DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 24 January 2018

Cinta Mamat sandwich - Bab 6

ADIF meraup wajahnya kasar. Sejak peristiwa
tadi, makin kerap bayangan gadis itu mengganggu
ketenangannya. Setiap detik hanya wajah itu yang hadir.
Senyum manja, lenggok menggoda bagaikan layar perak
bermain dalam minda. Dia rimas. Lemas. Tidak tahu apa
yang harus dilakukan agar semua itu berlalu dan tidak
mengganggu jiwanya.
Sejujurnya dia tidak mahu lagi bertemu dengan
Adhia. Jika mampu mengelak, dia akan terus mengelak.
Mencipta jurang. Tapi sejauh mana dia berusaha, pasti akan
ada kebetulan antara mereka. Adakah ia dirancang atau
sememangnya sudah ditakdirkan begitu? Andai sekali dua
mereka dipertemukan tanpa sengaja, ia boleh dikatakan
kebetulan. Jika kerap kali, masih kebetulankah? Kenapa tidak
dikatakan bahawa ia takdir?
Rambut yang kusut ditarik kuat. Serabut.
Puas mundar-mandir, Adif berbaring. Sampai saja di
rumah tadi, dia terus ke biliknya. Malas mahu bersoal jawab
dengan Aiman satu hal. Dan satu hal lagi, dia perlu redakan
resah hatinya. Usai mandi, dia menunaikan solat sunat 2
rakaat.
Otaknya menerawang mengintai peristiwa tadi.
Hampir saja dia terbabas. Siapa tak suka dipeluk perempuan
cantik dan seksi? Tipulah kalau dia tak suka, tapi dia lebih
takut akan janji Allah. Dia dan Adhia bukan mahram.
“Ya Allah!” Sesak dadanya. ‘Kau memang dah
sepatutnya kahwin pun Adif. Normallah apa yang kau rasa
tu,’ monolog hatinya.
“Memang normal... tapi Adhia... gadis tu... hmmm...”
Tidak mampu Adif berkata-kata. Adhia cantik, tapi sayang
kecantikannya dijadikan tontonan umum. Satu kerugian
yang nyata.
‘Itu tugas kaulah untuk bentuk dia,’ monolog
hatinya lagi.
Adif geleng kepala. Mata dipejamkan. Mengharapkan
lena menjelma. Malas mahu memikirkan monolog hati.
Esok banyak kerja yang harus dilakukan. Rasanya lepas ini
dia kena melipatgandakan aktiviti untuk memenuhi waktu
terluangnya.

AZAN SUBUH dari surau berdekatan rumah mengejutkan
Adif daripada lena. Jam di tepi katil diambil.
“Hah! Dah pukul 6 pagi. Ya Allah!” Terlewat bangun
hari ini. Tak dapatlah dia berjemaah di surau.
Terkocoh-kocoh Adif bangun bersuci dan berwuduk.
Usai solat subuh, dia mencapai telefonnya. Ada 15 missed
call daripada nombor yang tidak dikenalinya. Siapa? Penting
sangat ke? Hmmm, namun pertanyaan itu dibiarkan begitu
saja apabila terlihat jarum jam yang bergerak laju. Masa kian
mencemburuinya.
Pantas dia turun ke dapur menyiapkan bahan-bahan
untuk menyediakan sandwich dan barang yang perlu dibawa
untuk jualan hari ini. Kelam-kabut dibuatnya. Ini semua
salah Adhia! Haih... mujur saja tidak terbabas subuhnya.
Aiman pandang Adif yang macam lipas kudung ke
sana ke mari.
“Kalau kau nak pandang aku saja, baik tak payah!”
tempelak Adif.
Tergaru-garu Aiman. Menyengih. Lantas tangan
menolong apa yang patut sebelum Adif memulakan ceramah
percumanya nanti.

PUKUL 7.30 pagi, barulah mereka sampai di tempat mereka
berniaga. Mata Adif tampang ke hadapan. Susuk tubuh yang
sedang berdiri di tepi jalan dengan tangan bersilang di dada,
mengejutkannya. Sangkanya semalam adalah pertemuan
yang terakhir. Namun pagi ini jumpa lagi. Nafas berat
dilepaskan perlahan. Tidak ada kerja lain ke gadis itu?
