DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 28 February 2021

My Crush Shah - Bab 9


“HITAM atau merah?” soal Yusra sambil mengangkat kedua-dua kasut sukan yang menarik perhatiannya sejak kakinya melangkah masuk ke dalam kedai itu. Dia menanti pendapat Fitri.

“Bulan lepas kau dah beli warna merah, kan? Jadi, better kau beli warna hitam pula,” saran Fitri sambil menganggukkan kepalanya beberapa kali, meyakinkan majikannya.

Yusra mengangkat tinggi kasut berwarna hitam itu. Dia meneliti sedikit perincian berwarna merah pada kasut itu. Setelah berfikir beberapa ketika, dia menggamit pekerja yang berdiri tidak jauh dari tempatnya berdiri.

Fitri sekadar memerhati gelagat Yusra. Dia tahu, Yusra dengan warna merah, tak dapat dipisahkan. Entah kenapa Yusra terlalu minatkan warna merah. Kalau boleh, semua benda gadis itu hendak berwarna merah.

“Ada saiz 6 tak?” tanya Yusra sewaktu menyerahkan kasut itu kepada pekerja wanita itu.

“Ada. Tunggu sebentar ya,” ujar pekerja berseragam oren itu sebelum berlalu menuju ke stor untuk mendapatkan kasut yang dikehendaki oleh selebriti terkenal itu. Bukan selalu dapat melayan artis.

Yusra melabuhkan duduk di sebelah Fitri yang leka dengan telefon. Sibuk dengan Twitterlah tu. Matanya meliar memerhati kasut-kasut yang berada di dalam kedai itu. Manalah tahu, ada yang mampu menarik perhatiannya lagi.

Sejak dia bekerja dan ekonominya boleh dikatakan kukuh, setiap bulan dia akan membeli kasut sukan untuk dijadikan koleksi. Sebenarnya, dia bukannya jenis yang suka bersukan. Joging sekali-sekala tu adalah, tapi bukannya kerap.

Dia ada sebab tersendiri mengapa dia menjadikan kasut sukan sebagai koleksi bulanannya. Semuanya gara-gara abah. Memori lama kini terbuka lagi.

 

SURAT YANG diserahkan oleh Puan Yasiera semasa waktu rehat tadi dibaca lagi buat kesekian kalinya. Setelah puas membaca, dia memasukkan kembali surat itu ke dalam sampul surat. Fikirannya pula masih memikirkan cara untuk memberikan surat itu kepada mak.

Sebolehnya, saya memang nak awak pergi, Yusra. Pihak sekolah pilih awak sebab mereka percaya dengan kebolehan awak. Awak bertuah sebab pengetua sendiri yang memilih awak untuk mewakili sekolah kita.

Kata-kata Puan Yasiera mula terngiang-ngiang di telinganya. Dia tahu, Puan Yasiera benar-benar mahukan persetujuan mak dan abah.

Pulang ke rumah, Yusra bersendirian. Abah dan mak masih di tempat kerja. Dua orang kakaknya pula sudah melanjutkan pelajarannya di universiti. Jadi, yang menetap di rumah hanyalah dia dan mak. Abah? Sekali-sekala.

Surat tadi diletakkan di atas meja di ruang tamu sebelum dia masuk ke dalam bilik. Biasalah, pulang sahaja dari sekolah, aktiviti wajibnya pastilah tidur! Tetapi hari itu lain. Sukar pula matanya hendak lelap. Sibuk termenung mengenangkan kem itu. Memanglah dia mahu pergi, tetapi adakah mak akan bersetuju untuk melepaskannya menyertai kem itu?

Yusra tersedar apabila kedengaran suara mak memanggil nama penuhnya. Lambat-lambat, dia bangkit juga daripada katil. Tiba di ruang tamu, kelihatan mak sedang membaca surat yang diletakkannya tadi.

“Adik nak pergi ke?” tanya Puan Mariah sambil memandang ke arah Yusra yang sudah mengambil tempat di sofa berhadapan dengannya.

“Nak, tapi mak benarkan adik pergi tak?” Jelas nada ragu-ragu Yusra dalam menuturkan kata. Ikutkan hatinya, dia memang mahu menyertai kem itu. Dia seorang sahaja yang terpilih mewakili sekolah. Masakan dia mahu melepaskan peluang begitu sahaja?

