RAKET badminton berjenama Yonex itu diletakkan di atas bangku kayu sebelum Naail melabuhkan duduk di situ. Tangan kiri sudah mencapai botol air dari dalam duffel bag Nike sebelum diteguk perlahan.
“Lepas ni kau terus balik rumah parents kau ke?” tegur Azzam dan melabuhkan duduk di sebelah Naail. Wajah yang dihujani dengan peluh dilap perlahan dengan tuala di tangan.
“Haah. Umi aku dah bising sebab minggu lepas pun aku tak balik Subang. Kau tahu apa Zara ugut aku?” balas Naail dan automatik seraut wajah comel anak saudaranya itu melintas di depan mata.
Azzam hanya menggeleng dengan senyuman yang masih tersungging di bibir.
“Dia kata kalau aku lambat balik malam ni, nanti aku kena tidur luar rumah.”
Terus Azzam ketawa. Naail ni suka sangat menyakat si kecil yang baru berusia 5 tahun itu.
“Geng, next week set? Nanti aku ajak member aku sorang sebab Sein tak dapat join minggu depan. Bini dia kata jangan mengada-ada, tiap weekend nak main badminton dengan kita.” Muncul Umar dengan botol air mineral di tangan. Sein yang berdiri di belakang hanya tayang sengih lawa.
“Kau ajaklah bini kau main sekali, Sein,” balas Azzam.
“Memang taklah Nina nak pegang raket ni. Lagipun dia tak ada geng perempuan katanya,” jawab Sein sambil menggerakkan otot-otot di lengan dengan perlahan.
“Tunggu sampai Azzam kahwin dengan Adra tak lama lagi. Adalah geng Nina nak main badminton sama-sama,” balas Umar dan sempat menepuk perlahan bahu Azzam.
“Eh, next week hari apa kita nak main?” soal Naail tiba-tiba.
“Macam biasalah hari Sabtu,” jawab Umar.
“Kalau Sabtu aku tak bolehlah, bro,” balas Naail pantas.
“Kau nak pergi mana? Takkanlah weekend pun kena outstation? Atau kau kena balik rumah parents kau?” soal Azzam pelik.
Setahunya sejak dia dan Naail duduk menyewa serumah, memang rutin Naail hampir setiap Sabtu malam ialah bermain badminton di The Challenger Sports Centre ini kecuali kalau Naail pulang ke rumah keluarganya di Subang.
“Aku ada janji yang nak ditepati,” jawab Naail bersahaja. Tanpa ditahan, seraut wajah manis milik Wardah muncul di depan mata. Pertemuan tanpa diduga dengan Wardah yang manis berbaju kurung dan dipadankan dengan tudung bawal berbatu kecil itu membuatkan dia teringatkan Wardah yang berusia belasan tahun sewaktu sekolah dahulu.
“Janji apa?” soal Azzam sekali lagi. Wajah Naail yang kelihatan seperti sedang menyembunyikan senyum itu dipandang dengan pelik.
“Adalah. Eh, jomlah sambung second set! Aku tak boleh lama ni sebab kalau lambat balik Subang nanti aku kena kurung dekat luar rumah pulak dengan Zara.” Raket di sebelah dicapai dan Naail terus melangkah ke arah gelanggang badminton.
“Entah, aku pun tak tahu,” jawab Azzam sambil menjongketkan kedua-dua bahu apabila Sein dan Umar serentak memandannya.
“AYONG.”
Suara Wafia yang menegur dari arah belakang itu membuatkan Wardah berhenti daripada membelek barisan baju yang tergantung di dalam almari.
“Mama kata kalau ayong nak makan puding karamel, jomlah turun bawah.” Beritahu Wafia sambil melabuhkan duduk di atas katil bersaiz queen itu.
“Okey, kejap lagi ayong turun.” Wardah kembali membelek barisan baju di dalam almari.
“Ayong.”
“Apo?”
“Belek baju bagai nak rak tu dah kenapa pulak? Ayong nak pergi dating ke? Selalunya orang nak pergi dating aje yang cuak macam ayong sekarang sebab tak tahu nak pakai baju apa,” usik Wafia.
“Malam esok ada reunion dinner SK Sentul 1. Isy, tiba-tiba ayong rasa macam tak ada baju yang sesuai pula. Rasa macam nak online shopping kat Zalora aje ni,” bebel Wardah. Teringat-ingat tema glamour and glam yang ditetapkan oleh pihak AJK majlis.
“Kalau ayong nak pergi maksudnya...”
Terus membulat sepasang mata Wafia memandang wajah tenang Wardah.
“You got it, angah! Tak payah nak bulat-bulat mata macam ikan emas tu.”
“Firhan dengan wife dia ada sekalilah nanti?”
“Mestilah ada. Kan Firhan tu pun budak SK Sentul 1 jugak.” Wardah tergelak kecil sambil membelek barisan baju di dalam almari.
“Habis tu, ayong okey tak ni? Hati tu okey tak?” soal Wafia dengan riak wajah yang jelas risau. Kakaknya ini dari luaran memang nampak kuat sedangkan dalam hati sedang menangis terguling-guling.
“Ayong okey dan hati pun okey. Benda dah lepaslah, ngah. Hidup ni kalau nak tenang kena pandang ke depan dan tinggalkan benda-benda negatif kat belakang,” jawab Wardah dan menutup pintu almari pakaian. Dia melabuhkan duduk di sebelah Wafia.
“Isy, bila angah ingat balik apa yang dia buat masa birthday ayong 2 tahun lepas, memang geram betul! Apa entah motif dia wish birthday dan jemput kenduri at the same time? Padahal lepas dah putus tunang bukannya dia ada contact along pun. Nampak sangat ajak tu macam tak ikhlas aje.” Wafia mendengus geram.
Terus Wardah ketawa. Sama sahaja reaksi Wafia dan Alya setiap kali topik berkaitan Firhan muncul kembali.
“Motif dia mungkin nak wish birthday ayong tapi dalam masa yang sama nak jemput ke kenduri kahwin dia. Sebab itulah ayong pergi dan tak kisahlah apa pun niat dia buat macam tu. Ikhlas ataupun tak, itu antara dia dengan Allah.”
“Kalau angah yang kena, rasanya mahu angah buat drama kat wedding dia tu. Biarlah nak viral sekalipun.”
“Itulah ayong dah kata, kurangkan tengok drama pukul 7 malam tu.”
Wafia julingkan mata ke atas dengan kedua-dua tangan disilangkan di atas bahu.
“Lagipun mana tahu bila ayong nak kahwin nanti, ayong akan wish birthday Firhan dan jemput dia for my wedding at the same time jugak. Kan mat salih kata revenge is sweet,” tambah Wardah bersahaja.
“Kalau macam tu ayong kena kahwin bulan Januari sebab birthday Firhan tu kan bulan Disember.”
Kali ini Wardah ketawa lagi kerana riak muka Wafia memang serius betul.
“Dahlah, jom kita turun bawah makan puding karamel.” Wardah terus bangun dari katil yang menjadi tempat duduknya sambil menarik perlahan tangan Wafia supaya turut sama berjalan keluar dari bilik tidur.
No comments:
Post a Comment