“Hai Adhia,” tegur Aiman ramah.
“Hai.” Adhia angkat tangan. Senyuman manis diukir.
Adif keluar dari kereta. Tidak sekali pun dia
menjeling Adhia di hadapan. Kerjanya diteruskan seolah-olah
gadis itu tidak wujud. Hatinya usah cakaplah. Nak marah
pun ada, berdebar pun ada. Marah melihatkan pakaian Adhia.
Jean ketat dan kemeja warna putih. Putih kau! Lut sinar
segala-galanya. Huh! Dia nak pandang pun segan.
“Adif.” Lembut suara Adhia memanggil lelaki itu.
Adif panggung kepala sejenak. Memandang ke
hadapan.
“Hmm.”
“Kenapa tak angkat call?”
“Hah?” Adif kerut kening. Call?
“Semalam... dekat 15 kali aku call kau. Satu pun
tak jawab. Return call pun tak...” merajuk nada suara Adhia.
Muncung ditarik.
Ooo, Adhia yang call dia semalam. Ingatkan siapalah.
Tanpa sepatah kata, Adif terus menapak ke seberang jalan.
Adhia mencebik. Usahkan hendak memujuknya,
pandang pun tidak. Huh! Adhia membuntuti Adif. Aiman
sudah lama berada di seberang jalan memulakan jualan.
Perasan langkahnya diikut, Adif berpaling ke
belakang. Terpejam matanya seketika saat matanya
terpandang dada Adhia. Giginya dikacip geram. Matanya pun,
dalam banyak-banyak tempat, di situ juga hendak dipandang!
“Kenapa kau ikut aku?” Dingin suara Adif.
“Aku nak tolong kau.” Adhia tersenyum.
“Tak payah! Kau tunggu kat sini aje,” tegas nada Adif.
“Ala... aku nak tolong jugak!” keras Adhia menolak.
Langkah terus dimajukan ke arah Aiman.
Adif lepas nafas kasar.
‘Degil! Ah, lantaklah. Bukan bini aku pun. Dosa pun
dia yang tanggung, bukan aku. Isy... ikutkan hati ni, nak
saja aku lipat-lipat masuk dalam bonet kereta. Tak nampak
ke mata lelaki-lelaki yang tengok dia tu terjojol!’ marah Adif
dalam hati.
“Wah, laku sandwich kita hari ni Dif!” ujar Aiman
ketika berehat di tempat parkir kereta.
Adif menjeling Aiman. Adhia yang duduk di sebelah
Aiman langsung tak dipandang.
Adhia mengibas-ngibas bajunya. Rimas dengan
peluh. Orang tak pernah kerja tengah panas, beginilah
gayanya. Kalau bukan kerana hendak memikat si Adif, jangan
haraplah dia nak tayang kulit putihnya di tengah panas,
menjadi santapan terik matahari.
“Dif, kau dengar tak aku cakap ni? Mujur ada Adhia,
kan?” ucap Aiman.
Adhia tersenyum bangga.
“Huh! Setakat tayang body nak lariskan jualan, baik
tak payah. Aku nak cari rezeki yang halal, bukan...” Adif telan
liur. Nasib baik dia sempat berhenti. Kata-kata yang bakal
keluar nanti pasti akan menyakitkan hati gadis itu.
Adhia kacip gigi. Matanya menjeling tajam ke arah
Adif. Bengang, geram dan terasa hati bercampur baur. Adif
macam kecil saja di matanya sekarang ini. Mahu saja dia
cilikan mulut berapi Adif itu. Biar lelaki itu sedar sikit untuk
menjaga lidahnya apabila berkata-kata. Bukan dia tidak tahu
apa yang Adif hendak cakap.
“Woi, agak-agaklah kau ni pun nak bercakap.
