DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 28 February 2021

My Crush Shah - Bab 7


HARI ini Yusra menyerahkan tugas memandu kepada Fitri. Mereka baru sahaja pulang dari lokasi penggambaran rancangan terbaharu kendaliannya secara solo. Ini kali pertama dia menerima tawaran untuk mengacara secara sendirian. Kekok juga.

Dalam perjalanan pulang, mindanya melayang teringatkan pertemuannya dengan Sarah semalam.

‘Kak Sarah dah ada anak!’ desisnya. Hatinya teringin mahu bermain dengan anak buahnya, namun dia tahu dia tidak mungkin dapat melakukannya.

“Dengar tak apa aku cakap ni? Isy, boleh pula dia termenung.” Fitri mencubit paha Yusra yang tidak memberi respons pada pertanyaannya tadi.

Yusra terpinga-pinga. Pahanya yang terasa perit dicubit, digosok perlahan. Fitri bercakap dengan diakah? Dia menoleh memandang Fitri yang sudah menayang muka empat belas.

“Kau cakap apa?” tanya Yusra malas.

“Semalam pihak management ada call aku. Mereka cakap, ada yang melamar kau untuk berlakon drama. Kau nak ke tidak? Kalau nak, mereka nak urus kontrak nanti,” Fitri mengulang kembali apa yang dikatakan kepada Yusra tadi.

“Aku berlakon? Hoi, gila ke apa? Jadi watak apa? Hantu?” Yusra membalas pantas. Lawak pula rasanya apabila ada yang mahu mengambilnya berlakon. Sudah habiskah pelakon di Malaysia ini sampaikan pengacara mahu ditarik berlakon pula?

Well, apa salahnya cuba benda baru, kan? Tapi taklah jadi watak hantu. Kau ni pun agak-agaklah! Mereka tawarkan kau jadi heroin tau. Ingat senang ke?”

Yusra mencebik. Habis tu, ingat senang ke nak berlakon? Kalau lakonannya tidak menjadi, tak pasal-pasal dikecam oleh rakyat Malaysia nanti.

“Tak naklah, Fit. Aku bukannya pandai berlakon pun. Biarlah aku hidup dengan mengacara aje,” putus Yusra. Dia tahu di mana kebolehannya. Mengacara adalah kemampuannya. Berlakon? Eei, tak kut!

“Yaa, dengar sini. Sementara kau ada ramai peminat ni, kau kena buat macam-macam. Apa pun kau buat, mesti mereka support aje. Percayalah! Dalam masa yang sama, kau boleh tambah peminat baru.” Fitri cuba menekankan kepentingan Yusra menceburi bidang baharu. Dia yakin, Yusra akan mula menimbang balik keputusannya. Dia kenal sangat dengan Yusra ini. Peminat itu penting untuk anak seni sepertinya. Tanpa peminat, siapalah anak seni.

“Kau cuba tengok budak-budak baru dalam industri ni. Nama naik mencanak sikit, terus open business. Yang penyanyi, jadi pelakon. Yang pelakon, jadi penulis. So, tak salah kalau pengacara naik jadi pelakon, kan?” Fitri memujuk lagi. Dia merasakan ini peluang besar untuk Yusra mengembangkan sayapnya dalam industri seni. Dia tahu bakat Yusra besar. Yusra mampu berlakon, cuma belum diasah sahaja. Kalau sudah digilap bakat itu nanti, pasti nama Yusra semakin meletup di seluruh negara.

“Mereka nak keputusan bila?” tanya Yusra sambalewa. Sungguh dia tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang pelakon. Kalau dia berlakon kayu nanti macam mana?

Sambil itu dia memeriksa telefonnya. Notifikasi daripada media sosialnya; Instagram dan Twitter membanjiri telefon. Diimbas sekali lalu sahaja. Ada pesanan WhatsApp daripada Haidhar. Pesanan itu sekadar dibaca tanpa dibalas. Bluetick! Malas hendak layan.

“Secepat mungkin. Kau fikirlah baik-baik. Aku harap kau terima, sebab aku nampak banyak kepentingan kau kat situ. Aku yakin, peminat kau mesti sokong punya,” bersungguh-sungguh Fitri memujuk. Harapnya lembutlah hati majikannya ini.

Telefon pintarnya dimasukkan kembali ke dalam tas tangan. Yusra menoleh. Wajah Fitri dipandang lama. Cuba mengesan sesuatu daripada riak wajah gadis itu.

What?” tanya Fitri. Jelas-jelas dia tidak senang dengan renungan yang diberikan oleh Yusra terhadapnya.

“Baik kau cakap dengan aku, apa yang buatkan kau beria-ia paksa aku terima tawaran lakonan tu?” Yusra sudah masuk mood menyiasat. Jari telunjuknya dituding lurus ke pipi kiri Fitri.

