DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 28 February 2021

My Crush Shah - Bab 2


NOTIFIKASI daripada aplikasi WhatsApp muncul sekali lagi. Yusra buat endah tak endah sahaja. Bengkak juga hatinya apabila si pemberi pesanan asyik menggesanya agar tidak lupa tentang perlawanan bola sepak malam ini.

Bulu mata palsu yang dipakai untuk rancangan siaran langsung tadi ditanggalkan sebelum dimasukkan kembali ke dalam bekasnya. Make-up remover dicapai bersama beberapa keping kapas muka. Semuanya dilakukan dengan pantas, tanpa kekok.

Kurang seminit, wajahnya bersih daripada calitan mekap. Berpuas hati dengan wajahnya, Yusra mengambil pencuci mukanya sebelum berlalu ke tandas. Wajahnya perlu disegarkan kembali. Dia tidak mahu wajahnya ditempek terlalu lama dengan solekan tebal.

Sewaktu dia baru hendak membilas wajahnya, kedengaran telefon pintarnya berbunyi. Rasa bengangnya ditahan. Tak boleh sabar ke? Bukannya dia ada masalah hilang ingatan. Takkanlah dia lupa akan perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan China di Stadium Bukit Jalil malam ini!

“Yaa, Haidhar call!” laung Fitri dari luar bilik air.

Sabar Yusra semakin menipis. Dia merengus sendiri di hadapan cermin. Usai membilas wajah, dia mencapai tuala kecil yang disediakan oleh pihak hotel bertaraf lima bintang itu. Wajahnya dilap sambil berjalan keluar dari bilik air.

Haidhar is on the phone,” beritahu Fitri yang leka di meja makan. Makan nasi ayam yang ditapau daripada set penggambaran tadi.

Yusra diam sahaja. Telefon pintarnya dilekapkan ke telinga. Dia menegur selamba teman lelakinya yang diam di hujung talian.

“Haidhar.” Sebaris nama itu disebut bagi menyedarkan Haidhar bahawa dia sudah berada di talian.

“Yusra, you tak lupa tentang malam ni, kan? Kenapa tak balas WhatsApp? Kenapa tak angkat call I? Nasib Fit angkat. Kalau tak...”

Don’t worry, Haidhar. I datang. I baru habis shooting tadi. Janganlah gesa-gesa I. I tahu, I ingat.” Pantas Yusra mencantas segala persoalan Haidhar. Bicaranya kasar sedikit, namun dia tahu Haidhar tidak kisah.

Dia dan Haidhar, sudah lama juga mereka bercinta. Err, mungkin terma itu tidak tepat untuk menjelaskan hubungan sebenar mereka. Mereka berteman. Teman tapi mesra tetapi tidak terlalu mesra.

Hubungan mereka sekadar memenuhi tuntutan kerjaya masing-masing. Haidhar pemain bola sepak terkenal yang memerlukan kekasih untuk dibanggakan kepada orang ramai di stadium. Begitu juga Yusra sebagai personaliti TV popular yang memerlukan Haidhar untuk dibanggakan kepada semua peminatnya. Mereka berkepentingan atas satu sama lain.

“Okey. I hanya nak ingatkan. Seat you macam biasa. Duduk sekali dengan Aisha. Oh, you pakai baju apa malam ni?”

Yusra menjeling ke langit. Sibuk betul Haidhar ni. Suka hatilah dia nak pakai baju apa pun. Bukannya dia ni buta fesyen. Dia tahu nak gayakan apa. Setakat ke stadium tu, jersi dan jean sudah cukup. Apa yang nak dirisaukan? Takut benar dia mencemarkan imej Haidhar sebagai pemain bola sepak.

“Jersi yang you bagi itulah. Kenapa?”

Loudspeaker dihidupkan. Telefon diletakkan di atas meja. Lebih mudah hendak berbicara sambil dia bersiap. Dia perlu bersiap segera. Takut tersekat dalam kesesakan jalan raya pula jika dia lambat bertolak dari hotel ini.

