DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 24 January 2018

Calon Untuk Pengantin - Bab 3

DENGAN lafaz bismillah, Nurul menekan loceng
di luar penthouse itu. Semalam dia sudah menghubungi
Idham untuk menyatakan kedatangannya pada pagi ini.
Lelaki itu meminta dia datang jam 8 pagi agar mereka dapat
bertemu sebelum lelaki itu pergi ke tempat kerja. Setelah
menunggu beberapa minit, pintu dibuka. Muncul Idham
sambil membutangkan baju kemejanya. Dalam diam, Nurul
mengeluh lega kerana lelaki itu muncul dengan lengkap
berpakaian. Kalau tak, mahu dia pengsan juga di muka pintu
ini.
“Masuklah,” pelawa Idham sambil memberi ruang
untuk Nurul melangkah masuk ke penthousenya.
Idham meneliti penampilan Nurul dari atas ke
bawah. Gadis itu nampak ayu dengan mengenakan sepasang
baju kurung merah jambu bercorak bunga, dipadankan
dengan tudung warna krim.
‘Hai, manis pula dia pagi ni.” Dalam diam Idham
memuji. Secara tak langsung dia teringatkan Atikah. Tak
pernah dia melihat Atikah mengenakan baju kurung. Gadis
itu lebih selesa mengenakan skirt, seluar dan gaun singkat
yang menampakkan susuk tubuhnya. Dia tahu, Atikah
memang sengaja nak menayangkan tubuhnya pada umum.
Terpegun Nurul melihat perhiasan dan susun
aturnya. Walaupun tak banyak hiasan dan perabot, tapi tetap
nampak kemas dan tersusun cantik. Tambahan pula, perabot
yang ada nampak begitu mewah.
Nurul memandang sekilas penampilan Idham. Lelaki
itu masih belum bersiap sepenuhnya. Kemejanya pun belum
dimasuk ke dalam seluar tapi aura kacaknya tetap ada.
“Mari saya tunjukkan semua sudut penthouse ni
supaya awak tahu.”
Nurul hanya akur, mengikut langkah Idham dari
belakang. Dia hanya mengangguk kepala setiap kali Idham
memberi penerangan dan arahan.
“Faham?” Idham memandang wajah Nurul.
“Faham. Encik Idham jangan risau. Saya akan cuba
ikut arahan yang diberikan dengan sebaik mungkin.”
“Encik balik makan tengah hari ke?” Tiba-tiba gatal
pula Nurul bertanya.
“Kenapa awak tanya?” Mata Idham terus menatap
wajah Nurul.
“Tak adalah. Kalau encik balik, saya boleh masakkan
tapi masakan yang simple ajelah. Itu pun kalau ada bahanbahan
basah tapi kalau encik tak nak saya masak, tak ada hal.”
Nurul mengutuk dirinya kerana terlebih prihatin.
Bimbang akan menyusahkan dirinya sendiri atau lebih tepat,
mungkin masakannya tidak kena dengan selera lelaki itu.
Tidak pasal-pasal kena humban dalam tong sampah.
“Kalau awak rasa nak masak nanti, awak masak.
Kebetulan bahan mentah dan bahan basah masih ada. Nanti
lauk tu awak simpan dalam peti sejuk. Balik nanti saya
panaskan. Kadang-kadang saya masak sendiri sebab boring
juga asyik makan kat luar. Kalau makan rumah mummy saya
pun, orang gaji yang masakkan.”
Idham ramah berbicara membuatkan Nurul
mengukir senyum.
“Semua benda yang awak perlu buat, saya dah
beritahu. Cuma satu yang saya nak pesan, jangan buat hal
yang bukan-bukan sebab penthouse ni ada CCTV.” Idham
memberi peringatan.
Bukan apa, peringatan itu sebagai langkah
berjaga-jaga kerana dia tidak pernah kenal gadis ini dan dia
meninggalkan penthouse ini sepenuhnya untuk diuruskan
oleh gadis itu.
“Encik jangan risau. Walaupun saya ni orang
kampung yang hanya hidup sederhana tapi saya tak pernah
berniat nak memiliki sesuatu yang bukan milik saya. Orang
tua saya sendiri telah mendidik saya dengan baik.” Balas
Nurul dengan nada tegas.
“Good. Saya nak bersiap pergi kerja.” Idham berlalu
meninggalkan Nurul di ruang tamu.