Fitri ketawa sedikit menutup resah. Alahai, kantoi ke yang dia ada sebab di sebalik kesungguhannya mendesak Yusra? Aisy, Yusra ni cepat saja tahu. Tak boleh hendak menipu langsung!

“Mana ada apa,” Fitri berdalih. Matanya lurus memandang jalan raya. Sesekali dia memandang cermin pandang belakang. Menunjukkan dia sedang fokus memandu dan tidak mahu diganggu.

“Eleh, kau ingat aku tak kenal perangai kau ni? Cepat cakap!” desak Yusra. Geram pula dia apabila Fitri masih mahu berdalih dengannya.

Fine. Sebenarnya, hero cerita tu pelakon yang aku minat gila tu. Alah yang kau marah masa kita on the way pergi stadium tu. Oh my dear, Fakhri!” Fitri sudah mula menggedik. Wajah tampan Fakhri sudah terbayang di ruang mata.

Yusra mencebik. Dah agak. Kalau tak ada sebab, Fitri takkan beria-ia sebegini memaksanya. Rupa-rupanya kerana ada lelaki itu. ‘Sabar ajelah aku dengan Fitri ni.’

“Jadi, kau nak aku terima tawaran tu supaya bila aku shooting nanti, kau boleh cuci mata? Gitu? Eei, kejinya perangai!” Yusra mengutuk perangai pengurusnya itu. Bahu Fitri ditampar kuat.

Fitri hanya tersengih lebar. Bocor juga rahsia kesungguhannya.

“Alah, Yaa! Bolehlah. Apa kata kau cuba dulu? Nanti ada casting before dia finalisekan pelakon. Kau buat aje dulu. Kalau dapat, alhamdulillah. Tak dapat, tak apalah. Ada rezeki lain. Yang penting, kita usaha dulu,” Fitri masih tidak putus asa memujuk. Hatinya berharap benar Yusra setuju dengan cadangannya.

Ermm... tengoklah macam mana nanti.” Akhirnya Yusra mendiamkan diri. Fikirannya melayang kembali teringatkan pertemuan semalam. Sejak bertemu semalam, dia langsung tidak dapat melarikan fikirannya daripada terus mengenangkan hal yang sudah berlaku bertahun yang lalu. Rasa rindu terhadap adik-beradiknya semakin menggigit tangkai hatinya.

Sementara itu, Fitri tak henti-henti mencerabih tentang Fakhri pujaan hatinya. Fakhri itu, Fakhri ini. Namun, satu pun tak tembus ke telinga Yusra. Menyedari dia hanya bercakap sendirian, dia menyiku lengan majikannya itu.

“Apa dia, Fit?” tanya Yusra malas. Suaranya lemah sahaja. Sungguh, dia tidak ada mood sekarang. Kalau Fitri mahu berbicara tentang Fakhri, silakan. Tapi jangan tarik dirinya sekali kerana dia tidak minat mahu ambil tahu tentang lelaki itu. Tak penting!

“Aku tengok, sejak kau balik daripada hantar si Haidhar tu, kau diam aje. Kenapa? Ada apa-apa dah jadi ke?” soal Fitri.

Dia perasan perubahan sikap Yusra, namun dia tidak menegur. Tidak sangka pula kemurungan Yusra terbawa-bawa sehingga ke hari ini. Daripada ambil pendekatan untuk tidak bertanya, terus dia tukar fikiran. Dia yakin, Yusra punya masalah.

“Tak ada apalah.” Lemah sahaja suara Yusra membalas. Dia melurut kembali rambutnya yang sudah tidak terurus selepas dia mengusutkannya.

“Kita bukan kenal sekejap, Yaa. Mana-mana kita pergi sama-sama. Aku tahu kau ada masalah. Tapi kenapa kau tak nak kongsi masalah kau dengan aku ek?” tanya Fitri berhati-hati. Takut seandainya kata-katanya akan menggores hati Yusra.

Hati Yusra memang keras, kental. Ada juga masanya, hati Yusra itu serapuh tisu. Mudah sangat koyaknya. Tapi jarang Yusra bersikap sebegitu kecuali gadis itu benar-benar sedih. Cuma sepanjang perkenalan mereka, tak pernah sekali pun Yusra menangis di hadapannya.

“Tak semua masalah boleh dikongsi, Fit.” Pendek sahaja balasan Yusra.

Kerana pertemuan dengan Sarah semalam, dia berubah mood sehingga ke hari ini. Dia selesa berdiam diri sahaja tanpa bercerita apa-apa kepada Fitri. Soal pertemuannya dengan umi Haidhar semalam juga belum diceritakan. Tak ada mood hendak bercerita. Lagipun, bukannya penting sangat.