I mean warna apa? Malaysia pakai warna hitam malam ni. I nak you pakai yang warna hitam tu juga,” arah Haidhar di hujung talian.

Fitri yang mendengar terus berlari mendapatkan Yusra. Dia berdiri di sebelah Yusra sambil membuat muka. Bibirnya dicebikkan. Menyampah betul dengan si Haidhar ini. Fitri tahu Yusra tidak berapa sukakan Haidhar, kerana itu dia berani buat begitu.

Yusra ketawa tanpa suara. Kelakar melihat gelagat pengurusnya. Suka benar Fitri membuat gaya hendak belasah Haidhar. Meluat benar dengan arahan si Haidhar itu.

“You dengar tak ni, Yusra???” Haidhar di hujung talian mula naik angin apabila Yusra tidak membalas kata-katanya. Sudahlah dia terpaksa menunggu Yusra menjawab panggilannya tadi. Sekarang kena menunggu lagi. Pantang sebenarnya. Jika bukan kerana hendak mengingatkan Yusra tentang perlawanan malam ini, pasti dia tidak akan menelefon kekasihnya itu.

“Ya, Haidhar. Eh, tapi I rasa, I tak bawalah jersi hitam. Yang ada pada I sekarang, warna kuning. Tak apa ke?” tanya Yusra sebaik sahaja teringat akan hal itu.

Kedengaran Haidhar mengeluh. Kecewa agaknya kerana mereka tidak sedondon malam ini. ‘Alah, baju aje!’ getus hati Yusra.

“Sepatutnya you bawalah dua-dua sekali. Takkan itu pun I nak kena beritahu?” Haidhar melepaskan juga rasa tidak puas hatinya.

Fitri sudah memaut bahu Yusra. Wajahnya dilentokkan pada bahu sahabat baik merangkap bosnya itu. Kononnya hendak memujuk Yusra yang baru sahaja dimarahi oleh teman lelakinya. Kasihan!

Kasar Yusra menolak Fitri agar menjauhinya. Menyampah betul dengan Fitri ni! Dia diam seketika sambil tangannya sibuk bersolek nipis untuk ke stadium sekejap lagi. Sekadar bedak, celak dan pelembap bibir. Ringkas!

“Habis tu, takkan I nak balik rumah semata-mata nak ambil baju tu? You tahu I bertugas di luar, kan? Takkan tak boleh nak tolerate langsung? And salah you juga, siapa suruh beritahu lambat.” Yusra mula mempersoalkan amarah Haidhar yang baginya tidak wajar langsung.

“Macam you tak biasa. Bukannya berat pun nak bawa dua baju tu,” balas Haidhar menyindir.

Yusra menggenggam kedua-dua penumbuknya. Kalau Haidhar ada di hadapannya sekarang, memang tanpa segan-silu dilayangkan penumbuknya ke muka lelaki itu. ‘Mencabar kesabaran betullah lelaki ni,’ marahnya dalam hati.

Whatever, I malas nak bergaduh hanya sebab baju. Tolonglah. So, you nak I datang pakai baju kuning tu or tak payah datang langsung? Minyak kereta I pun jimat.” Suaranya sudah mengendur, cuma bahasanya masih tajam. Lantaklah kalau Haidhar hendak terasa pun.

“Eh, mestilah kena datang! You jangan nak buat hal tak datang pula. Semua perlawanan I, you kena datang. You dah setuju tentang hal ni, kan? Jangan nak buat-buat lupa. I tak pernah miss untuk datang semua event you, okay!”

Haidhar mula mengungkit. Namun itulah kenyataannya. Mereka sama-sama muncul di khalayak demi memastikan title pasangan secocok sehati sejiwa sentiasa milik mereka. Lagipun, semua itu boleh mengekalkan populariti dan imej baik mereka di mata peminat.

So, I kena datanglah ni?” Yusra menyoal lagi. Malas dia hendak kenangkan apa yang diungkitkan oleh Haidhar. Haidhar tetap Haidhar yang tidak mahu kalah.

