HARI ini Idham menjemput Nurul di kafe dan
membawa berjumpa Datin Suhani. Bukan main gemuruh
lagi dada Nurul sebaik sahaja Range Rover milik lelaki itu
memasuki pekarangan banglo mewah milik orang tuanya.
“Encik, saya risaulah kalau mummy encik tak boleh
nak terima saya.” Nurul melahirkan rasa gusarnya.
“Awak jangan bimbang. Mummy saya mesti terima
awak. Saya dah beritahu dia malam tadi pasal lamaran saya
dan persetujuan ayah awak.” Beritahu Idham agar kerisauan
Nurul akan hilang.
“Tapi encik...”
“Awak ni banyak sangat songeh. Dah, turun cepat!”
Idham mula melenting marah.
Nurul keluar dari SUV itu dan melangkah perlahan
di belakang Idham.
“Tak payah nak buat persembahan atau catwalk kat
sini. Awak tu bukan model!” sergah Idham dengan suara agak
kuat.
“Ya, sebab saya bukan Cik Atikah. Saya Nurul Iman.
Calon terdesak encik untuk dijadikan isteri.” Nurul menahan
sebak tiba-tiba. Kecil hatinya disergah begitu.
Langkah Idham terhenti. Dia segera menoleh ke
belakang. Wajah muram Nurul ditatapnya dengan rasa
bersalah.
“Saya minta maaf. Saya tak bermaksud nak kecilkan
hati awak.” Suara Idham mula mendatar.
“Encik, saya tak minta atau paksa encik untuk bantu
keluarga saya tapi encik sendiri yang sudi membantu. Encik
masih ada masa untuk membatalkan semua ni atau cari saja
calon lain ataupun kembali semula pada Cik Atikah.” Nurul
menyeka air mata yang mula bertakung di kelopak mata.
Idham mendekati Nurul. Nafas ditarik lama.
“Sekali lagi saya minta maaf. Saya tak berniat nak
berkasar dengan awak. Saya tahu saya terdesak paksa awak
terima saya tapi saya ikhlas. Betul-betul ikhlas melamar
awak. Tolonglah jangan salah faham.” Idham melahirkan rasa
kesalnya sambil menolak anak rambut yang berjuntai di dahi.
Nurul hanya diam.
“Kita lupakan saja hal ni. Tak payah nak ungkit lagi.
Jom, kita masuk. Mummy saya dah menunggu kat dalam,
tapi ingat, saya tak nak mummy saya tahu sebab apa awak
terima saya.”
“Kenapa dia tak perlu tahu?” Nurul rasa pelik.
“Sebab saya tak nak dia anggap yang bukan-bukan
pasal awak.”
“Macam mana kalau suatu hari nanti dia tahu saya
terima encik sebab encik sudi bayarkan duit 50 ribu ringgit
tu pada pak long saya?” Nurul percaya, hal ini pasti akan
diketahui suatu hari nanti. Apakah agaknya penerimaan
mummy Idham?
“Saya boleh jelaskan nanti. Yang penting sekarang,
awak sudi nak kahwin dengan saya.” Idham menarik tangan
Nurul tapi cepat saja Nurul menarik tangannya.
“Maaf, tak sengaja. Dah halal nanti, baru saya boleh
pegang.” Idham mengukir senyum menyembunyikan rasa
bersalah.
Tanpa sedar, Nurul juga turut senyum.
“Saya suka tengok awak senyum. Cantik! Tambah
cantik bila ada lesung pipit kat pipi awak.” Puji Idham dengan
ikhlas membuatkan Nurul merasakan wajahnya mula hangat.
Pandai pula Idham ni pujuk hati Nurul. Tanpa sengaja, hati
Nurul mula berbunga-bunga.
“Mummy, kenalkan calon isteri Am, Nurul Iman.
Nurul, ini mummy saya.” Idham memulakan bicara sesi suai
kenal. Serba sedikit Idham sudah bercerita pasal mummynya
agar Nurul tidak rasa kekok bila berhadapan nanti.
“Apa khabar, Datin?” Nurul tunduk mencium tangan
Datin Suhani.
