DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 28 February 2021

My Crush Shah - Bab 4


YUSRA menarik kasar topi yang berada di kepalanya sebaik sahaja tiba di tapak parkir. Dikibas ke muka. Hangat. Memang hangat.

Rosak rancangannya malam ini. Dia fikir, tamat perlawanan Malaysia dan China tadi, bolehlah dia terus pulang ke rumah. Namun apabila Haidhar cedera pada separuh masa kedua tadi, tak pasal-pasal ranap segala rencananya.

Dan entah kenapa, lelaki itu beria-ia mahu dia menghantarnya pulang. Gara-gara permintaan itu dibuat di hadapan teman-teman lelaki itu, Yusra setujukan sahaja. Huh!

Muka ikhlas ditayang apabila Haidhar dipimpin oleh dua orang pegawai kesihatan yang merawat Haidhar tadi. Yusra bukakan pintu di sebelah tempat pemandu.

Ucapan terima kasih diberi kepada dua orang pegawai kesihatan itu sebelum mereka berlalu. Sebelum masuk ke kereta, dia menghubungi Fitri yang sempat pula singgah di kedai Pisang Goreng Cheese sebaik sahaja permainan tamat tadi.

“Helo, Fit. Cepatlah. Haidhar dah ada dalam kereta ni.”

Yusra malas hendak masuk ke dalam kereta selagi Fitri belum tunjuk muka. Dia tidak selesa hendak berdua sahaja dengan Haidhar. Kan dah cakap yang dia ini jenis tidak percayakan lelaki.

Sementara menanti Fitri, matanya sempat juga menjeling Haidhar yang bersandar di dalam keretanya. Aduh, dahlah lelaki itu berpeluh sakan. Memang kena hantar cuci kereta ni!

Kereta ini kereta kesayangannya. Hasil titik peluhnya sendiri. Dan dia tidak suka ada peluh orang lain di dalam keretanya. Lagi-lagi lelaki. Oh, banyak benda yang dia tidak suka tentang lelaki. Aduhai!

Nampak sahaja Fitri, dia terus mengisyaratkan gadis itu untuk masuk segera. Dia mahu menghantar lelaki itu cepat-cepat supaya dia juga cepat sampai ke rumah. Sudahlah dia tidak sempat hendak berehat selepas shooting tadi. Penat badan, oi!

“Ikhlas tak, nak hantar I ni?” tegur Haidhar apabila wajah Yusra yang tidak beriak itu menyapa pandangannya.

“Tak penting pun I ikhlas ke tak. Yang penting, I hantar you,” ujar Yusra. Matanya tetap fokus pada jalan raya.

Mungkin kepenatan hari ini mempengaruhi moodnya. Jadi jangan salahkan dia kalau dia bersikap agak kurang ajar terhadap Haidhar. Tapi dia tahu, Haidhar sudah biasa dan lelaki itu takkan kisah.

Err, sedap Pisang Goreng Cheese ni. Nak? Anyone?” Fitri cuba meredakan suasana yang sedikit tegang dengan mempromosikan Pisang Goreng Cheese yang dibelinya tadi.

Namun apabila promosinya tidak menarik minat sesiapa, dia mengambil inisiatif untuk diam sahaja.

Haidhar menoleh kepala sedikit. Fitri sedang leka mendengar lagu menggunakan headphone sambil mata tertala ke luar tingkap. Tangan pula sibuk menyuap Pisang Goreng Cheese ke mulut.

Are you okay, dear?” tanya Haidhar sambil menyentuh sedikit tangan Yusra.

Pantas tangan Haidhar ditepis. Haidhar memang sengaja buat dia marah atau apa? Yusra mendengus dalam hati. Geramnya naik mendadak.

“Berapa banyak kali I nak beritahu, I tak suka you sentuh I! Jangan sampai I backhand you dekat sini,” Yusra memberi amaran. Pantang benar dia dengan lelaki yang sesuka hati mengusik anak dara orang ni.

Haidhar mengeluh perlahan. Ya, dia akui bahawa Yusra tak sama dengan perempuan lain yang dikenalinya. Yusra bukan seperti Amanda yang suka dibelai. Yusra bukan seperti Cynthia yang senang dicuit. Yusra ialah Iklil Yusra yang sukar didekati apatah lagi hendak disentuh.

“Yusra, I ada benda penting nak beritahu you ni.” Haidhar mencuba nasib. Dia berdeham membetulkan suara.

Hmm...” Yusra bereaksi tanda dia masih dengar apa yang hendak dikatakan oleh Haidhar.