Hmm.” Itu sahaja balasan Haidhar sebelum talian diputuskan.

Yusra mencebik sendiri. Sepatutnya dia yang awal-awal memutuskan talian. Biar Haidhar yang sakit hati. Tetapi realitinya, dia yang menahan rasa geram sekarang. Eei!

“Ya Allah, macam mana boleh wujud lelaki yang annoying macam mamat ni?” Yusra mendengus geram. Tangannya pantas mengikat rambutnya yang lurus. Topi berwarna putih diletakkan di kepala.

That’s not the actual problem, boss. Persoalan yang sebenar ialah macam mana kau boleh tahan dengan si Haidhar tu?” usik Fitri pula sebelum berlalu ke hujung katil. Bagasi bersaiz kecil miliknya dan Yusra diambil. Kedua-dua beg itu dibawa bersama menuju ke pintu.

“Fit, kau tahu aku dengan dia macam mana, kan? We don’t love each other pun,” balas Yusra sambil memerhati sekeliling bilik. Manalah tahu kalau-kalau ada lagi barang-barang miliknya yang tertinggal.

Sweater putihnya diikat pada pinggang. Sempat dia mengerling penampilannya. Okey, cantik! Langkah dibawa ke pintu. Kelihatan Fitri sudah pun berdiri di hadapan pintu.

Kasut sukannya disarung. Dia duduk di hadapan pintu untuk mengikat tali kasutnya. Gayanya sudah seperti orang hendak pergi bersukan sahaja. Padahal hendak pergi tengok orang bersukan. Tapi itu memang gayanya. Dia lebih senang berkasut sukan apabila pergi menonton perlawanan di stadium. Selain senang hendak berjalan, dia juga takut kasut-kasut lawanya dipijak orang. Kan di stadium tu ramai orang.

Dia pernah memakai flat shoes sebelum ini dan kakinya telah dipijak oleh hamba Allah yang datang entah dari ceruk mana. Langsung tak minta maaf pula tu! Balik daripada stadium hari itu, memang dia mengamuk gila. Sudahlah kaki sakit, hati pun ikut sakit sama.

Sebelum dia berdiri, sempat dia merenung kasut sukan mahal berjenama Adidas yang dibeli sebulan lepas yang tersarung di kakinya. Tersenyum sendiri dia apabila teringat kenangan sewaktu dia kecil dulu.

“Kau tak terfikir nak cari orang lain?” Fitri yang bercekak pinggang di muka pintu tiba-tiba bersuara.

Yusra berdiri. Matanya searas dengan mata pengurusnya itu.

“Maksud kau, tinggalkan Haidhar?”

Fitri mengangkat bahu sambil menutup pintu selepas mencabut kad bilik. Mereka berdua berjalan seiring menuju ke lif.

“Kau gila? Nanti netizen tuduh aku dump dia. Buat busuk nama aku aje.” Yusra menyatakan kebimbangannya yang sebenar. Jika tidak mengenangkan hal itu, tak perlu berfikir pun dia memang akan meninggalkan Haidhar. Namun apa boleh buat, dia perlu teruskan hubungan itu. Dia sendiri yang main api, sekarang hadap sajalah.

“Lelaki dan perempuan yang ada hubungan istimewa, mestilah suka antara satu sama lain. Bukan macam kau ni. Tak suka tapi declare as couple. Pelik,” ujar Fitri. Sesekali matanya menjeling nombor yang tertera di atas pintu lif.

“Tak boleh ke? Lagipun, kalau cintan cintun ni, lecehlah. Aku tak ada masa nak jaga hati orang. Orang pun tak jaga hati aku,” balas Yusra selamba.

Fitri mengiakan sahaja. Dia pun tak faham dengan Yusra. Baginya Yusra ini gadis yang sangat beruntung. Yusra popular, pandai dan cantik. Ramai juga lelaki yang tergila-gilakan Yusra. Ada daripada kalangan peminat dan kalangan artis sendiri.

