DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 28 February 2021

My Crush Shah - Bab 1


“AKU tak minta banyak pun, Shah. Kau aje yang aku harapkan sekarang,” pinta Iklil buat kesekian kalinya. Dia benar-benar terdesak sekarang. Dan yang dia ada hanyalah Shah.

Mengajak Shah untuk bertemu adalah perkara pertama yang dia fikir sewaktu dia bangun daripada tidur pagi tadi. Dan sekarang, dibuang rasa malunya untuk mengajak lelaki itu untuk bertemu.

Shah mungkin bukan orang paling rapat dalam hidupnya, namun dia lebih percayakan Shah berbanding orang lain. Shah masih menganggapnya sebagai teman biasa sahaja walaupun lelaki itu maklum akan perasaan yang disimpannya untuk lelaki itu. Shah itu istimewa dalam hidupnya.

Taska tempat Iklil bekerja selepas tamat pengajian di pusat asasi menjadi saksi jatuhnya hati Iklil terhadap Shah sewaktu lelaki itu menghantar anak buahnya. Iklil memberi salam pertama dan tanpa disangka-sangka, Shah sudi berkawan dengannya. Walaupun sekadar kawan biasa, Iklil tetap melompat kesukaan setiap kali lelaki itu membalas pesanan ringkasnya.

“Jangan mengarut, Iklil. Kita baru berkawan 5 bulan dan kau percayakan aku lebih daripada keluarga kau sendiri? Nonsense!” Buat pertama kalinya dalam sejarah hubungan mereka, Shah menghamburkan rasa marahnya sebegitu.

Dia maklum akan perasaan Iklil terhadapnya. Sebelum Iklil berterus terang dengannya pun, dia sudah dapat menebak yang Iklil ada hati kepadanya. Dan dia tidak pernah menjangka bahawa Iklil begitu berani menyuarakan perasaan sukanya itu. Iklil benar-benar gila!

“Aku tak ada sesiapa dah. Mereka semua dah buang aku. Aku perlukan kau. Please,” rayu Iklil lagi. Rasa malunya sudah terbang entah ke mana. Dia hanya mahukan sedikit perhatian dan simpati Shah. Salahkah?

2 hari lalu, dia dihalau oleh abah dari rumah. Dan sudah 2 hari juga dia menetap di hotel. Dia tidak tahu ke mana harus ditujuinya. Syukur dia ada menyimpan sedikit wang sewaktu bersekolah dan hasil titik peluhnya bekerja di taska sebelum ini.

“Untuk apa? Kau fikir aku boleh tolong kau? Benda ni bukan benda main-main, Iklil,” tegas Shah agar Iklil mengerti bahawa dia sendiri tidak tahu apa yang boleh dibantu.

Mendengar kata-kata Shah, air matanya tumpah. Sedih hatinya mendengar suara tegas Shah di hujung talian. Selang beberapa saat, dia mendengar keluhan kecil meletus daripada mulut lelaki itu.

“Jangan jadi perempuan murah, Iklil. Kau terlalu mudah meletakkan kepercayaan pada orang yang tak sepatutnya. Aku bukan orangnya,” ujar Shah tanpa belas. Dia mahu Iklil benar-benar jelas dengan apa yang dia katakan.

Biar Iklil sedar apa yang sedang dilakukannya adalah salah dan meminta bantuan daripadanya bukanlah satu tindakan yang bijak. Bukan dia tidak kasihan kepada gadis itu, namun dia tahu, sebarang tindakannya hari ini pasti akan memberi kesan di belakang hari. Dia tidak mahu terus-terusan memberi harapan kepada Iklil. Mungkin ini masanya untuk dia berundur daripada hidup gadis itu.

Tangisan Iklil semakin lebat. Setiap patah perkataan Shah bagaikan belati yang tidak kenal erti penat untuk terus menusuk ke setiap inci hatinya. Namun dia masih mahu mencuba. Dia tidak percaya Shah yang selama ini melayannya dengan baik berubah sebegini sekali.

I’m begging you, Shah. Kau satu-satunya harapan yang aku ada sekarang. Aku mohon buat kali terakhir.” Teresak-esak Iklil menghabiskan ayatnya. Dia memaksa dirinya berhenti menangis, namun dia tidak mampu.

Shah diam seketika. Tangisan dan esakan Iklil membuatkan fikirannya bercelaru. Bagaimana mahu membuatkan Iklil mengerti? Otaknya berputar ligat dan tidak lama kemudian, dia membuat keputusan. Ini keputusannya dan dia takkan mengubahnya lagi.