“Tanya abah.” Pendek sahaja jawapan Puan Mariah.

Yusra memandang Puan Mariah yang sudah berlalu ke dapur. Keluhannya dilepaskan. Dia tahu mak tidak bersetuju. Tapi Yusra yakin abah akan membenarkannya pergi. Asalkan kem itu percuma tanpa sebarang yuran.

Surat tadi dipandang. Telefon bimbit Nokianya diambil. Dia mahu menghantar pesanan kepada abah.

Abah, adik terpilih untuk pergi kem.

Free aje. Boleh tak?

Beberapa minit kemudian, telefonnya bergetar menandakan ada pesanan ringkas yang masuk. Abah! Laju jarinya menekan butang untuk membuka pesanan tersebut. Melihat perkataan ‘okey’ itu membuatkan dia bersorak riang dalam hati. Kan dah cakap, asalkan percuma, semua boleh!

Tapi adik nak minta RM 30 untuk

beli kasut sukan. Boleh?

Lama menanti, tiada balasan daripada abah. Yusra mendengus geram. Ya, inilah masalah sebenarnya sejak Puan Yasiera memberitahunya tentang kem itu. Kasut sukan!

Pakai aje kasut sekolah tu.

Yusra mencebik seorang diri. Mudahnya abah bercakap. Inilah akibatnya kalau tidak pernah ambil tahu tentang anak sendiri. Jari Yusra laju menekan keypad untuk membalas pesanan abah.

Kasut adik tu dah koyak. Tapak dah licin.

Macam mana nak buat aktiviti kat sana nanti? 

Yusra menahan perasaan. Kenapalah susah sangat abah hendak beri duit kepadanya? Bukannya dia mahu beli barang yang bukan-bukan. Kasut itu keperluan, kan? Dia tahu, abah bukannya tidak berduit, cuma sedikit berkira. Jika berbelanja untuk keluarga yang di sana, boleh pula!

“Kenapa masam aje ni?” tanya Puan Mariah sewaktu melewati Yusra yang duduk terperuk di sofa dengan wajah cemberut.

“Abah ni hah! Adik minta duit untuk beli kasut sukan untuk pergi kem tu. Dia suruh adik pakai kasut sekolah yang dah koyak tu,” adu Yusra sambil meletakkan telefonnya di sisi.

“Minta aje. Abah tu berduit. Kalau tak berduit, tak ada maknanya dia kahwin dua. Sebab dia mampu nak saralah dia menikah dua,” kata Puan Mariah dengan nada sakit hati.

Ya, itulah ayat yang menjadi halwa telinganya setiap kali abah enggan memberi duit kepadanya. Dia membenarkan kata-kata mak. Cuma apabila terlalu payah hendak mendapatkan duit daripada abah, dia jadi lelah. Penat mengemis dengan bapa sendiri.

Tak apalah. Kalau abah susah sangat nak bagi

duit untuk adik beli kasut, abah potong aje duit

belanja sekolah adik untuk sebulan ni.

Pada hemat Yusra, itu sahajalah cara yang dia ada untuk mendapatkan duit daripada abah. Jika minta kepada mak, mak takkan beri. Kata mak, ‘kalau mak bagi, nanti abah lupa tanggungjawab dia. Dia mampu. Minta aje’.

Dan Yusra sebagai anak, tersepit dengan keadaan yang ada. Sejak kecil, dia tidak dapat apa yang dia mahu. Ya, dia tahu, tidak semua benda yang kita mahu, kita akan dapat. Cuma tidak bolehkah dia mendapat sesuatu yang dia mahu walaupun bukan selalu?

 

“IKLIL YUSRA binti Ebrahim!” panggil Fitri buat kesekian kalinya. Sudah puas dia memanggil, namun Yusra tetap hanyut dalam lamunannya. Entah masalah negara mana yang sibuk gadis ini fikirkan sampaikan terpisah jauh daripada dunia realiti.