Nurul segera menuju ke stor dan mengambil
perkakas untuk membersihkan ruang tamu itu. Selepas ini
dia akan membasuh pakaian majikan barunya itu. Menurut
Idham, dia tidak perlu menjemur pakaian di ampaian, hanya
perlu masukkan ke dalam mesin pengering, kemudian
keluarkan dan lipat.
Penthouse ni mempunyai empat bilik. Tiga bilik di
tingkat atas dan satu bilik di tingkat bawah. Hanya dua bilik
sahaja yang digunakan. Satu bilik tidur untuk Idham dan
satu lagi bilik untuk dia membuat kerja. Pakaian kerjanya
hendaklah digosok dan diletakkan di tempat yang disediakan
untuk memudahkan lelaki itu mengambilnya.
Selain itu, dia perlu menukar cadar setiap minggu dan
pastikan semuanya dalam keadaan kemas dan bersih sebelum
meninggalkan penthouse itu. Secara kesimpulannya, kerja di
sini tak adalah memenatkan kerana semuanya dalam keadaan
teratur. Yang penting semua benda mestilah kelihatan bersih,
kemas dan tidak berhabuk.
“Ehem.” Idham berdeham ketika melihat Nurul
yang sedang menggunakan vakum. Pasti bunyi vakum itu
membuatkan Nurul tidak sedar akan kemunculannya.
Nurul segera mematikan suis dan memandang wajah
dan penampilan Idham.
‘Kacaknya dia.’ Sempat lagi Nurul memuji. Memang
kacak pun, siapa yang melihat pasti tidak akan menafikan.
Lelaki ini nampak begitu bergaya mengenakan
kemeja warna biru, dipadankan tali leher bercorak dan seluar
hitam. Rambutnya disikat kemas dan haruman lelaki itu
benar-benar mempesonakan. Sherry sendiri pun tak habishabis
memuji kekacakan lelaki ini. Apa lagi bila Sherry tanpa
rasa segan melahirkan rasa terujanya setelah mendapat tahu
Nurul ditawarkan kerja di penthouse lelaki ini.
“Wow, bertuahnya kau dapat pergi rumah lelaki tu.”
“Kalau tak sebab terdesak, aku tak nak kerja kat situ.
Manalah tahu kalau timbul perkara yang tak elok.” Nurul ada
melahirkan rasa bimbangnya sebelum dia betul-betul yakin
untuk kerja di sini.
“Apa yang kau fikirkan?” Sherry memandang pelik
wajah Nurul.
“Manalah tahu kalau tiba-tiba aku terkena tangkap
basah. Tak ke naya aku dibuatnya? Tak pasal-pasal kena
kahwin free dengan Encik Idham tu.” Nurul mula membuat
andaian.
“Isy, mesti kau terpengaruh dengan cerita yang kau
baca dalam novel ni.” Sherry mula gelak.
“Tak kisahlah tapi tak salah juga kalau aku beringat
sebelum kena.” Nurul tetap rasa gusar. Bimbang sangat kalau
kejadian itu menimpanya.
“Baguslah kalau dapat kahwin dengan lelaki kacak
macam Encik Idham tu. Kalau aku yang kena tangkap basah
macam tu, memang aku takkan menolak.” Sherry tetap buat
tak kisah. Malah dia makin nampak teruja.
“Macam mana dengan Cik Tyka?” Nurul telan liur.
Tidak dapat membayangkan apa yang akan jadi nanti.
“Dia akan jadi madu kaulah, apa lagi.” Sherry gelak
santai.
“Isy, kau ni...” Nurul menolak bahu Sherry. Sherry
tetap dengan gelaknya.
“Helo...”
Nurul tersentak apabila tangan Idham melambailambai
di depan matanya. “Maaf.” Nurul termalu sendiri.
“Hai, pagi-pagi dah mengelamun. Teringatkan
boyfriend ke?” Sempat pula Idham mengusik Nurul
membuatkan wajah Nurul makin terasa hangat.
“Tak adalah. Saya ni masih single, belum ada
boyfriend.” Balas Nurul senada.
“Betul ni awak tak ada boyfriend?” Idham
mengangkat keningnya. Gaya macam orang tak percaya saja.
“Betul!” Nurul tetap bertegas kerana itu adalah
kebenarannya. Memang dia belum ada teman lelaki.
Takkanlah dia nak tipu pula. Berdosa!
“Hmm... baguslah.” Idham mengangguk perlahan.
Bibirnya tetap mengorak senyum.
“Kenapa encik cakap bagus?” Kali ini kening Nurul
yang terangkat. Pelik pula dengan gelagat lelaki itu.