“Panggil saja mummy. Tak lama lagi Nurul akan jadi
isteri Am.” Ujar Datin Suhani.
Pada awalnya agak kekok untuk bertoleransi kerana
Datin Suhani beranggapan bahawa Nurul juga seperti Atikah.
Menerima Idham kerana apa yang dimiliki Idham. Setelah
meneliti penampilan Nurul yang sopan berbaju kurung dan
bertudung, gadis itu nampak manis. Sangat berbeza dengan
penampilan Atikah.
Suasana menjadi sedikit ceria dengan kewujudan
Ryzal tidak lama kemudian. Beria-ia Ryzal menemu ramah
Idham tentang lamarannya semalam dan dia juga tidak sabar
nak tengok sendiri bakal isteri Idham. Ya, calon pengantin
segera.
“Zal rasa, calon ni lebih sesuai untuk Am sebab Zal
nampak dia okey. Nampak baik dan ciri-cirinya memenuhi
keinginan mak ngah. Manis, cantik, bertudung dan sopan
santun. Dia juga pandai hormati mak ngah.” Komen Ryzal
sebaik sahaja pertemuan itu selesai.
“Hmm... ya. Dia nampak lebih sesuai untuk Am.”
Akui Datin Suhani dengan pilihan Idham kali ini.
“Jadi, semua masalah akan selesai. Nampaknya dua
minggu lagi Am akan bergelar suami.” Ryzal tergelak kecil.
“Nampaknya begitulah. Esok, beritahu mama dan
papa Zal, mak ngah nak ajak mereka pergi meminang. Zal
pun boleh ikut sekali kalau nak.” Ternyata Datin Suhani dapat
menerima pilihan Idham kali ini.
SELEPAS BERTOLAK dari rumah orang tua Idham,
mereka terus singgah di kedai emas untuk memilih cincin
pertunangan dan juga cincin kahwin. Bukan main cerewet
lagi pilihan Idham. Itu tak kena, ini tak kena.
“Kalau macam tu, tak payah beli cincinlah.” Nurul
mula merajuk. Penat dia pilih cincin tapi ada saja komen dari
Idham.
“Eh, mana boleh. Cincin ni penting sebagai tanda
yang awak tu milik saya.” Idham bertegas apabila Nurul
sudah pamer wajah bosan.
“Tapi, awak tu... banyak songeh sangat.” Komen
Nurul pula. Semasa di rumah keluarga Idham tadi, Idham
telah melarang Nurul memanggilnya encik sebab mereka
sudah mempunyai ikatan.
“Saya cuma nakkan yang terbaik.” Idham tetap
dengan pendiriannya.
“Tapi ini cuma cincin. Mahal atau murah bukan
ukuran kebahagiaan dalam perkahwinan.” Nurul memberi
pandangan.
Idham mendengus kasar. “Untuk suri hati saya,
saya hanya mahukan yang terbaik. Saya tak kisah berapa
harganya.” Ulang Idham tetap bersuara bertegas.
Nurul mengetap bibir. Geram betul. Asyik dia saja
nak menang.
“Kalau macam tu, awak ajelah pilih.” Nurul
mengalah. Bukan apa, dia tak nak Idham menganggap dia
mata duitan. Lagi pula, cincin dekat sini kebanyakannya
mahal-mahal. Hampir terkeluar biji matanya melihat harga
yang tertera. Dia rasa membazir sahaja beli cincin yang
mahal semata-mata nak tayang kepada orang. Namun begitu,
bukan itu yang lelaki itu fikirkan. Agaknya lelaki itu sangat
mementingkan darjat dan statusnya. Biasalah, orang kaya,
mesti banyak duit. Tak kisah pun berapa harganya kalau
berkenan.
Akhirnya Idham memilih sendiri dua bentuk cincin
untuknya. Memang cantik dan eksklusif. Sepadan dengan
harganya. Hampir luruh jantungnya mengetahui harga dua
bentuk cincin itu.
“Mahal sangatlah cincin yang awak pilih.” Nurul
berbisik di telinga Idham. Bimbang kalau didengari oleh
penjual yang berada di hadapan. Bukan main lebar senyuman
penjual itu kerana Idham telah membeli cincin yang sangat
mahal di kedai itu.
