DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 24 January 2018

Calon Untuk Pengantin - Bab 7

“ENCIK dah tak siuman ke apa ni?” Sungguh,
dia tak sangka itu yang terpacul keluar dari mulut Idham
sebentar tadi. Dia kembali merencana apa yang didengarnya
seketika itu.
“Baguslah. Lega saya mendengarnya.” Nurul
mengukir senyum tapi wajah Idham nampak serius.
“Awak tak nak tahu siapa calon pengantinnya?”
Idham menatap wajah Nurul dengan pandangan yang sama.
Serius sampaikan hati Nurul rasa tidak tenteram.
“Terpulang pada encik. Saya tak boleh nak paksa.”
Nurul kawal perasaan debar.
“Awak!” tutur Idham tegas.
“Ada apa, encik?” Nurul menatap wajah Idham.
Nampaknya dia akan jadi orang pertama yang akan tahu siapa
bakal isteri Idham nanti.
“Awak. Maksud saya, awak adalah calonnya.”
Hampir Nurul jatuh pengsan dek terkejut
mendengar kata-kata itu. “Encik cakap apa ni?” bentak Nurul
terus bangun.
“Saya serius. Awak adalah calon yang paling sesuai
untuk jadi calon pengantin saya dua minggu lagi.” Idham
merapati Nurul.
“Tak. Ini cuma mimpi.” Nurul pejam mata dan cuba
mengusir bayangan Idham bersama kata-katanya tadi.
“Ini kenyataan, bukan mimpi. Anggap saja yang saya
sedang melamar awak.” Idham terus bersuara membuat Nurul
kembali membuka matanya. Tajam matanya memandang
wajah Idham yang penuh harapan.
“Tapi... kenapa saya?” Tiba-tiba hati Nurul jadi
sebak. Entah kenapa itu yang dia rasa saat ini. Dia dan Idham
saling tidak mengenali. Takkanlah lelaki itu begitu nekad
melamarnya dalam keadaan mendadak begini. Bukan mudah
untuk dia menerimanya. Apakah yang membuatkan lelaki itu
mahukan dia?
“Sebab saya tak ada pilihan lain. Dalam fikiran saya
hanya ada awak. Dan hati kecil saya juga tidak menidakkan
pilihan saya ini.” Idham cuba menjelaskan situasi yang
dialaminya.
“Tak. Ini tak boleh jadi. Encik tak boleh buat saya
macam ni. Kita baru jumpa beberapa kali, kita tak pernah
kenal pun sebelum ini. Macam mana encik boleh tergerak
hati nak pilih saya? Lagi pula, takkanlah kita nak kahwin
dua minggu lagi. Semua tu tak masuk akal. Saya boleh jadi
gila kalau ikut kehendak encik.” Nurul betul-betul hilang
kewarasan disebabkan lamaran lelaki itu. Lamaran yang tidak
diduga. Lamaran yang tidak romantik sebagaimana yang
sering dia bayangkan dalam novel atau dilihat di kaca TV.
Idham mengukir senyum. “Saya tak benarkan awak
jadi gila. Saya pun tak nak kahwin dengan orang gila.” Idham
tetap mengukir senyum.
Nurul mengetap bibir. Wajah Idham dipandang
dengan rasa bengang. Kalau Idham tak benarkan dia jadi gila,
orang tuanya di kampung juga tak akan benarkan dia jadi gila.
“Tak payah nak buat lawaklah. Saya tak rasa nak gelak
pun.” Nurul menarik muka masam. Masih belum hilang rasa
bengangnya. Tak sangka dalam situasi begini, Idham masih
boleh buat lawak. Rasa nak ketuk saja kepala lelaki ini.
“Nurul, saya betul-betul serius nak kahwin dengan
awak. Saya nak awak jadi isteri saya dalam tempoh dua
minggu lagi. Awak pun tahukan yang soal nikah kahwin
ni bukan perkara main-main. Kalau saya dah nekad nak
teruskan perkahwinan, itu bermakna saya sudah bersedia
untuk memikul tanggungjawab.” Idham cuba buat Nurul
bertenang.