Fitri mengangkat bahu sahaja. Seperti biasa, Yusra takkan buka mulut. Dia sudah maklum tentang itu, namun dia tetap mahu bertanya. Yusra ini sudah seperti adik-beradiknya. Sakit Yusra, sakit dia juga.

 

“FAKHRI!” PINTU bilik Fakhri digendang kuat. ‘Hai, nak mengejutkannya bukan main payah lagi si hero Malaya ni!’ Hatinya sudah mendengus geram.

“Janganlah kacau. Aku penat ni,” gumam Fakhri. Matanya masih terpejam rapat. Dia belum bersedia untuk bangun daripada tempat tidurnya. Kenapalah pengurusnya itu susah benar mahu faham?

“Fakhri, kau jangan buat hal, boleh tak? Kau ada shooting pagi ni. Jangan burukkan nama sendirilah. Nanti kalau apa-apa jadi, keluar cerita itu ini. Kau jangan kata aku tak ingatkan pula. Masa tu, aku cepuk-cepuk muka kau. Ha, aku...”

Daun pintu dikuak dari dalam. Muncul Fakhri yang masih berbalut comforter. Zahira yang sedari tadi bercakap, terus menutup mulut.

“Dah? Membebel aje kerja!” rengus Fakhri. Pintu dibiarkan terbuka sebelum dia terus melangkah ke katil semula dengan langkah longlai.

Melihat Fakhri kembali masuk ke dalam bilik, Zahira segera mengekor. Segan juga menjejakkan kaki ke dalam bilik lelaki itu. Lebih-lebih lagi apabila matanya menangkap gambar lelaki itu tidak berbaju terpampang di dinding. Obsess dengan diri sendiri agaknya si hero Malaya ini.

Melihat Fakhri yang kembali tidur, Zahira mendengus kegeraman. Ya Rabbi! Geramnya dengan sepupu merangkap bosnya ini. Kalau bukan kerana permintaan mak long, memang dia takkan mahu menjaga dan menguruskan lelaki yang menjelikkan ini.

‘Hesy! Ada cita-cita nak ubah bilik ni jadi Kutub Utara ke? Bukan main sejuk lagi.’ Zahira merungut dalam hati. Lengannya digosok kuat. Langkahnya dibawa mendekati katil Fakhri.

“Bangunlah, Fakhri!” marah Zahira. Matanya sempat mengerling jam pada pergelangan tangan kanannya.

Comforter yang masih menyelimuti tubuh lelaki itu direntap kuat. Terdedah tubuh Fakhri yang tidak memakai baju itu. Zahira cepat-cepat pejam mata. Ternoda kesucian pandangan matanya!

“5 minit,” rengek Fakhri. Lantaklah tak berselimut pun, dia peduli apa. Kalau Zahira mahu terus berdiri di situ, biarkan. Yang penting dia mahu tidur.

Zahira hentak kaki. Mujur lantai beralas karpet tebal. Kalau tidak, pasti merah tapak kakinya.

Comforter yang masih dipegang dicampakkan ke atas Fakhri. Bengkak sahaja hatinya apabila Fakhri mengucapkan terima kasih kepadanya.

‘Memang sengaja buat aku sakit hati,’ desis hatinya.

Putus asa mengejutkan sepupunya, dia terus keluar dari bilik itu. Ada tugas lain pula yang menanti. Selain menguruskan hal kerjaya Fakhri, dia juga dibayar untuk menguruskan makan dan minum lelaki itu.

Jadi, setiap pagi, dia akan ke rumah lelaki itu untuk mengejutkannya daripada tidur dan menyediakan sarapan. Mujur rumah mereka bersebelahan sahaja. Jimat duit minyak.

Dia melihat isi peti ais. Bahan-bahan sudah tidak banyak. Nampak gaya, kena pergi Tesco petang ini. Dia mula menyusun rencana. Sambil itu, lincah tangannya menyediakan sarapan yang biasa dibuat untuk lelaki itu. Jus buah beri dan roti bakar disapu Nutella. Tidak lupa juga dua biji telur separuh masak.

“Hai, cepat-cepatlah kau kahwin, Fakhri. Lama-lama bercinta dengan Yasmin pun tak guna kalau tak kahwin. Bila kau dah kahwin nanti, senang hidup aku. Lepas tu, aku nak resign jadi pengurus kau. Menyusahkan hidup aku aje!” bicara Zahira seorang diri sewaktu mencuci pinggan selepas sarapan untuk Fakhri disiapkan.

Dapur yang basah sedikit dilap. Tidak mahulah dikatakan buat sepah di dapur rumah orang pula. Bukannya dia tidak kenal Fakhri yang menyebalkan tu. Ada sahaja yang tidak betul nanti.

