DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 24 January 2018

Calon Untuk Pengantin - Bab 9

SUASANA dalam Range Rover itu sunyi tanpa
sepatah kata. Masing-masing hanya mendiamkan diri. Nurul
banyak memberi tumpuan pada pemandangan di luar. Tidak
sedikit pun memandang ke arah Idham. Idham yang sedang
memandu jadi serba salah. Sesekali matanya melirik ke arah
Nurul. Dia nampak mata gadis itu berkaca dan ada ketikanya
dia menyeka dengan jari-jemarinya.
“Saya minta maaf atas apa yang berlaku tadi. Saya
tak sangka Atikah muncul tiba-tiba dan merosakkan suasana
di butik tadi. Nanti kita datang semula esok untuk cuba
baju pengantin.” Idham cuba memujuk. Dia tidak mahu
gadis itu terasa hati dengan apa yang berlaku kerana Nurul
tidak bersalah dalam hal ini. Kesediaan Nurul menerima
lamarannya amatlah dihargai.
“Tak apa. Bukan salah awak.” Balas Nurul perlahan.
“Tapi Atikah tak patut muncul dekat butik tadi.”
Tutur Idham. Masih lagi rasa serba salah dengan kemunculan
Atikah yang tidak dijangka.
“Cik Atikah masih sayang dan cintakan awak. Sebab
itu dia merayu pada awak untuk kembali dan meneruskan
perkahwinan.” Itu yang Nurul dapat tafsirkan sebab
kemunculan Atikah di butik tadi. Memujuk Idham untuk
menerimanya kembali.
Idham telan liur. Dia tidak tahu bagaimana untuk
membalas kata-kata itu.
Memandangkan tiada sebarang kata dan reaksi dari
Idham, Nurul mula memejam mata seketika sambil berfikir.
“Awak masih ada masa untuk berundur.” Nurul bersuara
semula selepas membuka mata. Kedua belah tangannya
dirapatkan, cuba mengumpul kekuatan diri.
“Masa untuk berundur? Apa maksud awak?” Idham
tersentak dengan kata-kata itu.
“Masih belum terlambat untuk awak kembali pada
Cik Atikah. Awak boleh teruskan rancangan awak untuk
berkahwin dengan dia. Saya percaya bahawa awak dan dia
masih saling mencintai. Saya tak nak mengganggu hubungan
awak dengan dia.” Nurul cuba menjelaskan kedudukannya.
Idham mendengus kasar.
Tubuh Nurul terdorong ke depan apabila Idham
membrek Range Rovernya secara tiba-tiba di tepi jalan.
“Eh, apa kena dengan awak ni? Awak nak kita
kemalangan ke?” Perasaan Nurul hangat tiba-tiba.
“Huh!” Idham melempar jelingan tajam. Wajahnya
masam mencuka sampaikan Nurul tak berani nak bersuara
lagi.
“Awak nak sangat tengok saya kembali pada
perempuan tu? Awak nak tengok dia kahwin dengan saya?”
Idham meluah rasa yang terpendam.
Nurul terus diam.
“Awak tu tunang saya. Apa yang awak nak buktikan
ni? Apa yang awak dapat kalau saya kahwin dengan perempuan
tu?” Perasaan marah Idham belum berhenti.
“Saya dapat kebebasan.” Nurul memberanikan diri
membalas soalan Idham.
Idham gelak sinis. “Kenapa? Awak rasa saya ni teruk
sangat ke sampaikan awak tak sudi nak kahwin dengan saya?”
tempelak Idham dengan nada keras.
“Bukan itu maksud saya. Cik Atikah lebih berhak
kahwin dengan awak sebab dia cintakan awak.” Nurul cuba
beri penjelasan.
“Habis tu, awak? Awak tak cintakan saya? Sebab
awak tak cintakan saya, awak tak perlu kahwin dengan saya?
Awak ingat hanya cinta boleh buat kita bahagia?” Makin tegas
dan keras suara Idham masuk ke telinga Nurul.
Nurul kembali diam. Dia tak berani membalas
tatapan mata Idham. Dia takut.
“Awak lupa agaknya tujuan kita nak kahwin tak lama
lagi. Kalau awak lupa, saya nak ingatkan balik. Awak hanya
nak buktikan pada Cik Atikah yang awak boleh teruskan
perkahwinan walaupun bukan dia pengantinnya dan saya,
saya kahwin dengan awak sebagai membalas budi awak.”
Nurul tarik nafas kasar. Lega bila segala kegusaran hati dapat
diluahkan.