“Tapi saya belum bersedia nak kahwin. Saya belum
bersedia nak pikul tanggungjawab.” Nurul cuba menolak
lamaran itu.
“Please, tolonglah pertimbangkan lamaran saya ini.
Saya yakin hanya awak satu-satunya perempuan yang layak
menjadi isteri saya, bukannya Atikah atau sesiapa. Saya juga
yakin yang awak mampu memikul tanggungjawab sebagai
isteri yang baik kerana saya dah lihat apa yang awak buat
sebelum ini.”
“Kalau pun saya kahwin dengan Atikah, saya
tak pasti yang dia mampu uruskan soal rumah tangga
dengan baik sebagaimana yang awak lakukan. Dia terlalu
pentingkan kerjayanya dari saya sedangkan saya perlukan
seorang perempuan dalam hidup saya, isteri yang selalu
ada di samping saya ketika suka dan duka. Isteri yang boleh
menguruskan semua kehidupan rumah tangga. Saya boleh
nampak pada diri awak, bukannya Atikah.” Pujuk Idham lagi
membuatkan Nurul terus terdiam.
“Tapi... saya...” Nurul masih lagi sangsi.
“Saya tahu awak ada masalah kewangan. Sebab
itu awak sanggup buat kerja tambahan semata-mata nak
kumpulkan duit untuk bantu keluarga awak.”
Nurul menatap wajah Idham. Ada rasa sayu
bertandang. Ya, dia buat semua tu sebab nak kumpul wang
untuk dibayar kepada pak long.
“Saya boleh bantu awak kalau awak sudi bantu saya
untuk teruskan perkahwinan saya itu. Saya sanggup bayar
berapa pun yang awak perlukan asalkan awak sudi jadi isteri
saya.” Idham berusaha memujuk dengan harapan Nurul tidak
akan menolak tawarannya.
Nurul menelan liur. Wajah Idham kembali
ditatapnya. Dia cuba mencari kebenaran dan keikhlasan di
sebalik wajah itu. Dan ketika itu juga telefonnya berdering.
“Assalamualaikum, mak.”
“Waalaikumussalam, Nurul.”
“Mak, kenapa ni?” Nurul dapat meneka yang
emaknya dalam kesedihan.
“Pak long.”
“Ya, kenapa dengan pak long?”
“Pak long datang tadi. Dia nak tuntut duit dengan
kita bulan depan.”
“Hah? Bukan ke dia nak kita bayar dua bulan lagi?
Kenapa nak bulan depan pula? Mana kita nak cari duit.”
Nurul mula menggelabah.
“Itulah yang buat mak risau.”
“Hesy, pak long tu memang teruk dan selalu
menyusahkan kita!” Nurul mula pening mengenangkan
kerenah pak longnya yang selalu mengugut wang dari
keluarganya. Pak long tahu mak tak berani lawan cakap pak
long. Sebab itu dia berani ugut dan marah mak. Kalau ayah
ada masa tu, mesti ayah akan lawan cakap pak long.
“Dia tetap nak duit tu bulan depan. Kalau kita tak
mampu bayar, dia nak Nurul terima si Fakhrul jadi suami
Nurul.” Beritahu Puan Khadeeja membuat hati Nurul makin
hangat.
“Ya Allah, pak long. Makin lama makin teruk
perangai pak long tu. Suka ugut orang sesuka hati dia!” Nurul
meraup mukanya.
“Macam nilah, elok mak dan ayah keluarkan duit
simpanan Tabung Haji untuk bayar dekat pak long. Selagi
kita tak bagi duit, selagi itu dia akan kacau hidup kita.” Puan
Khadeeja fikir itu jalan yang terbaik untuk menyelesaikan
masalah.