“Tak apa, saya mampu.” Ujar Idham sambil
mengeluarkan kad kredit untuk proses bayaran.
‘Ini bukan soal mampu atau tidak. Ini soal
pembaziran!’ Desis Nurul dalam diam. Dia hanya mampu
mendiamkan diri. Lepas ni, jangan merungut sudah.
Keluar dari pusat membeli-belah, mereka singgah
pula di butik pengantin. Kedatangan mereka disambut oleh
pemilik butik itu iaitu Jenefer. Gadis berdarah kacukan Cina-
Inggeris. Memang cantik orangnya, tinggi lampai. Persis
seorang model.
“Hai Am,” tegur Jenefer ramah.
“Hai, you dah siapkan tempahan baju pengantin
untuk bakal isteri I?” Idham memandang wajah Jenefer
sebelum melirik ke arah Nurul yang hanya berdiri kaku di
sebelahnya.
“Dah. I dah siap awal-awal bila you beritahu nak
datang. Dan yang pastinya gaun ni pilihan yang baru, bukan
yang ‘lama’.” Jenefer mengukir senyum penuh makna.
“Good. I tak nak gaun yang baru ini mengingatkan I
dengan gaun yang lama.” Balas Idham dengan penuh makna
juga.
Nurul tetap mendiamkan diri. Biarlah mereka yang
berurusan. Dia tidak mahu masuk campur. Walaupun begitu,
dia cukup kagum dengan Jenefer. Wanita itu tidak kekok
berbahasa Melayu.
Nurul memerhati Idham dan Jenefer berurusan.
Lelaki itu nampak begitu bergaya. Cara penampilan dan gaya
percakapannya begitu menarik. Patutlah dia mempunyai
ramai peminat. Terdetik hatinya malam tadi untuk mengenali
Idham dengan membuka akaun Instagram milik lelaki itu.
Dia punya followers, masya-Allah... memang di luar jangkaan.
Tak sangka ramai betul pengikut dia.
Sehari bersama Idham, serba sedikit perangai lelaki
itu dia tahu. Idham sukakan kesempurnaan, cerewet yang
amat, tak suka mengalah kecuali menyedari dia yang bersalah.
“You duduk sini. Nanti I bawakan gaun untuk bakal
isteri you cuba.” Ujar Jenefer sebelum berlalu pergi bersama
pembantunya.
“Nurul, awak tak nak duduk ke? Awak nak jadi jaga
atau patung kat situ?” sergah Idham sekali gus mematikan
lamunan Nurul. Muka gadis yang cemberut itu menarik
perhatian Idham. Dalam diam, dia cuba menyembunyikan
senyum.
‘Hai, nampak sangat yang dia terpaksa kahwin
dengan aku.’ Dalam diam Idham mengeluh panjang.
Tidak lama kemudian, Jenefer muncul dengan
membawa lima pasang gaun untuk dicuba Nurul.
“I nak you cuba. I nak tengok gaun ni sesuai atau
tidak dengan you.” Selepas itu Jenefer meminta pembantunya
menolong Nurul mencuba gaun itu.
Dengan perasaan gemuruh, Nurul keluar dari
bilik persalinan. Entah apa tanggapan Idham dengan
penampilannya itu.
“Am, cuba you tengok bakal pengantin you.”
Idham yang sedang melayan telefon segera
mendongak kepala. Matanya terus tertumpu ke arah
Nurul tanpa sedikit pun berkelip. Nurul pula tak tahu nak
mempamerkan aksi yang macam mana. Segan betul bila
mengenangkan renungan mata Idham.
“What do you think?” Jenefer segera meminta
pandangan Idham, sekali gus mematikan pandangan Idham.
“Nice.” Komen Idham sepatah. Pura-pura bersikap
selamba walaupun hakikatnya dada dia dah berdegup kencang
melihat penampilan Nurul dalam gaun pengantin itu.
“Just nice?” Jenefer agak terkejut dengan komen
itu. Dahinya berkerut. Matanya dikalih ke arah Nurul. Nurul
hanya mampu mengangkat bahu.