Idham meraup mukanya. Dengusan kasar dilepaskan
seperti itu yang sedang dia alami sekarang.
“Dan awak mungkin lupa sesuatu...” Idham melirik
ke arah Nurul.
“Awak lupa bahawa saya takkan menerima
perempuan itu semula dalam hidup saya. Tak akan!” Rahang
Idham bergerak-gerak. Mukanya sudah merah.
Nurul tunduk. Hatinya jadi sebak.
“Kita akan teruskan perkahwinan kita walaupun
tanpa cinta. Kita boleh cuba bina hidup baru sebagai suami
isteri. Sampai bila-bila pun, awak akan tetap jadi isteri saya.
Itu janji saya pada awak. Saya juga akan jaga awak sebaik
mungkin sebagaimana janji saya pada orang tua awak. Awak
ingat tu. Kalau awak lupa, saya akan selalu ingatkan awak.
Faham!” ujar Idham dengan suara tegas. Tanpa berlengah dia
meneruskan semula perjalanan ke destinasi yang seterusnya
iaitu menghantar Nurul semula ke kafe.

ATIKAH MENGETAP bibir. Minuman yang masih bersisa
separuh diteguk dengan rakus. Jojie yang merangkap
pengurusnya hanya mampu melihat. Dia belum berani untuk
bersuara, bimbang disergah Atikah. Tidak pasal-pasal dia
akan dapat malu di tempat awam begini.
“Jojie, you tahu tak apa yang I nampak tadi?” Mata
Atikah mencerlung ke arah Jojie.
“Tahu. I yang teman you tadi dari tempat shopping
sampai butik.” Tutur Jojie sambil membelek kukunya.
“You tahu tak apa yang I rasa sekarang?” Mata Atikah
belum berkalih dari wajah Jojie.
Jojie hanya diam. Tak beri sebarang komen dan
reaksi.
“Jojie, I tengah sakit hati sekarang ni. You boleh buat
tak tahu!” Atikah mengetap bibir. Geram betul dengan sikap
pengurusnya yang nampak tidak prihatin dengan apa yang
sedang dialaminya sekarang.
“I nak buat macam mana? Benda dah jadi. You
tak boleh nak salahkan Idham. You sendiri yang buat hal.
Sekarang, you tanggunglah akibatnya.” Jojie tetap buat tak
peduli. Malas dah nak layan perangai si Atikah yang baran
tak bertempat. Asyik dia saja yang kena marah. Mana boleh
tahan. Sesekali biar Atikah yang menanggung sendirian.
“Isy, menyampahlah you ni!” Atikah mendengus
sambil menyandar kasar di kerusi. Tangan disilang ke dada
sambil menghadiahkan renungan tajam buat Jojie yang asyik
senyum-senyum sambil menayang kukunya.
Jojie memandang wajah hangat Atikah bersama
senyuman bersahaja.
“Berapa kali you cuba tangguhkan majlis kahwin
you sejak you bertunang dengan Idham?” Jojie menaikkan
keningnya.
“Tiga kali.” Balas acuh tak acuh bersama muka
masam mencuka.
“You ingat dia nak percayakan you lagi? Orang lelaki
ni ada egonya sendiri. You tak boleh nak fikirkan perasaan
you saja. Perasaan dia, you tak pernah nak fikir. Selama ini,
you hanya fikir you boleh ambil kesempatan atas dia. Atas
kekayaan dan kemewahan dia. Hey, come on. He’s a great
man. Ramai perempuan yang gilakan dia. Sekali you menolak,
berduyun yang datang mencari dia.” Ujar Jojie.
Atikah mendengus lagi.
“I bukan suka-suka nak tangguhkan majlis kahwin
tu.” Atikah cuba bela diri.
“Lantak youlah, I dah malas nak ambil tahu. Kalau I
cakap pun, bukan you nak dengar.” Jojie pula yang mendengus
perlahan.
“Jojie...” Perasaan Atikah makin bengang. Jojie
bukan sahaja pengurusnya, tapi Jojie merupakan kawan
rapatnya. Susah dan senang, jatuh dan bangun dia tetap
bersama Jojie selama ini.
“Lupakan Idham tu. You cari saja lelaki lain. Dia
berhak dapat perempuan yang lebih baik dari you.” Jojie cuba
beri nasihat ikhlas.
Hati Atikah makin membahang. “Mana boleh! I
takkan lepaskan Idham. Dia milik I!” Atikah tetap dengan
egonya.
“Itu dua minggu yang lepas. Sekarang ni, dia dah jadi
milik perempuan lain dan perempuan itulah yang akan hidup
bersama Idham. Dan lepas ni, you hanya mampu pandang dia
sahaja dari jauh.” Jojie cuba mengingatkan Atikah tentang
hubungannya dengan Idham.
