain.
“Kau makan cepat sikit. Dah nak masuk kerja. Aku
nak gerak dulu. Banyak benda yang aku nak kena hantar. Nak
menghadap franking machine lagi ni...” Razin mengerling
jam di tangan. Kalau dia lambat lagi hari ini, mampuslah dia.
Rasa menyesal pula kerana memesan satu lagi roti canai. Nak
tak nak, dia terpaksa habiskan juga.
“Tak apa, kau pergilah. Aku ni makan lambat.”
“Bukan membebel aje macam perempuan, makan
pun macam perempuan. Mujurlah kau tak make-up,” pangkas
Razin.
“Oi, melebih kau ni!”
Razin tidak membalas. Disumbatnya roti canai
semahu-mahunya sebelum diakhiri dengan menghirup
sedikit air teh yang masih berbaki. Tangan dimasukkan ke
dalam poket dan beberapa keping not seringgit diletakkan di
atas meja.
“Kalau kurang nanti beritahu aku. Aku bayar balik.
Aku gerak dulu.” Tanpa menunggu kata balas daripada
Khalil, Razin terus menghampiri motosikal. Sempat dia
berpaling memandang temannya yang kembali merenung
telefon bimbit. Dahinya kembali berkerut. Gerak-geri Khalil
diperhati sebelum topi keledar disarungkan.
“BANYAKNYA SURAT...” gumam Razin perlahan sambil
membelek surat-surat itu satu per satu dengan mulut
mencebik. Ini baru satu jabatan. Belum campur jabatan lain
lagi.
“Hari ni memang banyak sikit. Tapi yang ni...”
Sepucuk lagi surat ditayang di hadapan Razin sebelum
dihulur. “Nampak tak perkataan urgent depan ni? Yang ni
surat penting, kena hantar yang ini dulu. Lepas tu surat yang
mereka balas dan salinan surat yang ada di tangan kau tu,
kau kena hantar sini balik. Secepat mungkin,” terang Nadia
bersungguh-sungguh dengan wajah serius.
“Serius-serius ni nak ke mana, kak?” balas Razin
sebaik saja ayat Nadia menemui noktah. Bibir tersenyum
nipis.
“Jangan nak kak-kaklah. Kecik hati aku tau. Kalau tak
penting, aku takkan serius macam nilah...” Nadia mencebik.
Padahal jauh dalam sudut hatinya berbunga-bunga kerana
pagi-pagi lagi disajikan dengan senyuman Razin. Tambahan
pula Razin siap mengusiknya lagi. Kini lengkap harinya.
Saat Razin memandang alamat yang tertera,
senyumannya mati. Terbeliak biji matanya.
“Tapi sepanjang nak ke tempat ni, aku boleh hantar
banyak juga surat sementara nak on the way ke sana. Siap
lalu di pejabat pos. Tak boleh singgah terus ke?”
Nadia geleng.
“Isy. Tak boleh, nanti jadi lambat. Wajib hantar yang
ni dulu. Kerja lain kau kena tangguh dulu. Kalau kau letih
kau cakaplah, nanti aku...”
“Kau nak urut aku ke?” Razin ketawa kuat. Lucu
melihatkan riak wajah Nadia. “Okey... okey... aku main-main
aje.”
“Mengada-ada kau ni, kan? Aku nak cakap nak
belanja makan ajelah. Kau ni melebih. Okey, aku kena pergi
ni, banyak betul kerja aku hari ni. Hati-hati bawa motor tu,
jangan terlelap pula.”
Berat Razin mengeluh. Kenapalah Nadia sebut pasal
terlelap? Tak pasal-pasal matanya terus jadi layu. Berhantu
betul perkataan tu.
Razin melangkah keluar dari pejabat. Sekarang ini,
dia terus rasa seolah-olah mahu berhenti kerja. Perasaan
yang sering dia rasa apabila terpaksa menghantar surat yang
banyak. Kalau tidak mengenangkan perkara itu, sudah lama
dia berhambus dari tempat ini.