“Cuba yang lain.” Komen Idham lagi membuatkan
Nurul terpaksa akur. Dalam diam dia sempat merungut,
tengok macam nak makan tapi bagi komen hampeh!
“Hello, everybody!”
Idham berkalih. Terus wajahnya berubah melihat
kunjungan gadis yang baru melangkah ke butik itu.
“Tyka? You... you buat apa datang sini?” tegur Idham
yang begitu terkejut dengan kemunculan Atikah. Dia tak
sangka yang Atikah boleh muncul secara tiba-tiba.
“Saja. I nak tengok calon pengantin you dan I cuma
nak pastikan you betul-betul terima cabaran I.” Atikah
mengukir senyum sinis. Matanya melilau melihat persekitaran
butik itu. Ya, butik yang sama pernah dikunjunginya bersama
Idham dan ketika itu juga dia telah memilih beberapa helai
gaun untuk dipakai pada hari perkahwinan mereka.
Sejak tadi lagi dia mengikut jejak langkah Idham dan
Nurul. Hatinya begitu hangat melihat begitu beria-ia Idham
memilih cincin untuk Nurul dan kini mereka berada di butik
untuk memilih baju pengantin.
Idham mendengus kasar. Dia cuba bersikap tenang
dan berpura-pura menganggap Atikah hanya sekadar kenalan
biasa. Tak lebih dari itu.
“Nampaknya you memang sudah bersedia nak
teruskan perkahwinan.”
Atikah mengambil tempat duduk di sebelah Idham.
Wajah Idham dipandang dengan senyuman. Senyuman yang
sengaja dimaniskan semata-mata untuk menyembunyikan
keresahan dan kesedihan. Memang dia tak nafikan yang
hatinya terluka melihat orang yang dicintainya bakal menjadi
milik gadis lain tapi dia tak boleh nak salahkan Idham.
Semuanya berpunca daripada dia.
“Bukankah sepatutnya you ada di luar negara
sekarang?” tegur Idham acuh tak acuh.
“Ya, tapi ada masalah sikit. Jadi, I tak jadi nak sign
kontrak tu. So, I’m still here.” Beritahu Atikah. BerpuraCalon
pura pamer wajah ceria seolah-olah putus tunang itu tidak
memberi kesan untuknya.
“Macam mana you boleh datang sini? You intip I?”
Idham merenung wajah Atikah yang nampak begitu tenang.
“Well,” Atikah hanya menayang senyum dan fahamlah
Idham bahawa perempuan itu memang mengikutinya.
“Untuk apa? I kan dah tak ada apa-apa hubungan lagi
dengan you. Dan I tak nak you ganggu hidup I lagi. Takkan
you masih tak faham-faham lagi!” Idham mendengus kasar.
“I nak teruskan hubungan kita. I nak kahwin dengan
you.” Atikah mencapai tangan Idham membuatkan Idham
benar-benar terkejut sampaikan dia terdiam buat beberapa
saat.
“You mimpi ke apa ni? Kita kan dah putus. I akan
kahwin dengan orang lain tak lama lagi.” Idham cuba
menjelaskan kedudukan mereka. Sekali gus menarik kasar
tangannya yang dipegang Atikah.
“I nak you putuskan hubungan you dengan
perempuan tu dan kahwin dengan I. I janji, kita akan teruskan
majlis kahwin kita sebagaimana yang kita rancangkan.”
Atikah tetap cuba memujuk Idham.
Sekali lagi Atikah mencapai tangan Idham dan
digenggam kemas walaupun Idham berusaha untuk menarik
tangannya. Bimbang dilihat pekerja butik itu atau lebihlebih
lagi dilihat oleh Nurul tapi ternyata, semuanya sudah
terlambat.
“Ehem...” Nurul yang siap mengenakan gaun
pengantin warna biru muda itu teragak-agak nak mencelah
perbualan Idham dengan Atikah.
Seperti tadi, Idham tergamam melihat Nurul yang
mengenakan gaun pengantin hasil rekaan Jenefer. Lama
wajahnya terpaku menatap tubuh Nurul ketika itu.
“Maaf, kalau saya mengganggu.” Bicara Nurul
perlahan. Liur ditelan perlahan. Rasa bersalah pula kerana
terpaksa mencelah perbualan mereka.