“Jangan mak. Itu duit simpanan mak dan ayah. Duit
hasil titik peluh mak dan ayah. Pak long tak berhak dapat
duit tu. Nurul jamin yang lepas ni dia akan buat hal lagi
walaupun kita dah tunaikan permintaan dia. Mak bukan tak
tahu perangai pak long, tamak dan haloba!” Nurul makin
bertambah bengang.
“Habis tu, macam mana? Katanya esok dia nak
datang lagi. Selagi kita tak bagi wang, selagi itu dia akan kacau
hidup kita. Mak tak nak bergaduh dengan pak long pasal ni.
Mak malu kalau hal ni diketahui oleh orang kampung.” Puan
Khadeeja makin dilanda resah.
“Mak dan ayah jangan risau. Nanti Nurul cuba
usahakan macam mana nak dapatkan duit untuk bayar dekat
pak long tu.” Nurul mendengus perlahan.
“Yalah. Mak minta maaf sebab dah menyusahkan
Nurul.” Sayu kedengaran suara Puan Khadeeja di hujung
talian.
“Tak mengapalah, mak. Kita ada Allah. Insya-Allah,
Dia akan bantu kita. Mak jangan risau. Tak payah fikirkan
sangat hal ni, nanti menjejaskan kesihatan mak.” Itu yang
mampu Nurul suarakan agar hati dia dan maknya akan
tenang.
“Nurul ada hal ni. Nanti Nurul hubungi mak balik.”
Nurul mula tidak selesa kerana menyedari mata Idham masih
terarah ke arahnya. Mendengar setiap butir bicaranya.
“Maaf,” ucap Nurul sebaik sahaja menyimpan telefon
di dalam poket baju kerjanya.
“Macam mana?” Idham menyeluk tangan ke dalam
poket seluarnya. Pandangan matanya menghala tepat ke
wajah Nurul.
“Encik sendiri dengarkan yang saya sekarang ada
masalah. Macam mana saya nak bantu encik?” Nurul bersuara
agar Idham tidak memaksanya.
“Kan saya dah cakap, awak bantu saya... saya bantu
awak. Masalah kita akan selesai.” Idham mengambil jalan
mudah.
“Tapi saya tak fikir semudah itu.” Nurul masih lagi
sangsi.
“Saya tetap jelaskan yang saya serius nak lamar awak
jadi isteri saya. Saya janji, saya akan jaga awak dengan baik
sepanjang awak jadi isteri saya.” Bersungguh-sungguh Idham
cuba meyakinkan Nurul agar menerima lamarannya.
Nurul diam. Masih sukar untuk menerima lamaran
itu. Terlalu mendadak baginya sampaikan dia tak tahu macam
mana nak berfikir dan memberi jawapan.
“Berapa hutang keluarga awak dengan pak long
awak tu?” Idham mengaju soalan bila melihat wajah Nurul
makin resah dan serba salah.
“50 ribu ringgit. Pada awalnya pak long nak duit
tu dua bulan lagi tapi sekarang dia ugut mak, dia nak duit
tu bulan depan. Kalau kami tak mampu bayar, dia nak saya
kahwin dengan anaknya.” Beritahu Nurul menahan sebak.
Idham tarik nafas. “Kenapa pak long awak nak duit
sebanyak tu?” Idham buat sesi soal selidik.
“Pak long tu abang kepada mak saya. Dia mengaku
bahawa tanah yang kami duduk sekarang adalah miliknya.
Geran pun masih ada dengan dia. Silap mak juga sebab tak
tukar nama geran tu lebih awal lepas arwah datuk meninggal.
Memang tanah tu jadi milik mak, cuma tak tukar nama
sahaja. Itu yang buatkan pak long mengaku yang tanah tu
milik dia sedangkan dia dah dapat lebih dari itu.”
“Selama ni keluarga saya banyak beralah dengan
pak long. Selalu sangat dia datang minta duit dari keluarga
kami. Pak long tu jenis yang panas baran. Jadi, keluarga saya
tak nak cari gaduh. Malu dekat orang kampung kalau kami
anak-beranak bergaduh pasal harta pusaka tu.” Nurul mula
bercerita tentang masalah yang dihadapinya.