Fikirkanlah hati orang jugak,” tegur Aiman perlahan. Serba
salah dia melihatkan wajah mendung gadis itu. Kawannya ini
out spoken tak kena tempat! ‘Adif ni buta ke apa? Atau hati
batu? Tak nampak ke betapa minah ni berusaha nak dekat
dengan dia, tapi boleh pulak dia layan tak layan aje. Aku yang
tak ada kena-mengena ni boleh nampak yang si Adhia ni ada
hati dengan dia. Buta!’
“Dahlah, aku nak balik,” ujar Adif.
“Kau kenapa? Apa kekurangan aku sampai kau layan
aku macam ni, hah? Aku rendahkan maruah aku untuk kau.
Aku tak pernah merayu pada lelaki tau.”
“Ada aku suruh kau terhegeh-hegeh kat aku? Eh,
kau kenal aku baru 2 hari, yang kau nak dekat-dekat dengan
aku kenapa? Tak takut kalau aku ni perogol bersiri? Tak pun
aku ni penculik. Tak takut aku culik dan jual kau kat Siam?
Haaa, lagi satu... kau cakap kau rendahkan maruah kerana
aku. Ni aku nak tanya, kau masih ada maruah diri ke? Hah!”
jerkah Adif. Tangannya ligat mengemas barang-barang.
Hatinya sakit.
“Apa maksud kau, hah?” Adhia tarik lengan Adif.
Memaksa lelaki itu berhadapan dengannya.
“Ni!” Adif tarik hujung baju Adhia. “Kau tak nampak
ataupun kau sengaja buat tak nampak? Baju kau pakai ni,
warna putih! Apa saja yang tak nampak? Helo! Kalau kau ada
maruah, kau takkan pakai baju macam ni tau. Hesy! Dahlah,
apa saja yang kau nak buat, jangan libatkan aku. Jangan
muncul depan aku lagi!”
Adhia tunduk kepala memandang bajunya. Allah,
terpanar dia seketika. Sungguh dia tidak perasan. Pagi tadi
dia nak cepat sampai sebelum Adif. Dicapai saja baju yang
mana sempat.
Namun, sudah namanya Adhia Adamia, apa yang
dikatakan Adif tidak terkesan. Bahkan egonya tercalar
sehingga dia nekad akan membuatkan Adif jatuh cinta
kepadanya walau dengan apa cara sekalipun.
Adhia melangkah mendekati Adif. Dia berhenti
betul-betul di belakang Adif. Saat itu jugalah Adif tegakkan
badan lalu berpaling ke belakang. Terkejut dia melihat Adhia
yang berdiri hanya berpisah seinci daripadanya. Terduduk dia
di bonet kereta.
“Ka... kau nak apa?” Tergagap-gagap Adif. Panas
mukanya. Gila tak panas! Tubuh mereka hampir saja mahu
melekap.
Makin laju air liur ditelan. Perit tekaknya.
Adhia kulum senyum. Bukan susah mahu ‘mengusik’
lelaki seperti Adif Arman ini. Kan lelaki itu pernah cakap
dia lelaki normal. Maka untuk mengajar lelaki normal,
hanya dengan cara ini saja. Baru dia tahu penangan Adhia
bagaimana.
“Aku nak kau.” Adhia membongkokkan badannya
setara dengan Adif yang sedang duduk. Tangan membelai
lembut dada Adif. Lenggok suaranya dimanjakan. Renungan
menggoda dipamerkan.
Laju Adif melarikan anak matanya saat Adhia tunduk.
Kemeja Adhia yang terbuka di bahagian dada membuatkan
pipinya panas. Berbahang. Lagi panas daripada bahang
matahari di atas kepala.
‘Astaghfirullah...’ istighfar Adif dalam hati.
Ternganga Aiman melihat lagak berani Adhia. Di tepi
jalan ini menggoda Adif. Perghh! Tabiklah.
Adif menepis tangan Adhia. Nafasnya semput. Gila!
Berani sungguh gadis itu berkelakuan begini. Mana pergi
sifat malu seorang wanita dalam dirinya? Adif cuba bangun,
namun dihalang Adhia.