Motor Honda Wave Dash FI yang dipinjamkan Khalil
ditunggang perlahan. Satu perkara yang boleh membuat
dia menyumpah tanpa henti apabila kereta yang dipandu
sesetengah manusia dipandu seolah-olah jalan ini milik
mereka. Apa yang dikata Khalil memang seratus peratus tepat!
Signal kadang-kadang tidak diberikan, lepas tu boleh pula
mencelah seakan-akan kereta itu sekecil motor. Sudahlah
Kuala Lumpur ini memang terkenal dengan kesesakan jalan
raya tidak kira masa. Tidak seperti di kampung, tenang saja.
Memang tidak ada langsung kesesakan. Tidak ada!
Sesekali anak mata memandang cermin sisi.
Sedang dia asyik fokus dengan jarak motor dan kenderaan
di hadapannya... dengan tak semena-mena sebuah kereta
melanggarnya dari belakang. Dek hilang pertimbangan, dia
terjatuh di bahu jalan.
Tapak tangan diteliti. Terluka dan sedikit berdarah.
Seluarnya di bahagian lutut juga sedikit terkoyak malah
lututnya juga terluka memandangkan terdapat sedikit kesan
darah pada seluar.
Dengan dada berombak Razin bangun, namun kereta
yang melanggarnya meluncur laju pergi dari situ.
“Tak guna betul, dia lari!” Razin bercekak pinggang
dan mula menyumpah. “Aku jumpa kereta tu lagi, siaplah...”
bebelnya seraya mengangkat kembali motosikalnya.
Beberapa orang penunggang lain dengan prihatin
menyoal keadaannya. Dia hanya mengangguk sambil
tersenyum nipis. Sedikit sebanyak soalan mereka meredakan
amarahnya dan menolak persepsi di mana orang Malaysia
tidak prihatin.
Sempat dia membelek keadaan motor sebelum
mula menunggang semula. Mujur hanya calar sikit saja.
Kalau tidak, jenuhlah dia hendak menjawab dengan Khalil.
Sudahlah dia baru saja 2 minggu bekerja, dah calarkan motor.
Setibanya di syarikat itu, dia terus berlari untuk
selesaikan tugas yang diberikan. Tidak terlalu susah untuk
mencari lokasi syarikat itu kerana berada di kawasan yang
pernah dia datang sebelum ini.
Hampir setengah jam juga dia menunggu urusan
selesai sebelum kembali ke tempat parkir motor. Lelah juga
dibuatnya. Surat balasan tadi, dimasukkan ke dalam beg.
Beberapa keping surat yang akan dihantar ke syarikat lain
nanti diikat dengan getah.
Tumpuan Razin terganggu apabila terpandangkan
seorang gadis tinggi lampai keluar dengan mulut membebel
dalam bahasa Inggeris.
Pada mulanya Razin tidak mahu ambil kisah.
Namun tatkala melihat kereta yang dinaiki gadis itu, matanya
membulat. Darahnya menggelegak. Dia terus melempar
surat-surat ke dalam raga. Razin pulas minyak dan sengaja
melanggar bahagian hadapan kereta gadis itu.
“Hoi!” laung gadis itu.
“Apa?”
“Macam mana kau bawa motor ni? Sikit punya besar
jalan kat depan tu, kenapa kau langgar kereta aku? Habis
calar, kau tahu tak? Kau mabuk ke, hah?”
Razin mencebik. Anak mata merenung ke tempat
yang dilanggarnya tadi. Celah mana calarnya? Dia langgar
perlahan dan itu pun kena tayar motornya saja.
Hatinya ini... hati dia yang tercalar ini sebab gadis
itu yang tak reti nak minta maaf. Tu belum campur dengan
luka di tapak tangan dan lututnya lagi.
“Macam mana pula kau bawa kereta? Langgar
orang dari belakang, dah tu terus blah macam lipas kudung.
Dengan tak bagi signal, main haruk aje kau masuk. Kau
nampak lutut dengan tangan aku ni? Siapa nak tanggung?”