“Entah, saya pun tak tahu kenapa saya cakap macam
tu.” Idham senyum sinis. Tanpa sedar dia tergelak lagi. Entah
apa yang lucunya, dia sendiri pun tak tahu.
Nurul tarik dan hembus nafas. Lantaklah, tak
penting pun.
“Saya dah nak pergi kerja. Lepas awak dah siapkan
kerja awak, awak tinggalkan kunci di pondok pengawal. Nanti
saya ambil. Mulai minggu depan, awak tak perlu datang
seawal ini. Eloknya awak datang jam 10 pagi. Pastikan awak
sarapan dulu di rumah. Kunci pula saya akan tinggalkan di
pondok pengawal setiap pagi Selasa. Faham?”
Nurul mengangguk kepala.
“Ini duit upah awak untuk hari ini. Lain kali saya
akan letakkan siap-siap di atas meja ni. Nanti awak ambil
sebelum balik. Dan pastikan semuanya dalam keadaan
selamat sebelum awak tinggalkan penthouse ni.” Pesan
Idham lagi sebelum dia beredar.

SHERRY MELIRIK ke arah Nurul yang masih ralit menonton
TV sambil mengunyah Potato Cheese. Kawannya itu hanya
bersikap selamba. Sikit pun pandangannya tidak berkalih dari
kaca TV.
‘Apa yang menarik sangat drama tu? Aku tengok
biasa aje.’ Desis Sherry dalam hati.
“Weh, kau senyap aje sejak balik dari kerja part-time
kau tu. Kau tak nak cerita apa-apa ke dekat aku?” Sherry
bersuara.
“Nak cerita pasal apa? Tak ada yang menarik pun
untuk diceritakan.” Nurul membalas acuh tak acuh. Matanya
tetap menala ke kaca TV seperti tadi.
“Cantik tak penthouse dia?” Sherry masih cuba
menyelidik.
“Cantik. Biasalah... orang banyak duit. Mestilah beli
barangan yang mewah, mahal dan berkualiti.” Jelas Nurul.
“Kau memang serius ke nak terus kerja part-time
kat situ?” Sherry memusing tubuhnya agar dapat melihat
wajah Nurul dengan lebih jelas.
“Entahlah. Kalau nak harapkan gaji aku kerja kat
cafe dan gaji kerja part-time tu memang tak cukup untuk
selesaikan masalah keluarga aku tapi sekurang-kurangnya
aku dah mencuba. Kalau tak berjaya juga, aku tak boleh nak
buat apa. Orang tua aku kat kampung pun tengah usaha
juga. Mereka cadang nak guna duit simpanan Tabung Haji
untuk bayar dekat pak long aku tapi aku tak bagi sebab duit tu
mereka dah lama kumpul untuk menunaikan haji. Takkanlah
senang-senang nak bagi dekat pak long yang bangang tu.”
Nurul mengeluh perlahan.
“Apa kata kau cuba buat pinjaman kalau dah tak ada
pilihan.” Sherry memberi saranan.
“Buat pinjaman? Pinjaman bank?” Dahi Nurul
berkerut-kerut.
“Tak kisahlah buat pinjaman bank mana-mana pun
asalkan jangan buat pinjaman dengan along. Ataupun kau
cuba berbincang dengan Encik Johan. Nanti dia potonglah
gaji kau bulan-bulan.”
“Aku tak beranilah nak buat pinjaman bank. Takut
diaorang tak luluskan sebab gaji aku kecil aje. Kalau nak buat
pinjaman dengan Encik Johan pun aku rasa tak lepas juga
sebab hari tu aku ada terdengar cakap Kak Sakinah, dia ada
nak buat pinjaman dengan Encik Johan tapi Encik Johan tak
bagi. Jadi, aku buat kesimpulan, rasanya tak dapat kut. Bukan
kau tak tahu yang Encik Johan tu kedekut orangnya. Satu sen
pun nak berkira.”
Nurul menggaru kepala yang tidak gatal. Bingung
dibuatnya apabila memikirkan di mana dia nak cari wang
dalam masa yang terdekat ini. Takkanlah nak kena pergi
rompak bank? Nak cari nahas!
“Alah, itu dengan Kak Sakinah. Kau lain. Kau kan
pekerja kesayangan Encik Johan. Aku tahu dia dah lama suka
dekat kau tapi kau aje yang tak layan.” Sherry gelak kecil.
Suka sangat kenenkan dia dengan pemilik kafe itu.
“Cakap tu baik-baik sikit. Aku bagi buku lima kat
pipi kau baru tahu. Kalau Puan Dahlia tahu kau cakap pasal
ni, aku yang akan dapat masalah nanti.”