“Kau nak ke mana? Kau tahu tak apa yang aku
rasa sejak kali pertama aku lihat kau?” Jari Adhia mengelus
lembut pipi Adif. Pantas lelaki itu mengelak. Jujur, Adif tidak
senang dengan kelakuan Adhia ketika ini.
“Aku ingin menyentuhmu, merapatimu...” Adhia
mendekatkan dirinya kepada Adif sehingga lelaki itu
terdorong ke belakang. “Membelai wajahmu... dan aku ingin
merasa betapa manisnya bibir ini.” Jari Adhia jatuh di bibir
merah Adif. Suaranya sengaja dilunakkan, menggoda. Bibir
bawahnya digigit.
Berombak dada Adif menahan amarah. Tahap
kesabaran sudah mencapai tahap maksima.
“Kau tergoda?”
Soalan Adhia itu memecahkan tembok kesabaran
Adif. Dia menolak kasar tubuh Adhia. Diraup wajahnya
beberapa kali.
Adhia tersenyum kemenangan. Sangkanya Adif
sudah jatuh dengan kemanjaannya.
Aiman garu kepala. Sudah! Adhia sudah mengejutkan
harimau yang sedang tidur. Habislah Adhia kali ini.
“Kau...” Adif kacip gigi. ‘Sabar Dif. Dia perempuan,’
hatinya mengingatkan.
“Ya.” Adhia senyum menggoda.
“Kalau kau ingat aku akan tergoda dengan kau,
boleh jalanlah perempuan!!! Hei, mana pergi maruah kau
hah? Kat tepi jalan begini pun kau boleh berkelakuan macam
perempuan...” Adif gigit lidahnya. Allah, sekali lagi dia hampir
terlepas kata. Ah, semua kerana gadis ini yang lepas bebas
perilakunya.
“Tolonglah Adhia Adamia! Peliharalah kelebihan
yang Allah bagi kat kau ni. Kecantikan, kelembutan dan ilmu
menggoda kau tu, simpanlah untuk yang halal. Jangan biarkan
diri kau dipandang serong oleh orang kerana sikap lepas bebas
kau ni. Kau tahu tak, isteri nabi tak pernah menggoda nabi
di hadapan khalayak ramai. Usahkan menggoda, bermesra
di khalayak ramai pun tak pernah. Inikan pula kau dengan
aku yang tiada ikatan halal. Jangan cabar iman aku, Adhia
Adamia! Aku ingatkan sekali lagi, aku hanyalah lelaki biasa
yang punya nafsu! Jangan pandang enteng Adhia Adamia.
Jangan!” Adif berlalu ke dalam kereta. Hatinya panas.
‘Apa yang dia nak tunjukkan? Bangga dengan apa
yang dia miliki? Jika aku lelaki buaya, dan ambil kesempatan
atas sikap dia tu... masih boleh berbanggakah dia? Bodoh!’
gerutu hati Adif.
Berubah air muka Adhia. Perasaannya bercelaru
antara ego dan rasa malu. Tidak tahu sama ada mahu marah
ataupun terharu. Walaupun begitu, kata-kata lelaki itu
melekat dalam kepalanya.
Kasihan Aiman melihat Adhia yang kaku. Tapi itulah,
jangan diduga Adif. Inilah jadinya.
“Maafkan Adif, Adhia.” Hanya itu yang mampu Aiman
katakan sebelum dia juga masuk ke dalam perut kereta.
Sebaik saja Aiman masuk, Adif terus memecut
keretanya meninggalkan Adhia. Dari cermin pandang
belakang, Adif sesekali menjeling ke belakang dan gadis itu
masih di situ.
Dalam hatinya rasa bersalah. Tahu yang kata-katanya
tadi telah melukakan hati Adhia. Tapi hanya cara itu yang dia
nampak untuk menyedarkan gadis itu. Bohonglah kalau dia
tidak tergoda. Dia lelaki, okey. Disebabkan itulah dia harus
berkeras. Sebagai manusia, imannya tidaklah sekuat mana.
Bimbang akal yang waras hilang kestabilannya disebabkan
nafsu kian beraja.

No comments:

Post a Comment