“Hah? Apa? Dah sudah ke?” Yusra terpinga-pinga buat seketika. Dia memandang sekeliling, cuba mengembalikan dirinya ke dunia realiti. Oh, masih di kedai kasut.

“Kau fikirkan apa? Cepat, cuba kasut ni,” arah Fitri kepada Yusra yang nampaknya masih tercengang.

Tanpa membalas, Yusra terus menyarungkan kasut itu ke kakinya. Padanan merah dan hitam itu benar-benar menarik hatinya.

‘Cantik,’ hatinya berdesis. Alhamdulillah, dia diberi peluang untuk berbelanja mengikut kemahuannya sekarang.

“Okey. Memang ditakdirkan untuk aku,” ujar Yusra sebelum mengenyitkan sebelah matanya kepada Fitri. Jelingan jelik diterima sebagai balasan. Ceh!

Mereka berdua beriringan menuju ke kaunter. Beberapa not RM50 diserahkan kepada penjaga kaunter. Sebaik sahaja menerima resit, Yusra dan Fitri terus berlalu meninggalkan kedai itu.

“Nak makan di sini atau di rumah?” tanya Fitri sambil mengerling ke arah Yusra yang tidak lekang dengan senyuman. Yalah, berada di tempat awam, Yusra harus sentiasa menjaga imejnya kalau tidak mahu dilabel sombong.

“Rumahlah,” balas Yusra. Fitri sekadar mengangguk.

Yusra tidak berapa gemar makan di luar kerana dia tidak akan dapat makan kerana pasti ada sahaja peminat yang mahu bergambar. Sejujurnya dia tidak kisah, cuma dia kurang selesa apabila waktu makannya diganggu.

“Sebelum tu, kita singgah mart kejap. Barang dalam peti sejuk tu dah nak habis,” beritahu Fitri apabila terkenangkan isi peti sejuk yang sudah hampir kosong. Sudah lama mereka tidak ke pasar raya untuk membeli barang dapur.

Usai mengambil barang masakan sekadarnya di pasar raya, mereka berdua menuju ke kaunter bayaran. Kelihatan semua barisan agak panjang, jadi mereka beratur sahaja. Fitri pastinya leka melayan telefon. Yusra pula mengambil kesempatan itu untuk memerhati gelagat orang.

Di hadapan mereka, sebuah keluarga beratur menunggu giliran sama sepertinya. Dia memerhatikan kanak-kanak lelaki berbaju biru yang berwajah masam. Pasti tidak dapat sesuatu. Tidak semena-mena dia terdengar suara si bapa bertanya kepada budak itu.

“Siapa ambil susu ni? Johan? Ke kamu, Zura? Pandai-pandai aje ambil.” Si bapa memandang kanak-kanak itu sebelum menalakan pandangan ke arah isterinya pula. Jelas riak tidak puas hati terpancar pada wajah itu.

“Susu aje, bang. Janganlah berkira sangat dengan anak-anak,” ujar si ibu. Berharap suaminya tidak menghampakan hati anak-anak.

“Benda tak penting. Membazir.” Tanpa perasaan, si bapa membalas. Susu kotak perisa coklat itu dikeluarkan daripada bakul sebelum diberikan kepada penjaga kaunter sebagai barang yang tidak jadi dibeli.

Yusra sekadar memerhati. Hanya kerana susu sekotak. Dia menggelengkan kepalanya perlahan. Wajah kanak-kanak yang bernama Johan itu diperhati. Keruh. Dan jika dia tidak salah lihat, seperti ada air mata yang berlinang. Dia faham apa yang anak kecil itu rasa.

Usai keluarga tadi membuat pembayaran, tiba giliran Yusra. Cepat-cepat Yusra mendekati kaunter.

“Cik, saya nak beli susu yang encik tadi reject. Saya bayar yang itu dulu. Letak dalam plastik,” pinta Yusra tergesa-gesa. Dia takut tidak sempat.

Seperti yang diminta, si penjaga kaunter menurut. Kurang 2 minit, dia menyerahkan plastik berisi susu kotak itu kepada Yusra.

“Fit, kau pergi kejar budak baju biru yang depan kita tadi. Bagi dia susu ni,” gesa Yusra.