Razin menayang tapak tangan kirinya manakala jari telunjuk
tangan kanan terarah pada lutut kirinya.
Gadis itu diam. Ternyata kata-kata Razin
mengingatkan kembali apa yang dia sudah lakukan. Betul,
memang benar itu salahnya, namun ketika itu dia dalam
keadaan tergesa-gesa. Jadi dia tidak boleh melengahkan masa.
“Kau tunggu! Aku nak report polis pasal kau.”
Kata-kata Razin menyebabkan gadis itu menggigit
bibir. Kalau semua ini sampai ke telinga papanya, makin
teruklah nasibnya nanti. Walaupun kata-kata lelaki ini tak
mungkin buat orang lain percaya, tapi tidak papanya. Sejak
akhir-akhir ini, papanya asyik menyalahkan dia saja dalam apa
jua keadaan pun. Perkara sebegini seolah-olah menambahkan
lagi amarah papanya.
“Sudah. Aku tak ada masa nak bertekak dengan kau.
Sekarang kau cakap, berapa yang kau nak? Aku akan bagi.
Lepas tu, hal ni... kira settle. Kau jangan sesekali nak babitkan
pihak polis, kau faham tak?”
Razin senyum sinis. Oh, gadis ini mengarahnya,
malah mahu merasuahnya! Silap besar! Razin bercekak
pinggang. Dia mengukir senyuman senget.
“Berapa yang kau ada?”
“Hei, kau jangan pandang rendah pada aku! Kau
tahu tak aku ni siapa?”
“Kau ingat aku peduli kau siapa? Eh, kau ingat jasa
kau banyak sangat ke pada negara sampai aku nak kena ingat
kau siapa? Aku tak kira, orang macam kau kena ajar sikit.
Berlagak sangat!”
“Eh, aku ada banyak duit. Berapa banyak kau nak,
aku boleh bagi. Semua benda aku boleh beli, faham?”
Jari telunjuk yang dihalakan tepat pada wajah Razin
ditepis.
“Kalau macam tu, kau pergi beli otak yang
pandai sikit, ganti otak sekarang. Bodoh sangat. Ingat aku
terhegeh-hegeh sangat ke nak duit kau? Kau ingat dengan
duit, boleh dapat semua benda?”
Gadis itu mula menumbuk bumbung keretanya
sendiri. Membahang dadanya mendengar kata-kata Razin.
Wajahnya juga sudah bertukar merah.
“Habis tu kau nak apa?” tengking gadis itu kuat.
“Aku nak kau minta maaf sebab langgar aku tadi.
Lepas tu baru aku akan anggap semuanya settle.”
“Kau ingat aku nak minta maaf pada orang macam
kau ni?”
“Nak minta maaf pun kena tengok pangkat ke?
Luaran nampak terlebih moden, tapi otak masih terperangkap
di zaman batu. Aku tak kira, kau minta maaf sekarang!”
“Jangan harap! Aku bagi kau pilihan, sama ada kau
nak beritahu aku berapa yang kau nak, atau kau blah dari sini
tak dapat apa-apa. Pilih!!”
“Kau lebih rela hilang duit daripada sebut perkataan
tu...” Razin geleng kepala sambil tertawa halus. Ternyata
manusia di depannya kini spesies kepala batu dan ego tinggi,
gayat. Spesies kebanyakan orang kaya. Bukan semua tapi
yang pasti ada. Salah satunya ada di depan matanya kini.
“Sudahlah, buang masa aku layan manusia angkuh
nauzubillahiminzalik macam kau ni.” Razin jeda sambil
memakai topi keledar. “Aku harap tayar kereta kau pancit
kejap lagi.”
“What???”
Sengaja Razin berkata begitu sekadar mahu
membangkitkan lagi kemarahan gadis itu. Dia terus berlalu
untuk selesaikan kerjanya. Kata-kata amarah gadis itu
dibiarkan begitu saja. Dalam hati dia berharap itulah kali
terakhir dia berjumpa dengan manusia berperangai seperti
itu.
No comments:
Post a Comment