“Tak. I tetap akan dapatkan dia semula. Perempuan
kampung tu tak layak untuk hidup bersama Idham. I tahu,
Idham sebenarnya terdesak memilih dia sebab I yang cabar
dia.” Atikah mengetap bibir. Menyesal pula kerana telah
mencabar Idham hari itu. Sekarang, dia yang terpaksa
tanggung rasa kesal.
“Sudahlah. Lupakan Idham. Biar dia hidup bahagia.”
Nasihat Jojie lagi. Dia berharap Atikah akan belajar menerima
kenyataan.
“Kalau bukan sebab ‘lelaki tu’, I takkan buat semua
ni.” Atikah meratap kesal.
Jojie memandang wajah kesal Atikah.
“Cakap pasal ‘lelaki tu’, dia kat mana sekarang? Dah
lama dia tak jumpa you.” Dahi Jojie mula berkerut.
“Kat overseas. Malaslah I nak ambil tahu pasal dia.
Buat sakit hati.”
Jojie mengukir senyum.
“Cakap aje sakit hati. Kalau ‘orang tu’ ada depan
you, bukan main lagi you bermanja-manja dengan dia.” Jojie
tergelak kecil.
“I pun gelilah nak bermanja-manja dengan dia tapi I
terpaksa. Kalau bukan sebab dia, Tyka Dahlan takkan wujud
sekarang.”
Calon Untuk Pengantin
98
“Hmm... betul. Jadi, apa rancangan you sekarang?”
Jojie merenung wajah Atikah.
“I kena fikirkan strategi.” Bibir Atikah tiba-tiba
mengorak senyum.
“Strategi? Maksud you?” Mata Jojie membulat.
“You’ll see.” Senyuman Atikah makin lebar dan
otaknya mula ligat memulakan rangka untuk tindakan
seterusnya. Jojie hanya diam sambil menelan liur.

IDHAM MENGETUK pen di meja. Matanya pula tetap
memandang dokumen di hadapan. Masih banyak perkara
yang perlu diuruskan sebelum dia bercuti seminggu untuk
urusan majlis perkahwinannya nanti. Semua staf sudah
dimaklumkan tentang majlis perkahwinannya dan rataratanya
terkejut bila mendapati calon isteri Idham bukanlah
Atikah sebagaimana yang diketahui sebelum ini tapi mereka
tak berani bersoal jawab.
“Hanna, awak dah buat apa yang saya suruh?” Idham
mendongak, menatap wajah Raihanna yang masih berdiri di
hadapannya.
“Dah, semuanya saya dah uruskan. Pasal hotel, pasal
jemputan dan pasal appointment berkaitan dengan majlis
kahwin bos.”
“Berkaitan dengan appointment lain juga, saya dah
postponed dan mana-mana yang boleh diganti, saya dah
maklum dengan Encik Ryzal dan Encik Azlan.” Beritahu
Raihanna membuat Idham mengangguk kepala.
“Bagus. Terima kasih.” Idham menghadiahkan
segaris senyuman.
“Sama-sama, bos.” Raihanna mengangguk kepala.
“Maaf, saya dah banyak menyusahkan awak sejak
kebelakangan ni.” Idham menatap wajah Raihanna.
“Tak adalah. Perkara biasalah, bos.” Bagi Raihanna,
itu hanya perkara mudah untuk dilakukan.
Idham meraup mukanya sambil menyandar
badannya di kerusi. Raihanna masih lagi berdiri untuk
menanti usul daripada Idham seterusnya.
“Bos, boleh saya tanya sesuatu?” aju Raihanna
dengan wajah teragak-agak. Bimbang juga kalau pertanyaan
ini menimbulkan kemarahan Idham tapi dia perlu dapatkan
penjelasan dari Idham.
“Duduklah,” pelawa Idham membuatkan Raihanna
akur.
Idham masih lagi menatap wajah Raihanna yang
tiba-tiba nampak serba salah.
“Tanyalah. Awak tak perlu takut. Saya tak pernah
makan orang. Selama awak kerja kat sini, pernah saya cakap
nak makan awak?” Idham tergelak kecil di hujung kata
membuatkan Raihanna turut tergelak sama.
“Makan tu tak adalah tapi kalau kena sergah dan
marah, selalu juga tapi saya tak kisah. Saya tahu, bos mahukan
yang terbaik.” Ujar Raihanna.