“Okey, petang ni aku jemput kau. Tapi bukan di hotel tu. Nanti aku mesej tempatnya,” kata Shah perlahan. Takut perbualannya didengari oleh mama yang memandang lama ke arahnya dari ruang tamu. Mungkin pelik melihat wajahnya yang tegang sahaja.

Terasa ada sinar harapan yang hidup semula sebaik sahaja Shah bersetuju untuk bertemu dengannya. Syukur! Namun tak sempat dia membalas, talian sudah dimatikan oleh Shah. Tidak mahu melayan hati yang terasa dengan sikap kasar Shah, dia bangun untuk mengemas barang-barangnya.

4 jam kemudian. Jarum jam menunjuk pada nombor 2. Sinaran mentari yang garang tidak dapat dielakkan, memancar tepat pada kulit mukanya. Mahu beralih tempat, nampak gaya macam tak mungkin kerana tempat lain semua sudah diduduki orang. Jadi dia kekal sahaja di tempat duduknya. Asalkan dapat duduk, dia sudah bersyukur.

Dia menanti di tempat perhentian bas itu, sesuai dengan arahan yang diberikan oleh Shah melalui pesanan mesej tadi. Janji Shah, lelaki itu akan datang dan dia hanya perlu menunggu di situ. Tanpa banyak soal, Iklil hanya menurut asalkan dia dapat bertemu dengan Shah.

Waktu berlalu. Hari sudah menginjak ke lewat petang. Renyai-renyai mula membasahi bumi. Hatinya dilanda rasa gelisah. Di manakah Shah? Lupakah lelaki itu pada janjinya?

‘Shah akan datang, kan?’ Iklil memujuk hatinya agar bersabar. ‘Shah akan datang... Shah akan datang.’ Ayat itu diucap berulang-ulang kali dalam mindanya.

Telefon pemberian mak yang berada dalam genggamannya dilihat. Patutkah dia menghubungi Shah? Dia mahu menelefon Shah, namun pada masa yang sama, dia tidak mahu membuatkan Shah semakin jelik dengannya. Iklil jadi serba salah.

Dia tersenyum senang apabila yang dinanti-nanti akhirnya menghubunginya. Butang hijau ditekan. Namun senyumannya pudar sebaik sahaja mendengar ayat Shah. ‘Ya Allah, kuatkanlah aku...’

“Kau ikut arahan aku? Kau pandai, tapi kenapa kau pilih jadi bodoh sebab cinta yang takkan ke mana tu? Berhenti percaya pada cinta. Open your eyes widely, Iklil,” ujar Shah tanpa perasaan. Kali ini dia yakin, Iklil akan mampu melupakan perasaan bodoh itu. Ini sahaja caranya!

Niatnya sekadar mahu mengajar Iklil agar tidak memperbodohkan diri hanya kerana cinta. Mereka berdua masih muda dan banyak lagi perkara yang perlu difikirkan. Dia tidak faham dengan Iklil yang terlalu mengikut kata hati. Yakin benar Iklil bahawa mereka ini memang berjodoh.

Listen, Iklil. Bina hidup baharu. Lupakan aku. Aku takkan datang. Ya, hari ni kau tahu yang aku ni tak sebaik yang kau sangka.”

Shah pantas mematikan talian. Dia tidak mahu mendengar sebarang balasan daripada Iklil. Yang penting, dia sudah bebas daripada Iklil yang tidak pernah lelah mengejarnya sebelum ini.

“Aku tunggu kau, Shah. Aku tetap tunggu kau datang. Kau dah janji,” ujar Iklil separuh berbisik. Dia tahu Shah sudah tiada di talian, namun dia berbicara seperti Shah masih mendengar setiap patah katanya.

Hancur hatinya mendengar setiap bait yang diucapkan oleh Shah. Suara lelaki itu perlahan sahaja pada pendengarannya. Shah tidak menengking atau meninggikan suara pun, tetapi mengapa dia terasa seperti Shah menjerit di hadapan mukanya? Yang jelas, setiap bicara Shah melukakan hatinya.

Hujan semakin lebat membasahi bumi. Sama seperti air matanya yang bercucuran membasahi pipi. Dia menangis semahunya sebaik sahaja telefon dijatuhkan dari telinga. Pandangan orang yang memerhatinya tidak dipedulikan. Mereka tidak faham. Mereka tidak tahu bahawa kini hatinya parah kerana orang yang dia hargai.

Tubuhnya dipeluk kejap. Dia akan tetap di sini. Dia akan tunggu. Hatinya dikeraskan. Dia yakin Shah akan mengubah keputusan. Mungkin sejam lagi. Mungkin 2 jam lagi. Biar Shah mungkir, tetapi dia akan tetap berpegang pada janjinya.

No comments:

Post a Comment