“Kalau macam tu, kita cuba mudahkan masalah
awak.” Idham mengukir senyum.
“Maksud encik?” Nurul tengadah.
“Kita kembali kepada tujuan asal kita jumpa kat
sini.” Nampaknya Idham tetap kembali kepada tujuan asal.
“Encik yakin ke masalah akan selesai kalau kita
berdua kahwin? Macam mana kalau Cik Tyka nak kembali
semula pada encik? Pasti encik akan tinggalkan saya untuk
bersama dia semula.” Nurul tetap melahirkan rasa risau. Dia
cuba memikirkan kemungkinan yang bakal berlaku.
“Pasal Atikah tu, tak payahlah awak nak risau.
Pandailah saya uruskan. Saya dah minta dia tak ganggu hidup
saya lagi. Harap-harap dia fahamlah.”
“Dan saya berjanji, saya takkan tinggalkan awak
untuk kembali pada dia. Lagipun tak salah kalau kita mencuba
kalau itu jalan yang terbaik untuk kita.” Tutur Idham dengan
wajah tenang.
Nurul terdiam. Diam bukan bererti dia mahu
menerima kata-kata itu tapi diam dalam berfikir. Banyak
yang dia kena fikirkan kalau dia menerima tawaran itu. Masa
depan dia bergantung pada Idham. Tak mustahil selepas ini
akan wujud masalah. Dia yakin, masih wujud rasa cinta di
hati Idham untuk Atikah. Jadi, mampukah dia menerima
semua itu dengan reda kalau ditakdirkan dia dan Idham
hidup bersama nanti.
“Kalau awak masih ragu-ragu dengan lamaran saya
ini, saya akan jumpa dengan orang tua awak untuk terangkan
hal ini. Saya nak mereka tahu yang saya ikhlas mahu melamar
awak dan jadikan awak isteri saya.” Kalau boleh, Idham mahu
urusan dan masalah itu diselesaikan dengan segera. Dia tidak
mahu bertangguh lagi. Masa sudah semakin suntuk.
“Saya...” Nurul tetap rasa serba salah.
“Kita pergi sekarang.” Idham terus mencelah
sebelum sempat Nurul menghabiskan ayat.
“Pergi sekarang? Nak pergi mana?” Nurul keliru
dengan ajakan itu.
“Pergi jumpa orang tua awaklah. Saya nak tunaikan
hasrat saya melamar awak.”
Idham mempamerkan senyuman manis. Nurul
terpegun dengan ucapan itu, lebih-lebih lagi melihat
senyuman yang terukir di wajah Idham. Buatkan dia jadi
kaku.
“Rumah orang tua saya kat Melaka.” Beritahu Nurul
teragak-agak.
“Kita pergi sanalah. Ada masalah? Bukannya jauh
pun, lebih kurang dua jam aje.” Idham seakan tidak sabar
untuk meneruskan agendanya.
“Tapi encik...” Nurul tetap rasa serba salah untuk
mengikut rancangan itu. Kalau mendadak untuknya,
mendadak juga untuk keluarganya. Silap hari bulan, pengsan
emaknya nanti.
“Awak jangan risau, semuanya akan saya uruskan.
Jamal akan bersama kita, awak tak perlu takut.” Idham masih
belum berputus asa memujuk Nurul. Risau sangat kalau
Nurul tetap menolak lamarannya.
“Awak call mak awak cakap awak nak balik bersama
saya, dan awak call juga kawan awak yang kerja kat cafe tu
untuk maklumkan dekat dia. Manalah tahu dia risau bila
awak lambat balik. Lepas urusan kita selesai, saya akan hantar
awak balik rumah sewa awak.” Idham membuat saranan
membuatkan mata Nurul tepat memandang wajah lelaki itu.
“What?”
Idham naikkan keningnya.
“Encik memang dah rancang awal-awal ke semua
ni?” Nurul ketap bibir.