“Saya minta maaf kalau kadang-kadang saya
bertindak keterlaluan. Biasalah, manusia. Ada masa-masa
tertentu dia akan bertindak di luar jangkaan.” Akui Idham.
Raihanna mengangguk kepala.
“Ya, saya faham.” Raihanna tarik nafas.
“Okey. Awak nak tanya pasal apa tadi?” Mata Idham
tepat ke wajah Raihanna.
“Pasal perkahwinan bos dengan Cik Nurul tak
lama lagi. Bos betul-betul serius ke nak kahwin dengan
dia?” Berkerut-kerut dahi Raihanna memandang wajah
Idham. Walaupun dia rasa takut, tapi dia tetap nak tahu apa
sebenarnya yang berlaku dengan Idham.
Idham tergelak kecil.
“Maaf, saya bukan nak sibuk tapi...” Raihanna
kembali resah.
“It’s okay. Awak tak perlu takut. Sebagai salah
seorang yang rapat dengan saya, awak berhak tahu apa
sebenarnya yang berlaku.” Tutur Idham dengan wajah
tenang. Dengan Raihanna, dia tak perlu berahsia kerana
perempuan itu seorang yang boleh dipercayai sepertimana
dia mempercayai Ryzal dan Jamal. Tanpa berlengah, dia terus
menceritakan bagaimana dia tetap mahu meneruskan majlis
perkahwinannya.
Raihanna menelan liur.
“Sekarang, awak tahukan kenapa saya tetap nak
teruskan perkahwinan.”
Raihanna hanya diam. Perlahan-lahan dia
mengangguk kepalanya.
“Atikah adalah masa silam saya. Saya takkan terima
dia balik walau apa yang dia lakukan. Itu juga yang saya
cakapkan pada dia tapi nampaknya dia masih tak faham.”
Idham mengeluh perlahan. “Saya sebenarnya dah serik untuk
teruskan hubungan saya dengan dia.” Jelas Idham lagi.
“Jadi, bos memang dah tak cintakan Cik Tyka lagi?”
Raihanna menantikan jawapan.
“Cinta? Entahlah. Sukar saya nak jelaskan. Saya
sendiri pun tak tahu kenapa saya masih boleh bertahan
dengan dia sedangkan perasaan cinta tak wujud untuk dia.”
Idham tarik nafas.
“Bagaimana dengan Cik Nurul? Takkanlah semudah
itu bos nak terima dia sebagai isteri tanpa sedikit rasa cinta?
Ya, saya akui... sesebuah perkahwinan tak semestinya bermula
dengan cinta kerana cinta juga boleh dipupuk selepas kahwin.
Ayah dan mak saya pun macam tu. Mereka masih bahagia
hingga sekarang.” Ujar Raihanna pula.
“Entahlah. Buat masa sekarang, sejujurnya saya tak
pasti tapi saya akan tetap teruskan majlis kahwin ni. Hal-hal
seterusnya akan difikirkan kemudian.” Bohonglah kalau dia
tak pernah fikirkan soal itu. Saban malam dia berfikir. Sampai
mana hala tujuan perkahwinan dia bersama Nurul nanti.
Mampukah dia hidup bahagia seperti pasangan lain? Atau
berapa lamakah perkahwinannya akan bertahan kalau tidak
wujud perasaan cinta?
‘Sampai bila-bila pun, awak akan tetap jadi isteri
saya. Itu janji saya pada awak.’ Itu adalah ungkapan yang
pernah dilafazkan pada Nurul.
Betulkah dia akan hidup bersama Nurul untuk
selama-lamanya?

RYZAL MEMANDANG kolam yang ada di hadapannya.
Kemudian dia menoleh dan mencapai gelas minuman berisi
jus oren. Idham nampak begitu santai membelek majalah
sukan tanpa membacanya.
“Hai, cepat sangat masa berlalu. Minggu depan
kau dah bergelar suami. Kau tak rasa apa-apa?” Ryzal cuba
menyelami hati sepupunya itu.
Idham menutup majalah dan diletak atas meja.
Pandangannya menghala ke kolam seperti yang dilakukan
Ryzal seketika tadi.
“Entahlah. Aku sendiri pun tak tahu nak jelaskan apa
yang aku rasa sekarang.” Idham tarik nafas panjang.
Ryzal gelak kecil.
“Macam frust aje gaya kau ni. Kau tak serius nak
kahwin sebenarnya, kan?” Sekali lagi Ryzal cuba mengorek
rahsia hati Idham.
“Frust? Perasaan itu dah tak wujud dalam hidup aku
sekarang.” Idham memicit dahinya perlahan.
“Habis tu, perasaan apa yang wujud sekarang?
