DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 28 February 2021

Puppy Love - bab 6


“DAH habis makan ke, War?” soal Naail apabila Didie akhirnya habis menemu ramahnya sebentar tadi. Jenis soalan temu ramah yang buat kulit wajah Wardah jadi merah padam dek kerana soalan-soalan panas Didie.

“Dah banyak round aku makan tadi. Tunggu kau lambat sangat. Entah-entah tak jadi datang pun,” seloroh Wardah dan Naail terus ketawa kecil.

Sorrylah, aku terlambat. Tiba-tiba hari ni aku kena panggil pergi site meeting pula,” cerita Naail tanpa dipinta. Pandangan matanya meredup memandang Wardah yang duduk di sebelah. Jika tempoh hari Wardah nampak manis dengan baju kurung tetapi malam ini gadis itu nampak elegan dengan long dress berwarna hitam.

“Eh, pergilah ambil makanan cepat. Rasa-rasanya pihak hotel dah tak top up makanan bufet tu.”

Wardah perasan yang sejak Naail sampai, Firhan mula menghadiahkan pandangan tajam ke arahnya. Cepat-cepat dia melarikan pandangan mata ke arah Naail yang duduk di sebelah.

“Naail!!!” Alya yang akhirnya muncul dari tandas itu hampir menjerit teruja apabila melihat Naail yang sudah berdiri.

“Hai, Alya! Reaksi kau dengan Wardah waktu terserempak dengan aku hari tu memang berbeza betul,” balas Naail bersahaja.

Terus Alya memandang ke arah Wardah yang sedang mengerutkan dahi.

“Reaksi War hari tu macam mana?” soal Alya pantas.

“Macam orang tengah confuse. Dia pandang lama muka aku sambil terkebil-kebil,” jawab Naail sambil tersengih memandang Wardah.

“Memanglah dia terkebil-kebil sebab kau tu kan pup...”

Cepat-cepat Alya mengetap rapat bibir sendiri.

“Alya!”

Wardah yang tadinya sedang menghabiskan aiskrim di dalam mangkuk sudah terjerit kecil. Cepat-cepat Alya cover diri sendiri dengan buat-buat ketawa.

“Pup apa?” soal Naail pelik dan memandang Wardah dan Alya silih berganti.

“Popular waktu sekolah dulu. Haaa... dia tak sangkalah jumpa kau balik. Agichuuu!” jawab Alya sambil mengoyak sengih dan kembali melabuhkan duduk di sebelah Wardah.

“Aku mana ada popular pun, Alya. Yang popular tu Firhan ni haa! Dahlah pandai akademik. Atlet sekolah pun dia, budak hensem pun dia jugak. Kiranya macam all in one package.” Sempat Naail mengusik Firhan yang sejak tadi hanya memerhatikan telatah mereka.

“Naail, pergi ambil makanan cepat,” gesa Wardah sebelum makin melalut perbualan mereka.

Sorry, War. Mulut aku tertinggal brek kat rumah,” bisik Alya perlahan sebaik sahaja Naail berlalu ke ruang bufet yang menempatkan variasi makanan.

“Kau tu memang.” Wardah menjeling dari sisi.

“Tapi aku dah cover baik punya,” sengih Alya.

“Kau buat apa lama sangat kat tandas?” soal Wardah dengan nada suara yang perlahan.

“Aku sakit perutlah, babe. Ni mesti sebab kuah kacang tadi. Didie goreng kau sampai hangit ke tadi?” soal Alya pula sambil berbisik. Sesekali dia mengintai Didie yang sedang bersembang dengan Mimi yang duduk di meja sebelah.

“Hampir hangitlah tadi kalau Naail tak muncul.”

See... aku dah kata dah yang Naail tu macam pelangi yang muncul selepas hujan lebat yang disertakan dengan ribut petir,” ujar Alya sambil tersengih.

Wardah julingkan matanya ke atas. Ayat Alya ni kalau tak hiperbola memang tak sah!

“Selain pelangi, kau nak tengok bintang tak?” soal Wardah.

“Bintang pun aku suka juga,” jawab Alya sebelum dia meneguk air sejuk di dalam gelas.