“Iklil Yusra Ebrahim... will you marry me?” ucap Haidhar tanpa ragu-ragu. Dia sudah berfikir panjang. Hubungannya dengan Yusra pun sudah hampir 3 tahun. Apa lagi yang hendak ditunggu?

Sepi. Yusra tak menjawab apa-apa. Sebenarnya dia terkejut. Adakah Haidhar baru sahaja melamarnya? Haidhar sebut marry atau biskut Marie? Tapi dia tahu, dia tak silap dengar. Haidhar melamarnya untuk menjadi isteri!

“Kalau sakit, buat cara sakit, Haidhar. Lebih baik you tidur. Nanti dah sampai kondo you, I kejut,” ujar Yusra selamba. Lamaran Haidhar tadi dibiarkan berlalu tanpa sebarang jawapan. Anggap sahaja dia tidak dengar.

Haidhar menjulingkan matanya ke atas. Kerasnya hati gadis di sebelahnya ini. Kalau gadis lain, dah lama melompat agaknya apabila dia melamar. Namun apabila dia melamar Yusra, gadis itu langsung tidak bereaksi. Seakan-akan lamarannya langsung tak bermakna.

“I serius, Yusra. I nak you jadi isteri I.” Bersungguh-sungguh Haidhar cuba meyakinkan Yusra.

“I pun serius. Lebih baik you tidur. I tak nak ada orang kena drop tepi jalan pula tengah malam ni.” Yusra buat suara tegas. Dia malas hendak melayan Haidhar. Makin dilayan, makin naik tocang nanti.

Haidhar menarik nafas dalam-dalam. Dia berfikir bagaimana mahu menarik perhatian Yusra agar gadis itu mendengar kata-katanya dan menerima lamarannya.

“Okey, kalau you terima, I janji...”

“Haidhar, you tahu I tak suka that word, kan? Don’t say it. I tak nak you terikat dengan janji you sendiri nanti. Lelaki ni berjanji aje pandai, tapi nak tunaikan.” Laju Yusra mencantas percakapan Haidhar sebelum sempat lelaki itu menabur janji.

“Yang you anti sangat dengan janji lelaki ni kenapa?” Haidhar mula naik angin. Sungguh dia tidak mengerti dengan prinsip hidup Yusra. Kata-kata gadis itu macam marah benar dengan kaum Adam. Tak tahulah siapa yang dah buat Yusra jadi seperti ini.

“Sebab janji lelaki itu hanya di mulut. Faham? I tak rasa yang I perlu jelaskan panjang-panjang. You lelaki. You lebih tahu kaum you sendiri,” ujar Yusra dengan nada selamba. Dia dah berura-ura mahu mematikan perbualan. Malas hendak bertekak dengan Haidhar. Bukannya lelaki itu faham dengan dirinya. Tahunya nak marah saja. Menyakitkan hati!

“I tak rasa you perlu hukum semua lelaki atas salah jantan mana yang dah mungkir janji dengan you dulu. You kena ingat, tak semua lelaki tu sama, Yusra. Ada aje yang tunaikan janji.”

“Tak semua, tapi hampir semua! So, tak ada beza pun. Lelaki dengan janji, boleh pergi bla,” ujar Yusra tegas. Bengang pula dia dengan Haidhar. Kalau ikutkan geram hatinya, sudah diberhentikan kereta dan ditendang pemain bola sepak kesayangan negara itu.

Dia yakin, ada yang akan mengutip lelaki itu. Namun dia masih waras. Takkan dia hendak burukkan nama sendiri pula dengan buat perkara yang bukan-bukan.

What’s wrong with you? I tak fahamlah macam mana boleh wujud perempuan macam you ni!” Haidhar turut sama bengang apabila berhadapan dengan Yusra yang begitu pesimis dengan makhluk berjantina lelaki.

Yusra tersenyum sinis. Tahu pula nak terangkat! Haidhar di sebelahnya dijeling sahaja.

“Tak perlu faham. Kenapa? You tak suka cara I berfikir tentang lelaki? Then go ahead. Or better to say, go away. Go away from my life. I ni tak penting dan you sikit pun tak penting dalam hidup I.”

Sedar Yusra semakin berapi di tempat duduk pemandu, Haidhar tahu dia yang perlu beralah sebelum keadaan semakin memburuk. Tengoklah gaya Yusra memandu. Seakan jalan raya ini milik dia seorang. Sesuka hati memecut tanpa menghiraukan pengguna jalan raya yang lain.

“Okey, tenanglah. Berbalik pada topik utama kita tadi... kita kahwin?” Haidhar mula berlembut. Tinggi harapannya agar Yusra menerima lamarannya. Umi sudah bertanya tentang Yusra. Dia pun tidak pernah membawa Yusra bertemu dengan umi kerana Yusra sering mengelak. Kali ini, umi sudah mendesaknya dan dia terdesak mahukan persetujuan Yusra.