Kerana kegilaan orang terhadap Yusra membuatkan gadis itu memilih untuk mengikat diri dengan seseorang. Dan seseorang itu ialah Haidhar. Kenapa Haidhar? Sebab Haidhar bersetuju untuk tidak jatuh cinta dengan Yusra.

“Kenapa pandang aku tak berkelip?” tanya Yusra. Rasa kurang selesa apabila Fitri merenungnya semacam sahaja.

“Aku terfikir, kau ni lesbian ke?” Selamba Fitri menjawab sebelum masuk ke badan lif.

“Weh, jahatnya otak kau! Kau fikir aku macam tu?” Yusra naik angin. Sebaik sahaja pintu lif tertutup, dia terus mencubit lengan Fitri. Mahu sahaja dia membasuh sekali otak si Fitri guna Clorox. Biar bersih daripada tanggapan negatif terhadapnya.

Fitri gelak mengekek. Mujur mereka berdua sahaja yang berada di dalam lif tersebut. Kalau tidak, pasti orang terkejut melihat personaliti TV popular berperangai begini.

“Orang perempuan, umur macam kau ni, dah sibuk cari jodoh dan tetapkan hati pada seseorang. Tapi kau ni, tak nak langsung bercakap pasal cinta. Apa yang alergi sangat?” tanya Fitri sambil menjongketkan sebelah keningnya.

“Eleh, aku muda lagilah. Belum jadi andartu lagi. Sampai masa aku rasa nak kahwin nanti, aku carilah bakal suami. Kau pun kena tolong aku nanti. Tapi nantilah. Bukan sekarang,” balas Yusra. Rambutnya yang kusut dek bertelagah dengan Fitri tadi dibetulkan sedikit.

“Kau ingat nak cari suami macam beli kuih raya? Esok nak raya, beli kuihnya hari ni. Tunjuk mana kau suka, masuk dalam plastik, bawa balik kampung?” Fitri mencebik. Otak Yusra ni, ada masanya memang tak boleh pakai.

“Alah, kalau tak ada orang nak pinang aku, biar aku pinang dia. Dia setuju, masuk dalam beg, bawa balik kampung. Haa... senang, kan?” Yusra mengenyitkan sebelah matanya kepada Fitri.

Mendengar rancangan gila Yusra, Fitri menggelengkan kepalanya. Yusra ni, ingat semudah itukah nak meminang anak teruna orang? Cakap sekarang, bolehlah. Tunggu kalau dah sampai masa nanti. Tapi dia teruja juga hendak mengikut rombongan meminang Yusra. Siapalah lelaki yang bertuah itu nanti?

Sewaktu Fitri hendak melangkah ke kaunter untuk urusan check-out, Yusra menggamit pengurusnya itu. Nak tak nak, Fitri berpatah semula. Berdebar pula dia apabila Yusra buat gaya hendak berbisik. Kenapa? Ada paparazi mengekori merekakah?

“Kalau aku lesbian, kau nak kahwin dengan aku tak?” bisik Yusra di tengah-tengah lobi hotel itu.

“Gila!” Fitri menepuk topi putih Yusra. Terjatuh topi itu dibuatnya, namun dia buat tidak tahu sahaja. Padan muka Yusra! Tanya lagi soalan yang tak berakal begitu.

Yusra ketawa sendiri. Baru sahaja hendak menunduk untuk mengambil topinya di atas lantai, seseorang lebih awal bertindak.

Topi itu beralih tangan. Belum sempat Yusra mengucapkan terima kasih, lelaki itu sudah pun berlalu meninggalkannya yang terpinga-pinga di situ. Namun dia tetap mengucapkan terima kasih walaupun lelaki itu sudah pergi.

“Jom!”

Panggilan Fitri mematikan lamunannya. Bayangan lelaki berbaju kemeja putih itu mengganggu benaknya. Namun cepat-cepat diusir.

No comments:

Post a Comment