Peliklah kau ni. Baik kau batalkan saja majlis perkahwinan
tu. Kesian Nurul. Dia jadi mangsa ego kau.” Ryzal memang
rasa simpati pada perempuan yang bakal berkahwin dengan
Idham. Bagaimanakah hidup perempuan itu setelah kahwin
dengan Idham? Bagaimana kalau Idham sia-siakan hidupnya?
“Aku tak boleh nak batalkan sebab aku dah janji
dengan dia untuk teruskan perkahwinan yang ditetapkan. Dia
juga dah setuju walaupun pada awalnya dia nak buat macam
yang kau sarankan lepas Atikah muncul di butik beberapa
hari lepas.” Idham meraup mukanya pula. Kejadian Atikah
muncul di butik kembali terlayar di ingatannya. Nasib baik
Atikah tak muncul kali kedua bila dia dan Nurul kembali ke
butik itu keesokannya.
“Am,” Idham memandang wajah Ryzal.
“Kau nak kahwin dengan Nurul kan? Dia... dia tak
ada boyfriend ke? Manalah tahu kot-kot kau rampas kekasih
orang. Tak pasal-pasal kau bergaduh nanti. Takkanlah orang
secomel Nurul tak ada kekasih hati.” Timbul pula keraguan
di hati Ryzal.
“Tak ada. Dia tak ada boyfriend. Aku dah tanya dia.”
Masa tu Idham mahu mendaftarkan Nurul untuk menghadiri
kursus kahwin dua hari lepas.
“Nurul, awak ni serius ke tak ada boyfriend?” Idham
bersuara. Untuk kali yang kedua dia tanya soalan macam ni.
“Tak ada. Saya memang tak ada boyfriend. Dan tak
pernah ada boyfriend. Kenapa? Awak tak percaya?” Nurul
mengukir senyum.
“Gadis zaman sekarang jarang yang tak ada
boyfriend. Hatta budak kecil sekolah rendah pun dah ada
boyfriend.” Idham agak terkejut dengan pengakuan itu.
Nurul mengukir senyum.
“Itu mereka. Saya bukan tergolong dalam golongan
itu. Kalau saya ni dah ada boyfriend, saya takkan setuju
terima lamaran awak dan saya akan tetap berkeras menolak
walaupun orang tua saya menerima lamaran awak tempoh
hari.” Nurul mengukir senyum.
“Tapi... awak cakap awak dah pergi kursus kahwin.
Kalau dah pergi kursus kahwin, bukankah awak dah sedia
untuk kahwin?” Idham meneliti wajah Nurul.
“Saya pergi kursus tu sebab ajakan dari kawan-kawan
masa belajar kat universiti. Lagipun, pakej pelajar tu murah
sikit. Mungkin boleh buat persediaan kalau tiba-tiba terdesak
nak kahwin, macam sekarang. Tak adalah saya kalut nak
daftar. Cuma sekarang ni, kita hanya perlu uruskan borang
dan juga buat ujian HIV.” Nurul mengukir senyum.
“Jadi, awak dah sedia nak kahwin dengan saya?” ujar
Idham.
“Berapa kali awak nak tanya soalan yang sama ni?
Awak juga yang tak benarkan saya tarik balik. Tapi kalau saya
diberi peluang, memang saya akan tarik balik.” Nurul tetap
mengukir senyum membuatkan pandangan mata Idham
tepat ke wajah Nurul. Lama matanya terpaku di wajah itu.
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” Nurul mula
nampak resah. Mungkin tidak selesa dengan renungan mata
Idham yang tepat ke wajahnya.
“Sebab awak comel.” Idham gelak tanpa sengaja.
“Am,”
“Am...”
Idham tersentak. Hilang terus lamunannya seketika
tadi. Saat itu, matanya beradu dengan renungan mata Ryzal
yang sudah berkerut dahi.
“Kau cakap aku comel ke?” Ryzal tergamam seketika.
“Tak. Mana ada aku cakap kau comel? Kau silap
dengar tu.” Kalut Idham membalas.
“Apa kena dengan kau ni, siang-siang hari pun
mengelamun.” Ryzal menepuk bahu Idham.
Idham melempar sengihan. Tak sangka wajah Nurul
kini bertukar kepada Ryzal. Hilang terus ingatannya kepada
bakal isterinya.
“Kau teringatkan Nurul ya. Kau dah mula
rindukan dia ni.” Ryzal mengambil peluang mengusik
membuatkan Idham segera mengalih pandang dan sekali gus
menyembunyikan rasa malunya.

No comments:

Post a Comment