“DAH lama kita tak jumpa Adhia, kan?” ujar
Aiman tiba-tiba.
Adif yang ralit membelek Kawasakinya beralih
pandang ke arah Aiman. Sudah kenapa tiba-tiba bertanyakan
gadis itu? Sejak kes malam itu, memang mereka tidak
berjumpa lagi. Adhia pun tidak lagi datang ke tempat dia
meniaga sandwich ataupun burger.
‘Masih tidak sihat ke dia? Ataupun dia dah putus
asa?’ desis Adif hati.
‘Hmm, apa yang kau peduli Adif? Bukan ke kau lebih
suka Adhia hilang dari mata kau. Atau hati kau dah mula
merindu?’ ejek suara hatinya pula.
‘Rindukah ini?’
“Woi, aku cakap dengan kau ni,” jerkah Aiman.
Geram pula rasa apabila dia bagaikan bercakap seorang diri.
“Tak payah nak jerit bagai. Aku dengarlah. Haih!
Yang kau tiba-tiba tanya ni, kenapa? Rindu?”
“Bukanlah rindu, tapi teringat. Lagipun tunang aku
tu mana nak campak Adif oi. Bakal menantu kesayangan
mak aku tu. Mahu kena parang dengan mak aku nanti sebab
sakitkan hati Diana tu.” Menggeleng kepala Aiman. Tidak
sanggup dia menghadap leteran ibunya.
“Hahaha... tahu pun kau takut ek.” Kuat tawa Adif
meletus.
“Kurang asam punya kawan. Bukan takut, tapi
hormat.” Aiman menyengih.
“Banyaklah kau punya alasan.” Adif meneruskan
kerjanya. Sudah lama dia tidak memanjakan ‘baby hijaunya’
ini.
Aiman memerhatikan Adif. Tidak pernah sekali
pun dia lihat sahabatnya keluar dengan perempuan. Apakah
masalah sahabatnya ini? Takkanlah betul macam yang
diperkatakan kawan-kawan lain, yang Adif gay? Mustahillah!
Adif tidak pernah tinggal solat.
“Kau pandang aku macam tu kenapa?” soal Adif.
“Err... takde apa-apa. Cuma... aku hairan dengan kau
ni. Aku tak pernah nampak kau keluar dengan mana-mana
perempuan. Kenapa ek?” Aiman memilih untuk berterus
terang. Rasa bersalah pula apabila kadang-kadang terselit
rasa curiga dalam hati.
Adif jongket kening. Hai, Aiman ni dah kenapa? Hari
ini asyik tanya soalan buang tabiat saja. Tersampuk ke?
“Saja. Aku tak jumpa yang berkenan di hati lagi. Dah
jumpa nanti, aku terus masuk meminang, nikah terus. Tak
payah jadi macam kau. Bercinta 3 tahun. Bertunang 3 tahun.
Lepas tu dating memanjang, buat tambah dosa saja. Entah
bila korang nak tambah pahala pun aku tak tahu,” perli Adif.
Perghh, kena setepek atas hidung Aiman. Itulah,
nak sangat sibuk hal peribadi Adif. Sudah tahu Adif tu ala-ala
ustaz, pergi juga bertanya. Sekarang tahan sajalah telinga.
“Kau ni... asal aku tanya saja, jawapan tu mesti nak
perli aku.” Aiman mencemik.
“Ha... yang ni aku suka. Kau tahu kenapa aku perli?
Kau pun tahu bila berdua adanya yang ketiga, kan? Lagi pula
aku hairanlah dengan kau ni, bercinta bukan main lama
lagi. Bertunang pun nak lama-lama buat apa? Nanti hilang
manisnya cinta tu, baru padan muka kau!” bebel Adif.
“Hmmm, kau pun tahu kan... bukan aku yang nak
bertunang bagai ni. Mak ayah kita orang tau. Ikutkan aku
dan Syira, dah lama kita orang nikah. Aku ni pun dah layak
menikah. Asyik menahan aje tengok si Syira tu.”
“Hahaha... tahu pun kau. Makanya kurangkanlah
berjumpa supaya tidak terjadi sesuatu yang tidak diingini.
Lagi satu, yang nak kahwin tu kau dengan Syira, bukan mak
ayah korang. Bincanglah. Buat yang wajib dulu. Halalkan
ikatan korang tu. Aku nasihatkan saja Man,” pesan Adif.
Sudah jadi adat orang Melayu sekarang, tidak kira
di kampung atau di bandar, semua nak dahulukan adat. Tak
nak langkah bendullah. Majlis nak buat besar-besar. Hantaran
nak berpuluh ribu. Semuanya kerana hendak mengikut
trend. Sedangkan dalam Islam tidak pernah menyuruh
begitu. Dalam Islam disarankan lakukan yang wajib dahulu.
Yang penting akad nikah. Kenduri cukuplah sekadar untuk
menghebohkan pernikahan itu supaya tidak menimbulkan
fitnah suatu masa nanti.
Sedangkan Baginda SAW menikahkan puteri baginda
dengan Sayidina Ali hanya bermaharkan baju perang. Setiap
perbuatan baginda adalah sunnah yang baik. Yang patut
diikuti. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a.: Dari
Aisyah r.a. baginda bersabda:
“Sesungguhnya pernikahan yang
paling barakah adalah pernikahan yang
maharnya sedikit.”
(Mukhtasar Sunan Abu Daud)
“Yalah. Terima kasih. Eh, malam nanti kau pergi tak
dinner tu?”
“Tak tahu lagi, Man. Kau bukan tak tahu, aku tak
suka majlis macam ni.” Adif mengeluh. Namun mengingatkan
ini jemputan daripada pelanggan tetapnya, ralat pula jika dia
tidak dapat hadir.
“Aku tahu. Tapi kau kena ingat, hati pelanggan kena
jaga. Dah berapa kali kau tolak jemputan Datuk Hirman tu.
Nanti apa pula katanya.” Aiman mengingatkan.
Adif mengangguk mengiakan apa yang dikatakan
sahabatnya itu. Nampaknya mahu ataupun tidak, dia kena
hadirkan diri juga malam nanti.
“Okeylah. Kau teman aku ya?” ujar Adif.
“Ala...”
“Aku nak naik ‘baby’ aku ni,” pancing Adif. Tahu
sangat Aiman hendak mengelak. Cakap pandai, bila diajak
mulalah dia mencipta alasan.
“Serious?” Bersinar mata Aiman. Sudah lama dia
hendak naik motor besar Adif itu.
“Yalah. Janji kau teman aku,” ujar Adif.
“Okey. Deal!”
Adif angkat ibu jari tanda deal. Alah, bukan susah
sangat pun hendak memujuk Aiman. Bukannya dia tidak tahu
yang Aiman sudah lama gian hendak naik Kawasakinya itu.
Sudah berkali-kali sahabatnya itu merayu ingin menunggang
uji motosikalnya, tapi tidak dia izinkan. Gila nak izinkan,
Aiman bukan ada lesen motor pun. Apa-apa hal, dia yang kena
nanti.
Lebar senyuman Aiman. Itu mesti dah berangan naik
motor besar Adif. Aduhai, Aiman... berangan sajalah kerjanya.
“Jangan lupa pakai kot,” pesan Adif sebelum berlalu
ke dalam rumah.
Tercangak Aiman. Aduhai, inilah yang malas majlis
formal ni. Pakaian pun hendak kena formal. Berkot bagai.
Rimas tau!
*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN FEBRUARI 2018**
No comments:
Post a Comment