Haih, again, I tak nak. I tak sudi. I tak terima. I tak ingin. Jelas? You nak I cakap macam mana lagi baru you nak faham? Pleaselah!” Yusra mohon pengertian apabila Haidhar masih mendesaknya.

What’s wrong with us? Salah ke? Kita dah lama bercinta. I nak kita halalkan hubungan ni,” jelas Haidhar.

“You yang anggap kita bercinta. I hanya anggap you kawan. Dan kita dah bincang benda ni sejak awal lagi. I dah beritahu yang you hanya berlakon sebagai kekasih. Bukan betul-betul,” Yusra mengingatkan Haidhar.

“Yusra, I serius. I love you, dear,” ucap Haidhar sambil memandang tepat ke arah muka Yusra yang tegang.

“I tak suka orang cakap macam tu pada I. Terutama lelaki.” Selamba sahaja Yusra membalas.

3 tahun lalu, dia terdesak untuk punya kekasih bagi mengelakkan diri daripada gangguan. Fitri yang bertemu dengan Haidhar dan membentangkan segala syarat. Salah satunya, jangan jatuh cinta dengan Yusra. Dan Haidhar sendiri setuju. Kini, Haidhar berani-berani pula mengungkap ayat keramat itu.

“You ni... itu tak suka, ini tak suka. Habis, apa yang you suka?” Haidhar sudah kusut dengan perangai Yusra yang sukar difahami ini. Sepanjang hubungannya dengan Yusra, jarang mereka keluar berdua untuk urusan peribadi. Berhubungan pun melalui telefon sahaja. Itu pun menggunakan perantara; yakni Fitri, selaku pengurusnya.

Hubungan mereka berdua dikatakan dalam kategori ‘okey’. Saling melayan baik antara satu sama lain walaupun Yusra lebih kerap bermulut lepas ataupun kurang ajar dalam percakapannya. Entah kenapa, Haidhar masih juga bertahan dengan Yusra. Mungkin benar, dia sudah melanggar perjanjian bahawa dia takkan jatuh suka kepada Yusra.

“Atau you ni tak straight?” tanya Haidhar selamba. Dipandang lagi Fitri yang masih leka dalam dunianya sendiri.

Yusra menghamburkan tawa. Entah apa dosanya sehinggakan malam ini sahaja sudah 2 kali dia dituduh sebagai kaum Nabi Luth. Soalan Haidhar benar-benar menggeletek perutnya. Singkatnya cara lelaki itu berfikir.

“Hanya kerana I tak terima lamaran you, you fikir I ni lesbian?” Soalan Haidhar dibalas dengan soalan juga.

“I terfikir aje. Sebab pendirian you tu, nampak macam tak suka lelaki langsung,” balas Haidhar selamba sambil bersandar pada badan kerusi. Soal lamaran tadi dilenyapkan dahulu. Mungkin dia boleh cuba lagi nanti. Biarkan Yusra sejuk dahulu.

“Suka hati youlah nak fikir apa pun. I tak perlukan pendapat you tentang cara I berfikir.” ‘Dan you tak tahu apa yang I dah hadap selama I hidup,’ Yusra menyambung sekadar dalam hati. Nanti Haidhar lagi banyak soal. Dia malas hendak jawab panjang-panjang.

“Yusra, you tolak peluang keemasan bila you tolak I,” bisik Haidhar. Cukup untuk sampai ke telinga Yusra.

“Kenapa nak emas sedangkan I boleh dapat platinum?” Yusra pula membalas dan balasannya membuatkan Haidhar terdiam.

Berlawan cakap dengan Yusra, memang takkan menang. Yusra takkan mengaku kalah selagi pihak lawan tak beralah dengannya. Haidhar cukup tahu itu. Sudahnya, dia mengambil keputusan untuk berdiam diri sahaja. Tak guna cakap banyak kerana Yusra tetap Yusra.

 

USAI MENGHANTAR Haidhar ke kondominium lelaki itu, Yusra terus memecut pulang ke rumahnya pula. Fitri juga sudah berpindah tempat duduk di sebelahnya. Dia diam tak berkata apa. Moodnya hilang melayang mengenangkan lamaran Haidhar tadi.

“Aku dengar tadi,” beritahu Fitri selepas beberapa minit berlalu sepi. Sebenarnya, tadi dia sengaja pakai headphone. Tapi tak dengar lagu apa-apa pun. Memang dia menelinga sejak awal perbualan Haidhar dengan Yusra lagi.