“Kalau ya pun tak ikhlas kerja dengan aku, tak payahlah umpat aku kat rumah aku. Pergilah balik rumah kau, umpat lebih-lebih kat sana,” perli Fakhri yang baru masuk ke dapur.

“Oh, dengar ke? Ha, tak adalah jatuh hukum mengumpat kalau macam tu. Kau dengar sendiri, kan? Kira aku kutuklah, bukan umpat,” balas Zahira selamba. Alah, dengan sepupu sendiri. Biasalah!

Eei, geram aku dengan kau ni! Dahlah mulut tu tak sudah-sudah membebel. Jangan sampai aku cium mulut kau tu, baru kau nak senyap,” ugut Fakhri. Roti bakar di dalam pinggan dicapai sebelum digigit.

Zahira menunjukkan penumbuknya kepada sepupunya itu. Beranilah nak macam-macam, karate nanti baru tahu!

“Alah, kau ingat kau seorang aje pandai karate orang? Kau lupa siapa yang jadi sifu kau dulu?” Fakhri mula naik berlagak. Keningnya diangkat tinggi.

Berlagak pula mamat ni! Nak ungkit tak tentu pasal. Tahulah dulu dia menuntut karate dengan Fakhri. Dia bukannya amnesia. Zahira mencebik. Malas hendak berada di situ, dia bangkit daripada duduknya.

“Weh, temanlah aku makan. Takkan merajuk kut?” Fakhri menahan Zahira daripada berlalu.

“Apa masalahnya kalau kau makan sorang? Atau nak aku callkan Yasmin suruh suapkan kau makan?” sinis Zahira membalas.

“Kau cemburu aku dengan Yasmin ke?” Sengaja Fakhri mengusik Zahira. Bukannya dia tidak tahu, Zahira meluat sangat dengan dia. Mana pula nak datangnya rasa cemburu.

“Cemburu? Eei, geli ketiak aku dengar kau cakap macam tu. Dah, malas aku layan kau ni. Aku tunggu dalam kereta,” ujar Zahira sebelum berlalu.

Sambil menunggu lif, dia membebel lagi seorang diri. Tidak puas hati dengan pertanyaan Fakhri tadi. Ada ke patut lelaki itu tanya begitu. Cemburu apanya? Tak layak langsung dirinya untuk cemburukan si Yasmin yang jauh lebih cantik daripadanya itu. Yasmin itu bidadari. Dia ini, dayang senandung sahaja.

Hampir setengah jam menanti di dalam kereta, akhirnya batang hidung Fakhri yang mancung itu muncul juga.

Kereta dipandu oleh Fakhri menuju ke set penggambaran. Mereka tiba beberapa minit kemudian. Kecoh sedikit lokasi penggambaran apabila juru mekap artis sibuk memanggil Fakhri untuk dimekapkan sedikit.

“Dengar cerita, lepas ni you colab dengan Yusra, si pengacara terkenal tu. Betul ke?” tanya Iza yang sibuk meratakan foundation pada wajah Fakhri.

“Tak confirm lagi, Iza. Lusa baru finalise siapa pegang watak heroin. Tapi dengar khabar, pengarah memang nakkan Yusra,” Zahira menjawab bagi pihak sepupunya.

“Isy, you ni sibuklah. I nak bercakap dengan Fakhri, bukan you.” Iza menjeling ke arah Zahira yang duduk di sebuah kerusi berdekatan dengan Fakhri. Meluat juga dia melihat Zahira yang asyik melekat sahaja dengan Fakhri.

Zahira hanya mengangkat kening. Salah ke dia yang menjawab? Lagipun, kalau tanya Fakhri tu, bukan lelaki itu tahu apa-apa pun!

Malas mahu melayan Iza, Zahira berlalu. Baik dia melepak dengan krew-krew yang lain.

Sibuk berbual dengan abang cameraman, telefonnya berbunyi. Terus dia memohon diri sebentar. Langkah dibawa jauh sedikit daripada kumpulan krew.

“Ya, saya manager Fakhri. Oh, okey. Lusa, 2 petang. Kiranya terus script readinglah ya? Okay, see you.”

Dia terus mendekati Fakhri yang sudah bersedia di tempatnya kerana penggambaran akan dimulakan beberapa minit lagi. Sementara dia ingat, lebih baik dia beritahu dahulu.

“Fakhri, lusa ada script reading untuk drama Noura. Yusra dah setuju untuk pegang watak heroin. Dia dah settle casting pagi tadi.”

Tanpa menjawab apa-apa, Fakhri sekadar mengangguk. Memahami situasi Fakhri yang mula mendapatkan mood berlakon, Zahira berlalu. Tidak mahu mengganggu lelaki itu lagi.

No comments:

Post a Comment