DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 28 February 2021

Puppy love - Bab 3


“NAAIL ANAS bin Luqman Hakim?”

Suara Alya yang tiba-tiba naik satu oktaf itu membuatkan Wardah terus tersedak baked mac and cheese di tekak. Tiba-tiba sahaja si bff terjerit apabila dia menceritakan kejadian dia terjumpa Naail di KLCC tempoh hari.

“Nama atuk dia kau tak nak sebut sekali?” sindir Wardah selepas dia meneguk air bagi menghilangkan rasa perit di tekak.

“Kalau aku tahu nama atuk dia memang aku dah sebut sekali,” jawab Alya selamba dan kembali menyudu baked mac and cheese ke dalam mulut.

“Naail yang satu kelas dengan kau waktu sekolah rendah tu kan? Budak pandai tapi tak kawan sangat dengan budak perempuan. Betul kan?” soal Alya lagi.

“Apa pulak tak kawan dengan perempuan? Aku kan perempuan,” jawab Wardah dengan dahi berkerut.

“Kau tu lain. Kau tu pesaing dia sebab selalunya muka korang je yang wakil kelas naik pentas waktu hari anugerah,” balas Alya tidak mahu kalah.

Wardah dan Naail merupakan rakan sekelas manakala Alya pula budak kelas sebelah. Firhan a.k.a. tunang tak jadi Wardah itu pula budak kelas di sebelah kelas Alya.

“Eh, tapi dia buat apa kat KLCC tu? Bukan Naail tu arkitek ke?” soal Alya pelik.

“Katanya dia attend tender award sebagai wakil konsultan syarikat yang dia kerja sekarang,” jawab Wardah malas.

“Bila kau jumpa dia?”

“Bukan jumpa tapi terjumpa.”

“Alah, sama ajelah.” Alya sudah tergelak-gelak.

“Hari yang aku call kau untuk tanya jadi tak nak buat baked mac and cheese ni.” Cerita Wardah bersahaja.

“Ehhh... lama kau peram cerita ni.”

Wardah jongket bahu. Sewaktu hari kejadian, Naail siap temankan dia membeli barang di Cold Storage lagi. Tak pasal-pasal malam itu gambar dia dan Naail tiba-tiba muncul di grup WhatsApp ofis gara-gara Azim; si pak cik bawang ofis itu ternampak dia dan Naail.

Esoknya pula geng ofis sibuk menyoal siasat dia tentang Naail. Penat dia jadi kaunter pertanyaan satu hari!

“Alya.”

Hmmm...”

“Kalau dah janji boleh tarik balik tak?”

“Tak boleh sebab nanti bukan janji ditepati tapi jadi janji dicapati. Eh, tiba-tiba macam best pulak kalau breakfast capati esok.”

“Alya!”

Alya terus ketawa memandang Wardah yang sudah berpeluk tubuh.

“Kau buat janji apa?” soal Alya kembali serius.

“Aku...”

Jeda dan ingatan Wardah melayang semula pada pertemuan tidak diduga dia dan Naail tempoh hari.

 

“NAAIL.”

Terus lelaki yang sedang duduk di hadapan Wardah mengangkat wajah sebelum merenungnya. Gaya tenung yang boleh buat Wardah berdebar lain macam!

“Tahu tak yang Mimi tengah rancang reunion sekolah kita?” soal Wardah sambil anak mata memerhatikan Naail yang ralit menikmati aiskrim Inside Scoop di tangan.

“Tahu.”

“Kau pergi ke nanti?”

Sejak pertemuan semula dengan Naail selepas kali terakhir mereka berjumpa iaitu 5 tahun lepas, jujurnya Wardah tidak tahu perlu menggunakan kata ganti diri yang macam mana. Sudahnya, ‘aku-kau’ sahajalah seperti zaman sekolah dahulu.

“Tak pasti lagi. Reunion dinner tu Sabtu malam kan?”

“Haah.”

“Kau pergi ke, Wardah?”

Soalan Naail itu membuatkan ringan mulut Wardah mahu mengusik.

“Kalau kau pergi, aku pergi. Kalau kau tak pergi makanya aku pun tak pergilah,” usik Wardah selamba kerana dia tahu yang Naail bukanlah jenis orang yang suka pergi majlis yang ramai-ramai macam tu. Reunion yang sebelum ini pun memang dia tak pernah nampak nama Naail. Kenduri kahwin rakan-rakan sekolah pun memang susah nak nampak muka Naail.

“Okey, set! Aku pergilah kalau macam tu.” Telefon pintar di dalam poket seluar ditarik keluar dan aplikasi WhatsApp dibuka.

“Eh, kau nak buat apa?” Terkejut Wardah dengan reaksi Naail. Dia salah dengar ke tadi?

“Nak RSVP dalam grup,” jawab Naail sambil jari-jemari laju menaip di skrin.

“Hah?”