Meh sini aku ketuk sikit kepala kau dengan sudu ni. Confirm kau nampak bintang menari-nari di depan mata.”

“War, sampai hati kau! Aku bukannya sengaja nak lama-lama kat dalam tandas tadi. Lagipun Naail muncul pada waktu yang tepat untuk selamatkan keadaan.”

Suasana di dalam Impiana Hall 1 ini tiba-tiba bertukar gamat apabila kumpulan live band yang dijemput oleh AJK majlis muncul untuk memulakan persembahan. Jantung Wardah berdegup kencang sebaik sahaja penyanyi live band mula menyanyikan lagu dengan diiringi alunan bunyi gitar dan bass. Alunan muzik yang mendayu itu membuatkan hati Wardah tidak keruan. Lagu itu!

Selamat tinggal sayang

Kuucapkan kepadamu

Pergi kau dari hidupku

Ku tak ingin disakiti

Tersedar dari mimpi

Langkah menyusun pergi

Melihat kau bersama yang lain

Terseksa jiwa ini

Terluka hati ini sayangku

(Selamat Tinggal Sayang, Haqiem Rusli)

“Alya, aku nak duduk kat lobi kejap. Rasa panas berbahang pula kat dalam ni,” bisik Wardah perlahan kepada Alya yang sejak tadi tidak mengalihkan tumpuan daripada menyaksikan persembahan live band di hadapan mereka.

“Eh, ni lagu waktu kau putus tunang dengan Firhan dululah,” bisik Alya.

Spontan Wardah menoleh ke arah Firhan dan sememangnya lelaki itu sedang memandang tepat ke arahnya. Isteri Firhan turut memandangnya tajam. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan dan mencari bayang Naail. Takkanlah ambil makanan pun lama sangat?

“Aku keluar kejap. Kejap lagi aku masuk balik,” jawab Wardah pantas. Dia rasa tidak selesa untuk berkongsi ruang yang sama dengan Firhan yang ditemani oleh isterinya itu.35

“Kau tak terus balik, kan?” soal Alya sambil tangan kanannya memegang lengan Wardah, menahan langkah Wardah yang sudah berdiri.

“Taklah. Lagipun aku datang tumpang kereta kau tadi kan.”

“Haahlah. Ke kau nak balik sekarang?” jawab Alya sambil menepuk dahinya lembut.

“Kejap lagilah. Kau nak tengok live band dulu kan?”

“Kau lagi penting daripada live band ni, War. Nak balik sekarang tak?” soal Alya prihatin.

“Tak payahlah. Aku nak duduk kat lobi kejap,” ujar Wardah tenang.

“Yalah. Apa-apa, terus beritahu aku tau,” pesan Alya.

Wardah terus mengatur langkah ke lobi hotel dan berdiri di hadapan pokok Krismas yang dihias cantik. Ralit dia memerhatikan pokok tiruan yang dihias dengan lampu berwarna-warni itu.

“Wardah.”

Terus rasa tidak sedap hatinya datang semula sebaik sahaja mendengar suara garau itu. Aci tak kalau dia buat-buat pekak atau pura-pura sakit perut nak ke tandas?

“War!” Panggil lelaki itu sekali lagi apabila Wardah tidak bereaksi.

“Hai, Firhan.”

Akhirnya Wardah berpaling dan mengoyak senyum memandang Firhan a.k.a. bekas tunangnya. Memang dia takkan boleh lari daripada berdepan dengan Firhan sampai bila-bila. Jika tidak hari ni, mungkin waktu lain dia akan bertemu lagi dengan Firhan.

“Apa khabar? Lama tak dengar berita tentang you,” sapa Firhan sambil memerhatikan Wardah yang nampak tenang. Siap tersenyum manis lagi ke arahnya. Sejak di dalam dewan lagi dia mahu menegur Wardah, tetapi mengenangkan yang dia perlu menjaga hati isterinya, maka ditahan niat tersebut.

“Khabar baik, alhamdulillah. Kenapa datang tak bawa baby sekali?” balas Wardah sambil sesekali memandang sekeliling. Takkanlah Firhan tinggalkan bini dia seorang diri kat dalam tu? Risau juga Wardah kalau Didie tiba-tiba muncul di lobi ini. Lain pula jadinya nanti.