“Tak. Ini last minute planning. Saya tak kisah kalau
awak cakap saya terdesak buat semua ni sebab ya, memang
saya terdesak pun. Tapi saya yakin dan percaya, saya tak akan
menyesal melakukannya dan saya juga harap yang sama dari
awak.” Idham merenung wajah Nurul.
Pada Nurul, ada sesuatu yang sukar untuk dijelaskan
pada wajah lelaki itu saat ini. Sesuatu yang membuatkan
Nurul tak mampu nak menolak.

ENCIK SHAMSUDDIN mengeluh panjang sebelum membuat
sebarang keputusan. Perkara ini satu kejutan untuk dia dan
keluarga. Paling mengejutkan bila perkara ini melibatkan
soal masa depan anak sulungnya. Akan tetapi janji yang
dibuat Idham membuatkan dia tak mampu menolak lamaran
itu. Kehidupan dan pekerjaan Idham cukup stabil, jadi tak
ada masalah untuk Idham menjaga kebajikan Nurul nanti.
Dia yang berniaga kedai runcit di pekan pun mampu menjaga
kebajikan keluarga, apa lagi Idham yang memiliki syarikat
besar dan terkenal.
“Macam mana? Nurul setuju terima lamaran
Idham?”
Wajah Nurul menjadi perhatian orang tuanya dan
Idham sendiri.
“Nurul tak tahu.” Hanya itu yang mampu Nurul
suarakan. Dia tak tahu macam mana nak beri keputusan.
“Apa pendapat Deeja? Deeja nak terima ke lamaran
Idham untuk Nurul?” Encik Shamsuddin memandang wajah
isterinya.
“Deeja pun tak tahu nak cakap apa. Ini melibatkan
masa depan anak kita. Deeja tak nak anak kita disia-siakan
nanti.” Itu jawapan yang diberikan Puan Khadeeja setelah dia
mengetahui siapa Idham dan kenapa lelaki itu tergesa-gesa
melamar Nurul.
“Macam nilah. Pak cik nak tanya sekali lagi dan
pak cik nak Idham jawab dengan jujur.” Encik Shamsuddin
memandang wajah Idham. Kali ini wajahnya begitu serius
hinggakan Idham jadi gelabah. Jamal yang ada bersamanya
juga turut resah.
“Apa dia, pak cik?” Idham cuba bersikap setenang
yang mungkin.
“Idham betul-betul ikhlas ke mahu memperisterikan
anak pak cik, Nurul Iman?” Encik Shamsuddin merenung
wajah Idham.
“Ya, saya ikhlas nak memperisterikan Nurul dan
saya janji akan menjaganya dengan baik sebagaimana pak cik
menjaganya. Saya tahu, lamaran ini memberi kejutan untuk
keluarga pak cik dan saya akui bahawa saya cukup terdesak
untuk meneruskan majlis kahwin saya. Tapi saya tetap akan
beri jaminan yang Nurul takkan menyesal menerima saya
sebagai suaminya.” Idham tetap mengulang perkara yang
sama di hadapan orang tua Nurul. Dia mahu mereka yakin
akan tujuannya dengan memberi jaminan itu.
“Baguslah kalau macam tu sebab pak cik tak nak
Idham menganggap pak cik telah menjual anak pak cik
semata-mata untuk dapat duit 50 ribu ringgit tu. Lepas
tu, Idham boleh buat apa saja pada anak pak cik. Kalau itu
anggapan Idham, pak cik akan tarik balik persetujuan pak cik
untuk menyerahkan Nurul pada Idham sebagai isteri.” Tutur
Encik Shamsuddin membuatkan Idham mengukir senyum.
Nurul yang sedang mendengar bicara itu terasa
begitu gementar dan takut. Takut, andai anggapan ayahnya
akan jadi kenyataan. Dia hanya sekadar dijadikan barang
pertukaran untuk menyelesaikan masalah keluarga.