“RSVP done. Jangan lupa RSVP jugak sebab kau pun kena pergi.” Selamba sahaja Naail menayangkan skrin telefon pintar itu di hadapan wajah Wardah yang jelas sedang terkejut.

 

BUNYI KETAWA Alya yang berdekah-dekah itu membuatkan ingatan Wardah yang sudah melayang tadi kembali ke ruang tamu rumah sewa Alya ini.

“Patutlah malam tu jugak aku nampak kau terus RSVP dalam grup. Aku suka Naail punya reverse psychology. Budak pandai macam dia tu memang cara berfikir lain macam betul,” balas Alya dengan tawa yang masih bersisa.

“Yalah, pandai psiko orang macam kau jugak,” cebik Wardah.

Alya sambung ketawa.

“War.”

“Apa?”

“Aku rasa memang Naail buat comeback at the right timelah.”

Comeback apa pulak? Kau ingat Naail tu artis ke sampai nak buat comeback bagai?”

“Aku ingat lagi yang kau pernah cerita dulu yang Firhan tak suka sangat kau baik dengan Naail walaupun kau kenal Naail lagi lama daripada kau kenal Firhan. Jadi, bayangkan nanti tiba-tiba Naail muncul waktu reunion dinner tu. Tak payah dah kau cari boyfriend untuk sehari. Naail dah muncul ni kira okey sangat dah.”

“Eh, kau ni! Tak baiklah fikir macam tu. Niat tak baik ni nanti Allah bayar cash aje tahu.”

“Aku geram tau bila fikir balik perangai tak semenggah si Firhan tu. Kau ingat lagi tak yang dia wish birthday kau tapi at the same time jemput kau untuk majlis kenduri kahwin dia dengan wife dia yang sama nama dengan kau?” ujar Alya dengan rasa tidak puas hati.

Apa motif dia buat macam tu kat kau? Nak bagi kau sakit hati supaya kau rasa menyesal sebab tak nak bagi dia second chance? Waktu birthday kau pulak tu. Kenapa dalam banyak-banyak hari, hari jadi kau jugak yang dia pilih untuk invite ke wedding dia? Nak balas dendam sebab kau memang totally nyahkan dia daripada hidup kau?” sambungnya lagi.

Wardah terus diam mendengar bebelan panjang lebar Alya. Dia ingat lagi sewaktu hari jadi dia 2 tahun lepas, tiba-tiba Firhan menghantar mesej WhatsApp untuk mengucapkan selamat hari jadi dan diselangi dengan jemputan kenduri kahwin.

Memang malam itu Wardah membebel tidak berhenti dengan menelefon Alya. Esoknya dia datang kerja dengan muka yang elok sikit daripada zombie. Malam esoknya pula, dia menyanyi lagu Selamat Tinggal Sayang di depan Alya yang menyebabkan dia jadi bahan gelak percuma selama seminggu.

“Benda dah lepas dah, Al. Aku malas nak fikir lagi pasal tu. Penat kalau simpan perasaan negatif dekat orang sebab nanti hidup susah nak rasa gembira.” Wardah tarik nafas dalam-dalam.

2 tahun lepas, memang dia marah dengan Firhan sebab buatkan dia rasa trauma dengan birthday sendiri. Disebabkan itu dia dengan selamba datang ke majlis perkahwinan lelaki itu dan siap bergambar dengan pengantin di atas pelamin. Dia ingat lagi betapa terkejutnya muka Firhan apabila melihatnya.

“Biarlah Firhan happy dengan wife dan anak dia sementara aku pula happy dengan keluarga dan kawan-kawan aku. Kalau kita bersyukur dengan apa yang kita ada, nanti Allah akan gandakan lagi nikmat untuk kita,” tambah Wardah tenang.

Dia dah terima semuanya dengan hati yang terbuka dan reda.

“Aku rasa lepas ni kau lagi happy sebab selepas dilanda musim ribut petir yang teruk, Allah datangkan pelangi untuk kau,” balas Alya penuh makna.

“Kau merepek apa ni, labu?”

Terkekek-kekek Alya ketawa.

“Naail Anas is back. Naail, puppy love kau tu. Kau jangan lupa yang kau pernah tulis surat dekat dia dan selitkan dalam buku nota Naail. Kecik-kecik dah gatai kau ni!”

“Alya, yang kau buka cerita zaman adik bongsu aku baru belajar berjalan ni kenapa? Pembetulan ya sebab aku tak bagi surat tu dekat Naail,” balas Wardah pantas. Kuat ingatan betul si Alya ini.

“Pembetulan kepada pembetulan kau tadi, kau selamat sebab adik Naail tolong buang surat cinta kau tu sebelum abang dia sempat baca. Kalau tak...” Alya sengaja gelak jahat.

“Psiko betul kau ni!” jerit Wardah apabila temannya itu dengan sengaja mengusiknya.

No comments:

Post a Comment