“Susah bawa baby kecik untuk event malam macam ni. Nanti meragam pulak.”

Sungguh dia tidak tahu reaksi apa yang patut diberi atau topik apa yang sesuai untuk ditanyakan kepada Firhan kerana sejujurnya dia rasa janggal. Sudahnya, dia hanya mampu tersenyum.

“War.”

Ah, sudah! Ingatannya dah terimbau momen zaman dahulu. Termasuklah momen dia menyanyi lagu yang sedang dinyanyikan oleh live band di dalam Dewan Banquet sekarang. Seminggu Alya bahankan dia tanpa bosan.

“Eh, tak apa ke kau tinggalkan wife kau kat dalam? Kesian dia nanti sebab dia tak kenal sangat dengan budak-budak sekolah kita.” Cepat-cepat Wardah mengubah topik perbualan. Dia perasan yang riak wajah Firhan berubah sebaik sahaja mendengar kata ganti diri yang digunakan.

“Macam mana you boleh jumpa Naail?” soal Firhan. Sejak Naail muncul tadi, soalan yang satu ini berlegar-legar dalam ruang fikirannya.

Wardah mengerutkan dahi.

‘Dah kenapa pula dengan mamat ni? Kenapa memek muka dia nampak macam tak senang hati?’ bebelnya dalam hati.

Reaksi Firhan sekarang sama seperti dahulu apabila Firhan tahu dia masih berhubung dengan Naail atas nama kawan. Yalah, dah dia dengan Naail itu kawan sekelas yang dulunya sama-sama bersaing merebut nombor satu setiap kali musim peperiksaan.

“Kami terjumpa dekat KLCC hari tu. Aku ada miting dengan client dan Wardah memang ofis dia kat situ.”

Terus Wardah menoleh dan kelihatan Naail sudah berdiri di sebelahnya.

Last kita jumpa rasanya 5 tahun lepas kan, War?” balas Naail sambil sebelah tangan sudah menyeluk poket jean hitam yang dipakai.

“Haah. Lepas tu kau pun MIA sampai aku WhatsApp pun kau bagi aku bluetick aje,” jawab Wardah dan terus Naail ketawa senang.

“Eh! Rasanya wife kau tengah cari kau kat dalam tu. Kesian dia sebab nampak macam lost aje.” Suara Naail sudah bertukar serius.

Terus Firhan menarik keluar telefon pintar dari dalam poket seluar. Memang tertera beberapa missed call daripada Warda.

“Nah.” Selamba sahaja Naail menghulurkan tas tangan berwarna merah jambu itu kepada Wardah. “Kata nak pergi cari mango float dekat Tapak,” jelas Naail apabila Wardah nampak terpinga-pinga.

Wardah hadiahkan muka blur kepada Naail. Mango float apa pula ni? Tiba-tiba telefon pintarnya pula yang berbunyi. Kelihatan nama Alya tertera pada skrin telefon.

“Aku dah hantar knight in shining armour kau untuk selamatkan kau daripada jadi watak Nurul macam dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2. Kau jangan tayang muka blur ayam kau tu.” Suara Alya di hujung talian berbunyi perlahan.

“Alya, kau ni kan!” balas Wardah dengan suara yang ditahan-tahan.

You’re welcome, War. Nanti suruh Naail hantar kau balik rumah tau!” ujar Alya ceria.

“Alya!”

Klik!

Alya terus mematikan panggilan. Bertuah betul!

Wardah kembali memandang Naail yang masih tersenyum dengan riak wajah yang bersahaja dan Firhan yang masih memandangnya dengan pandangan tajam.

“Jom, Naail. Kau dah janji nak belanja aku kan hari tu?” Tas tangan segera disangkut di bahu.

“Eh, taklah. Kan kita dah janji kalau kau sama warna baju dengan aku malam ni, kau yang kena belanja aku.” Naail ketawa kecil melihat Wardah yang terkebil-kebil memandangnya.

Reaksi Firhan pula? Memang Wardah tak sanggup memandang wajah itu!

*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN MAC 2021 ATAU HUBUNGI/WHATSAPP NO DI BAWAH ***    

019-3729676 (Cik Shida) / 013-4888095 (Kak Peah)

No comments:

Post a Comment