Idham memandang wajah Nurul. Senyuman manis
turut diberikan untuk Nurul.
“Pak cik jangan bimbang. Saya takkan sesekali
fikirkan hal itu. Jamal yang merangkap pembantu peribadi
saya adalah sebagai saksi yang saya berjanji akan menjaga
Nurul dengan sebaik mungkin dan tidak pernah menganggap
anak pak cik ni sebagai barang dagangan. Saya ikhlas
mahu menyunting dia sebagai isteri. Itu janji saya.” Idham
membalas dengan penuh yakin agar ibu bapa Nurul faham
akan hasratnya.
“Baiklah. Pak cik terima lamaran Idham. Nanti
Idham berbincang dengan keluarga Idham untuk langkah
yang seterusnya.” Akhirnya Encik Shamsuddin membuat
keputusan menerima lamaran Idham membuatkan mata
Nurul tepat memandang wajah Idham. Idham juga begitu.
Senyuman manis tetap diberikan untuk Nurul tapi gadis itu
hanya mendiamkan diri.
“Pak cik jangan bimbang, saya akan bincang dengan
keluarga saya pasal hal ni. Saya juga ikhlas mahu menolong
keluarga pak cik.”
Encik Shamsuddin mengangguk kepala perlahan.
Dia benar-benar berharap Idham akan mengotakan katakatanya.
Sebelum pulang, Idham menyerahkan cek bernilai
RM50,000 kepada kedua ibu bapa Nurul untuk diberikan pada
pak long mereka.
“Pak cik, 50 ribu ringgit ni bukan harga untuk
Nurul. Ini harga untuk tanah tu. Selepas ni, pak cik tolong
selesaikan hal penukaran nama. Saya tak nak timbul lagi
masalah untuk pak cik sekeluarga.” Idham memberi pesanan
agar keluarga Nurul tidak salah faham.
“Ya, terima kasih Idham sebab sudi bantu keluarga
pak cik.” Ucap Encik Shamsuddin dengan perasaan segan.
“Kita ni manusia, hendaklah saling tolongmenolong.
Pak cik juga jangan risau, semua urusan
perkahwinan serahkan pada saya.”
“Tapi Idham, takkanlah pak cik...” Serba salah hati
Encik Shamsuddin dengan kata-kata Idham seolah-olah dia
telah mengambil kesempatan atas lelaki itu.
“Kesudian pak cik menerima lamaran saya itu lebih
bermakna buat saya dari semua duit yang saya miliki. Terima
kasih sebab terima saya dan layan saya dengan baik walaupun
ini kali pertama kita jumpa. Dua hari lagi saya akan bawa
mummy saya jumpa keluarga pak cik untuk bincangkan hal
ni dengan lebih terperinci.” Idham bersuara sebelum bangkit
dari kerusi dan bersedia untuk balik semula ke KL.
“Saya balik dulu.” Idham menyalami tangan bakal
mentuanya. Dia terus melangkah ke SUV bersama Jamal dan
memberi peluang untuk Nurul bersama orang tuanya buat
seketika.
“Mak, Nurul pergi dulu.” Nurul memeluk erat tubuh
Puan Khadeeja.
“Mak minta maaf sebab dah melibatkan Nurul dalam
hal ni. Kalau bukan sebab kami nak bayarkan harga tanah tu,
Nurul takkan korbankan masa depan Nurul.” Puan Khadeeja
mengusap wajah Nurul dengan perasaan sebak.
“Mak, mak doakan yang terbaik untuk Nurul ya?”
Nurul mencium tangan Puan Khadeeja.
“Ya, mak dan ayah sentiasa doakan yang terbaik
untuk anak-anak kami. Mak yakin yang Idham akan jaga
Nurul dengan baik. Mungkin Allah dah hantar dia untuk
membantu keluarga kita dengan cara begini.” Puan Khadeeja
cuba mengukir senyum bagi menghilangkan rasa sebak.