Fitri teragak-agak mahu menerima. Alamak, adik yang mana pula ni? Manalah dia perasan. Tadi dia sibuk membalas e-mel daripada Jane. Tidak sempat memerhatikan keadaan sekeliling pun.

“Isy, tak apalah. Biar aku pergi. Kau urus barang kita ni dulu,” ujar Yusra sebelum berlalu. Moga-moga ada rezeki untuk adik tadi merasa susu coklat hari ini.

 

ALHAMDULILLAH, MUJUR dia sempat mengejar tadi. Hampir-hampir sahaja dia terlepas kerana adik tadi sudah mahu memasuki kereta. Hampir semput juga dia dibuatnya. Namun rasa penatnya terubat setelah melihat senyum gembira Johan.

Dia pernah merasa apa yang Johan rasa. Apa yang dia mahu ditolak sewaktu di kaunter bayaran. Sebagai seorang anak kecil, besar rasa kecewa yang dia rasa. Namun apa yang boleh dia lakukan? Dia bukannya ada duit ketika itu. Jadi, dia simpan sendiri sahaja dalam hati. Sehinggakan sampai satu tahap, dia sudah lali dengan keadaan itu dan sudah berhenti berharap.

“Yusra, aku dah lama nak tanya kau, kenapa kau asyik beli kasut sukan, ek?” tanya Fitri sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kereta. Sengaja mahu mengajak Yusra berbicara kerana selepas kejadian susu tadi, Yusra nampaknya tidak berminat mahu berbicara. Lebih termenung sahaja.

Yusra diam. Enjin kereta dihidupkan sementara dia memikirkan jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada pengurusnya itu. Mahu bercerita betapa tidak adilnya dunia kepadanyakah? Tidak, dia belum sedia untuk itu.

“Aku suka beli benda yang aku tak pernah dapat sebelum ni.”

Berkerut dahi Fitri buat seketika. Cuba memahami ayat Yusra yang baginya terlalu umum untuk ditafsirkan.

“La, kau tak faham ke? Aku bagi kau ayat mudah aje kut, Fit,” kata Yusra setelah menyedari reaksi Fitri.

“Bukan. Aku cuma tertanya-tanya tentang kehidupan kau sebelum ni. Mak ayah kau masih ada? Adik-beradik? Saudara-mara?” tanya Fitri, agak berhati-hati. Selama dia menjadi pengurus kepada Yusra dan duduk serumah dengan Yusra, tidak pernah pula gadis itu berbicara tentang mak dan ayah ataupun kampung. Adik-beradik pun Yusra tidak pernah beritahu. Pada pengamatannya, Yusra ini mungkin anak yatim yang sebatang kara.

Jika hari raya, hanya dia yang akan pulang ke kampung sementara Yusra akan tinggal di Kuala Lumpur. Kalau tak pun, Yusra akan pergi bercuti ke luar negara seorang diri.

“Jiran belah kanan, belah kiri rumah aku, kau tak nak tanya?” sinis Yusra bertanya sambil menjongketkan sebelah keningnya kepada Fitri. Dia perasan, sejak akhir-akhir ini, Fitri semakin berani bertanya tentang latar belakangnya. Kerap juga Fitri bertanya itu dan ini. Buat masa ini, dia masih belum penat untuk melarikan diri daripada semua persoalan itu. Cuma apabila terlalu diasak, bosan juga dibuatnya.

“Yaa, kau kenal aku macam mana, kan? Puas aku pujuk hati aku ni supaya tak terlalu mendesak kau, tapi... aku masih tak boleh nak tahan diri aku untuk ambil tahu,” kata Fitri mempertahankan sikapnya yang terlalu mendesak.

“Tak ada apa yang menarik tentang hidup aku untuk kau tahu, Fit. Aku ni hanya anak...”

Tegak telinga Fitri apabila Yusra seakan-akan sudah mahu memulakan sesi curahan hati.

“Aku tak nak cerita apa-apa, Fit. Bukan sekarang.”

Namun harapannya hanya tinggal harapan apabila Yusra kembali ke mode senyap.

‘Aduhai, Yaa! Apa yang susah sangat kau nak cerita ni?’ keluh Fitri dalam hati.

No comments:

Post a Comment