Bukan Nurul tak tahu Encik Johan memang ada
hati padanya tapi betullah kata Sherry, dia yang tak pernah
melayan. Bimbang akan menimbulkan fitnah. Lagipun, dia
bukan nak kerja lama dekat sini. Dia ada matlamat dan citacita.
Harap-harap impian dan cita-citanya akan terlaksana
satu hari nanti.
“Berapa gaji yang Encik Idham tu bagi dekat kau
tadi?” Tiba-tiba Sherry tukar tajuk kepada asal.
“Kalau tak silap aku, 300 ringgit. Kira banyaklah juga
kalau hanya untuk kerja dua ke tiga jam sehari.” Beritahu
Nurul yang agak terkejut juga bila membuka sampul surat
yang diserahkan oleh Idham tadi.
“Banyak juga kalau dia bagi 300 ringgit sehari. Kalau
sebulan adalah dalam 1200 ringgit. Kalau tiga bulan, 3600
ringgit. Tapi sempat ke kau nak bayar duit kat pak long kau
dalam tempoh tiga bulan?” Kali ini Sherry pula yang risau.
“Itulah yang merisaukan aku tapi rasanya tak sempat
kut aku nak kumpul duit sebanyak yang pak long aku nak tu.”
Nurul menarik nafas panjang. Buntu fikirannya memikirkan
perkara ini.
“Aku harap masalah keluarga kau tu akan dapat
diselesaikan segera. Memang teruk betul pak long kau tu.
Jenis manusia yang tamak dan tidak tahu bersyukur. Orang
macam tu, sampai bila-bila pun tak tahu nak menghargai.”
Cemuh Sherry dengan perasaan geram mengenangkan nasib
yang terpaksa dihadapi oleh keluarga Nurul.
Semput nafas Nurul menanggung beban. Ya,
beban yang tak sepatutnya keluarga dia tanggung. Kerana
hormatkan hubungan kekeluargaan dan tidak mahu cari
gaduh, dia dan keluarganya terpaksa akur. Apa yang berlaku
adalah disebabkan salah faham dan sikap tamak pak long tapi
keluarga dia yang jadi mangsa.

“KAU DAH jumpa orang yang datang untuk bersihkan
penthouse kau?” Ryzal merenung wajah Idham. Ada sekali
dua Idham merungut dan minta dia carikan seseorang untuk
datang membersihkan penthousenya tapi sampai sekarang
dia tak jumpa yang sesuai. Bukan senang nak dapatkan
ciri-ciri orang yang Idham inginkan sebab dia tu jenis yang
cerewet. Susah nak percayakan orang.
“Dah. Aku dah jumpa.” Beritahu Idham dengan
muka selamba.
“Ya? Kau tak beritahu aku pun.” Ryzal melahirkan
rasa terkilan.
“Aku baru aje jumpa dia. Baru minggu lepas dia
datang bersihkan penthouse aku tu.” Beritahu Idham lagi.
“Macam mana? Okey tak kerja dia? Mana kau dapat
orang tu? Dari agensi?” Ryzal buat kaji selidik.
“Apasal banyak sangat tanya ni?” Tiba-tiba Idham
rasa rimas.
“Yalah, aku tak tanya.” Ryzal merajuk. Mukanya
ditarik masam.
“Eleh, cakap macam tu pun merajuk mengalahkan
perempuan. Poyolah kau ni.” Idham terus melepas gelak. Tak
tahan dengan reaksi Ryzal. Tak sangka cepat pula dia sentap,
selalunya okey saja. Dia datang bulan ke apa? “Setakat yang
aku nampak, okeylah. Orangnya masih muda lagi, mungkin
dalam awal 20-an. Aku jumpa dia kat cafe. Dia kerja kat situ.”
Terus Idham menceritakan bagaimana dia memberi tawaran
kepada Nurul.
“Sedap tak masakan dia?” Ryzal menayang sengih.
Tak pernah pula dia dengar Mak Cik Mimah masakkan untuk
Idham. Mak Cik Mimah hanya ditugaskan membersih dan
menyediakan pakaian kerja untuk Idham sahaja. Memasak
tak ada pula dalam skop kerja.
“Boleh tahan. Kena juga dengan selera aku.” Ujar
Idham. Walaupun masakan Nurul ringkas sahaja, namun
kena dengan selera tekaknya.
Senyuman mekar di wajah Ryzal. “Hmm...
nampaknya dah ada calon yang sesuai sedang menanti.” Ryzal
dah mula mengusik.