“Ayah nak Nurul tahu yang bukan mudah untuk
ayah serahkan anak ayah pada lelaki yang ayah tak kenal. Tapi
ayah percaya Idham ikhlas melamar Nurul. Kalau dia tidak
ikhlas, dia tak akan bersemuka dengan kami. Ayah yakin dan
percaya, dia mampu berikan kebahagiaan untuk anak ayah
ini.”
Encik Shamsuddin menggosok kepala Nurul
perlahan tanda merestui hubungan Nurul dengan Idham.
Nurul terus memeluk tubuh ayahnya dengan mata yang
berkaca.
Beberapa minit kemudian, SUV yang dipandu Jamal
mula meninggalkan perkarangan rumah orang tua Nurul.
“Esok saya nak bawa awak jumpa mummy saya,
lepas tu kita pergi cari cincin dan cuba baju pengantin.”
Idham terus menyatakan agenda untuk esok membuatkan
Nurul terus menelan liur.
“Senyap aje. Awak marahkan saya?” tegur Idham bila
Nurul hanya diam.
“Tak,” balas Nurul sepatah.
“Habis tu, kenapa diam?” soal Idham pula.
“Saya tak tahu nak cakap apa, lebih baik saya diam.”
Nurul membalas pertanyaan itu.
“Hmm... hari tu, bukan main becok dan kecoh lagi
awak berbual dengan Jamal di penthouse saya. Takkanlah
sekarang ni awak tak bawa mulut nak bercakap dengan saya.”
Idham melirik ke arah Nurul yang sudah masam mencuka.
Jamal yang mendengar turut diam.
‘Eh, dia ni... sesuka hati kutuk aku tak bawa mulut!’
Dalam diam, Nurul merungut sambil mendengus kasar.
“Awak mengutuk saya ya?” Idham bersuara membuat
Nurul menoleh ke arahnya.
“Tak, saya sedang memuji encik.” Tempelak Nurul
geram.
Idham mengukir senyum.
“Baguslah. Terima kasih sebab memuji saya. Saya
tahu, saya memang kacak.” Idham tergelak kecil.
“Eh, saya tak cakap macam tu pun.” Nurul mula
bengang.
“Tapi saya tahu hati awak nak cakap macam tu kan.”
Idham menayang senyum sinis.
Nurul melempar jelingan. Tapi memang betul pun
lelaki di sebelahnya kacak. Kacak sangat.
“Betulkan awak sedang puji saya.” Idham menaikkan
keningnya. Sengaja mengambil peluang untuk berbual santai.
“Apa-apa ajelah!” Nurul mendengus kasar sambil
berpeluk tubuh. Malah pandangannya dilempar ke luar
tingkap.
“Awak memang setuju nak jadi isteri saya?” Idham
menoleh ke arah Nurul.
Nurul mengetap bibir. “Kalau saya tak setuju, saya
boleh tarik balik ke?”
“Jangan sesekali awak ingat nak tarik balik sebab
ayah awak dah setuju terima lamaran saya. Persetujuan ayah
awak lebih penting dan bermakna daripada persetujuan awak,
faham?” Tiba-tiba suara Idham kedengaran tegas. Pandangan
tajam diberikan buat Nurul.
Nurul terdiam. Nak tak nak dia kena terima kerana
dia memang tiada pilihan lain. Menolak lamaran Idham pasti
akan menjatuhkan maruah dan ego lelaki itu tapi bagaimana
dengan maruah dia?
“Jadi, macam mana? Awak setuju nak jadi isteri
saya?” Tak tenang pula hati Idham bila melihat Nurul terus
membisu.
“Ya, sebab saya tak ada pilihan lain.” Balas Nurul
perlahan. Cuba menyembunyikan rasa sebak.
“Terima kasih.” Idham memandang sekilas ke
arah Nurul yang hanya memandang ke luar tingkap sambil
menyeka air matanya.
Jamal yang mendengar perbualan itu hanya
mengukir senyum. Nice couple. Kata orang gaduh-gaduh
sayang.

No comments:

Post a Comment