“Tak, awak tak mengganggu pun. Perempuan ni yang
mengganggu.” Cepat-cepat Idham bangkit dan mendekati
Nurul.
Atikah mengetap bibir. Dia turut bangkit dan
mendekati Nurul. Tubuh dan penampilan Nurul dipandang
dengan rasa cuak. Sakit hati bila ada perempuan lain
mendampingi Idham dan sekali gus dapat memiliki lelaki
idamannya itu.
“Ini... ini ke perempuan yang akan gantikan tempat
I? I tak nampak apa istimewanya perempuan ni. Selekeh aje.
Kat mana you kutip perempuan ni? Takkan kat tepi tong
sampah kut.” Atikah memandang wajah Nurul sambil gelak
sinis.
“Atikah, jaga sikit mulut you! You tak ada hak nak
hina dia. Dia tunang I!” Idham betul-betul bengang dengan
kata-kata Atikah. Atikah tak sepatutnya menghina orang lain
sesuka hati macamlah dirinya begitu sempurna.
“I juga tunang you.” Atikah membela diri. Dia
memberanikan diri bertentangan dengan mata Idham. Dia
tak mahu kalah.
“Bekas tunang, okey! Dia tunang I sekarang.” Idham
segera menyangkal dakwaan Atikah dan dia terus memeluk
erat bahu Nurul. Nurul hanya tunduk menyembunyikan
matanya yang berkaca. Dia jadi lemah dengan hinaan itu
sampaikan dia tak mampu menolak tangan Idham yang
melekap di bahunya. Dia tahu, Idham buat macam tu sebab
ingin mempertahankannya.
“Am, I masih cintakan you dan I datang ni sebab I
nak beritahu you yang I dah sedia nak kahwin dengan you.
Percayalah cakap I ni.” Pujuk Atikah sambil merangkul
lengan kiri Idham.
Idham menarik kasar lengannya. Tidak sudi
lengannya dipegang Atikah.
“Awak, saya tukar gaun ni sekarang.” Nurul sudah
tidak rasa teruja untuk mencuba baju pengantin yang
lain walaupun ada yang belum dicuba lagi. Baru dua helai
mencuba, Atikah sudah muncul dan merosakkan suasana dan
mood dia.
“Ya, saya minta maaf.” Idham akur.
Nurul segera beredar.
“Atikah, tolong jangan buat hal kat sini. You tak
malu ke buat perangai macam ni!” Idham cuba bertegas
sambil berhadapan dengan Atikah. Sedaya upaya dia cuba
bersabar kerana tidak mahu menimbulkan masalah di tempat
itu. Apa lagi kalau hal ini sampai ke pengetahuan wartawan,
pasti leceh dia nak menjawabnya.
“Sayang, bagi I peluang terakhir. I janji, I takkan
sia-siakan you kali ini.” Atikah kembali memujuk sambil
mempamerkan muka sayu. Dia akan tetap berusaha menawan
hati Idham semula kerana dia tidak mahu kalah di tangan
perempuan lain kerana hanya dia satu-satunya perempuan
yang layak memiliki Idham.
“Sudahlah, dah banyak kali I bagi you peluang tapi
you tak pernah nak hargai. I dah serik dan I dah penat nak
melayan kerenah you. You faham tak?” ujar Idham dengan
nada kesal.
“Kali ini I serius nak teruskan semula majlis kahwin
kita sebagaimana yang kita rancangkan.” Atikah mengangkat
tangannya sebagai bukti yang dia nekad nak kembali kepada
Idham.
“Am,” Jenefer muncul bersama Nurul.
“Jenny, I rasa elok kalau I datang lain kali. Nanti
I akan call you semula.” Idham memandang wajah Jenefer
yang agak terkejut dengan kemunculan Atikah.
“Okay. No problem.” Jenefer segera mengukir
senyum.
“Thanks,” ucap Idham lagi.
Nurul hanya diam.
“Kita keluar sekarang.” Ajak Idham sambil menarik
tangan Nurul tanpa mempedulikan panggilan Atikah.
No comments:
Post a Comment