“Calon? Calon apa?” Idham bingung apabila tiba-tiba
Ryzal menyebut perkataan calon.
“Calon untuk pengantinlah. Kan sekarang ni kau
tengah darurat nak cari calon isteri.” Ryzal menyambung
usikannya.
“Ya Allah, aku hampir terlupa pasal tu. Nasib baik
kau ingatkan.” Kali ini Idham pula yang menayang sengih.
“Cantik tak orangnya?” tanya Ryzal lagi. Siap angkat
kening beberapa kali.
“Kau ni, tak habis lagi ke menyoal pasal ni? Kalau
kau beria-ia sangat nak jumpa dan nak tengok dia, kau datang
penthouse aku hari Selasa.”
“Kau tak kisah kalau aku datang jumpa dan tengok
dia? Kau tak cemburu?” Ryzal menaikkan keningnya lagi
sekali. Siap tayang sengih nakal.
“Cemburu apa pula ni... dia tak ada sebarang kaitan
dengan aku pun.” Idham gelak kecil.
“Tapi Zal, kau kena ingat yang kau tu dah beristeri.
Jangan kau terfikir nak jadikan dia calon isteri nombor dua
kau. Kalau tahu dekat bini kau, mahunya kau tidur kat luar
rumah.” Idham mengingatkan Ryzal tentang statusnya.
“Aku tahu dan aku sedar yang aku dah ada isteri.
Aku cuma nak tengok bakal isteri kau.” Ryzal gelak santai.
Seronok dapat menyakat Idham. Wajahnya nampak sedikit
merah.
“Huh, tak ada maknanya bakal isteri.” Idham
menggeleng kepala mengenangkan usikan Ryzal.
“Alah... senang-senang kau ambil dia ajelah jadi isteri
kau.” Ryzal memberi saranan yang tidak masuk dek akal.
“Kau demam ke apa ni? Cubalah bagi idea yang
cerdik dan bernas sedikit.” Idham mengetuk kepala Ryzal.
“Eh, yang aku bagi tu, kiranya idea cerdik dan
bernaslah tu.” Ryzal tak mahu kalah.
Idham terdiam. Namun dalam diam, idea itu
terlintas juga dalam fikirannya. “Hesy, tak boleh jadi!”
Idham mengutuk diri sendiri. Takkanlah dia nak mengambil
perempuan yang dia tak kenal semata-mata kerana terdesak
nak teruskan perkahwinan.
“Tyka ada hubungi kau?” Ryzal mengubah topik
bicara mereka. Dia tahu Idham tidak suka berbicara soal itu
lagi.
“Ada, sekadar berbual kosong saja. Kalau
mengenangkan yang aku tak nak sebarang hubungan dengan
dia, aku tak layan tapi...”
“Tapi hakikatnya kau masih sayangkan dia, betul
kan?” Provoke Ryzal.
“Mana ada, aku tak sayang dialah.” Sangkal Idham.
“Ya ke tak sayang? Kalau tak sayang, kenapa kau
terima dia? Kau ada hak untuk menolak. Kau terima dia dulu
mungkin sebab dia cantik, seksi dan seorang selebriti.”
“Betullah. Aku tak pernah sayang dia pun. Aku terima
dia sebab aku nak selamatkan nyawa dia. Tak lebih dari itu.”
Beberapa hari lepas baru Idham menyatakan hakikat
sebenar kenapa dia menerima Atikah dulu. Bukan main
terkejut lagi Ryzal bila mengetahui hal sebenar yang telah
disembunyikan Idham selama ini.
“Dia hubungi aku sebab dia nak tahu sama ada aku
ingin teruskan perkahwinan dengan perempuan lain atau
masih menunggu dia.” Jelas Idham dengan nada lemah.
“Kau cakap apa?”
“Aku tetap dengan keputusan aku.” Idham tetap
nekad.
“Habis, kau dah jumpa calonnya?” Ryzal menanti
reaksi Idham.
“Belum.” Idham mengeluh lemah.
“Kau tahu tak yang kau dengan Atikah tu sama-sama
ego. Masing-masing tak nak mengalah.” Ryzal membuat
rumusan.
Idham hanya mampu mengeluh lagi. Memang dia
akui hakikat itu. Nampaknya dia perlu bertindak segera tapi
apakah tindakan yang patut dia buat? Dalam rasa semangat,
tetap ada rasa takut. Takkanlah dia nak buat iklan untuk cari
calon isteri? Kalau dia buat cadangan itu, tidak mustahil dia
kena gelak dengan Atikah seumur hidup.

No comments:

Post a Comment