“Tahu,” balas Yusra. Dia sudah arif sangat dengan perangai pengurusnya itu. Fitri memang takkan duduk senang kalau tak menyibuk dalam setiap hal hidupnya. Anehnya, dia langsung tidak kisah. Mungkin sudah terlalu biasa.

Fitri tayang sengihan. Mujur Yusra tak melenting. Dia bukannya apa, dia cuma tidak mahu terlepas apa-apa cerita tentang bosnya. Lagipun, diakan penasihat Yusra dalam segala jenis hal. Tak salah rasanya kalau dia ambil tahu sedikit.

“Lebih baik aku putus aje dengan dia,” ujar Yusra dengan nada yang perlahan. Fikirannya mula memikirkan tindakan yang sewajarnya dilakukan. Dan baginya, memutuskan hubungan dengan Haidhar merupakan jalan terbaik.

Wait... What? Putus? Kau kata putus ke tadi?” Fitri bertanya dengan nada cemas. Betulkah apa yang dia dengar tadi? Yusra mahu putus?

“Hesy, ya. Aku nak putus dengan Haidhar. Break up,” tegas Yusra. Kali ini dia lebih yakin dengan keputusannya.

“Tapi kenapa?” Bukankah di hotel tadi Yusra kata lain? Yusra berpisah dengan Haidhar... menurut Fitri, bagus dan tak bagus. Bagus kerana Yusra akhirnya menarik diri daripada meneruskan hubungan yang tidak nampak masa hadapannya dan tidak bagus kerana kasihan kepada Haidhar. Paling Fitri rasa ralat kerana dia yang ‘melamar’ Haidhar untuk dijadikan teman lelaki Yusra. Dan akhirnya, jadi begini pula. Teballah mukanya nanti.

“Sebab dia mungkir. Sepatutnya dia tak boleh jatuh cinta pada aku, tapi apa yang jadi? Dia tak sepatutnya lamar aku!” Yusra semakin tegas. Nampak marah dengan apa yang telah berlaku malam ini.

Fitri menarik nafas panjang. Ermm, silap Haidhar juga. Siapa suruh jatuh cinta terhadap Yusra? Kan dah diberi amaran awal, tapi boleh pula dia pergi melamar si Yusra yang tak percaya kepada lelaki ni. Memang salah strategilah!

“Kenapa semua lelaki sama?” tanya Yusra. Tidak berniat hendak mendapatkan jawapan daripada Fitri pun, cuma dia hanya mahu meluahkan apa yang bermain dalam mindanya.

Fitri yang mendengar, kelu tak bersuara. Dia tahu, Yusra sudah masuk mood feeling terlebih. Bertahun dengan Yusra, dia faham dengan perangai Yusra. Dia tahu, ada waktu, Yusra boleh diajak bergurau. Ada waktu, Yusra hanya mahu ada peneman tanpa bicara.

Dia juga tahu bahawa Yusra ada menyimpan cerita daripadanya. Cerita yang Yusra pendam sendirian tanpa mahu dibuka kepada orang lain. Dan dia yakin, cerita itu yang membuatkan Yusra tidak percaya kepada lelaki sehingga sekarang.

“Aku sedia kalau kau nak cerita, Yaa.” Fitri cuba menyedarkan Yusra tentang kehadirannya di sisi Yusra. Dia tidak sampai hati mahu membiarkan Yusra menghadapi semua masalah sendirian. Tetapi Yusra sendiri mengelak apabila ‘disentuh’ tentang masa lalunya.

Melihat Yusra menggeleng tanpa melihatnya, Fitri tahu, Yusra belum bersedia. Entah bila Yusra akan bersedia untuk melepaskan segala beban yang tersimpan dalam fikirannya. Fitri menanti saat itu, sentiasa menanti.

“Aku tak pernah terfikir nak hidup dalam dendam. Banyak kali, Fit. Banyak kali aku cuba maafkan, tapi aku tetap manusia biasa. Aku belum mampu untuk maafkan dia,” luah Yusra. Senyum pahitnya ditayang. Dia sudah tiada air mata hendak dititiskan. Dia sudah tidak larat hendak menangisi jalan hidupnya.

Kerana itu, dia lebih senang berpenampilan ceria di hadapan orang lain. Dia mahu meneruskan hidupnya dengan tenang. Dia tidak mahu ingat lagi kisahnya yang dahulu. Dia mahu bahagia. Tapi... bahagiakah dia sekarang?

Pada mata orang lain, mungkin ya. Dia ada nama, ada harta, ada rupa. Hakikatnya, perit di hati hanya dia yang rasa. Hatinya kosong. Masih kosong...

No comments:

Post a Comment